CARI BAHAN

Saturday, March 19, 2011

Bible dalam bahasa Melayu

Dalam simpananku, ada sebuah "Al-Kitab" yang berbahasa Melayu. Aku membelinya semasa menghadiri satu seminar mengenai perbandingan Al-Quran dan Bible beberapa tahun lalu. Waktu itu belum timbul isu Bible berbahasa Melayu. Hari ini, isu Bible berbahasa Melayu menjadi polemik. Ada pihak yang membantah dan mendakwa ia mengancam akidah ummat Islam. Tak habis-habis dengan sikap defensif sebahagian orang Islam yang dibayangi ketakutan. Dalam sebuah negara yang mendakwa mengamalkan kebebasan beragama, kita selalu pula mendengar penganut agama lain tidak mendapat hak mereka. Jika mereka mahu mencetak Bible dalam bahasa Melayu, apakah hak kita untuk menghalangnya? Terakhir sehingga kini, kerajaan bersetuju untuk membenarkan cetakan sebanyak 5100 naskhak Bible dalam bahasa Melayu dengan catatan di kulitnya" Untuk Penganut Kristian Sahaja".

Seperti akhbar Harakah, satu masa dulu timbul isu kerana ia dijual kepada orang ramai. Akhirnya kerajaan mensyaratkan ditulis di depannya " Untuk Ahli Sahaja". Begitupun, jika kita lihat siapa yang membeli Harakah, bukan hanya ahli PAS. Hak rakyat untuk membaca tidak boleh dihalang.

Membaca Bible tidak menyebabkan seseorang muslim akan menjadi Kristian. Bible bukan sebuah kitab yang merbahaya sebagaimana sangkaan sesetengah pihak. Saya sudah baca Bible dan saya andaikan bahawa jika saya jenis pemuda yang "happy go lucky" dan tidak mengendahkan agama Islam sekalipun beragama Islam, saya tidak akan membacanya. Pemuda seperti itu lebih gemar membaca bacaan sampah. Adalah lebih bahaya membaca majalah hiburan  yang ada di pasaran berbanding membaca Bible.

Jika kerajaan bimbang akidah ummat Islam terancam kerana baca Bible, cetaklah pula Al-Quran banyak-banyak dan edarkan kepada rakyat. Bagi percuma, biar Al-Quran dimiliki oleh setiap rakyat Islam di Malaysia. Kononnya kerajaan bimbang tentang akidah orang Islam, tetapi usaha memantapkan akidah tidak dibuat secara serius. Kerajaan sanggup belanja wang berbilion untu projek mega yang mengkayakan sesetengah pihak sahaja berbanding membelanjakan wang untuk mantapkan akidah ummat.

Bila orang Kristian mahu cetak kitab suci mereka dalam bahasa Melayu kita melatah. Kita sendiri malas mencetak Al-Quran dalam bahasa Melayu. Ramai orang Islam tak ada Al-Quran terjemahan. Penguatkuasaan undang-undang yang menglang penganut agama lain amsih menjadi mekanisme pertahanan diri yang digunakan kerajaan. Itu hanya memalukan orang Islam. Seperti orang Islam ini lemah dan tidak ada stamina. Sedangkan, ummat Islam adalah tinggi dan mulia. Tetapi, kelakuan itu menggambarkan kita lekeh dan penakut!

Zaman sekarang kita perlu bersaing. Dakwah adalah persaingan. Kerajaan sepatutnya mempunyai kelebihan dan tidak perlu selalu bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang.

No comments: