CARI BAHAN

Sunday, March 30, 2014

Kisah Keretaku Dicuri (5): Bersabar Atas Musibah

Apabila kereta kena curi, memang terkejut beruk. Lebih-lebih lagi pada saat mindset kita tidak disediakan untuk itu. Begitulah keadaanku bila melihat keretaku tiada di tempatnya dan menyedari bahawa ia telah dicuri, Tapi, tidaklah aku sampai macam beruk yang terkejut. Cuma, aku panik seketika. Aku belum cukup hebat untuk berdiri sambil menyaksikan kehilangan keretaku itu sambil tersenyum dna mengucapkan "Alhamdulillah". Atas kekurangan manusiawiku, aku dan isteri segeri berfikir untuk segera membuat laporan polis. Terlupa untuk mengucapkan istirja'. Hanya setelah kembali dari membuat laporan polis di balai polis Putatan, dan duduk menenangkan diri dalam kamar hotel, barulah aku mengucapkan istirja' berulang kali. Terus aku dan isteri mendirikan solat hajat dan aku memohon kepada Allah agar berikan aku ketenangan.

Menghadapi kehilangan barang yang kita sayang, aku tidak rela kehilangan ketenangan. Antara berhajat agar kereta hilang itu segera kembali kepadaku dan keperluan hati yang tenang, keduanya berlumba-lumba dalam hati. Aku cuba memujuk hati agar bertenang dan meyakini bahawa jika masih menjadi razekiku, keretaku akan kembali semula kepadaku berserta dengan harta di dalamnya. Jika ia bukan menjadi razekiku, apa pun yang kulakukan, ia tidak akan kembali kepadaku.

Sewaktu membuat laporan polis di balai Putatan, polis itu sambil menulis laporan , sempat mengeluh mengenai kehilangan MH370. Ketika itu aku turut menyambut nestapa yang dikeluhkannya dan mengatakan bahawa nestapa yang menimpaku tidak seberapa berbanding apa yang menimpa keluarga MH370. Bersyukurlah kerana aku mendapat nestapa yang tidak seberapa.

Kita sering menyebut, Allah akan menguji seseorang dengan ujian yang mampu ditanggungnya. Itulah percakapan dan percakapan perlu dibuktikan. Barangkali Allah ingin mengujiku melaksanakan kata-kata. Dalam kuliah-kuliahku serta daurah Al-Quran yang kusampaikan di masjid, aku mengingatkan ahli jemaah yang kehilangan barang agar jangan sekali-kali bertandang kepada tok bomoh pencari barang hilang. Aku sifatkan mereka adalah Kahin yang boleh melucutkan faedah ibadah dan juga keimanan. Maka, mungkin Allah mahu menguji keteguhan hatiku dan mahu memimpinku melaksanakan apa yang aku syarahkan.

Perkara terbaik adalah bersabar. Jika kita bersabar di atas satu kehilangan, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Itulah yang selalu dinasihatkan. Tinggal lagi kita meyakininya.

Aku berharap Allah menambahkan keyakinanku. Menenangkan jiwaku. Mengganjari kesabaranku sebagaimana janjiNya.


إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

No comments: