CARI BAHAN

Saturday, March 23, 2013

Dua kematian yang berbeza.

Di kala matinya seorang ulama
Seluruh dunia bagai terkesima
Telah hilang tempat bertanya
Ke mana pula hendak meraba.

Bila matinya sang penguasa
Ada insan merasa lega
Mangsa tertindas rasa selesa
Sentosalah sebuah medan laga.

Kampung kami pun tidak selamat!

" Saya tidak dapat memberi sokongan untuk digunakan surau ini sebagai tempat rawatan kesihatan...kampung kami ini pun bukannya selamat", keluh seorang warga yang menghuni kampung air di bandar Lela.  Dia kelihatan kurang senang dengan kehadiran rombongan sukarelawan dari PAS untuk memebrikan khidmat sosial di kampung mereka.

Memang, kalau pembangkang tidak boleh gunakan surau untuk tujuan apa pun. Kalau boleh, untuk solat pun akan dihalang. Namun, setakat ini belum ada selancang itu. Namun, untuk menyempitkan ruang gerakerja kumpulan yang diistilahkan pembangkang, pelbagai halangan dibuat. Padahal, seringkali majlis-majlis bersama pemimpin UMNO-BN dibuat di surau dan masjid. Mungkin mereka lupa bahawa hari-hari dalam hidup adalah putaran yang menjadikan orang di bawah kekadang naik ke atas. Demikian, ramai juga orang di atas terhumban ke bawah.


Orang kampung sering diperdaya dan diugut. Mereka memeliharan kampung mereka dengan sangkaan bahawa kampung air mereka akan selamat di tangan penguasa. Mereka sedar bahawa kampung mereka mungkin diroboh pada bila-bila masa, tetapi jiwa mereka tidak ada penentangan Mmereka memang benar berjiwa mentimun di bawah asakan durian.

Aku mengharapkan bangsaku akan meniru watak bangsa Romawi dalam soal hak dan kebebasan sebagai rakyat.

Cakap sendirian

Aku tanya
Biar aku yang jawab

Aku mahu umpat keji
Jangan ada yang keji aku.

Aku berhujjah
Tak perlu lawan
Kerana aku suka membalas hujahku sendiri

Aku tok dalang
Aku yang mainkan wayang
Aku juga yang nyanyikan lagu
Biar aku buat semua

Orang lain dengarlah sahaja
Kerana aku tidak suka mendengar.
Kerana hanya aku ada hak bicara

Thursday, March 21, 2013

Biarkan dunia mentarbiah

Ramai juga generasi yang lahir sebagai pejuang Islam pada satu masa punya latar belakang yang tidak dijangkakan menjadi pejuang. Masa kecilnya dia diramalkannakan menjadi penentang Islam, tetapi bila dewaa dia menjadi pejuang Islam.

Dalam satu kelas pengajaran, aku menerangkam mengenai lambang parti BN yang menjadi induksi untuk tajuk akidah iaitu "Allah bersifat Maha Penghitung". Maka, aku menunjukka lambang BN yang digunakan untuk menimbang. Bila aku lukis lambang BN, aku lukis juga lambang Pas, PKR dan DAP.

Seorang murid bertanya mengenai lambang yang aku pilih.

Sang durjana

Jika ditanya
Siapa sang durjana

Kukatakan dia adalah si folan
Yang tika diberi amanah
Lalu dikhianati
Wang negara berjuta disonglap
Untuk kepentingan diri dan anak bini
Membangun kelompok kroni
Lalu meninggalkan rakyat mengemis di bumi sendiri.

Sang durjana
Bukan menurut hadis TV
Bukan penggugat algojo kuasa
Yang lupa diri

Riak Patriotisme

Negara ini
bukan milik seorang dua
bukan milik pemimpin nusa
bukan milik raja bertahta
bukan juga hak anta
bukan juga ana yang punya

Negara ini bukan milik tentera bersenjata
Negara ini bukan kepunyaan polis perwira

Pada saat patriotisme menggelegak
cinta nusa melonjak tegak
patriotisme menjadi bahan riak
aku seorang yang lain tidak

jika rakyat kritik raja
jangan dihina ditanggal celana
dikatakan tidak cinta negara

Jika ada orang berkata
ungkapan tidak sedap di telinga
terhadap polis dan juga tentera
jangan pula dinafi warganegara

Semua manusia menanggung dosa
polis tentera dan juga raja
rakyat hina bangsawan mulia
dalam negara milik bersama
tidak boleh mendabik dada.

Jangan dimaksum setengah manusia
kritik kata dianggap dosa
puji sanjung itu sahaja dipinta

Jika demikian
Musnahlah negara bangsa
tidak bermakna ajaran agama.


Wednesday, March 20, 2013

Antara dua negeri

Sebuah negeri
tanahnya luas saujana mata
ladang sawit tumbuh melata
minyak memancut sampai ke angkasa
pemimpin kaya rakyat papa
rumah penguasa bak istana
rumah marhaen setinggan cuma
bertapak pula di tepi samudera
jalan raya berbatu lada
pecah berlopak setiap masa
hutang negeri beribu juta

Dikhabar lalu dalam berita
rakyat bahagia senyum ceria
aman damai sentosa bahagia

Sebuah negeri yang lain pula
Industri berkembang tiada seumpama
pelabur menagih laba berjela
jalan berselirat lebuh raya
bangunan mencakar awan mega
pemimpin dan rakyat rumah serupa
bumi mencurah pasir sahaja
simpanan negeri wang berjuta

Dikhabar lalu dalam berita
rakyat merintih derita sengsara
bangkit bangun demontrasi bersuara
itu ini masalah segala
air empangan penuh sampai gunungnya
dikatakan surut ke batu tanda
tandas tersumbat dilapor media
mati seekor ayam serama
heboh gempita serata dunia
mati seorang wanita Mongolia
ditutup sunyi senyap berita.
wanita janda muda bertenaga
warga emas tua renta
mereka bertanya duitku mana?

Di sini air mengalir deras
dari legeh gunung Kinabalu
setiap tetes berbayar harga

Di sana air menampung jelata
Masih ada yang percuma

Apa guna negeri kaya
Kalau rakyat membayar harga
untuk mendapat secebis cuma

Demontasi budaya kita...

Demonstrasi bukan cara kita. Begitulah yang media cuba beritahu kepada rakyat apabila demontrasi Bersih diadakan dulu. Kemudian perhimpunan yang dilakukan oleh pembangkang kemudiannya cuba digambarkan sebagai budaya songsang, salah dan para ulama upahan pun mencari dalil dari nas syarak untuk mengharamkannya. Kemudian, kita menyaksikan tindak tanduk yang berbeza dari pihak yang mengharamkan demokrasi itu. Para ulama upahan tersebut juga seperti sudah menghalalkan apa ayang diharamkan sebelumnya.

Kini, hampir setiap malam TV Malaysia memaparkan rakyat (segelintir kecil) negeri y6ang diperintah PR melancarkan demo. Negeri Selangor paling banyak demonstarsi diadakan. Dari masalah pasir, air, perumahan, manifesto, LGBT dan bermacam-macam lagi. Di Pulau Pinang juga banyak demonstrasi diadakan Begitu juga Kedah dan Kelantan. Nampaknya negeri Pahang, Johor, Melaka dan lain-lain negeri yang ditadbir oleh parti yang memerintah Persekutuan dalam keadaan yang aman damai dan serba sempurna.

Khabarnya, rakyat dalam negeri itu hidup bahagia dan sentiasa senyum gembira. 

Demontasi sudah menjadi budaya sekarang. Siapa yang paling suka berdemontrasi sekarang?

Demontstarsilah sehingga putih mata terbeliak.

Monday, March 18, 2013

Berpolitiklah dalam syurga

ISMA terjun dalam politik dan bakal menyerta pilihanraya. Slogannya adalah " undila calon Islam berwibawa".Sekilas pandang, nampaknya ISMA adalah budak hinggusan yang baru hendak mengenal politik kancah demokrasi pilihanraya. Dalam sebuah negara majmuk, masih ada kelompok yan berfikir dalam kotak sempit sendiri.

Ummat Islam di Malaysia hanyalah sekitar 70 peratus. Itupun kalau semua Melayu disifatkan Islam dan ditambah dengan orang Islam dari pelbagai kaum yan lain. Dalam komposisi kemajmukan tersebut, masih lagi ISMA termanggu-manggu dalam politik yang tertutup.

Undilah calon Islam berwibawa.

Bagaimana penduduk Islam kawasan yang tidak ditandingi calon Islam?Perlukah mereka mengundi atau abaikan sahaja hak mengundi mereka?Dosakah jika undi mereka diberikan kepada salah satu calon yang terbaik antara dua calon bukan Islam yang bertanding?

Setahuku, bau politik sebegini pernah direntasi oleh PAS pada tahun 70 an dan 80 an. PAS sudah menganjak meninggalkan politik yang tidak bijak itu. Politik alam syurga loka. Kini ISMA pula yang sedang meladeni politik syugawi itu. Parti kebangsaan, sosialis, dan leberalis hanya ketawa melihat parti yang mahu menyuarakan Islam terpenjara dalam pagar syurga di dunia.

Sebab itu, UMNO gelisah kalau PAS tidak lagi seperti dulu. PAS bukan lagi parti pak lebai. Dikatakan PAS sudah meninggalkan dasar perjuangannya. Diusahakan konflik antara ulama dan profesional agar orang ramai menanggapi bahawa PAS sepatutnya dikuasai oleh golongan ulama sahaja. Ulama menurut kefahaman UMNO adalah pak lebai yang ada di pondok. Biarlah batas PAS hanya dalam perkampungan pondok. Kalau PAS sudah masuk ke universiti, ia sudah mengancam UMNO. Lebih-lebih lagi kalau PAS sudah memasuki kandanh babi. Kini, PAS sudah masuk ke pawagam, kelab malam dan studio nyanyian.

ISMA mau berpatah ke belakang dan mendakwa Islam mereka sebagai suci?

Pergilah berpolitik di syurga!

Sunday, March 17, 2013

Katak di atas kiambang

Hari ini dikhabarkan melalui risalah yang disebarkan di masjid-masjid , Ibrahim Ali, presiden Perkasa datang ke Sandakan. Semalam Perkasa menganjurkan solat hajat di masjid As-Syakirin, Indah Jaya (Perkasa menulisnya sebagai masjid Nurushhikin).Sing ini pula akan ada program penerangan di Dewan Masyarakat. Isunya adalah Dalang di Lahad Datu. Ibrahim Ali adalah perasminya.

"Pagi ini ada ceramah Ibrahim Ali di Dewan Masyarakat", aku menyapa Hj. Yusuf seusai solat Subuh pagi tadi.

"Ya?", Hj. Yusuf ketawa." Saya tak minat Ibrahim Ali", ujar Hj. Yusuf.

Entah siapalah yang sudi pergi mendengar penerangan Ibrahim Ali di Sabah ini.  Perjuangan orientasi Melayu tidak laku di sini. Orang Bugis dan Suluk bukan merasakan diri mereka Melayu. Walau namanya pertubuhan Peribumi, sejauh mini yang dilaungkannnya adlah nama Melayu. 

Tambahan, muka Ibrahim Ali itu sudah banyak keluar TV. Pendekya, rata-rata politikus melompat sering keluar TV. Semuanya kini bernaung di bawah UMNO dan mengemis simpati kalau-kalau diberi peluang bertanding mewakili UMNO menentang PR.

Sebagaimana riwayat hidup sejenis haiwan yang sering berenang dalam kolam dann hinggap berdegung memanggil hujan atas sekeping daun kiambang, riwayat politiknya tidak akan melewati sempadan kiambangnya.

Saturday, March 16, 2013

Antara ISMA dan PAS

Bila berpolitik, politik itu merupakan sesuatu yang hidup dan bersifat anjal. Pada satu masa, sikap politik seseorang berada pada satu tahap, namun, pada satu ketika yang lain ia akan berubah. Sesuatu yang ditentang pada satu masa mungkin akan didokong pada satu masa yang lain.

Ketika MNLF menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Manila, sekumpulan orang dalam MNLF menentangnya lalu mereka keluar dan menubuhkan MILF. Namun, setelah lama berjuang, tahun ini MILF pula mengorak langkah membuat perjanjian damai dengan kerajaan Manila. Mungkin langkah perdamaian berbeza tetapi apa yang nyata sikap MILF juga berubah.

Hari ini, dalam arena politik Malaysia telah tampil satu wadah baru yang dipanggil ISMA. Khabarnya ISMA akan masuk bertanding dalam pilihanraya dan membawa slogan "Undilah Calon Muslim Berwibawa". ISMA membezakan diri daripada PAS bertitik tolak daripada beberapa isu lewat terakhir ini. PAS juga pernah berpendirian semacam ISMA beberapa tahun dahulu. Ketika itu PAS berpolitik dalam kampung sendiri. Dengan cara politik sedemikian, PAS tidka pernah menjadi ancaman kepada UMNO-BN. 

Apabila keadaan banyak berubah, PAS mula mengharapkan undi daripada yang bukan Islam. Kerana itu tema "Negara Islam" diubah kepada " Negara Berkebajikan". DHPP pula sudah diwujudkan. Banyak pendekatan politik PAS mengalami pembaharuan. Sebahagian pemerhati melihatnya sebagai penyimpangan. ISMA termasuk yang melihat kelencongan PAS itu. 

Melalui tema yang dibawa ISMA itu, perjuangan politiknya hanya berbuah di kalangan orang Islam. Dalam keadaan UMNO-BN meraih banyak mileage politik melalui pluralisma politik, amat rugi kalau pejuang Islam masih ditakuk lama. Keberadaan orang bukan Islam sebagai warga negara berdaulat perlu dihargai. Itulah sebenarnya tuntutan Islam. Perjuangan sebuah gerakan Islam bukanlah hanya semata-mata untuk membela orang Islam. Islam itu, sebagaimana dikonotasikan, adalah Rahmatan Lil 'Alamin.

Maka, Penampilan PAS dengan gaya politik baru ini benar-benar membingungkan musuhnya. Sebab itu, tidak menghairankan kalau puak yang selama ini memandangkan sepi kepada tema negara Islam mula mensesali hilangnya selogan negara ISlam daripada PAS. Mereka juga merintih mencari ke mana perginya perjuangan hudud dalam PAS. Ironinya, yang mengeluh itu adalah para pemimpin UMNO sendiri yang selama berdekad menentang perjuangan hudud yang dilaungkan PAS.

Sebab itu, kalau berpolitik biarlah pandai. ISMA akan belajar banyak perkara. Pada akhirnya (Kalau ISMA boleh bertahan hidup), jejak yang ditempuh MILF akan menyapa ISMA juga. Apa yang PAS hadam hari ini akan ISMA hadam pada masa akan datang.

Friday, March 15, 2013

Politikkan Isu Lahad Datu.

Isu Lahad Datu bukan satu sandiwara. Ituah yang diulang-ulangkan oleh media saban malam. Menganggapnya sandiwara ditafsirkan sebagai penghinaan terhadap pasukan keselamatan. Itulah logik yang diputarkan. Tian Chua bukanlah satu-satunya pemimpin yang memberi komen bahawa isu di Lahad Datu itu adalah sandiwara. Terdapat beberapa pemimpin lain yang mengungkapkan hal yang sama. Antaranya ialah Datuk Lajim yang merupakan MP Beufort, Sabah. Kenyataan beliau tersebut telah dilaporkan oleh media blog tetapi tiada sebarang kurukan ditimpakan ke atasnya sebagaimana yang ditimpakan ke atas Tian Chua.

Mengamati gelagat pemain isu Lahad Datu ini, kita akan merasa tidak faham dengan jalan fikir bermuslihat mereka. Mengapa kemarahan orang-orang itu terhadap Tian Chua terlampau sangat sampai melebihi kemarahan mereka terhadap kumpulan penceroboh? Ironinya, terdapat gesaan agar kewarganegaraan Tian Chua dilucutkan sedangkan kewarganegaraan pemimpin penceroboh tersebut tidak dipertikainkan. Kenapa kewarganegaraan Tian Chua yang mahu dilucut padahal Azzimudie Kiram itu dikatakan merupakan pemegang kad pengenalan warganegara Malaysia yang diberikan di bawah pemerintahan Dr. Mahathir.  Seharusnya desakan agar kewarganegaraan penceroboh tersebut dilucutkanlah yang dikumandangkan.

Apa yang nyata, mereka memang bermqan politik dalam isu Lahad Datu. Ia menjadi kolam ikan politik buat para pengamal politik oppurtunis itu.

Saturday, March 09, 2013

Syaitan berbahasa malaikat

Jangan berasa tergaman ketika melihat seseorang itu berbahasa indah dan butir bicara.

Seorang penyanyi  pun berkata insya Allah ketika membayangkan konsert yang akan diadakan.. albun yang akan keluar dan sebagainya.

Diktator yang bengis dan zalim pun boleh berbicara kayak seorang wali.

Malah, syaitan pun boleh berpakaian malaikat serta mengungkap kalam laksana wahyu yang dibawa malaikat.

Justeru, ketika menyaksikan Saiful Bukahari Azlan menafikan kenyataan bapanya dan menyifatkan bapanya tersesat jalan, dia menyeru bapanya kembali ke pangkal jalan. Kalimah-kalimah muluk seperti bertawakkal kepada Allah, istiqamah dan berdoa serta sebagainya meniti di bibirnya.

Itu bukan jawapannya.

Ingatlah bahawa syaitan pun boleh membaca Quran!

Wednesday, March 06, 2013

Sabah bukan sejati kepunyaan raja Sulu

Pada zaman dahulu, perairan laut Sulu ini banyak lanun berkeliaran. Tanah besar Borneo Utara di bawah kekuasaan Sultan Berunei. Lanun-lanun perairan Sulu sering membuat kacau ganggu ke atas empayar Sultan Berunei.Pada masa tersebut, di sana telah pun ada pemerintahan Kesultanan yang muncul iaitu kesultanan Sulu.Para lanun perairan tersebut, menurut sesetengah pendapat adalah orang-orang Sultan Sulu sendiri. Kesultanan Berunei sukar membanteras aktiviti perlanunan di wilyahnya. Maka, bantuan Sultan Sulu dipinta. Bukan hebat sangat ketenteraan Sultan Sulu tersebut. Tetapi bak kata orang, baling batu sembunyi tangan. Kalau lanun-lanun itu orangnya sendiri, apalah susahnya raja Sulu untuk membanterasnya.

Kejayaan Sultan Sulu menamatkan gangguan lanun menyebabkan Sultan Berunei menghadiahkan kepadanya tanah daratan di sebelah pantai timur Sabah kepada kesultanan Sulu. Sejak itulah sultan Sulu memiliki kekuasaan atas bahagian yang hari ini dikenali sebagai Semporna, kunak, Sandakan dan Beluran. Tawau pada masa dahulu dikatakan di bawah kekuasaan raja dari puak Tidong yang kemudian terhapus dengan terbentuknya republik Indonesia.

Hari ini, kalau ada individu mengaku Sultan Sulu mendakwa bahawa Sabah ini tanah warisan kesultanan mereka, kita mahu ingatkan meka bahawa asal muasalnya Sabah adalah anah Kesultanan Berunei.Merika dihadiahkan tanah ini oleh Sultan Berunei.

Kalau sejarah mahu ditoleh, bukan separuh sejarah sahaja. Tolehlah sejauh mungkin. Jangan hanya mencari keuntungan untuk diri sahaja.

Tuesday, March 05, 2013

Aku bimbang-Krisis Lahad Datu

Tak tahu nak kata apa. Datuk Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklukan 3 jet pejuang F-18 dan 5 buah Hawk digunakan untuk menyerang penceroboh yang berkampung di Kampung Tandou. Tentu sekali serangan tersebut memuaskan hati kebanyakan rakyat Malaysia yang sudah begitu bengang dengan karenah penceroboh yang setakat ini telah membunuh 8 orang anggota keselamatan dan mencederakan beberapa yang lain.

Padan muka para penceroboh Sulu itu. Barangkali demikianlah detap geram rakyat yang terbakar semangat patriotiknya. Serangan dengan menggunakan jet pejuang dan pesawat Hawk tentulah tidak terlawan oleh pasukan penceroboh. Serangan sedemikian juga membawa kepada sifar korban di pihak angkatan tentera Malaysia.

Namun, aku melihat satu kerisauan lain. Pihak luar, khususnya rakan-rakan seperjuangan dan para simpatisan para penceroboh akan melihat serangan tersebut melewati had dan satu kekejaman. Apabila peperangan tidak diwujudkan danalam situasi yang seimbang, pihak yang kurang kelengkapan akan merintih simpati. Kemungkinan simpati diraih tambah adalah besar.

Kebimbangan ini ada asasnya apabila sudah ada suara-suara hati panas dari rantau Filipin yang menyifat tentera Melaysia sebagai kejam. Lebih malang kalau ada pandangan sedemikian yang tersebar di kalangan kaum Suluk yang mungkin simpatisan mereka . Ia amat bahaya dan beresiko. Kemenagan segera yang mahu diraih biasanya menatijahkan implikasi negatif.

Ini hanya sekadar kebimbanganku sebagai rakyat biasa yang menilai perkembangan. Cinta dan patriotikku kepada nusa ini usah dipersoalkan.

Monday, March 04, 2013

Apabila nak damaikan Bangsa Moro...

Beberapa minggu yang lalu, media kerajaan Malaysia dengan bangganya mempamerkan kejayaan DS Najib mendamaikan  pihak Moro dengan kerajaan Filipina. Ia menjadi modal politik UMNO dalam menghadapi PRU ke 13. Seperti juga lawatan DS Najib ke Gaza, ia didendangkan dengan penuh bangga oleh penyokongnya. Tiba-tiba, DS Najib yang berjaya mendamaikan antara Moro dengan Filipina kini bermusuhan pula dengan bangsa Moro itu. Ini benar-benar karamah Allah, menunjukkan hakikat di sebalik dabik dada.

Permasalahan yang melanda Lahad Datu dan kini merebak ke Semporna benar-benar pukulan buat DS Najib. Ia mungkin akan merebak ke mana-mana penempatan bangsa Moro yang berselerakan di bumi Sabah.

Terdayakan kerajaan Malaysia menangani isu ini?

Saturday, March 02, 2013

Raja Sulu Raja tidak bernegeri.

Negara Brunei Darussalam hanyalah sebuah negara kecil. Namun, jika dibandingkan dengan Malaysia dan mana-mana negara jirannya yang lain, Brunei merupakan negara paling kaya dan terpelihara kesejahteraan hidup rakyatnya. Tindak tanduk sultannya berhubung isu-isu pentadbiran Islam disenangi dan tidak sedikit rakyat Malaysia menjadikannya  Sultan idola. 

Rasanya, sebidang tanah Brunei itu, jika dibandingkan dengan tanah kepulauan Sulu yang terdiri daripada pulau Jolo dan pulau-pulau lain sekitarnya, lebih luas daripada tanah negara Berunei. Namun, mengapa pulau-pulau tersebut tidak dapat membangun. Persoalan sinis yang boleh dilontarkan, apakah yang dibuat oleh Sultan Sulu untuk membangunkan tanah ibu kotanya?

Kerana tidak tahu bagaimana mahu bangunkan tanah ibu kota sendiri, tuntutan dipanjangkan ke atas Sabah. Tanah jajahan kesultanan yang dituntut sedangkan tanah jajahan kesultanan itu telah pun  bertukar tangan. Biasanya, sebuah kerajaan berdaulat akan ada ibu kota yang kuat sebelum berfikir meluaskan empayarnya. Inikan tanah ibu kota pun masih dlam cengkaman kerajaan Filipina. Malah, raja Sulu yang dinamakan Jamalul Kiram 3 itu pun berdomisil di Manila. Mengapa tidak bertahta di pulau Jolo?


Jangan demi Sultan

Andaikata...
sejarah itu dapat diulang putar
untuk disambung cerita
episod hidup semuanya jadi bahagia.

Kerana dulunya
Sultan Sulu memerintah sebahagian Sabah
warisannya kini cuba menuntut hak
Tanah kesultanan mesti dikembalikan.

Aduhai...
Kalau cucu cicit raja Melaka menuntut tahta
habis tanah semenanjung milik mereka.

Apa akan jadi kalau kerajaan Langkasuka mahu dikembalikan?
Ke mana sirnanya kerajaan Gangga Negara?
Apakah setelah runtuh meninggalkan candi
masjid akan dibina atas runtuhannya?
Bukankan dulunya Riau Lingga itu milik Johor,
Singapura itu Nila Utama yang jumpa
Siak, Rokan dan Inderagiri bukan milik Indonesia!
Bongkarlah kembali riwayat sejarah
Gegarkan suara dengan tuntutan demi tuntutan
Ia hanya mengimbas kisah lampau
yang tidak akan diputar lagi...

Tidak perlu ungkit kisah England kaut kekayaan kita
lalu diminta kembalikan kekayaan itu

Apalah guna marahkan Pertugis membedil Melaka
Membina A-Famosa
Pecah perintah Inggeris Belanda
Semua itu cerita sejarah
ia tetap sudah berlalu

Sultan Sulu?
Mahu kembali membina kerajaan kesultanan
Setelah sultan direbahkan satu demi satu
kerana khayal mabuk kuasa
menunggang sembah duli khrafat daulat
gundik dijunjung Islam digilis
Tausug perlu merdeka
menjunjung Islam dalam perjuangan
bukan manusia bernama Sultan Kiram
bukan sesiapa juga

Jika Islam jadi andal
bantuan datang sejauh Libya
Bumi Malaysia jadi medan latih tentera
Soldadu jihad Asia Raya
sedia berkorban demi agama.

Perwira bangsa perantas lautan
terbuang sia jika demi Sultan


Tentera Diraja Sulu

Tuntutan dari kumpulan penceroboh di Lahad Datu, yang mendakwa diri mereka sebagai tentera diraja Sulu, agak keterlaluan. Menurut sumber-sumber tidak rasmi yang aku dengar, mereka menuntut agar diberikan taraf kewarganegaraan di samping hakmilik ke atas tanah di bahagian felda Sahabat. Dalam TV dinyatakan bahawa mereka menuntut Sabah diserahkan kepada mereka. Dakwaan pihak media Malaysia tersebut kurang masuk akal. Masakan mereka mahu menuntut seluruh Sabah sedangkan wilayah pemerintahan kesultanan Sulu dalam sejarah hanyalah bahagian pantai timur Sabah. Amat sukar untuk diterima akal mengatakan bahawa Sabah tengah dan pantai Barat juga hak kepunyaan kesultanan Sulu.

Walau apapun yang diusulkan, itu hanya lipur sejarah dan hanya sebuah cerita masa lalu yang tidak dapat diulangkan. Sungguhpun orang selalu menyebut bahawa sejarah akan berulang, ia bukan boleh diulangkan. Apabila kesultanan Sulu hilang negara, ia adalah tragedi sejarah. Ia samalah juga dengan kehilangan kerajaan Melaka, kerajaan Silendera, Langkasuka dan semua kerajaan yang pernah diriwayatkan memerintah empayarnya.

Justeru, jangan jadikan sejarah sebagai dasar tuntutan. Berpijaklah di alam nyata.


Tuesday, February 26, 2013

Kekuasaan yang disalah guna....baik dicabut.

Kenapa begitu takut hilang kuasa?Untuk apa dipertahankan kuasa kalau kuasa yang ada selama ini bukan digunakan untuk membela rakyat?Kalaupun membela rakyat, ia hanyalah pembelaan yang sedikit sebagai menutup pengkhianatan yang dilakukan. Rakyat diberikan hampas dari sisa kelebihan yang disonglap.

Wahai...apalah harganya RM 40.00 untuk sebulan berbanding jumlah yang disorok dalam poket bernila ratusan malahan jutaan ringgit. Rakyat diperlihatkan kebaikan dan budi dengan angka yang nisbahnya kecil berbanding apa yang dikedarah oleh pengsonglap.

Kekuasaan, kalau hanya untuk itu adalah hina. Kekuasaan hendaklah digunakan sebagai jambatan mendapat kebahagiaan akhirat yang terbesar. Keutamaan adalah rakyat yang lemah dan bukan lingkaran pembodek yang menindas.

Kalau demikian halnya kekuasaan digunakan, baik dicabut Allah kekuasaan itu....

Monday, February 25, 2013

Tiada pengalaman

Pembangkang sering kali dimomokkan sebagai tiada pengalaman dalam pemerinahan. Atas dasar itu, rakyat diingatkan membuat pilihan yang tepat dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Jika pembangkang diberikan kuasa, pembangkang hanya akan merosakkan negara lantaran tiada pengalaman dalam pemerintahan. Walau bagaimanapun, tuduhan tiada pengalaman ini, bagi sesetengah rakyat sudah tidak menancap lagi. Contoh pemerintahan di kerajaan negeri yan diperintah oleh pembangkang menjadi dalil menafikan perlecehan tiada pengalaman itu. Sebab itu, dalam media massa berhempas pulas siang dan malam menanamkan tanggapan di hati rakyat mengenai kegagalan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Jika rakyat dapat tahu hal yan sebenar terjadi di negeri-negeri tersebut, alamatnya berkuburlah peluang kerajaan BN untuk menawan kembali negeri-negeri tersebut.

Soal tiada pengalaman bukan perlu dihujjahka. Bodohlah kalau ada rakyat yang termakan mantik mereng seperti itu. Kalau belum pernah memerintah kerajaan persekutuan, memanglah tiada pengalaman. Tetapi, ada pengalaman bukan soal penting. Semua orang, dalam bidang kerjayanya pun bermula dengan tiada pengalaman. Bila sudah memerintah barulah ada pengalaman. BN pun bukan ada pengalaman masa mula-mula memerintah dulu. Tetapi, sekarang sudah banyak pengalaman. Kerana banyak pengalaman itu juga kekadang membuatkan mereka merasa sombong dan tidak rela kepimpinan diterajui orang lain.

Nanti kalau dan memerintah, kita dapat pengalaman baru. Pengalaman murni unuk rakyat.

Friday, February 22, 2013

Wahai para blogger...perhatikan jemari anda!

Perihal gambar Setiuasaha Majlis Syura Ulama, Ust Nik Zawawi Nik Yusuf dengan isyarat meyurupai "one Malaysia" tajaan Najib dan bersama-sama pula pimpinan UMNO dan MCA menjadi modal gerak saraf saat-saat akhir. Turut terpalit adalah Ust Tuan Ibrahim Tuan Man yang mana gambarnya bersama pemimpin UMNO dan MCA disebarkan dalam blog. Dalam pada itu, kisah DR. Harun Din bertemu Anwar dimanupulasikan ke arah menimbulkan prasangka buruk mengenai sifat dan kesetiaan Dr tehadap kerjasama Pakatan.

Semua ini adalah ramuan lazat pelahap politik masa kini yang diwarnai dengan kesemberonoan maklamat dan fitnah adu domba. Damai telah sirna dari politik lantaran kemasukan pelbagai lapisan masyarakat dalam arenanya. Para blogger yang merasakan kuasanya mencanak langit mula cuba mempamerkan kudrat alam maya mereka. Tanpa menapis maklumat dan tanpa pertimbangan baik dan buruk buat diri serta pertanggungjawaban di akhirat, mereka melampiaskan segala yang telintas di minda.

Tidak kira blogger UMNO mapun blogger Pakatan, masing-masing meledni akhlak hina dalam berblog. Terdahulu, insan mativator bernama Fadhilah Khamsah dipermalukan mengenai kerosakan akhlak anaknya. Ini semua adalah siri-siri fitnah adu domba yang telah diwarnakan di kanvas politik Malaysia sejak beberapa tahun terdahulu.

Tanggungan dosa berganda bagi siapa yang mensunnahkan budaya hina ini dalam politik. Dosa berantai buat sesiapa yang melangsungkannya berterusan.

Friday, February 15, 2013

MABUK ECTASY POLITIK

Keluar dalam TV berita yang pelik bin ajaib. Ada ahli Pas berdemo membantah kebersamaan Pas dalam Pakatan Rakyat. Lalu, ancaman dibuat, kalau Pas tidak keluar dari Pakatan Rakyat dan kembali berjuang sendirian macam dulu-dulu, mereka akan keluar Pas. Lebih menghairankan pula, ada seorang ketua cawangan yang mengugut untuk mengundi Barisan Nasional jika Pas tetap bersama Pakatan Rakyat. Lawak politik ini amat mudah dikenali. Ia lawak jenaka hampir pilihanraya. Babak-babak sedemikian itu dikira ringan berbanding dengan cereka fitnah yang pernah menghiasi dada akhbar dan TV sejak dulu demi pamrih sokongan politik.

Ada pula sekumpulan "ular mak" dari Kelantan yang menamakan diri sebagai minda pondok, Ummati dan sebagainya membuat fatwa lelucuon yang mengharamkan undi Pas dan mewajibkan undi BN. 

Apa yang boleh disimpulkan dari perkembangan ini, dunia politik di Malaysia sedang menghadapi penyakit pening. Pening kerana terlebih makan "ectasy" kuasa. 

Thursday, February 14, 2013

Hilang kuaso Siapo?

“Pulau kelapo jauh di hulu
Dulang tembago jatuh di seborang
Walaupun apo akan berlaku
Kuaso jangan dirampas orang.

Itulah pantun loghat negeri Sembilan yang diuangkapkan oleh  Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam sebuah ceramahnya yang diadakan di Simpang Durian. Cuma, yang musykilnya, kuasa siapa yang hendak dipertahankan. Nama Melayu seringkali dijaja dalam membangkitkan semangat bangsa di kalangan rakyat marhaen Melayu. Tetapi, sekian lama memerintah, hanya sebilangan kecil kelompok elit Melayu yang benar-benar meraih keuntungan dari kekuasaan Melayu yang didendangkan. Malah, jika diamati susur galur keturunan, mereka yang menikmati keuntungan tersebut bukanlah ummat Melayu sejati murni.

Melayu mesti bersatu!
bukan Melayu tetapi pemimpin UMNO...

Hak bumiputera akan dipelihara!
bukan bumiputera tetapi pemimpin UMNO...

Demi bangsa dan negara!
bukan bangsa tetapi bangsat...
bukan negara tetapi ningrat...

Lebih baik hilang bangsa dari hilang maruah diri. Lebih baik tidak berkuasa dari menjadi tunggangan durja!

Sesetengah penyakit tiada penawarnya kecuali dipotong anggota yang berpenyakit itu. Itulah yang perlu dilakukan oleh rakyat menjelang pencak silat PRU13. Resiko tetap ada, namun baik berani menanggung resiko daripada kekal dalam takuk lama mainan syaitan berlagak dewa.

Good Governance

Menjelang dekatnya PRU 13, saban malam saluran TV yang ada menyebarkan propaganda. Kekadang, aku terfikir, apakah benar aku dalam sebuah negara demokrasi sebagaimana yang dilaungkan. Atau, apakah demokrasi itu hanyalah demokrasi yang penuh muslihat. Di saat menguntungkan penguasa sedia ada, demokrasi dilaungkan. Dalam masa yang sama, telunjuk lurus kelingkin berkait. 

Ada kalangan yang menolak demokrasi secara tuntas dengan alasan ia adalah ciptaan para kuffar. Memang, kalimah demokrasi itu datang dari ideologi Barat yang kafir. Hanya, menurut hematku, di dalamnya ada nilai Islam seperti kebebasan rakyat untuk memilih. Sekurang-kurangnya ia lebih islamik berbanding sekatan hak rakyat yang mendominasi struktur pemerintahan rata-rata negara Islam yang mengamalkan sistem beraja dan autokrasi.

Namun, hakikatnya, inilah demikrasi ala-Malaysia. Semua saluran TV menjalankan peranannya sebagai penindas pemikiran rakyat. Hanya satu jalan pemikiran yang dibenarkan. Rakyat dilihat sebagai tunggul-tunggul bodoh yang boleh dicanai oleh oleh apa yang dipaparkan oleh TV. Kalau 10 atau 20 tahun yang lalu, mungkin jawapannya "ya". Namun, keadaan sekarang ternyata telah banyak berubah. Generasi yang cuba dicanai minda mereka oleh TV dewasa ini adalah generasi yang benar-benar terbuka pemikiran mereka kepada pelbagai sumber maklumat luar. Alhamdulillah, di sebaliknya pesimis orang terhadap keupayaan internet sebagai penyebar kerosakan, ia juga mendatangkan kebaikan yang sangat besar.

Seperti yang pernah diulas dan dikupas oleh Timbalan Presiden Pas, Sdr. Mohd Sabu dalam sebuah ceramah di hotel Pavillion, Sandakan baru-baru ini, ia menyifatkan rakyat Malaysia dalam fasa alaf 2000 ini adalah rakyat yang berfikiran "good governence". Rakyat Malaysia pada masa kini sedang menuju kepada sifat rakyat beberapa negara maju seperti negara Barat, Jepun, Koria dan lain-lain. Apa yang diperhatikan rakyat adalah keupayaan kerajaan untuk mentadbir negara secara telus, adil dan sifar rasuah. Sekarang bukan zamannya rakyat digula-gulakan dengan projek pembangunan dan pelbagai propaganda telivisyen.

Rakya sedang menilai dan menunggu saat PRU ke 13 dengan rasa tidak sabar.

Saturday, February 09, 2013

Tahun Baru Cina dan kepercayaan syirik

Dalam keyakinan Islam, tiada yang namanya sial atau tuah. Mempercaya adanya sial mial dan tuah ada sesuatu sama ada barang, orang maupun tahun serta hari-hari adalah kepercayaan yang berbaur syirik. Keyakinan murni orang Islam adalah mempercayai bahawa baik dan buruk itu semuanya dtang dari qadha dan qadar Allah SWT.

Sambutan Tahun Baru Cina sepatutnya tidak membawa aneka ragam kesyirikan tersebut. Kepercayaan tentang tahun yang sial dan tahun yang untung itu, pad hematku tidak punya kaitan dengan kedatangan Tahun Baru Cina. Ia datang dari kepercayaan paganism yang mewarna masyarakat Cina. Ia samalah juga dengan pelbagai kepercayaan khurafat yang mewarnai masyarakat Melayu sekalipun telah menganut Islam.

Tahun Baru Cina sepatutnya disambut sebagai perayaan tradisi menurut kalender tamaddun Cina dan kepercayaan paganism hendaklah dibersihkan,

Thursday, February 07, 2013

Perjuangan rakyat dan derma jihad

Dalam Malaysia, aku hanya melihat dua parti yang mengamalkan budaya pungut derma bila ceramah diadakan. Parti itu adalah PAS dan DAP. Kalau PAS, ia disebut sebagai derma jihad. Orang Pas percaya bahawa perjuangan politik mereka adalah jihad. Sebagaimana para sahabat Rasulullah SAW mendermakan harta untuk perjuangan Islam di zaman Rasululah SAW, maka demikianlahlah pendokong perjuangan Islam masa kini perlu juga dermakan harta mereka. Tentang DAP, apakah konsep derma mereka tidaklah aku cukup faham. Namun, sejak PAS dan DAP bersama-sama dalam Pakatan, aku menyaksikan kebiasaaan memungut derma dalam majlis anjuran DAP. Orang Cina DAP mudah menderma untuk perjuangan DAP sebagaimana orang Pas juga.

Sebaliknya, dalam UMNO tidak ada budaya ini. Wang dalam UMNO turun dari langit ke bumi, sedangkan wang dalam Pas datang dari bumi hingga ke lapisan terbahwa dan dinaikkan ke langit. Sama juga seperti DAP. Dalam PKR, ia belum dibudayakan. Pemimpin-pemimpin PKR peringkat cabang hinggalah rantimng masih mengharapkan bantuan kewangan dari PKR Pusat. Hatta, untuk hadir ke program anjuran parti masih memerlukan dana disediakan Paling tidak sekeping tiket untuk naik bas ke program. Apa nak buat. Kebanyakan ahli PKR masih membawa budaya UMNO. Hanya mereka mempunyai idealisme baru. Lambut laun, diharapkan mereka akan belajar banyak perkara mengenai budaya baik dalam Pas dan DAP, khususnya dalam soal pengorbanan. Pas secara khusus, juga boleh belajar beberapa perkara dari PKR, terutama strategi politik baru dan meningkapkan tahap keprofesionalan menguruskan parti.

Apabila perjuangan itu ditampung dari wang yang keluar dari poket rakyat, barulah perjuangan itu dinamakan perjuangan rakyat. Pakatan Rakyat, untuk menjadikannya perjuangan rakyat perlu melipatgandakan usaha membudayakan infaq untuk perjuangan di kalangan ahli.

Wednesday, February 06, 2013

Khitab Juhala balaslah dengan " salama"!

Melayani orang yang kurang akal, jangan menjadikan kita kurang akal sepertinya. Tindakan bodoh jangan dibalas dengan tindakan bodoh juga. Dalam al-Quran, Allah mencirikan sifat hamba Ar-Rahman sebagai orang yang bersifat sejahtera dalam menanggapi perkataan-perkataan orang yang jahil. "Salama" yang digambarkan Allah itu membawa maksud tidak hilang kewarasan kerana angkara kebodohan orang bodoh.

"Ustaz-ustaz yang murtad", demikian melantun sebuah keceluparan kata.

Itu dikira kecil berbanding apa yang pernah dan sedang ditimpakan terhadap para ulama yang memperjuangkan Islam. Sudah amat sarat cemuhan dan tuduhan yang dibebankan ke atas ulama-ulama yang ikhlas berjuang. Orang-orang bododh itu tidak akan mengerti bahayanya menyakiti hati orang-orang beriman.


والذين يؤذون المؤمنين والمؤمنات بغير ما اكتسبوا فقد احتملوا بهتانا وإثما مبينا

Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, Maka Sesungguhnya mereka Telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.
(Surah Al-Ahzab: Ayat 58)

Sebab itu, kata-kata bodoh orang jahil jangan disambut. Jika disambut, akan semakin jauh terperosok ke lingkaran gelita yang berselirat. 

" Orang-orang Arab Jahiliyyah dahulu mengunjungi Makkah mengerjakan haji...", aku pernah memperingatkan dalam daurah yang diadakan. 

Ramai sosok yang pulang dari haji merasa cukup baik dengan kepulangannya dari haji. Ada penyanyi yang balik dari mengerjakan haji dengan berani mencabar para agamawan dan merasakan pencapaian agamanya cukup baik dengan hanya pergi mengerjakan haji.Kalangan politikus sering mengambil kesempatan dari amalan haji untuk menampilkan watak malaikat.  

"Pendapat agama berdasarkan sebaran media fasiq, tokoh agama berkepentingan jawatan menjadi sandaran dan tidak punya latar belakang ilmu Islam adalah masalah yang melahirkan manusia awang-awangan di langit khayal...", sebuah rumusan pernah diwacanakan secara tidak rasmi dalam munaqasyah sepontan.

Monday, February 04, 2013

Simpati lawan saat sakarat

Betapa pun ganas sang buaya itu, maka tatkala mulutya telah tersangkut di mata joran sang penagkap buaya, akan adalah mata-mata yang melihatnya menaruh simpati. Demikianlah situasi pilitik masa kini. Miski begitu banyak kekejaman yang UMNO lakukan kepada pembangkang selama lebih 50 tahun ia berkuasa, pada saat sakaratulmaut menghimpitnya, timbullah rasa simpati pihak yang melihatnya. Tidak semua akan menaruh simpati. Mereka yang punya jiwa lemah dan mudah goyah perasaannya sahaja yang akan dipagut simpati.

Manusia berjiwa lemah dan perasaan tidak menentu itu ada di kalangan pembangkang sendiri. Bertahun-tahun berhempas pulas untuk menumpaskan UMNO-BN, pada saat UMNO_BN merintis nafas sakarat, orang itu pun mula surut ke belakang. Rasa bersalah dan simpati mula menggamitnya. Keraguan mula menancap dalam serelung jiwanya.

Itulah, maka kita saksikan segelintir murtad politik perjuangannya. Bahasanya benar-benar berubah disebabkan simpati terhadap lawan yang mula menguasai serelung jiwanya.

Thursday, January 31, 2013

Sayangkan perjuangan Pas yang lalu?

Seorang pemuda UMNO menyatakan:"Saya, sesungguhnya sayangkan Pas yang dulu...Pas yang dulu ikhlas", 

"Pas yang dulu dan Pas yang sekarang dipimpin oleh orang yang berlainankah?tanyaku kehairanan.

"Pas yang dulu perjuangkan daulah Islam, rela berjuang sendiri dan tidk bersekongkol dengan DAP", katanya lagi.

" Lantas, kenapa pada masa itu kamu tidak menyertai perjuangan Pas tetapi memilih perjuangan UMNO?', aku menempelak.

" Saya memilih antara UMNO dan PBS, antara dua parti itu, masa depan Islam di Sabah lebih terjamin di bawah UMNO, Pas tiada kekuatan", katanya selanjutnya.

" Mengapa tidak kamu menjadi pejuang Pas masa lalu yang memberikannya kekuatan?", aku mengingatkan.

Sekarang, memang bahasa orang UMNO begitu. Mereka kata mereka sayangkan Pas dan perjuangannya. Mereka kesal kerana Pas meninggalkan perjuangan mulianya dan menjadi alat kepada DAP. Ironinya, sewaktu Pas dengan perjuangan mulianya yang disebut-sebutkan itu, orang UMNO yang sama itulah yang menentang Pas. Mereka enggan mendokong perjuangan Pas. 

Lalu, pada saat Pas duduk semeja dengan DAP, mereka mula gelisah dan mula mengusik Pas dengan mengimbau kenangan masa lalu. Dikatakan Pas dan perjuangan masa lalunya itulah yang murni dan mulia.

Huh!

Kalau Pas tidak bersatu dengan DAP, masakan mereka mahu melihat Pas. Mereka hanya berbasa basi mengatakan Pas punya perjuangan mulia yang dikorbankan. Mereka tidak pernah pun menganggap mulia perjuangan Pas. Kalau mereka anggap perjuangan Pas mulia, sudah tentu mereka menyokong Pas di saat mereka kena buat pilihan antara UMNO dan Pas.

Sekarang bukan masanya untuk bernostalgia. Pas sudan menempa kebijakannya sendiri. Strategi dan wawasan Pas bukan ditentukan oleh para pemimpin UMNO. Pemimpin Pas lebih maklum ke arah mana hendak dibawa Pas. Kalau orang UMNO mahu Pas masa lalu, jadikan sahaja UMNO yang didokongnya itu semacam Pas masa lalu.

Kalau sudah sayangkan Pas, sayangkan Nik Aziz, percayalah kepada kemampuannya. Orang yang paling kuat menyokong Pakatan Rakyat adalah Nik Aziz. Bagaimana mungkin dalam keadaan anda mengatakan sayangkan Nik Aziz, anda menafikan kebijakan kepimpinannya. Anda tidak tsiqah dan wala' kepadanya. Nik Aziz lebih bijak berpolitik dari anda. Kagum dengannya, ikutlah dia.

Jangan cakap tidak serupa bikin.

Monday, January 28, 2013

Mulia kerana perjuangan berjemaah.

Keberadaan Nasharuddin Mat Isa dalam Pas memang sudah tidak punya makna lagi. Apa gunanya berada dalam Pas, lebih-lebih lagi dalam barisan kepimpinan tertinggi jika yang dibawanya adalah suara sendiri dan bukan suara jemaah. Orang, kalau hidup berjemaah, hendaklah menjunjung suara jemaah. Kalau kepimpinan jemaah putuskan sesuatu dalam mesyuarat, itulah yang akan diperjuangkan di luar mesyuarat. Seorang yang gagal menegakkan citra hidup perjuangan berkumpulan, lebih baik pergi hidup sendirian.

Hati dan perasaan para pendokong perjuangan peringkat akar umbi tidak perlu dihantui perasaan nostalgik. Tegak rebah individu dalam perjuangan adalah lumrah sepanjang episod perjuangan Islam. Manusia tidak menjadi mahal kerana dirinya, tetapi jadi mahal apabila mampu berganding bahu dengan manusia lain menjunjung misi mulia. Perjuangan yang mahal akan melahirkan manusia yang mahal. Apabila perjuangan mahal ditinggalkan, lantas menempah perjuangan murahan, manusia itu akan jadi murah. Manusia murah akan cepat dilupakan.

Pendapat sendiri sering dibayangi emosi. Jika terlalu merasakan diri benar sehingga menyepetkan mata terhadap pandangan kolektif jemaah, maka memang wajarlah berdiri sendiri. Berdirilah selama mana mampu berdiri. Apabila mahu rebah, rebahlah sebatang kara tanpa ada yang sudi menangisi. Setelah dianugerahkan Allah berkat dalam perjuangan berjemaah, mahu juga berjuang dalam warna bikinan sendiri, maka silakan cari kekuatan perjuangan. Rabalah sokongan dan dokongan dan carilah teman setia yang penuh makar. 

Tidak akan pernah ada kemuliaan hidup buat mereka yang berpaling dari medan perjuangan!

Sunday, January 27, 2013

Ruwaibidhah!

Ugutan juak Perkasa untuk bakar bible dalam bahasa Melayu itu memang tidak berasaskan citra Islam sama sekali. Belum pernah ada ulama Islam sejak zaman nabi hingga zamam kini menyeru agar bible dalam bahasa apapun dibakar. Para ualama yang mendokong Islam amat faham adab beragama dan menjaga maruah Islam di mata bukan Islam. 

Ibrahim Ali serta konco-konconya itu memang lebih sudu dari kuah. Entah siapalah yang menjadi ikutan mereka dalam agama. Mufti manalah yang berikan mereka fatwa agar bible bahasa Melayu dibakar. Bukan ilmu yang memimpin mereka dalam bertindak. Perasaan yang dicemari nafsu kesyaitananlah yang mentarbiah mereka. 

Malu sungguh aku ada orang mengaku Islam punya perangai buruk sedemikian. Mereka menconteng arang di wajah Islam. Inilah manusia Ruwaibidhah! Orang lekeh dalam agama tetapi cuba berlagak menjadi pejuang agama.

Semoga Allah hapuskan golongan Ruwaibidah dari mencemar wajah suci Islam.

Bukan semangat perkauman.

Seharusnya, seseorang yang telah menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat, pengenalan berdasarkan bangsa sudah tidak diberikan perhatian olehnya lagi. Baik yang menyertai DAP, PKR maupun PAS. Ketiga-tiga parti utama Pakatan rakyat tersebut bukanlah parti kebangsaan. Selama lebih 50 tahun, fomula pemerintahan di Malaysia adalah penggabungan parti-parti berasas kaum menjadi sebuah Parti Barisan Nasional. Selama tempoh tersebutlah fikiran rakyat sudah dicanai bahawa perpaduan yang utuh adalah dengan menyatukan pelbagai kaum melalui wadah parti kaum masing-masing.

Ketika timbul isu kesilapan kiraan undi dalam CEC yang diadakan DAP baru-baru ini, media massa cuba membakar semangat perkauman dengan mengatakan calon kaum Melayu telah tersingkir. Untuk meredakan perassan orang Melayu dalam DAP, maka kesilapan kiraan undi telah diperbetulkan. Dalam hal ini, media massa, khasnya TV3 cuba mempersoalkan pula kedudukan kaum-kaum lain dalam DAP. Diambil statement seorang ahli parti berbangsa India yang tidak puas kerana kedudukan kaum India tidak diberi perhatian dalam DAP.

Media Massa masih bebal dengan jalur pemikiran berasaskan perkauman. Dunia politik harus melakar corak baru dengan mengenepi perbezaan berasaskan kaum. DAP diasaskan dengan tidak mempertimbangkan perbezaan kaum. Kalau orang Cina banyak dalam DAP, itu janganlah dijadikan hujjah mengatakan DAP parti kaum Cina. Sebuah parti dalam Pakatan Rakyat akan didominasi oleh kaum mana yang ramai menyertainya. Namun, perasaan kebangsaan perlu disingkirkan.

TAKFIR SEMBERONO

Mufti Negeri Perak, Harussani Zakaria menghukumkan kafir ke atas mana-mana ummat Islam yang bersetuju kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam. Beliau berdasarkan mantiq bahawa persetujuan itu bererti merestui Allah SWT dipersekutukan. Memeng pada prinsipnya redha dengan kekufuran itu adalagh kufur. Hal ini telahpun menjadi kesimpulan para ulama akidah sejak zaman dahulu lagi. Ummat Islam diajar agar menolak kemungkaran dengan apa cara sekalipun. Jika mampu, gunakan kekuasaan dan jika tidak mampu atau tidak punya kekuasaan, sampaikan nasihat dan dakwah agar kemungkaran dapat dicegah. Kalaupun itu tidak dapat dilaksanakan, maka hendaklah kemungkaran dibanteras dengan hati, dan ia adalah selemah lemah iman. Restu atau tidak restu dengan kemungkaran, itulah yang disebut sebagai meredhai atau membenci kemungkaran. 

Apakah kemungkaran yang lebih besar dari syirik?

Penegasan Mufti Perak tersebut boleh diambil sebagai hujah. Syirik tidak boleh disokong atau diredhai. Namun, jika hendak diulas mengenai syirik, ia bukan sahaja mensifatkan Allah dengan sifat yang tidak layak buatNya sebagaimana diakidahkan dalam lengkaran trinity oleh ummat Kristian. Ada pelbagai perkara yang menjerumuskan manusia kepada syirik. Antara lain, percaya bahawa perundangan Islam itu lapuk dan perundangan Barat lebih praktikal, juga syirik. Kepercayaan seperti ini menjadi anutan sebahagian besar pemimpin negara ummat Islam. Ada yang hanya menyimpan keyakinan tersebut dan tidak dizahirkan melalui ucapan. Namun, ia dizahirkan melalui tindakan mendaulatkan perundangan barat dan mensisihkan perundangan Islam. Dalam pada itu, ada yang begitu berani memperlecehkan perundangan Islam dengan pelbagai gambaran negatif melalui ucapan mereka seperti melebelkannya sebagai lapuk, ketinggalan zaman, zalim, tidak praktikal dan sebagainya. Ungkapan-ungkapan seperti itu tentulah membawa kepada kekufuran kerana ia melibatkan keimanan bulat yang retak terhadap Al-Quran, sekaligus tidak meletakkan Allah SWT sebagai satu-satunya Tuhan yang bersifat penghukum (Hakim).

Para mufti yang mendiamkan diri dalam keadaan negara bertahkim dengan perundangan "taghut", apakah boleh kita sifatkan mereka meredhai pengangkatan undang-undang selain undang-undang Allah? Jika membiarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah ditafsirkan sebagai redha ke atas kekufuran, maka membiarkan pemerintah bertahkim dengan hukum "tawaghit" juga perlulah ditafsirkan sebagai redha. Redha dengan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam menjadikan kita kufur, maka menjadi kufurlah para mufti yang meredhai sistem perundangan jenayah negara yang menyingkirkan hukum hudud Allah!.

Ketika Tg. Hj. Hadi Awang mengungkapkan kecerobohan pemerintah yang menolak perundangan dan sitem Allah SWT dalam pemerintahan pada masa lalu, ia dicap sebagai amanat yang mengkafirkan sebahagian orang Islam yang lain Para mufti yang sama bangkit mempertikaikan kewajaran ucapan sedemikian. Apa yang dikatakan Amanat Hadi itu bukanlah membuat justifikasi kafir secara langsung. Jika diteliti, ia samalah dengan apa yang ditegaskan oleh Tan Siri Harussani Zakaria yang menghukumkan kafir ke atas orang yang membenarkan penggunaan kalimah Allah SWT oleh kaum bukan Islam.

Setelah perjuangan Islam menempuh liku-liku yang panjang di Malaysia, beberpa pencerahan baru telah dibuat. Indahnya hukum Islam adalah kerana ia sentiasa hidup dan terbuka kepada ijtihad. Dalam politik Islam juga terdedah kepada tajdid pemikiran menyebabkan ia tidak statik dan terus menempa zaman dengan penuh bergaya.Dalam situasi para pendokong gerakan Islam telah meneguk pencerahan ilmu dalam bidang politik dan pemerintahan Islam, malang sekali ada pihak yang masih meraba dalam gelap kusut feqah tersebut. Malah, lebih malang lagi kalau corak pemikiran lama yang telah ditanggalkan oleh pejuang Islam yang melalui proses tajdid dan pencerahan itu, diambil dan dianut pula oleh para pendekar agama yang ketinggalan perkembangan.

Orang-orang yang mengatakan boleh kalimah Allah digunakan oleh orang kafir tidaklah boleh ditafsirkan meredhai syirik dan menjadi kafir.  Lebel kafir ke atas orang-orang yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh kaum bukan Islam adalah semberono, drastik dan simplistik. Ia tidak menjalani proses penelitian yang berhati-hati. Ia akan menimbulkan prasangka baru serta cekcok dalam masyarakat bahawa mufti telah mengkafirkan ummat Islam!

Pas mengkafirkan UMNO adalah cerita lama. Sudah termaklum siapa tokoh yang menkafirkan UMNO pada masa lalu itu dan di mana persada perjuangan  mereka sekarang. Cerita baru yang timbul kini ialah mufti Perak mengkafirkan orang Islam yang setuju kalimah Allah digunapakai oleh orang Kristian. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Cerita lama sudah ditutup dan telah cuba dibuka dengan ulasan baru. Tiba-tiba ada  cerita baru berlalku berkaitan isu yang yang sama. Apa reaksi para pembahas isu "takfir" ini?

Kesimpulannya, gaya pengucapan yang sambil lewa menyentuh persoalan keimanan tidak lagi harus diamalkan. Apatah lagi dari tokoh-tokoh agama. Keimanan boleh dibahaskan tetapi jangan dijustifikasikan secara tuntas. Tidak wajar pula jika hanya sebelah mata digunakan dalam menangani isu ummat. Isu kalimah Allah nampak tetapi isu bertahkim kepada "tawaghit" tidak nampak. Isu ketaatan rakyat kepada pemerintah nampak, tetapi isu kezaliman dan khianat amanah oleh pemerintah tidak dinampak. Mengamati persoalan hukum, perlu celik kedua-dua mata. Janganlah pada saat doa hancurkan orang zalim diungkapkan, hujah-hujah dicari untuk mengklaim kesalahan doa tersebut. Tetapi, ketika diri dijilat gossip, diri sendiri mendoakan kehancuran buat penyebar gossip yang juga orang Islam. Ini dikatakan buta sebelah mata. 

Demikianlah Allah menimpakan putaran hari buat manusia. Hari ini di atas, esok belum tentu. Hari-hari yang kita lintasi adalah "mudawalah" bikinan Allah SWT. Oleh itu, waspadalah lisan dan tindakan anda.


Saturday, January 26, 2013

DHPP anugerah Allah

Kejayaan PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong Pas yang keahliannya adalah kaum bukan Islam adalah satu kebijakan politik yangsangat menakjubkan. Buang semangat keakuan membuta tuli yang meletakkan diri sentiasa benar, sejenak kita cuba menghayati apakah kita sudah bebas dari dipertanyakan Allah SWT di hari akhirat kelak. Jika dakwah politik Islam hanya berlegar di kalangan ummat Islam, apakah itu sudah memenuhi tuntutan tabligh yang menjadi misi perutusan nabi SAW.

Vincent Lee, Naib Pengerusi DHPP


Mengenali dan mendengar butir bicara, semangat dan kefahaman Vincent Lee, Naib Pengerusi DHPP Pusat dalam kesempatan lawatannya ke Sandakan, aku merasa sungguh terharu. Allah telah membuka pintu hatinya untuk berjuang dalam wadah politik Islam sekalipun dia bukanlah orang Islam. Kefahamannya tentang misi perjuangan PAS mengatasi ramai kalangan penganut Islam sendiri.

Sebenarnya, inilah kejaiban yang diciptakan Allah SWT. Orang Cina tidak memilih MCA atau DAP untuk berjuang merubah masyarakat. Orang India pula tidak memilih MIC atau PPP untuk berjuang. Demikian beberapa kaum lain seperti Siam, Sikh dan lain-lain yang berada dalam DHPP. Jumlah ahli DHPP sebagaimana yang disebutkan oleh Sdr. Vincent Lee, sudah mencapai 30 ribu orang. Di beberapa tempat, pelarian politik DAP dan PKR yang bukan Islam menyertai PAS melalui DHPP.

Pemimpin DHPP boleh berbincang soal Islam secara terbuka. Tanpa perasangka dan penuh logika berdasarkan pengetahuan, ilmu dan hujjah. Inilah ciri-ciri kemenangan perjuangan Islam menangkis terjahan taghut akhir zaman.

Keadilan untuk semua rakyat perlu ditegakkan. Pada saatnya, orang akan melihat Islam menjadi pelindung. Para pejuang Islam akan jadi manusia paling boleh dipercayai untuk menggalas amanah kepimpinan.

Sunday, January 20, 2013

NAJIS JAHILIYYAH

Ketika berjuang, masih kedengaran semangat kemelayuannya. Perjuangan Islam tidak harus sama sekali diwarnai dengan perjuangan kemelayuan. Jika Melayu menjadi dendangan, sekalipun seirama dan senada dengan perjuangan Islam, hilanglah kesucian perjuangan. Betapa ikhlas, kalau namanya demi Melayu, itu tetap najis jahiliyyah yang dijunjung dalam perjuangan. 

Soal perjuangan atas nama Melayu ini telahpun menjadi ramuan parti kebangsaan Melayu sejak sekian lama. Setelah umat Melayu celik mata dan cahaya Islam menusuk dalam qalbu, ledakan semangat Kemelayuan tidak lagi menggegar. Sudah tentu keadaan ini melahirkan kegentaran buat para pendokongnya, memikirkan kelangsungan yang kian bertabrakan.

Masih ada penganut perjuangan Islam yang menyimpan najis jahiliyyah tersebut dalam relung dadanya sebagai barang pusaka saka. Lalu, pada saat yang dijanjikan, meledaklah selogan IMR. IMR itu adalah syirik perjuangan. Puluhan tahun meladeni perjuangan tidak menjadikan seseorang itu pasti bersih daripada syirik perjuangan jika dia tidak berusaha mendalami ilmu perjuangan Islam yang merangkumkan ilmu dan tarbiah.

Sebagaimana seorang penganut Islam mungkin masih mengamalkan khurafat dan syirik, maka demikianlah penganut perjuangan Islam. Anggota perjuangan Islam, jika masih memikul selogan kemelayuannya, kecinaannya ataupun kemamakannnya, maka dia menanggung syirik perjuangan yang merupakan najis jahiliyyah.

Saturday, January 19, 2013

Taraf kerakyatan

Dr. Mahathir secara sinis mencabar disiasat pemberian kerakyatan kepada lebih sejuta pendatang asing sbelum merdeka. Cabaran sinis itu adalah bagi mempersoalkan dakwaan ke atasnya yang dikatakan telah meberikan kepada kira-kira 200 000 pendatang asing di Sabah taraf kerakyatan semasa zaman pemerintahannya. Dr. Mahathir cuba mengaitkan antara apa yang dibuatnya dengan apa yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Jika Tunku Abd Rahman berikan hak kerakyatan kepada kaum lain di awal kemerdekaan, maka apa salahnya dia berikan hak kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah pada zamannya.

Dr. Mahathir ini memang tidak betul. Mengapa disamakan zaman awal kemerdekaan dengan zaman sesudah kemerdekaan. Sebelum merdeka, orang Melayu pun belum ada IC. Ic hanya diberikan bila Tanah Melayu sudah merdeka. Kalau yang dikatakan pendatang asing di Sabah itu memang yang sudah puluhan tahun di Sabah, hanya tiada IC, itu tidaklah mengapa. Namun, saksi lokasi akan mendapati hal yang berlaku adalah pendatang yang baru membanjiri perairan Sabah. Motifnya pula adalah untuk memenangi pilihanraya.

Apapun, miski yang dibuat Dr. Mahathir itu salah, dari satu sisi pandangan, ia memberi keuntungan jangka panjang kepada kekuatan rakyat. Generasi baru yang menggantikan, akan menjadi warga yang merdeka dan bebas.

Masa lapang untuk perjuangan Islam.

Ketika habis kerja, barulah ada masa untuk hadir ke program memperkasa perjuangan agama Allah. Ada masa untuk datang usrah. Masa untuk datang mesyuarat menjana aktiviti jama'ah. Pergi dengar ceramah dan sebagainya.  Sudah tentu masa tesebut adalah di malam hari atau masa cuti hujung minggu. Sedangkan masa siang pada hari bekerja yang produktif, masanya digunakan untuk memperkasa profesyen dan membina dunia sendiri. Di kala mata sudah mengantuk dan badan telah letih, itulah masa yang dikorbankan untuk jama'ah. 

Jama'ah hanya mendapat sisa masa kita! Kita semua berdepan dengan dilema ini. Hanya pada tahap komplikasi mana kita terbelit, itu yang berbeza-beza.

Untung kita kalau masih punya sisa untuk jama'ah. Ada kalangan kita yang sisa pun tiada. Sisanya diberikan pula kepada sosial bersama rakan-rakan di padang tenis, badminton atau bersama anak-anak dan keluarga. Justeru, apa lagi yang ada buat agama Allah?

Jangan disalahkan sesiapa jika pada hari akhirat persoalan tanggungjawab terhadap perjuangan agama Allah ini menjadi persoalan yang tidak terjawab. Dunia telah menjadi ghurur buat diri maka cinta dunia membutakan mata hati untuk sesaat memikirkan kepentingan jihad agama.

Saturday, January 12, 2013

Ugutan tidak berkesan

Miski diugut oleh pelbagai pihak, perhimpunan HKR112 tetap berlangsung dan dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat. Penjawat Awam diancam agar tidak hadir ke program tersebut. Pelajar Universiti juga diugut. Askar-askar pencen turut diugut. Dalam TV setiap malam keluar peringatan agar tidak menyertai perhimpunan tersebut. Utusan Malaysia dengan bahasa meloya menamakan perhimpunan tersebut sebagai Perhimpunan Shamsidar agar orang ramai tidak hadir.

Namun, kehadiran tetap luar biasa. Suara-suara bodoh yang pernah menyifatkan perhimpuan Bersih 2.0 sebagai dihadiri oleh peserta yang dibayar kini sudah tidak lagi mampu melantunkan nada yang sama. Masakan mampu dibayar lagi perhimpunan ratusan ribu manusia yang diadakan bersiri. Pakatan Rakyat bukan sekaya UMNO-BN yang segala mahu diselesaikan dengan bayaran dan sogokkan material.

Masa rakyat takutkan ugutan sudah berlalu. Watak rakyat baru ini gagal difahami oleh parti pemerintah. Tarinya masih mengikut rentak lama!


Friday, January 11, 2013

Hanya Allah Tuhan Sekelian alam.

Ramai juga orang yang kebingungan dalam meleraikan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Lantas keluarlah pelbagai kenyataan yang mana pada satu tahap, kelihatan memperakukan ada Tuhan yang lain selain bernama Allah.  Beralasankan takut nama Allah disalahguna, maka nama Allah dilarang diguna oleh bukan Islam. Sedangkan, salahguna nama Allah banyak juga berlegar dalam masyarakat Islam. Ada kalangan penganut Islam sendiri yang mengungkapkan kalimah Allah tidak pada tempat yang sepatutnya. Sebagai contoh, ada kalangan sufi yang mengatakan "anal haq" yang menjelmakan Allah dalam semua wujud. Namun, hal ini tidak pula ditafsirkan sebagai salahguna nama Allah oleh pihak yang takut nama Allah disalahgunakan oleh orang bukan Islam.

Orang Kristian, khususnya berbangsa Arab telahpun menamakan Tuhan sembahan mereka sebagai Allah jauh sebelum nabi Muhammad dibangkitkan dan membawa Islam yang dibersihkan dari kesyirikan. Adalah tidak munasabah untuk kita menafikan hal mereka itu bertaabbud dengan nama Allah, sekalipun mereka tersasar kepada trinity. Akidah yang tercemar kaum kristian itu tidak menjadikan mereka patut menamakan Tuhan mereka dengan nama yang lain. 

Dalam Al-Quran, Allah SWT menyuruh nabi menyeru kaum nasrani agar bersepakat dengan orang Islam di atas kalimah yang satu, iaitu bertuhankan Allah. Sekalipun mereka berat untuk menerima kenabian Muhammad, memadilah untuk langkah mendekatkan jika mereka sanggup mengakui Allah sebagai Tuhan dan tidak mensyirikkanNYa.

Siapa yang merasakan Allah miliknya, ketahuilah bahawa Allah adalah sebuah nama agung yang menjadi dambaan setiap makhluk bertuhan. Hatta ikan, pepohonan dan batu batan mengungkapkan kalimah Allah!.

Wednesday, January 09, 2013

Kalimah Allah kembali bersiponggang

Suara-suara merebuti Allah sebagai Tuhan sembahan kembali kedengaran. Ada kalangan umat ISlam yang bertegas bahawa nama Allah adalah milik ekslusif orang Islam. Ada sebahagiannya berlapang dada dan mengatakan bahawa Allah adalah nama Tuhan yang telahpun terpakai oleh pelbagai penganut sejak zaman berzaman. Isu in kembali memanas di persada negara dan menjadi isu politik. Sifat mendabik dada sebagai pembela agama kembali mekar dalam dada beberapa individu dan pertubuhan. Disangka bahawa mempertahankan kalimah Allah sebagai hak ekslusif orang Islam merupakan jihad.

Para ulama yang diberikan basirah telah banyak menjelaskan bahawa kalimah Allah itu telah pun digunakan secara meluas. Ia kalimah yang dirujuk sebagai Tuhan sejak zaman nabi Adam lagi. Cuma, kerana pertukaran zaman demi zaman, maka timbullah pelbagai salah faham tentang Allah.  Allah tidak lagi difahami sebagaimana hakikatnya. Kristian melihat Allah dalam akidah trinitynya. Manakala Yahudi melihat Allah dalam konteks bapa Uzair. Malah, agama yang muncul terkemudian dari Islam seperti Sigh, Qodiani dan seumpamanya, juga mendakwa bertuhankan Allah.

Orang Islam yang sekian lama berbangga dengan nama Allah sebagai Tuhan mereka itu pun bukan semuanya kenal Allah. Sebab itu lahirnya terma "makrifatullah" dalam pengajian ilmu tauhid. Persoalannya kerana masih ada kalangan muslim yang tidak kenal Allah sekalipun menyebut Allah sebagai Tuhan. Maka, apa nak dihairankan jika Allah dalam kacamata kristian disalahtanggapi?

Itu bukan alasan untuk menghalang mereka menggunakan kalimah Allah. Perjuangan para pencinta Allah ialah menjelaskan siapa Allah yang sebenar. Bukan menghalang orang bertuhankan Allah kerana takut salah anggap terhadap Allah.


Putaran kuasa

Wahai orang yang rasa diri berkuasa,
lantas bongkak menjulang kuasa
menabur kata lagak malaikat
muncul sesekali saat merintih sokongan.

Kuasa bukan barang kekal
telah pun rebah orang yang lebih berkuasa
dalam lipatan sejarah
Firaun dan Namrud
yang kuasanya mencabar penghuni langit

Kuasa hanya pinjaman
dari yang bernama Al-Mulk
untuk mencuba para penguasa

Pasti akan tiba
waktunya setiap kuasa dicabut.

Lalu kuasa bertukar milik...

Menerima bukan Islam dalam perjuangan ISlam

Satu hal yang dapat difahami dari sirah nabi ialah bahawa tentera jihad Islam tidak semestinya Islam. Jika ada orang kafir yang mahu membantu perjuangan Islam, penyertaannya itu diterima. Dalam perang Hunain, nabi SAW meminjam senjata dari seorang taukeh senjata yang masih musyrikin. 

Peristiwa Zati Anwat juga menunjukkan kepada kita bagaimana sebahagian sahabat muallaf yang akidah mereka masih diselubungi kesyirikan menyertai gerombolon askar nabi SAW menuju ke medan Hunain. Mereka tega meminta kepada nabi agar dijadikan buat mereka pohon pujaan sebagaimana pohon Zati Anwat yang menjadi pujaan di zaman jahiliyyah. Sudah tentu permintaan semacam itu terbit dari jiwa yang serabut akidahnya. 

Kendatipun begitu, nabi tidak menyingkirkan mereka dari ketumbukan perang baginda. Baginda hanya menempelak mereka dengan mengatakan permintaan seumpama itu adalah seumpama permintaan kaum nabi Musa agar dijadikan berhala sebagai Tuhan untuk mereka sebagaimana para penyembah lembu yang ditemui di jalanan.

Cerita sejarah ini menjadi iktibar untuk kita berlapang dada meraikan kebersamaan orang-orang jahil dalam perjuangan Islam. Sekalipun yang bukan Islam, jika mereka mahu menyertai dan membantu perjuangan Islam, maka tidak harus kita menolaknya!

Monday, January 07, 2013

AMANAT HADI

Heboh pasal Amanat Hj. Hadi diperkatakan dalam TV. Sekumpulan manusia berjiwa kerdil tetapi menunjuk pandai berbahas tidak tentu hujung pangkal mengenai amanat Hj. Hadi itu. Ironinya, Hj. hadi tidak dipanggil untuk dibincangkan perkataannya itu.  Para mufti, professor dan tokoh agama yang berbincang mengenainya dalam media massa itu adalah manusia tidak punya keyakinan terhadap kemampuan ilmu sendiri untuk berdepan dengan sosok yang diperkatakan.

Lebih menakjubkan, begitu gempita Amanat Hj. Hadi diperkatakan, anehnya Teks Amanat tersebut amat berat untuk dipaparkan di muka depan akhbar atau dipancarkan dalam siaran berita. Hanya ulasan-ulasan yang dilebihkan. Perbuatan membodohkan orang ini sangat melampau sekali.

Apa masalahnya dengan amanat tersebut? Sila renung dan cari kesalahannya dari perspektif Islam.


Saturday, January 05, 2013

Cabaran orang menentang.

Aku menganggap itu sebagai cabaran buatku. Kata pepatah, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Apabila kita meladeni dunia perjuangan merubah masyarakat, sudah tentu ada cabarannya. Jika ada nabi SAW, adalah yang jadi Abu Lahab, Umayyah bin Khalaf dan sebagainya. Setiap kebenaran akan menurut garis laluan pejuang kebenaran terdahulu.

Orang tidak suka kepada apa yang kita bawa, itu biasa. Dalam kebencian orang, tentu ada yang sayang. Dalam tentangan tentu ada sokongan. Jangan mudah putus asa. Mereka yang telah meraih keberhasilan pada hari ini, bermula dengan tentangan dan kebencian.

Semoga Allah berikan daku kekuatan!

Tuesday, January 01, 2013

Siarkan di TV.

Sayembara antara Musa dan Firaun pada hari itu menampilkan tokoh-tokoh ahl sihir yang mendokongi kerajaan Firaun. Seawal-awal lagi Musa telah mensyaratkan, sayembara yang bakal diadakan hendaklah disaksikan oleh orang ramai. Apalah gunanya jika sayembara itu hanya diadakan di dewan tertutup. Firau yang begitu yakin bahawa dia berada di pihak yang benar, menyahut cabaran nabi Musa.

Demikianlah putaran sejarah. Pertembungan antara hak dan batil sering gagal diketengahkan di kaca TV. Jika dapat disiarkan, alangkah baiknya. Para pejuang kebenaran tidak perlu takut untuk berhujjah di dalam TV. Kalau benar yakin diri di pihak benar, bukakan siaran TV untuk jadi medan intelektual. Biar rakyat yang menghakimi.

Seringkali orang dunggu berkata bahawa rakyat belum cukup pandai untuk menjadi hakim. Rakyat hanya tahu makan disuap. Maka, siaran bebas yang mencabar pemikiran dalam TV tidak perlu. Hanya maklumat sepihak sahaja yang rakyat patut terima kerana rakyat kita masih bodoh.

Rakyatkah yang bodoh atau mereka yang bodoh!.