CARI BAHAN

Tuesday, June 09, 2015

MIMPI DWI PARTI

Dulu, harapan saya pernah berbunga-bunga. Sebuah harapan mengenai bentuk politik baru di bumi Malaysia yang dicintai ini. Malaysia akan ada dua parti politik yang berlumba-lumba merebut sokongan rakyat. Satu parti namanya Barisan Nasional dan satu lagi Pakatan Rakyat. Jika negara ada dua parti sedemikian, rakyat akan jadi pelanggan yang direbutkan. Apa yang rakyat mahu, itulah yang akan jadi usaha kerajaan supaya sokongan rakyat tidak beralih arah kepada lawan. Dalam situasi yang sebegini, pihak yang untung adalah rakyat. Rakyat jadi tuan dan parti-parti politik akan jadi khadam kepada rakyat.

Saya suka sekali jika impian saya itu jadi kenyataan. Barisan Nasional telah lama memerintah dan banyak juga jasanya. Namun, kerana panjangnya masa, para pemimpinnya jadi lupa dan banyak berbuat yang rakyat tidak suka. Mereka rasa tetap selamat dan tiada sesiapa yang boleh berbuat apa-apa ke atas mereka. Mereka berlagak sebagai tuan dan rakyat perlu mengikut apa yang mereka mahu dan bukan mereka yang mengikut kemahuan rakyat.

Ketika Pakatan Rakyat berjaya direncah, dan kekuatan baru mula beraksi dalam arena politik Malaysia, saya rasa gembira. Impian masa depan politik Malaysia berbunga-bunga dalam dada. Aku bangga melihat kemunculan para aktor politik yang cekap dan faqih dalam mencanai ramuan ke arah merealisasikan konsep dwi parti dalam amalan politik demokrasi di Malaysia. Dalam proses menuju kepada kesempurnaan konsep dwi parti yang diharapkan, banyaklah sudah faedah yang dapat rakyat cicipi. Tidak perlu disebut satu demi satu perubahan yang terjadi hasil perlumbaan sihat orang-orang politik.

Bila orang politik yang membodek rakyat saban musim pilihanraya, tahu-tahu sahajalah keistimewaan menjadi seorang rakyat. Banyak projek terpaksa disalurkan untuk rakyat. Kocek rakyat terpaksa dikembungkan dan kocek pemimpin pula mahu tak mahu kenalah dikempiskan. Rakyat pula makin faham dan bijak soal-soal ekonomi negara, pentadbiran, hubungan antara kaum dan macam-macam isu yang sebelum ini tidak terdedah untuk mereka. Rakyat jadi cerdik dan bukan lagi hanya pak turut.

Itu harapan saya dulu. Kini, sebelum harapan saya benar-benar jadi nyata, saya mula ragu-ragu apakah ia akan berhasil sebagaimana yang dimpikan. Melihat cekcok yang terjadi dalam Pakatan Rakyat, saya mula rasa kecewa. Konsep dwi parti yang diharapkan seperti sedang menempa kegagalan dan kehancuran. Parti Pas, DAP dan PKR yang pernah berikrar untuk sederap selangkah melawan Barisan Nasioanl untuk menawan Putrajaya akhirnya mula bertengkar di gerbangnya. Soal siapa yang akan jadi ketua mula diperdebatkan. Kecemburuan dan ketidakpuasan hati tentang pembahagian ghanimah yang terhasil sedikit sebanyak di medan tempur yang lepas, mula mengambil tempatr dalam hati masing-masing. Ia dibiarkan menular dan tidak cuba diselesaikan. Malah dari sifat kepahitan jadamnya ia mula dikulum sebagai halwa.

Isu-isu kecil mula jadi besar. Penat jerih menyerbu hingga ke gerbang Putrajaya mula diganggu persoalan ketentuan Tuhan dan takdir ilahi. Seolah-olah dari akidah Ahli Sunnah yang percaya perlunya usaha ikhtiar, mula beralih kepada iktikad Jabariah yang menyandarkan hanya kepada ketentuan takdir. Akhirnya bergaduh dan bertengkar, riuh bagai kucing jantan berebut kucing betina di waktu dini.

Saya benar-benar hampa dengan kepongahan ini. Saya mahu, janganlah diberatkan perjalanan dengan persoalan-persoalan yang menghasut. Biarlah yang picisan diselesaikan kemudian dan tidak mengganggu fokus. Saya mahu para aktor politik jadi budiman dan bukannya halimunan. Bukan juga selalu geli geleman. Bukan juga berlagak samseng seperti preman.

Kini, setelah melihat tragedi akhir porak perandanya hubungan antara Pas dan DAP khususnya, aku mula membaca "sadaqallah" dan tidak betah lagi menanam harapan wajah politik baru yang diimpikan. Rupanya sehingga tahap ini, aku hanya bermimpi. Maka, kembali sahaja kepada realiti. Lain kali untuk lain generasi, impian dwi parti itu diusahakan lagi. Selagi perjuangan dalam demokrasi jadi pilihan ijtihadi, harapan itu akan tersemat di hati.

No comments: