Keberadaan Nasharuddin Mat Isa dalam Pas memang sudah tidak punya makna lagi. Apa gunanya berada dalam Pas, lebih-lebih lagi dalam barisan kepimpinan tertinggi jika yang dibawanya adalah suara sendiri dan bukan suara jemaah. Orang, kalau hidup berjemaah, hendaklah menjunjung suara jemaah. Kalau kepimpinan jemaah putuskan sesuatu dalam mesyuarat, itulah yang akan diperjuangkan di luar mesyuarat. Seorang yang gagal menegakkan citra hidup perjuangan berkumpulan, lebih baik pergi hidup sendirian.
Hati dan perasaan para pendokong perjuangan peringkat akar umbi tidak perlu dihantui perasaan nostalgik. Tegak rebah individu dalam perjuangan adalah lumrah sepanjang episod perjuangan Islam. Manusia tidak menjadi mahal kerana dirinya, tetapi jadi mahal apabila mampu berganding bahu dengan manusia lain menjunjung misi mulia. Perjuangan yang mahal akan melahirkan manusia yang mahal. Apabila perjuangan mahal ditinggalkan, lantas menempah perjuangan murahan, manusia itu akan jadi murah. Manusia murah akan cepat dilupakan.
Pendapat sendiri sering dibayangi emosi. Jika terlalu merasakan diri benar sehingga menyepetkan mata terhadap pandangan kolektif jemaah, maka memang wajarlah berdiri sendiri. Berdirilah selama mana mampu berdiri. Apabila mahu rebah, rebahlah sebatang kara tanpa ada yang sudi menangisi. Setelah dianugerahkan Allah berkat dalam perjuangan berjemaah, mahu juga berjuang dalam warna bikinan sendiri, maka silakan cari kekuatan perjuangan. Rabalah sokongan dan dokongan dan carilah teman setia yang penuh makar.
Tidak akan pernah ada kemuliaan hidup buat mereka yang berpaling dari medan perjuangan!
No comments:
Post a Comment