CARI BAHAN

Friday, August 31, 2012

Catatan Sebelum Ke Ekspresi Hijau.

Ajal parti yang berkuasa akan sampai juga akhirnya. Bagi setiap sesuatu ada ajalnya. Masakan sebuah parti yang memerintah negara ini akan hidup kekal selamanya. Namun, para pemimpin parti terbabit seringkali mendakwa secara tersirat bahawa parti mereka akan kekal terus memerintah. Kata mereka, tiada parti lain yang dapat memerintah Malaysia!

Bual-bual bersama sekerat jema'ah Subuh di masjid hari ini membawa kepada kesimpulan itu. Hari ini adalah tanggal 1 September 2012.  Kerajaan Perseketuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menyabut ulangtahun hari kemerdekaan dengan tema yang berbeza. Kerajaan UMNO-BN dengan temanya "Janji Ditepati". Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negerin yang diperintahnya membawa tema "Sebangsa,Senegara, Sejiwa.".

Bercakap soal silent majority, lalu, kepada siapa sebenarnya silent majority.  Rakyat tidak menyahut kempen memasang bendera di premis dan kereta masing-masing merupakan isyarat tersirat bahawa rakyat tidak mendokong kerajaan yang memerintah!

Soal dolak dalik Dr. Mahathir mengenai isu hudud. Katanya dia bukan menentang hudud Islam, tetapi yang ditentangnya adalah hudud PAS. Dalam kerentaan tuanya, dia mengungkapkan pula kata-kata yang menjadi pukulan balas buatnya dan juga UMNO. Katanya, " lebih baik mempercayai syaitan yang anda kenali dan malaikat yang tidak anda kenali". Semacam dia kata UMNO itu syaitan yang sudah pun dikenali, sedangkan PR itu adalah malaikat yang dimajhuli.

Hujan turun renyai-renyai. Jalan ke Kota Kinabalu tentu basah. Namun, agenda percutian dan ekspresi hijau perlu diteruskan jua.

Monday, August 27, 2012

Hal-hal lain

Majlis Syura Ulama Pas akan menyentuh isu Ust. Nasharuddin Mat Isa  dalam segmen hal-hal lain bila bermesyuarat. Demikiannya yang dikatakan oleh setiausahanya, Ust Nik Zawawi Salleh.  Isu Ustaz Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas itu akhir-akhir ini bertiup kencang berikutan cadangannya supaya Pas mengkaji kedudukan dalam Pakatan Rakyat dan beberapa isu lain berkaitannya. Banyak pihak dalam Pas melihat Nasharuddin Mat Isa itu bakal mengikuti langkah Datuk Hasan Ali yang sebelum ini telah membuat kenyataan-kenyataan terbuka merosakan keputusan muktamar Pas.

Membincangkan isu berkaitan Ustaz Nasha itu dalam hal-hal lain memberi gambaran bahawa isu ustaz Nasha tersebut adalah hal sampingan yang tidak penting. Itu hal sepele yang dibincangkan sepintas lalu dan tidak perlu diberi penekanan. Ia sekaligus memberi gambaran bahawa individu bernama Nasharuddin Mat Isa tersebut bukan lagi orang kibar dalam Pas yang perlu dibahaskan gedebang gedebung sebagaimana diharapkan oleh musuh-musuh terutama dalam parti lawan, UMNO.

Kalau seorang bekas pemimpin pun, jika sudah memperlihatkan watak khianat kepada semangat setiakawan yang diputuskan secara jama'i, maka jadilah dia seperti melukut tepian gantang. Memang tidak pernah untung orang yang muzabzab dengan perjuangan. Keegoan diri tidak akan bawa ke mana. Miski sebelumnya pernah jadi orang besar dan disandarkan harapan ahli.

Lihat sahaja apa yang Hasan Ali buat sekarang dalam mengisi masa terluangnya!

Sunday, August 26, 2012

Berubah atau tidak berubah?

Dilema antara berada dalam keadaan sedia ada sekarang atau menapak kepada satu perubahan menyebabkan perlaku persaingan hangat dalam politik Malaysia masa kini. Pihak kerajaan sedia ada menakut-nakutkan rakyat tentang idea perubahan yang dikumandangkan oleh Pakatan Rakyat. Kerana mahu menakutkan rakyat bahaya sebuah perubahan, maka Dr. Mahathir Muhammad menfatwakan satu falsafah politik yang berbunyi lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang tidak anda kenali.

Perubahan adalah hijrah. Air kalau tidak mengalir, rosaklah ia. Matahari kalau tidak bergerak, orang akan jemu kepadanya. Anak panah kalau tidak tinggalkan busur, manakan mengenai mangsanya. Demikianlah bunyi antara rangkap syair Imam Syafie R.A yang menggesa supaya perubahan menjadi agenda kehidupan setiap orang Islam.

Pemimpin UMNO-BN sangat takutkan kepada laungan perubahan. Menehan ombak reformasi, kerajaan ciptakan istilah Transformasi. Lenggang lenggok bahasa seumpama itu hanya ingin mengkhayalkan rakyat agar agenda perubahan tidak mempengaruhi rakyat. Rakyat juga diancam bahawa perubahan yang dikumandangkan Pakatan Rakyat itu adalah perubahan ke arah yang lebih buruk. 

Siapa tahu perubahan itu ke arah yang lebih buruk? Mungkin perubahan itu sangat diperlukan. Mahu tahu buruk atau tidak, ayuhlah kita buat perubahan. Setelah merasai perubahan, akan datanglah penyesalan. Penyesalan tersebut mungkin kerana perubahan menambahkan sengsara. Mungkin juga menyesal kerana lambat buat perubahan yang mana mula dirasai nikmatnya. Maka timbullah penyesalan, alangkah baik kalau perubahan itu sejak dulu lagi.

Lagi pun, apakah keadaan sekarang cukup baik untuk dipertahankan?

Saturday, August 25, 2012

Walimah yang menyusahkan warga

Sebuah majlis walimah telah diadakan di satu lorong di Taman Fajar. Buat walimah sempena kenduri kawin ini memang jadi sunnah. Perbahasan fekah yang terrbit daripada hadis-hadis yang menggesa agar mendatangi jemputan walimah menghukumkan sebagai haram jika tidak hadir menunaikan jemputan walimah. Namun, dinyatakan bahawa jika dalam majlis walimah itu unsur yang haram, maka tidak menjadi dosa jika tidak menghadirinya.

Berhubung dengan majlis walimah tersebut, sayang sekali ia banyak menimbulkan gangguan kepada warga. Tanpa persetujuan daripada penduduk yang terlibat dengan penggunaan jalan di depan rumah tuan kenduri, khemah didirikan sehingga menutup seluruh jalan. Laluan penghuni yang lain terhalang. Dalam fekah pun ada dibincangkan hak syuf'ah. Hak tersebut wajib diberikan. Maka, jika ia dirampas, terlebihlah haramnya. Lebih-lebih lagi laluan yang dirampas itu bukan hak perampas.

Berapa ramai orang yang melaknat si pelaku kerana gara-gara kesukaran yang ditimbulkan? Bagaimalah kenduri itu mahu mendapat keberkatan bersama dengan celaan dan laknat orang? 

Haihata lima tu'adun?

Analitikal Kelingkin Berkait

Pensyarah UUM itu, Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani menyifatkan janji-janji PR untuk memberikan pendidikan percuma, turunkan harga kereta, turunkan harga minyak dan gaji minima merupakan janji-janji populis untuk memikat golongan muda untuk memilih mereka. Ia sukar dilaksanakan dan PR tidak ada fomula dan pendekatan untuk melaksanakannya. Negara boleh jadi bankrup jika ia dilaksanakan.

Sebenarnya, aku sudah bosan dengan pandangan yang nampak macam analitikal tetapi tidak lain hanya untuk menakutkan rakyat untuk melakukan perubahan. Angka-angka dana yang terpaksa dibelanjakan kerajaan nanti dan kehilangan sumber pendapatan itu kelihatan begitu merungsingkan mereka. Namun, mereka tidak pula melahirkan kerungsingan yang sama terhadap ketirisan wang negara jutaan ringgit yang terjadi di bawah kerajaan BN. Perbuatan songlap wang kerajaan untuk kepentingan peribadi tidak pula dibimbangi sebagai jalan ke arah kebankrupan. Apabila bercakap soal membantu rakyat, negara ditakuti bankrup. Bila wang negara dialirkan melimpah ruah kepada kroni, soa bankrup tak timbul.

Harga kereta kalau turun, kata pensyarah itu, kerajaan kehilangan pendapat cukai kenderaan sebanyak 4.6 bilion setahun. Kerajaan mungkin dapat 4.6 bilion setahun hasil bayaran cukai syarikat AP tersebut. Namun, apa yang dihisap dan disedut oleh syarikat AP daripada rakyat adalah lebih banyak daripada itu. Sebuah kereta menjadi berharga lebih sekaliganda daripada harga gara-gara cukai AP ini apa maknanya? Biar syarikat AP lingkup daripada rakyat menderita!

Kerajaan diwujudkan bukan membela pemilik syarikat dan golongan bangsawan serta elit negara untuk menjadi makin kaya. Kerajaan diwujudkan untuk membela rakyat terbanyak. Kalau sudah tak mampu menjajikan kebajikan untuk rakyat terbanyak, kerajaan seperti itu baik bungkus sahaja dan ganti kerajaan lain.

Kita tidak hairan kerajaan mana pun memerintah asalkan adil, telus dan tidak memperdaya rakyat!.

Wednesday, August 22, 2012

Demi perubahan...

"Lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal...", demikianlah Dr. Mahathir menulis dalam blognya mengingatkan rakyat agar terus menyokong BN daripada terpengaruh dengan janji PR yang belum pasti tertunai.

Kalau tidak kenal malaikat dan lebih kenal syaitan, apa maknanya itu?

Kalau sudah kenal syaitan, tetapi tetap menyokong syaitan kerana tidak kenal malaikat, maka salah siapa? Mengapa tidak mahu mengenali malaikat dan kenapa syaitan juga yang mahu berkenal-kenalan?

Falsafah hidup Dr. Mahathir itu bunyi sedap tetapi sangat tempang.

UMNO-BN itu umpama syaitan yang memang sudah dikenali budi dan jasanya. Tapi, PR itu umpama malaikat yang belum pernah dikenali kerana hanya janjinya sahaja yang muluk. Mana satu mahu dipilih?

Kalau mahu perubahan, tinggalkanlah syaitan. Biarlah malaikat belum pernah lakukan apapun, ia adalah satu keberanian untuk perubahan. Sampai bila kita mahu berada dalam kongkongan syaitan?

Mengenali Pak Nurdin

Berkenalan dengan seorang lelaki dari Sulawesi, dia memperkenalkan dirinya sebagai Nurdin. Katanya dia berasal dari daerah Sulawesi Selatan.  Beberapa siri perbualan seusai solat di luar pagar masjid, aku baru tahu beberapa perkara baru mengenai latar belakangnya. Dia merupakan seorang guru kerarajaan di sekolah mengajar matapelajaran moral. Dia datang ke Sabah kerana membawa bapanya melawat anak kakaknya yang akan mengadakan majlis perkahwinan.

Sebulan Ramadhan dia bercuti.Memang begitulah masa cuti bagi sekolah di daerahnya. Katanya cuti sekolah sebelum naik tahun persekolahan adalah pada bulan Ramadhan. Itu adalah bagi daerahnya dan beberapa daerah yang otonomi diberikan kepadanya dan penduduknya ramai Islam pula.

Monday, August 20, 2012

Isu politik

Dalam menyambut Aidil Fitri, soal-soal politik terus marak. Beberapa hari lepas MCA istihar secara terang-terangan penentangan mereka terhadap istilah negara Islam. Siapa yang gunakan istilah negara Islam pula? Setahu aku PAS sudah guna nama Negara Berkebajikan yang diputuskan dalam Muktamtar Sanawi yang lalu. Mungkin ledakan suara MCA itu berikutan kenyataan-kenyataan provokasi Ust Nasharuddin Mat Isa setelah pulang dari Makkah yang mana dia dilihat bersama DS Najib Abd Razak. 

Dalam pada itu, kelu pula lidah Abdullah Samah maupun kelompok Ulama Muda Umno ituk melebelkan apakah jenisnya kafir bagi Cina MCA itu. Itu biasalah, kalau sudah buta sebelah mata, hukuman yang dibuat pun  akan berpilih-pilih.

Ada pula cadangan dari Dr. Mahathir  supaya PAS sertai UMNO supaya hudud boleh dilaksanakan. Cadangan tersebut memang nyanyok gila habis. Kalau UMNO nak laksanakan hudud, tidak perlu tunggu PAS masuk UMNO. UMNO sendiri boleh buat. Tapi, kenyataannya, UMNO selama ini memang tidak pernah berminat terhadap hudud. Hanya kerana nyawa sudah semput setengah mati, barulah harapkan PAS sertai UMNO. Bukan nak buat hudud, tetapi sebagai tali hayat. Politik yang semacam ini memang rendah dan "low class". Budak sekolah tadika pun boleh baca.

Nasharuddin dan Karpal Singh berdebat dan mahu saling menyaman dan lawan di mahkamah. Dua manusia ini pun sama-sama tolol dalam politik. Tiada siapa yang untung dengan memukul genderang perang guna tong deram buruk yang rabik itu. Mereka berdua itu hanya jadi sorakan UMNO-BN yang memang suka Pakatan rakyat berbalah sesama sendiri. Entah ke mana sudah hilangnya pengalaman dan kebijakan politik Ust Nasharuddin.  Karpal Singh yang sudah lumpuh berkerusi roda sahaja itu pun sudah ingat-ingat lupa,

Isu-isu politik terus dan akan terus hangat selagi pilihanraya tidak dilangsungkan. Sesudah pilihanraya pun, isu politik akan terus bersiponggang kerana politik itu sebenanya kehidupan.

Friday, August 17, 2012

Tak faham aulawiyyat

Balik dari Makkah, Ust Nasha dihujani persoalan. Lantas, dia menafikan desas desus bahawa dia akan masuk UMNO. Itu boleh diterima. Di pihak orang PAS yang cepat sangat melemparkan prasangka, juga tidak baik. Kalau boleh, kita mahu orang kekal dalam PAS, bukan menghalaunya keluar. Dalam politik tidak boleh ada kesombongan. Setiap keberadaan anggotanya memberi kekuatan kepada parti. Kekuatan PAS bukan berpusat kepada seorang. Bukan, sekalipun pada TG Nik Abdul Aziz.

Namun, sikap Ust Nasha juga tidak baik. Kenapa pula dia pergi serang Karpal Singh dan kata dia itu bukan sahaja menentang hudud, tetapi anti Islam juga. Bahasa yang digunakannya itu adalah terjemahan kepada bahasa politik UMNO. Ia tidak perlu digembar gemburkan. Karpal Singh itu memang bukan Islam, maka tidak hairanlah kalau dia tidak menerima hudud. Mengapa masalah orang UMNO yang tolak hudud tidak ditimbulkan?

Telunjuk lurus kelingkin berkait. Menyerang Karpal Singh untuk satu isu yang telah lewat adalah cubaan mengungkit buat menggoyahkan perpaduan Pakatan Rakyat. Kebersamaan dalam Pakatan Rakyat telah diputuskan dalam Syura. Mengapa USt Nasha tidak bantah dalam Majlis Syura yang dia sendiri salah seorang ahlinya? 

Perbuatannya itu tidak sukar diterjemahkan. Ia adalah cubaan memberi nafas baru buat UMNO yang sednag nazak. Sepatutnya, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi biar basah. Biarkan UMNO-BN tumbang dahulu, barulah dibahaskan mengenai sikap pemimpin DAP itu.

Kata mempengerusikan Majlis Fiqh Kontemporeri. Takkan tak faham aulawiyyat. Fiqh Aulawiyyat itu tidak ada ke dalam Fiqh Kontemporeri yang Ust. Nasha jadi pengerusi?

Ish...buang msa sahaja tubuh badan sedemikian kalau begitu!

Wednesday, August 15, 2012

Tentang dan Tolak

DAP menentang hudud. Tetapi UMNO tolak hudud.

Antara tentang dan tolak, mana lebih teruk? Tak apa kalau yang tentang dan tolak itu bukan Islam. Apa maknanya tolak hudud kalau ia dari yang mengaku Islam?

Setahu aku, orang menentang masih terbuka kepada perbincangan. Dia menentang mungkin kerana tidak faham. Penetangan itu bersebab. Tetapi, yang tolak itu kenapa?

Jangan rasa 'Ujub!

Bila kita buat sesuatu kebaikan, jangan puji diri. Kalau puji diri, itu 'ujub namanya. Kata Hasan Ali, pendedahan yang dibuatnya telah menatijahkan kesan yang baik iaitu gerakan para mubaligh Kristian terhenti. Kita pun tidak tahu sejauh mana berhentinya gerakan para mubaligh Kristian. Tiada kajian khusus yang dibuat mengenainya. Sekadar dakwaan, sesiapa pun boleh mendakwa.

Kekadang, apa yang kita buat itu tidak memberi kesan apapun, Hanya diri yang perasaan lebih. Mubaligh kristian memang kerjanya menyebarkan kristian. Jangan marahkan mereka kerana sebar kristian. Marahlah diri sendiri kerana alpa menyebar Islam. Masa punya kuasa, apa gunanya kuasa itu. Kuasa bukan untuk menyalahkan orang. Kuasa adalah untuk buat kerja dan tindakan. Buat kerja pula hendaklah bijak. Jangan pakai otak sendiri. Hidup bermasyarakat, apatah lagi berjemaah, hendaklah mengikut peraturan bermasyarakat dan berjemaah.

Dalam banyak hal, aku merasa simpati dengan keghairahan Hasan Ali mengatur perjuangan yang hilang punca di hujung usia. Perjuangan dakwah Islam masa kini sedang menempa rentak baru, namun dia masih berbangga dengan rentak lama yang hilang "ummmph"nya.

Tuesday, August 14, 2012

Dosa dan jenayah

Khabarnya, Hasan Ali tidak dapat memastikan perbezaan antara dosa dan jenayah.  Nampak sangat tipisnya ilmu syariah Hasan Ali. Itupun dengan berani dia cuba mencabar kredebiliti para ulama dalam PAS yang lulus dalam pengajian ISlam dengan baik sedangkan dia hanya mencapai tingkat yang membanggakan dalam pendidikan sekularnya. Hanya kerana dicelupkan dalam PAS untuk satu tempoh masa, belumlah cukup untuknya dilihat sebagai berkelayakan berhujah mengenai isu-isu agama.

Sepatutnya perbezaan antara dosa dan jenayah sudah jelas baginya. Bagi pelajar agama peringkat SPM pun mungkin boleh membezakannya. Padahal, Hasan Ali yang khabarnya ada PHD, pun tidak tahu membezakannya.

Sesuatu kesalahan agama yang bersifat peribadi, ia bukan jenayah. Masturbasi dan onani bukan jenayah tetapi satu dosa. Makan babi dalam rumah sendiri bukan jenayah tetapi dosa. Seorang yang berzina kalau tidak ditangkap, ia tidak disifatkan jenayah. Malah, semua kesalahan hudud yang pelakunya dapat sembunyikan, ia tidak dipanggil sebagai jenayah.  Jenayah itu ialah apabila ia telah sampai kepada hakim (mahkamah).

Nabin SAW suruh kita elakkan hudud sedaya mungkin. Maknanya, kalau ada jalan untuk sesuatu dosa itu tidak dijenayahkan, buatlah. Biarpun ketika sudah sampai ke pengadilan. Inikan pula jika dosa itu tidak terdedah.

Kalau tidak mengaji syariah memang payah Hasan Ali nak faham. Dia sudah tua dan keras hati pula. Merasakan diri serba tahu sesuai dengan tingkat pendidikannya, membuatkannya dia merasa tidak perlu mendalami ilmu daripada para ulama lagi. Maka, bagaimana dia nak faham semua itu.

Itulah makanya, ketika ditanya peguam Latifah Koya mengenai perbezaan antara dosa dan jenayah dia jawab...

"Tidak pasti!".

Peh...patutkah?

Monday, August 13, 2012

Pendeta yang lupa.

Bercakap kayak pendeta
Umat Islam jangan bersengketa
Katanya negara makmur bersyukurlah kita
Tiada perang dan juga gempa

Zaman penjajahan sudah berlalu
Tiada sebab kekuatan diadu
hanya merebut kuasa sesudu
Hiduplah aman syukur selalu.

Dialah juga dulunya berkuasa
Lalu mencipta pecah sengketa
musuh politik dihumban ke ISA
Kini tua renta tanpa kuasa.

Kita tidak pernah lupa.

Saturday, August 11, 2012

Terkuras upaya

Ada seorang tokoh kecil UMNO di sini yang ghairah menebarkan apa yang ditelannya dari racun politik yang diperolehi daripada seorang murtad politik asal di Semenanjung. Kononnya, DAP adalah ancaman kepada Perlembagaan Malaysia, Bangsa Melayu, Islam dan raja-raja.  Jika PR dapat memerintah Malaysia, agenda DAP akan ditegakkan di Malaysia. Dengan semberono, diugut bahawa azan di masjid tidak lagi dapat dilaungkan, sistem raja berpelembagaan akan dimansuhkan, Kristian akan menjadi agama rasmi dan pelbagai lagi. Apa yang diungkapkan oleh tokoh kecil politik tersebut adalah lambang hirup jilat najis politik tanpa mahu menggunakan akal waras.

Cerita-cerita fitnah yang entah dipetik dari mana disebarkan dengan mengatakan TG. Nik Aziz, Mohd Sabu dan pimpinan PAS yang lain mengiakan apa sahaja DAP katakan. Tuduhnya, sewaktu pilihanraya kecil Sarawak, Mat Sabu berkata dia lebih rela makan babi bersama DAP berbanding makan ayam bersama UMNO. Para pengikut PAS bertakbir mengiakan kalam Mohd Sabu.

Barangkali, tokoh kecil UMNO yang terpinggir itu merasakan agama Islam panutannya lebih baik daripada pemimpin PAS. Dia yang belum tentu fasih baca Quran, dan kalaupun fasih, tak faham pebenda yang dibacanya, mahu merasakan agama ISlam TG Nik Aziz ditahap sehina itu. Apalah nak jadi dengan UMNO. Benar-benar desperado.

Saat kalau sudah terhempas kuras, aku mahu lihat bagaimana pula butir bicara kalian!

Wednesday, August 08, 2012

Gula-gula pilihanraya.

Semakin hampir pilihanraya, orang kata makin banyak gula-gula akan ditaburkan kepada rakyat. Kalau sudah namanya gula-gula, maka sudah tentu ianya merosakkan gigi jika dimakan selalu. Anakku sekarang ini sudah benci gula-gula. Bila gula-gula disuguhkan kepadanya, dia sudah menolak. Rosak gigi katanya. Sudah tahu dia bahaya dari gula-gula.

Tetapi, banyak orang masih mengharapkan gula-gula daripada kerajaan. Gula-gula itu barang murah. Kalau bijak, mintalah barang mahal. Barulah boleh tahu keikhlasan sebenar kerajaan membela rakyat. Rakyat didahulukan sebagaimana yang dikumandangkan selalu.

Tuesday, August 07, 2012

Tema Hari Merdeka: Biar jelas.

Bab negeri Kedah mengemukakan tema " 55 Tahun Merdeka Terus Berbakti" itu, aku agak pesimis. Kenapa 55 tahun? Kalau dah 55 tahun terus berbakti, tidakkah itu bunyinya lebih kurang sama sahaja dengan tema kerajaan BN yang berbunyi "Janji Ditepati". Kekadang kerajaan Pas di Kedah ini nampaknya macam tidak betul. Aku tidak tahulah siapa yang buat tidak betul ini. Adakah ada tangan-tangan ghaib yang sengaja ingin memburukkan kerajaan PR di Kedah?

Seharusnya, tema sambutan Hari Kemerdekaan yang diputuskan oleh PR iaitu Sebangsa, Sejiwa, Senegara digunapakai oleh semua negeri PR. Tidak ada maknanya asyik melaungkan retorik sendiri. Rakyat tidak bangga pun dengan tema-tema sendiri itu. 

Ayuh, rakyat minda baru, jangan sibuk melaungkan tema-tema yang diputuskan oleh negeri. Kita sedang berfikir nasional, bukan dalam ruang negeri yang sempit!

Thursday, August 02, 2012

Harapan baru untuk PR

Banyak sekali tawaran menarik yang dikemukakan oleh PR. Sementara, BN pula masih dengan tektik lama dengan mengancam rakyat. Rakyat  pada hari ini telah banyak berubah. Pengetahuan pun sudah jauh bertambah. Harapan yang diberikan oleh PR itu tentunya membuatkan sebahagian rakyat mula berkira-kira dalam membuat berubahan besar dalam PRU yang bakan mendatang. Keadaan di pihak BN pula kian tidka menentu. Selain haprak idea untuk memikat rakyat, banyak pula pemimpinnya yang meninggalkannya. Sabah yang menjadi negeri harapan BN nampaknya sudah begitu goyah. Tokoh-tokoh besar BN, sudah mula menyatakan sokongan kepada PR.

Apa sudah jadi? Dapatkah anda bayangkan apa negara ini di bawah pemerintahan PR kelak. Aku pasti tahun-tahun awal pemerintahannya adalah tahun yang sangat berbahagia buat rakyat. Namun, setelah tahun-tahun yang lama, rakyat haruslah sentiasa waspada dan peka. 

Pengajaran pemimpin baik serata dunia, menyatakan kepada kita bahawa kebaikan tidka semuanya kekal lama.

Seorang lelaki Gambia, Mohd Amin.

Dia seorang lelaki Gambia. Namanya Mohd Amin. Kehadirannya ke Masjid Al-Fajr adalah kerana keluar ke jalan Allah bersama jemaah Tabligh. Bersama-sama dengannya adalah kalangan pensyarah pelbagai bidang dari UPM dan UM. Mohd Amin itu sediri merupakan seorang pelajar jurusan kejuruteraan di UPM.Umurnya adalah 28 tahun dan sudah berkahwin dengan seorang wanita Gambia juga yang kini ditinggalkannya di Kuala Lumpur.



Pada mulanya tidak tergambar dalam fikiranku di mana letaknya Gambia itu. Hanya aku tahu ia adalah sebuah negara di Afrika dan rakyatnya berkulit hitam. Setelah berbual dengan Mohd Amin selepas tadarus 2 malam lepas, baru aku balik rumah dan buat bacaan tentang negara Gambia. Rupanya ia sebuah negara kecil yang menganjur sepanjang tebing sungai Gambia yang berada di tengah Senegal. Penduduknya sekitar 1.5 juta orang dan lebih 90 peratus adalah beragama Islam. Manhaj sufism merupakan panutan kebanyakan rakyat muslim Gambia.  Gambia adalah sebuah negara Republik yang diketuai oleh presiden bernama Yahya Jammeh.

Mohd Amin itu rupanya seorang yang telah banyak berjalan di negara orang menyebarkan dakwahnya. Bercerita dengannya malam kelmarin, seusai solat Taraweh, dia menceritakan pengalamannya pergi berdakwah ke negara Venezuela. Di sana, katanya ramai pedagang Arab mulslim dan mereka menguasai perniagaan di sebuah bandar di sana. Di bandar tersebut ada lima orang alim dan ada sekolah tahfizyang ditubuhkan. Presiden Venuzuela , Chavez, merupakan seorang pemimpin yang sangat baik dan banyak mendengar rintihan rakyat. Hanya, dia belum diberikan hidayah memeluk Islam.

Sesungguhnya da;ei perlu banyak mengembara di bumi Tuhan!