Di pekan Tanjung Rakit, Cina Lim berniaga kedai runcit. Sudah lama dia berniaga di situ. Dari zaman ayahnya hinggalah ke zamannya, kedai runcit itulah tempat dia menyara hidupnya. Ada pasang surut perniagaan. Waktu zaman Jepun dulu, kedai ayahnya pernah dibakar oleh Jepun. Masa itu ayahnya berniaga di tempat lain. Bukan di Pekan Tanjong rakit. Bila zaman gawat itu sudah berlalu dan negara pun sudah merdeka barulah ayah Lim telah memulakan perniagaann di Pekan Tanjong Rakit.
Kedudukan Pekan Tanjong Rakit itu tidaklah berapa jauh dari kampung Bulan Mengambang. Orang-orang Melayu yang menjadi penghuni tradisi di kampung Bulan Mengambang selalu juga turun ke Pekan Tanjung rakit kalau ada keperluan untuk mendapatkan barang-barang harian. Ada beberapa kedai di sana tetapi kedai Lim sahaja yang maju ke depan. Itu kerana Lim pandai melayan pelanggannya dan suka membantu orang-orang Melayu yang datang ke kedainya. Dia tidak pilih bulu. Kedai-kedai Cina yang lain di Pekan Tanjong Rakit itu pandai tengok pelanggan juga. kalau pelanggannya orang ternama dari kampung-kampung sekitar, layanan istimewalah diberikan. Sebab itu, lama-kelamaan kedai runcit selain mereka mula lingkup. Yang masih tinggal, nyawa-nyawa-ikan sahaja.
Tok Gero berkawan baik dengan Lim. Mereka ada sejarah manis yang mentautkan hati mereka. Menurut cerita Tok Gero, dia dan Lim pernah berjuang bersama-sama menentang Komunis pada zaman sebelum merdeka dulu. Tok Gero juga selalu bercerita perjuangannya bersama-sama dengan pahlawan belantara yang lain, termasuk orang-orang Melayu yang bangkit melawan komunis. di antara nama yang selalu meniti di bibir Tok Gero adalah Mat Indera yang dituduh oleh British sebagai komunis.
Perjuangan dan masa-masa sukar itulah yang membuatkan Tok Gero dan Lim jadi rapat. Setelah merdeka , Inggeris pernah membuat tipudaya politik sehingga Tok Gero dan Lim ditangkap dan dipenjara. Ramai lagi Melayu seangkatan Tok Gero ditangkap dan dipenjara.Kalau hendak disenaraikan segala mehnah dan kepayahan Tok Gero, memang tiadalah tertanding oleh mana-mana penduduk kampung Bulan Mengambang yang masih hidup. Orang yang pernah masuk penjara bersamanya ramai yang sudah arwah. Kalau ada pun, beberapa orang dari penduduk kampung lain.
Melalui pengalaman yang getir itulah membuatkan Tok Gero berhati kental. Hidup dalam hutan belantara dengan segala kesusahannya membuatkan Tok Gero belajar banyak perkara. Kemahiran memasak makanan untuk makan jumlah yang ramai itu pun dipelajarinya masa dalam hutan berjuang menentang Inggeris bersama komunis. Orang pernah syak Tok Gero komunis kerana punya sejarah perjuangan bersama komunis. Warga kampung lain pernah menggunjing Tok Gero sebagai seornag komunis tetapi ketika itui penduduk kampung Bulan Mengambang sangat percaya dan mengkagumi Tok Gero. Fitnah dan dan tuduhan bahawa dia seornag komunis tidak makan. Cerita itu akhirnya tamat begitu sahaja.
" Tok, apa yang dimenungkan nih?", Tok Gero tiba-tiba disergah Mat Penyanga. Hari itu kenduri di sebuah rumah hujung kampung . Tok Gero jadi tukang masak lagi macam sudah-sudah juga. Rakan-rakannya turut membantu.Tapi perasaan Tok Gero tidak enak. Dia ada mendengar doa Lebai Su berdoa lepas selesai majlis berzanji dan marhaban sebelah pagi tadi. Lebai Su memang pandai baca doa. Doanya selalu mendayu-dayu dan panjang pula. Cuma doa yang dibaca tadi terasa macam kena ke atasnya. Dalam doanya, Lebai Su minta kepada Allah pelihara mulut mereka dari makan makana yang tidak halal dan minta dijauhkan dari sihir jahat manusia. Tok Gero rasa macam Lebai Su sengaja nak kata kepadanya sebab beberapa hari sebelum ini orang sudah mengumpatnya bahawa dia tukang masak sihir yang campur bahan kotor dalam kawah.
"Kau ada dengar doa Lebai Su tadi? ", tanya Tok Gero kepada Mat Penyanga yang duduk bertinggung atas tunggul mempelam mati di sebelah kiri Tok Gero.
"Apa tidaknya, semua orang dengar, dah pakai speaker, memang sah dia nak kata kat Tok", Mat Penyaga seperti membakar hati Tok Gero. Bibirnya digetapkan dan matanya dipicingkan. Tok gero buat-buat tenang. Sebagai orang tua, dia tak mahu dilihat orang semuda Mat Penyaga sebagai orang tua yang mudah melatah.
(Akan bersambung)
No comments:
Post a Comment