CARI BAHAN

Sunday, September 20, 2015

Haiwan politik yang bercekcok

Mereka haiwan politik yang bercekcok tidak henti-henti. Aku Melihat sesuatu yang tidak kena dalam perjuangan yang disandarkan. Ada bercakap soal perjuangan rakyat. Ada pula bercakap soal perjuangan agama.  Debu-debu berterbangan. Jarak pandangan mataku menjadi sangat pendek. Di sebalik kabus debu itu, aku mendengar suara yang bermacam-macam. Ada suara makan lahap. Ada suara cengkerama ghairah. Ada suara-suara aneh yang aku tidak faham.

Aku ingin menyisih seketika. Aku tidak percaya dengan fatamorgana yang muncul di saat begini.  Syaitan boleh sahaja berserban wali. Sang bacul pula boleh sahaja bertanjak pendekar Melayu. Biarkan para haiwan politik itu berpencak. Aku meminggir ke tepi dan memerhati.

Thursday, September 17, 2015

KETIKA AKU BERFIKIR

Yang Berbeza Bukan Khianat.

Tidak patut untuk menamakan yang berkhilaf dengan kita sebagai pengkhianat. Kecuali jika yang berbeza itu membuat kerja-kerja memburukkan kita  dan merosakkan nama baik kita. Itu barulah namanya khianat. Namun, ia perlu dicermati dengan teliti tanpa sentimen. Apakah benar apa yang dibuat oleh yang yang berbeza dengan kita itu merupakan perbuatan tikam belakang atau hanya prasangka kita sahaja.

Manusia diliputi oleh penyakit hati. Tidak ada orang yang selamat dari debu-debu penyakit hati. Kerana hati berpenyakit, seseorang yang duduk diam di penjuru dinding pun boleh dianggap oleh orang hatinya berpenyakit sebagai musuh.

Wednesday, September 16, 2015

Pemimpin waqar

Pemimpin
biar bicaranya bijak
jangan dibiar emosi menggelegak.

Orang pijak gambar
katakan : "aku masih berdiri!".

Orang bakar gambar,
katakan: Aku masih hidup!".

Orang ludah gambar,
Katakan: "Aku masih bersih!".

Itulah pemimpin yang waqar
berdiri teguh tidak gegar.

Sunday, August 30, 2015

Mendidik Generasi Masa Depan.

Ada murid bertanyaku tadi, tentang bagaimana ada orang Cina dan India di Malaysia. Aku ceritakan bahawa di zaman dahulu, ketika British buka estate lombong-lombong bijih mula diteroka, dibawa datanglah orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Sejak itu jadilah mereka penduduk Tanah Melayu dan akhirnya menjadi rakyat negara kita.

" Kenapa mereka tidak pulang ke negara mereka?", murid itu mempersoalkan.


" Mereka rakyat negara ini seperti kita juga dan mereka sayangkan negara kita ini. Kekadang kita orang Melayu sendiri tidak sayangkan negara kita. Kerana itu suka memusnahkan khazanah alam negara, membuang sampah dan mengotorkan alam sekitar...", aku menerangkan dan cuba menipiskan asobiyyah Melayu yang mungkin terpalit dalam pemikirannya hasil tarbiah salah daripada sentimen "anti-Cina " yang banyak dimainkan 'orang tertentu' lewat terakhir ini.

Generasi baru hari ini perlu dibebaskan dari kulat pemikiran kebangsaan Melayu yang negatif itu. Rasa sayang dan menghormati bangsa lain sebagai warga negara milik bersama akan lebih mengangkat darjat dan kedudukan mereka di masa depan. Mereka tidak perlu didodoi dengan lagu lama yang mengumpan syak wasangka dan prejudis terhadap bangsa yang lain daripada mereka.

" Nanti mereka menguasai negara kita, lihat sahaja di Pulau Pinang", murid itu tidak puas hati dengan penawar hati yang aku suntikkan. Rupanya dos anti-Cina dalam hatinya lebih tinggi daripada dos kesatuan warga yang cuba aku tanamkan.

Sebagai anak-anak generasi Melayu yang tinggal di daerah pinggiran Pulau Pinang, mereka dihasut kerisauan mengenai nasib Pulau Pinang. Namun, apa yang mengacau dalam fikirannya itu adalah hasil manipulasi berat sebelah media massa arus perdana yang yang secara halus memburukkan kerajaan Pinang.

Aku tidak bimbang. Generasi yang aku didik hari ini tentunya akan lebih matang dan bijak daripada generasi lapisanku. Hanya mereka perlu masa dan mereka perlu didengari dan diajak berbincang. Fikiran mereka lebih terbuka hasil prasarana persekitaran langit terbuka yang melengkari mereka.

Manusia dipengaruhi angkubah.

Manusia adalah makhluk yang sentiasa berubah. Dari air mani jadi 'alaqah dan kemudian jadi mudhghah sebelum menjadi janin. Sesudah itu lahir jadi bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, tua dan akhirnya jadi debu tanah yang bekecai bergaul dalam bumi.

Seperti fizikal menerima perubahan, mental juga berubah. Satu aspek mental yang paling terdedah kepada perubahan adalah pemikiran. Dulu lain yang yang difikirnya, tetapi sekarang lain pula. Perubahan pemikiran bukanlah satu yang keji dan bukan tanda tidak istiqamah. Ia adalah tanda bahawa yang berubah itu manusia dan bukan sebongkah batu.


Sebongkah batu pun berubah bila masa beredar lama...

Kerana itu, aku menulis ringkas sebelum ini tentang angkubah dalam kehidupan. Bila angkubah berubah, berubahlah kita.

Baru tahun lepas, Tun Dr. Mahathir melarang acara demonstrasi dan menyifatkannya sebagai merenggut hak rakyat majoriti. Ketika itu hati dan jiwanya masih menyimpan harapan yang baik buat pemerintah yang ada. Tetapi, ketika Bersih 4 kemarin, dia hadir dan memberi semangat dan berkata " teruskan...teruskan".

Apa ini?Kenapa berubah sikap?Kenapa sokong dmonstrasi yang pernah ditentang. Tidak lain kerana wujudnya angkubah. Sedia berubah mengikut angkubah adalah tanda masih ada sifat manusiawi yang menjadikan akal fikiran sebagai kayu ukur.

Kerana itu juga, aku tidak menyalahkan pelakun-pelakun watak dalam pentas politik yang berubah. Kemarin kata lain, hari ini kata lain. Kemarin bersama, hari ini menukar haluan. Disebabkan manusia makhluk yang sentiasa berdepan dengan angkubah, kita tidak boleh memaksanya untuk kaku beku pada posisi sebelumnya.

Berubah bukan semutlaknya tanda hilang istiqamah. Istiqamah pula bukan berdiri kekar menepis segala lintasan, godaan dan hasutan. Bukan. Istiqamah adalah mencari dan memasakkan keyakinan benar yang diyakini serta memperjuangkannya.

Tidak disuruh.

Waktu aku mengajar di Sabah, aku pernah terkeliru dengan jawapan murid-murid bila kutanyakan soalan kepada mereka.

"Kenapa tak datang sekolah kemarin?", demikian aku pernah bertanya seorang murid yang ponteng.


"Ibu tak suruh", jawabnya.

Mulanya aku anggap murid ini sengaja buat-buat alasan. "Tidak disuruh" ibu pula jadi andal.

Ada sekali, aku tanya murid yang enggan minum susu 1Malaysia yang diedarkan waktu pagi.

"Kenapa tak nak minum?"

"Ibu saya tak suruh", jawab murid.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Parah kalau begini. Takkan semua perkara mahu disuruh ibu baru mahu dibuat. Mampukah ibunya menyuruhnya buat itu dan ini semuanya?

Lama-lama aku faham. Bila murid menjawab " tidak disuruh ibu", di kalangan mereka bermaksud ibu melarang mereka melakukan perkara itu. Ia adalah bahasa lunak untuk melarang. Seni bahasa ini ada di kalangan masyarakat tertentu di Sabah.

-Orang Sabah boleh mengesahkan.

Friday, August 21, 2015

KETIKA AKU BERFIKIR-KU LI BUKAN PILIHAN RAKYAT

Aku tidak minat Ku Li. Aku tahulah sikit-sikit pasal Ku Li itu. Dulu dia lawan Dr. Mahathir  sampai UMNO kena haram. Dr. Mahathir buat UMNO baru dan Ku Li buat parti Semangat 46. Semangat 46 bergabung dengan Pas  wujudkan Perpaduan Ummah. Tapi, tak tahan lama, Perpaduan Ummah bubar dan Ku Li masuk UMNO semula. Masa Pakatan Rakyat bekerja keras mahu menumbangkan kerajaan UMNO-BN, Ku Li masih tetap dalam UMNO.

Tiba-tiba pecah cerita bahawa Ku Li adalah calon PM pilihan Pas setelah Anwar ditolak sebagai pilihan PM Malaysia oleh PAS.  Apa yang terdedah ini agak mengejutkan. Bagaimana tega seorang pemimpin UMNO dipilih sebagai calon PM oleh pemimpin PAS. Bercinta dengan orang lain, tetapi mahu menikah dengan orang lain.

Ini satu yang luar kudratku untuk menerimanya sebagai sebuah kefakihan politik. Aku tidak suka Ku Li sebagai PM kerana dia orang UMNO. Daripada Ku Li sebagai PM, baik pilih Nasaruddin Mat Isa yang waktu itu dan sehingga kini masih lagi ahli PAS!

Namun, politik ini memang penuh dengan racau dan igau.

KETIKA AKU BERFIKIR-Abu Bakar Telah Ijazahkan Quran

Aku mendengar dalam satu rancangan TV. Seorang pak ustaz membacakan beberapa potongan ayat Quran. lalu dia menyatakan bahawa dia mengijazahkan ayat tersebut kepada mereka yang berada dalam majlisnya itu. Persoalannya, apakah ijazah masih diperlukan untuk mendapat beberapa potongan ayat Quran dan mengamalkannya? Bukankah, dengan kerja keras Muaz bin Jabal, Al-Quran itu telah dijazahkah buat seluruh ummat. Bahkah kepada seluruh manusia.

Istilah ijazah yang digunakan itu lebih kepada upaya orang tertentu untuk mentafdhilkan diri di atas orang lain dengan perkara yang telah pun dimiliki orang.

Friday, July 24, 2015

Hanya yang buru dunia.

Berkata sang pendeta dunia
jika kalian mahu harta seluas maya
mari aku berikannya
jadilah kamu pengikutku yang setia


Kemudian berkata lagi sang pendeta dunia
jika kamu derhaka
dunia yang aku tunjukkan caranya
hilang semua.

Memikat dulu dengan dunia
kemudian mengancam dengan dunia
hanya buat ahli dunia
yang bergerak kerana buru dunia.....

Kebenaran sebagai rumah api.

D tengah laut, ketika belayar malam nan gelap, daratan tidak kelihatan, para pelayar akan meninjau rumah api. Lalu ke sanalah mereka tuju membelah gelapan..

Kebenaran adalah seperti rumah api. Ia menjadi pasak dalam membuat ukuran.

Ketika memberi makna istiqamah, ia bukan semata-mata tetap pendirian, tidak berganjak walau bermacam pancaroba menimpa. Ia bukan kekal dengan apa yang telah dipegang zaman berzaman. Ia diertikan dengan mengaitkan dengan kebenaran. Jika sesat bertahun-tahun, baru sehari menemui kebenaran lalu berpegang dengan kebenaran, itulah istiqamah. Yang tetap tegar dengan kebatilan, itu bukan istiqamah.

Ketika memberi makna takbur, nabi SAW mentakrifkan:

الكِبْر بطر الحق، وغمط الناس

"Takbur itu adalah mengengkari kebenaran dan menzalimi manusia".

Kebenaran juga jadi kelipan di menara rumah api dalam mengenal daerah takbur. Jika pakai baju lawa, kereta cantik, bergaya, rumah besar, berjalan dengan iringan pengikut yang ramai, jika mendokong kebenaran, ia tidak jadi takbur.

tapi, walau pakai baju compang camping, makan hasil buangan di tong sampah dan hidup memelaratkan diri, namun waktu kebenaran datang kepadanya, dia berdegil, tidak mahu terima, itulah takbur namanya. Maka, perhatikan bahawa k

Wednesday, July 22, 2015

Hempapkan Quran atas kepalamu.

Dalam Al-Quran banyak teguran Allah. Allah menegur orang munafiq dan menceritakan perangai dan tabiat mereka. Allah tempelak orang menentang nabi-nabi. Allah buat tamsil ibarat pedas buat orang yang ingkar kepadanya.

Allah ceritakan kebejatan Abu Lahab, Firaun, Haman, Qarun dan sebagainya. Allah sifatkan ulama dunia Bani Israil sebagai anjing yang menjelir. Allah sifatkan ulama Bani Israil sebagai kaldai penanggung kitab. Macam-macam ada dalam Quran.


Hari ini orang Islam baca Quran. Malangnya, ketika mengambil ibrah daripada apa yang Quran kisahkan, sebahagian orang jadikan ia hujah untuk mengangkat diri dan kelompok sendiri. Ia tidak dibaca untuk mencermin diri.

Ayat Quran dibacakan untuk mendiskreditkan orang lain yang tidak cocok dengan diri walaupun orang itu sama-sama muslim. Ia hanya bergantung kepada tafsiran hawa nafsu sendiri yang mahu meletakkan diri sebagai pihak yang benar dalam persaingan merebut pamrih dunia. Merebut kedudukan, sokongan, keyakinan khalayak, kepimpinan dan seumpamanya.

Wahai yang membaca Quran! Bacalah Quran untuk dirimu sendiri dan jangan hanya tahu menghamburkannya untuk manusia lain.

Mahkota keadilan.

Pagi ini teringat nak tulis tinta ringkas pasal mahkota buat pemimpin. Hanya sekadar membuka medan fikir dan renung buat orang yang suka kepada politik dan kepimpinan. Kekadang, ada kesilapan kita dalam menilai harga seorang pemimpin dan meletakkan nilainya pada harga seperti pengikut atau rakyat.

Mahkota seorang pemimpin adalah keadilan. Itulah ukuran untuk kita menilainya. Dengan apa dia hendak capai keadilan itu? Islam meletakkan kekuatan dan amanah sebagai dua alat penting buat seorang pemimpin untuk menegakkan keadilan dalam pimpinannya.


Pemimpin bukan dinilai pada waraknya. Bukan pada ilmunya. Bukan pada amalnya. Bukan...bukan. Nilai-nilai itu hanya nilai tambah. Tetapi penentunya adalah keadilan.

Jika rakyat rasa dizalimi, pemimpin itu dimurkai Allah. Jika pengikut tidak rasa diadili, maka pemimpin itu ada persoalan depan Tuhan kelak. Sebab itu, jadi pemimpin memang tugas maha berat.

Dalam hadis. pemimpin adil diberikan kredit untuk berada di bawah naungan arasy Allah pada hari panas terik matahari mahsyar.

Saya dengar ada orang puji pemimpin kerana waraknya. Pakaiannya yang ikut sunnah. Ilmunya yang lumayan. Sikapnya yang 'sempoi'. Seorang sultan misalnya, boleh duduk bersila bersama rakyat marhaen. Ada sultan dipuji kerana isterinya pakai tudung. Tapi dalam masa yang sama dia menimbunkan kesenangan dengan istana kemerlip ketika rakyat mrintih susah. Sebenarnya, Allah tidak lihat nilai itu pada diri seorang plemimpin. Allah lantik dia jadi pemimpin dan jadikan keadilannya sebagai kayu ukur.

Sebab itu, ketika kita mahu menilai seorang pemimpin, sila tanya apakah yang dia telah buat mengenai keadilan untuk para pengikutnya. Usah dinilai pada ibadatnya, kehensemannya, janggutnya, jubahnya, kesederhanaannya atau sebagainya. Cukuplah selidiki keadilan yang ditegakkan buat rakyat dan pengikutnya.

Tuesday, July 21, 2015

Pemboleh ubah.

Dalam hidup ini, kita akan berdepan dengan banyak pemboleh ubah. Pemboleh ubah adalah lambang penggunaan akal dan ia juga tanda tidak bepijak atas keta'subah. Islam datang di tengah-tengah kejumudan masyarakat jahiliyah sebagai pemboleh ubah yang menawarkan jalan hidup yang lebih selamat setelah mereka berteleku kaku dengan warisan nenek moyang yang menyesatkan hidup mereka.

Seorang sahabat setia pernah berkata kepada sahabatnya.


"Kita akan bersahabat sehingga mati...",

Namun, belum pun sampai mati persahabatan mereka hancur dan mereka bertukar menjadi musuh. Mengapa hancurnya persahabatan mereka padahal mereka telah berjanji setia untuk bersahabat sehingga mati? Itu kerana ada pemboleh ubah yang menukarkan sumpah janji tersebut. Adakah menjadi kesalahan kerana menyalahi sumpah dan janji setia yang pernah dipaterikan?

Lihat kepada keadaan. Kewujudan pemboleh ubah perlu dinilai di sudut pandangan kebenaran. Di sinilah akal dimanfaatkan dan ta'sub serta taqlid buta dinafikan.

Dalam Al-Quran Allah menceritakan tentang sumpah yang diucapkan. Biarpun sumpah itu mengikat, namun jika ia sumpah yang menghalang diri daripada berbuat baik, ia tidak perlu dituruti. Maka, ertinya ada pemboleh ubah yang mengubah keadaan sumpah yang mengikat itu. Bahkan, sumpah dalam hal-hal yang baik sekalipun, jika sampai keadaannya orang yang bersumpah tidak mampu tegakkannya, didatangkan kifarat sumpah sebagai sebuah pemboleh ubah.

Lihat dalam hidup ini, ada banyak pemboleh ubah.

Dulu kau kata tak suka durian, kenapa sekarang durian sebakul kau pelahap habis?
Dulu kau benci perempuan, kenapa sekarang kau kahwin?
Dulu kau benci aku, tetapi sekarang mengapa kau kata kau cinta aku?
Dulu kau cinta dan janji mahu setia dengan aku aku, mengapa sekarang kau mungkir janji?

Macam-macam pertanyaan timbul mengungkit dulu dan sekarang. Mengubah kerana pemboleh ubah yang benar adalah diharuskan.

Monday, July 20, 2015

Politik memerlukan khud'ah


( خَذِّلْ مَا اسْتَطَعْتَ فَإِنَّ الْحَرْبَ خُدْعَةٌ )

Mu'awiyah memang seorang ahli politik yang cekap. Dia dibantu oleh penasihat yang pintar berpolitik iaitu Amru bin Al-'As. Ketika perang As-Siffin meletus antara tentera Ali bin Abu Talib dengan tentera Mu'awiyyah dan kemenangan hampir berpihak kepada pasukan Ali bin Abu Talib, Mu'awiyah telah menggunakana kepintaran politiknya. Tenteranya diperintahkan menjulang Al-Quran di hujung tombak mereka dan itu membuatkan pasukan tentera Ali bin Abu Talib berbelah bahagi. Sebahagian mahu menyahut seruan kembali kepada Al-Quran, manakala sebahagian yang lain mahu berperang sehingga kemenangan menjadi berpihak kepada mereka dengan muktamad, Namun, Ali bin Abu Talib terpaksa mengikut kemahuan tenteranya yang mahu berdamai. Lalu, berlakulah Majlis Tahkim.

Ada kesamaran dalam mendetailkan peristiwa Majlis Tahkim itu. Kita tidak perlu bahaskan di sini. Apa yang jelas, sesudah Majlis Tahkim tersebut, tentera Mua'wiyah pulang ke Syam dengan selamat dan mereka tetap bersatu. Sayangnya, tentera Ali bin Abu Talib pula pulang ke Basrah (Iraq) dengan pergaduhan dan perpecahan. Muncullah puak Khawarij dari pecahan tentera Ali bin Abu Talib dan ia menjadi beban yang menguras banyak tenaga di pihak Ali bin Abu Talib sebagai seorang khalifah. Akhirnya membawa kepada terbunuhnya Ali bin Abu Talib di tangan perancangan jahat puak Khawarij.

Ternyata Mu'awiyah pintar berpolitik. Ali bin Abu Talib kewalahan mendepani helah politik Mu'awiyah. Sungguhpun ilmu Ali bin Abu Talib cukup lumayan sehingga diriwayatkan bahawa beliau sebagai pintu ilmu dan Rasulullah sebagai gudangnya, dalam mendepani siasat politik Mu'awiyah dia telah terpukul.

Politik adalah satu seni yang lain daripada keilmuan. Seorang ulama hebat belum tentu dapat tampil sebagai ahli politik yang cekap. Ketinggian ilmu dan kecekapan politik jarang terkumpul satu individu seperti ia pernah terkumpul pada Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Sebab itu, dalam hadis nabi disebutkan tentang pentingnya perana ulama dan umara sebagai sendi kepada ummat yang saling lengkap melengkapi.

Perjuangan politik menuntut khud'ah (tipudaya). Ketika ummat Islam kesempitan kerana kepungan tentera Ahzab di Madinah, Nabi SAW menerima tawaran Nu'aim bin Mas'ud Al-Asyja'i untuk memainkan jarum tipudaya terhadap kesatuan musuh. Nabi SAW mengesahkan bahawa dalam peperangan perlu ada tipudaya. Nu'aim telah berjaya menghasut kelompok yang bersatu memerangi Islam itu dengan menanam perasangka sesama mereka. Hasilnya, kesatuan mereka pecah dan mereka menjadi lemah.

Dewasa ini, para ahli politik perlu menghadam seni politik seperti ini. Politik bukan berjalan atas garis lurus. Ia memerlukan tipu muslihat. Apa yang pernah Nu'aim buatkan dalam perang Ahzab itu, kalau dinilai dari sudut kejujuran dan moral tentulah salah. Dalam keadaan normal, perbuatan itu adalah adu domba (Namimah) yang dilarang oleh agama. namun, dalam situasi permainan politik yang sengit, ia adalah sebuah "khud'ah" yang ditakrifkan sebagai sebuah kebijakan politik.

Hari ini, tragedi telah terjadi. Pakatan Rakyat telah pecah berantakan. Sisa-sisanya menanti kecai. Ada yang mengatakan bahawa apa yang terjadi itu adalah kerana permainan UMNO-BN yang menjalanlan cucuk jarum beracunnya sekian lama. Hasutan agar kesatuan Pakatan Rakyat pecah akhirnya membuah hasil.

Dalam hal ini, jika benar ia adalah hasil daripada permainan adu domba UMNO-BN, ia bukanlah satu yang luar biasa. Ia adalah harus, kerana politik memang menyediakan ruang untuk itu. Dalam menghadapi permaianan licik musuh, Pakatan rakyat juga seharusnya bijak membaca. Pemimpin Pas khususnya, sebagai barisan yang membawa wajah politik Islam perlu lebih pintar dengan seni politik yang kaya dengan tipudaya tersebut dan tidak terjerlus dalam permainan musuh.

Musuh tidak boleh disalahkan kerana siasat yang mereka mainkan. Siapa bijak, dialah yang akan menang. Siapa tidak, dia akan dimainkan. Sebab itu, bagi yang memilih itu bercanda di pentas politik, jangan relakan diri untuk dimainkan oleh siasat musuh. Berusaha untuk menang pertarungan politik dengan siasat yang lebih anggun sehingga dapat memandirkan musuh. Jika terjuni permainan politik untuk kalah, adalah lebih baik menguzlahkan diri daripada pentas politik. Banyak lagi bidang lain yang boleh digembeling untuk kepentinngan umat Islam dan manusia jika kudrat politik tidak mapan untuk menangkis "khud'ah" yang dimainkan musuh.


Sunday, July 19, 2015

Khurafat: Percaya Roh Orang Mati Menanti Di Kubur Pada Hari Raya.

Secara ringkasnya, khurafat adalah amalan atau kepercayaan yang tiada asas dalam agama. Ia meresap masuk dari amalan atau kepercayaan yang ada di luar Islam. Maka, berkenaan kepercayaan roh balik pada hari tertentu ini, ia adalah satu kepercayaan yang khurafat.

Hendak menziarahi kubur pada hari raya, memang tidak salah kerana nabi suruh kita ziarah kubur dan tidak disebutkan hari mana. Tidak pula dilarang waktu-watu tertentu sebagaimana halnya solat yang ada waktunya dilarang.


Namun, menziarahi kubur pada hari khusus seperti hari raya dengan kepercayaan bahawa pada hari itu roh orang mati menanti- nanti di kubur untuk menerima sedeqah pahala bacaan, adalah satu amalan yang ditegakkan atas kepercayaan khurafat. Tidak hairan, kerana itu sebahagian pendapat melarangnya, malah mengharamkannya.

Saya mendengar di sebuah masjid waktu solat Aidul Fitri, imam menggalakkan orang untuk ziarah kubur selepas usai solat Aidul Fitri. Dia berhujah dengan menyandarkan kepercayaan khurafat roh balik dan menunggu di kubur pada hari raya.

Ini masalahnya yang berkaitan ziarah kubur pada hari raya. Amalan ziarah kubur memang sunat tetapi khurafat menjadi "targhib"nya. Tidak ada dinyatakan dalam hadis, apa lagi nas Al-Quran, bahawa roh balik pada hari raya. Kalau nak dakwa roh balik pada hari raya, sesiapa juga boleh dakwa roh balik pada hari kebangsaan, hari ibu, hari bapa, hari pekerja dan sebagainya.

Anda tidak akan menemui riwayat yang menyebutkan roh balik ke kubur pada hari-hari tertentu. Riwayat yang menyebutkan bahawa Nabi SAW menceritakan kepulangan roh kepada jasad pada ketika seperti selepas ditanam dan ketika orang menziarahinya mengucapkan salam adalah khabar ghaibiyyat yang tidak boleh diqiaskan kepada situasi lain. Tiada Qias dalam khabar ghaib.

Namun, jika anda membaca kita-kitab hadis golongan Syiah, anda akan menemui riwayat-riwayat tentang kepulangan roh ini.

Monday, June 29, 2015

Petikan: Kafilah dan serigala meraung.

Kehidupan di pinggir rimba kaki banjaran acap kali diganggu bunyi raungan serigala. Di tengah malam sayup kedengaran sahut menyahut raungan satwa itu sehingga menyentap hulu jantung Darwi Joko. Suara itu menelurkan rasa sendu di hatinya dan mengimbau kenangan-kenangan lampau yang tidak mampu dipadamkan dari kotak kenangannya.

Mahu sahaja dia tidak mengendahkan suara raungan penuh mistik dari gerombolan serigala belantara itu, namun, fikiran acap terganggu. Dia tidak bisa mengambil sikap seperti pepatah " biarkan serigala maraung, kafilah usah menghentikan perjalanan".


Tentu sekali setiap kali Darwi Joko mendengar raungan serigala, dia akan teringat korban-korban yang penuh dihitungnya sewaktu tangkas berburu di rimba raya nan luas di kaki tanah banjaran. Ingatan itu menancap kukuh bagai akar tegal tua yang tumbuh berselirat akar melilit di belakang rumahnya.

( Sekadar petikan daripada buku yang akan terbit satu masa yang entah bila : Kafilah dan serigala meraung)

Cuma Petani.

Taburlah benih di tanah ladang
jangan ditabur dalam terusan
jangan ditebar atas jentani.


Tanah ladang luas saujana
kenapa benih tabur setompok?
sudah setompok, di atas batu pula?

Kita semua petani cuma
kita bukan pun tanah huma
kita menanam mengharap tuaian
kita bukan padi dituai

Biarlah petani memilih tempat
tapak berhuma padi bukit
atau menyemai padi bendang
biar kalau mahu menyubur dusun
atau mengusaha tanaman sayur

Asal jangan ditanam lalang
atau dibiar semak membelukar.

Jangan nanti sampai Ghar-Ghar

Ingin aku berkata
bahawa sakitmu kian tenat
nafasmu pendek-pendek dan dadamu bergelombang
kakimu sudah menyejuk
sebentar lagi nyawamu akan berhenti di ghar-ghar.


Ucapkanlah syahadah
ungkapkanlah taubat nasuhamu
ajaklah perdamaian
buangkan sengketa yang bersenandung
rendahkanlah egomu.

Ketika nyawamu kelak sudah sampai di ghar-ghar
Imanmu tiada berguna lagi
Sesal percuma sahaja
sebelum terlambat
menangislah semahumu

Kau bukan malaikat wali
kau cuma burung kedidi

Jangan ditunggu sampai nyawamu di ghar-ghar
saat iman tidak punya harga lagi.

Daki dahriyyun

Apa yang membinasakan kita? Orang-orang athies percaya bahawa yang membinasakan kita hanyalah masa. Mereka tidak meletakkan Allah sebagai Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Bahkan, mereka menyandarkan kelangsungan dan kepupusan kepada faktor masa.

Perkataan yang menyebutkan "sejarah telah membuktikan bahawa parti serpihan akan mati akhirnya" adalah perkataan yang meletakkan masa sebagai penentu kematian dan kehidupan. Ia tidak layak diucapkan oleh orang mencermati kehidupan seorang yang beriman kepada Allah. Bukankah Allah sahaja yang menentukan hidup dan mati? Bukan masa. Bukan sejarah kerana sejarah juga adalah masa.


Aku terfikir hal ini bila orang sering menjadikan sejarah sebagai sandaran. Ada persamaan dengan kata-kata dahriyyun yang selalu menyandarkan kematian dan kehidupan dengan masa.

Esok hari

Esok hari
kalau aku masih bernafas
dan dunia ini belum kiamat
aku masih seperti biasa.


Mereka yang menyusun bata
lalu meranapkannya semula
biar generasi kemudian
50 tahun lagi
menjadi pengadil bijaksana.

Esok hari
kalau aku masih bernafas
dan dunia belum kiamat
aku masih seperti biasa

Siapa yang menyemai badai
jangan mengharap bayu sepoi-sepoi

esok hari
aku akan lupakan cerita hari ini