CARI BAHAN

Tuesday, January 31, 2012

Mahasiswa bebal.

Isu penggantungan 5 orang mahasiswa KUIN di bawah AUKU menimbulkan pelbagai reaksi. Ada reaksi melampau dalam mentazkiah perjuangan mahasiswa sehingga mengecam Ust. Azizan selaku MB negeri Kedah secara melampau. Hatta, ada yang mencabar beliau masuk BN. 

Kes tersebut sepatutnya dapat diselesaikan dengan baik jika para mahasiswa tersebut membuat rayuan. Namun, mereka memilih jalan untuk berkonfrontasi terus apabila  membawa kes ke Mahkamah. Kini, tunggu keputusan mahkamah. Demikian balas Ust Azizan.

Mahasiswa bukan budak yang pandai semua. Ada kalangan mahasiswa itu otak udang dan dunggu. Sesetengah pihak sanjung perjuangan mahasiswa habis-habisan. Kekadang, mahasiswa dimalaikatkan. Apapun yang mereka buat, kesalahan tiada di pihak mereka.

Mahasiswa pun kekadang jadi budak nakal. Ada yang lagak gangster.  Mahasiswa begini buat apa disanjung. Tidak guna dibela. Kita menghargai perjuangan mahasiswa untuk membela rakyat. Namun, kita tidak perlu menghabiskan air liur sekalipun untuk bela mahasiswa bebal. 

Dalam Isu KUIN, mahasiswa yang telibat itu bukan cerdik. Malah, mereka sudah jadi tunggangan.

Sunday, January 29, 2012

Media di Malaysia

Momokan bahawa Anwar Ibrahim itu agen Amerika, agen Yahudi, menyokong kedua-duanya, jadi alat kedua-duanya sudah lama bergelewang dalam dunia adu domba politik tanah air. Maka, apabila yang terbaru ini, keluar dalam media perdana di Malaysia bahawa Anwar Ibrahim ketika bercakap kepada Wallstreet Journal mentakan sokongan dan pembelaannya kepada negara Haram Israil bukan satu yang baru. Sementelahan, ulasan media di Malaysia bukanlah boleh dipercayai, maka hanya orang yang bersifat anjing lapar sahaja yang akan menggeruguti berita yang disampaikan oleh TV dan Media di Malaysia.

Semakin dekat pilihanraya ini, kita bakal menyaksikan pelbagai permainan politik yang tidak kita pernah bayangkan. Di sinilah pihak yang bermusuh akan mengoptimumkan propaganda masing-masing. 

Tapi...ingatlah, orang yang punya iman tidak akan terjerumus ke dalam satu lubang lebih dari sekali!

Friday, January 27, 2012

Tokoh Seks Suci Islam

Perkataan Seks itu kotor?  Lalu, kenapa timbul perkataan Seks suci? Bila Kelab Taat Suami berforum dengan mempromosikan Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam, mereka telah diserbu oleh pasukan JAIPk. Mufti Selangor, Mohd Tayes Abdul Wahid mengatakan kempen seumpama itu merendahkan martabat Rasulullah SAW.

Bercakap mengenai seks itu kotor dan hina. Mungkin itulah yang menjadi persepsi ramai orang. Kalau begitu, pendidikan seks di sekolah tidak perlu diadakan.

Wanita-wanita yang taat suami itu bercakap mengenai seks Islam. Biarkanlah. Itu bidang yang mereka minati. Lalu mereka mencari contoh tauladan. Siapa lagi? Rasulullahlah.  Ia hanya sati cabang tauladan Rasulullah.  Apakah itu menghinakan Rasululah?

Sukar difahami jalan fikir sesetengah orang.

Mana kuasa kedua?

Hasan Ali, dalam TV show dua tiga hari lepas berkata dia akan menggerakkan kuasa ke tiga. Kuasa ketiga itu akan memperjuangkan IMR. Katanya rakyat sedang tercari-cari wadah bernaung. Kewujudan parti politik hari ini sudah tidak dapat diharapkan lagi.

Aku tidak berhasrat untuk megulas panjang isu mengenai kuasa ketiga ini. Sebenarnya, sudah ada atau belum kuasa kedua? Kalau sudah ada, baru layak kita cakap pasal kuasa ketiga. Kita baru dapat melihat ada parti lain yang dapat merebut sebahagian kuasa yang selama berdekad diserakahi olehi UMNO-BN. Itupun belum tentu dapat bertahan. Kuasa kedua ini masih belum mantap. Tiba-tiba Hasan Ali sudah bercakap mengenai kuasa ketiga.

Kalau dia bercakap mengenai kuasa ketiga ini masa dalam Pas dulu, ada juga idealisme yang patut dihormati. Tetapi....hanya bercakap setelah dipecat.

Thursday, January 26, 2012

TV Show

Selepas Hasan Ali dipecat hari tu, dia kata akan buat road show seluruh negara. Antara lain, dalam road show tersebut dia akan dedahkan siapakah parasit yang ada dalam Pas. Seminggu selepas kenyataannya nak buat road show tersebut, belum ada apa-apa lagi. Hanya semalam, sekali lagi Hasan Ali keluar dalam TV3. Road Show belum ada, tetapi TV Show sudah ada. Entah berapa banyak TV Show yang akan dia sertai selepas ini, tak tahulah. Dia memang suka masuk TV sejak sebelum dipecat lagi. Glamourlah masuk TV. Katanya, dia masuk Pas ni pun kerana nak audience yang lebih ramai. Terkenang masa dia berforum dan dihadiri ribuan oranng, katanya dengan masuk politik penontonnya lebih ramai. Memahami susun katanyam itu, fahamlah kita bahawa Hasan Ali ini adalah orang yang suka glamour.

Dalam show semalam di TV 3, berkali-kali dia mendakwa ada sokongan massa ke atasnya. Kasihan. Aku rasa nak ketawa. Macam manalah dia mengukur sokongan ramai ke atasnya. Kenapa aku tidak ada perasaan menyokong apa yang diperjuangkannya itu. Satu rangkai perjuangan bikinannya....IMR?


Tuesday, January 24, 2012

BR1M

Bantuan Rakyat 1 Malaysia berjumlah RM 500  yang diberikan kepada semua isi rumah yang berpendapatan di bawah RM3000.00 sedang rancak dilaksanakan. Secara sinis, ia boleh disifatkan sebagai usaha perdana yang kerajaan lakukan untuk merasuah rakyat agar merasa terhutang budi kepada kebaikan kerajaan yang melaksanakannya, lebih-lebih lagi kerana tempoh pilihanraya telah dekat. Kerajaan tentu punya motif kerana apa ia dilaksanakan.

Cuma, setelah mengamati perkembangan yang berlaku, aku merasakan pemberian BR1M tidaklah menguntungkan kerajaan BN. Sekilas pandang, memang ia nampak seperti baik kerana meningkatkan reputasi kerajaan BN sebagai kerajaan yang bersimpati kepada rakyat. Tetapi, memberikan BR1M kepada semua rakyat secara adil dan sama rata adalah sukar.

Kegagalan memenuhi tuntutan keadilan itulah yang akhibatnya memarakkan kemarahan. Kini, sudah kedengaran suara-suara tidak puas hati di kalangan rakyat yang tidak mendapat wang tersebut. 

Kata pepatah, Tanam Padi Tumbuhnya Lalang. Demikianlah pa yang sedang diusahakan oleh kerajaan BN dewasa ini.

Monday, January 23, 2012

Kerana salah tulis

Ada  dua peribahasa Melayu yang dinyatakan sebagai salah sebutan sehingga salah difahami maksudnya. Aku mendapatinya hasil daripada bacaan beberapa blog yang mengulas mengenainya. Dua peribahasa tersebut adalah:

i) Harapkan pagar, pagar makan padi.
ii) Melepaskan batuk ditangga.

Peribahasa pertama itu salah kerana  dua hujjah:

a) Pagar tidak pernah makan padi dan hal itu menjadi pengetahuaan semua manusia yang waras. Masakan orang Melayu di zaman dahulu akan berperibahasa menyebutkan sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

b) Orang Melayu zaman dahulu bersawah padi mana ada pagar. Sawah padi mereka adalah kawasan yang terbuka. Maka, bagaimana mungkin diperibahasakan pagar makan padi sedangkan sawah padi tidak berpagar.

Justeru, apa yang sebetulnya adalah"

"Harap pegar, pegar makan padi."

Pegar adalah sejenis burung yang diharapkan dapat makan serangga perosak tanaman padi. Harapan yang disandarkan kepada pegar rupanya tidak menjadi kerana pegar sendiri membahan padi. Kerana itu, lahirlah pepatah Melayu yang berbunyi harapkan pegar, pegar makan padi.

Kenapa jadi pagar dan bukan pagar? Sebenarnya orang Melayu dulu menulis dalam tulisan jawi. Apabila tranformasi tulisan berlaku menjadi rumi berikutan kedatangan penjajah, maka penulis kemudian hari tersalah tulis. Pa Ga Ra dibaca pagar sedangkan ia adalah pegar.

Hal yang sama juga berlaku kepada pepatah yang berbunyi melapaskan batuk di tangga yang diertikan buat kerja tidak sempurna. Tiada perkaitan antara pepatah itu dengan maknanya jika batuk yang dimaksudkan itu adalah suara yang keluar ketika terbatuk. Justeru, batuk tersebut adalah satu perkataan yang membawa makna lain. Ia adalah satu alat atau benda yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu di zaman dulu. Dalam tulisan Jawi ia ditulis ba alif ta wau qaf . Tentu bunyinyanya batuk. Tetapi bukan batuk yang dimaksudkan. Ia adalah batok, sejenis alat pencedok air yang dibuat daripada tempurung kelapa buat diletakkan atas tempayan di pangkal tangga rumah. 


Apabila batok diletakkan di tangga, itu kerja tak sempurna. Sepatutnya ia diletakkan semula di atas tempayan air.

Maka, daripada dua kesalahan ini, kita dapat mengerti bahawa terdapat kesalahan menterjemahkan tulisan jawi kepada rumi oleh pakar bahasa Melayu di zaman dulu. Kesalahan itu adalah perkara biasa apabila pakar bahasa Melayu itu tidak benar-benar meladeni latar belakang kehidupan orang Melayu.

Wednesday, January 18, 2012

Igau Hasan Ali

Akhirnya Pas memutuskan untuk mengetengahkan Dr. Ahmad Yunus Hairi sebagai exco agama yang baru menggantikan Hasan Ali yang disingkirkan. Ini memperlihatkan bahawa Pas tidak hairan dengan kehilangan Hasan Ali. Bukan hasan Ali seorang sahaja yang layak. Mencari seorang manusia untuk mengisi jawatan penting bukannya susah. Apa yang susah ialah hati Hasan Ali sahaja.

Khabarnya, Hasan Ali tidak puas hati di atas penggugurannya daripada jawatan Exco. Dia menyifatkan dirinya masih ahli Pas sekalipun pemecatan telah dibuat ke atasnya. Dengan susah payah, dia bergantung dengan tempoh sebulan peluangnya membuat rayuan untuk menjustifikasikan kelayakannya untuk terus berada pada jawatan Exco. Sekali fikir, nampak apa yang Hasan Ali mahu. Dia mahu jawatan Exco tersebut tanpa rasa malu.

Sebenarnya, Hasan Ali sudah expired. Itu yang perlu dia fahami. Telajak perahu mungkin boleh undur. Telajak kata, demikianlah bahananya. Selepas ini, mengingaulah wahai Hasan Ali dalam separa tidurmu bahawa dirimu masih ahli Pas.

Monday, January 16, 2012

Parasit

Macam-macam Hasan Ali ulas tentang Pas. Mula dulu dia kata Pas sudah tidak perjuangkan Negara Islam. Kemudian, dia dakwa Pas jadi tungangan DAP. Kemudian, dia kata pula marah Anwar Ibrahim dan mengaitkan pemecatannya dari Pas disebabkan oleh Anwar. Terakhir sehingga hari ini, dia dakwa pula Pas ada parasit.

Melihat kepada dakwaan-dakwaan yang melompat sana sini dari Hasan Ali ini, kita boleh memahami sejauh mana kestabilan mentalnya. Adalah besar kemungkinan semua dakwaan tersebut adalah sebuah lentingan emosi yang sedang amarah. 

Apa yang menjadi ujub buat Hasan Ali ialah dia merasakan dirinya sahaja dapat membaca riak di bawah permukaan Pas. Orang yang lebih lama dan lebih matang daripadanya seperti TG Haji hadi dan TG Nik Aziz tidak pernah pula mendakwa Pas sedang dikuasai Parasit. Apakah kacamata politik Hasan Ali lebih tajam daripada kacamata TG Presiden dan Mursyidul Am.

Malah, kalau nak banding Hasan Ali dengan Mustafa Ali, Mahfuz dan Mat Sabu, Hasan Ali hanyalah pendatang baru dalam pentas politik Pas. Tiba-tiba Hasan Ali cakap bergendang bahawa dia tahu wujudnya parasit itu.

Andai kata dalam roadshow yang dijanjikannya itu dia dedahkan bahawa parasit itu adalah Mustafa Ali, Mat Sabu dan Mahfuz, nyatalah Hasan Ali sudah hilang kewarasan. Alang-alang nak kata mereka itu parasit, baik lebelkan terus Tg Presiden dan mursyidul am itu sebagai parasit. 

Sebenarnya, siapa parasit??

Sunday, January 15, 2012

Dahan dedalu perlu di cantas

Dulu, masa di bawah, bila dongak ke langit, nampak bulan. Lalu, hati berbisik, alangkah cantiknya bulan.

Dulu, masa baru tumbuh sebagai anak pisang, berdempet dengan pohon pisang induk. Kalau tidak, manakan dapat tumbuh membesar. Bila sudah besar, lupalah sudah jasa pohon induk.

Satu kesilapan juga juga, kalau masuk Jemaah terus jadi pemimpin. 

Masuk Jemaah, alangkah baik kalau mulanya dipimpin. Setelah faham dan beradab, barulah memimpin. Akhibat tidak melalui tahap itu, maka jadilah pemimpin yang tidak beradab.

KACAU DAUN

Dengar khabar mufti Perak, Harussani Zakaria menyatakan kekesalannya atas pemecatan Hasan Ali dari Pas. Menurutnya, orang yang berjuang untuk Islam seperti Hasan Ali perlulah dihargai Pas. Sebaliknya Pas tidak menghargainya.

Kalaulah Hasan Ali itu pejuang Islam, buat apa dia masuk Pas. Dia boleh buat parti sendiri. Kalaulah sang mufti sedar juga bahawa Pas adalah tempat pejuang Islam berjuang, kenapa dia tidak masuk Pas. Kenapa masih berseloka dalam istana? 

Kalau Hasan Ali sudah dipecat, sudahlah. Apa lagi mahu dikesalkan. Soal Pas hanya para pemimpin Pas yang tahu. Mufti bukan pandai politik. Mufti mungkin hanya banyak tahu soal hukum-hakam yang kebanyakannya untuk menompang kekuasaan pemerintah semasa.

Wednesday, January 11, 2012

Perjuangan Peribadi

Perjuangan Dr. Hasan Ali menegakkan Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu dikatakan bukan perjuangan peribadi. Ia perjuangan kebanyakan ahli Pas. Demikianlah dakwaan para simpatisan kepada Dr. Hasan Ali berikutan pemecatannya. Nampaknya juga, Dr. Hasan Ali dilihat berada pada landasan yang betul dalam perjuangannya.

Sebagaimana yang telah aku tegaskan sebelum ini, perjuangan sendirian yang menyalahi jemaah adalah salah biarpun betul. Perjuangan jemaah adalah betul walaupun ia salah. Inilah perinsip perjuangan dalam jemaah. Sekelompok orang yang yang berjuang dalam Islam dan menjalankannya secara jemaah adalah betul miski ada individu yang melihatnya salah.

Soal betul dan salah berkait rapat dengan redha Allah. Redha Allah bersama jemaah. Akal nipis manusia sering tersalah dalam membuat penilaian. Siapapun dia, sekalipun bergelar Prof Dr. seperti Hasan Ali, ia bukan jaminan bahawa dia betul. Dia akan betul jika perjuangan bersama jemaah. Jika menyalahi jemaah, dia sentiasa salah!

Maka, tidak harus dikatakan bahawa perjuangannya bukan perjuangan peribadi. Bila dia menyalahi keputusan syura, jadilah ia soal peribadi. 

Hal inilah yang gagal diladeni oleh Dr. Hasan Ali. 

Siapalah Dr. Hasan Ali untuk membersihkan dirinya dari khilaf?  Bal'am bin Ba'ura,  ulama besar Bani Israil yang khilaf dan mati kufur itu lebih hebat bertingkat-tingkat kalau hendak dibandingkan dengan Dr. hasan Ali.  Dia tergelincir kerana memisahkan diri dari jemaah.

Jika Dr. Hasan Ali sayangkan dirinya, letakkan dirinya di belakang ulama yang memimpin jemaah. Bukan bergentayangan di depan mereka. Jangan pula ulama UMNO di depannya kerana yang namanya ulama UMNO itu bukan pemimpin Jemaah. Ulama-ulama tidak berjemaah juga tidak boleh diwalikan dalam perjuangan.


Tuesday, January 10, 2012

Batang buruk akan sirna

Ibrahim Ali ucap tahniah kepada Hasan Ali kerana akhirnya telah dikeluarkan dari neraka. Dia kata parti Pas itu neraka. Setara mana  Ibrahim Ali untuk menilai parti Pas begitu?Dia itu ulama yang ada ilmu makrifatkah? Kasyafkah? Sebut nama Ibraim Ali, ramai orang kenal siapa dia. Penyokongnya cuma insan-insan kecewa dan putus wayar.

Ibrahim Ali antara orang yang datang ke Sidang Media di rumah Hasan Ali setelah pemecatannya. Gembira sangat Ibrahim Ali kalau dapat melihat Pas menanggung musibah. Tetapi, sebenarnya pemecatan Hasan Ali bukan musibah buat Pas. Ibrahim Ali tohor penilaian kalau dia sifatkan ia sebagai musibah. Pas tidak terjejas sedikitpun dengan penyingkiran Hasan Ali. 

Mungkin Hasan Ali pernah jadi nama besar dalam Pas. Tetapi dia juga telah jadi melukut tepian gantang sejak dia menentang arus utama Pas. Sebenarnya Pas lebih kuat tanpa Hasan Ali. Demikian komen prof Aziz Bari dalam mengalukan pemecatan Hasan Ali.

Aku percaya, sedikit sahaja yang melatah bersama Hasan Ali. Hasan Ali tidak ada pengkagum yang sanggup berdemo deminya. Dia akan sirna dalam pusaran arus kerana ia cuma batang buruk kini.

Hasan!

Hasan!
Setelah kamu disingkirkan dari jemaah, aku tiada lagi ismah buatmu. Kalau dulu, aku benci bersangka buruk kepadamu, setelah kamu bukan ahli jemaah, kau tiada lagi pendinding dari prasangka burukku. Yang dipecat dari jemaah lalu menentang jemaah, adalah penderhaka. Penderhaka tidak akan menemui kebahagiaan dalam hidupnya di dunia. Di akhirat, allahu 'alam.

Hasan!

Kalau kau hebat, setelah kamau dipecat, jelajahlah serata negara seperti dibuat Anwar setelah dia dipecat.Bertuahnya kalau ada seratus manusia mengerumunimu kalau kamu singgah di setiap negeri.

Hasan!
Sebenarnya aku masih ingat kenapa kamu masuk Pas dulu. Kamu masuk Pas bukan kerana perjuangan Pas. Kamu masuk Pas kerana terdorong oleh isu Anwar. Kalau kerana perjuangan Islam, tentu kamu dah masuk sebelum tahun 1999. Kamu bukan orang lama dalam Pas. Aku memang tak ingat bila Mat Sabu berkecipung dalam pas sebab bila aku mula mengingati perkara, aku sudah dengar Mat Sabu dan Pas bagai seganding. Tapi, kamu...aku ingat bila kamu masuk Pas. Aku tahu sebab apa kamu masuk Pas.

Hasan!
Katamu kamu orang sekular, perlu bimbingan ulama. Ulama mana? Bila kamu sanggup menentang TG Mursyidul Am dan TG Presiden, ertinya kamu memang bukan pencinta ulama. Kamu hanya pencinta  Melayu walau pun kamu mendakwa memperjuangkan Islam nombor satu. Tiga rangkai perjuanganmu itu pun bid'ah yang sengaja kau ada-adakan.

Takkan ke mana perjuanganmu. Perjuanganmu kerdil sekerdil jiwamu.

Sunday, January 08, 2012

Biarlah Allah tentukan.

Dah lama orang memperkatakan tentang siapa yang akan jadi Perdana Menteri Malaysia jika PR berjaya menawan Putrajaya.  Kenyataan bersama para Pemimpin Pakatan Rakyat memperakukan bahawa calon tunggalnya adalah DS Anwar Ibrahim. Sehingga terakhir ini, apabila DS Anwar Ibraim berdepan dengan kemungkinan dihukum penjara setelah melalui perbicaraan yang bersimpangsiur, orang mempertanyakan tentang siapa yang bakal jadi Perdana Menteri jika PR memenangi pilihanraya. 

DS Anwar kata akan ada Perdana Menteri sementara. Jawapan tersebut adalah untuk meleraikan kemusykilan yang mungkin jika tidak dileraikan, akan membuka ruang kepada musuh PR untuk mencucuk keraguan di hati para pengundi.

Kekadang, terlalu banyak sangat berfikir tentang siapa calon Perdana Menteri menjadikan PR dilihat syok sendiri. Maka, TG Haji Hadi memperingatkan agar tawan dahulu Putra Jaya barulah bincang tentang siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri. Katanya lagi, soal siapa yang akan jadi Perdana Menteri adalah ketentuan Allah.

Sememangnya setiap orang Islam yang berakidah betul wajiblah meyakini bahawa siapa yang akan naik menjadi Perdana Menteri sudah termaktub dalam jadual Allah SWT. Dengan meyakini hal sedemikian. akan menjadikan kita tenang dalam politik. Perjuangan politik tidak akan digabrakan dengan kegagalan mencapai apa yang diinginkan. 

Demikianlah bezanya antara merekan yang berjuang bersendikan agama dengan mereka yang berjuang demi mencapai target kuasa!.

Friday, January 06, 2012

Nyahlah!

Kini baru aku sedar bahawa dia bukan orang pandai. Petah lidah tatkala berbicara bukan satu bukti kecendikiawanan seseorang. Semakin ternyata bahawa dia bukan orang pandai apabila dengan mudahnya pihak musuh mempergunakannya untuk menjadi peluru menembak rakan-rakan seperjuangan sendiri. Kedatangannya bukan perkara besar dan kepergiannya juga tidak memberi impak yang besar.

Kalau sudah bercempera hatinya...aku kira sampailah masanya untuk dia terjun ke luar. Tidak dibuka pintu, tingkap sedia terbuka.

Aku maksudkan orang itu adalah Dr. Hasan Ali yang digeruguti kekecewaan dalam perjuangan tidak berentak jemaah itu.


Satu pertanyaan.

Islam tercemar kerana diperalatkan untuk politik duniawi! Demikian Dr. Mahathir mengeluh dengan kesalnya. Seperti keluhan seorang Darwis Sufi yang memanjat maqam dan menyisih duniawi. Kerana politik itu dunia, maka ia tidak sesuai dengan Islam yang dianuti. Demikianlah wajah Islam yang difahami oleh seorang Dr. Mahathir.

Sebenarnya, apa yang mencemarkan Islam? Politik Islamnya atau Politik Sekular?

Monday, January 02, 2012

Catatan Yala 3

Tahun lalu aku telah pun melepasi sempadan Malaysia-Thailand melalui Durian Burung untuk mengunjungi Yala. Di sebelah Malaysia, pejabat imegresen telah pun beroperasi. Bangunan dan gerbang sempadan nampaknya telah siap. Jalan raya juga sudah siap beraspal. Namun, dari sebelah Thailand masih dalam binaan. Jalannya berlumpur. Urusan imegresen dijalankan dalam ruang-ruang pejabat dalam rumah kontena.  Keadaan pada tahun lalu itu masih juga demikian pada tahun ini. Hanya terdapat sedikit penambahbaikan dari struktur bangunan. Namun belum ada satu pun yang siap.

Apa yang menghairankan aku, pegawai sempadan yang ditugaskan oleh kerajaan Thai tidak pandai berbahasa kecuali bahasa Siam. Aku cuba berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi terlalu sedikit yang boleh dipercakapkannya.

Sementara aku, tidak tahu berbahasa Siam.

Kerajaan Thai tidak menjadi pengkagum Bahasa Inggeris. Tetapi, kemajuan Thailand dan Malaysia saling berpacu.

Sunday, January 01, 2012

Catatan Yala 2

Hat Yai... Aku menjejaki kaki ke sana buat pertama kali dalam hidupku pada 25 Disember 2011. Waktu itu, suasana Hat Yai sedang di warnai dengan sambutan Krismas. Pada pemerhatianku, Hat Yai memang bandar yang sibuk. Kata Pak Ngah Hussin, Hat Yai bolehlah dikatakan bandar yang terbesar di sebelah Selatan Thailand.

Perjalanan dari Balor di Yala sejauh 168km. Jarak itu  lebih sekali ganda jauh berbading ke pekan Sadou berhampiran Bukit Kayu Hitam yang mana jaraknya hanya sekitar 52km. Namun, kebetulan kami sudah menjejaki Thailand dan bermusafir ke Yala, ada pula saudara mara yang sudi membawa ke Hat Yai, maka lebih eloklah kalau kami sekeluarga pergi Hat Yai dari Yala. Lagipun, di kalangan kami bukan ada yang pandai cakap Siam.

Aku bertanya Pak Ngah Husin mengenai di mana tempat yang dikatakan syurga dunia oleh pengunjung Hat Yai. Ketika menaiki bas yang membawa kami, Pak Ngah Husin menunjukkan lorong yang mana banyak wanita pelacur berkeliaran. Dengan mudah para pelacur yang cantik dan muda boleh dilihat membonceng motosikal para pelanggan mereka. Mereka dapat dikenali dari corak pakaian mereka. Demikian Pak Ngah Husin mencirikan.

Susah kalau datang Hat Yai berkereta. Hendak cari paking di lokasi pusat bandar memang sukar. Aku berkira-kira satu masa nanti akan aku datang mengunjungi Hat Yai dengan motosikal. Bukan mencari syurga dunianya. Nauzubillah. Hanya kerana aku melihat barangan di pusat bandar sangat jenuh tetapi sukar untuk hampir ke sana dengan kereta.


Hal Sepele

Kononnya penghuni Jalan Kebun yang berdemo kerana tidak puas hati atas ketiadaan perkhidmatan bas di tempat mereka. Mereka menjerit dan melolong, buat bising untuk menarik perhatian media. Media TV3 bagai dirancang melaporkan perangai segelintir penduduk itu dan menyifatkannya sebagai isu besar. 

Isu tak ada bas adalah sepele. Berapa banyak tempat di Malaysia bas tak masuk. Penduduk jalan Kebun itu bukan orang miskin. Banyak tempat orang miskin yang tidak ada bas. Mereka tidak pula berdemo untuk hal sepele itu. 

Setahu aku, kepala yang hanya memikirkan hal sepele ini hanyalah kalangan yang kalah. Kita lihat banyak kacau ganggu yang dibuat berkenaan hal sepele di seluruh negara. Pendokong dan penggeraknya sudah termaklum. Siapa lagi kalau bukan algojo UMNO yang gelisah kehilangan sumber kekayaan negeri. Disokong pula oleh melayu yang mudah diperkuda.

Tapi, generasi Melayu baru bukan mudah diperkuda.

Catatan Yala 1

Lawatan keluarga aku ke Yala, Thailand baru-baru ini mempertemukan kembali dengan sandara mara mentuaku. Mereka adalah anak-anak kepada bapa saudara ayah mentuaku yang menurut ceritanya telah berhijrah menuntut ilmu di pondok Selatan Thailand puluhan tahun lalu dan akhirnya bersemenda dengan wanita tempatan. Kini, bapa saudara ayah mentuaku itu telah tiada dan yang ada hanyalah anak-anaknya. 

Kira-kira kepergian kami ke sana adalah untuk mengeratkan silatur rahmi.

Yala adalah bumi Islam yang subur dan indah. Perjalanan ke sana mengambil jarak sekitar 100 km dari pintu sempadan di Durian Burung. Dari Yala, menuju ke pekan Raman adalah adalah kira-kira 30 km. Pekan Raman di kalangan masyarakat tempatan dikenali sebagai Pekan Kabu. Nama pekan Raman hanyalah bikinan pemerintah Siam.
Sungguh satu kebetulan, ketika kami keluar untuk ke Hat Yai dari kampung Balo di Pekan Raman, satu kejadian letupan bom berlaku dan menghalang perjalanan ke Hat yai melalui Kalupang. Lalu, kami mengambil jalan lain melalui daerah Ban Ngoi. Sehinga akhirnya kami sampai di Hat Yai.