Tersebut kisah, maka seorang raja dari negeri Antah Berantah telah murka. Maka kerana murkanya, dia pun berkurunglah dalam biliknya dan enggan berjumpa dengan sesiapapun. Makan minum dan pakai semuanya dalam biliknya sahajalah. Biapun berapa kali dipanggil keluar oleh para pelayan istananya, tidaklah mahu dia keluar. Dia tetap berkurung dalam biliknya dan tidaklah dapat dipastikan apa yang dibuatnya dalam biliknya itu. Mengikut riwayat sesetengah orang, dia bermain dam aji. Namun, tidak pula dapat dipastikan bagaimana dia boleh bermain dam aji seorang diri.
Adapun yang membuat murkanya sang raja itu perkataan seorang jua. Orang itu adalah seorang anak kepada seorang menterinya yang baru pulang dari luar negeri. Kerana pelajaran di luar negeri telah menjadikannya cerdik, serta akal bebas telah mencanai perilakunya yang baru, maka dikritiknya sang raja. Mengenai hal yang dikritiknya itu sememangnya adalah benarnya. Seluruh hamba rakyat jelata yang punya akal fikirian yang waras tentu akan bersetuju dengan apa yang dibuahbicarakan dalam kritikan anak pak menteri itu.
Oleh sang raja itu, kerana hobinya membela kuda, maka pada satu ketika dia telah membeli kuda baru. Kuda baru itu tidaklah lebih istimewa daripada kuda yang lain. Harganya pun samalah seperti kdua-kuda yang pernah dibelinya sebelum ini. Tetapi, apa yang membuatkan anak Pak Menteri marah adalah kerana dia membeli pakaian untuk kuda tersebut. Pakaian itu pula dibuat daripada sutera yang mahal. Tidak ada seorang pun rakyat dalam negeri itu berpakaian lebih mahal daripada kuda tersebut.
"Negeri ini kuda lebih mulia daripada manusia?", demikian anak Pak Menteri menyindir.
Maka terasalah sang raja kerana hobinya dipertikaikan. Itulah asal kenapa sang raja merajuk dan berkurung dalam biliknya.
Bagi kebanyakan hamba rakyat, perihal raja merajuk dan duduk berkurung dalam bilik itu tidaklah diendahkan kerana selama ini pun mereka tidak pula tahu raja itu di dalam bilikkah atau di luar bilik.
No comments:
Post a Comment