CARI BAHAN

Tuesday, March 29, 2011

Apalah bezanya?

Ketua wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Arman Azha Abu Hanifah mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.Difahamkan, beliau melepaskan jawatan kerana mahu menumpukan tugasnya dalam Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara.

Sememangnya Perkasa itu dupilcate UMNO. Sama sahaja, sama ada dia dalam Perkasa atau keluar dari Perkasa. Kerana nampaknya cemar sudah parti UMNO itu, mereka tubuhkan Perkasa. Dengan harapan akan dapat mengaut sokongan orang Melayu. Namun, terus terang aku katakan bahawa jiwa Melayuku tidak pernah dapat menerima perjuangan Perkasa. Aku melihat Perkasa itu adalah semak renek tempat orang UMNO yang hilang posisi bertapuk (bersembunyi)

Apalah bezanya antara Pekasa dengan UMNO?

Sunday, March 27, 2011

Apa mazhabmu?

Pertanyaan ini, jika dilontarkan kepada sebahagian besar orang yang tinggal di Nusantara ini, jawapan sepontannya ialah "aku bermazhab syafie". Namun, jawapan ini sebenarnya boleh dipertikaikan. Kebanyakan orang tidak pun mendalami mazhab Syafie untuk memastikan bahawa dia mengikut mazhab Syafie. Hanya mengaku sebagai mazhab Syafie tidak melayakkan seorang itu dikatakan Syafie. Berapa ramai pula orang yang mengaku Islam tetapi dia bukan Islam dan Islam tidak ada kaitan dengannya?

Justeru, mazhab kebanyakan orang adalah mazhab pemberi fatwa. Pemberi fatwa itu tidak juga terikat secara mutlak dengan mazhab Syafie sungguhpun dia mengakui sebagai pengikut mazhab Syafie. Hal ini boleh dibuktikan dengan perubahan fatwa yang berlaku di kalangan mufti dan majlis Fatwa yang ada di Malaysia. Satu masa dahulu, masyarakat difatwakan bahawa mengeluarkan zakat fitrah hendaklah dengan makanan ruji. Dalam konteks negara Malaysia, beraslah. Namun, kini, zakat fitrah tidak lagi dipungut dalam bentuk beras. Di mana-mana dalam Malaysia, ia dipungut dalam bentuk mata wang.

Demikian juga kalau dilihat kepada hukum batalnya wuduk. Kendatipun mazhab Syafie punya pandangan resmi bahawa bersentuhan kulit lelaki dan perempuan yang bukan muhram tanpa lapik adalah membatalkan wuduk, kini telah difatwakan oleh majlis fatwa di Malaysia, khususnya dalam kalangan ulama di Tabung Haji, ia tidak membatalkan wuduk. Soal ia khusus untuk jemaah haji di Makkah atau merata kepada semua orang bukan persoalan kerana hukum ISlam bukan untuk sebahagian orang dan tidak kepada sebahagian yang lain. 

Maka, mazhab kita bukan lagi Syafie. Mazhab kita adalah orang yang berfatwa!

MGP 2011

Hari ini, aku menyampaikan ucapan merasmikan muktamar MGP Sandakan. Beberapa perkara yang aku tekankan dalam ucapan ini ialah:

1) Pasti adalah aktiviti parti dan oleh itu, ia tidak memerlukan pendaftaran sebagaimana institusi pra sekolah yang lain. Perlembagaan parti telah cukup untuk menjadi hujah perlindungan dalam keadaan di mana aktiviti Pasti dipersoalkan.

2) Guru-guru Pasti adalah ejen kepada parti sekaligus jemaah.

3) Perbezaan di antara parti politik dengan gerakan Islam. 

4) Pentingnya menjaga penampilan sebagai anggota gerakan.

5) Menjaga keperibadian sebagai guru dengan pakejnya (Mua'allim, murabbi, mudarris, muaddib dll).

6) Ikhlas dan istiqamah dalam perjuangan.

Semoga guru Pasti Sandakan akan terus setia berkhidmat dan tetap dengan wala' kepada jemaah.

Saturday, March 26, 2011

Dua pilihan

Allah hanya memberi dua pilihan. Tidak ada pilihan ketiga. Samada menjadi Islam atau kafir. Jadi syakur atau kafur. Tapi...mengapa kita sering memberi pilihan ketiga dalam agama Allah. 

Ketika menjawab persoalan seorang yang tidak mengerjakan solat, kita katakan sesorang yang tidak solat itu masih merupakan seorang Islam. Tetapi Islam yang derhaka. Padahal nabi SAW telah bersabada:

من ترك الصلاة متعمدا فقد كفر جهارا

"Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhn ya dia telah menjadi kafir yang nyata".
(Hadis Riwayat Tabrani-Daif menurut Albani)


Bukankah Allah dan Rasulnya hanya beri pilihan. Sama ada anda solat dan menjadi orang Islam, tidak solat dan menjadi kafir. Sungguhpun perkataan kafir dalam hadis tersebut punya tafsiran yang dikhilafkan di kalangan ulama, mengapa kita mahu mencari jalan ketiga setelah ternyata menjadi prinsip agama Allah hanya ada dua jalan?

Hadis di atas kalaupun daif menurut Al-Bani, diperteguhkan oleh sebuah hadis yang lain yang Saheh pula menurut Al-Bani. Sabda Rasulullah SAW:

لا تترك الصلاة، فإن من ترك الصلاة متعمدًا فقد برئت منه ذمة الله ورسوله
" Jangan kamu tinggalkan solat, maka sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan solat, dia telah terlepas daripada zimmah Allah dan Rasulnya".
(HadisRiwayat Baihaqi- Arnaut mengatakannya daif tetapi Al-Bani mengatakannya Saheh lighairih)

Walau bagaimanapun, banyak tokoh hadis sebelumnya menyifatkan hadis yang pertama di atas adalah saheh seperti Ibn Hajar Al-Asqalani, Ibn Hajar Al-Haitami dan Imam As-Sayuti,




Friday, March 25, 2011

Beberapa persoalan

Apa masalahnya dengan "Al-Kitab" dalam bahasa Melayu? Kata mereka yang membantah "al-Kitab" versi bahasa Melayu, ia akan mengancam akidah ummat Melayu. Begitulah naifnya cara berfikir pihak yang mendakwa kononnya mahu menjaga akidah ummat Melayu.

Beberapa perkara yang perlu direnungkan:

a) Sampai bila kita hendak bersikap defensif? Apakah dengan jalan defensif itu kita telah mempertahankan Islam?

b) Apakah dengan menghalang orang mendapatkan maklumat akan menyelamatkan orang itu?

c) Apakah Melayu berbudaya membaca sehingga kita bimbang mereka membaca "Al-Kitab".

d) Apakah bahasa Melayu itu milik Islam sahaja?

Wednesday, March 23, 2011

Dimana akan kita mulakan hubungan sosial?

Sebahagian orang menjadi kedai makan sebagai tempatnya bersosial. Petang-petang, setelah pualng kerja, mereka berlepak di kedai makan sambil berbual dengan teman-teman. Panjang sekali ceritanya dan bermacam-macam pula. Hubungan persahabatan menjadi begitu akrab hasil daripada pertemuan berterusan di kedai-kedai makan tersebut.

Aku melihat ramai yang kukenali menjadi kedai makan sebagai medan bersosial. Timbul dalam benarku yang dunggu, mengapa merekam tidak jadikan masjid sebagai medan bersosial? Di sana ada keberkatan  dalam sebuah jalinan hubungan persahabatan.

Saatku bertemu di depan kedai runcit, di kedai makan atau dipasaraya, aku tidak ghairah untuk beramah mesra dengan yang berpapasan. Apakah keterlaluan kalau aku katakan sosial kita bermula di masjid?

Tuesday, March 22, 2011

Pening...

Heboh pula sekarang pasal video lucah Anwar Ibrahim dengan seorang pelacur yang dikatakan berketurnan Cina.Video tersebut dirakam sekitar Januari tahun ini. Sungguh ironik sekali. Dalam keadaan Anwar sibuk berdepan dengan pebicaraan kes liwat yang ditempelkan kepadanya, ada pula masanya itu melanggan pelacur. Kekadang, apa yang difikirkan oleh musuh Anwar Ibrahim tidak sama dengan apa yang akal normal kita boleh fikirkan. Anwar Ibrahim telah menafikan individu dalam video itu sebagai dirinya.

Memang berat sekali dugaan yang dihadapi Anwar Ibrahim. Siapakah lelaki yang menyerupai Anwar Ibrahim itu? Dalam dunia, ada pelanduk 2 serupa. Kata orang ada 7 orang yang wajahnya serupa dengan kita. Untuk mencari orang yang serupa bukan susah. Teknologi moden hari ini boleh membantu. Kalau kita menonton filem-filem bikinan holywood, kita akan lihat bagaimana pembedahan wajah dilakukan untuk tujuan penyamaran. Untuk misi politik yang begitu penting, tidak mustahil kerajaan UMNO akan buat apa sahaja termasuk mencipta watak Anwar Ibrahim. 

Aku sungguh benci melihat kebejatan politik ini. Aku berharap dalam masa terdekat akan terbongkar semua angkara di belakang tabir ini. Ucapan-ucapan Ummi Hafilda dalam ceramahnya mempengaruhi orang untuk menyanjungnya sebagai insan berhati mulia. Dalam dunia akhir zaman ini, orang hina boleh dianggap mulia.

Monday, March 21, 2011

Dunia masa lalu yang hilang

Duduk makan-makan di kanten hari ini, aku  bercakap dengan Mr. GB mengenai laskar masa lalu kami. Aku dengan laskar kampung kawasan ulu negeri Kedah manakala Mr. GB dengan laskar kehidupan pulau Nunuyan yang dikelilingi laut. Kami sama-sama menyetujui bahawa keindahan zaman lalu di mana alamnya kaya dengan khazanah semulajadinya, telah sirna dan tidak mungkin diputar kembali.

Rasanya, kalau bisa diputar, mahu kami memutarkannya. Aku, dalam seusia penghujung 30-an menyimpan kenangan kehidupan masa kecilku yang tinggal di kampung yang masih dikelilingi hutan rimba yang masih dara. Aku mengimbau buah-buahan hutan yang jenuh di kampungku. Terkenang kepada sungai dan sikap ibu bapa kanak-kanak kampungku yang memberi kebebasan penuh untu bermandi manda di sungai. Burung dan mergastua yang jenuh serta pokok-pokok yang berselirat akar.

Mr. GB mengimbau kenangan kampungnya yang kaya dengan ikan, udang, kepah dan bermacam-macam kehidupan laut. Jernih dan bersih air pantainya kini cuma tinggal kenangan. Udang boleh disauk dari bawah rumahnya di pulau Nunuyan. Dalam usianya yang menghampiri 60 tahun, imbauan itu sungguh menggamit shahdu. Kini tinggal kenangan yang manis dikenang tetapi pahit menganggung kehilangan.

Dunia sebenarnya sudah mendekati kiamat.

Saturday, March 19, 2011

Bible dalam bahasa Melayu

Dalam simpananku, ada sebuah "Al-Kitab" yang berbahasa Melayu. Aku membelinya semasa menghadiri satu seminar mengenai perbandingan Al-Quran dan Bible beberapa tahun lalu. Waktu itu belum timbul isu Bible berbahasa Melayu. Hari ini, isu Bible berbahasa Melayu menjadi polemik. Ada pihak yang membantah dan mendakwa ia mengancam akidah ummat Islam. Tak habis-habis dengan sikap defensif sebahagian orang Islam yang dibayangi ketakutan. Dalam sebuah negara yang mendakwa mengamalkan kebebasan beragama, kita selalu pula mendengar penganut agama lain tidak mendapat hak mereka. Jika mereka mahu mencetak Bible dalam bahasa Melayu, apakah hak kita untuk menghalangnya? Terakhir sehingga kini, kerajaan bersetuju untuk membenarkan cetakan sebanyak 5100 naskhak Bible dalam bahasa Melayu dengan catatan di kulitnya" Untuk Penganut Kristian Sahaja".

Seperti akhbar Harakah, satu masa dulu timbul isu kerana ia dijual kepada orang ramai. Akhirnya kerajaan mensyaratkan ditulis di depannya " Untuk Ahli Sahaja". Begitupun, jika kita lihat siapa yang membeli Harakah, bukan hanya ahli PAS. Hak rakyat untuk membaca tidak boleh dihalang.

Membaca Bible tidak menyebabkan seseorang muslim akan menjadi Kristian. Bible bukan sebuah kitab yang merbahaya sebagaimana sangkaan sesetengah pihak. Saya sudah baca Bible dan saya andaikan bahawa jika saya jenis pemuda yang "happy go lucky" dan tidak mengendahkan agama Islam sekalipun beragama Islam, saya tidak akan membacanya. Pemuda seperti itu lebih gemar membaca bacaan sampah. Adalah lebih bahaya membaca majalah hiburan  yang ada di pasaran berbanding membaca Bible.

Jika kerajaan bimbang akidah ummat Islam terancam kerana baca Bible, cetaklah pula Al-Quran banyak-banyak dan edarkan kepada rakyat. Bagi percuma, biar Al-Quran dimiliki oleh setiap rakyat Islam di Malaysia. Kononnya kerajaan bimbang tentang akidah orang Islam, tetapi usaha memantapkan akidah tidak dibuat secara serius. Kerajaan sanggup belanja wang berbilion untu projek mega yang mengkayakan sesetengah pihak sahaja berbanding membelanjakan wang untuk mantapkan akidah ummat.

Bila orang Kristian mahu cetak kitab suci mereka dalam bahasa Melayu kita melatah. Kita sendiri malas mencetak Al-Quran dalam bahasa Melayu. Ramai orang Islam tak ada Al-Quran terjemahan. Penguatkuasaan undang-undang yang menglang penganut agama lain amsih menjadi mekanisme pertahanan diri yang digunakan kerajaan. Itu hanya memalukan orang Islam. Seperti orang Islam ini lemah dan tidak ada stamina. Sedangkan, ummat Islam adalah tinggi dan mulia. Tetapi, kelakuan itu menggambarkan kita lekeh dan penakut!

Zaman sekarang kita perlu bersaing. Dakwah adalah persaingan. Kerajaan sepatutnya mempunyai kelebihan dan tidak perlu selalu bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang.

REHLAH ULFAH

Pada mulanya, satu program tamrin di rancang untuk diadakan pada 10-19 Mac 2011 bertempat di Air Terjun Bakong-Bakong, Sapi Nangoh. Namun, dalam mesyuarat beberapa hari lepas, ia dibatalkan dan digantikan dengan satu program singkat yang lain. Rehlah Ulfah. Demikianlah nama program tersebut. Aku sengaja letakkan nama tersebut sewaktu menyusun semula tentatif yang telah dibincangkan bersama antara aku dengan Ust Mat Isa. Program Rehlah Ulfah ini diadakan di RDC Sepilok.

Awal pagi hujan rurun dengan lebat. Sungguhpun agak lewat sampai ke tapak program, setiap peserta yang telah berjanji setia akan menyertainya hadir juga. Sebelum kaunter tiket dibuka di RDC kami sudah sampai. Biarpun hujan, ia tidak menghalang tekad kami untuk berprogram.

Program dimulakan dengan membaca ma'thurat dan kemudian tahsin Al-Quran. Surah As-Saf dipilih untuk dibacakan oleh setiap orang.Kemudian, pembentangan kertas kerja, Aku yang membentangnya dan tajuknya ialah "wahai pemuda...inilah jalan kita". Ia merupakan sebuah catatan oleh Imam As-Shaheed Hasan Al-Banna. Kemudian, berhenti rehat dan solat Zohor. Selepas Zohor diadakan kembara Al-Quran. Ia merupakan aktiviti jalan-jalan sambil menghafaz ayat Al-Quran. Tidak banyak yang perlu dihafaz. 5 ayat pertama daripada surah Al-Hujurat. Sehingga jam 3, apabila ditasmik semula, masih ada yang belum dapat menghafaznya. Menghafaz Al-Quran mungkin mudah bagi sesetengah orang tapi amat sukar bagi sesetangah yang lain. 

Program berakhir pada jam 4.44 petang. Sebelum berakhir, ada sesi penzahiran azam di mana setiap peserta menyatakan azam diri dan untuk jemaah. Program bersambung dengan qiamullail di masjid Al-Fajr pada malam ini.KIra-kira, lepas kuliah Subuh esok barulah dikira tamat program sehari ini. Semoga Allah menambahkan thabat dalam hati kami.

Tuesday, March 15, 2011

Belajar sambil bermain?

Sebenarnya, aku kurang yakin dengan teori belajar sambil bermain yang dikemukakan pakar kanak-kanak. Apakah teori seperti itu punya asas dari segi fitrah, falsafah ilmu dan keagamaan. Apa yang diungkapkan oleh pakar kanak-kanak tersebut adalah cedokan daripada teori pendidikan barat.

Kalau asyik main, macam mana mau pandai. Lihat, bukankah ada kanak-kanak seusia 4 tahun yang sudah pandai menghafaz surah-surah tertentu dalam Quran? Ulama-ulama dahulu, ada yang hafal Quran seusia 6 tahun. Bolehkah mereka mencapa tahap yang telah digapai itu dengan belajar sambil bermain??

Monday, March 14, 2011

Sabarlah hadapi masa sulit.

Bersabarlah menghadapi hidup ini. Hendaklah diyakini bahawa seandainya anda sedang mengalami keperitan untuk seketika ini, akan datang masanya selepas keperitan ini, sebuah kesenangan. Hidup bukan statik, malah ia mengalir laksana air. Dari legeh di ulu sungai, ia mengalir melintasi belantara dan desa. Air itu mulanya jernih dan murni, namun menjadi cemar dalam perjalanan. Kemudian, Allah akan murnikan ia kembali dengan proses peruapan yang kelak akan turun sebagai hujan.

Sabarlah hadapi masa-masa sulit, kelak anda akan mengenangnya dalam kemanisan di kalan anda telah melepasinya.

Saturday, March 12, 2011

Buku Dr. Mahathir cuma persepsinya

Bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir menulis sebuah buku bertajuk "A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad". Dalam buku tersebut, beliau menulis mengenai banyak peristiwa semasa pemerintahannya dan individu yang terlibat sewaktu beliau berkuasa. Tentunya, buku tersebut adalah dari tanggapan sebelah pihak sahaja. Tentunya juga, Tun Dr. Mahathir akan melakarkan yang baik sahaja mengenai dirinya dan kebijakan pemerintahannya. Al- Maklumlah , itu bukunya. 

Antara reaksi pertama yang aku dengar, Tengku Razaligh menafikan apa yang ditulis oleh Tun  Dr. Mahathir mengenai politik wang yang dimainkan oleh beliau sewaktu pemilihan dalam UMNO tahun 1987 yang menyaksikan UMNO diharamkan. Apa nak dihairankan, Dr. Mahathir pun bukan selalu betul bila berdepan dengan rakyat. Semasa pemerintahannya selama 22 tahun, berapa banyak dia berbohong dengan rakyat. Kalau berbohong dengan Tengku Razaligh, itu gampang. Bercerita tentang Anwar lagilah. Kita akan lihat betapa banyak serangan sebelah pihak dalam buku tersebut.

Huh, akau tak berminat untuk beli buku tersebut. Baik beli kitab tafsir Al- Quran lagi baik dan berpahala. RM100.00 yang merupakan harganya itu lebih berfaedah kalau dibuat beli pisang berangan banyak-banyak dan sedekah kepada murid-murid.

Friday, March 11, 2011

Berdiri untuk seorang pemimpin

Ketika Ketua Menteri berucap di atas pentas, tetamu VIP yang duduk di atas pentas bersamanya akan juga turut berdiri. Begitulah protokolnya. Demikian seroang menceritakan kepada saya.Perbuatan tersebut, rasanya seperti apa yang dilarang dalam sebuah hadis nabi SAW. Berdiri untuk seorang pemimpin adalah ditegah oleh nabi SAW.

Wednesday, March 09, 2011

Undi Pas masuk syurga.

Kalau pun benar TG Nik Abd Aziz mengatakan "undi Pas masuk syurga", ia samalah dengan seorang yang mengatakan "siapa buat baik masuk syurga". Janganlah pula difahamkan bahawa hanya dengan mengundi pas semata-mata boleh masuk syurga.  Sememangnya untuk masuk syurga, seseorang itu perlu berbuat baik. Namun, di samping berbuat baik, seseorang itu perlu meninggalkan kejahatan dan membetulkan keimanan tauhidnya untuk melayakkannya ke syurga.

Komen-komen mufti Perak yang menyalahkan TG Nik Abd Aziz mengaitkan persoalan undi dengan hukum memperlihatkan jangkitan virus sekularisme dalam dirinya. Jika berbuta sesuatu dalam hidup ini ada bezanya, sama ada baik atau jahat, maka masakan dalam kerja mengundi untuk meilih pemimpin boleh terkeluar daripada logik ini. Tentunya mengundi satu-satu parti dalam pilihanraya berkait dengan kebaikan dan kejahatan. Jika mengundi UMNO itu baik, mengundi PAS itu jahatlah. Sebaliknya, jika mengundi PAS itu baik, undi UMNO pula jahat.

Undi baik masuk syurga. Tapi tak cukup dengan undi sahaja. Kena buat lagi tuntutan yang lain. Samalah juga, tuidak cukup buat baik sahaja untuk ke syurga. Apa nak dipertikaikan dengan seseorang yang mengatakan " undi PAS masuk syurga". Kalau UMNO rasa partinya baik, dia juga boleh kata "undi UMNO masuk syurga". Semua amal kerja dalam dunia membawa kepada salah satu dua tempat sahaja. Sama ada ke syurga atau ke neraka.

Istidraj buat pelaku kezaliman

Buat pelaku kezaliman, Allah perpanjangkan keberadaan mereka di persada kezaliman. Sesetengahnya mankjubkan kita ruang masa yang mereka diberikannya. Ditambah pula wewenang yang mereka miliki selama tempoh itu tanpa digugat. Bahkah, sesetengah pelaku kezaliman itu seperti orang yang sentiasa dikasihi Tuhan kerana kurang atau sedikit himpitan hidup yang mereka rasai. Apa tidaknya? Sebegitu zalim Firaun, disebutkan dalam riwayat bahawa dia tidak pernah bersin kerana dia tidak sakit.

Namun, itu cuma istidraj Allah. Allah limpahkan mereka nikmat duniawi untuk mereka untuk melayakkan mereka dihumban dengan azab ukhrawi kelak. Kekadang, sebelum sampai akhirat Allah telah balasi mereka dengan kehinaan yang menghilangkan segalanya. Itulah pada penghujung kezalimannya. Seorang penguasa zalim berdekad, akhirnya jatuh tersungkur hina. Seorang yang megah dengan penguasaan dunia yang didirikan dengan bantuan kesyaitanan, menghadapi sakarat yang sukar.

Mereka, pelaku kezaliman itu cuna seperti kambing-kambing yang diberi makan rumput hijau oleh tuannya. Tuannya berika rumput hijau kepadannya bukan kerana sayangkannya. Dalam khayalan angan-angan sang kambing, dirasainya tuannya kasihkannya. Dia pun makan sepuas-puasnya sehinggalah dia menjadi gemuk montel. Saat itu tuannya pun mahu menyembelihnya. Di saat pisau semeblihan tuannya sudah di lehernya pun masih dia mengangankan dia disayangi tuannya.

Demikian halnya dengan mereka yang zalim itu!

Sunday, March 06, 2011

Keris itu pusaka hindu

Orang selalu melambangkan keris itu dengan Melayu. Sebenarnya keris bukan berakarkan Melayu. Jika kita lihat dalam masyarakat Jawa di Indonesia, mereka telah pun lama mengenal keris sebelum Melayu mengenalnya. Keris hebat Si Taming Sari  milik Tun Tuah sebagaimana diriwayatkan dalam hikayat itu pun asalnya adalah kepunyaan seorang pahlawan Jawa bernama Taming Sari. Keris Bukit Siguntang Mahameru yang menjadi pusaka nenek moyang sultan Melaka yang diserahkan kepada Tun Tuah untuk membunuh Hang Jebat itu pula asalnya dari Sumatera. Orang Melayu mana ada keris sebelum itu. 

Barangkali, senjata orang Melayu sebelum senjata keris masuk ke alam Melayu adalah bulu runcing dan parang kontot.

Hari ini, parti nasional Melayu terbesar di Malaysia menjadikan keris sebagai lambangnya. Pernah beberapa waktu dulu, seorang pemimpin pemuda parti Melayu itu menjulang keris sebagai lambang perjuangan bangsa Melayu.

Perlu diketahui bahawa di Indonesia, ada sebilah keris dipanggil Kyai Sengkelat yang dibuat oleh Mpu Supa Mandagri, murid kepada Sunan Ampel. Sunan Ampel dikatakan memberikan sebatang besi kepada muridnya itu untuk dibuat sebilah pedang, tetapi muridnya itu menyalahi arahan gurunya dan membuatnya keris. Sunan Ampel tidak menyukai keris kerana dianggap berakarkan budaya hindu lalu keris itu diserahkan sahaja kepada Brawijaya V, iaitu raja Majapahit yang terakhir.

Memang, dalam tradis melayu dulu kala, keris selalu berkaitan dengan pemujaan. Keris dijaga dengan mandi berlimau dan diasapkan dengan kemiyan. Tradisi syirik ini merupakan warisan daripada kepercayaan hindu yang lebih dahulu bertapak dalam masyarakat Melayu berbanding Islam.

Demonstrasi melanggar syariat?

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Mansur At-Turki, kelmarin mengingatkan bahawa demonstrasi adalah diharamkan dalam kerajaan Arab Saudi dan ia juga diharamkan mengikut Syariat Islam. Untuk itu, pasukan keamanan diberi wewenang untuk melakukan semua langkah untuk menghalang cubaan-cubaan pihak yang melanggar peraturan larangan ini.

Apa yang dikatakan jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi tersebut adalah cubaan untuk menahan kebangkitan rakyat yang sedang melanda rantau Arab dewasa ini. Di saat pemerintahan berada dalam keadaan terancam, mereka akan mencari dahan mana yang kukuh untuk berpaut. Tentunya dahan Islam itu tempat yang paling selamat. Dengan mengatakan demonstrasi itu haram dari segi agama, mereka berharap rakyat akan patuh dan mengurungkan niat mereka untuk bangkit berdemonstrasi melawan pemerintah.

Kerajaan Arab Saudi kaya raya. Tetapi kekayaan itu hanya berlegar di kalangan elit pemerintah. Rakyat terbanyak masih dalam kemiskinan. Anugerah Tuhan dalam bentuk hasil buminya dan kemuliaan dua tanah haram yang dikunjungi jutaan ummat Islam setiap tahun, disia-siakan. Bangsawan pemerintah hidup berfoya-foya dengan harta yang sepatutnya dipulangkan kepada rakyat. Pemerintahan seperti ini jauh lebih menyalahi syariat berbanding dengan demontrasi yang didakwa menyalahi syariat.

Usahlah bercakap tentang hukum syariat untuk memadamkan hasrat fitrah rakyat kalau pemerintahan sendiri melanggar syariat!

Seperti ayam betina, kokokan berderai-derai, tapi ekornya berlumuran najis.

Jenayah sudah di depan mata

Beberapa hari lepas, seorang pemandu teksi dilaporkan mati ditembak. Motif pembunuhan masih menjadi misteri. Sementara itu, sumber-sumber lokal menyebutkan juga bahawa seminggu yang lalu mayat seorang perempuan ditemui dalam longkang ditepi jalan berdepan Taman Grandview. Di sebuah sekolah, heboh gurunya bercerita mengenai 2 murid sekolah itu menjadi mangsa lewat seorang lelaki.

Di sana sini jenayah. Kini, jenayah sudah di depan mata.

Seorang sahabat mengeluh. Kerajaan, hanya kerana kepentingan undi, sanggup banjirkan bumi Sabah dengan PTI. Sebab itu, gejala sosial termasuk jenayah tidak terkawal.

Friday, March 04, 2011

TPM ke Tongod

Dengar khabar Tan Sri Muhyiddin Mat Yasin, TPM dan juga menteri pelajaran pergi ke Tongod, Telupid, Sabah pada hari kelmarin. Lawatan ke sana menyaksikan dia menganugerahkan kepada beberapa ribu penduduk di sana geran tanah berkelompok. Dia juga membuat pengumuman untuk melanjutkan perkhidmtan GSTT.

Tongod dari Sandakan bukannya dekat juga. Lebih 150 km rasanya. Tapi, dengar khabarnya beliau ke sana bukan naik kereta. Dia naik helikopter. Dia tak merasakan peritnya jalan dari Sandakan ke Tongod. Yang dia nampak adalah lautan ladang kelapa sawit. Lalu, ketika itu yang dia akan fikir adalah hasil mahsul Sabah yang boleh dikuras untuk mengkayakan orang-orang pelahap di Semenanjung. 

Cubalah naik kereta dan rasai jalan grable yang setiap hari dirasai rakyat. Barulah berhak mengaku pemimpin berjiwa rakyat.

Apalah nasib Sabah!

" Mereka jadikan Sabah hanya sebagai bumi untuk dikuras kekayaannya. Hasil mahsul minyak, hanyak dipulangkan sebanyak 5 peratus kepada negeri. Hasil kelapa sawit disalur keluar dari ladang dengan paip ke pelabuhan dan diangkut ke Semenanjung. Tiada satu pun kilang yang berskala besar dibina di Sabah. Anak-anak Sabah merantau ke Kuala Lumpur. Ramai berkumpul di Johor dan bekerja kilang di sana. Apa salahnya bina sebua kilang besar di Sabah agar anak Sabah tak perlu lagi mencari razeki sejauh itu. Anak Sabah ke Semenanjung bekerja kilang dengan gaji hanya RM1000.0 atau lebih sedikit. Sedangkan, anak Semenanjung datang ke Sabah sebagai guru, tentera, polis dan ketua-ketua jabatan dengan gaji beribu-ribu. Bagaimana pelabur mahu bina kilang besar di Sabah kalau sistem perhubungannya daif. Jalan masih "grable" di sana sini. Di Semenanjung mereka merancang sistem perhubungan mega. Zaman Dr. Mahathir, dirancang untuk buat jambatan bengkok menghubungkan Johor dengan Singapura. Kemudian, Dr. Mahathir juga merancang untuk membangunkan landasan keretapi laju utara selatan. Kosnya mencapai bilion ringgit. Kenapa tak boleh naik taraf jalan raya di Sabah. Kita tak minta landasan keretapi laju dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Kalau boleh, buat jalan yang besar dari bandar Sandakan hingga ke Batu 32 sahaja. Sekarang jalannya hanya satu laluan sahaja. Hanya itulah satu-satunya jalan untuk ke Kota Kinabalu atau ke Tawau. Itu pun mereka tak mahu bina. Mana keadilan pembangunan untuk negeri Sabah?", seorang anak Sabah menghuraikan ketidakpuasan hati yang berbuku dalam sanubarinya selama ini.

" Mereka tidak berminat untuk bina kilang di Sabah kerana mereka hanya fikirkan perut mereka. Bina kilang di Sabah, datuk-datuk dan YB yang ada di sana manakan dapat apa-apa...sesebuah kilang yang dibina, datuk-datuk dan YB ini dapat limpahannya...kalau ke Sabah, mana mereka dapat...", dia membuat telahan.

"Bukan kerajaan persekutuan yang bermasalah. Yang bermasalah adalah pemimpin UMNO-BN yang menunggangi kerajaan persekutuan untuk kepentingan diri dan kelompok mereka", aku sendiri menambah.

Thursday, March 03, 2011

Renungan

Ketika mereka beramai-ramai mengerumuni lapangan terbang, menunggu kehadiran seorang pemimpin, apakah mereka mendapat salah satud ari dua perkara ini. Sama ada mereka mendapat pahala atau mereka mendapat pamrih dunia. Kalau mereka diberikan wang RM10.00 pun memadai. Atau...andainya nama mereka dicatat sebagai orang muqarrabin dengan pemimpin tersebut, berbaloilah bersesak menunggunya di lapangan terbang.Kalau pun tidak dapat pamrih duniawi, dapat ganjaran pahala. Tapi, apakah dapat ganjaran pahala menunggu seorang pemimpin yang hanya memperjuangkan bangsanya? Sebelum menjawab soalan ini, kita perlu jelaskan dahulu, apakah perjuangannya untuk bangsanya dikurniakan pahala oleh Allah SWT? Cuba fikir dan renungkan....

Wednesday, March 02, 2011

Demokrasi telah gagal: Moshe Yaloon

 Moshe Yaloon

Menteri Urusan Strategi kerajaan haram Israel berkata bahawa demokrasi adalah sistem yang gagal kerana ia telah melahirkan Hamas yang memenangi pilihan raya Palestin dan Hizbullah yang sedang mengembangkan pengaruhnya di Lubnan. Beliau berkata demikian dalam siaran rodio tentera yang dipancarkan pada pagi selasa kelmarin. Sambil menegaskan kegagalan sistem domokrasi, beliau mengingatkan kerajaan sementara Mesir yang dipertanggungjawabkan untuk menyerahkan kuasa kepada sivil melalui piliharaya akan berdepan dengan kebangkitan Ikhwanul Muslimin.Sementara, apa yang sedang berlaku di Libya pula merupakan manifestasi pancaran sifat semulajadi manusia yang inginkan hidup merdeka dan mulia.

Dakwann Moshe Yaloon bahawa demokrasi sistem yang gagal kerana ia merugikan Israel hendaklah menyedarkan kita bahawa ia menjadi senjata yang boleh memenangkan Islam. Negara Barat sendiri yang mencipta nama sistem itu dan merangka peraturannya serta menyebarkannya, kini berdepan dengan dilema. Demokrasi telah menjadi "backfire" terhadap kepentingan mereka dan sekutu-sekutu mereka. Anak manja negara penaja demookrasi dunia, Amerika Syarikat, iaitu Israel sendiri, kini sedang merenggek ketakutan terhadap apa yang akan lahir dari demokrasi.

Sebab itu, penentangan sesetengah pihak terhadap sistem demokrasi dengan beralasankan ia sistem yang diciptakan manusia kafir, maka ia adalah sistem kufur, patutlah dinilai dengan saksama. Dr. Yusuf Al-Qardhawi adalah antara ulama yang menyokong demokrasi dikembangkan dalam negara Islam terutama dari dimensi pemilihan pemimpin. Demokrasi adalah jauh lebih baik daripada sistem "istibdadiyyah" yang sehingga kini membelenggu kebanyakan  negara ummat Islam.

Kebangkitan rakyat Arab hari ini adalah sebahagian daripada tuntutan demokrasi yang sebenarnya ada dalam naluri manusia yang bermaruah dan merdeka.


Antara dua figure

Necmettin Erbakan meninggal pada usia 85 tahun. Dia meninggal setelah meninggalkan nama harum dalam perjuangan politik yang memberi inspirasi kepada gerakan Islam di Turki. Dianggarkan ratusan ribu orang menghadiri solat jenazahnya dan upacara pengkebumiannya. Di samping itu, ramai juga pemimpin dunia yang hadir sama. Dia mmenjadi ikon perjuangan Islam melawan sekularisme.

Umur wafatnya Necmettin Erbakan itu membawaku berfikir tentang umur bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir yang begitu disanjung oleh kerajaan. Kira-kira, sekitar itulah umur Dr. Mahathir sekarang ini. Dia masih hidup dan sihat. Biarpun telah melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri, beliau masih lagi dilantik sebagai penasihat Proton. Dia masih giat mengembangkan pengaruh parti yang pernah dipimpinnya dahulu. Ucapan-ucapannya pekat dengan semangat nasionalisme. Permusuhan politiknya dengan tokoh gerakan politik Islam di Malaysia masih berlanjutan. Ironinya, dia giat pula dalam program-program kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

Rasanya, ketika Dr Mahathir meninggal nanti, apakah dia akan disanjung sepertimana orang menyanjung Necmettin Erbakan?Apakah ratusan ribu juga akan solat jenazahnya? Apakah akan ada laungan "Allahu akbar" untuk mengiringi kepergiannya?

Tuesday, March 01, 2011

Mempertuhankan Amerika dan Israil

Abdullah Saleh, presiden Republik Yaman menuduh Amerika Syarikat dan Israil sebagai dalang di sebalik kebangkitan rakyat di beberapa buah negara Arab menentang pemerintahnya. Demikianlah jalur berfikir pemimpin diktator yang kini sedang nazak nafas kekuasaannya. Ketika mereka berkuasa, mereka mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat dan Israil. Saat kuasa mereka goyah, mereka katakan pula Amerika Syarikat dan Israil pula yang merancang semuanya.

Apa boleh buat. Mereka itu menganggap Amarika Syarikat dan Israil sebagai tuhan mereka. Tidak ada satu pun yeng terjadi dalam dunia ini melainkan kerana tangan-tangan Tuhan mereka itulah. Pemimpin yang sebeginikah mahu disimpan dalam negara umat Islam??

Abdullah Saleh perlu disingkirkan!

Guru politik

Necmettin Erbakan, seorang mahaguru politik Islam dari Turki telah berpulang menemui Rabnya. Di bumi yang sama juga telah lahirnya seorang guru politik sekular bernama Mustafa Kamal At-Tarturk. Presiden Turki sekarang, Abdullah Gul dan perdana menterinya Recep Tayyip Erdogan merupakan murid kepada Necmettin Erbakan. Di seluruh dunia, ramai yang mengkagumi Necmettin Erbakan. Mereka adalah ahli politik berhaluan Islam yang berjuang di negara masing-masing.

Malangnya, ada orang yang menjadikan gurunya adalah Mustafa Kamal At-Tarturk. Manusia yang dicela ummat kerana kerosakan yang dibuatnya terhadap negara Turki secara khusus dan dunia Islam secara umum, disanjung pula oleh murid politiknya. Murid politiknya ada di seluruh dunia sebagai mana ada pula murid politik insan bernama Necmettin Erbakan. 

Tentu kita tidak dapat melupakan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh orang ternama yang dipanggil negarawan dalam negara kita bahawa Mustafa Kamal At-Tarturk memberikan sumbangan besar kepada Islam kerana pendekatan progresifnya. Kerana, itulah guru politiknya. Kini, ilmu politik Mustafa Kamal At-Tarturk itu dipanuti pula oleh penerusnya. Penerusnya itulah yang menjadi dedalu yang mendokong sekularisme dalam negara Ummat Islam.

Ketika fajar Islam telah berkuasa, kita akan menimbus semua nama yang berguru kepada Mustafa Kamal At-Tarturk. Kita akan kenang insan seperti Necmettin Erbakan dan murid politiknya yang telah menyumbang  untuk kebangkitan Islam. Dialah guru yang perlu kita pelajari ilmu politiknya.

Siapa Gaddafi itu?

Kata Gaddafi, dia bukan presiden. Dia juga bukan raja. Bagaimana negara-negara luar menyuruhnya berhenti. Berhenti daripada apa? Sambil ketawa, dia katakan bahawa rakyat Libya sangat sayangkannya dan sanggup mati demi mempertahankannya. Beliau menafikan ada demonstrasi rakyat menentangnya sebagaimana yang dilaporkan media.

Sungguh aneh perangai Gaddafi ini. Seluruh dunia sudah tahu rakyat Libya sedang bangkit menetangnya. Dia masih boleh menafikannya adanya kebangkitan itu. 

Sepertinya dia dalam mimpi lagi. Kalau dia bukan raja, bukan presiden, dia siapa? Apakah mungkin dia syaitan yang menjelma sebagai manusia?

Islam adalah perjuangan berantai

Pejuang nasonalis itu lahir dan berjuang tanpa hubungan yang kuat dengan pejuang seumpamanya pada zaman sebelumnya. Hayat perjuangannya singkat cuma. Ini kerana hayat sesuatu bangsa tidak lama. Ada satu bangsa yang pernah lahir di dunia, kini telah sirna dari muba bumi. Kita tidak kenal lagi bangsa yang bernama Add, Tsamud dan Madyan yang disebut nama mereka dalam Al-Quran. Bangsa-bangsa yang ada pada hari ini juga tidak ada jaminan akan terus kekal di bumi. Sebab itu perjuangan nasionalis tidak akan kekal lama. Ia bermula pada satu tempoh terdahulu yang dekat sahaja.

Lainnya halnya perjuangan Islam. Ia telah lama dan akan lestari selama ada dunia ini.

Sebab itu, ketika mana Dr. Mahathir bertentangan dengan TG Nik Abdul Aziz bertentangan mengenai perjuangan bangsa Melayu dan perjuangan Islam, aku melihat Dr. Mahathir cuma menggoncang sebatang pohon yang kukuh mengakar sejak berzaman. Sebelum TG. Nik  Abdul Aziz sudah ada pendahulu. Bukanlah Beliau perintis kepada perjuangan berasaskan Islam tersebut. Seumur Dr. Mahathir digunakan untuk menggugah jalan perjuangan berasaskan Islam, ia akan mati dengan kegagalan pada akhirnya.

Perjuangan Islam punya mata rantai yang kukuh. Ia laksana barang tembikar yang kekal di bumi. Sedangkan perjuangan nasionali umpama buih di permukaan air. Perjuangan Islam laksanan pohon yang akarnya menancap di bumi sedangkan dahan menggapai langit. Perjuangan Nasionalis pula hanya seumpama debu tanah yang kelak bakal dihamburkan oleh tiupan angin.