CARI BAHAN

Saturday, May 22, 2021

Apakah ada Ma'iyyatullah dalam pemerintahan

 Apa perlunya ma'iyyatullah dalam pemerintahan?

Ma'iyyatullah maknanya kebersamaan Allah. Sebuah pemerintahan sangat memerlukan ma'iyyatullah kerana dengan adanya ma'yyatullah, urusan menjadi mudah. Ada berkat. Ada Nusrah. Pemerintahan adalah rumit jika tiada ma'iyyatullah. Rancangan selalu gagal. Ekonomi merudum. Kestabilan politik tiada. Hari-hari yang berlalu, ada sahaja masalah yang timbul. 

Semua itu jadi tanda bahawa Allah tidak bersama dalam pemerinmtahan. 

Untuk jadikan Allah bersama dalam pemerintahan, pemerintahan itu perlu ada syaratnya. 

Syarat nombor satu ialah bagaimana ia ditegakan. Apakah ia ditegakkan dengan cara benar atau batil. 

Dalam sebuah hadis yang darjatnya Muttafaq alaih, Nabi bersabda kepada Abdur Rahman bin Sumrah dengan katanya:

 يا عبد الرحمن بن سمرة لا تسأل الإمارة، فإنك إن أعطيتها عن غير مسألة أعنت عليها، وإن أعطيتها عن مسألة وكلت إليها


Maksudnya: Wahai Abdur Rahman bin Sumrah, janganlah kau meminta-minta nak jadi pemerintah. Sesungguhnya jika kau diberikan kuasa memerintah tanpa kau memintanya, kau akan ditolong oleh Allah unytuk menjalankannya. Tapi jika kau mendapatkannya tanpa kau minta, kau dibiarkan tanpa ditolong!"

Cara dapatkan kuasa dengan jalan berhempas pulas menggunakan segala makar dan tipudaya adalah petunjuk jelas terlalu meminta jawatan pemerintahan. Akibatnya, hilanglah ma'iyyatullah. Jika satu pemerintahan itu mengikut lunas-lunas yang disepakati bersama oleh para pemimpin dalam masyarakat, itu tidak termasuk dalam makna meminta-minta. Jika dalam sebuah negara demokrasi yang menjadikan pilihan rakyat sebagai penentu naiknya sesebuah kerajaan, maka pilihan rakyat itu tidak dianggap sebagai meminta jawatan. Ia adalah serahan jawatan oleh rakyat kepada pemimpin. 

Naik menjadi pemimpin dengan cara ini adalah sah dalam negara demokrasi. Demokrasi dalam sudut mengangkat pemipmpin dengan undi rakyat ini tidaklah bertentangan dengan Islam. Islam telah membuktikan bahawa suara ramai dalam mengangkat pemimpin pernah diamalkan apabiala Uthman bin Affan r.a diangkat jadi khalifah. Demikian jika masa Umar bin Abdul Aziz jaid khalifah, suara ramailah yang mengangkatnya.  Siapa yang menpertikaikan cara ini, tidka bersuluh dengan betul kepada contoh sejarah Islam.

Syara yang tidka kurang penting untuk mendapat ma'iyyatullah dalam pemerintahan ialah keadilan, amanah dan benar dalam menguruskan amanah rakyat. Allah tidak akan bersama dengan orang khianat. Allah bersama dengan orang yang adil, amanah dan benar dalam urus tadbirnya walau ia seorang kafir.

Dalam dunia, ada negara kafir yang aman sentosa dan kaya makmur. Apakah kita sanggup mengatakan bahawa ia aman sentosa dan kaya makmur dengan sendirinya. Allah tidak menajadikannya? Tidak, sekalipun ia negara kafir, kerana adilnya pemimpin, amanah mereka, Allah bersama. Kalau pemimpin Islam pun, tapi khanat, zalim dan dusta dalam pemerintahan, Alalh tidak akan bersama.

Akidah dalam Isu Covid19

 Dalam menaggapi isu Covid19 ini, ada prinsip akidah yang perlu ditegakkan. Di atas segala tanggapan mengenai sebab musababnya, hendaklah diyakini sebagai simpul mati bahawa siapa yang terjangkit dengan wabak ini dan yang selamat, telah ditentukan Allah. Allah punya hikmah atas setiap ketentuannya. Bukan sebab musabab yang menentukan siapa yang akan kena convid 19. Yang menentukannya adalah Qoda dan Qadar. Inilah pegangan yang perlu diletakkan paling atas. 



Siapa yang ditakdirkan kena, maka kenalah. Siapa yang ditakdirkan tak kena, maka tak akan kena. Sebab bukan syarat untuk kena. Syarat untuk kena adalah kehendak Tuhan. 


Dalam satu keluarga, ayah kena Covid19, isteri tak kena. 5 orang anak, hanya seorang atau dua yang kena. Kenapa jadi begitu? kalau ikut logik, semua dah kena. Tapi tidak sedemikian yang berlaku. Ini menjaido bukti bahawa wabak Covid19 ini adalah tajalli kuasa Allah ke atas hambanya. 



Letaklah prinsip ini pada nombor wahid bila membicarakan tentang Convid19.



Sajak: Episod dunia pasca Covid

Kelmarin hari cerah sekali
Hari ini mendung pun bertajalli
Masakan esok cerah kembali?
Hujan kan turun tanpa henti
kemudian banjir seluruh bumi
hari indah tidak akan berulang lagi


Hari-hari yang bersilih
adalah hari yang menambah pedih
keruhnya sungai waktu tidak akan kembali jernih
kelmarin yang putih
tidak akan kembali lagi walau dengan langkah bertatih.


Impian yang lirih
daripada jiwa-jiwa yang letih
bilalah dunia akan pulih?
Beritahulah anak dan cucu
pesan para buyut sejak dulu
buat peringatan cicit sampai piut
duniamu tidak akan tambah menyeronakkan
simpulan bukan kian longgar
kusut tidak kian terurai
yang muluk tidak akan kembali bertajul


Tempuhilah hari dengan redha
barang lepas usah dikenang
Seumpama hari indah bersama bonda yang bergemulah
tidak akan pernah berulang kisah
hanya sekadar sebuah sejarah
demikian hari sebelum pendemik membuat ulah
hanya jadi kenangan indah.


Dunia menuju akhir masa
tidak akan menyalahi nubuwat
Sengketa di Tanah Syam telah marak menyala
Dajal akan muncul pada bila-bila masa
Yahudi telah membuat negara
Al-Mahdi telah mengirinkan tanda
Lantera Timur telah pun menyala.


Hidup hanya mengisi masa
masa kosong yang ditinggalkan leluhur
jejak-jejak penuh bernoda
tidak akan menancap tapak Balya.


Isikan hayat yang ada
dengan amal ambiya
buat bekal di alam baqa.


Sunday, May 16, 2021

SAJAK-GURU SEJATI

 Aku ingin jika aku jadi guru

guru sehebat Imam Syafie

Imam Hanafi, Maliki atau Hambali

Imam Hasan Al-Basri, Al-Ghazali, Al-Jilani

Atau Ibn Tamiyyah, Ibn Qayyim dan Ibn Al-Jauzi

An-Nawawi atau Asqalani


Mereka guru sejati

menerbitkan murid memenuhi ufuq

mengalir tanpa henti dalam arus sungai zaman

berkahnya seterang cahaya mentari

Saturday, May 15, 2021

Aibnya jika Allah buka...

 Ada orang yang buat maksiat di belakang orang, orang tak tahu kemaksiatannya. Syukurlah kepada Allah kerana Allah tutup keaibannya. Jika Allah dedahkan apa yang disembunyikan seseorang daripada kemaksiatan dan dosanya, sudah tentu dia tidak akan mampu berjalan di muka bumi sambil mengangkat wajahnya dari tunduk ke bumi. Kerana itu agama Islam larang penganuntnya daripada mendedahkan keaiban orang lain. Janji nabi dalam hadis, kalau aib orang lain kita sembunyikan, aib kita Allah tutupkan. Sebaliknya, kalau aib orang kita bongkar dan war warkan, tunggulah balasan Allah. Satu saat aib sendiri akan terdedah kepada khalayak.


Kerana itu selalulah beringat. Jangan suka hina orang. Jangan dedahkan keaiban orang.  Kalau kita tidak suka keiaban sendiri didedahkan orang, demikianlah jangan pula suka mendedahkan keaiban orang.  Hidup ini ada ubi ada batasnya. Ada hari ada balasnya. Kama Tudin, tudan. Macam mana kau layan orang, begitulah kamu akan dilayan. Kalau lalang yang kau tanam, masakan padi yang akan tumbuh!


Dalam dunia moden hari ini, fitnah hanya di hujung jari. Nak dedahkan keiaban ornag bukannya payah. Hanya mengetip di keyboard atau skrin telefon, cukup menggemparkan seantero dunia. Orang yang dihormati boleh dipermalukan semalu-malunya. Tapi ingat...dirimu sendiri bukan tiada perkara yang memalukan. Mujur Allah tidka dedahkan kemaluanmu. Tapi bukan bermakna kamu tidak akan dipermalukan. Kerana itu jangan suka kalau ornag lain dimalukan. 

Manusia, walaupun kafir ada karamah insaniahnya. Jangan jatuhkan kemuliaan keinsanan seseorang betapapun kau membencinya. Awas dan waspadalah daripada putaran hari yang kelak akan menghakimimu.

Saturday, May 08, 2021

TANPA MA'IYYATULLAH

 Apalah daya

sebuah kuasa yang digapai

dengan merebut dan bersulam makar

khianat dan tikam belakang

lompat dan pecah setia...


Bagimana mungkin

Untuk menjemput sebuah ma'iyyatullah


Kata nabi kepada Abu Zar

Anta Daif!

Kuasa itu amanah dalam dunia

di akhirat ia satu kehinaan dan sesal

jika di tangan bukan ahlinya


Apalah daya

jika digapai dengan makar dan tipudaya

tiadalah ma'iyyatullah

penat dan lelah telah banyak tumpah

rakyat makin susah

pendemik tak dapat dikalah

masalah datang tidak sudah


Syarat oleh para pembangun nusa

patut jadi simpul mati

kuasa diambil dengan suara

rakyat jelata keluar mengundi

bukan dengan melobi

mendapat restu para YB

atau izin Syahperi


Kerana tiada ma'iyyatullah

penat dan lelah tiada natijah

ekonomi kian goyah

Covid 19 kian parah...


Di mana Ma'iyyatullah?

kembalilah kepada wa'ad 

yang sama-sama leluhur kita bersumpah!

Tuesday, May 04, 2021

SAJAK-PESAN-PESAN PUJANGGA

Belajar itu umpama sebuah pendakian

Puncaknya jaya lembahnya  ladang menabur jasa

Tuntutlah ilmu dan usah  merasa lelah

Kerana ilmu puasaka nabi dan para cendikia

 

Jika dunia yang kau harap

Ilmu di dada perlu digilap

 

Jika akhirat yang kau damba

Ilmu akan menunjuk jalannya

 

Jika dunia akhirat yang kau kejar

Ilmu tetap sebagai penawar

 

Kata disabda

Tuntutlah ilmu walau sampai ke Cina

Aku ingin menambah kata

Tuntutlah walau terpaksa pergi ke angkasa

 

Ingatlah

Orang berilmu hidup mulia

Walau mati dikenang nama

Seperti dia hidup selamanya

Tidak serupa orang berharta

Mati hari ini esok dilupa

Seperti hidup sekejap cuma

Walau bertahun hidupnya kaya raya

 

Aku berpesan

Belajarlah hingga jadi ilmuan

Kerjaya dan harta kelak bersimpuh di pangkuan

Pangkat dan nama kelak berdatangan

 

Aku titipkan seuntai kalimat

Sabar dan tekun jadikan azimat

Buat melangkah menambah hikmat

Jadi orang berilmu besarlah manfaat.

 

Orang belajar ilmunya meningkat

Otak dan fikir bertambah hebat

Budi dan santun sama diangkat

Jadi hiasan hidup nan berkat.

 

Tuntut  ilmu biar betulkan tujuan

Kerana Allah itulah yang diniatkan

Barulah ia jadi pedoman

Menuntun jalan menuju Tuhan

Membentuk hidup jadi beriman.

 

Karya :

Ust. Kamaruddin Wahab

Thursday, April 01, 2021

Kunjungan yang misteri

 Kakakku mengkhabarkan, kelmarin ada seorang yang dikatakan kenalanku di Sabah mencariku di kampung Datuk. Dia terlajak sampai ke rumah Deris dna bertanya di sana tentangku. Isteri Deris yang dipanggil Kak Nab memberitahu kakakku bahawa orang itu mengatakan dia kawanku, asalnya dari Baling. Pernah berdomisil di Sabah  dan berkawan dengan ku di sana. Katanya dia pernah datang ke rumah ibu bapaku saat bapaku masih hidup.Dia naik kereta Grand Livina.

Puas aku mencari dalam selakan memoriku, siapakah ornag itu? Aku cuba menduga :

1) Farihan

2) Nasir Napiah 

3)?


Aku tidka dapat menembusi kanvas memoriku dengan maklumat yang sedemikian sederhana. Namanya pun Kak Nab tak tanya.Lagi pula, mengapa orang itu tidak berpatah balik ke rumah keluargaku yang tidak berpa jauh sahaja daripada rumah Deris itu?

Biarkan kemusykilan itu sampai terjawab sendiri.

Hukum Politik-Tiada Sahabat Kekal



Kata seorang pemimpin UMNO, Shahrir Samad yang menjawat jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru:

"PAS tidak lagi memperkasakan MN yang kini menjadi milik Umno dan BN sahaja."



Nampaknya, cerah yang disangka sampai ke petang, mendung di tengahari. Dalam politik, begitulah. Tiada sahabat yang kekal dan sebaliknya juga, tiada musuh yang abadi. Percayalah, yang menjadi rakan politik hari hari ini, tidak ada jaminan akan terus menjadi rakan dalam politik. Musuh politik yang saban hari didoktrinasi kepada ahli-ahli sebagai musuh bangsa dan agama, satu saat boleh ebrtukar menjadi rakan sekutu. Ini hukum politik yang dapat kita saksikan bersama beredarnya episod politik.

Mengenai kenyataan pemimpin UMNO ini, ada lelucon di sana. Bagaimana masih ada MN sedangkan teras kewujudan MN itu adalah Pas dan UMNO. Jika Pas sudah tiada, maka MN itu ranaplah. Tidak betul kenyataan beliau yang mengatakan MN hanya ada UMNO dan BN sahaja. Ini adalah kenyaataan orang yang mengigau atau mamai. Terimalah sahaja hakikat dan tidka perlu berdolak dalik dalam susunan kata.

Biarkan masa beredar dan akan sampai saatnya ikhlim politik akan berubah. Ketika itu sumpah keramat atau cemuhan nista bertukar pula.

Inilah watak politik. Mereka yang masuk politik akan melihat apa yang menguntungkan dalam sengketa kuasa. Kepercayaan saya kepada kejujuran politik sudah menipis kini. Saya berkata:

Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya!

Wednesday, January 06, 2021

Gempita rumah angker

Kedengaran gedegung gedegang di rumah angker. Entah apa yang dibuat penghuninya. Khabar yang keluar, perang besar sedang bermula. Rumah Angker yang dihuni 3 keluarga besar itu nampaknya tidak lagi mampu menyebunyikan kemusykilannya. 

Siapa yang berhak jadi tuan dalam rumah?

Khabarnya itulah persoalan hangat yang didebatkan. Persoalan yang membuat retak menanti belah!

Khabarnya juga Si B sudah mula ada konspirasi dengan bekas penghuni rumah angker itu. Konspirasi untuk singkirkan si A. Si A pula yang selama ini berlagak tuan besar mula hilang kongkongan. Si C pula tersepit di tengah. Kepeningan lalat dalam menghadapi konflik itu. Di luah mati ayah, ditelan mati omak!

Apa-apalah...biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya.

Tuesday, January 05, 2021

Renungan

Tidur dengan isteri orang itu dosa paling besar. Kalau berzina dengan perempuan musyrik penyembah berhala, itu pun dosa. Tapi dosa tidur (berzina) dengan isteri orang itu berkali ganda lebih besar. Makan babi itu memang haram. Tapi makan rasuah, pecah amanah, songlap duit rakyat, itu lebih besar dosanya! 


Kekadang, orang yang menilai dua situasi gagal membezakan manakah yang lebih besar mudaratnya. Antara makan tupai dengan mengumpat keji orang, maka lebih parah? Habaq sat!

Saturday, December 19, 2020

Muslimah tukar jadi Sikh

 Manpreet Singh Pawar, kapten hoki India berkahwin dengan seornag gadis malaysia bernama Lili Najwa Saddique. Lili Najwa Saddique merupakan anak saudara kepada Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Saddique.  Perkahwinan ini adalah antara pasangan yang berbeza agama. Mampreet Singh Pawar adalah beragama Sikh manakala Lili Najwa Saddique adalah berasal daripada keluarga muslim. Tidaklah didapat dipastkan apakah beliau masih seorang muslimah sewaktu perkahwinan itu berlaku atau sudah menjadi murtad. Sementelahan, perkahwinan itu diadakan di India, di kampung Mampreet di Mithaphur, dekat jalandhar, Punjab.

Perkahwinan tersebut dikatakan atas dasar cinta. Demi cinta agama ditinggalkan. Kalau sendiri sudah buat pilihan, apalah yang boleh dibuat? Fitnah dunia ini memang menakutkan. Hendaklah setiap ibu bapa menjaga anak dan generasi masing-masing agar tidak tergelincir. Musuh Islam bertepuk tangan kalau ada seornag muslimah dapat mereka tawan.  

Islam tidaklah rugi dengan menjadi kafirnya sorang daripada ummatnya.  Berapa ramai pula ornag kafir yang telah masuk ke dalam Islam. Islam atau kafirnya seseorang telahpun tersurat sejak azali lagi dalam lembaran takdir masing-masing. Allah maha mengetahui. Berdoalah semoga kita berada dalam senara muslim hingga ke hembusan nafas terakhir.

Friday, December 18, 2020

PENANGAN KUASA



Hari itu, masa PH berkuasa, para pemimpinnya seronak kerana menjawat jawatan menteri yang pelbagai. Tidak pernah mereka mimpikan akan jadi menteri. Bertahun-tahun bergelumang dengan politik, tiba tiba ditakdirkan mendapat kuasa dan menajdi pemerintah, benar-benar diluar jangkaan. Namun kuasa tidak lama. Dengan kejutan yang tidak diduga, kuasa pun hilang. Apabila hilang kuasa,, bermacam cara dibuat untuk kembali ke persadanya.

Sebahagian pemimpin PH yang tersingkir merasa terhutang budi kepada Tun M yang melantik mereka semasa tempoh pendek berkuasa itu.Tun M menjadi punat pusaran usaha mereka untuk kembali berkuasa. Pada sangkaan mereka, dengan menu terdahulu, mereka dapat mengulangkan kembali mimpi indah yang sirna itu.

Sampai hari ini kemelutnya kelihatan. Sebelah kaki pemimpin PH itu dalam Pakatan Harapan, manakala sebelah lagi menguis-nguis belahan Tun M dan Syafie Apdal. PH tidak solid menghadapi PRU 15. Penangan tempoh 22 bulan berkuasa menyebabkan peluh melekit Tun M menempel di bulu hidung segelintir pemimpin PH. Ia menjadi igauan dan racauan di malam hari hingga dini.

Saturday, October 17, 2020

Macau Scam

Rupanya scammer ini kerja haram yang boleh buat pelakunya kaya raya. Kekayaan Addy Kanda yang ditahan SPRM hari itu sangat mengujakan. Hanya kerja menipu orang sahaja, boleh jadi kaya. Sudahlah begitu, menunjuk-nunjuk pula kekayaannya. Memang kerja bodohlah. Orang yang buat kerja haram, lepas itu tunjuk pula hasilnya. Dua kali bodoh. Orang jahat semuanya jahiliyyah. 

Ramai pula selebriti yang dikaitkan. Entah betul atau tidak, wallahu a'lam. Siasatan sedang dijalankan. Jika benar mereka terlibat dan rangka subhat sekalipun, mereka wajar diambil tindakan. Jenayah Scaamer ini satu rompakan halus. Jika dalam hukum hudud mencuri sekadar nilai 4 dinar lebih kurang pun dihukum potong tangan, maka scammer ini lagi dahsyat nilainya. Mereka songlap duit berjuta-juta. Hukum ke atas mereka patut lebih berat.

Satu hal yang menghairankan, bagaimana orang ramai boleh terpedaya? Apa pemyakit yang sedang bersarang dalam jiwa khalayak ramai sehingga mereka dengan mudah ditembusi tipu daya scammer?

Scammer ini macam dajallah. Orang yang rasa dirinya hebat menghadapi tipudaya scammer jangan cuba-cuba. Takut nanti terjatuh dalam perangkap mereka. Kisah dajjal yang muncul akhir zaman nanti pun begitulah. Ada lelaki kuat iman yang cuba mencabar dajjjal, akhirnya terperangkap dan jadi pengikut setia dajjal.

Wal- Iyazu-Billah...

Wednesday, October 14, 2020

Teori Konspirasi POLIMAS


Asyik juga mendengar teori-teori konspirasi dalam politiking Malaysia sejak mutakhir ini. Isu terbaru, Anwar Ibrahim mendakwa punya "numbers" untuk memungkunkan beliau naik ke posisi PM mengundang pelbagai persepsi. Sementara nak sampai hari Selasa 13 okt seperti yang dijanjikan untuk mengadap YDPA, beberapa orang ahli parlimen UMNO telah membuat laporan polis. Kata mereka, nama mereka disenaraikan sebagai orang yang menandatangani SD menyokong Anwar adalah satu pembohongan politik. Sehari sebelum tarikh 13 Okt itu, Anwar dipanggil pihak polis untuk disiasat. Namun kerana kekangan masa, Anwar tidak dapat menghadirinya sehingga pihak polis menangguh ke hari lain.

Lalu, ketika telah bertemu YDPA, terbit satu pernyataan dari istana bahawa Anwar tidak menyerahlan senarai nama MP yang menyokongnya. Lalu timbul kemusykilan, bagaimana MP UMNO yang membuat laporan polis itu boleh tahu mereka adalah anma-nama yang didakwa menandatangani SD yang ada di tangan Anwar. Padahal Anwar belum memndedahkannya, sekalipun kepada YDPA.Nampak sangat laporan polis tersebut hanay berasaskan khabar angin. Sepatutnya laporan polis tidak boleh begitu.

Kemudian, kehadiran Tengku Razaleigh pada sebelah petangnya ke istana menimbulkan tandatanya, Apa tujuannya dan kenapa dia dipanggil?

Ada teori rumit yang sednag diperkatakan orang. Satunya mengakatakn Tengku Razaleigh datang bagi mengesahkan dakwaan Anwar. Satu lagi menyatakan bahawa Tengku Razleigh datang kerana menafikannya. Dua teori ini kontradik.

Saturday, September 26, 2020

Bangkit menyusun telapak dewa

Mengikuti perkembangan keputusan PRN Sabah malam ini, nampaknya UMNO bersama sekutunya akan kembali berkuasa di Sabah. Mojoriti mudah sebanyak 37 kerusi telah diperolehi. UMNO yang disangka orang telah dicabut nyawanya berikutan kekalahan dalam PRU ke-14 yang lalu rupanya belum mati. Ia cuma pengsan sahaja. Kini dia telah sedar daripada pengsannya. Dalam keadaan mamai dan lemah setelah sedar daripada pengsan itu, diberi bantuan pernafasan dan siraman renjisan air, UMNO kembali sedar dirinya. dari duduk bersandar pada dua lengan ke belakang, UMNO sudah boleh duduk bersila. Perlahan-lahan UMNO mula beralih duduk iftirasy.  Dengan gaya dan lagak pendekar Mata Satu dari Gua Hantu, UMNO pun bangkit memasang kuda-kudanya. Dua tiga kali dikelepiaq kaki kanan dan kirinya, disusuli dengan tumbukan jurus percubaan, timbullah keyakinan bahawa dia masih ada wibawa. 

Dengan tawadhuknya, ia duduk bertawarruk bersama orang-orang yang berjasa menyedarkannya daripada pengsannya. Kekuatannya sedang pulih satu persatu. Urat nadinya mula mengalir darah-darah semangat waja sekeras keris daripada besi waja khursani bernama Taming Sari yang selalu dijulangnya.

Selepas menang PRN Sabah, UMNO nampaknya telah benar-benar yakin dengan kepulihannya. Ia siap bertempur lagi. Jika dalam medan tempur di tanah Bawah bayu ia mampu menumpaskan lawan, apalah nak diherankan dengan Tanah Abang.  Dulu, namanya diratib orang, lepas ini akan kembali diratib orang. Dulu ia pernah menepuk dada penuh takabbur, kali ini barangkali akan ditepuknya dada, paha dan punggung sekali.

Roh-roh leluhur yang bersemadi dalam dirinya kali ini akan ditambah. Datanglah roh segala roh yang gagah perkasa, menyatu dalam dirinya. Kalau boleh, akan diserunya roh Firaun dan Haman sekali, biar kekuatannya bertampah sepuluh kali lipat.

Kebingkasannya yang baru ini, bukan seperti dulu lagi. Membujur lalu melintang patah. Semua nama menyatu dalam dirinya. Tiada gundah, tiada gelisah. Tiada budi yang patut dibayar. 


Sesal tiada berguna lagi.

KETUHANAN DAN KEAZAZILAN.

 Pergolakan politik masakini amat sukar diramalkan.Apa yang akan jadi pada keesokan hari menjadi tanda soal yang dinantikan jawapannya oleh semua orang. Mana-mana orang boleh membuat telahan. Namun ia cuma telahan. Kejutan-kejutan demi kejutan telah berlaku dan akan terus berlaku. Episod-episod sekarang ini, menjadi babak-babak singkat. Belum panas punggung, berlaku episod dan babak seterusnya.

Bermula daripada perubahan tampuk pemerintahan kepada PH tahun 2018, bertahan selama 22 bulan, kemudian kerajaan PN bula mengambil alih. Kerajaan yang didirikan dengan senarai SD yang dibentangkan kepada YDPA itu kemudian bergelut dengan kekurangan mojoriti yang ketara. Kerajaan itu seperti berdiri di jrang yang sedang terhakis oleh arus deras. Bila-bila masa sahaja tebing boleh runtuh dan kalau tebing runtuh, ghuyublah bersama runtuhan itu beberpa aktor politik yang bersenandung tanpa dahan tempat bergayut. 

Kemudian, tiba-tiba sahaja DSAI mengumumkan yang beliau cukup mojoriti untuk menumbangkan kerajaan PN pimpinan TS Muhyiddin Mat Yassin. Riuh juga arena politik kerana itu. Penerimaan pelbagai. Antara percaya dan tidak. Namun, masa terus berputar. Dalam putaran masa itu, ada yang tidurnya tidak lena. Ada yang bangkit melenting. Ada yang bersenda menyindir. 

Hukum alam terus berlaku. Sikap saling percaya satu sama lain telah mula terhakis sejak peristiwa paling tadah yang berlaku. Peristiwa paling tadah yang menumbangkan juga kerajaan Syafie Apdal di Sabah, yang berakhir dengan PRN. Hari ini PRN itu diadakan.  Malam ini akan tahulah siapa yang akan mendirikan kerajaan. Siapapun yang tegak bertahta, ada untung ruginya. Tidaklah menang satu pihak maka malaikat datang berbondong-bondong merayakannya. 

Politik itu pelumbaan kuasa. Ia adalah satu perkara yang melibatkan persaingan taktik dan siasat. Pihak-pihak yang bergelut ada lebih dan kurang masing-masing. Tidaklah pementasan politik itu satupertarungan antara Tuhan dengan Azazil. Dua-dua pihak dalam seteru politik ada ketuhanannya dan keazazilannya masing-masing.

Selagi bernama manusia, itulah situasinya.

Monday, August 24, 2020

Parti anak Muda Syed Saddiq

 

Bukan memperkecilkan harapan dan wawasan seorang yang bernama Syed Saddiq. Dia memang seorang anak muda yang berani dan masih bersih daripada najis kebobrokan politik. Keputusannya untuk menubuhkan parti sendiri adalah langkah yang baik. Dia tidak perlu menyertai parti pejuang yang ditubuhkan oleh Tun M. 

Tapi, kenapa parti itu parti anak muda? Ya...Syed Saddiq baru berusia 27 tahun. Apa jadi nanti klau dia sudah berusia 57 tahun atau setidak-tidaknya 47 tahun. Bukankah pada waktu itu parti anak muda itu tidka lagi relevan buatnya?

Kecuali jika parti aanak muda itu mengalami rombakan untuk menjadikannya parti tua muda macam parti parti lain.


Parti mana pun, ada jatuh bangunnya. Eloklah mencuba nasib. Kalau kena caranya, sebuah partu baru akan mengambil tempat parti lama. 

Semuanya dalam aturan yang disusun oleh Allah SWT.

Saturday, August 08, 2020

TUN M DAN PARTI BARU

 Khabarnya (Sumber berita Portal-portal), Tun Dr. mahathir dan "geng" Bersatu Black yang dipimpinnya akan menubuhkan sebuah lagi parti baru. Ini kerana Parti Bersatu telah dikuasai oleh geng TS Muhyiddin bin M. Yassin. Cabaran terhadap pemecatannya yang dibawa ke mahkamah nampaknya tidak menampakkan hasil. Kelicikan berpolitik Tun Mahathir tidak dapat mengembalikannya ke posisi  sebagai pengerusi Bersatu.

Parti baru itu, katanya akan jadi kuasa ketiga. Macam king maker. Akan masuk pilihanraya dan bertanding di kerusi-kerusi. Jika menang, parti itu akan menyokong mana-mana pihak yang dirasakannya perlu. Ia tidak terikat kepada PN maupun PH. Tun Dr. Mahathir megatakan bahawa masalahnya dengan Anwar Ibrahim menyebabkan dia tidak boleh masuk dalam parti-parti Pakatan Harapan. Dia kena buat parti baru dan  meletakkan parti baru itu di luar gelanggang yang bergelut di dalamnya PN dan PH.

Usia Tun M sudah melebihi 95 tahun. Dalam usia itu, dia masih berhasrat menjana sebuah parti baru! Ini boleh masuk dalam "The Guinness Of Book". Seluruh dunia belum ada setandingnya. Kebanyakan politikus yang berada pada usia tersebut telah bersara daripada kegiatan aktif politik. Apa lagi memimpin penubuhan parti politik. Tapi, Tun M ini sungguh lain.

Tidak akan ada yang akan memberhentikan Tun M daripada minatnya berpolitik sehinggalah "almaut". Sepertinya, Tun M akan beraksi di pentas politik sehingga nafas terakhir. 

6 orang yang menjadi penyokong Tun M, kita tidak tahulah bagaimana kesudahannya pencak politik memreka. Apakah sokongan mereka kepada Tun M itu akan membawa mereka ke persada politik yang cerah buat mereka atau cuma sokongan membawa rebah. 

 

Kita sebagai penonton lagak politikus hanya akan tahu setelah berselang berberapa waktu. Pada semua kejadian ini ada pelajaran berguna buat kita. Pada perubahan rentak mainan politikus, kita boleh pelajari watak orang-orang  buat penceritaan kepada anak cucu.

Monday, August 03, 2020

Pilihanraya Negeri Sabah

Pilihanraya DUN Sabah akan berlaku, Insya Allah, tidak lama lagi. Kini UMNO dan Bersatu mula bergesel tentang pembahagian kerusi buat pihak masing-masing bertanding. Masing-masing mahu mendominasi jumlah kerusi. Di celah-celah perebutan kerusi dua parti Melayu itu, Pas sebagai rakan dalam blog PN tentu juga mengharapkan ada kerusi yang bakal dipertandingkannya. Dalam pilihanraya, isu kerusi untuk bertanding merupakan isu yang sangat rumit. Silap-silap, rakan dalam blog akan mengkhinati rakan sendiri. Lebih daripada itu, ia boleh membawa kepada musibah fatal, pecahnya kesepakatan.

Pembahagian kerusi adalah langkah awal kepada cerakinan kuasa. Selepas menang dalam pilihanraya pada kerusi yang dipertandingkan itu, akan amenyusul situasi yang lebih sukar selepas pilihanraya. Orang berpolitik memang gila. Gila kuasa. Kalau tidak gila kuasa, tidak payah menerjunkan diri ke kancah politik. Maka, gila kuasa bukan satu hal yang perlu dicela. Ia lumrah dan asam garam dunia politik.

Sesama UMNO sendiri adalah main wayang. Bung Mokhtar dan Musa Aman saling memandang dengan ekor mata. Musa Aman nampaknya masih mengimpikan balik semula ke posisi lamanya sebagai CM. Dua kali usahanya gagal, belum tentu dia berputus asa. Bukan mudah Bung  Mokhtar mahu menempati posisi itu walaupun dalam UMNO Sabah dialah big boss. Dari segi jawatan, dia pengerusi UMNO Sabah. namun, bayang-bayang Musa Aman masih menjadi hantu kubur yang bergentayangan.

Selama berkawan dengan UMNO, Pas akan tetap mennjadi melukut. Sekurang-kurangnya di Sabah. Memang sukar untuk melonjak di tengah pergelutan dinasor-dinasor politik Sabah yang sering bertukar celana. Walaupun Pas lebih berusia berbanding Bersatu, Bersatu nampaknya lebih berani menuntut kemahuan dan bernafsu.

Warisan akan mendepani pilihanraya negeri dengan lebih tenang berbanding gabungan UMNO-Bersatu-PBRS, PAS  dan Lain-lain. Kerencaman blog PN ini menyukarkan para ahli mesyuarat. Kenyataan luar yang kedengaran muluk dan berbasa-basi jangan mudah dipercayai. Kekadang, hiasan luar yang indah itu hanya cuba menutup kejelekan di dalam.