CARI BAHAN

Monday, July 20, 2015

Politik memerlukan khud'ah


( خَذِّلْ مَا اسْتَطَعْتَ فَإِنَّ الْحَرْبَ خُدْعَةٌ )

Mu'awiyah memang seorang ahli politik yang cekap. Dia dibantu oleh penasihat yang pintar berpolitik iaitu Amru bin Al-'As. Ketika perang As-Siffin meletus antara tentera Ali bin Abu Talib dengan tentera Mu'awiyyah dan kemenangan hampir berpihak kepada pasukan Ali bin Abu Talib, Mu'awiyah telah menggunakana kepintaran politiknya. Tenteranya diperintahkan menjulang Al-Quran di hujung tombak mereka dan itu membuatkan pasukan tentera Ali bin Abu Talib berbelah bahagi. Sebahagian mahu menyahut seruan kembali kepada Al-Quran, manakala sebahagian yang lain mahu berperang sehingga kemenangan menjadi berpihak kepada mereka dengan muktamad, Namun, Ali bin Abu Talib terpaksa mengikut kemahuan tenteranya yang mahu berdamai. Lalu, berlakulah Majlis Tahkim.

Ada kesamaran dalam mendetailkan peristiwa Majlis Tahkim itu. Kita tidak perlu bahaskan di sini. Apa yang jelas, sesudah Majlis Tahkim tersebut, tentera Mua'wiyah pulang ke Syam dengan selamat dan mereka tetap bersatu. Sayangnya, tentera Ali bin Abu Talib pula pulang ke Basrah (Iraq) dengan pergaduhan dan perpecahan. Muncullah puak Khawarij dari pecahan tentera Ali bin Abu Talib dan ia menjadi beban yang menguras banyak tenaga di pihak Ali bin Abu Talib sebagai seorang khalifah. Akhirnya membawa kepada terbunuhnya Ali bin Abu Talib di tangan perancangan jahat puak Khawarij.

Ternyata Mu'awiyah pintar berpolitik. Ali bin Abu Talib kewalahan mendepani helah politik Mu'awiyah. Sungguhpun ilmu Ali bin Abu Talib cukup lumayan sehingga diriwayatkan bahawa beliau sebagai pintu ilmu dan Rasulullah sebagai gudangnya, dalam mendepani siasat politik Mu'awiyah dia telah terpukul.

Politik adalah satu seni yang lain daripada keilmuan. Seorang ulama hebat belum tentu dapat tampil sebagai ahli politik yang cekap. Ketinggian ilmu dan kecekapan politik jarang terkumpul satu individu seperti ia pernah terkumpul pada Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Sebab itu, dalam hadis nabi disebutkan tentang pentingnya perana ulama dan umara sebagai sendi kepada ummat yang saling lengkap melengkapi.

Perjuangan politik menuntut khud'ah (tipudaya). Ketika ummat Islam kesempitan kerana kepungan tentera Ahzab di Madinah, Nabi SAW menerima tawaran Nu'aim bin Mas'ud Al-Asyja'i untuk memainkan jarum tipudaya terhadap kesatuan musuh. Nabi SAW mengesahkan bahawa dalam peperangan perlu ada tipudaya. Nu'aim telah berjaya menghasut kelompok yang bersatu memerangi Islam itu dengan menanam perasangka sesama mereka. Hasilnya, kesatuan mereka pecah dan mereka menjadi lemah.

Dewasa ini, para ahli politik perlu menghadam seni politik seperti ini. Politik bukan berjalan atas garis lurus. Ia memerlukan tipu muslihat. Apa yang pernah Nu'aim buatkan dalam perang Ahzab itu, kalau dinilai dari sudut kejujuran dan moral tentulah salah. Dalam keadaan normal, perbuatan itu adalah adu domba (Namimah) yang dilarang oleh agama. namun, dalam situasi permainan politik yang sengit, ia adalah sebuah "khud'ah" yang ditakrifkan sebagai sebuah kebijakan politik.

Hari ini, tragedi telah terjadi. Pakatan Rakyat telah pecah berantakan. Sisa-sisanya menanti kecai. Ada yang mengatakan bahawa apa yang terjadi itu adalah kerana permainan UMNO-BN yang menjalanlan cucuk jarum beracunnya sekian lama. Hasutan agar kesatuan Pakatan Rakyat pecah akhirnya membuah hasil.

Dalam hal ini, jika benar ia adalah hasil daripada permainan adu domba UMNO-BN, ia bukanlah satu yang luar biasa. Ia adalah harus, kerana politik memang menyediakan ruang untuk itu. Dalam menghadapi permaianan licik musuh, Pakatan rakyat juga seharusnya bijak membaca. Pemimpin Pas khususnya, sebagai barisan yang membawa wajah politik Islam perlu lebih pintar dengan seni politik yang kaya dengan tipudaya tersebut dan tidak terjerlus dalam permainan musuh.

Musuh tidak boleh disalahkan kerana siasat yang mereka mainkan. Siapa bijak, dialah yang akan menang. Siapa tidak, dia akan dimainkan. Sebab itu, bagi yang memilih itu bercanda di pentas politik, jangan relakan diri untuk dimainkan oleh siasat musuh. Berusaha untuk menang pertarungan politik dengan siasat yang lebih anggun sehingga dapat memandirkan musuh. Jika terjuni permainan politik untuk kalah, adalah lebih baik menguzlahkan diri daripada pentas politik. Banyak lagi bidang lain yang boleh digembeling untuk kepentinngan umat Islam dan manusia jika kudrat politik tidak mapan untuk menangkis "khud'ah" yang dimainkan musuh.


No comments: