CARI BAHAN

Tuesday, November 29, 2011

Lada Pahit Penawar Bisul

Aku mendapat petua daripada beberapa orang, untuk menyembuhkan terus penyakit bisul adalah dengan memakan buah lada pahit. Buah tersebut merupakan sejenis buah hutan yang pokoknya tumbuh tidak ditanam orang. Buah sekecil kepala jarum peniti. Putiknya bewarna hijau dan bila masak ia menjadi hitam. Rasanya pahit.



Makan tujuh biji. Tambahkan keberkatan dengan baca basmalah dan solawat.

Monday, November 28, 2011

Hukum Bangkai Semut

Masa kenduri kawin di sebuah rumah di kampung Bendang Tok The kelmarin, selepas selesai makan, aku duduk di atas kerusi di sisi seorang lelaki berusia tua di bawah pokok mangga. Dia adalah Chu Akob. Di rerumput hampir dengan kami banyak semut kerengga merayap.

Lalu katanya;

"Semut kerengga ini kalau hidup tak mengapa, tetapi kalau sudah mati menjadi bangkai...Tak begitu? ", dia mencetuskan isu hukum dan mengumpan responku.

Aku diam seketika sebelum menjawab.

"Semut binatang yang tidak mengalir darahnya, maka dia mati bukan sebagai bangkai",

"Kitab-kitab menyebut begitulah, arwah lebai Derani dulu pun memberi fatwa semut mati jadi bangkai, kalau sembahyang menanggung semut mati, menanggung najis, kena ulang balik", tegasnya.

Aku tidak berhasrat membahaskan masalah hukum itu kerana aku tahu dia telah berpegang kuat dengan apa yang dia dengar dari pendahulunya.

"Kalau pacat mati di celah sendi  macam mana? Aku pula bertanya.

"Pacat dan belalang dikecualikan...", ujarnya. Aku tersenyum. Aneh.


Selepas itu, perbincangan tentang hukum tidak lagi dilanjutkan. Kesibukan telah datang ke atasnya.

Kawin muda.

Baru aku perasan. Lewat terakhir ini, kenduri kawin di kampung-kampung sering dihiasi dengan penyatuan antara dua teruna dan dara yang masih di awal usia. Berumur sekitar 20-an. Dalam persembanganku dengan teman-teman sekampung di atas pelantar pinggir rumah, aku melontarkan cetusan mengenai trend tersebut. Lalu, aku mengandaikan bahawa yang demikian itu adalah disebabkan harga getah skrap yang mahal.

Seorang teman sekampung yang lain menyanggah. Katanya sebab mengapa anak muda kawin cepat sekarang ini adalah kerana kesedaran akibat ceramah-ceramah yang banyak diadakan. Dalam TV dan luar TV, banyak ceramah menyedarkan penting menjauhi zina dan berhubung dengan cara perkahwinan secara sah.,

Wallahu 'alam!

Friday, November 25, 2011

Ketumbir

Mataku tumbuh ketumbir. Ketumbir  itu adalah singkatan daripada ketumbuhan di bibir (mata). Zaman kanak-kanak dulu, kalau siapa yang ada ketumbir akan diolok-olokan kawan-kawan sebagai pengendap. Tidak kiralah apa yang diendap. Terutamanya mengendap orang berak. Tapi, aku tidak pernah mengendap orang berak. Mengendap sesiapa puntak ada.

Ketumbir ini menggatalkan mata. Ibuku suruh tenyeh bawang putih yang dipotong bahagian punggunnya. Aku tenyeh, tetapi nampaknya tidak mudah untuk terus sembuh. Aku katakan bahawa ini adalah cubaan Allah. Aku pasrah dan bersabar. Semoga dikifarah dan diganjari pahala.

Pulang ke Kedah

Check Out dari hotel, kami terus mengambil sebuah bas Metrobus ke Pudu Raya. Ingatkan sampai terus ke pinggir Pudu Raya, rupanya bukan main jauh bas itu turunkan kami. Lain kali aku tidak ingin lagi naik bas metrobus ini. Lebih baik cari bas Rapid KL.

Jam sudah jam 1 petang sewaktu aku dan keluarga berada di bangunan Pudu Raya. Sekarang bukan namanya Pudu Raya lagi. Tidak silap aku, namanya City Central. Elok-elok bahasa Melayu, ditukar ke Bahasa Inggeris.

Mencari bas ke Utara, aku naik ke tingkat 1. Rupanya kaunter tiket bukan berselerak di tingkat bawah macam zaman aku belajar di UM dulu. Kaunter tiket sudah ada di tempat khusus dalam ruang yang selesa. 

Aku membeli tiket bas Transnasional. Harga untuk penumpang dewasa ke Alor Setar adalah RM40.00 dan kanak-kanak ialah RM30.00. Jam itu, tiada bas terus ke Alor Setar. Kalau nak, jam 5 ada lah. Tetaop, dari hentian Duta ada bas jam 1.30 petang. Aku disuruh naik bas Transnasional Teluk Intan yang akan singgah di Hentian Jalan Duta.  Dari Jalan Duta, aku naik bas lain yang menuju ke Alor Setar.

Jam 1.30 petang bertolak, singgah makan dan solat jamak ta'khir di Perhentian Bukit Gantang, hujang sepanjang perjalanan, akhirnya bas tiba di Shahab Perdana kira-kira jam 7.15 petang. Aku solat maghrib jamak takdim di surau tingkat atas sementara menunggu keluarga datang mengambil.

Tidak lama menunggu, sebab ibuku bersama abang ipar sudah berada di Alor Setar. Mereka sedang berehat di rumah abangku di Mergung. Lantas, pulanglah kami ke kampung Datuk. sampai kira-kira jam 8.40 malam.

Demikianlah perjalanan pulang kampung kali ini, pada tanggal 23 November 2011. Alhamdulillah.


Wednesday, November 23, 2011

Hotel Jalan Masjid India

Dari KLIA, sesampai sahaja dengan penerbangan MAS pada jam 6.00 petang, aku bersama anak dan isteri mengambil Airport Coach menuju KL Sentral. Airport Coach boleh didapati di ground floor KLIA. Tambang ke KL Sentral bagi penumpang dewasa adalah RM10.00 manakala bagi kanak-kanak ialah RM6.00. Perjalanan mengambil masa selama satu jam. Kami mendapatkan perjalanan 6.30 petang dan tiba di KL Sentral kira-kira jam 7.30 petang. Dari KL Sentral kami mendapatkan LRT menuju ke stesen Masjid Jamek. Tambang untuk dewasa ke sana adalah RM1.30.

Turun dari LRT di Stesen Masjid Jamek, kami menyusur Jalan Masjid India. Agak terpinga-pinga aku pada permulaannya kerana banyak perubahan sudah berlaku, Bazar yang dibina sepanjang jalan depan Masjid India membingungkan aku. Namun-tempat lain tidak banyak perubahan.

Kami mencari hotel untuk penginapan. Bertanya beberapa hotel, harga penginapan semalaman berada pada rate RM120 lebih semalam. Aku hanya ingin hotel yang berada pada rate di bawah RM100. Akhirnya sebuah hotel bernama  MACKTZ Confort Inn Sdn. Bhd menjadi pilihan. Harga penginapan semalaman adalah RM80.00.



Dapat merehatkan diri untuk semalam pun jadilah. Terasa sangat penat perjalanan dari Sandakan ke Kuala Lumpur pada hari ini.  Bilik hotel ini selesa juga. Lagipun, ia berada pada kawasan sibuk dan dekat pula dengan masjid India. Aku suka suasana itu.

Pagi, sebelum azan Subuh, aku sudah bangun. Aku mengambil kesempatan untuk pergi solat berjemaah Subuh di masjid India. Solat Subuh berimamkan seorang India Muslim. Aku kira dia bermazhab Hanafi. Tiada basmalah sebelum fatihah dan tiada doa Qunut.  Setahuku, sejak dulu pun begitulah di masjid India ini. Tidak ada masalah. Entah kenapa sesetengah orang sangat ta'sub dengan mazhab dan mendakwa rantau nusantara adalah rantau Syafie.

Selesai solat Subuh, aku ambil sedikit masa duduk melepak di bangku depan galeri bazar di depan masjid India. Aku melihat pergerakan manusia di awal pagi. Keadaan belum cukup sibuk. Ada sebuah kereta pacuan 4 roda bewarna putih sedang diparkir di depan pintuy pagar masjid. Ada 3 lelaki tua berketurunan India muslim dengan pakaian serba putih sedang berdiri di sisinya. Aku melihat beberapa orang berdatangan dan mengambil sesuatu daripadanya. Mereka yang berdatangan itu, aku kira merupakan kalangan pengemis dan geladangan. Aku kehairanan tentang apa yang dibuatnya dan siapa lelaki india itu.

Setelah beberapa lama, mereka masuk ke kereta untuk pergi. Sebelum pergi, lelaki tua dalam kereta itu membuka tingkap kereta dan menggamit seseorang dari arahku. Seorang pemuda turun dan pergi mendapatkanya. Dia pun diberi sesuatu. Kereta itu pun berlalu pergi.

Tidak mahu terus kehairanan, aku pergi mendapatkan pemuda yang duduk di atas tempat di belakangku. 

"Apa yang diberikan lelaki India itu?", tanyaku kepada pemuda itu. Dia bertubuh tegap tetapi wajahnya ala-mak nyah sedjikit.

" Duit...", jawabnya.
"Berapa?"
"Seringgit dua ringgit", 
"Siapa India tu",
"Dia macam pengasas masjid ni lah", 
"dah lama ke dia buat begitu'?
"Lama dah...dekat lima tahun...setiap pagi begitulah...dia bagi duit kepada kami golongan tidak bernasib baik", 

Pemdua itu namanya Khalid. Katanya dia berasal dari Sabah. Dia datang ke KL sejak tahun 1990 lagi. Dengan nada kecewa dia mengatakan bahawa dia mungkin akan terus geladangan di KL sehingga mati. Kaum keluarganya di Sandakan memperdayanya. Aku kurang faham isunya. Dia menyebutkan mengenai penipuan berhubung sarang burung di Gua Gumantong yang mana dia meruapakan seorang yang mempunyai hak ke atasnya. Namun, ada saudaranya yang menipunya. Dia diancam bunuh dan katanya laporan polis tidak berguna kerana dia insan kecil.

Kini, dia bergeladangan di KL. Dia mendapat perlindungan di rumah Komuniti, Jalan Duta. Ia meruapakan sebuah rumah bagi memberi khidmat nasihat dan bantuan buat golongan tidka bernasib baik sepertinya.

Jam 8.00 aku membawa anak dan isteri naik LRT bersiar-siar sehingga ke KLCC. Kemudian pulang semula ke Hotel. Jam 12 tengahari, ingat mahu Check Out dan pergi ke Jalan Duta, ambil Bas Express pulang ke Kedah.


Tuesday, November 22, 2011

Sebelum balik kampung Nov 2011

Pulang dari solat insya di masjid, aku berbaring di depan TV sambil menonton berita jam 8 malam. Aku tidak pasti jam berapa aku tertidur. Seharian ini sungguh memenatkan. Kemas rumah dan buat persiapan untuk pulang ke kampung. Tambahan pula, aku mengalami semula ketidakselesaan mata akibat bengkak kecil di sudut mata.  Ada bisul lada pula di dada. 

Sedar dari lena, jam telah menunjukkan pukul 12.tengah malam. Aku bangun meneruskan agenda mempersiapkan pulang ke kampung. Penerbanganku adalah dengan MAS jam 8.30 pagi esok.  Aku sorong motor scooter passionku ke dalam rumah. Basuh motosikal scooter elegen. Bawa masuk bsikal anakku. Kemudian kemaskan kain baju ke dalam beg kecil yang bakal aku bawa pulang.

Perjalanan pulang kali ini tidak cukup selesa. Selepas sampai di KL, aku dan anak isteri akan melilau di KL. Entah di mana akan kami tinggal. Aku belum tahu.

Monday, November 21, 2011

Dasar maling

Peminat bola sepak Indonesia memendam kebencian kepada Malaysia kerana pemimpin Pakatan Rakyat. Demikian tuduhan Timbalan Menteri Sukan, Datuk Razali Ibrahim. Menurut, kerana para pemimpin Pakatan Rakyat sering memburuk-burukan Malaysia di Indonesia, rakyat Indonesia memendam kebencian kepada Malaysia. Justeru, kebencian itu terpamer dalam perlawanan bola sepak yang disertai oleh pemain Malaysia di mana mereka mendapat layanan yang buruk berbanding pemain dari negara asean yang lain seperti Thailand.

Mereka melebelkan Malaysia sebagai maling.

Siapa sebenarnya yang berperangai pencuri? Apakah pemimpin Pakatan Rakyat yang dituduh pencuri?

Mengimbau segala kelakuan yang pernah dilakukan oleh pemimpin kerajaan sekarang terhadap rakyat Indonesia, memang wajar mereka menyimpan kebencian. 

Apa faedahnya beri RM100

Memberi wang RM100.00 kepada murid-murid sekolah bukan berfaedah sangat. Ia hanyalah seperti seorang ayah yang ada sebidang tanah lalu dibahagi-bahagikan kepada anakanya yang ramai. Jika tanah itu luas mungkin juga ada faedahnya. Tanah itu dapat dibangunkan kemudiannya dengan aktiviti pertanian. Namun, jika tanah itu hanya sekaki, apa faedahnya?

Khabarnya kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk projek memberikan wang persediaan persekolahan kepada murid-murid sekolah. Wang sejumlah itu itu amat besar jika dapat digunakan demi kepentingan ralyat. Tetapi, bila dipecahkan menjadi RM100.00 seorang, besar manalah faedahnya? Lebih-lebih lagi di zaman harga barang sudah meningkat tinggi ini.

Sebab itu, langkah memberikan RM100 kepada murid-murid sekolah bukan bijak. Ia langkah terdesak dan ketandusan idea.

Lidah bercabang

Binatang biawak suka makan cacing. Dengan mulut muncungnya dan lidah bercabangnya, ia menggali lubang dalam tanah untuk cari cacing. Kekadang, binatang biawak ini ceroboh reban ayam cari telur ayam. Dulu binatang ini banyak di kampungku. Namun, pada zaman Siam Loas banyak berkeliaran di kampung-kampung (GPT mengupah mereka kerja di ladang tebu), kehidupan biawak mula tidka aman. Orang Melayu tidak makan biawak, tetapi Siam Loas amat suka biawak. Kalau nampak biawak, pasti dikepung dan dikejar.

Cakap putar belit macam biawak! Lidah biawak bercabang.

Cakap putar alam...memang sukar dipercayai makhluk yang satu ini. Tempelan gaya agamawan tidak cukup untuk menjadikannya tsiqah. Kalau 10 yang keluar daripada lidah bercabangnya, hanya mungkin satu yang betul. Kasihan!. 

Aku tidak kata pada sesiapa. Tafsiran andalah yang akan menelahnya.

Jangan mensucikan diri sendiri!

Mungkin dalam banyak keadaan, kerana selalu melemparkan kesalahan kepada kerajaan UMNO-BN atas segala masalah yang dihadapi, maka sikap tersebut terbawa-bawa dalam perlbagai perkara lain.

Kita meraa hairan, mengapa Exco Agama Negeri Selangor menuduh bible solar sebagai salah satu ancaman kepada akidah umat Islam yang telah sedia terancam kini. Kejadian murtad yang sering dihebohkan dewasa ini dicari sebabnya. Maka timbullah isu bible solar, kaedah teknologi canggih untuk menyebarkan kitab bible kepada umat Islam.

Ada beberapa perkara yang perlu ditimbullkan:-

1) Kalau orang kristian boleh menggunakan alat tersebut untuk menyebarkan bible, apakah pihak berkuasa Islam tidak mampu menggunakan alat yang sama atau alat yang lebih canggih untuk menyebarkan Islam

2) Hebat sangatkah penangan bible itu hingga boleh meruntuh akidah orang Islam yang membacanya. Kita berkeyakinan bahawa hanya Al-Quran sahaja yang mengandungi mukjizat bagi pembacanya. Maka, apakah kita merasakan bible itu seperti kita sihir yang memukau?

2) Mengapa kita asyik menyalahkan orang dalam semua masalah yang kita hadapi?

Allah telah kurniakan kita kuasa, maka gunakan kuasa tersebut untuk memantapkan akidah umat Islam, khususnya di Selangor. Tidak perlu asyik menuding jari kepada egenda kristian atas kemurtadan yang berlaku. 

Apakah wajar kita mahu puak kristian itu lakuna agenda? Naiflah jika kita mahu hanya kita yang bebas beragenda sedangkan mereka tidak boleh beragenda. Ini dunia beb...bukan syurga loka. 

Saturday, November 19, 2011

Janji Bin Ubai

Pihak Kementerian Dalam Negeri mendakwa bahawa 13 orang yang ditahan di bawah ISA di Tawau Sabah adalah berkaitan dengan usaha menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah. Lantas, desakan oleh pelbagai pihak termasuk dari SUHAKAM sendiri dianggap oleh menterinya sebagai tidak bertanggunjawab. Beliau menyatakan bahawa komitmen PM Datuk Sri Najib Tun Abd Razak untuk memansuhkan ISA bukanlah termasuk penggunaannya ke atas gerakan bersifat teroris seperti yang sedang berlaku. Ia adalah untuk menghentikan tahana politik.

Namun, persoalannya, sejauh manakah boleh dipercayai menteri kerjaan ini. Sesiapa sahaja boleh dilebelkan sebagai teroris. Menahan tanpa bicara adalah buruk dari segenap segi. Ia merampas hak orang untuk membela dirinya. 

Bagaimana jika Datuk Hishamuddin Tun Hussin sendiri satu saat ditahan dan dituduh sebagai teroris? Hendak bela diri tidak boleh sebab ditahan dibawah akta yang menafikan pembelaan diri.

Orang lain pun begitulah. Menuduh orang dengan terosris tidak cukup dengan semburan air liur pencacai sahaja. Ia perlu dibuktikan. Kerana perlu pembuktian itulah maka ISA tidak punya kepentingan dalam apa keadaan pun.

Penggunaan ISA dalam kes terbaru ini mengajar kita untuk tidak akan pernah mempercayai kerajaan BN. Telunjuk lurus kelinking berkait. Janji mereka hanya menanam tebu di bibir.

Wednesday, November 16, 2011

RM100

Cuti sekolah kian hampir. Projek kerajaan untuk membahagikan RM100 kepada semua murid sekolah belum terlaksana. Khabarnya Isnin hadapan baru dapat dilaksanakan oleh sekolah-sekolah. Isnin hadapan sudah cuti sekolah. Siapa yang akan diperkudakan untuk melangut di sekolah masa cuti hanya kerana hendak bahagi RM100 kepada ibu bapa  murid yang sentiasa tidak menolak.

Kerajaan memperlihatkan desperadonya. Apakah dengan RM100 itu berbaloi untuk membantu rakyat? Bolehkah pula rakyat digula-gulakan dengan RM100 untuk memberikan sokongan dalam pilihanraya? Sebenarnya, apa yang dibuat kerajaan masa kini serba tak kena. 

Sama-samalah kita saksikan apa yang akan terjadi pada tahun hadapan...kalau panjang umur!

Monday, November 14, 2011

GURU KERJA 9 JAM

Ia merupakan projek rintis. Guru-guru tidak perlu bimbang. Demikian kata Datuk Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran. Mulai Januari tahun  depan, guru-guru di negeri Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak akan bekerja 9 jam sehari. Menurutnya, percubaan tersebut adalah untuk menentukan masa yang paling ideal untuk seseorang guru bekerja.

Kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran tersebut terlalu rapuh untuk dipercayai. Ia tidak lebih salah satu lagi perubahan yang cuba diperkenalkan dalam dunia pendidikan tanpa kajian lengkap. Cadangan sepontan individu tertentu terus diterima tanpa kajian menyeluruh.

Sekiranya ia projek rintis, mengapa dibuat di empat negeri. Ia layak dikatakan projek rintis jika ia dilakukan di beberapa sekolah terpilih. Dalam empat negeri tersebut, terdapat pelbagai sekolah. Bagaimana dengan sekolah dua sessi? Sekolah pendalaman bagaimana pula? 

Banyak pihak beranggapan bahawa kerja guru sangat ringan.  Masuk jam 7 pagi pulang jam 12 tengahari. Sangat pendek jika dibandingkan dengan pekerja sektor awam yang lain. Mereka tidak sedar bahawa guru terpaksa bekerja di malam hari sewaktu di rumahnya.

Friday, November 11, 2011

Calon Boleh Menang

Kata DS Najib, BN tidak peduli mengenai had umur calon-calon yang bakal diletakkan dalam PRU akan datang. Apa yang penting, calon tersebut boleh menang. Ini kerana PRU akan datang dilihat amat sengit. DS Najib bakal diuji buat pertama kalinya dalam gelanggang terbuka. Ssudah tentu ahli UMNO secara khusus sedang menunggu untuk menilai pengaruh DS Najib berbanding pendahulunya yang telah disingkir daripada jawatan Presiden UMNO sekaligus Perdana Menteri atas tuduhan menyebabkan kemerosotan pengaruh UMNO.

Calon boleh menang adalah satu persoalan yang subjektif. Ini kerana tidak ada siapa boleh menentukan kemenangan seseorang. Kita hanya boleh mengagak-agak potensi seseorang calon. Kemenangan yang pasti hanya akan diketahui setelah pilihanraya.

Ada pendapat mengandaikan bahawa jika DS Najib menjadikan "boleh menang" sebagai kriteria pemilihan calon, ia sebenarnya mengundang cantas mencantas dalam parti di peringkat bawahan. "Calon Boleh Menang" menurut kaca mata pemimpin tertinggi belum tentu boleh diterima di peringkat bawahan. Mereka yang kecewa akan mengadakan sabotaj dan ini akan menyebabkan "calon boleh menang"  itu menjadi boleh kalah.

Sama-samalah kita saksikan makar Allah SWT ke atas UMNO-BN yang sedang di"tamhil"kan. Hari-hari akhirnya sedang menginsut ke ajal penamat!

Wednesday, November 09, 2011

PAGE yang tolol

Apa pasal ketegar sangat nak lanjutkan juga PPSMI itu? Apa nama pertubuhan tu? PAGE? Apa untung yang mereka dapat dengan mendesak kerajaan melanjutkan PPSMI. Pencinta bahasa telah sepakat mengatakan PPSMI menjahanamkan bahasa kebangsaan. Tapi masih ada yang berharap dasar itu dilanjutkan.

Tak tahulah aku apa jenis fikiran orang semacam ini. Tidak berpijak di bumi nyata.

Goreng Pisang

Bersembang pasal goreng pisang, seorang sahabat mengatakan bahawa kalau mahu rasa goreng pisang sedap di Sandakan, dapatkan goreng pisang Check Point. Kalau hendak ke Check Point hanya untuk beli goreng pisang, tidaklah berbaloi. Check point itu terletak di batu 32. Tapi, ada cawangannya di Sandakan. Cawangannya itu bersebelahan dengan Pejabat Umno Libaran di Taman Fajar Perdana.

Seorang sahabat lain mendakwa ada juga tempat goreng pisang yang enak dijual di Sandakan.Ia boleh didapati di Restoran Rimbawan. Pada waktu petang, ada gerai goreng pisang di pinggirnya.Makanan di restoran tersebut juga murah dan sedap. Demikianlah cerita sahabat tersebut.

Nampaknya, makanan kalau sedap, sekalipun goreng pisang akan jadi buah mulur.

Ruang bersuara

Ku Li kata dia dan gengnya tubuh Amanah kerana ruang bersuara dalam UMNO telah disempitkan. Beliau mengambil contoh apabila mahu berucap dalam perhimpunan agong pun perlu kebenaran dari atasan dan perlu ditapis pula apa yang hendak diperkatakan. Beliau tidak mahu keluar daripada UMNO. Tubuh Amanah adalah jalan baginya.

Amanah adalah NGO. Apakah NGO membolehkannya bersuara? Kalau setakat hendak bersuara, banyak kedai kopi di sepanjang jalan. Di situ siapa sahaja boleh bersuara. Bersuara melalui NGO belum tentu akan didengar. Mujur aja suara-suara Perkasa itu cukup menderam sekarang. Tapi aku fikir ia tidak lama. Parti Kita milik Zaid Ibrahim  juga nampaknya macam tidak mampu bersuara.

Suara akan melantun kalau Ku Li memilih untuk masuk Pakatan. Untuk itu kena buang keegoan masa lalu.

Tuesday, November 08, 2011

Bubar sahaja PTPTN.

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PTPTN mencadangkan agar pinjaman kepada pelajar hanya untuk yuran pengajian sahaja. Pinjaman untuk perbelanjaan diberhentikan menjelang tahun 2013. Setelah mencadangkan cadangan tersebut, dikatakan pula ia hanya sebuah cadangan dan belum lagi diputuskan. Mungkin mereka takut rakyat marah.

Cadangan  sahaja pun sebenarnya telah mennyulap keberangan ramai orang. Ia menampakkan betapa hapraknya PTPTN. Kerajaan telah membebankan rakyat dengan banyak kenaikan harga barangan harian. Rakyat boleh terima apabila biasiswa ditukarkan kepada pinjaman biarpun dalam rugutan. Kini, pinjaman dikecilkan skopnya untuk yuran pengajian sahaja. Ini benar-beenar perangai haprak.

Bagiku, kaslau dah tak mampu menguruskan pinjaman untuk para pelajar kita, bubar sahaja PTPTN. Jangan menghabiskan wang negara untuk pentadbiran badan yang tidak menguntungkan rakyat!

QURBAN LEMBU DI MASJID AL-FAJR

Majlis Qurban yang diadakan di masjid al-Fajr berlangsung meriah. Seawal jam 7 pagi hari raya kedua aidil adha(Kelmarin), para petugas telah berdatangan. Turut sama sebilangan warga Taman Fajar yang tidak termasuk dalam senarai petugas sewaktu mesyuarat diadakan. Sebanyak 6 ekor lembu ditumbangkan. Sepatutnya 7 ekor. Namun, berikutan masalah tuan lembu pada minit terakhir, ia dibatalkan. Khabarnya, lembu yang telah ditempahnya dijual kepada orang lain oleh pemilik lembu.

Aku bertindak selaku pengarah program. Kerjasama padu daripada rakan-rakan di masjid Al-Fajr sangat berkesan. Masing-masing terlah memainkan peranan bagi menjayakan program ini. 

Tukang sembelih lembu ialah Ust. Mahadzir Madon, Ust Sukri Mat, aku sendiri, Dr. Ahmad Lazuardi dan Hj. Mahali. 3 ekor lembu adalah hasil yuran penyertaan dari 21 individu jemaah masjid Al-Fajr. 1 ekor adalah sumbangan daripada Kastam dan seekor lagi adalah sumbangan Dato' Juslie Ajirul yang didapatkan melalui En. Momoh bin Sidum. Satu ekor adalah lembu khusus dari Dewan Ulama Pas Kawasan Sandakan.

Setiap peserta korban diberikan 2.3 kilogram, 1 kilo tulang dan perkakas dalaman lembu korban. Selebihnya disedekahkan. Setiap penerima sedekah mendapat 1/3 kilo daging. Seekor daripada lembu adalah dikhususkan untuk memasak buat makanan orang ramai yang datang.


Mungkin tidak seburuk disangka.

Seksualiti Merdeka disifatkan oleh TV3 sebagai Pesta Seks Bebas. Pelebelan yang salah itu menyebabkan Marina Mahathir melenting marah. Dia mengancam akan menyaman TV3 tersebut.

Banyak pihak menentang Seksualiti Merdeka. Penentangan tersebut didorong oleh kesedaran bahawa program tersebut adalah menyemai kebangkitan golongan "gay" dan lesbian sebagai amalan bebas yang diterima  sebagaimana yang telah berlaku di Barat.

Mungkin juga kita tidak cukup memahami apa sebenarnya Seksualiti Merdeka itu. Kita membayangkan ia adalag program golongan gay dan mak nyah menuntut hak mereka. 

Mungkin kita perlu duduk dan dengar apa sebenarnya yang diigini oleh pihak pengajur Seksualiti Merdeka itu. Kita perlu menjauhkan diri dari menjadi golongan yang hanya merasakan diri sendiri yang baik. Lawan kita buruk belaka. Itu tidak bagus untuk mencari kebenaran.

Monday, November 07, 2011

Lembu dilarang semeblih di tempat awam

Kenapa orang Hindu mensucikan binatang lembu?Pepatah Melayu kata, "bodoh mamcam lembu". Binatang lembu pula disembelih setiap tahun bila datangnya musim korban. Tidakkah boleh difikiri munasabah apa lembu dikatakan bianatang suci?

Kononnya lembu adalah kenderaan sang dewa. Sebab itulah ia binatang suci. Demikianlah sumber yang pernah dengar.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao baru-baru ini menggesa pihak berkuasa agar mengenakan larangan penyembelihan lembu di tempat-tempat awam sempena hari raya Aidil Adha. Ini adalah bagi mengelakkan sensitiviti agama hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci. 




Sunday, November 06, 2011

Lembu Korban di Felcra Sukau

Perjalanan ke Felcra Pertama Sukau begitu jauh dan meletihkan. Bukan letih sebab jalan kaki. Kami naik kereta 4-wheel tetapi kerana jalan grabble kawasan ladang kelapa sawit, kami dipenatkan dengan henyakan depan belakang dan kiri kanan. Dari jalan utama Bukit Garam-Sukau, kami masuk melalui gerbang Malangking Palm Oil Estate.  Dari situ kami masuk melaui 4 pagar ladang. Agaknya sejauh 30km jalan berbatu kasar.

Ia merupakan Felcra pertama. Kalau tak silap aku, kami berurusan mengenai lembu korban itu di Blok C, bawah kelolaan Encik Masran Upot.
Kami datang kerana mewakili peserta ibadah korban yang menyerahkan wang masing-masing untuk dibeli lembu korban. Khabarnya banyak lembu dipelihara. Kami akan mengangkut 16 ekor lembu. Sampai kira-kira jam 10 pagi, kami menunggu lori dna menjalankan kerja-kerja menimbang lembu. Sekilogram lembu dijual dengan harga 9. Purata seekor lembu adalah berada pada keberatan sekitar 150-190 kg. Itu sahaja yang telah ditangkap dan ditambat untuk kami. 

Ingat mahu yang besar lagi. Tapi apakan daya, dah tak ada. Pekerja-pekerja di sana malas menagkap yang lain dan menyatakan alasan bahawa lembu sudah terlepas.


Thursday, November 03, 2011

Katalah semuanya Taliban!

Ada program yang dinamakan Seksualiti Merdeka sedang dirancang untuk diadakan. Promosi mengenainya sedang berlangsung di lama web rasminya http://www.seksualitimerdeka.org/. Dewan Pemuda Pas telah menyatakan bantahannya. Program tersebut, sebagaimana tergambar pada namanya adalah mendakyahkan kebebasan sesksual sebagai salah satu daripada hak asasi manusia yang perlu diperjuangkan. Ia  mengajak untuk masyarakat menerima budaya gay dan  lesbian  sebagai satu gaya hidup positif atas nama kemerdekaan dan hak asasi.

Namapaknya Pemuda Pas jadi Taliban lagi. Aku mahu dengar Dr. Asri memperingatkan hal itu kepada Pemuda Pas sebagaimana beberapa hari sebelumnya kerana membantah konsert Elton John. Tapi, setakat ini belum lagi aku dengar peringatan itu disebutkannya.

Di samping Pemuda Pas, ada lagi beberapa NGO Islam yang juga turut membantah. Kalau nak kata Taliban, kata semuanya Taliban. Apa bezanya membantah konsert Elton John dengan program Seksualiti Merdeka?

Tuesday, November 01, 2011

Tawakkal sebagai takaful

Terang teman berkempen agar aku belikan skim takaful yang banyak ditawarkan di wasa ini. Aku sebenarnya malas dan tidak berminat dengan takaful ini. Banyak cerita yang menggundahkan aku dengar tentang birokrasi takaful ketika tuntutan dibuat oleh pelanggan. Semasa hendak menyuruh orang belikan skim yang ditawarkan, lembut gigi dari lidah. Kalau boleh,jurujualnya sanggup datang menyembah diri. Bila sudah dapat, apa di batang hidung,kelibat pun sukar dilihat.

Lalu, aku mengungkapkan kata-kata ini buat teman itu.
"Tiada takaful yang lebih hebat daripada tawakkal!".

Biarlah apapun orang takaful mahu katakan. Kalau untuk masa depan, diri dan anak-anak, bukan takaful satu-satunya jalan. Hebat amat kalau aku mampu bermadah sebagaimana seorang sahabat nabi saat kematiannya, di kala ditanya tentang apa yang ditinggalkan buat anak-anaknya. Katanya, dia tinggalkan buat mereka surah Al-Waqi'ah.

Ibu bapa kita tidak lebih bimbang daripada kita mengenai kita.Mmengapa semakin tinggi pelajaran ita,semakin risau kita tentang anak-anak kita??