CARI BAHAN

Sunday, May 06, 2018

KEBENCIAN BUKAN WATAK AHLI SYURGA.

Nanti, ketika orang-orang beriman mahu masuk ke syurga, Allah buangkan dari dalam dada mereka rasa benci kepada orang lain. Benci itu merupakan sifat mazmumah yang tidak layak untuk para ahli syurga. Saat mereka masuk ke dalam syurga, hati mereka penuh kasih sayang dan rasa bersaudara satu sama lain.

Allah berfirman:


وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَابِلِينَ

Dan kami cabutkan daripada dalam dada mereka perasaan benci membenci lalu mereka jadi orang yang bersaudara duduk di atas katil-kati sambil berhadapan satu sama lain.
Surah Al-Hijr: Ayat 47



Watak gambaran ahli syurga ini bukan sahaja nanti ada di syurga. Dalam kehidupan dunia, calon-calon syurga sudah perlu mengamalkannya. Mereka perlu buangkan pengaruh benci itu kerana kerana sifat itu bukan sifat ahli syurga. Perlu banyak memaafkan dan tanamkan kasih sayang. Lebih-lebih lagi jika sesama Islam. Terhadap orang kafir pun kena ada perasaan kasih sayang atas nama kemanusiaan. Jika ia jiran, sekampung, senegeri atau senegara, perlu ada kasih sayang atas nama kemanusiaan dan kesamaan melalui kejiranan dan kebersamaan wilayah tempat tinggal.

Kebencian ini menjadi makanan sesetengah orang. Kerana dendam masa lalu, kebencian bersemadi di kalbu. Kerana faktor-faktor semasa yang remeh atau masih boleh dimaafkan, kebencian dikobarkan. Kerana bebeza cara hidup, matlamat, kaedah, wadah dan citra, kebencian dibiarkan membara. Semua ini tidak layak dimiliki bakal-bakal ahli syurga. Jika kebencian bersenandung dalam hati, maka ketahuilah bahawa itu bukan watak ahli syurga.

Allah ceritakan perangai ahli syurga agar kita dapat meniru dan mengaplikasikannya dalam kehidupan di dunia. Sekalipun mustahil kita mencakup semua watak ahli syurga, kita masih perlu mengamalkan sedaya yang mungkin. Kita perlu himpunkan semaksima yang dapat watak-watak ahli syurga dalam diri kita.

No comments: