Aku sukar menerima dolak dalik yang melarang pemimpin Pas Pulau Pinang untuk melepaskan jawatan lantikan politik mereka di Pulau Pinang. Kononnya Majlis Syura Ulama belum buat keputusan dan ahli Pas tidak boleh mendahulu Majlis Syura Ulama. Usul memutuskan hubungan dengan DAP telah pun dikeluarkan oleh Dewan Ulama Pas Pusat dan ia telah pun sampai ke pendengaran pemimpin DAP. Apabila LGE memberi respon dengan mengatakan pihaknya mengalu-alukan perletakan jawatan para pemimpin Pas dari posisi mereka di Pulau Pinang, dikatakan pula bahawa usul putus hubungan itu belum diputuskan oleh Majlis Syura. Keputusan Majlis Syura bukan penting buat pemimpin DAP. Wala' mereka bukan kepada Majlis Syura Ulama Pas. Pada mereka, cukup dengan usul itu dan mereka tahu bahawa usul itu ada dan diterima oleh muktamar. Diterima tanpa bahas atau dengan bahas juga tidak penting. Apa yang penting, usul itu telah mencabar mereka.
Sekarang nak tunggu apakah keputusan Majlis Syura mengenai usul tersebut. Kononnya usul itu akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama tentang cara perlaksanaannya.
Bandingan mudahnya begini. Dalam hal akidah, bila seseorang itu berkata: "Aku berkira-kira untuk keluar Islam dan masuk Kristian, tapi aku nak bincang dulu dengan isteri aku", maka sebenarnya ungkapan tersebut telah pun menyebabkan penuturnya murtad. Tidak perlu lagi menunggu selesai perbincangannya dengan isterinya. Sekalipun setelah berbincang dengan isterinya dan diputuskan tidak jadi keluar Islam dan masuk Kristian kerana dibantah keras oleh isterinya, dari segi hukum, sang penuturnya telah pun murtad. Dia perlu bertaubat dengan kembali memperbaharui syahadahnya.
Begitulah halnya dengan usul memutuskan hubungan dengan DAP itu. Tak perlu tunggu hasil perbincangan Majlis Syura Ulama. Ketika ia diusulkan dalam muktamar, hubungan itu telah pun putus. Bukan diri sendiri sahaja yang menuntukkan duduk satu-satu perkara. Pihak lain juga punya hak untuk memutuskan. Majlis Syura Ulama Pas bukan pemutus kata untuk kelangsungan hubungan dengan DAP atau Pakatan Rakyat kerana DAP dan PKR juga punya hak dalam melangsung atau menamatkannya.
Apa yang aku nampak, keputusan Dewan Ulama Pas Pusat itu adalah gopoh dan keputusan tidak habis fikir tentang kesan politik daripadanya. Kini, setelah usul itu terbit dan diperbincangkan hangat di media sosial, kerosakan yang terhasil adalah di luar jangkaan. Orang putih kata " Collateral Demages". Nak buat macam mana lagi nak pulihkannya. Mau tidak mahu, demi menjaga maruah diri, langkah perlu diteruskan. Dalam ilmu Allah sudah ditentukan sama ada Pas akan kekal dalam Pakatan atau tidak. Berundur semula belum tentu menyelamatkan diri tetapi maruah jatuh, sudah hampir pasti. Pilih antara dua dan memang ini adalah pilihan yang amat sulit.
No comments:
Post a Comment