CARI BAHAN

Tuesday, May 15, 2018

Aku dan Politik Malaysia

Dalam hidup saya ini, banyak perubahan politik yang saya saksikan. Masa saya sekolah rendah dan menengah, saya ingat Dr. Mahathirlah pemimpin hebat di Malaysia pada masa itu. Kanak-kanak zaman saya, selalu mendongak ke angkasa melihat kapal terbang menggugurkan kertas-kertas. Kertas itu jatuh di tengah bendang, dalam kebun getah dan sebagainya. Di atasnya tertulis kempen kerajaan pada masa itu. Sekeping kertas kecil tertulis BERSIH, CEKAP, AMANAH masih terbayang jelas dalam ingatanku. Aku membesar tanpa mengindahkan sangat hal politik negara. Apa yang kutahu, bapaku seorang ahli UMNO. Orang Pas kampungku pun kenal bapa saya sebagai ahli UMNO.

Pada masa hangat semangat orang pas dengan sikap keras mengharamkan makan sembelihan orang UMNO, tak boleh solat berimamkan orang UMNO, bapaku ada juga terkena tempias. Namun, bapaku tidak banyak cakap dan boleh dikatakan dia tidak ambil endah soal politik. Dia memang ahli UMNO tapi tak peduli pertengkaran orang politik.

Masa aku masuk universiti, aku juga tiada kecenderungan politik. Tapi, aku suka budi bahasa mulia dan kesantunan. Itu sebab kenapa masa dalam kampus UM aku tidak minat kepada parti Nadi. Sebahagian penggerak Nadi berwatak keras dan pencela. Tidak ubah bagaimana kelakuan ramai pemidato Pas di luar. Aku lebih tertarik dengan BMB kerana mereka santun dan lemah lembut. Mereka matang dan sejahtera. Mereka adalah kelompok yang tergabung antara ABIM dan UMNO.

Tahun 1998, berlaku krisis politik. Kepimpinan Dr. Mahathir tercalar teruk. Ianya gara-gara pemecatan DS Anwar Ibrahim. Rakyat tidak tahu sangat sebab musababnya dan akhirnya dinyatakan bahawa Anwar dipecat kerana masalah moral. Anwar meliwat orang. Anwar mengambil pendekatan melawan pemerintahan Dr. Mahathir. Demonstrasi di KL dan lain-lain tempat sering berlaku. Ketika itu, aku pun sudah menamatkan pengajian. Aku bekerja sambilan di KL dan kemudian berpindah bekerja dengan ABIM di Pahang. 

Bila balik kampung, aku terlibat dengan debat mulut yang ringan dengan bapaku. Aku persoalkan Mahathir yang bina Sri Perdana, Menara berkembar Petronas dan sebagainya. Waktu itu, Dr. Mahathir digelar Mahafiraun oleh setengah orang. Laman Web Mahafiraun menjadi laman kegemaranku untuk cari maklumat dan perkembangan Gerakan Reformasi. Pemimpin utama PAS, Dato' Fadhil Noor  turut menyokong gerakan Reformasi

Banyak suka duka yang kulihat. Tahun-tahun itu penuh dengan mehnah dan trribulasi. Aku terbentuk jiwa pembangkang. Masa berlalu dan Dr. Mahathir lepaskan jawatan PM dan digantikan dengan Pak Lah. Aku menyokong BA (Barisan Alternatif ). Aku ikut-ikut menjadi pengkagum Anwar Ibrahim. Kemudian, aku ditakdirkan ke Sabah , masuk maktab perguruan dan buat KPLI. Habis KPLI tahun 2003, aku berkhidmat di Sabah, iaitu di Sandakan. Kedaan politik Malaysia begitulah. Anwar ditahan ISA, keluar dan bertanding di Permatang Pauh, menang dan jadi ahli Parlimen PKR. Zaman itu zaman Pak Lah. 

Pak Lah lancar j-QAF dan dasar Islam Hadhari. Aku puak pembakang. Seperti golongan pembakang lain dasar Pak Lah itu serba tak kena di mataku. Islam Hadhari menjadi momokan dan sindiran ramai orang. Aku kurang faham tapi orang kata tak elok. Aku pun ikut kata tak elok. Kursus Islam Hadhari yang diadakan untuk guru-guru pendidikan Islam aku ikut separuh hati.

Selepas itu, Dr. Mahathir marah Pak Lah. Orang kata puncanya kerana Pak Lah batalkan projek jambatan bengkok di Selat Teberau. Itu projek zaman Dr. Mahathir tapi pak Lah tak mahu teruskan dna sanggup bayar pampasan lebih 100 juta.

Pak Lah diasak agar letak jawatan. Orang mengolok-olok Pak Lah termasuk parti pembangkang lain. Pas, DAP dan PKR senada menolak kepimpinan Pak Lah. Mahathir masih UMNO dan dihormati. Mahathir pernah istihar keluar UMNO pada masa itu dan masuk balik kemudiannya. Desakannya agar Pak Lah letak jawatan diterima dengan akur oleh Pak Lah akhirnya. DS Najib ambil alih kepimpinan UMNO dan negara.

Bila DS Najib jadi PM, dia buat ikut suka dia. Dr. Mahathir tidak mengasingkan diri daripada Politik. Dia marah DS Najib. Banyak perkara dibangkitkan. Dr. Mahathir suruh DS Najib letak jawatan. DS Najib jenis keras hati dan keras kepala. Dia  buat tak peduli dan lama-kelamaan Dr. Mahathir tak tahan lagi. Dia sekali lagi keluar UMNO. Banyak perkara berlaku. 1MDB jadi isu besar. TS Muhyiddin Yasin kena pecat sebab tegur DS Najib. DS Syafie Afdal juga digantung keahlian UMNOnya. Parti Bersatu di tubuh. Sebelum itu sudah terjadi pecah belah dalam PAS dan Pakatan Rakyat.

Pas pecah. Lahir Pasma. Lahir GHB. Kemudian Lahir Amanah. Pas bercerai dengan DAP. Kemudian PKR. Pakatan Rakyat berkecai. Rakyat sudah tak sabar nak pilihanraya. Nak tengok siapa yang kuat berpengaruh. Dr.Mahathir dengan Mahyuddin Yasin serta beberapa pemimpin UMNO terbuang pakat tubuh parti. Namanya PBBM. Parti Peribumi Bersatu Malaysia. Syafie Afdal tubuh Warisan dan jadi parti berasaskan Sabahan.

Masa berlalu. Kempen sana sini. Najib kena serang dengan teruk. TG Haji Hadi terpalit dengan sangkaan kuat orang ingin bersekutu dengan UMNO dan membantu Najib. Wallahu A'lam. Politiknya berselisih malaikat 44 dengan pemimpin Pas yang terbuang dan menubuhkan Amanah.


No comments: