CARI BAHAN

Friday, March 07, 2014

MEREBUT PANJI KEBENARAN

Pertarungan merebut panji kebenaran telah berlangsung lama. Sejak zaman Qabil dan Habil lagi. Bahkan, sebelum itu ketika Iblis menegakkan kebenarannya enggan sujud kepada Adam, pertarungan itu telah pun wujud. Maka, ia berlangsung hingga kini dan akan berterusan hingga habis kiraan hari.

Ketika menghujat Nasrani, mereka kata, mereka berada di atas kebenaran. Demikian hujatan terhadap Yahudi bahkan Wasani sekalipun. Kebenaran tetap menjadi zikir suci mereka semua. Jika dakwaan menjadi jawapan, maka dunia ini amat bingung dan penuh dengan kekeliruan.

Justeru, atas dasar apa mahu dikatakan seseorang telah menemui kebenaran? Jika melihat kepada pencapaian dunia, maka yang benar adalah tamadun Barat dan sesatlah tamadhun Islam. Apakah pula perlu dilihat kepada akhlak dan perangai untuk mengatakan seseornag itu benar? Itupun sukar kerana dalam zaman edan ini, akhlak orang kafir lebih mulia dari sebilangan orang yang mengakui beriman!

Mungkin kebenaran boleh dicermin kepada mazhab ikutan. Itu pun akan menemui kebuntuan kerana pertembungan mazhab akan membawa kepada dakwaan bahawa diri sendirilah yang sendtiasa betul. Padahal, setia mazhab ada hujatannya.

Sesetengah orang membuat escapisme dengan memasakkan kebenaran dengan mengikut seseorang. Seseorang yang tentunya diyakini benar. Namun, banyak kes seorang yang dikatakan benar pada satu masa, kemudia dianggap khilaf pada masa yang lain.

Lantas, setiap orang akan berkata dengan senyum dan mengurut dada;"Aku telah menemui kebenaran!".

Benarkah?

Kata kunci kebenaran sebenarnya mudah. Ia tidak jauh daripada lingkungan Al-Quran dan Hadis. Kedua-duanya itu mungkin terdedah kepada pemahaman berbeza dan tergelincir. Namun gelincir dalam memahami Al-Quran dan Hadis itu lebih baik dari gelincir dalam meladeni jalan yang sunyi dari bimbingan Al-Quran dan Hadis.

Jika ukuran bukan kedua-duanya, misalnya amalan nenek moyang, petua oorang dulu, kitab mazhab, kalam syeikh, mimpi kasyaf dan yang seumpamanya, maka tarian tafsir telah melewati lingkungan batas kebenaran.

No comments: