Aku tidak pasti, berapa ramai lagi yang memendam rasa selepas berakhirnya Muktamar Pas di Kuala Selangor. Seorang bekas penyanyi tersohor, Wan Aisyah binti Wan Arifin telah menolak cubaan Dewan Muslimat yang baharu untuk melantiknya memegang portfolio Kesenian, kebudayaan dan rekreasi dengan sindiran agar lantiklah ustazah dan jangan dicari seekor jeebon. Hatinya memang terluka dan dia percaya bahawa yang melukakannya adalah golongan yang mendakwa diri sebagai ulama dalam Pas. Pas kena akui bahawa banyak orang lari meninggalkannya. Seawal Tamrin Ghafar, kemudian Mohamad Taib yang sedang berkira-kira, kemudian entah siapa lagi. Masa akan mengajar kita dan menyedarkan.
Golongan ulama bukan ada sentuhan Midas. Pas memerlukan para seniman, karyawan, profesional bahkan para pelacur di lorong gelap untuk menjayakan misi perjuangan. Pas tidak cukup dengan lelaki lebat janggut berbalut serban di kepala serta meleret jubah Arab.Itu kerana Pas bukan sebuah kelab tetapi pas adalah sebuah gerakan dakwah dan politik.
Sayangnya apa yang telah meletus pasca muktamar tidak dapat memperlihatkan keterbukaan itu untuk khalayak, khususnya yang baru masuk Pas kerana tertarik atas faktor-faktor yang pelbagai sebelum peristiwa muktamar di Kuala Selangor. Kelukaan para pendatang baru dalam jemaah Pas tidak boleh dipicing mata dengan hati keras bak sebongkah batu karang.
Aku mengesyorkan agar ulama-ulama yang muqarrabin dalam pas balik ke rumah, berkhulwat dalam kamar sebentar dan lepaskan tangisan sepuas-puas. Minta ampun kepada Allah SWT walau tidak tahu apa dosa sendiri. Rayulah agar Allah tautkan kembali hati manusia kepada jemaah Pas. Jangan diambil hati Bani Israil yang mengkarang lebih keras dari batu.
Mereka yang mengkritik Pas jangan disesatkan. Mereka yang mengancam hendak tinggalkan Pas, pujuklah dan tanya apa salah Pas. Jika mereka senarai 100 kesalahan Pas, mengakulah dan minta maaflah walau diri tidak percaya tuduhan kesalahan itu. Biar hati sakit mendengar tuduhan asalkan untuk jangka masa panjang, untung berlipat buat perjuangan.
Kalau hendak tahu, itulah namanya jiwa besar. Jiwa besar menuntut mengecilkan keegoan diri. Ketika orang lain lain ego kita merendah diri, itulah kemuncak jiwa besar. Mampukah kita memilikinya??
No comments:
Post a Comment