CARI BAHAN

Thursday, May 23, 2013

Kamilah warga hutan rimba

Noh Omar kata, sesiapa yang tidak suka dengan sistem pilihanraya yang dijalankan di Malaysia, boleh pergi tinggal dalam hutan. Bunyinya nampak lebih teruk berbanding kenyataan rakan seotaknya yang sebelumnya menyuruh orang yang tidak boleh terima sistem pilihanraya di Malaysia supaya berpindah ke negara lain. Mahfuz Omar secara sinis membalas, sememangnya rakyat sedang menghuni hutan rimba sekarang ini dan tidak perlu lagi pindah ke dalam hutan rimba. Apabila negera boleh membenarkan undang-undang rimba dijalankan dalam sistem pilihanraya di Malaysia, maka Malaysia telah menjadi rimba raya.

Maka bersajaklah!

Kamilah warga hutan rimba
yang ditindas oleh sang buas
dengan undang yang tidak berandil adil
siapa berkuasa dia menguasa
siapa di bawah jangan bertanya

Undang-undang rimba pilihanraya
diajak bertanding di padang tak sama rata
mereka menggasak media
lawan hanya mampu berhimpun raya
barang percuma dikatakan lambang
adil sang penguasa buas
barang berharga dibolot puas

Janji dakwat kekal lima hari
hanya bertahan lima minit
lantas janji manis nak siasat
apa guna lepas pilihanraya

rakyat sendiri dicela 
kerana beralih setia
rakyat Bangla diusung pula
diberi IC sebagai warga 
hanya untuk menambah jumlah

Rimbawan ini
memang buas
kita menghuni dalam cemas.


GURU BERNESAN ZAMAN

Insan bernama guru
telah menanam semai sebendang saujana mata
menumbuhkan  padi di tanah rata
menjadi ruji manusia berjuta
telah menanam benih seladang rimbun merimba
menumbuhkan hijau generasi warga
menjadi teduh panas derita
telah menternak berkandang manusia domba
membiakkan manusia semahal harga
mamanjat tangga harkat malaikat.

Berkata bijak pendeta
ilmu itu berbanding harta
lebih mulia berkali ganda
jika diganding dua perkara
ilmu menggapai Sidratul Muntaha
sedang harta melata bersalut noda

Tuan ilmu itulah guru
tuan harta itulah juta
guru bersila di langit pendeta
menghidu semerbak harum syurga
di atas dari angkasa raya
bargayut di bawah arasy mulia
Juta bergelumang rebut sengketa
siapa paling menjadi kaya
harta siapa lanai berjela.

Manakan sama antara guru dan juta.

Guru itu insan mulia
jiwa bersinar memancar citra
menyebar idealisma hidup berbangsa
mengangkat yang hina jadi mulia
memimpin yang mulia menyempurna karma
membuka jalan menuju syurga.

Harta mengalir melimpah dunia
legihnya datang dari ajaran guru
Empayar besar tegak beribu tahun
di garis pertama guru melakar
Manusia memanjat mikraj malaikat
gurulah meletak takah-takahnya

Guru terbenam di perut bumi
Nama didendang di sana sini
walau jasad telah sirna
tidaklah makrifat hilang bersama.
nama orang tertulis di nesan?
nama guru ditempa zaman.
seribu tahun nama dilupa
nama guru masih diwarta
orang lain mati menjadi tanah
namun guru mati menjadi madah.

Wahai guru 
pacakkan nesanmu di dada zaman
sebutir benih yang kau tanam hari ini
berjuntai dahan pohon abad
daunnya tertulis namamu
biar ringgitmu sekeping cuma
dengannya kau rantaikan pahala
sebagai kalung bahagia di hari muka.

Wahai murid
pencakkan tarimu dengan gemalai cinta
pada guru yang menuntun tulis baca
mengajar hitung kira
mencanai minda bijaksana
menghias akhlak calon syurga
satu masa jangan lupa
di mana langkah mula
sebelum kau berdiri di menara jaya
kalau bukan pada sabarnya guru mulia.

*Dideklamasikan sempena sambutan Hari Guru peringkat Sk. Sibugal Besar bagi tahun 2013.

Minta maaf kepada rakyat.

"Enta tak suka ana, anta boleh belah!", tengking seorang "gedebe" kepada seorang lelaki di antara ramai yang sedang bising mem'boo'kannya ketika dia berucap.

" Macam mana kalau anta sahaja yang belah!", tiba-tiba sampuk seorang yang lain kepada si "gedebe" itu. MUlut si "gedebe" itu terperangah. Terkejut pun ada. Kahairanan puhn ada.

" Anta tidak berhak halau ana!", si gedebe itu tidak pus hati.

" Awak pun tak berhak untuk halau kami", suara cekcok orang ramai mula kedengaran bersahutan.

Si gedebe mengangkat kedua tangannya.

"Okey, okey...saya minta maaf...mari kita hidup bersama walaupun berbeza...:, dia kembali kepada sikap mendamaikan.

Zahid!
Ada kau boleh berjiwa besar. Minta maaf terhadap mojoriti rakyat Malaysia yang kau suruh pindah cari negara lain gara-gara tidak bersetuju dengan sistem pilihanraya Malaysia yang bermasalah. 

Noh!
Yang kamu suruh mereka masuk hutan tu apahal?Banyak lagi ke hutan yang boleh dihuni?

Kalau nak cakap pasal negara, kena ingat bahawa bukan bapa kita seorang sahaja pewaris tanah leluhur. Jangan-jangan bapa nenek moyang kita dulu asalnya pendatang. Yang disuruh keluar itu pula ada yang sejak ribuan tahun moyangnya adalah pemastautin tanah bertuah ini.

Saturday, May 18, 2013

Moyangku warga Langkasuka

Jika ada orang mempertikaikan hakku untuk bertanah di bumi yang dipanggil Malaysia pada hari ini, hendaklah dia tahu bahawa sebahagian tanah ini dulunya wilayah Langkasuka. Sementara Langkasuka itu dulu adalah negara moyangku. Moyangku itu diriwayatkan sebagai rakyat Langkasuka yang sangat patriotik.Kalau aku katakan moyangku itulah raja Langkasuka yang bersejarah, pun tidak siapa boleh mengatakan tidak atau mustahil. Itu cerita lama dan aku pun tidak berminat untuk mendatangkan bukti. Cukuplah hanya sekadar dakwaan.

Apabila moyangku warga Langkasuka, ertinya ini adalah tanah leluhurku. Aku bukan menumpang di tanah ini. Sungguh tidak bermoral orang yang menyuruh aku pindah tinggalkan tanah ini dan cari tanah baru. Sedangkan, orang itu entah datang dari wilayah mana. Mungkin dia sendiri datang dari bumi Banjar, Bugis atau Tanah Jawa. Justeru, kalau begitu akulah yang lebih berhak atas tanah ini berbanding orang itu.

Jangan lidah lembut bak primadona menari makyung. Jangan bahasa gasar lebih dari Kublai Khan si raja Mongol itu.


Friday, May 17, 2013

Negara ini milik bersama.

Aku tidak ada negara lain melainkan Malaysia. Sejauh yang aku tahu susugalurkan, leluhurku semuanya sejati dilahirkan di bumi yang hari ini dinamakan Malaysia. Kalau hendak dikira ketulinan sebagai warga dengan menoleh nenek moyang, aku rasa aku lebih lebih sejati sebagai warga Malaysia berbanding Tun Dr. Mahathir sendiiri. Umum tahu daripada mana datangnya nenek moyang Dr. Mahathir itu sebelum mengahwini orang Melayu. Kalau Zahid Hamidi, aku tidak tahulah sejauh mana ketulinannnya sebagai bangsa Melayu. Namun, aku punya sejarah bangsa yang hujungnya hilang dalam tradisi alam Melayu. Maka, aku tidak akan meninggalkan tanah leluluhurku.

Kata Zahid Hamidi, sesiapa yang tidak boleh menerima  sistem politik Malaysia yang ada hari ini, hendaklah berhijrah tinggalkan bumi Malaysia. Kalau dia tujukan cabaran tersebut kepada semua pihak yang bertentangan pandangan mengenai cara menguruskan pilihanraya oleh SPR yang dikatakan tidak adil, termasuk bangsa Melayu sendiri, maka cabaran tersebut sangat melampau dan angkuh. Kalau maksudnya adalah kaum Cina yang lewat terakhir ini mendapat tanggapan negatif kelompok UMNO kerana tidak menyokong Barisan Nasional, ia sangat rasis. Baik Melayu yang membangkang maupun Cina yang menolak BN, mereka adalah warganegara Malaysia yang punya hak sebagai warga tidak kurang sekelumit pun berbanding Zahid Hamidi.

Hak warga itu tinggal di Malaysia jangan dinafikan. Negara ini bukan milik sesiapa. Bukan pemimpin politik dan malahan bukan hak raja Melayu. Tidak ada sesiapa berhak mengaku secara ekslusif dan inklusif bahawa negara ini hanya dia atau kelompoknya yang punya.

Sebab itu, aku secara peribadi sangat mencela seruan agar dilucutkan kewarganegaraan orang itu dan ini kerana masalah politik. Suruhan dan cabaran supaya pindah meninggalkan Malaysia kerana perbezaan pandangan politik juga adalah perangai budak tak cukup umur.

Tuesday, May 14, 2013

Minda kebangsaan Melayu "out of date".

Nampaknya kemenangan UBN dalam PRU13 baru-bari ini tidak bergaya. Selain daripada kemerosotan kerusi parlimen yang diperolehi dari 140 kepada 133, UBN juga mengalami masalah pemikiran yang dijangkita rasis yang kronik. Kaum Cina diserang bertalu-talu dan digambarkan sebagai anti Melayu. Undi kaum Cina yang beralih kepada Pakatan Rakyat ditafsirkan sebagai anti Melayu. Utusan Malaysia dan pemimpin UMNO menyebut kenyataan-kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Bukan sahaja kalangan pemimpin UMNO, pemimpin-pemimpin NGO menyokong UMNO juga menyatakan kenyataan panas. Ada bekas hakim yang  dengan pedas mengkritik orang Cina. Ada orang dari PPIM yang menyerus pemboikotan barangan keluaran orang Cina. Semua ini menybabkan timbul ketegangan perasaan antara kaum Melayu dan Cina.

Namun, mujurlah masyarakat Melayu sudah meninggalkan jaunh minda ta'asub Melayu sebagaimana zaman 16 Mei 1969. Kebanyakan Melayu hari ini sudah menganjak paradigm untuk lebih terbuka dan tidak lagi bercakap soal kebangsaan Melayu. Mereka yang bercakap soal kebangsaan Melayu adalah mereka yang ketinggalan dan "Out iof date".

Jangan asyik nak lucut kewarganegaraan orang...

Lucut kerakyatan perserta protes keputusan PRU. Kembali berkumandang suara sumbang itu.Senang-senang manu lucutkan kewarganegaraan orang. Mereka yang protest itu bukan menentang negara. Mereka menentang penipuan plihanraya. Mereka bukan khianat. Orang khianat ialah mereka yang tidak menjaga harta rakyat. Apabila diberi kontrak 250 juta untuk bela lembu, dibuatnya kondo. Orang macam ini yang sepatutnya dilucutkan kewarganegaraan. Orang macam inilah pengkhianat. Kalau perlu lucut kerakyatan, orang macam ni. Mereka bukan sahaja mengkhianati amanah rakyat, malah turut mengkhianati amanah Allah.

Ini orang yang bantah kezaliman dan penipuan yang mahu dilucutkan kerakyatan. Apalah punya taraf pemikiran orang sebegini? 

Sepautnya kerakyatannya sendiri yang digantung. Main hantam sahaja. Macam negara ini dia yang punya. Negara ini bukan mana-mana individu yang punya. Bukan juga satu parti yang punya. Sebelum dia da, negara sudah ada. Sebelum UMNO lahir, negara ini sudah ada. Sudah ribuan tahun negara ini ada dengan pelbagai nama. Yang buat negara nama Malaysia ini bukan ambil tanah dari dasar lautan lalu ditimbun jadi negeri.....

Saturday, May 11, 2013

Ulasan: Ibrahim Ali letak jawatan.

Pecah berita, Ibrahim Ali mengumumkan perletakan jawatannya sebagai presiden Perkasa serta merta. Namun, ADT (Ahli Dewan Tertinggi) pertubuhan tersebut menolak perletakan jawatan tersebut dan meminta Ibrahim Ali terus memimpin pertubuhan ultra Melayu tersebut. Perletakan jawatan oleh Ibrahim Ali tersebut mungkin ada kaitan dengan kekalahannya sebagai calom parlimen Pasir Mas di tangan Ust Mohd Abduh, anak TGNA.  Kekalahan tersebut tentulah melemahkan semangatnya kerana berbanding dengan Ust. Mohd Abduh, dia adalah veteran politik dan disankanya lebih berpengaruh. Lagi pula, telah banyak dia lakukan melalui Perkasa sepanjang tempoh lima tahun selepas kemenangannya dengan lambang Pas pada pilihanraya ke 12 terdahulu.

Ibrahim Ali merasa aib dan terperosok ke penjuru dengan kekalahan tersebut. Kerjaya politiknya telah menjadi hitam gelap. Bagaimana Perkasa mahu maju ke depan tampa dokongan politik kerana agenda Perkasa itu sendiri adalah agenda politik.

Kalau Ibrahim ALi letak jawatan sebagai presiden Perkasa, alamatnya berkuburlah Perkasa. Masih memimpin perkasa pun belum tentu menjadikan pertubuhan itu mampu bertahan hidup. Ibrahim Ali tidak ada apa-apa kelebihan lagi untuk memimpin Perkasa. Kalau dulu sedaplah, boleh melaung suara Perkasa dalam parlimen. Sekarang nak jeritkan suara Perkasa di mana? SIlap-silap, akhbar dan Tv pun tidak lagi berminat memetik pandangan dan komennya sebagaimana rancak sebelum ini.

Untuk diharapkan Zulkifli Nordin memimpin Perkasa, beliau juga tewas di Syah Alam, miski sebelum PRU 13 beliau dengan keyakinan ekstremnya menegaskan akan menang dan peratus kemenangannya adalah 101%. Aku ingat dua insan ini akan menjadi politikus yang dilupakan. Karam berkubur di dasar sungai politik dan tidak lagi timbul di permukaannya untuk bersuara sumbang sebagaimana biasa.

Thursday, May 09, 2013

Mantera warga luka

Di sini tanah pertiwiku
jasad leluhurku telah membajai bumi ini
dengan daging dan temulang hancur mereka
hembusan bayu berbau hapak keringat mereka
telah tumpah darah mereka
mengalir semangat cinta nusa kami

Kami warga pewaris tanah nusa ini
tapi mengapa di saat memacak daulat rakyat
teganya mereka mengirim soldadu upahan
Bangladis, Pakistanis, Filipinos dan Indonis
merampas robek citra kami
warga pewaris amanat warisan leluhur.

Kamilah kini
warga yang terluka
izinkan kami bermantera
berasap kemiyan dari dupa cendana
pusaka moyang zaman berzaman



Bukan demi saya

Saya bukan hilang dunia
saya masih menyimpan iman.

saya tidak jadi faqir melarat
makanan saya masih berlauk
minuman saya masih manis
masih ada kereta berisi minyak
masih berbaju kasual 
masih dapat tidur lena beralas empuk

saya tidak patah hati
tidak putus asa lagi
masih iman memandu fikir
masih yakin pada takdir
masih yakin masa depan
Kemenangan adalah perjanjian
buat sebuah kebenaran.

Ada orang dunianya sempit
namun hati derita sakit

harta bersisa membilang hari
tapi diri masih bermimpi

pesanan bijak tidak dipeduli
masih rela jadi pedati

hidup miskin berumah pinggiran
makan dari razeki berkais
masih menolak tawaran 
masih mendayu harapan di atas jemboran.

Saya bukan mimpikan kaya
kerana saya serba ada
saya hanya mahu membela
rakyat sengsara saya terseksa.

Kalau si miskin menolak harta
jadilah si kaya tidak berguna
kalau si jahil menolak ilmu
si alim jadi tunggul kayu.

Buat Macai

Macai...
Harga barang sudah naik
jangan mengeluh kesah
kau pasti dapat sabar
menanggung beban hidupmu
kerana itulah namamu macai
diusap kau lena
disepak terajang kau redha

Katakan sabda motivasi macai
"kami setia taat patuh tunduk redha"

Macai...
minyak masak  tiada dalam pasaran
gula tidak ada di pasar raya
minyak petrol naik harga
cukai barangan mula dikenakan
saman AES berapa tertunggak?
hutang PTPN bila nak bayar?
duit Tol kena bayar
harga rumah tambah mahal
kereta masih mahal

Macai tak akan mengeluh
macai akan berkata
"Kita rakyat hendaklah bantu kerajaan...!"

Macai memang sabar
macai memang tega
macai rela melata bersama kutu
kalau-kalau bisa terbang sekalipun hanya sebagai kelkatu.

Hiduplah macai
biar hanyut ke muara sungai Kelang.
tidak mengapa....




Usah mengeluh lagi

Lima tahun akan diharungi
hatimu biar sabar waqar
jangan mengeluh lagi
jika kita menanam zakum
manakan tumbuh inab

wahai macai faqir
cukuplah 500 yang kau dapat
untuk hidup bahagia lima tahun ini
mengapa minta lagi

Usah berkata
YB yang  kupilih
tak datang menjengahku
lalu menyusun azam dendam
nanti akan diajar
"Ini Kalilah!"

Usah bekata "ini kalilah!"
kerana sudah berkali-kali
kau tetap lain kali.


MASA BELUM TERLAMBAT

Masih ada jalan untuk kembali ke pangkal selagi mana anda mahu kembali. Jika anda sendiri memilih untuk tidak kembali dan menamatkan riwayat anda dengan apa yang anda fikirkan, apa yang anda lakukan, maka itulah  khatimah yang anda lakar. Telah kita saksikan tokoh-tokoh hebat dalam negara mencari jalan pulang. Alhamdulillah, kita tidak pernah mengatakan tidak kepada setiap hamba yang menginsafi kesilapan masa lalu. KIta menjulang tinggi konsep Islam sebagai rahmatan lil 'alamin. Apabila sinar hidayah telah menyentuh hati seseorang, maka tidak ada sesiapa yang punya hak untuk mengekalkan orang itu dalam gelap kesesatan.

Kata-kata ini aku nukilkan buat Tun Dr. Mahathir Muhammad yang masih gencar menyerang para pendokong perjuangan Islam baik yang telah meninggal maupun yang masih hidup berjuang di hari ini. Apa yang disifatkannya mengenai penubuhan Pas sebagai hasil kedengkian golongan agamawan terhadap golongan berpendidikan sekular adalah pekat dendam kepada perjuangan Islam yang amat memalangkan diri sendiri. Datuk On Jaafar telah membuat pusingan setelah beliau sendiri menubuhkan UMNO. Demikian juga Tunku Abd Rahman sendiri sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.  Tan Sri Muhammad Taib baru-baru ini juga mencari pas sebagi wadah menggapai hidayahnya dan petanda kembali ke pangkal jalan. 

Para pendokong gerakan Islam tidak pernah menutup jalan. Tun Dr. Mahathir, jika ingin kembali dan mengikis buang segala dosa berkaratnya buat perjuangan Islam, jalan kembalinya masih terbuka. Semoga janganlah dia menemui Khaliq dengan beban berat permusuhan yang menyusahkan dirinya di akhirat kelak.Kita sentiasa berdoa agar hidayah diberikan kepadanya.

Masa masih ada wahai Tun. Jika pilihanmu baik, maka tuamu bermakna. Jika tidak, tuamu hanya seperti tuanya dunia yang sarat dengan tidpudaya. Tua tanpa makna, kelak nama terkubur bersama lipatan sejarah.

OTAK MASUK AIR

Terdapat cadangan luar biasa dari seorang veteran UMNO agar DAP menyertai Barisan Nasional. Menurutnya, keputusan tersebut, walaupun berat, ia adalah demi masa depan kaum Cina yang kini makin terkikis dalam BN berikutan kekalahan teruk dalam PRU ke-13 baru-baru ini. Tanpa penyertaan kaum Cina dalam kerajaan, pembinaan negara akan berdepan dengan masalah. Katanya, penyertaan DAP dalam BN adalah lebih mudah kerana tanpa persamaan dari segi pragmatisme, materialisme dan realisme, DAP boleh bersama dengan PAS. Apatah lagi kalau hendak bersama dengan BN yang lebih liberal dan jauh dari ekstremisme politik.

Setelah usaha-usaha memujuk Pas menyertai UMNO gagal, demikian pula cadangan yang timbul. Banyak sudah ikhtiar yang dilakukan oleh BN untuk melemahkan Pakatan Rakyat, namun tidka juga berhasil. Entah bila pula mereka akan cadangkan supaya PKR menyertai Barisan Nasioanal?

Sesungguhnya otak pemimpin BN sudah masuk air. Berfikir pun sudah nampak ala-cacanya. 

Oitt...waras ke tak ni?


Wednesday, May 08, 2013

SUMPAH BERDAULAT

Tahta yang kau  panjat
dari makar berlipat makar
dibajai tipudaya berlingkar
dari siasat nista musibat.

Lantas
aku ucap sumpah berdaulat
sebelum senja menjadi rapat
runtuhlah tahtamu ke kaki rakyat
tak akan tegak kuasa bejat
di lingkung berpagar kuasa keramat.

Sumpahku yang berdaulat
bukan dari lidah ningrat
hanya hamba rakyat
yang terpukul khianat
oleh siasat cemar berkarat.

Tidak akan tegak selamat
kuasa berdiri penuh muslihat
sebelum senja merapat
rebahlah kamu miskin inayat
berkecai berpuing terkulat-kulat.

Inilah sumpahku yang berdaulat
menggengam bendul langit malaikat
menjulang amarah ke rantau hadrat

Tuhan...berikan kami doa keramat.

Di atas robohan kekalahan

Andaikata aku terasing di ulu
aku rebahkan belantara menjadi huma
kelak bangkit sebagai ibu kota
aku tidak seperti Tuah
membuang sibuk menghilang nama

Di atas robohan nestapa diperdaya
kita jalin tenunan fikir rakyat
kita hampar medan tafakur dan muhasabah
inilah masanya
kita lebarkan dakwah rakyat sabar bijaksana

Kita tidak berhenti menjalar
kita tidak berhenti mengakar
kita mencengkam bumi tujuh
kita menjulai dahan ke cakerawala tujuh.


Jangan tanya daku.

Jangan tanya daku
Kenapa harga roti naik hari ini
esok kalau harga beras berganda
sudilah menanam ubi kayu
di tanah kosong belakang rumah.

aku tidak tahu
bagaimana lagi mahu membantu
anakmu masuk U
membawa beban hutang puluh ribu
nanti keluar belalah ikan puyu
buat bayar hutang

jangan dikesahkan
kereta motor yang tersadai tanpa minyak
kalau tak mampu bayar tol
naik sahaja bas ekspress ke Kuala Lumpur

Jangan main api kaum!

Berhentilah bercakap soal bangsa. Aku benar-benar bosan mendengarnya. Kenyataan Dr. Mahathir sejak dulu hingga kini masih tetap berbau pesimis. Beliau justeru menyifatkan kemerosotan BN dalam PRU 13 kali ini sebagai petanda Cina yang menolak untuk bersahabat dengan Melayu. Cina yang berusaha menjatuhkan Melayu. Apakah ini boleh dikatakan  chauvinis Melayu?

Orang Melayu telah lama menapak meninggalkan watak kemelayuan melampau yang sedemikian. Namun, negarawan tua tersebut masih lagi membawa nada yang sama. Dia bukan lagi pembentuk negara yang bersatu tetapi pemecah belah kesatuan bangsa. Hanya demi mempertahankan UBN, beliau sanggup mengapi-apikan sentimen bangsa. 

Biarlah UBN berkubur asal kerukunan hidup pelbagai bangsa di Malaysia terpelihara.

Kemenangan yang meragukan

Aku tidak mengatakan keputusan plihanraya umum ke 13 baru-baru ini adalah satu sandiwara. Namun, aku tidak dapat menyangkal bisikan hatiku yang menyifatkan pilihanraya umum kali ini sangat meragukan. Kemenangan UBN di beberapa negeri yang memperlihatkan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat sangat tidak boleh diterima akal. Aku seperti tidak percaya Parlimen dan Dun di kawan aku boleh dimenangi UBN. Apatah lagi kalau memikirkan bagaimana Parlimen Baling dan Pendang yang secara tradisinya kuat Pas bole rebah ditawan UBN.

Tentu ada yang tidak kena. Aku tidak tahu. Namun, aku berdoa kepada Allah agar mereka yang membuat makar akan mendapat balasannya di dunia lagi. Kuasa yang dicapai dengan cari nista akan rebah dan tidak bertahan lama.

Amin....ya Rabbal Alamin.....

Tuesday, May 07, 2013

Apakah benar Cina Anti Melayu??

Gara-gara kehilangan sokongan kaum Cina di kebanyakan tempat terhadap UBN, maka Utusan Malaysia memukadepankan tajuk berita " Apa Lagi Cina mahu?". Dr. Mahathir pula menyifatkan Cina tolak persahabatan Melayu. Ali Rustam pula menuduh Cina tidak mengenang budi. Ketua Umno Titiwangsa pula dengan angkuh menyifatkan  bahawa UMNO tidak lagi memerlukan undi Cina dan India. DS. Najib sendiri pula mempertahankan berita muka depabn Utusan Malaysia dan mempersolkan pula sentimen yang dibangkitkan dalam akhbar-akhbar Cina. Keadaan sudah mula panas dewasa ini. Sentimen perkauman sedang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin utama Melayu dalam UMNO.

Melayu sering ditafsirkan sebagai UMNO.Padahal, berapa banyakan sokongan yang diberikan oleh kaum Cina kepada calon-calon berbangsa Melayu. Ambil sahaja contoh kemenangan Sdr. Rafizi Ramli di Parlimen Pandan. Dari jumlah pengundi seramai 83, 857 orang di sana, sebanyak 48, 183 telah mengundi Sdr. Rafizi Ramli menewaskan calon dari BN, seorang berketurunan Cina iaitu Lim Chin Yee yang mendapat undi sebanyak 21, 454 orang.Sdr. Rafizi Ramli mendapat majoriti sebanyak 26,729 orang. Sudah tentu dalam perlawanan antara seorang Melayu dengan seorang Cina ini, para pengundi Cina telah mengundi calon Melayu secara beramai-ramai. Hanya, calon melayu itu bukan daripada UMNO, sebaliknya daripada PKR. Maka, undi kaum Cina itu tidak mahu ditafsirkan sebagai sokongan kepada Melayu. 

Sememangnya soal Melayu Cina tidak timbul dalam kes ini. Orang Cina mengundi bukan berdaarkan kaum kerana kalau berdasarkan kaum sudah tentu calon BN yang menang. Kawasan Pandan itu pengundi keturunan Cina adalah majoriti.

Maka, sebenarnya siapa Melayu? Melayu itu apa?Apakah yang namanya Melayu itu UMNO sahaja ? Apabila kaum Cina tidak mengundi UBN, apakah kita hendak katakan Cina anti Melayu??

Duduklah memijak warta itu

Malayu jangan bangkit
mengulangi tragedi 13 Mei
kerana itu cerita kebodohan bangsa
di zaman berbungkus edan

Apa lagi Cina mahu?
warta itu bertanya gila

Melayu duduklah bertenang
alaskan kakimu memijak warta durjana
yang cuba mengumpan api perkauman.

Usah bangun menyingsing lengan
usah bangkit mengisar keris

Melayu bukan lagi memakai tanjak
bukan lagi pakal sandal silat berpencak
tidak perlu mengocak
tenang air rukun negara
hidup rakyat pelbagai bangsa

Apa lagi Cina mahu?
bukan soalan mulut Melayu
tapi soalan otak layu
dari kelompok tanpa peradaban
meraba gelisah mengggarap sokongan



هَيْهَاتَ هَيْهَاتَ لِمَا تُوعَدُونَ

Untuk apa perjuangan?

Kerana kita berjuang
bukan untuk manusia
kita tidak mengenal erti kecewa

Kita tidak menangis
hanya kerana luka dihujung jemari

Kita tidak mengeluh
hanya kerana hilang duit sekupang

Kita tidak rebah
kalau hanya dipukul tempias

Kita tidak patah
hanya kerana memikul ikatan lidi.

Kerana kita berjuang
Untuk mendapat redha Allah
Kita akan terus berdiri
walau hidup seribu tahun lagi.

PERSETANKAN UG

Masihkah ada lagi kedengaran suara dalam PAS untuk menubuhkan UG? Biarpun sudah berkali-kali ditegaskan oleh Majlis Syura Pas bahawa Pas istiqamah dengan Pakatan Rakyat, para penyebar fikrah masjid dirar itu terus tidak berputus asa. Kini, dalam isu siapa yang akan dilantik sebagai MB Selangor, ada suara agar Pas diberikan peluang berdasarkan kelebihan kerusi yang dicapainya.  Jika tidak, Pas akan buat UG dengan UMNO. Siapa Adun Pas yang celaka itu yang akan merencanakan sesuatu yang di luar perencanaan Syura Ulama.

Kononnya di Terengganu pun ada usaha itu. Tanpa Pas pun UMNO-BN sudah dapat tubuhkan kerajaan di Terengganu. Namun, bagi membina kerajaan yang kuat, penggabungan dengan Pas amat perlu. Maka Terengganu akan memulakan jalan ke arah UG. Ini teori-teori songsang yang aku minta perlindungan dengan Allah daripadanya. Jangan sampai ada pimpinan Pas yang termakan racun teori politik busuk seperti ini. Sebagaimana sering ditegaskan, perjuangan Pas tidak akan pernah memulakan pengkhianatan. Jika sudah mula mengkhianat, maka ucapkan selamat tinggal buat perjuangan Islam.

Di Selangor sentimen agar Pas memimpin kerajaan Selangor dikobarkan. UG menjadi ugutan dan jalan pilihan. Ini bukan citra perjuangan Islam Pas dan bukan juga "furu' "dari tahalluf siyasi. Bukan seharusnya menjadi ketamakan Pas untuk merangkul jawatan MB sebagaimana pernah menjadi igauan seorang pemimpin Pas Selangor yang tersingkir.

Rakyat terbanyak khasnya di Selangor dan amnya di Malaysia bukan peduli siapa jadi MB di Selangor. Asalkan MB tersebut dari Pakatan Rakyat serta amanah dan kuat membela rakyat, rakyat boleh terima. Jika diteruskan perkhidmatan Tan Sri Khalid Ibrahim, pun tidak ada masalah di kalangan rakyat. Jika Pas menuntut dan menyebabkan berlaku keretakan hubungan dalam Pakatan Rakyat Selangor, Pas akan dicela dan dicemuh. Pemimpin Pas bukan orang gila kuasa tetapi adalah orang yang membela hak rakyat.  Jika hak rakyat berjaya dibela, barulah hak Allah mampu dibela.

Pemimpin yang tamak jawatan MB tidak layak bersenandung dalam Pas!


Monday, May 06, 2013

Bangsaku sudah kaya mewah.

Bangsaku ditawarkan
turun harga minyak
anak-anak ke universiti percuma
harga kereta turun
merentas lebuh raya tanpa tol
tiada saman aes

bangsaku tak minat
sebab duit banyak lanai
buat membayar semuanya

Bangsaku sudah kaya
hidup mewah
serba cukup...

Bangsaku hanya mahu duit rokok
buat sekali sedut hembus lalu

Wednesday, May 01, 2013

Nasihat 2: Buat pengundi

Ketika hati telah terpasak,
datanglah syaitan memacak ancak
walau sudah niat dirafak
was-was datang lalu teragak-agak.

Hendaklah tekad membulat tega
sekali melangkah undur tiada
jangan biar takut bertahta
bimbang ragu jangan tergoda.

Bimbang razeki apa kan jadi
takut hilang pekerjaan kini
risau pula itu dan ini
itulah petanda syirik di hati.

Bukankah Allah pemberi sejati
di tanganNya tertakluk segala razeki
Segala iradatNya pasti terjadi
rancangan manusia hanya mimpi.