CARI BAHAN

Thursday, June 11, 2015

Tok Gero dan sebuah khilaf ( Bhg 3)

Sebelum ini, kalau ada kenduri kendara di kampung Bulan Mengambang, Cina Lim yang berniaga kedai runcit di Pekan Tanjong Rakit akan selalu dijemput. Cina Lim tidak pernah ketinggalan untuk hadir makan kenduri di kampung Bulan Mengambang. Dia sudah betah keluar masuk makan kenduri di kampung Bulan Mengambang. Malahan kekadang, kalau ada kenduri sempena acara keagamaan seperti Israk Mikraj, Nisfu Syaaban atau Maulidur rasul dibuat di masjid kampung Bulan Mengambang, Cina Lim akan cari masa untuk hadir. Selalunya dia bawa kawan-kawan Cinanya dari Pekan Tanjong Rakit. Mereka makan sambil duduk bersila di balai lentang masjid. Melawak dan borak serta ketawa bersama orang kampung Bulan Mengambang. Lepas makan, kalau ada ceramah, Cina Lim luangkan masa duduk bersama-sama menadah telinga.


Keterbukaan Cina Lim disenangi oleh orang kampung Bulan Mengambang. Mereka berdoa agar satu masa nanti Cina Lim akan masuk Islam. Tok Gero dan kawan-kawan tukang masaknya yang paling meraikan Cina Lim bila dia bertandang dalam acara-acara di kampung Bulan Mengambang. Tok Gero juga berharap Cina Lim masuk Islam. Harapan yang sama juga dikongsikan oleh Tok Imam hatta tok Penghulu kampung. Sejak Cina Lim rajin hadir program-program di kampung Bulan Mengambang, banyaklah orang kampung berbicara tentang dakwah bilhikmah mal mau'izoh hasanah.  Di masjid kampung Bulan Mengambang, Tok Imam pun tekankan hal yang sama dalam kuliah-kuliah maghrib dan subuhnya. Subjek dakwah jadi topik perbualaan menarik.

Namun, kadang-kadang ada juga masalah bila nak tegakkan dakwah bilhikmah walmau'izoh hasanah. Cakap tidak semudah kata. Manusia dipandu oleh akal dan perasaan. Dua unsur itu selalu berlumba dalam diri. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Walaupun soal bangsa Melayu dan Cina bukan lagi hal yang diperkirakan oleh orang-orang kampung Bulan Mengambang, kadang-kadang ada juga digusarkan oleh kumpulan budak muda lepak dari kampung Bulan Mengambang. Ia bermula dengan menimbulkan persoalan hukum kalau Cina Lim masuk masjid.

"Cina Lim tu kan tak mandi junub, macam mana Tok Imam boleh bagi dia masuk masjid kita?' Mat Fitan sering menghasut dan menimbulkan keraguan di kalangan ahli kelab Daun Ketom yang bermarkas di kedai makan Lebai Sudin di simpang jalan Pekan Tanjong Rakit. Mereka amat berbulu mata melihat CinaLim berbaik-baik dengan orang kampung Bulan Mengambang.

Perasaan tidak senang Mat Fit dan kawan-kawannya yang selalu melepak di Kelab Daun Ketom  itu lama-lama merayap ke gelung rasa sesetengah orang-orang lama di kampung Bulan Mengambang. Akhirnya menjadi perdebatan pula di kalangan jemaah masjid Kampung Bulan Mengambang. Seruan agar menegakkan dakwah bilhikmah wal mauizoh hasanah  seperti yang sering diwiridkan oleh Tok Imam sudah mula dipersoalkan kesahihannya oleh sesetengah anggota Jemaah Masjid.

Ada cerita-cerita yang diriwayatkan entah dari perawi mana, bahawa Cina Lim masa dia duduk dengar ceramah Israk Mikraj hari itu,  dia suka berbisik-bisik dengan rakan Cina yang ikut bersamanya  sambil ketawa. Bisik dan ketawa itulah yang  menimbulkan tandatanya di kalangan ahli jemaah dengan sangkaan bahawa dia mempersendakan cerita Israk Mikraj. Dia tidak percaya apa yang diceritakan sedangkan tidak percaya cerita Israk Mikraj nabi bermakna menolak Al-Quran.

Adalah sekali terjadi, Cina Lim telah melontarkan pertanyaan mengenai cerita Israk Mikraj itu. Cina Lim telah tanya Tok Bilal Saamah, bagaimana mungkin nabi Muhammad naik ke langit tidak bawa balang oksigen. Macam mana dia bernafas di sana. Pertanyaan Cina Lim itu tidak disenangi amat oleh Tok Bilal Haji Saamah. Bila ada suara-suara ketidakpuasan hati mengenai gelagat Cina Lim itu, Bilal Tok Saamah pun buka cerita pasal pertanyaan tak wajar Cina Lim itu. Lalu, Cina Lim disifatkan cuba mempertikaikan keabsahan kisah Israk Mikraj dan tidak beriman dengan apa yang diceritakan dalam Al-Quran, Surah Al-Israk, ayat 1

Tok Gero kawan baik Cina Lim. Dia cuba mempertahankannya dan menegaskan kepada ahli jemaah Masjid Bulan Mengambang bahawa soal percaya atau tidak kepada kebenaran kisah Israk dan Mikraj itu tidak menjejaskan Cina Lim kerana sememangnya dia seorang kafir yang belum masuk Islam Kerana hujah dan sikap yang ditunjukkan oleh Tok Gero itu, maka Tok Gero pun dituduh sebagai orang suruhan Cina Lim dan tidak cuba mempertahankan Islam. Dari marah kepada Cina Lim, kemarahan dikongsikan kepada ke atas Tok Gero dan rakan-rakan.

Dari situ, bertambahlah berat sangkaan,  bahawa ada yang tidak kena mengenainya Tok Gero. Tok Gero mengamalkan ilmu sihir dalam penyediaan makanan. Dia masukkan perencah tidak halal yang diperolehinya dari kedai Cina Lim.

Kenduri di rumah Tok Penghulu kampung Bulan Mengambang tidak lama lagi. Kepada Tok Penghulu, jemaah masjid kampung Bulan mengambang hantar wakil berbincnag agar pada kali ini bukan lagi Tok Gero memasak nasi dan gulai kawah. Biar sahaja orang lain menjalankan kerja tersebut agar kesejahteraan warga kampung Bulan Mengambang dapat diselamatkan. Habislah Tok Gero dan rakan-rakannya kali ini kerana usul penyingkiran ini datang dari orang-orang masjid sendiri.




No comments: