CARI BAHAN

Monday, June 29, 2015

Petikan: Kafilah dan serigala meraung.

Kehidupan di pinggir rimba kaki banjaran acap kali diganggu bunyi raungan serigala. Di tengah malam sayup kedengaran sahut menyahut raungan satwa itu sehingga menyentap hulu jantung Darwi Joko. Suara itu menelurkan rasa sendu di hatinya dan mengimbau kenangan-kenangan lampau yang tidak mampu dipadamkan dari kotak kenangannya.

Mahu sahaja dia tidak mengendahkan suara raungan penuh mistik dari gerombolan serigala belantara itu, namun, fikiran acap terganggu. Dia tidak bisa mengambil sikap seperti pepatah " biarkan serigala maraung, kafilah usah menghentikan perjalanan".


Tentu sekali setiap kali Darwi Joko mendengar raungan serigala, dia akan teringat korban-korban yang penuh dihitungnya sewaktu tangkas berburu di rimba raya nan luas di kaki tanah banjaran. Ingatan itu menancap kukuh bagai akar tegal tua yang tumbuh berselirat akar melilit di belakang rumahnya.

( Sekadar petikan daripada buku yang akan terbit satu masa yang entah bila : Kafilah dan serigala meraung)

Cuma Petani.

Taburlah benih di tanah ladang
jangan ditabur dalam terusan
jangan ditebar atas jentani.


Tanah ladang luas saujana
kenapa benih tabur setompok?
sudah setompok, di atas batu pula?

Kita semua petani cuma
kita bukan pun tanah huma
kita menanam mengharap tuaian
kita bukan padi dituai

Biarlah petani memilih tempat
tapak berhuma padi bukit
atau menyemai padi bendang
biar kalau mahu menyubur dusun
atau mengusaha tanaman sayur

Asal jangan ditanam lalang
atau dibiar semak membelukar.

Jangan nanti sampai Ghar-Ghar

Ingin aku berkata
bahawa sakitmu kian tenat
nafasmu pendek-pendek dan dadamu bergelombang
kakimu sudah menyejuk
sebentar lagi nyawamu akan berhenti di ghar-ghar.


Ucapkanlah syahadah
ungkapkanlah taubat nasuhamu
ajaklah perdamaian
buangkan sengketa yang bersenandung
rendahkanlah egomu.

Ketika nyawamu kelak sudah sampai di ghar-ghar
Imanmu tiada berguna lagi
Sesal percuma sahaja
sebelum terlambat
menangislah semahumu

Kau bukan malaikat wali
kau cuma burung kedidi

Jangan ditunggu sampai nyawamu di ghar-ghar
saat iman tidak punya harga lagi.

Daki dahriyyun

Apa yang membinasakan kita? Orang-orang athies percaya bahawa yang membinasakan kita hanyalah masa. Mereka tidak meletakkan Allah sebagai Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Bahkan, mereka menyandarkan kelangsungan dan kepupusan kepada faktor masa.

Perkataan yang menyebutkan "sejarah telah membuktikan bahawa parti serpihan akan mati akhirnya" adalah perkataan yang meletakkan masa sebagai penentu kematian dan kehidupan. Ia tidak layak diucapkan oleh orang mencermati kehidupan seorang yang beriman kepada Allah. Bukankah Allah sahaja yang menentukan hidup dan mati? Bukan masa. Bukan sejarah kerana sejarah juga adalah masa.


Aku terfikir hal ini bila orang sering menjadikan sejarah sebagai sandaran. Ada persamaan dengan kata-kata dahriyyun yang selalu menyandarkan kematian dan kehidupan dengan masa.

Esok hari

Esok hari
kalau aku masih bernafas
dan dunia ini belum kiamat
aku masih seperti biasa.


Mereka yang menyusun bata
lalu meranapkannya semula
biar generasi kemudian
50 tahun lagi
menjadi pengadil bijaksana.

Esok hari
kalau aku masih bernafas
dan dunia belum kiamat
aku masih seperti biasa

Siapa yang menyemai badai
jangan mengharap bayu sepoi-sepoi

esok hari
aku akan lupakan cerita hari ini

Kisah Rimba.

Perjalanan ini
bukan sebuah pelayaran
merentas laut samudera nan bergelombang
berbahtera di bawah nakhoda Malim Kundang
mencari sebuah tanah daratan harapan
buat membina kota impian.


Bukan...bukan...
Ini hanya sebuah perburuan
dalam belantara banyak onak
tak jumpa rusa akar rotan jadi gantinya.

Ini adalah pertualangan kabilah
penghuni rimba luas
mengayau demi sebuah legasi
Tok Batin atau Tuai rumah panjang.

Tiada laut
tiada pelabuhan
tiada bahtera
kerana ini cerita sebuah rimba misteri
Di kaki gunung Siguntang Mahameru.

Friday, June 12, 2015

Mengapa?

Telah runtuh berhala Lata
mengapa dibangunkan patung Hubal?


Ketika khurafat Melayu mulai retak
mengapa khurafat Islam pula dipacak?

Telah diruntuh semangat asobiyyah
Mengapa dibina kebejatan ananiyyah?

Ketika hampir merangkul cita
Mengapapa pula dilepaskan citra?

Ketika sudah di maqam radhiah mardhiah
Mengapalah menjunam ke maqam ammarah?

Tok Gero dan sebuah khilaf ( Bhg 4)

Pada malam itu, diadakan mesyuarat kenduri kerja kawin. Begitulah rutinnya di kampung Bulan Mengambang. Kerana adat bergotong royong masih jadi amalan, kenduri kawin yang hendak diadakan dalam kampung itu akan dimesyuaratkan. Dalam mesyuarat itulah akan dilantik ketua kenduri, penyambut tetamu,  ketua penyanga, ketua bahagian bancuh air, ketua basuh pinggan, ketua balai menghidang dan juga ketua genohok.

Biasanya malam mesyuarat kerja kenduri tak ramai yang datang. Hanya orang yang biasa jadi ketua bahagian kerja kenduri sahaja yang datang. Mereka itulah yang akan dengar hasil mesyuarat dna kemudian akan panjangkan kepada anak buah masing-masing. Pada hari kenduri semuanya sudah faham tugas masing-masing  mengikut arahan ketua yang dilantik.

Tapi, pada malam mesyuarat kerja kenduri kali ini, ramai pula orang datang. Tok Imam dan Tok Bilal juga datang. Padahal, kebiasaannya Tok Imam dan Tok Bilal Haji Saamah tak datang. Dengar khabar latihan berzanji  di masjid malam itu dibatalkan kerana mereka hendak hadir ke msyuarat kerja kenduri. Mereka telah pun maklumkan pembatalah latihan marhaban berzanji itu sejak Jumaat yang lalu lagi. Hari Jumaat, sebelum Tok Imam naik membar baca khutbah, telah dimaklumkan bahawa latihan marhaban dan berzanji minggu itu dibatalkan.

Oleh itu, semua ahli kumpulan berzanji dan marhaban kampung Bulan Mengambang ada dan hadir bersama mesyuarat kerja kenduri.  Lebih mengujakan lagi, Mat Fitan dan kawan-kawannya pun turut hadir pada malam itu. Kebiasaan lepak sambil minum air daun ketum di gerai Lebai Sudin  tidak mereka lakukan pada malam itu. Kerusi-kerusi yang diletakkan bawah khemah yang didirikan tidak cukup untuk semua ahli mesyuarat yang datang. Maka, ada yang sanggup duduk atas rumput di antara kerusi-kerusi yang telah diduduki oleh orang yang hadir.

Mesyuarat pada malam itu dipengerusikan oleh Cikgu Halim. Biasanya kalau mesyuarat kerja kenduri, Cikgu Hamid yang akan bertindak sebagai pengerusi. Cikgu Hamid orang lama. Umurnya pun sudah hampir 60 tahun.  Lagipun dia guru besar di sekolah Kebangsaan Bulan Mengambang. Kepercayaan penduduk kampung Bulan Mengambang terhadapnya sangat tinggi. Cikgu Halim pula masih muda. Baru 45 tahun umurnya. Dia juga bertugas di Sekolah Kebangsaan Bulan Mengambang sebagai guru disiplin.

Cikgu Hamid tidak hadir. Khabarnya  dia terseliuh di buku lali. Waktu dia atas motosikal bersedia  hendak ke kedai dengan cucunya, cucunya telah memulas pedal minyak. Cucunya itu baru umur 2 tahun dan dia duduk di depan dalam raga motosikal. Dalam keandaan tidak dijangka itulah dia memulas pedal minyak motosikal dan akibatnya motosikal cikgu Hamid meluncur tak terkawal. Mereka tersumbat ke celah perdu pokok pisang berdekatan. Cikgu Hamid terseliuh tetapi cucunya tidak apa-apa. Kerana itu, mesyuarat kerja kenduri di rumah Tok Pengulu dikendalikan oleh cikgu Halim.
"Assalamu'alaikum.warahmatullahi wabarakatuh....terima kasih kepada semua yang hadir untuk mensyuarat kerja kenduri pada malam ini....tujuan kita bermesyuarat pada malam ini adalah untuk melantik petugas-petugas ...", cikgu Halim memulakan dengan aluan dan menceritakan tujuan-tujuan mesyuarat pada malam itu.

"Saya cadangkan tugas-tugas selain ketua genohok kekal. Kali ini ketua genohok kita bagi kat orang lain", Mat Fitan tiba-tiba mencelah. Dia mahu mesyuarat malam itu cepat tamat dan tidak suka mendengar celoteh panjang lebar cikgu Halim.

"Setujuu!", cadangan Mat Fitam disokong oleh kumpulan anak muda yang bersamanya.

Tok Gero yang duduk di sebelah Tok Imam diam melihat gelagat Mat Fitan dan kawan-kawannya. Dia nampak benar Mat Fitan tidak suka kepadanya. Sebelum malam ini pun dia telah sering dengar Mat Fitan menghsut agar orang-orang membencinya. Apa yang sampai kpada Tok Gero, Mat Fitanlah yang mula mencetuskan tuduhan bahawa Tok Gero amalkan sihir dalam memasak dan masukkan bahan tak halal dalam makanan.

"Kita telah banyak dengar To Gero buat tak betul masa memasak. Kita kena jaga makanan kita kerana makananlah yang akan menentukan Allah redha kepada kita atau tidak. Jika kita makan makanan yang tidak halal, doa kita tidak diterima Allah", Mat Fitan berhujah seperti seorang penceramah program forum Perdana hal ehwal Islam. Seketika,  dia terlupa bahawa dia saban hari meneguk air daun ketum di gerai Lebai Sudin .

Malam itu, suara yang menyokong penyingkiran Tok Gero jadi majoriti. Tidak sampai sepertiga yang menyokongnya. Lebih dua pertiga yang hadir malam itu mahu Tok Gero ditamatkan khidmatnya sebagai ketua genohok yang telah dipegang olehnya lebih daripada dua dekad. Mereka sudah hilang keyakinan terhadap Tok Gero dan sebagai gantinya mereka mahukan Tok Bilal Haji Saamah bertindak sebagai ketua genohok yang baru

Tok Bilal Haji Saamah pada mulanya terkejut apabila namanya dicadangkan  Dia tidak mahu jadi ketua genohok kerana kepakarannya bukan di genohok tetapi di atas balai. kalau pasal marhaban dan berzanji, dia memang tidak ragu-ragu kebolehannya. tetapi kalau pasal genohok, dia tidak tahu macam mana.  Tetapi, Tok Imam mencuitnya dan bisikan bahawa dia sendiri akan bantu Tok Bilal Hj. Saamah dalam menguruskan kerja-kerja genohok. Ada petugas baru yang bersedia berganding bahu bersamanya.

Akhirnya Tok Bilal Haji Saamah bersetuju dengan lantikan sebagai ketua genohok itu. Mat Fitan dan kawan-kawan girang dan mereka melaungkan nama Tok Bilal Hj. Samah. Mesyuarat selesai malam itu dengan kejayaan misi penyingkiran Tok Gero. Bermula kenduri rumah Tok Penghulu dan kenduri-kenduri seterunya, Tok Gero tidak akan jaga genohok lagi. Tok Bilal Hj. Samah akan ambil alih.

" Demi kesejahteraan makanan tetamu yang hadir", Tok Gero terngiang-ngiang perkataan Tok Bilal Hj. Saamah ketika berucap ringkas menerima lantikan baru itu. Pada Tok Gero, dia tidak kisah kalau khidmatnya sebagai ketua genohok diambil alih orang lain. Itu biasa dan dia pun sudah lama dan penat berlapok di genohok saban kenduri. Tetapi, kalau dia disingkir sebagai ketua genohok dengan tuduhan memasukkan bahan tidak halal dalam makanan, dia sangat terluka.

" Serasakan bagai disimbah cuka getah!", keluh Tok Gero kepada Mat Penyanga sewaktu mereka meninggalkan rumah Tok Penghulu seusai mensyuarat pada malam itu. Setakat ini, kesetiaan Mat Penyanga masih melekat kepadanya. Mat Penyanga masih terpilih sebagai ketua bentara (penyanga), tetapi dia berkira-kira untuk menolak lantikan itu. Tetapi, dalam mesyuarat tadi dia belum terdaya mengucapkan penolakannya. Dia akan maklumkan kemudian kepada cikgu Halim kelak.

(Akan bersambung)


Pendeta berfirasat.

Aku telah bertapa di puncak bukit Qaf
telah meneguk air hakikat dari sungai wali
makrifatku tembus sampai Sidrah Muntaha
sebelum tanya aku sudah ada jawabnya.


Aku tidak perlu sepasang mata
untuk mengetahui rupa dan warna
aku tidak perlu sepasang telinga
untuk mengukur merdu suara
aku tidak perlu otak fikir
naluriku bisa membaca kanvas Luh Mahfuz.

Jangan percaya hukum angka
dua campur dua aku kata tiga
siapa kata empat dia hanya terpedaya
mimpiku adalah nyata
dugaku adalah sebuah sabda.

Aku telah bercinta
dengan Tuhan alam semesta.

Salah

Tunjuk salah
genggam salah


berlunjur salah
bersila pun salah.

bangun berdiri salah
duduk pun salah.

kahwin salah
duda pun salah.

angguk salah
geleng pun salah

Berzanji salah
bernyanyi pun salah.

serba salah
di mana salah?

ILMU ALLAH

Orang berlindung di balik tembok ilmu Allah
Ketika soalan tiada jawapan
Ilmu Allah jadi mampan
ketika jawapan mahu disembunyikan
Ilmu Allah jadi kem pelarian.


Mengapa ketika perut lapar
ditanya bila nak makan
dijawab sekejab lagi
mengapa tidak katakan ia dalam ilmu Allah?

Ilmu Allah bukan jawapan
ia hanya sebuah pelarian.

Bukan zaman aki.

Rajawali sakti terbang nan tinggi
atau burung layang-layang terbang ke sana ke mari
masihkah ada yang peduli
kisah dongeng pari-pari.


Panggil Tok Aki
cucuku mari ke mari
aki nak cerita kisah di zaman bahri
kata cucu aku sedang menonton cerita animasi
dari dalam TV.

Thursday, June 11, 2015

Tok Gero dan sebuah khilaf ( Bhg 3)

Sebelum ini, kalau ada kenduri kendara di kampung Bulan Mengambang, Cina Lim yang berniaga kedai runcit di Pekan Tanjong Rakit akan selalu dijemput. Cina Lim tidak pernah ketinggalan untuk hadir makan kenduri di kampung Bulan Mengambang. Dia sudah betah keluar masuk makan kenduri di kampung Bulan Mengambang. Malahan kekadang, kalau ada kenduri sempena acara keagamaan seperti Israk Mikraj, Nisfu Syaaban atau Maulidur rasul dibuat di masjid kampung Bulan Mengambang, Cina Lim akan cari masa untuk hadir. Selalunya dia bawa kawan-kawan Cinanya dari Pekan Tanjong Rakit. Mereka makan sambil duduk bersila di balai lentang masjid. Melawak dan borak serta ketawa bersama orang kampung Bulan Mengambang. Lepas makan, kalau ada ceramah, Cina Lim luangkan masa duduk bersama-sama menadah telinga.


Keterbukaan Cina Lim disenangi oleh orang kampung Bulan Mengambang. Mereka berdoa agar satu masa nanti Cina Lim akan masuk Islam. Tok Gero dan kawan-kawan tukang masaknya yang paling meraikan Cina Lim bila dia bertandang dalam acara-acara di kampung Bulan Mengambang. Tok Gero juga berharap Cina Lim masuk Islam. Harapan yang sama juga dikongsikan oleh Tok Imam hatta tok Penghulu kampung. Sejak Cina Lim rajin hadir program-program di kampung Bulan Mengambang, banyaklah orang kampung berbicara tentang dakwah bilhikmah mal mau'izoh hasanah.  Di masjid kampung Bulan Mengambang, Tok Imam pun tekankan hal yang sama dalam kuliah-kuliah maghrib dan subuhnya. Subjek dakwah jadi topik perbualaan menarik.

Namun, kadang-kadang ada juga masalah bila nak tegakkan dakwah bilhikmah walmau'izoh hasanah. Cakap tidak semudah kata. Manusia dipandu oleh akal dan perasaan. Dua unsur itu selalu berlumba dalam diri. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Walaupun soal bangsa Melayu dan Cina bukan lagi hal yang diperkirakan oleh orang-orang kampung Bulan Mengambang, kadang-kadang ada juga digusarkan oleh kumpulan budak muda lepak dari kampung Bulan Mengambang. Ia bermula dengan menimbulkan persoalan hukum kalau Cina Lim masuk masjid.

"Cina Lim tu kan tak mandi junub, macam mana Tok Imam boleh bagi dia masuk masjid kita?' Mat Fitan sering menghasut dan menimbulkan keraguan di kalangan ahli kelab Daun Ketom yang bermarkas di kedai makan Lebai Sudin di simpang jalan Pekan Tanjong Rakit. Mereka amat berbulu mata melihat CinaLim berbaik-baik dengan orang kampung Bulan Mengambang.

Perasaan tidak senang Mat Fit dan kawan-kawannya yang selalu melepak di Kelab Daun Ketom  itu lama-lama merayap ke gelung rasa sesetengah orang-orang lama di kampung Bulan Mengambang. Akhirnya menjadi perdebatan pula di kalangan jemaah masjid Kampung Bulan Mengambang. Seruan agar menegakkan dakwah bilhikmah wal mauizoh hasanah  seperti yang sering diwiridkan oleh Tok Imam sudah mula dipersoalkan kesahihannya oleh sesetengah anggota Jemaah Masjid.

Ada cerita-cerita yang diriwayatkan entah dari perawi mana, bahawa Cina Lim masa dia duduk dengar ceramah Israk Mikraj hari itu,  dia suka berbisik-bisik dengan rakan Cina yang ikut bersamanya  sambil ketawa. Bisik dan ketawa itulah yang  menimbulkan tandatanya di kalangan ahli jemaah dengan sangkaan bahawa dia mempersendakan cerita Israk Mikraj. Dia tidak percaya apa yang diceritakan sedangkan tidak percaya cerita Israk Mikraj nabi bermakna menolak Al-Quran.

Adalah sekali terjadi, Cina Lim telah melontarkan pertanyaan mengenai cerita Israk Mikraj itu. Cina Lim telah tanya Tok Bilal Saamah, bagaimana mungkin nabi Muhammad naik ke langit tidak bawa balang oksigen. Macam mana dia bernafas di sana. Pertanyaan Cina Lim itu tidak disenangi amat oleh Tok Bilal Haji Saamah. Bila ada suara-suara ketidakpuasan hati mengenai gelagat Cina Lim itu, Bilal Tok Saamah pun buka cerita pasal pertanyaan tak wajar Cina Lim itu. Lalu, Cina Lim disifatkan cuba mempertikaikan keabsahan kisah Israk Mikraj dan tidak beriman dengan apa yang diceritakan dalam Al-Quran, Surah Al-Israk, ayat 1

Tok Gero kawan baik Cina Lim. Dia cuba mempertahankannya dan menegaskan kepada ahli jemaah Masjid Bulan Mengambang bahawa soal percaya atau tidak kepada kebenaran kisah Israk dan Mikraj itu tidak menjejaskan Cina Lim kerana sememangnya dia seorang kafir yang belum masuk Islam Kerana hujah dan sikap yang ditunjukkan oleh Tok Gero itu, maka Tok Gero pun dituduh sebagai orang suruhan Cina Lim dan tidak cuba mempertahankan Islam. Dari marah kepada Cina Lim, kemarahan dikongsikan kepada ke atas Tok Gero dan rakan-rakan.

Dari situ, bertambahlah berat sangkaan,  bahawa ada yang tidak kena mengenainya Tok Gero. Tok Gero mengamalkan ilmu sihir dalam penyediaan makanan. Dia masukkan perencah tidak halal yang diperolehinya dari kedai Cina Lim.

Kenduri di rumah Tok Penghulu kampung Bulan Mengambang tidak lama lagi. Kepada Tok Penghulu, jemaah masjid kampung Bulan mengambang hantar wakil berbincnag agar pada kali ini bukan lagi Tok Gero memasak nasi dan gulai kawah. Biar sahaja orang lain menjalankan kerja tersebut agar kesejahteraan warga kampung Bulan Mengambang dapat diselamatkan. Habislah Tok Gero dan rakan-rakannya kali ini kerana usul penyingkiran ini datang dari orang-orang masjid sendiri.




Tok Gero dan sebuah khilaf.( Bhg 2)

Di pekan Tanjung Rakit, Cina Lim berniaga kedai runcit. Sudah lama dia berniaga di situ. Dari zaman ayahnya hinggalah ke zamannya, kedai runcit itulah tempat dia menyara hidupnya. Ada pasang surut perniagaan. Waktu zaman Jepun dulu, kedai ayahnya pernah dibakar oleh Jepun. Masa itu ayahnya berniaga di tempat lain. Bukan di Pekan Tanjong rakit.  Bila zaman gawat itu sudah berlalu dan negara pun sudah merdeka barulah ayah Lim telah memulakan perniagaann di Pekan Tanjong Rakit.

Kedudukan Pekan Tanjong Rakit itu tidaklah berapa jauh dari kampung Bulan Mengambang. Orang-orang Melayu yang menjadi penghuni tradisi di kampung Bulan Mengambang selalu juga turun ke Pekan Tanjung rakit kalau ada keperluan untuk mendapatkan barang-barang harian. Ada beberapa kedai di sana tetapi kedai Lim sahaja yang maju ke depan. Itu kerana Lim pandai melayan pelanggannya dan suka membantu orang-orang Melayu yang datang ke kedainya. Dia tidak pilih bulu. Kedai-kedai Cina yang lain di Pekan Tanjong Rakit itu pandai tengok pelanggan juga. kalau pelanggannya orang ternama dari kampung-kampung sekitar, layanan istimewalah diberikan. Sebab itu, lama-kelamaan kedai runcit selain mereka mula lingkup. Yang masih tinggal, nyawa-nyawa-ikan sahaja.

Tok Gero berkawan baik dengan Lim. Mereka ada sejarah manis yang mentautkan hati mereka. Menurut cerita Tok Gero, dia dan Lim pernah berjuang bersama-sama menentang Komunis pada zaman sebelum merdeka dulu. Tok Gero juga selalu bercerita perjuangannya bersama-sama dengan pahlawan belantara yang lain, termasuk orang-orang Melayu yang bangkit melawan komunis. di antara nama yang selalu meniti di bibir Tok Gero adalah Mat Indera yang dituduh oleh British sebagai komunis. 

Perjuangan dan masa-masa sukar itulah yang membuatkan Tok Gero dan Lim jadi rapat. Setelah merdeka , Inggeris pernah membuat tipudaya politik sehingga Tok Gero dan Lim ditangkap dan dipenjara. Ramai lagi Melayu  seangkatan Tok Gero ditangkap dan dipenjara.Kalau hendak disenaraikan segala mehnah dan kepayahan Tok Gero, memang tiadalah tertanding oleh mana-mana  penduduk kampung Bulan Mengambang yang masih hidup. Orang yang pernah masuk penjara bersamanya ramai yang sudah arwah. Kalau ada pun, beberapa orang dari penduduk kampung lain.

Melalui pengalaman yang getir itulah membuatkan Tok Gero berhati kental. Hidup dalam hutan belantara dengan segala kesusahannya membuatkan Tok Gero belajar  banyak perkara. Kemahiran memasak makanan untuk makan jumlah yang ramai itu pun dipelajarinya masa dalam hutan berjuang menentang Inggeris bersama komunis. Orang pernah syak Tok Gero komunis kerana punya sejarah perjuangan bersama komunis. Warga kampung lain pernah menggunjing Tok Gero sebagai seornag komunis tetapi ketika itui penduduk kampung Bulan Mengambang sangat percaya dan mengkagumi Tok Gero. Fitnah dan dan tuduhan bahawa dia seornag komunis tidak makan. Cerita itu akhirnya tamat begitu sahaja.

" Tok, apa yang dimenungkan nih?", Tok Gero tiba-tiba disergah Mat Penyanga. Hari itu kenduri di sebuah rumah hujung kampung . Tok Gero jadi tukang masak lagi macam sudah-sudah juga. Rakan-rakannya turut membantu.Tapi perasaan Tok Gero tidak enak. Dia ada mendengar doa Lebai Su berdoa lepas selesai majlis berzanji dan marhaban sebelah pagi tadi. Lebai Su memang pandai baca doa. Doanya selalu mendayu-dayu dan panjang pula. Cuma doa yang dibaca tadi terasa macam kena ke atasnya. Dalam doanya, Lebai Su minta kepada Allah pelihara mulut mereka dari makan makana yang tidak halal dan minta dijauhkan dari sihir jahat manusia. Tok Gero rasa macam Lebai Su sengaja nak kata kepadanya sebab beberapa hari sebelum ini orang sudah mengumpatnya bahawa dia tukang masak sihir yang campur bahan kotor dalam kawah. 

"Kau ada dengar doa Lebai Su tadi? ", tanya Tok Gero kepada Mat Penyanga yang duduk bertinggung atas tunggul mempelam mati di sebelah kiri Tok Gero.

"Apa tidaknya, semua orang dengar, dah pakai speaker, memang sah dia nak kata kat Tok", Mat Penyaga seperti membakar hati Tok Gero. Bibirnya digetapkan dan  matanya dipicingkan. Tok gero buat-buat tenang. Sebagai orang tua, dia tak mahu dilihat orang semuda Mat Penyaga sebagai orang tua yang mudah melatah.

(Akan bersambung)

Wednesday, June 10, 2015

Tok Gero dan sebuah khilaf.( Bhg 1)


Di kampung Bulan Mengambang, orang buat kenduri secara gotong royong. Kerja-kerja kenduri kendara pelbagai dan semua orang tolong menolong untuk menjayakan majlis. Bahagian pasang khemah, susun kerusi meja, pacak bunga manggar di simpang jalan, angkut pinggan, mangkuk, periuk dan kawah, masing-masing ada orangnya. Ada pula bahagian marhaban dan berzanji, hiasan bilik pengantin dan sebagainya. Kalau bahagian marhaban dan berzanji, tentulah dikendalikan oleh lebai-lebai yang dipimpin oleh imam kampung Bulan Mengambang. Kepandaian mereka bermarhaban dan berzanji terkenal hingga kampung-kampung semberang. Selalu jugalah mereka dipanggil untuk acara marhaban dan berzanji di kampung luar.

Adapun di bahagian belakang rumah kenduri kawin, ada Tok Gero dan pasukannya yang bertugas memasak dalam kawah untuk makanan tetamu-tetamu yang datang. Tugas mereka memang penting kerana semua orang yang datang kenduri memang hendak makan. Orang tidak dapat dengar alunan marhaban dan berzanji tidak mengapa, tapi kalau tidak dapat makan, tentu akan kecewa.

Begitulah keutamaan tugas Tok Gero dan pasukannya. Gelaran Tok Gero itu orang berikan kepada ketua bahagian masak memasak di rumah kenduri kahwin. Sudah termasyhurlah kehebatan masakan Tok Gero dan pasukannya di kampung Bulan Mengambang. Maklumlah, pengalaman memasak bukan setahun dua. Sudah berpuluh tahun dia bergelumang dengan tugas masak memasak.

Masakan Tok Gero dipuji ramai orang. Orang-orang kampung Bulan Mengambang memang sayang kepada aset mereka yang satu itu. Ramai tetamu yang suka datang makan kenduri di kampung Bulan Mengambang kerana ingin mencicipi enaknya masakan Tok Gero.

Bukan Tok Gero masak seorang. Dia dibantu oleh kawan-kawannya. Namun, rahsia menu dan kesedapannya ada pada Tok Gero. Ramai yang curi-curi tengok tapi tak dapat semua rahsia hebatnya masakan Tok Gero.

Kehebatan masakan Tok Gero jadi buah mulut. Hairan jua sesetengah orang di dalam kampung kenapa Tok Gero dipuji masakannya. Ada yang mengandaikan yang bukan-bukan. Sesetengah kata Tok Gero curi menu restoran terkenal luar negara. Ada yang kata Tok Gera ada menu warisan nenek moyangnya. Tapi dalam banyak-banyak andaian, ada yang menyimpan syak wasangka bahawa Tok Gero mengamalkan sihir. Ditambah pula ada yang mengatakan dia memasukkan bahan yang tidak halal dalam masakan dan jamu seluruh tetamu.

Mula-mula tuduhan Tok Gero mengamalkan sihir dalam masakan tidak berapa diendahkan orang. Ia hanya desas desus yang berlegar di kalangan budak-budak muda yang tidak senang hati dengan Tok Gero kerana faktor-faktor psikologi dan sentimen. Tetapi, lama kelamaan bisikan itu mula celapak naik hingga ke atas beranda rumah. Akhirnya ahli kumpulan marhaban yang diketua oleh Tok Imam kampung pun mula percaya walau masih samar-samar.

Satu tindakan perlu diambil. Kemaksiatan yang Tok Gero buat perlu dihentikan. Apakah kemaksiatan yang lebih besar daripa kesyirikan? Demikianlah penegasan Tok Imam bila soal Tok Gero itu dibincangkan dengannya. Baik di masjid atau di kedai kopi.Mencapumrkan bahan sihir dalam masakan untuk dijamu orang adalah sebuah kesyirikan. Demikian Tok Imam kampung bulan Mengambang bermadah kepada anak buah.

Tok Gero bukan tak tahu apa yang dibualkan orang mengenainya. Dia buat tak tahu sahaja. Dia ingat lama-lama berhentilah orang mengata. Tapi, Tok Gero silap. Silap perkiraan sehinggalah satu hari. Hari yang mencatatkan sejarah hitam dan luka tragis dalam hidupnya.

(Akan bersambung)

Maafkan kami, kami khilaf!

Aku tidak perlu menulis dengan bahasa yang lurus kerana tulisanku adalah untuk pembaca yang cerdik. Sesiapa yang tidak faham, biarlah dia tidak faham. Siapa faham, fahamlah apa yang mampu difaham. Aku tidka mahu mengubah kefahaman yang difahamkan dari tulisanku.

Hari itu, aku dengar pakcik itu dituduh  minum arak. Orang marah sekali kepada makcik itu. Mereka ramai-ramai tangkap pakcik itu dan dipermalukan. Dia dibawa ke dapan hakim dan dijatuhkan hukuman sebat 40 kali. Al-Maklum, undang-undang hudud berjalan dalam negeri itu.

Setelah berlalu masa, orang dapat tahu cerita sebenar. Pakcik itu hanya minum air sejuk tapi dalam gelas yang ada tulis Calsberg di luar gelas. Tujuan pakcik itu minum air sejuk dalam gelas itu adalah kerana gelas-gelas lain tiada di rumahnya. Kebetulan waktu dia minum itulah orang ternampak. Maka, dituduhnya pakcik itu minum calsberg. 

" Kami minta maaf, kami khilaf dan kami harap Pakcik boleh bantu kami jadi tukang masak kenduri kahwin rumah Tok Imam nanti. Kami tidak pandai masak untuk jumlah yang banyak. pakcik ada pengalaman luas....tolong kami pakcik".

Pakcik rasa simpati kepada mereka. Nampak benar mereka susah kerana pengalaman mereka semua itu belum ada pengalaman jadi tok gero. Namun, hati pakcik sudah luka dan dia cukup merasa serik  dengan telatah mereka pada hari dia di'cis'kan keluar dari majlis kenduri besar hari itu.

Ke mana Banker itu??

Di antara musibah penting buat Pas selepas Muktamar kali ini ialah Pas kehilangan sebahagian besar "banker"nya. Sebagai sebuah parti yang asalnya miskin, Pas membangunkan aset serta gerakerja perjuangannya hasil daripada sumbangan para penyokong. Termasuk yang menyumbang untuk Pas adalah para hartawan dna dermawan yang menaruh keyakinan terhadap perjuangan Pas sebagai sebuah amal fi sabililah. Namun, sumbangan mereka bukan atas dasar Pas semata-mata, tetapi kerana suka dan tertarik dengan gaya kepimpinan pemimpin tertentu dalam Pas.

Kalau tidak mahu terima kenyataan ini tidak mengapa. Mungkin ada yang akan mengatakan Pas akan terus mendapat sumbangan dan derma daripada ahli. Infaq akan berjalan terus. Kutipan derma akan dilancarkan saban ceramah. Mekanisma baru akan dibuat dari semasa ke semasa untuk menggalakkan sumbangan dan derma kepada Pas. Jika demikian disangkakan, tidak mengapa. Kita kena tunggu dan lihat.

Masa saya melakukan perjalanan bermuktamar dengan Ust. Nasir Zakaria baru-baru ini, kami berkesempatan bertemu dengan seorang "banker" Pas. Dia belanja kami makan nasi beriani di sebuah restoran di Syah Alam. Nampaknya, dia resah dan kecewa dengan perkembangan Pas. Dia melahirkan kerisauan perkembangan yang memang sudah diramalkannya akan menyingkarkan tuntas sahabat-sahabatnya yang merupakan profesional dalam Pas. Ada satu benda yang dia rumuskan dengan penuh yakin mengenai pemilihan kali ini. Namun 'benda' itu aku tidak akan sebutkan secara dalam catatan ini. Cukuplah aku tulis sebagai "St M & U. Satu masa kelak, mungkin boleh diulang kembali apa yang "banker" itu telah sebutkan apabila kenyataan sudah terpampang di depan mata.

Aku banyak bersembang dengan orang mengenai perkembangan politik Pas untuk mendapat imput buat menambah kecerdikan politik. Mereka yang aku borak selalu berkata bahawa lepas ni ceramah pas sudah tidak laku. Bila orang sudah tidak datang berkerumun ceramah pas macam dulu, macam mana nak kutip derma. Tiada derma, nak masuk pilihanraya pun sakit . Manakan lagi nak urus markas, sekolah dan aset-aset ghairu manqul pas yang bersepah di seluruh negara. Sebelum ini, yang menjadi ayam sabung Pas ialah orang-orang seperti Mat Sabu, Dr. Hatta, Dr. Zulkifli dan ramai profesional yang tersingkir. 

Secara peribadi, para profesional Pas itu ada tangan-tangan  ghaib di belakang mereka yang menyalurkan dirham dan dinar untuk melicinkan perjuangan. Selepas mereka tiada, jangan disangka tangan-tangan ghaib itu akan terus menyalurkan dinar dan dirham kepada AJK Pas Pusat yang baru. Kecualilah kalau para AJK Pas Pusat yang baru itu juga ada "banker" sendiri yang lebih hebat. Nak kata tiada pun tidak boleh. Cuma besar dan kecil yang membezakan barangkali. Kalau orang seperti Mukhtar Senik, Nasruddin Hasan, Sanusi dan Dr. Zuhdi (sekadar menyebut yang aku ingat) itu ada "banker"nya, syukurlah. Kalau begitu Pas masih banyak duit selepas ini.

Jangan kata duit itu datang dari Allah. Allah akan bagi kepada orang-orang yang berjuang untuk Islam. Itu memang ramai orang sudah faham. Aku pun faham. Siru Ala barkatillah.

Kilas menyelamatkan diri






Dia pukul aku tapi dia yang menangis. Dia mendahului aku tapi dia yang mengadu (dianiaya).


Kata-kata di atas adalah sebuah misalan yang berasal dari Syria. Maksudnya misalan tersebut ialah seseorang menjadi punca satu masalah, tetapi akhirnya dituduh orang lain yang menjadi puncanya. Kesalahan diri tidak diakui tetapi orang lain yang disalahkan.Ketika berlaku masalah akibat kelancangan diri, maka telunjuk pun dituding kepada orang lain.

Misalan ini mengajar kita supaya jangan asyik menyalahkan orang. Orang mulia ialah mengaku salah dan meminta maaf. Bukan mengkambinghitamkan orang lain. Setelah melempar batu, jangan sembunyi tangan. Setelah conteng dinding jangan cuci tangan dan kemudian buat tak tahu. Ini bukan sifat orang mulia.

Orang mulia suka mengaku salah dan minta maaf. Minta maaf tidak jatuhkan martabat diri. Akan tetapi berperangai seperti dalam misalan di atas itulah yang menjatuhkan martabat diri.

Membalas kebodohan dengan kebijakan.

Kata ahli hikmah, jadilah seperti pokok yang berbuah. Orang lempar kayu, dibalasnya dengan buah. Jangan jadi seperti dinding, bola dibaling ke arahnya, dilantunkannya kembali.Ertinya kebiadapan dibalas dengan kesantunan. Dalam Quran pun mengajar hal yang sama. Ketika diterangkan hak untuk membalas perbuatan orang yang menzalimi kita dengan tindakan yang sama, Allah memberikan pilihan yang lebih baik daripada pembalasan. Itulah Al-Afwu iaitu kemaafan.


Memang fikiran kita telah pun sarat dengan hikmah pujangga yang sedemikian. Tinggal lagi apakah mampu kita laksanakannya.

Kerana emosi, kita gagal menegakkan kebijakan yang disarankan. Kalau orang tampar kita, kita pun melatah dan tampar dia balik. Kita pun dengan dengan bangga akan berkata: "Jangan main-main denganku. Bukan kamu sahaja ada tapak tangan. Aku pun ada". Bahkan, kekadang kita membalas dua kali tamparan atas satu tamparan yang kita dapat.

Sebenarnya, kita tidak dapat mengalahkan manusia lain dengan cara itu. Kalau pun cara membalas dengan tindakan serupa itu dibolehkan, ia sepatutnya menjadi pilihan terakhir setelah semua jalan dan kebijakan telah terkunci rapat.

Tuesday, June 09, 2015

Jiwa Besar

Aku tidak pasti, berapa ramai lagi yang memendam rasa selepas berakhirnya Muktamar Pas di Kuala Selangor. Seorang bekas penyanyi tersohor, Wan Aisyah binti Wan Arifin telah menolak cubaan Dewan Muslimat yang baharu untuk melantiknya memegang portfolio Kesenian, kebudayaan dan rekreasi dengan sindiran agar lantiklah ustazah dan jangan dicari seekor jeebon. Hatinya memang terluka dan dia percaya bahawa yang melukakannya adalah golongan yang mendakwa diri sebagai ulama dalam Pas. Pas kena akui bahawa banyak orang lari meninggalkannya. Seawal Tamrin Ghafar, kemudian Mohamad Taib yang sedang berkira-kira, kemudian entah siapa lagi. Masa akan mengajar kita dan menyedarkan.

Golongan ulama bukan ada sentuhan Midas. Pas memerlukan para seniman, karyawan, profesional bahkan para pelacur di lorong gelap untuk menjayakan misi perjuangan. Pas tidak cukup dengan lelaki lebat janggut berbalut serban di kepala serta meleret jubah Arab.Itu kerana Pas bukan sebuah kelab tetapi pas adalah sebuah gerakan dakwah dan politik. 

Sayangnya apa yang telah meletus pasca muktamar tidak dapat memperlihatkan keterbukaan itu untuk khalayak, khususnya yang baru masuk Pas kerana tertarik atas faktor-faktor yang pelbagai sebelum peristiwa muktamar di Kuala Selangor. Kelukaan para pendatang baru dalam jemaah Pas tidak boleh dipicing mata dengan hati keras bak sebongkah batu karang. 

Aku mengesyorkan agar ulama-ulama yang muqarrabin dalam pas balik ke rumah, berkhulwat dalam kamar sebentar dan lepaskan tangisan sepuas-puas. Minta ampun kepada Allah SWT walau tidak tahu apa dosa sendiri. Rayulah agar Allah tautkan kembali hati manusia kepada jemaah Pas. Jangan diambil hati Bani Israil yang mengkarang lebih keras dari batu.

Mereka yang mengkritik Pas jangan disesatkan. Mereka yang mengancam hendak tinggalkan Pas, pujuklah dan tanya apa salah Pas. Jika mereka senarai 100 kesalahan Pas, mengakulah dan minta maaflah walau diri tidak percaya tuduhan kesalahan itu. Biar hati sakit mendengar tuduhan asalkan untuk jangka masa panjang, untung berlipat buat perjuangan. 

Kalau hendak tahu, itulah namanya jiwa besar. Jiwa besar menuntut mengecilkan keegoan diri. Ketika orang lain lain ego kita merendah diri, itulah kemuncak jiwa besar. Mampukah kita memilikinya??

Syair kuali kepada belanga.

Kata kuali kepada belanga
hitam sekali pantat hangpa
dibakar api diasap jelaga
hilang seri tiada berupa.

Kuali hairan rupa belanga
disangka belanga bernasib celaka
di atas tungku dok buat apa
biar diri dibakar sentiasa.

LIDDUNYA YUSIBUHA.

Orang kata kau cinta dunia
Kau kata dunia yang datang menyerah
Kala duniamu akan sirna
Mengapa lepaskan terasa payah?


Katamu dunia bukan tujuan
Hanya mengharap redha Tuhan
Kenapa bila datang ujian
Kamu takut hilang habuan.

bisa sahaja musang berbalong
Di depan reban berkokok rambung
Bila reban pintu terlohong
Perangai musang tak dapat dibendung.

Tolak dunia bukan di lidah
Cinta akhirat bahasa indah
Diungkap lidah memang mudah
Untuk dibuktikan memang payah.

MIMPI DWI PARTI

Dulu, harapan saya pernah berbunga-bunga. Sebuah harapan mengenai bentuk politik baru di bumi Malaysia yang dicintai ini. Malaysia akan ada dua parti politik yang berlumba-lumba merebut sokongan rakyat. Satu parti namanya Barisan Nasional dan satu lagi Pakatan Rakyat. Jika negara ada dua parti sedemikian, rakyat akan jadi pelanggan yang direbutkan. Apa yang rakyat mahu, itulah yang akan jadi usaha kerajaan supaya sokongan rakyat tidak beralih arah kepada lawan. Dalam situasi yang sebegini, pihak yang untung adalah rakyat. Rakyat jadi tuan dan parti-parti politik akan jadi khadam kepada rakyat.

Saya suka sekali jika impian saya itu jadi kenyataan. Barisan Nasional telah lama memerintah dan banyak juga jasanya. Namun, kerana panjangnya masa, para pemimpinnya jadi lupa dan banyak berbuat yang rakyat tidak suka. Mereka rasa tetap selamat dan tiada sesiapa yang boleh berbuat apa-apa ke atas mereka. Mereka berlagak sebagai tuan dan rakyat perlu mengikut apa yang mereka mahu dan bukan mereka yang mengikut kemahuan rakyat.

Ketika Pakatan Rakyat berjaya direncah, dan kekuatan baru mula beraksi dalam arena politik Malaysia, saya rasa gembira. Impian masa depan politik Malaysia berbunga-bunga dalam dada. Aku bangga melihat kemunculan para aktor politik yang cekap dan faqih dalam mencanai ramuan ke arah merealisasikan konsep dwi parti dalam amalan politik demokrasi di Malaysia. Dalam proses menuju kepada kesempurnaan konsep dwi parti yang diharapkan, banyaklah sudah faedah yang dapat rakyat cicipi. Tidak perlu disebut satu demi satu perubahan yang terjadi hasil perlumbaan sihat orang-orang politik.

Bila orang politik yang membodek rakyat saban musim pilihanraya, tahu-tahu sahajalah keistimewaan menjadi seorang rakyat. Banyak projek terpaksa disalurkan untuk rakyat. Kocek rakyat terpaksa dikembungkan dan kocek pemimpin pula mahu tak mahu kenalah dikempiskan. Rakyat pula makin faham dan bijak soal-soal ekonomi negara, pentadbiran, hubungan antara kaum dan macam-macam isu yang sebelum ini tidak terdedah untuk mereka. Rakyat jadi cerdik dan bukan lagi hanya pak turut.

Itu harapan saya dulu. Kini, sebelum harapan saya benar-benar jadi nyata, saya mula ragu-ragu apakah ia akan berhasil sebagaimana yang dimpikan. Melihat cekcok yang terjadi dalam Pakatan Rakyat, saya mula rasa kecewa. Konsep dwi parti yang diharapkan seperti sedang menempa kegagalan dan kehancuran. Parti Pas, DAP dan PKR yang pernah berikrar untuk sederap selangkah melawan Barisan Nasioanl untuk menawan Putrajaya akhirnya mula bertengkar di gerbangnya. Soal siapa yang akan jadi ketua mula diperdebatkan. Kecemburuan dan ketidakpuasan hati tentang pembahagian ghanimah yang terhasil sedikit sebanyak di medan tempur yang lepas, mula mengambil tempatr dalam hati masing-masing. Ia dibiarkan menular dan tidak cuba diselesaikan. Malah dari sifat kepahitan jadamnya ia mula dikulum sebagai halwa.

Isu-isu kecil mula jadi besar. Penat jerih menyerbu hingga ke gerbang Putrajaya mula diganggu persoalan ketentuan Tuhan dan takdir ilahi. Seolah-olah dari akidah Ahli Sunnah yang percaya perlunya usaha ikhtiar, mula beralih kepada iktikad Jabariah yang menyandarkan hanya kepada ketentuan takdir. Akhirnya bergaduh dan bertengkar, riuh bagai kucing jantan berebut kucing betina di waktu dini.

Saya benar-benar hampa dengan kepongahan ini. Saya mahu, janganlah diberatkan perjalanan dengan persoalan-persoalan yang menghasut. Biarlah yang picisan diselesaikan kemudian dan tidak mengganggu fokus. Saya mahu para aktor politik jadi budiman dan bukannya halimunan. Bukan juga selalu geli geleman. Bukan juga berlagak samseng seperti preman.

Kini, setelah melihat tragedi akhir porak perandanya hubungan antara Pas dan DAP khususnya, aku mula membaca "sadaqallah" dan tidak betah lagi menanam harapan wajah politik baru yang diimpikan. Rupanya sehingga tahap ini, aku hanya bermimpi. Maka, kembali sahaja kepada realiti. Lain kali untuk lain generasi, impian dwi parti itu diusahakan lagi. Selagi perjuangan dalam demokrasi jadi pilihan ijtihadi, harapan itu akan tersemat di hati.

Collateral Demages

Aku sukar menerima dolak dalik yang melarang pemimpin Pas Pulau Pinang untuk melepaskan jawatan lantikan politik mereka di Pulau Pinang. Kononnya Majlis Syura Ulama belum buat keputusan dan ahli Pas tidak boleh mendahulu Majlis Syura Ulama. Usul memutuskan hubungan dengan DAP telah pun dikeluarkan  oleh Dewan Ulama Pas Pusat dan ia telah pun sampai ke pendengaran pemimpin DAP. Apabila LGE memberi respon dengan mengatakan pihaknya mengalu-alukan perletakan jawatan para pemimpin Pas dari posisi mereka di Pulau Pinang, dikatakan pula bahawa usul putus hubungan itu belum diputuskan oleh Majlis Syura. Keputusan Majlis Syura bukan penting buat pemimpin DAP. Wala' mereka bukan kepada Majlis Syura Ulama Pas. Pada mereka, cukup dengan usul itu dan mereka tahu bahawa usul itu ada dan diterima oleh muktamar. Diterima tanpa bahas atau dengan bahas juga tidak penting.  Apa yang penting, usul itu telah mencabar mereka.

Sekarang nak tunggu apakah keputusan Majlis Syura mengenai usul tersebut. Kononnya usul itu akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama tentang cara perlaksanaannya.

Bandingan mudahnya begini. Dalam hal akidah, bila seseorang itu berkata: "Aku berkira-kira untuk keluar Islam dan masuk Kristian, tapi aku nak bincang dulu dengan isteri aku", maka sebenarnya ungkapan tersebut telah pun menyebabkan penuturnya murtad. Tidak perlu lagi menunggu selesai perbincangannya dengan isterinya. Sekalipun setelah berbincang dengan isterinya dan diputuskan tidak jadi keluar Islam dan masuk Kristian kerana dibantah keras oleh isterinya, dari segi hukum, sang penuturnya telah pun murtad. Dia perlu bertaubat dengan kembali memperbaharui syahadahnya.

Begitulah halnya dengan usul memutuskan hubungan dengan DAP itu. Tak perlu tunggu hasil perbincangan Majlis Syura Ulama. Ketika ia diusulkan dalam muktamar, hubungan itu telah pun putus. Bukan diri sendiri sahaja yang menuntukkan duduk satu-satu perkara. Pihak lain juga punya hak untuk memutuskan. Majlis Syura Ulama Pas bukan pemutus kata untuk kelangsungan hubungan dengan DAP atau Pakatan Rakyat kerana DAP dan PKR juga punya hak dalam melangsung atau menamatkannya.

Apa yang aku nampak, keputusan Dewan Ulama Pas Pusat itu adalah gopoh dan keputusan tidak habis fikir tentang kesan politik daripadanya. Kini, setelah usul itu terbit dan diperbincangkan hangat di media sosial, kerosakan yang terhasil adalah di luar jangkaan. Orang putih kata " Collateral Demages". Nak buat macam mana lagi nak pulihkannya. Mau tidak mahu, demi menjaga maruah diri, langkah perlu diteruskan. Dalam ilmu Allah sudah ditentukan sama ada Pas akan kekal dalam Pakatan atau tidak. Berundur semula belum tentu menyelamatkan diri tetapi maruah jatuh, sudah hampir pasti. Pilih antara dua dan memang ini adalah pilihan yang amat sulit.

Syura ِAkbar

Pada zaman nabi, tiada muktamar. Muktamar ini istilah kemudian hari. Tidak tahulah kalau ada muktamar di zaman Khalifah Ar-Rasyidin. Setahu aku tiada. Demikian pada zaman-zaman pemerintahan khalifah-khalifah berikutnya dalam dinasti yang mewarisi kekuasaan yang menerajui pemerintahan kaum muslimin. Pada sangkaanku, muktamar hanya diwujudkan bila gerakan Islam mula ditubuhkan dan mengorak langkah sebagai daya baru dalam negara kaum muslimin.

Gerakan Islam melahirkan banyak produk hasil daripada ijtihad baru dalam gerakerja Islami. Muktamar adalah salah satunya. Usrah, Tamrin, Syu'bah-syu'bah yang beraneka dan termasuklah juga Majlis Syura. semua ini adalah produk baru dan lama bila amal Islami digerakkan dalam bentuk jemaah dan harakah Islamiyyah.


Pada zaman nabi dahulu, Syura berlaku melibatkan nabi dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Walaupun Quraisy merupakan kaum dominan yang melibatkan sahabat muhajirin, nabi tidak mengenepikan kaum Ansar dalam syuranya. Banyak catatan siirah yang mana pada saat-saat kritikal, nabi SAW menantikan pandangan dari kaum Ansar.

Syura di zaman nabi SAW, begitulah. Kalau kita adil dalam menterjemahkan maksud syura, maka muktamar yang diadakan adalah sebuah Syura yang paling otentik. Keupayaan muktamar untuk mendapat keberkatan dalam Syura sebagaimana yang disarankan oleh Al-Quran adalah lebih berbanding apa yang mampu dicapai oleh syura yang diekslusifkan sebagai sebuah majlis.

Seharusnya muktamar ditafsirkan sebagai sebuah Syura Akbar yang mana para perwakilan diberi penghormatan dan kepercayaan untuk membahaskan sebarang isu yang dipermasalahkan. Menafikan hak mereka dengan tanggapan bahawa bahawa mereka tidak layak membahaskan persoalan hukum, pada hemat saya, merupakan perlecehan terhadap kredebiliti para muktamirin sebagai anggota Syura Akbar..

Ya Habibi ya Maulana...harap diampun kerana saya terpaksa berbeza pandangan...

Monday, June 08, 2015

ULAMA DAN PROFESIONAL

Aku menimbang-nimbang sama ada mahu menulis hal ini atau tidak. Ia persoalan yang diperdebatkan orang dalam Pas. Persoalan inilah yang menimbulkan polimik sebelum muktamar dan selepasnya. ia adalah berkaitan dua istilah yang dipolarisasikan sehingga nampak bergeser dan bertembung.

Itulah mengenai ulama dan profesional. Jika aku tidak mahu dipandang serong, lupakan sahaja pandanganku dan tanam sahaja dalam dasar sanubari. Tetapi, aku rasa perlu kongsikan buat membetulkan jalan fikir yang salah dalam memahami makna ulama dan profesional.

Pertamanya berkenaan profesional. Mulanya aku terilham daripada pandangan seorang veteran Pas. Ianya ketika kami berbincang mengenai apa yang disifatkan sebagai penyingkiran golongan profesional dalam Pas berikutan muktamar Pas baru-baru ini. Ada orang berhujah bahawa AJK Pas yang baru masih mempunyai profesional. Beberapa individu dalam AJK Pas Pusat disenaraikan bersama kelulusan mereka dalam bidang-bidang konvensional untuk membuktikan kewujudan golongan profesional dalam AJK Pas Pusat yang baru.

Veteran Pas yang aku bawa berbincang itu menyatakan bahawa profesional dalam Pas bukan dilihat kepada kelulusan akedemik. Profesional dilihat dari cara kerja untuk jemaah dan parti. Orang yang bekerja dengan cara profesional dengan erti kata kemas, tersusun dan berstrategi sehingga menghasilkan KPI yang dikehendaki, itulah seorang profesional. Mendakwa secara boros bahawa asalkan seseorang itu bukan seorang lulusan agama maka dia adalah seorang profesional adalah dakwaan yang naif.

Oleh kerana itu, profesional dalam Pas bukan ramai. Perancang, strategis dan arkitek yang membangunkan Pas bukan ramai. Mereka itulah profesioanl. Ramai yang lain adalah yang menjalankan misi mengikut rancangan. Mereka bukan profesional. Hendak panggil profesional, kena tengok hasil kerjanya dulu.

Demikian pula, yang keduanya ialah mengenai istilah ulama. Bukan sahaja asal mengaji agama, lulus ijazah sarjana muda agama, ada master bidang agama hatta buat PHD dalam bidang agama, maka orang itu sudah dipanggil ulama. Hendak digelar ulama mestilah mempunyai kefaqihan yang tinggi. Kalau dalam Pas, kefaqihan hendaklah dalam ilmu politik Islam kerana itulah bidang kerja dalam pas. Kefaqihan seorang ulama dalam Pas juga perlu ada KPInya untuk melayakkannya digolongkan sebagai ulama. Buah fikirannya hendaklah melambangkannya sebagai orang faqih mengenai seni politik islam. Faqih seorang ulama Pas bukan menghafal halal haram. Itu sifat ulama dalam feqah. Pas bukan mazhab feqah tetapi pas adalah mazhab perjuangan.

Oleh kerana itu, ulama dalam Pas tidak ramai. Orang yang melahirkan buah fikiran sebagai bimbingan agama memandu perjuangan Pas bukan ramai. Buah fikiran agama itu pula membawa kemajuan kepada politik Islam sehingga membakar semangat jihad para petugas dan mengkesimakan musuh. Orang macam ini dalam pas bukan ramai. Mereka itulah ulama.

Tentu mencari ulama seperti itu dalam Pas sukar sekali. Jumlahnya kecil. Jumlahnya tidak semeriah ahli Dewan Ulama. Jumlah ulama lebih sedikit dari profesioanal kerana nak jadi ulama lebih susah daripada profesional. Profesinal berkaitan cara bekerja sedangkan ulama adalah cara berfikir.

Cuba tanya anda, apakah cara anda bekerja. Apakah sudah pantas digelar profesional? Tanya juga apakah cara anda berfikir. Layakkah anda digelar ulama?

Sunday, June 07, 2015

Jagalah harkat waktu musibah

 
 
Biar aku beri sedikit nasihat
bagi yang punya lidah malaikat
bila bicara biarlah berhemat
tutur dan tulis peliharalah harkat.

Nabi mulia telah beri ingat
kalau melawat orang sakit tenat
jangan cakap yang menambah gawat
jangan tambah sakarat di atas sakarat.

Ucap yang baik berikan ketenangan
berikan harapan umur dilanjutkan
jangan dikata habislah tuan
sudah datang tanda kematian.

Miski anda melihat tanda
si sakit sudah hampir ajalnya
patah hidungnya layu telinganya
sejuk kakinya pendek nafasnya

Janganlah anda tambahkan gundah
walau si sakit tak dengar sudah
kaum keluarga mendengar madah
kelak mereka berhati susah.

Biarlah aku berikan sedikit nasihat
bagi mereka yang punya lidah malaikat
di kala melihat bencana musibat
janganlah dibaca ayat kifarat.

Ketika kampung halaman musnah
ladang dan ternak banyak punah
jiwa warga sedang patah
datanglah sambil tunduk ke bawah.

Usah datang bawa ingat
waktu orang perlukan pengat
masa lain di lain tempat
bacalah ayat semua yang diingat.

Ilmu di dada biar dipimpin siasat
lihat suasana dengan makrifat
tidak semua yang namanya hakikat
diberitahu orang di semua tempat.

Jangan ditambah garam atas luka
ketika fitnah masih bermaharajalela
baru selesai perang saudara
belum sembuh semua luka.

Syura bukan sebuah Majlis.

Aku nak cerita pada siapa? Aku cuma seorang manusia biasa. aku bukan seorang ulama mulia. Aku juga bukan seorang ahli Majlis Syura. Kerana itu, aku tidak pandai soal hukum. Beberapa tahun yang lalu, aku pernah jadi perwakilan dalam muktamar. Tahun ini, aku cuma pemerhati sahaja. Tapi, pada tahun ini aku tumpang terkejut bila dinyatakn bahawa soal tahalluf siyasi adalah soal hukum. Kerana ia soal hukum, usul Dewan Ulama supaya diputuskan hubungan dengan DAP tapi kekal dalam Pakatan Rakyat dibahaskan dan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama. Hanya mereka yang ada dalam majlis Syura sahaja yang tahu dan pakar dalam hukum. Para perwakilan dengan pelbagai latarbelakang hanya orang biasa yang tidak layak membahaskan soal hukum.

Itulah yang aku faham. Apa yang aku faham, aku punyalah. Maafkan aku kerana punya pemahaman sendiri dalam soal ini. Aku manusia yang merdeka. Otakku adalah anugerah Tuhan untukku faham. Bagiku, di kalangan ahliu majlis Syura itu, ada yang masih diperingkat adikku. Bukan semua dalam Majlis Syura itu syeikh-syeikh yang berumur dan sarat pengalaman. tak payah aku sebut nama siapa dia. Kalian semaklah sendiri senarainya.

Pada fikiranku, konsep syura telah dieksklusifkan. Islam suruh sesuatu urusan itu diputuskan secara syura. Tiada nas yang suruh diputuskan oleh sebuah majlis yang ditampalkan stiker majlis Syura. Muktamar adalah sebuah syura. Para muktamirin adalah ahli syura. Bukan sekumpulan insan terpilih yang dilebelkan sebagai ulama itu sahaja ahli syura. 

Muktamar adalah sebuah himpunan Syura dan di sanalah sesuatu hukum dibahaskan dan diputuskan. Kalau berselisih dan masing-masing telah berhujah dengan dalil-dali yang kuat, maka undilah dan ambillah suara majoriti. Bukankah nabi SAW pernah mengikut suara undi mojoriti dalam syura sebelum lokasi peperangan Badar diputuskan?

Aku minta maaf kerana tidak boleh terima cara berfikir yang mengeksklusifkan majlis Syura lebih dari Muktamar. Sekali lagi, aku tegaskan bahawa Muktamar adalah sebuah Syura. Para perwakilan bukan orang jahil yang patut dinafikan hak mereka untuk membahaskan soal hukum. kalau mereka jahil, buat apa mereka jadi perwakilan. Letaklah harga yang wajar untuk para perwakilan. Lebih-lebih lagi mereka adalah perwakilan sebuah jemaah Islam.

Pencak

" mereka berkata, letakkan dunia di tapak tanganmu, jangan jadikan ia dalam hatimu!", mengungkapkan kata adalah mudah tetapi membuktikannya adalah susah.

Mat Sabu melepaskan semua jawatan lantikan politik ke atasnya di Pulau Pinang. Biar aku beritahu kamu apa yang aku faham. Ini adalah satu pencak politik yang hebat dari Mat Sabu. Para inggusan politik memang terkulat-kulat dengan seni politik yang ditunjukkan oleh Mat Sabu.

Walau tersingkir dari AJK Pas Pusat, Mat Sabu mengucapkan sayonara dengan bergaya. Dalam bergaya itu, ia memberi pukulan kepada para pemburu dunia dalam Pas. Pemimpin-pemimpin Pas Pulau Pinang yang sebelum ini menimbulkan ketidakpuasan hati tentang jawatan-jawatan yang mereka dapat di Pulau Pinang, kini bakal berdepan dengan kehilangan semuanya.


Siapa yang sayang jawatan, teragak-agak untuk ambil keputusan melepaskan dunianya, itulah para penjilat dunia yang menyertai perjuangan. Bukan susah untuk dikenal. Seni politik Mat Sabu itu, jika kita cermati, dapat membongkarkan untuk kita apa yang bersenandung dalam sanubari mereka yang hebat mendakwa sebagai pejuang dan pembela Islam.

Demikianlah Allah menetapkan dalam sejarah, ketika ghanimah direbutkan, Allah mencabut semuanya. Kata orang Melayu, nak untung sekarung tapi rugi seguni.

Ketika ini, jika anda sang Jauhari, kenallah mana satu manikam.

Seloka-Fikir sebelum bicara.

Memanglah sungguh kata pujangga
terlajak perahu undur semula
terlajak kata dapat bencana
menyesal kemudian hilang dunia.

Kerana itu sebelum bicara
berfikirlah dulu walau sejuta
kerana jika sudah terlajak kata
menangung akibat menyesal tak berguna.

Jikalah fikir panjang sejengkal
tunggulah sampai jadi sedepa
biar diperah aqal dan naqal
barulah hasil seharum dupa.

Jika gopoh melempar amarah
habislah maruah akan dijarah
barang di tangan terlepas ke bawah
mahu dipungut amatlah susah.

Lambang berakal jika sabar
umpan musuh cepat sedar
tidak mudah hilang sasar
ocehan orang disambut waqar.

Pahlawan terbilang jika diukur
bukan daripada gagahnya tempur
tapi daripada bijak mengatur
langkah pencak tidak berterabur.

Jika kemarin bicaranya kelat
mengapa kini semanis coklat?
katanya mampu merenangi selat
mengapa takut hutan banat?

Ketika duduk di atas persada
kata tak kisah bersila di tangga
ketika terancam kehidupan selesa
mengeluh cemas berbahasa gulana.

Hebat jalak pada tajinya
hebat ilmu pada amalnya
hebat takwa pada tawaduknya
hebat akal pada panjangnya.

Bukan cerdik pada bicara
bicara boleh mengikut tinta
cerdik dilihat pada cara
bagaimana merungkai kusut sengketa.