CARI BAHAN

Sunday, August 30, 2015

Mendidik Generasi Masa Depan.

Ada murid bertanyaku tadi, tentang bagaimana ada orang Cina dan India di Malaysia. Aku ceritakan bahawa di zaman dahulu, ketika British buka estate lombong-lombong bijih mula diteroka, dibawa datanglah orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Sejak itu jadilah mereka penduduk Tanah Melayu dan akhirnya menjadi rakyat negara kita.

" Kenapa mereka tidak pulang ke negara mereka?", murid itu mempersoalkan.


" Mereka rakyat negara ini seperti kita juga dan mereka sayangkan negara kita ini. Kekadang kita orang Melayu sendiri tidak sayangkan negara kita. Kerana itu suka memusnahkan khazanah alam negara, membuang sampah dan mengotorkan alam sekitar...", aku menerangkan dan cuba menipiskan asobiyyah Melayu yang mungkin terpalit dalam pemikirannya hasil tarbiah salah daripada sentimen "anti-Cina " yang banyak dimainkan 'orang tertentu' lewat terakhir ini.

Generasi baru hari ini perlu dibebaskan dari kulat pemikiran kebangsaan Melayu yang negatif itu. Rasa sayang dan menghormati bangsa lain sebagai warga negara milik bersama akan lebih mengangkat darjat dan kedudukan mereka di masa depan. Mereka tidak perlu didodoi dengan lagu lama yang mengumpan syak wasangka dan prejudis terhadap bangsa yang lain daripada mereka.

" Nanti mereka menguasai negara kita, lihat sahaja di Pulau Pinang", murid itu tidak puas hati dengan penawar hati yang aku suntikkan. Rupanya dos anti-Cina dalam hatinya lebih tinggi daripada dos kesatuan warga yang cuba aku tanamkan.

Sebagai anak-anak generasi Melayu yang tinggal di daerah pinggiran Pulau Pinang, mereka dihasut kerisauan mengenai nasib Pulau Pinang. Namun, apa yang mengacau dalam fikirannya itu adalah hasil manipulasi berat sebelah media massa arus perdana yang yang secara halus memburukkan kerajaan Pinang.

Aku tidak bimbang. Generasi yang aku didik hari ini tentunya akan lebih matang dan bijak daripada generasi lapisanku. Hanya mereka perlu masa dan mereka perlu didengari dan diajak berbincang. Fikiran mereka lebih terbuka hasil prasarana persekitaran langit terbuka yang melengkari mereka.

No comments: