CARI BAHAN

Sunday, July 19, 2015

Khurafat: Percaya Roh Orang Mati Menanti Di Kubur Pada Hari Raya.

Secara ringkasnya, khurafat adalah amalan atau kepercayaan yang tiada asas dalam agama. Ia meresap masuk dari amalan atau kepercayaan yang ada di luar Islam. Maka, berkenaan kepercayaan roh balik pada hari tertentu ini, ia adalah satu kepercayaan yang khurafat.

Hendak menziarahi kubur pada hari raya, memang tidak salah kerana nabi suruh kita ziarah kubur dan tidak disebutkan hari mana. Tidak pula dilarang waktu-watu tertentu sebagaimana halnya solat yang ada waktunya dilarang.


Namun, menziarahi kubur pada hari khusus seperti hari raya dengan kepercayaan bahawa pada hari itu roh orang mati menanti- nanti di kubur untuk menerima sedeqah pahala bacaan, adalah satu amalan yang ditegakkan atas kepercayaan khurafat. Tidak hairan, kerana itu sebahagian pendapat melarangnya, malah mengharamkannya.

Saya mendengar di sebuah masjid waktu solat Aidul Fitri, imam menggalakkan orang untuk ziarah kubur selepas usai solat Aidul Fitri. Dia berhujah dengan menyandarkan kepercayaan khurafat roh balik dan menunggu di kubur pada hari raya.

Ini masalahnya yang berkaitan ziarah kubur pada hari raya. Amalan ziarah kubur memang sunat tetapi khurafat menjadi "targhib"nya. Tidak ada dinyatakan dalam hadis, apa lagi nas Al-Quran, bahawa roh balik pada hari raya. Kalau nak dakwa roh balik pada hari raya, sesiapa juga boleh dakwa roh balik pada hari kebangsaan, hari ibu, hari bapa, hari pekerja dan sebagainya.

Anda tidak akan menemui riwayat yang menyebutkan roh balik ke kubur pada hari-hari tertentu. Riwayat yang menyebutkan bahawa Nabi SAW menceritakan kepulangan roh kepada jasad pada ketika seperti selepas ditanam dan ketika orang menziarahinya mengucapkan salam adalah khabar ghaibiyyat yang tidak boleh diqiaskan kepada situasi lain. Tiada Qias dalam khabar ghaib.

Namun, jika anda membaca kita-kitab hadis golongan Syiah, anda akan menemui riwayat-riwayat tentang kepulangan roh ini.

No comments: