CARI BAHAN

Sunday, March 27, 2011

Apa mazhabmu?

Pertanyaan ini, jika dilontarkan kepada sebahagian besar orang yang tinggal di Nusantara ini, jawapan sepontannya ialah "aku bermazhab syafie". Namun, jawapan ini sebenarnya boleh dipertikaikan. Kebanyakan orang tidak pun mendalami mazhab Syafie untuk memastikan bahawa dia mengikut mazhab Syafie. Hanya mengaku sebagai mazhab Syafie tidak melayakkan seorang itu dikatakan Syafie. Berapa ramai pula orang yang mengaku Islam tetapi dia bukan Islam dan Islam tidak ada kaitan dengannya?

Justeru, mazhab kebanyakan orang adalah mazhab pemberi fatwa. Pemberi fatwa itu tidak juga terikat secara mutlak dengan mazhab Syafie sungguhpun dia mengakui sebagai pengikut mazhab Syafie. Hal ini boleh dibuktikan dengan perubahan fatwa yang berlaku di kalangan mufti dan majlis Fatwa yang ada di Malaysia. Satu masa dahulu, masyarakat difatwakan bahawa mengeluarkan zakat fitrah hendaklah dengan makanan ruji. Dalam konteks negara Malaysia, beraslah. Namun, kini, zakat fitrah tidak lagi dipungut dalam bentuk beras. Di mana-mana dalam Malaysia, ia dipungut dalam bentuk mata wang.

Demikian juga kalau dilihat kepada hukum batalnya wuduk. Kendatipun mazhab Syafie punya pandangan resmi bahawa bersentuhan kulit lelaki dan perempuan yang bukan muhram tanpa lapik adalah membatalkan wuduk, kini telah difatwakan oleh majlis fatwa di Malaysia, khususnya dalam kalangan ulama di Tabung Haji, ia tidak membatalkan wuduk. Soal ia khusus untuk jemaah haji di Makkah atau merata kepada semua orang bukan persoalan kerana hukum ISlam bukan untuk sebahagian orang dan tidak kepada sebahagian yang lain. 

Maka, mazhab kita bukan lagi Syafie. Mazhab kita adalah orang yang berfatwa!

No comments: