CARI BAHAN

Thursday, January 31, 2013

Sayangkan perjuangan Pas yang lalu?

Seorang pemuda UMNO menyatakan:"Saya, sesungguhnya sayangkan Pas yang dulu...Pas yang dulu ikhlas", 

"Pas yang dulu dan Pas yang sekarang dipimpin oleh orang yang berlainankah?tanyaku kehairanan.

"Pas yang dulu perjuangkan daulah Islam, rela berjuang sendiri dan tidk bersekongkol dengan DAP", katanya lagi.

" Lantas, kenapa pada masa itu kamu tidak menyertai perjuangan Pas tetapi memilih perjuangan UMNO?', aku menempelak.

" Saya memilih antara UMNO dan PBS, antara dua parti itu, masa depan Islam di Sabah lebih terjamin di bawah UMNO, Pas tiada kekuatan", katanya selanjutnya.

" Mengapa tidak kamu menjadi pejuang Pas masa lalu yang memberikannya kekuatan?", aku mengingatkan.

Sekarang, memang bahasa orang UMNO begitu. Mereka kata mereka sayangkan Pas dan perjuangannya. Mereka kesal kerana Pas meninggalkan perjuangan mulianya dan menjadi alat kepada DAP. Ironinya, sewaktu Pas dengan perjuangan mulianya yang disebut-sebutkan itu, orang UMNO yang sama itulah yang menentang Pas. Mereka enggan mendokong perjuangan Pas. 

Lalu, pada saat Pas duduk semeja dengan DAP, mereka mula gelisah dan mula mengusik Pas dengan mengimbau kenangan masa lalu. Dikatakan Pas dan perjuangan masa lalunya itulah yang murni dan mulia.

Huh!

Kalau Pas tidak bersatu dengan DAP, masakan mereka mahu melihat Pas. Mereka hanya berbasa basi mengatakan Pas punya perjuangan mulia yang dikorbankan. Mereka tidak pernah pun menganggap mulia perjuangan Pas. Kalau mereka anggap perjuangan Pas mulia, sudah tentu mereka menyokong Pas di saat mereka kena buat pilihan antara UMNO dan Pas.

Sekarang bukan masanya untuk bernostalgia. Pas sudan menempa kebijakannya sendiri. Strategi dan wawasan Pas bukan ditentukan oleh para pemimpin UMNO. Pemimpin Pas lebih maklum ke arah mana hendak dibawa Pas. Kalau orang UMNO mahu Pas masa lalu, jadikan sahaja UMNO yang didokongnya itu semacam Pas masa lalu.

Kalau sudah sayangkan Pas, sayangkan Nik Aziz, percayalah kepada kemampuannya. Orang yang paling kuat menyokong Pakatan Rakyat adalah Nik Aziz. Bagaimana mungkin dalam keadaan anda mengatakan sayangkan Nik Aziz, anda menafikan kebijakan kepimpinannya. Anda tidak tsiqah dan wala' kepadanya. Nik Aziz lebih bijak berpolitik dari anda. Kagum dengannya, ikutlah dia.

Jangan cakap tidak serupa bikin.

Monday, January 28, 2013

Mulia kerana perjuangan berjemaah.

Keberadaan Nasharuddin Mat Isa dalam Pas memang sudah tidak punya makna lagi. Apa gunanya berada dalam Pas, lebih-lebih lagi dalam barisan kepimpinan tertinggi jika yang dibawanya adalah suara sendiri dan bukan suara jemaah. Orang, kalau hidup berjemaah, hendaklah menjunjung suara jemaah. Kalau kepimpinan jemaah putuskan sesuatu dalam mesyuarat, itulah yang akan diperjuangkan di luar mesyuarat. Seorang yang gagal menegakkan citra hidup perjuangan berkumpulan, lebih baik pergi hidup sendirian.

Hati dan perasaan para pendokong perjuangan peringkat akar umbi tidak perlu dihantui perasaan nostalgik. Tegak rebah individu dalam perjuangan adalah lumrah sepanjang episod perjuangan Islam. Manusia tidak menjadi mahal kerana dirinya, tetapi jadi mahal apabila mampu berganding bahu dengan manusia lain menjunjung misi mulia. Perjuangan yang mahal akan melahirkan manusia yang mahal. Apabila perjuangan mahal ditinggalkan, lantas menempah perjuangan murahan, manusia itu akan jadi murah. Manusia murah akan cepat dilupakan.

Pendapat sendiri sering dibayangi emosi. Jika terlalu merasakan diri benar sehingga menyepetkan mata terhadap pandangan kolektif jemaah, maka memang wajarlah berdiri sendiri. Berdirilah selama mana mampu berdiri. Apabila mahu rebah, rebahlah sebatang kara tanpa ada yang sudi menangisi. Setelah dianugerahkan Allah berkat dalam perjuangan berjemaah, mahu juga berjuang dalam warna bikinan sendiri, maka silakan cari kekuatan perjuangan. Rabalah sokongan dan dokongan dan carilah teman setia yang penuh makar. 

Tidak akan pernah ada kemuliaan hidup buat mereka yang berpaling dari medan perjuangan!

Sunday, January 27, 2013

Ruwaibidhah!

Ugutan juak Perkasa untuk bakar bible dalam bahasa Melayu itu memang tidak berasaskan citra Islam sama sekali. Belum pernah ada ulama Islam sejak zaman nabi hingga zamam kini menyeru agar bible dalam bahasa apapun dibakar. Para ualama yang mendokong Islam amat faham adab beragama dan menjaga maruah Islam di mata bukan Islam. 

Ibrahim Ali serta konco-konconya itu memang lebih sudu dari kuah. Entah siapalah yang menjadi ikutan mereka dalam agama. Mufti manalah yang berikan mereka fatwa agar bible bahasa Melayu dibakar. Bukan ilmu yang memimpin mereka dalam bertindak. Perasaan yang dicemari nafsu kesyaitananlah yang mentarbiah mereka. 

Malu sungguh aku ada orang mengaku Islam punya perangai buruk sedemikian. Mereka menconteng arang di wajah Islam. Inilah manusia Ruwaibidhah! Orang lekeh dalam agama tetapi cuba berlagak menjadi pejuang agama.

Semoga Allah hapuskan golongan Ruwaibidah dari mencemar wajah suci Islam.

Bukan semangat perkauman.

Seharusnya, seseorang yang telah menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat, pengenalan berdasarkan bangsa sudah tidak diberikan perhatian olehnya lagi. Baik yang menyertai DAP, PKR maupun PAS. Ketiga-tiga parti utama Pakatan rakyat tersebut bukanlah parti kebangsaan. Selama lebih 50 tahun, fomula pemerintahan di Malaysia adalah penggabungan parti-parti berasas kaum menjadi sebuah Parti Barisan Nasional. Selama tempoh tersebutlah fikiran rakyat sudah dicanai bahawa perpaduan yang utuh adalah dengan menyatukan pelbagai kaum melalui wadah parti kaum masing-masing.

Ketika timbul isu kesilapan kiraan undi dalam CEC yang diadakan DAP baru-baru ini, media massa cuba membakar semangat perkauman dengan mengatakan calon kaum Melayu telah tersingkir. Untuk meredakan perassan orang Melayu dalam DAP, maka kesilapan kiraan undi telah diperbetulkan. Dalam hal ini, media massa, khasnya TV3 cuba mempersoalkan pula kedudukan kaum-kaum lain dalam DAP. Diambil statement seorang ahli parti berbangsa India yang tidak puas kerana kedudukan kaum India tidak diberi perhatian dalam DAP.

Media Massa masih bebal dengan jalur pemikiran berasaskan perkauman. Dunia politik harus melakar corak baru dengan mengenepi perbezaan berasaskan kaum. DAP diasaskan dengan tidak mempertimbangkan perbezaan kaum. Kalau orang Cina banyak dalam DAP, itu janganlah dijadikan hujjah mengatakan DAP parti kaum Cina. Sebuah parti dalam Pakatan Rakyat akan didominasi oleh kaum mana yang ramai menyertainya. Namun, perasaan kebangsaan perlu disingkirkan.

TAKFIR SEMBERONO

Mufti Negeri Perak, Harussani Zakaria menghukumkan kafir ke atas mana-mana ummat Islam yang bersetuju kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam. Beliau berdasarkan mantiq bahawa persetujuan itu bererti merestui Allah SWT dipersekutukan. Memeng pada prinsipnya redha dengan kekufuran itu adalagh kufur. Hal ini telahpun menjadi kesimpulan para ulama akidah sejak zaman dahulu lagi. Ummat Islam diajar agar menolak kemungkaran dengan apa cara sekalipun. Jika mampu, gunakan kekuasaan dan jika tidak mampu atau tidak punya kekuasaan, sampaikan nasihat dan dakwah agar kemungkaran dapat dicegah. Kalaupun itu tidak dapat dilaksanakan, maka hendaklah kemungkaran dibanteras dengan hati, dan ia adalah selemah lemah iman. Restu atau tidak restu dengan kemungkaran, itulah yang disebut sebagai meredhai atau membenci kemungkaran. 

Apakah kemungkaran yang lebih besar dari syirik?

Penegasan Mufti Perak tersebut boleh diambil sebagai hujah. Syirik tidak boleh disokong atau diredhai. Namun, jika hendak diulas mengenai syirik, ia bukan sahaja mensifatkan Allah dengan sifat yang tidak layak buatNya sebagaimana diakidahkan dalam lengkaran trinity oleh ummat Kristian. Ada pelbagai perkara yang menjerumuskan manusia kepada syirik. Antara lain, percaya bahawa perundangan Islam itu lapuk dan perundangan Barat lebih praktikal, juga syirik. Kepercayaan seperti ini menjadi anutan sebahagian besar pemimpin negara ummat Islam. Ada yang hanya menyimpan keyakinan tersebut dan tidak dizahirkan melalui ucapan. Namun, ia dizahirkan melalui tindakan mendaulatkan perundangan barat dan mensisihkan perundangan Islam. Dalam pada itu, ada yang begitu berani memperlecehkan perundangan Islam dengan pelbagai gambaran negatif melalui ucapan mereka seperti melebelkannya sebagai lapuk, ketinggalan zaman, zalim, tidak praktikal dan sebagainya. Ungkapan-ungkapan seperti itu tentulah membawa kepada kekufuran kerana ia melibatkan keimanan bulat yang retak terhadap Al-Quran, sekaligus tidak meletakkan Allah SWT sebagai satu-satunya Tuhan yang bersifat penghukum (Hakim).

Para mufti yang mendiamkan diri dalam keadaan negara bertahkim dengan perundangan "taghut", apakah boleh kita sifatkan mereka meredhai pengangkatan undang-undang selain undang-undang Allah? Jika membiarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah ditafsirkan sebagai redha ke atas kekufuran, maka membiarkan pemerintah bertahkim dengan hukum "tawaghit" juga perlulah ditafsirkan sebagai redha. Redha dengan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam menjadikan kita kufur, maka menjadi kufurlah para mufti yang meredhai sistem perundangan jenayah negara yang menyingkirkan hukum hudud Allah!.

Ketika Tg. Hj. Hadi Awang mengungkapkan kecerobohan pemerintah yang menolak perundangan dan sitem Allah SWT dalam pemerintahan pada masa lalu, ia dicap sebagai amanat yang mengkafirkan sebahagian orang Islam yang lain Para mufti yang sama bangkit mempertikaikan kewajaran ucapan sedemikian. Apa yang dikatakan Amanat Hadi itu bukanlah membuat justifikasi kafir secara langsung. Jika diteliti, ia samalah dengan apa yang ditegaskan oleh Tan Siri Harussani Zakaria yang menghukumkan kafir ke atas orang yang membenarkan penggunaan kalimah Allah SWT oleh kaum bukan Islam.

Setelah perjuangan Islam menempuh liku-liku yang panjang di Malaysia, beberpa pencerahan baru telah dibuat. Indahnya hukum Islam adalah kerana ia sentiasa hidup dan terbuka kepada ijtihad. Dalam politik Islam juga terdedah kepada tajdid pemikiran menyebabkan ia tidak statik dan terus menempa zaman dengan penuh bergaya.Dalam situasi para pendokong gerakan Islam telah meneguk pencerahan ilmu dalam bidang politik dan pemerintahan Islam, malang sekali ada pihak yang masih meraba dalam gelap kusut feqah tersebut. Malah, lebih malang lagi kalau corak pemikiran lama yang telah ditanggalkan oleh pejuang Islam yang melalui proses tajdid dan pencerahan itu, diambil dan dianut pula oleh para pendekar agama yang ketinggalan perkembangan.

Orang-orang yang mengatakan boleh kalimah Allah digunakan oleh orang kafir tidaklah boleh ditafsirkan meredhai syirik dan menjadi kafir.  Lebel kafir ke atas orang-orang yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh kaum bukan Islam adalah semberono, drastik dan simplistik. Ia tidak menjalani proses penelitian yang berhati-hati. Ia akan menimbulkan prasangka baru serta cekcok dalam masyarakat bahawa mufti telah mengkafirkan ummat Islam!

Pas mengkafirkan UMNO adalah cerita lama. Sudah termaklum siapa tokoh yang menkafirkan UMNO pada masa lalu itu dan di mana persada perjuangan  mereka sekarang. Cerita baru yang timbul kini ialah mufti Perak mengkafirkan orang Islam yang setuju kalimah Allah digunapakai oleh orang Kristian. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Cerita lama sudah ditutup dan telah cuba dibuka dengan ulasan baru. Tiba-tiba ada  cerita baru berlalku berkaitan isu yang yang sama. Apa reaksi para pembahas isu "takfir" ini?

Kesimpulannya, gaya pengucapan yang sambil lewa menyentuh persoalan keimanan tidak lagi harus diamalkan. Apatah lagi dari tokoh-tokoh agama. Keimanan boleh dibahaskan tetapi jangan dijustifikasikan secara tuntas. Tidak wajar pula jika hanya sebelah mata digunakan dalam menangani isu ummat. Isu kalimah Allah nampak tetapi isu bertahkim kepada "tawaghit" tidak nampak. Isu ketaatan rakyat kepada pemerintah nampak, tetapi isu kezaliman dan khianat amanah oleh pemerintah tidak dinampak. Mengamati persoalan hukum, perlu celik kedua-dua mata. Janganlah pada saat doa hancurkan orang zalim diungkapkan, hujah-hujah dicari untuk mengklaim kesalahan doa tersebut. Tetapi, ketika diri dijilat gossip, diri sendiri mendoakan kehancuran buat penyebar gossip yang juga orang Islam. Ini dikatakan buta sebelah mata. 

Demikianlah Allah menimpakan putaran hari buat manusia. Hari ini di atas, esok belum tentu. Hari-hari yang kita lintasi adalah "mudawalah" bikinan Allah SWT. Oleh itu, waspadalah lisan dan tindakan anda.


Saturday, January 26, 2013

DHPP anugerah Allah

Kejayaan PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong Pas yang keahliannya adalah kaum bukan Islam adalah satu kebijakan politik yangsangat menakjubkan. Buang semangat keakuan membuta tuli yang meletakkan diri sentiasa benar, sejenak kita cuba menghayati apakah kita sudah bebas dari dipertanyakan Allah SWT di hari akhirat kelak. Jika dakwah politik Islam hanya berlegar di kalangan ummat Islam, apakah itu sudah memenuhi tuntutan tabligh yang menjadi misi perutusan nabi SAW.

Vincent Lee, Naib Pengerusi DHPP


Mengenali dan mendengar butir bicara, semangat dan kefahaman Vincent Lee, Naib Pengerusi DHPP Pusat dalam kesempatan lawatannya ke Sandakan, aku merasa sungguh terharu. Allah telah membuka pintu hatinya untuk berjuang dalam wadah politik Islam sekalipun dia bukanlah orang Islam. Kefahamannya tentang misi perjuangan PAS mengatasi ramai kalangan penganut Islam sendiri.

Sebenarnya, inilah kejaiban yang diciptakan Allah SWT. Orang Cina tidak memilih MCA atau DAP untuk berjuang merubah masyarakat. Orang India pula tidak memilih MIC atau PPP untuk berjuang. Demikian beberapa kaum lain seperti Siam, Sikh dan lain-lain yang berada dalam DHPP. Jumlah ahli DHPP sebagaimana yang disebutkan oleh Sdr. Vincent Lee, sudah mencapai 30 ribu orang. Di beberapa tempat, pelarian politik DAP dan PKR yang bukan Islam menyertai PAS melalui DHPP.

Pemimpin DHPP boleh berbincang soal Islam secara terbuka. Tanpa perasangka dan penuh logika berdasarkan pengetahuan, ilmu dan hujjah. Inilah ciri-ciri kemenangan perjuangan Islam menangkis terjahan taghut akhir zaman.

Keadilan untuk semua rakyat perlu ditegakkan. Pada saatnya, orang akan melihat Islam menjadi pelindung. Para pejuang Islam akan jadi manusia paling boleh dipercayai untuk menggalas amanah kepimpinan.

Sunday, January 20, 2013

NAJIS JAHILIYYAH

Ketika berjuang, masih kedengaran semangat kemelayuannya. Perjuangan Islam tidak harus sama sekali diwarnai dengan perjuangan kemelayuan. Jika Melayu menjadi dendangan, sekalipun seirama dan senada dengan perjuangan Islam, hilanglah kesucian perjuangan. Betapa ikhlas, kalau namanya demi Melayu, itu tetap najis jahiliyyah yang dijunjung dalam perjuangan. 

Soal perjuangan atas nama Melayu ini telahpun menjadi ramuan parti kebangsaan Melayu sejak sekian lama. Setelah umat Melayu celik mata dan cahaya Islam menusuk dalam qalbu, ledakan semangat Kemelayuan tidak lagi menggegar. Sudah tentu keadaan ini melahirkan kegentaran buat para pendokongnya, memikirkan kelangsungan yang kian bertabrakan.

Masih ada penganut perjuangan Islam yang menyimpan najis jahiliyyah tersebut dalam relung dadanya sebagai barang pusaka saka. Lalu, pada saat yang dijanjikan, meledaklah selogan IMR. IMR itu adalah syirik perjuangan. Puluhan tahun meladeni perjuangan tidak menjadikan seseorang itu pasti bersih daripada syirik perjuangan jika dia tidak berusaha mendalami ilmu perjuangan Islam yang merangkumkan ilmu dan tarbiah.

Sebagaimana seorang penganut Islam mungkin masih mengamalkan khurafat dan syirik, maka demikianlah penganut perjuangan Islam. Anggota perjuangan Islam, jika masih memikul selogan kemelayuannya, kecinaannya ataupun kemamakannnya, maka dia menanggung syirik perjuangan yang merupakan najis jahiliyyah.

Saturday, January 19, 2013

Taraf kerakyatan

Dr. Mahathir secara sinis mencabar disiasat pemberian kerakyatan kepada lebih sejuta pendatang asing sbelum merdeka. Cabaran sinis itu adalah bagi mempersoalkan dakwaan ke atasnya yang dikatakan telah meberikan kepada kira-kira 200 000 pendatang asing di Sabah taraf kerakyatan semasa zaman pemerintahannya. Dr. Mahathir cuba mengaitkan antara apa yang dibuatnya dengan apa yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Jika Tunku Abd Rahman berikan hak kerakyatan kepada kaum lain di awal kemerdekaan, maka apa salahnya dia berikan hak kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah pada zamannya.

Dr. Mahathir ini memang tidak betul. Mengapa disamakan zaman awal kemerdekaan dengan zaman sesudah kemerdekaan. Sebelum merdeka, orang Melayu pun belum ada IC. Ic hanya diberikan bila Tanah Melayu sudah merdeka. Kalau yang dikatakan pendatang asing di Sabah itu memang yang sudah puluhan tahun di Sabah, hanya tiada IC, itu tidaklah mengapa. Namun, saksi lokasi akan mendapati hal yang berlaku adalah pendatang yang baru membanjiri perairan Sabah. Motifnya pula adalah untuk memenangi pilihanraya.

Apapun, miski yang dibuat Dr. Mahathir itu salah, dari satu sisi pandangan, ia memberi keuntungan jangka panjang kepada kekuatan rakyat. Generasi baru yang menggantikan, akan menjadi warga yang merdeka dan bebas.

Masa lapang untuk perjuangan Islam.

Ketika habis kerja, barulah ada masa untuk hadir ke program memperkasa perjuangan agama Allah. Ada masa untuk datang usrah. Masa untuk datang mesyuarat menjana aktiviti jama'ah. Pergi dengar ceramah dan sebagainya.  Sudah tentu masa tesebut adalah di malam hari atau masa cuti hujung minggu. Sedangkan masa siang pada hari bekerja yang produktif, masanya digunakan untuk memperkasa profesyen dan membina dunia sendiri. Di kala mata sudah mengantuk dan badan telah letih, itulah masa yang dikorbankan untuk jama'ah. 

Jama'ah hanya mendapat sisa masa kita! Kita semua berdepan dengan dilema ini. Hanya pada tahap komplikasi mana kita terbelit, itu yang berbeza-beza.

Untung kita kalau masih punya sisa untuk jama'ah. Ada kalangan kita yang sisa pun tiada. Sisanya diberikan pula kepada sosial bersama rakan-rakan di padang tenis, badminton atau bersama anak-anak dan keluarga. Justeru, apa lagi yang ada buat agama Allah?

Jangan disalahkan sesiapa jika pada hari akhirat persoalan tanggungjawab terhadap perjuangan agama Allah ini menjadi persoalan yang tidak terjawab. Dunia telah menjadi ghurur buat diri maka cinta dunia membutakan mata hati untuk sesaat memikirkan kepentingan jihad agama.

Saturday, January 12, 2013

Ugutan tidak berkesan

Miski diugut oleh pelbagai pihak, perhimpunan HKR112 tetap berlangsung dan dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat. Penjawat Awam diancam agar tidak hadir ke program tersebut. Pelajar Universiti juga diugut. Askar-askar pencen turut diugut. Dalam TV setiap malam keluar peringatan agar tidak menyertai perhimpunan tersebut. Utusan Malaysia dengan bahasa meloya menamakan perhimpunan tersebut sebagai Perhimpunan Shamsidar agar orang ramai tidak hadir.

Namun, kehadiran tetap luar biasa. Suara-suara bodoh yang pernah menyifatkan perhimpuan Bersih 2.0 sebagai dihadiri oleh peserta yang dibayar kini sudah tidak lagi mampu melantunkan nada yang sama. Masakan mampu dibayar lagi perhimpunan ratusan ribu manusia yang diadakan bersiri. Pakatan Rakyat bukan sekaya UMNO-BN yang segala mahu diselesaikan dengan bayaran dan sogokkan material.

Masa rakyat takutkan ugutan sudah berlalu. Watak rakyat baru ini gagal difahami oleh parti pemerintah. Tarinya masih mengikut rentak lama!


Friday, January 11, 2013

Hanya Allah Tuhan Sekelian alam.

Ramai juga orang yang kebingungan dalam meleraikan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Lantas keluarlah pelbagai kenyataan yang mana pada satu tahap, kelihatan memperakukan ada Tuhan yang lain selain bernama Allah.  Beralasankan takut nama Allah disalahguna, maka nama Allah dilarang diguna oleh bukan Islam. Sedangkan, salahguna nama Allah banyak juga berlegar dalam masyarakat Islam. Ada kalangan penganut Islam sendiri yang mengungkapkan kalimah Allah tidak pada tempat yang sepatutnya. Sebagai contoh, ada kalangan sufi yang mengatakan "anal haq" yang menjelmakan Allah dalam semua wujud. Namun, hal ini tidak pula ditafsirkan sebagai salahguna nama Allah oleh pihak yang takut nama Allah disalahgunakan oleh orang bukan Islam.

Orang Kristian, khususnya berbangsa Arab telahpun menamakan Tuhan sembahan mereka sebagai Allah jauh sebelum nabi Muhammad dibangkitkan dan membawa Islam yang dibersihkan dari kesyirikan. Adalah tidak munasabah untuk kita menafikan hal mereka itu bertaabbud dengan nama Allah, sekalipun mereka tersasar kepada trinity. Akidah yang tercemar kaum kristian itu tidak menjadikan mereka patut menamakan Tuhan mereka dengan nama yang lain. 

Dalam Al-Quran, Allah SWT menyuruh nabi menyeru kaum nasrani agar bersepakat dengan orang Islam di atas kalimah yang satu, iaitu bertuhankan Allah. Sekalipun mereka berat untuk menerima kenabian Muhammad, memadilah untuk langkah mendekatkan jika mereka sanggup mengakui Allah sebagai Tuhan dan tidak mensyirikkanNYa.

Siapa yang merasakan Allah miliknya, ketahuilah bahawa Allah adalah sebuah nama agung yang menjadi dambaan setiap makhluk bertuhan. Hatta ikan, pepohonan dan batu batan mengungkapkan kalimah Allah!.

Wednesday, January 09, 2013

Kalimah Allah kembali bersiponggang

Suara-suara merebuti Allah sebagai Tuhan sembahan kembali kedengaran. Ada kalangan umat ISlam yang bertegas bahawa nama Allah adalah milik ekslusif orang Islam. Ada sebahagiannya berlapang dada dan mengatakan bahawa Allah adalah nama Tuhan yang telahpun terpakai oleh pelbagai penganut sejak zaman berzaman. Isu in kembali memanas di persada negara dan menjadi isu politik. Sifat mendabik dada sebagai pembela agama kembali mekar dalam dada beberapa individu dan pertubuhan. Disangka bahawa mempertahankan kalimah Allah sebagai hak ekslusif orang Islam merupakan jihad.

Para ulama yang diberikan basirah telah banyak menjelaskan bahawa kalimah Allah itu telah pun digunakan secara meluas. Ia kalimah yang dirujuk sebagai Tuhan sejak zaman nabi Adam lagi. Cuma, kerana pertukaran zaman demi zaman, maka timbullah pelbagai salah faham tentang Allah.  Allah tidak lagi difahami sebagaimana hakikatnya. Kristian melihat Allah dalam akidah trinitynya. Manakala Yahudi melihat Allah dalam konteks bapa Uzair. Malah, agama yang muncul terkemudian dari Islam seperti Sigh, Qodiani dan seumpamanya, juga mendakwa bertuhankan Allah.

Orang Islam yang sekian lama berbangga dengan nama Allah sebagai Tuhan mereka itu pun bukan semuanya kenal Allah. Sebab itu lahirnya terma "makrifatullah" dalam pengajian ilmu tauhid. Persoalannya kerana masih ada kalangan muslim yang tidak kenal Allah sekalipun menyebut Allah sebagai Tuhan. Maka, apa nak dihairankan jika Allah dalam kacamata kristian disalahtanggapi?

Itu bukan alasan untuk menghalang mereka menggunakan kalimah Allah. Perjuangan para pencinta Allah ialah menjelaskan siapa Allah yang sebenar. Bukan menghalang orang bertuhankan Allah kerana takut salah anggap terhadap Allah.


Putaran kuasa

Wahai orang yang rasa diri berkuasa,
lantas bongkak menjulang kuasa
menabur kata lagak malaikat
muncul sesekali saat merintih sokongan.

Kuasa bukan barang kekal
telah pun rebah orang yang lebih berkuasa
dalam lipatan sejarah
Firaun dan Namrud
yang kuasanya mencabar penghuni langit

Kuasa hanya pinjaman
dari yang bernama Al-Mulk
untuk mencuba para penguasa

Pasti akan tiba
waktunya setiap kuasa dicabut.

Lalu kuasa bertukar milik...

Menerima bukan Islam dalam perjuangan ISlam

Satu hal yang dapat difahami dari sirah nabi ialah bahawa tentera jihad Islam tidak semestinya Islam. Jika ada orang kafir yang mahu membantu perjuangan Islam, penyertaannya itu diterima. Dalam perang Hunain, nabi SAW meminjam senjata dari seorang taukeh senjata yang masih musyrikin. 

Peristiwa Zati Anwat juga menunjukkan kepada kita bagaimana sebahagian sahabat muallaf yang akidah mereka masih diselubungi kesyirikan menyertai gerombolon askar nabi SAW menuju ke medan Hunain. Mereka tega meminta kepada nabi agar dijadikan buat mereka pohon pujaan sebagaimana pohon Zati Anwat yang menjadi pujaan di zaman jahiliyyah. Sudah tentu permintaan semacam itu terbit dari jiwa yang serabut akidahnya. 

Kendatipun begitu, nabi tidak menyingkirkan mereka dari ketumbukan perang baginda. Baginda hanya menempelak mereka dengan mengatakan permintaan seumpama itu adalah seumpama permintaan kaum nabi Musa agar dijadikan berhala sebagai Tuhan untuk mereka sebagaimana para penyembah lembu yang ditemui di jalanan.

Cerita sejarah ini menjadi iktibar untuk kita berlapang dada meraikan kebersamaan orang-orang jahil dalam perjuangan Islam. Sekalipun yang bukan Islam, jika mereka mahu menyertai dan membantu perjuangan Islam, maka tidak harus kita menolaknya!

Monday, January 07, 2013

AMANAT HADI

Heboh pasal Amanat Hj. Hadi diperkatakan dalam TV. Sekumpulan manusia berjiwa kerdil tetapi menunjuk pandai berbahas tidak tentu hujung pangkal mengenai amanat Hj. Hadi itu. Ironinya, Hj. hadi tidak dipanggil untuk dibincangkan perkataannya itu.  Para mufti, professor dan tokoh agama yang berbincang mengenainya dalam media massa itu adalah manusia tidak punya keyakinan terhadap kemampuan ilmu sendiri untuk berdepan dengan sosok yang diperkatakan.

Lebih menakjubkan, begitu gempita Amanat Hj. Hadi diperkatakan, anehnya Teks Amanat tersebut amat berat untuk dipaparkan di muka depan akhbar atau dipancarkan dalam siaran berita. Hanya ulasan-ulasan yang dilebihkan. Perbuatan membodohkan orang ini sangat melampau sekali.

Apa masalahnya dengan amanat tersebut? Sila renung dan cari kesalahannya dari perspektif Islam.


Saturday, January 05, 2013

Cabaran orang menentang.

Aku menganggap itu sebagai cabaran buatku. Kata pepatah, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Apabila kita meladeni dunia perjuangan merubah masyarakat, sudah tentu ada cabarannya. Jika ada nabi SAW, adalah yang jadi Abu Lahab, Umayyah bin Khalaf dan sebagainya. Setiap kebenaran akan menurut garis laluan pejuang kebenaran terdahulu.

Orang tidak suka kepada apa yang kita bawa, itu biasa. Dalam kebencian orang, tentu ada yang sayang. Dalam tentangan tentu ada sokongan. Jangan mudah putus asa. Mereka yang telah meraih keberhasilan pada hari ini, bermula dengan tentangan dan kebencian.

Semoga Allah berikan daku kekuatan!

Tuesday, January 01, 2013

Siarkan di TV.

Sayembara antara Musa dan Firaun pada hari itu menampilkan tokoh-tokoh ahl sihir yang mendokongi kerajaan Firaun. Seawal-awal lagi Musa telah mensyaratkan, sayembara yang bakal diadakan hendaklah disaksikan oleh orang ramai. Apalah gunanya jika sayembara itu hanya diadakan di dewan tertutup. Firau yang begitu yakin bahawa dia berada di pihak yang benar, menyahut cabaran nabi Musa.

Demikianlah putaran sejarah. Pertembungan antara hak dan batil sering gagal diketengahkan di kaca TV. Jika dapat disiarkan, alangkah baiknya. Para pejuang kebenaran tidak perlu takut untuk berhujjah di dalam TV. Kalau benar yakin diri di pihak benar, bukakan siaran TV untuk jadi medan intelektual. Biar rakyat yang menghakimi.

Seringkali orang dunggu berkata bahawa rakyat belum cukup pandai untuk menjadi hakim. Rakyat hanya tahu makan disuap. Maka, siaran bebas yang mencabar pemikiran dalam TV tidak perlu. Hanya maklumat sepihak sahaja yang rakyat patut terima kerana rakyat kita masih bodoh.

Rakyatkah yang bodoh atau mereka yang bodoh!.