CARI BAHAN

Wednesday, September 28, 2011

Umur Persaraan

Saya dengar dalam TV semalam, Datuk Syarizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat berkata umur 55 tahun adalah terlalu muda untuk rakyat Malaysia berpencen. Justeru, umur pencen bagi pekerja swasta dicadangkan untuk dinaikkan kepada 60 tahun. Terdapat cadangan daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF)agar umur persaraan boleh dinaikkan menjadi 70 tahun.

Nampaknya manusia makin memaksimakan usia untuk mengejar dunianya. Umur yang dikurniakan itu mahu diabadikan seluruhnya untuk kesibukan pekerjaan. Kalau mengikut saya, biarlah umur persaraan itu diturunkan menjadi 50 tahun. Umur selepas 50 tahun itu boleh digunakan untuk meningkatkan amal. 

Kita hidup bukan hanya untuk dunia. Ada akhirat menanti kita di depan.

Tuesday, September 27, 2011

Akhlak mulia menjemput keimanan

Akhlak sangat penting. Akhlak lebih penting dari ilmu. Seorang yang punya ilmu tetapi tidak berakhlak, dia adalah seorang yang hina. Di dunia dia akan terhina dan di akhirat lebih-lebih lagi akan terhina.Tetapi, seorang yang berakhlak mulia sedangkan ilmu tiada, dia akan dimuliakan juga. Di akhirat,kemuliaan akhlaknya akan menjadi sebab dia dimasukkan ke syurga. Allah akan memafkan perlakuan seseorang yang didasari kejahilannya. 

Disebutkan dalam sebuah hadis, seorang pelacur dimasukkan ke syurga hanya kerana akhlaknya yang baik dengan seekor anjing. Dia memberi minum kepada anjing tersebut. 

Sesungguhnya akhlak menjemput rahmat Allah SWT. Para ahli sihir firaun,sekalipun mereka itu kafir dan menghabiskan khidmat bakti mereka kepada Firaun unuk satu tempoh, kerana mereka punya akhlak yang mulia, mereka disentuh keimanan. Tidakkan anda lihat bagaimana mereka tampilkan akhlak mulia mereka tatkala berdepan dengan nab Musa. Mereka sudi menawarkan kepada Musa untuk memulakan lemparan sebelu mereka. Bila nabi Musa menolak,barulah mereka  memulakan lemparan.

Monday, September 26, 2011

MAS atau Syarikat Travel

Syarikat Rejoice Travel memaklumkan kepadaku melalui panggilan talifon bahawa penerbanganku pulang ke kampung pada hujung tahun, sempena cuti panjang persekolahan memerlukan bayaran additional RM 37 untuk satu sektor. Perjalananku akan melibatkan 3 sektor iaitu Sandakan-Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-KL dan KL-Alor Setar.  Oleh itu jumlahnya RM37x3 =111. Bersamaku adalah isteri dan anak seorang. Maka jumlah semua adalah RM111.00 x 3=RM333.00

Menurut syarikat travel berkenaan, bayaran tambahan tersebut adalah untuk aiport tax.

Apa yang menjadi kehairananku, harga tiket yang beli atas namaku oleh syarikat travel tersebut sidah cukup mahal. Lebih daripada RM2000.00. Tiket seperti harga itu pernah digunakan oleh temanku untuk ke Mesir dengan syarikat penerbangan Arab. Mengapa tiket mahal tetapi tempat duduk yang diberikan adalah kelas ekonomi?

Siapa yang sebenarnya mempermainkan kakitangan awam yang mendapat tiket percuma? Syarikat Mas atau Syarikat Travel?

Kalau Syarikat MAS yang mengenakan bayaran tambahan tersebut dengan alasan kenaikan harga minyak dunia, itu adalah sikap tidak pandai bersyukur sebuah syarikat gergasi yang banyak dimanjakan kerajaan. Sudahlah semua tambang yang ditanggung kerajaan buat kakitangan awam diberikan kepada MAS, ia masih tidak merasa cukup. Wang tambahan masih lagi diminta kepada penumpang. Ini benar-benar melampau.

Seandainya syarikat travel yang main silap mata, mereka perlu diajar. Tambang-tambang tersebut sebenarnya tidak perlu diberikan kepada syarikat penerbangan yang pelbagai. Kementerian boleh mewujudkan satu unit khas menguruskan tiket dari permohonan, kelulusan dan pembeliannya. Namun, memikirkan untuk memberi kehidupan kepada syarikat travel, ia diberikan kepada mereka. 

Tetapi, jangan pula tidak pandai bersyukur.

Abang Mat

"Kalau boleh hidup 2 atau 3 bulan lagi...", demikian kata abg Mat.
"Insya Allah, 20 hingga 30 tahun lagi...", balasku.

Usia abang Mat kini sudah melwati 50 tahun. Itulah anggaranku. Baru-baru ini dia masuk wad kerana tekanan darah yang terlalu tinggi. Darah keluar dari rongga-rongga di bahagian kepala. Mata, telinga, hidung dan mulut. Beberapa hari beliau terlantar di wad. Sempatlah aku bersama teman-teman melawatinya. 

Alhamdulillah, kelmarin beliau telah dibenarkan pulang.

Sunday, September 25, 2011

Siapa perjuangkan hudud?

Kini, orang kembali memperkatakan tentang undnag-undang hudud. Berikutan satu seminar yang diadakan di Kelantan baru-baru ini berkenaan perlaksanaan undnag-undang Syariah di Malaysia, di mana TG Nik Aziz telah mendedahkan mengapa Kanun Jenayah Syariah yang diperkenalkan di Kelantan beberapa tahu yang lalu telah digagalkan oleh Tun Dr. Mahathir. Pendedahan tersebut kembali menjemput response balas Tun. Dr. Mahathir. Beliau mencabar supaya kerajaan negeri Kelantan melaksanakannya. Maka berleretlah isu itu dengan jawapan dan respons dari pemimpin-pemimpin DAP dan MCA sendiri.

Satu hari nanti, jika undang-undang hudud telah diterima dan dilaksanakan di Malaysia, kita akan mengingati Tun Dr. Mahathir adalah penentangnya. Kita juga akan bersaksi bahawa dari zaman berkuasa hinggalah zaman tiada kuasa, Tun Dr. Mahathir tidak pernah positif kepada hudud. Apa yang Tg. Nik Aziz telah lakukan telah membuka ruang perdebatan yang membawa kepada perbahasan tentang rasionaliti undang-undang hudud.

Satu masa kelak, jika kita mengimbas kembali pihak mana yang telah mencetuskan kefahaman masyarakat tentang hudud, kita hendaklah ingat bahawa selama lebih 50 tahun BN memerintah, pemimpinnya tidak melakukan apa-apa untuk mempositifkan undnag-undang Allh di muka bumi.

Insya Allah, undang-undang Allah pasti berada di atas!

Jangan hairan, jika satu masa nanti apabila negara terpaksa melaksanakan hudud, para pemimpin BN (kalau masih berkuasa, tetapi tipis untuk melangsungkannya biar sedekad lagi) mereka akan berkata bahawa perlaksanaan hudud jangan diambil kredit oleh PAS. Demikianlah mereka berbicara tatkala ISA di mansukhkan. Padahal, sudah bertahun rakyat membantahnya.

Friday, September 23, 2011

Rasuah untuk berpindah

Apa yang aku dengar ini banyak diperkatakan orang. Namun, sejauh mana benarnya, wallahu a'lam.

Guru-guru yang memohon tukar untuk balik ke Semenanjung, kerana kecewa tidak berjaya setelah berkali-kali, akhirnya mengambil jalan bawah meja. Mereka bertemu pagawai yang bertanggungjawab menguruskan perpindahan (tidak pastilah sama ada kerani atau pegawai atasan), lalu membuat sejumlah bayaran. Mengikut maklumat yang aku dengar, kadar bayaran yang diminta oleh pegawai yang menguruskan perpindahan itu ialah RM3,000.00. 

Aku katakan cara ini rasuah. Seorang yang ditukarkan ke sekolah baru setelah melaksanakan urusan itu, akan mendpaat bayaran gaji bulanan yang haram. Haram untuk seterusnya kerana mendapatkan jawatannya melalui jalkan rasuah.

Adalah orang cuba menghalalkannya. Dikatakan bayaran tersebut  adalah wang pengurusan. Aku menafikan kemunasabahan ia sebagai wang pengurusan. Wang pengurusan hanya berlaku jika bayaran itu bukan kepada orang yang bertanggungjawab dalam soal perpindahan. Misalnya seorang yang kita minta tolong untuk kirimkan borang perpindahan kita. Sebagai menghargainya, diberikanlah wang pengurusan. Kalau diberikan kepada pegawai yang menguruskan, ia bukan wang pengurusan. Pegawai itu telah dibayar gaji untuk kerjanya.

Ada yang mendakwa bahawa jawatan di tempat baru memang hak miliknya. Dia bayar untuk dapatkan hak miliknya. Ia bukan rasuah. Rasyah ialah kalau bayaran yang dibuat untuk rampas hak orang lain. Namun, persoalannya, siapakah yang mengatakan kedudukan dan jawatan di tempat baru itu hak miliknya. Semua yang memohon pindah akan mendakwa kekosongan itu adalah hak miliknya.

Sanggupkah anda manakn gaji haram sepanjang anda bertugas sebagai guru. Amat malang sekali kalau yang melakukan kerja ini adalah guru agama. Ustaz dan ustazah!

Bahana wakil rakyat bermewah

Tun Mahamthir kata rakyat pandang jijik kepada wakil rakyat yang hidup mewah. Memang, tidak dapat dinafikan. Apa yang dikatakannya itu benar. Seorang wakil rakyat yang hidup mewah melambangkan dia menunggangi jawatannnya untuk kepentingan diri.  Apa tidaknya? Dulu, sebelum jadi wakil rakyat, naik kereta kancil sahaja. Lepas jadi wakil rakyat, sudah tukar kereta dengan kereta mewah. Padahal, wakil rakyat itu bukan dari keluarga yang mewah pada asalnya.

Rakyat menjadi penonton kepada kelakuan wakil mereka. Jawatan yang disandang itu adalah berkat sokongan rakyat. Jika rakyat sudah tidak sokong, maka di manalah wakil rakyat itu? Kerana merasakan kehidupan sebagai wakil rakyat dapat memewahkan diri, maka kita lihat ramai wakil rakyat yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemenangannya. Selain berkempen siang dan malam, mereka tega merasuah pengundi. Biarlah wang habis berjuta, asalkan selepas menang mereka mendapat gantinya yang lebih berlipat ganda.

Sebenarnya, lebih jauh daripada kebencian rakyat, wakil rakyat yang hidup mewah akan membawa  kepada kehancuran.  Ini kerana kemewahan yang diperolehi itu akan menyemai budaya rasuah, pecah amanah dan sebagainya.

Thursday, September 22, 2011

Putar alam

Tun Dr. Mahathir kembali bercanda di pentas politik melalui kenyataan-kenyataannya. Kalau masih terbayang dalam ingatan kita, sebelum Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan dengan terpaksa, demikianlah feel dan kelakuan Tun Dr. Mahathir. Beliau yang telah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri banyak mencampuri urusan Perdana Menteri penggantinya. Seolah-olah, beliau tidak berkeyakinan dengan kemampuan perdana menteri selepasnya.

Mungkin, pada rasa riaknya, dialah perdana menteri terhebat. Malaysia tidak dapat ditadbir urus dengan baik jika dia tidak melibatkan diri. Sebab itu dia menyerang Abdullah Ahmad Badawi. Dan kini, dia memandai pula dalam pentadbiran DS Najib.

Dia mahu dirinya terus menjadi ikon.  Padahal, kemeluatan sebahagian rakyat kepadanya tidak berkurang. Malah, dengan kelancangannya, bertambahlah jumlah yang meluat kepadanya.
Terbaru, dia memberi respons tentang hudud kerajaan negeri Kelantan yang pernah dibantahnya dengan surat amaran semasa pemerintahannya. Kini, dia mencabar kerajaan Kelantan melaksanakannya kerana dia tidak membantah lagi. Katanya, DS Najib yang berkuasa sebagaimana dia pernah berkuasa.


Sunday, September 18, 2011

Penangan bisul

Malam ini, hujun turun renyai-renyai. Sepatutnya aku mengunjungi rumah terbuka GB sekolahku. Tetapi, sakit bisul dibetisku yang sudh berlarutan lebih seminggu membuatkan aku malas untuk pergi. Selain perlu berpantang makan, denyut sakitnya membuatkan aku tidak selesa untuk bertamu di rumah orang. Setakat ini, aku masih bertahan dengan solat di masjid dan duduk bersila ketika tahiyyat.

Aku menggunakan pelbagai ubat. Namun, ubat bunga raya paling aku suka. Ia menurunkan bengkak dan menghilangkan sakit. Bunga raya yang ditumbuk, dilumurkan di sekeliling luka bisul.

Sakit bisul, walaupun bunyinya remeh, tetapi bisul yang serius akan menyebabkan kesakitannya menjalar sampai ke kepala. Ia menghilangkan keselesaan sekujur badan.

Friday, September 16, 2011

ISA dimansuhkan...

ISA akhirnya diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, akan dimansuhkan. Kedengarannya amat bagus sekali. ISA yang menjadi akta zalim yang selalu disalahgunakan oleh pihak pemerintah, sudah sekian lama ditentang oleh rakyat. Ia telah banyak mencalit luka di hati rakyat, terutama keluarga mangsa ISA. Ternyata kini, ISA itu satu kesilapan kerajaan.

Maka, rakyat diseru berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri di atas pengumuman tersebut dan pebgumuman lain. 

Ada seorang hamba Allah yang memandu kereta di satu jalan. Tiba-tiba dia disergap sekumpulan perompak. Perempak itu mengancam untuk membunuhnya. Tetapi kemudiannyanya mereka tidak jadi bunuhnya. Mereka melepaskan hamba Allah tadi untuk meneruskan perjalanannya. Perjalanannya selamat sampai  ke tempat yang dituju. Hamba Allah tadi ceritakan kepada kawan-kawannya mengenai pengalamannya itu.

Lalu mereka berkata kepada hamba Allah itu;

"Kau sepatutnya berterimakasih kepada perompak itu!

Hamba Allah terpinga-pinga

Thursday, September 15, 2011

Penyambut Merdeka

Sang penyambut kemerdekaan. Bukan kataku. Tapi kata Pak Samad, seorang sasterawan tua berstatus Sasterawan Negara. Belia mengulas mengenai siapakah Tunku Abdul Rahman, pejuang kemerdekaankah beliau? Sambil menolak kewajaran beliau digelar Bapa Kemerdekaan kerana sinis terhadap profesor yang menafikan negara pernah terjajah, dia menyifatkan Tunku Abd Rahman hanyalah seorang penyambut kemerdekaan. (rujuk: Merdekareview)

Di negara kita banyak sekali acara sambutan. Ada sambutan bersifat agama dan ada yang bertaraf kebangsaan. Sambutan Maulidur Rasul, ISrak Mikraj, Nuzulul Quran, Ulang Tahun Kemerdekaan, Hari Pahlawan dan sebagainya, adalah sebahagian daripada hari-hari yang disambut dalam negara kita. Sambutan tersebut merupakan program yang disusun atur agar menampakkan kemeriahannya. Untuk itu, dibentuk jawatankuaa dan diketuai oleh seorang pengarah program. Pengarah programlah yang berucap menaluy-alukan acara sambutan buat permulaannya. Sesetengah kes, ada perasminya.

demikianlah pula sambutan hari kemerdekaan. British telah mengatur program tersebut dan melantuk Tunku sebagai pengarahnya merangkap perasminya. Sebab itu, beliaulah yang melaungkan "merdeka" sekalipun sebelum itu beliau dan juak-juaknya hanya mengenal laungan "hidup Melayu".


Monday, September 12, 2011

Ubat Bisul

Sakit bisul di betis kiriku sudah hampir seminggu. Cuma dalam tiga hari terakhir ini ia semakin parah. Denyut sakitnya kekadang sampai ke kepala. Bengkak sekitarnya telah memerah dan sakit sengalnya tidak terkata lagi. Ia membawa kepadsa demam di malam hari. Untuk mengurangkan rasa sakit itu, aku makan ubat "panadol soluble". Ia dapat membuatkan aku tidur lena di malam hari.


Banyak kawan mencadangkan pelbagai penawar dan petua. Ada yang suruh ambil beberapa bahan tumbuhan untuk ditempelkan pada bisul itu.  Cikgu Azis Tahja meriwayatkan bahawa dia pernah terkena bisul antara pusat dan anunya. Mentuanya telah berikan kelopak bunga raya yang telah dilecekkan. Katanya, punat bisul itu terkulai keluar kemudiannya. 

Cikgu Liza kata, daun kapal-kapal sangat mujarab. Ia dihancurkan dan ditampal di atas bisul

Cikgu Jainul kata ada ubat dijual di kedai ubat Cina (Singseng). Ia sebesar buah longan dan apabila dibasahkan dengan air dan diletak di atas bisul, ia akan menyedut punat bisul sehingga kesut.

Sekuriti sekolah berikan petua. Ambil kapur makan dan perahkan asam limau kasturi atasnya dan gaulkan. Limau nipis mungkin lebih baik.  Kemudian, pecahkan punat bisul dan sapukan dengan ramuan itu. Ia akan menyebabkan bisul menjadi kesut.

Ada pandangan kolektif bahawa bisul merupakan sejenis infection kuman. Oleh itu, hendaklah dapatkan antibiotik dari hospital atau farmasi. Ia akan mengurangkan kesan rebakannya.

Aku mengenangkan diri dan dosa. Semoga ini menjadi kifarat buat sebahagian dosaku. Kalau boleh semuanya. Allahumma ameen!


Kad Prabayar dicukai 6 %

8:07 AM, 12/09/11, From: CELCOM, RM0.Plggn dihargai, mulai 15/9/2011, semua pembelian reload & pek permulaan prabayar akan dikenakan 6% cukai perkhidmatan yang berkenaan. Info: www.celcom.com.my

Dalam TV semalam, heboh pak menteri bercakap mengenai ketidakwajaran dikenakan cukai tersebut. Tetapi, kenapa pagi ini mesej seumpama ini sampai ke inbox saya? Apakah menteri yang bertanggungjawab itu tidak ada kuasa menghalang pengenaan cukai tersebut? Ada menteri yang mempertikaikan cukai tersebut dan mengatakan bahawa sebelum cukai dikenakan, servis hendaklah terbaik. Pelanggan banyak mengadu mengenai lemahnya servis yang disediakan. Apakah sekadar itu pak menteri? Hanya mengeluh seperti rakyat mengeluh?

Kalau begitu, turun di sini, biar orang di bawah pula naik ke tempat atas jadi menteri. Apa guna jabatan kalau tidak mampu gunakannya untuk kepentingan rakyat?

Saya sudah katakan, kalau hendak bermain dengan rakyat demi keuntungan puak kapitalisme, rakyat akan membuat hukuman. Kerajaan di pihak mana? Menjaga puak kapital  atau rakyat? Siapa yang memulih kerajaan? Puak kapital atau rakyat. Jangan jadi lupa asal usul setelah berada di atas. Yang di atas, boleh jatuh pada bila-bila masa sahaja.

Kalau puak kapital telekomunikasi rasa hebat sangat, kerajaan bukalah peluang untuk pelbagai syarikat telekomunikasi yang bersepah serata dunia ini bersaing dengan syarikat haprak dan tamak dari Malaysia. Baru tau langit tinggi rendah.

Itulah cara rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Sunday, September 11, 2011

Merebut Kota Perjuangan

Kerana
kemerdekaan ini anugerah penjajah
buat anak-anak terdidiknya
kitapun dipaksa melupakan
mereka yang telah berjuang
dalam selengkar masa
dengan lelehan peluh, air mata dan darah
diburu, dipenjara, dibuang negeri dan dibunuh.

Siapa berhasil merebut kota perjuangan
di sanalah dia memacakkan rayahnya

Manakala yang tewas
adalah untuk dilupakan

Profesor oh profesor!

Aku tidak pernah tahu adanya persatuan para profesor yang dinamakan Majlis Profesor Negara. Sehinggalah apabila mereka membuat sidang media dan melalui ketuanya Prof. Zainal Kling, komen dibuat mengenai siapakah pejuang kemerdekaan dan taraf penjajahan British ke atas negara kita, baru aku tahu mengenai kewujudannya.

Prof. Zainal Kling menyatakan dua perkara penting dalam kenyataan mediannya. Pertama, bahawa Tanah Melayu (Malaya) tidak pernah dijajah. Ia hanya dinaungi oleh British. Selama 400 tahun British hanya menaungi negeri-negeri Melayu. Kedua, para penentang British yang berhaluan kiri bukanlah pejuang kemerdekaan. Malah mereka adalah penderhaka kepada sebuah kerajaan yang legitimate.

Aku suka menyentuh dua perkara dalam isu ini. Pertamanya mengenai persatuan yang dinamakan Majlis Profesor Negara ini. Keduanya ialah mengenai pandangan Prof. Zainal Kling tersebut.

Majlis Profesor Negara ini ditubuhkan, apa keperluannya? Apa kepentingannya sehingga disandarkan nama "negara" pada nama rasminya. Mungkin, secara mudah akan dikatakan untuk membantu negara mencapai kemajuan dengan idea-idea cemerlang para cendikiawan di dalamnya. Namun, setakat hari ini, apakah pandangan dan sumbangan pemikiran luar biasa MPN ini? Kalau setakat berkumpul dalam satu persatuan lalu merasa hebat kerana sudah bergelar profesor, bolehlah...boleh blah. Profesor hanya satu gelaran dan bukan lambang keilmuan yang mutlak. Kalau sudah berhempas pulas menyiapkan satu kajian spesifik tertentu, kemudian dihujahkan depan panelnya, lulus, dapatlah gelaran profesor. Apakah nilainya profesor itu kalau hanya bersandar di sofanya dalam bilik berhawa dingin.

Aku mengenali beberapa profesor. Dari kacamataku yang bukan profesor ini, tiada ilmu yang boleh kuambil daripadanya. Dia hanya duplicate apa yang ada dalam buku. Pandangannya beku dan kaku.

Tapi, apa yang diutarakan oleh Prof Zainal Kling ini satu penemuan yang agak hidup sebenarnya. Melawan pandangan arus perdana yang mengatakan negara kita dijajah, sebenarnya pandangan yang aktif. Ia boleh dinilai dan dikaji.

Mengenai pandangan Prof Zainal Kling yang mendakwa negara kita tidak pernah dijajah ini, banyak persoalan yang boleh diberikan kepadanya. Apa yang selalu dimomokkan ialah apa perlu sambut merdeka kalau tidak pernah dijajah. Orang akan mentertawakan profesor tersebut kerana dengan mudah pandangannya dicari cacatnya.  Sementara, terdedah juga kejahilannya mengenai perjalanan sejarah secara detail apabila dia mendakwa negara hanya terjajah selama 2 tahu di bawah Malayan Union. Padahal, malayan Union tidak pernah dilaksanakan, Ia hanya di peringkat cadangan.

Beliau juga menafikan perjuangan kiri sebagai perjuangan kemerdekaan. Maka, dengan itu tertolaklah individu-individu yang kita kenali dalam sejarah melawan British seperti, Burhanuddin, Ahmad Boestamen, Pak Sako dan tokoh-tokoh sbelum mereka seperti Dol Said, Abd Rahman Limbung, Tok Janggut, Mat Saleh, Rentap dan ramai yang lain. Kalau ikut profesor itu, yang namanya berjuang untuk merdeka hanyalah yang berkompromi dengan British untuk merdekakan negara secara aman.

Sangat janggal pendapat profesor ini. Allah mengurniakan akal kecil buat sang profesor!

Saturday, September 10, 2011

British bukan menjajah negara kita?

British tidak pernah menjajah negara kita. Kalaupun pernah dijajah, hanya negeri-negeri Selat sahaja. Negeri-negeri Melayu yang lain tetap berdaulat di bawah sultan-dan raja masing-masing. Demikianlah cetusan pandangan daripada Prof. Khoo Kay Kim dan disokong pula oleh Prof. Zainal Kling. Menurut mereka , British hanya menaungi negeri-negeri Melayu. Natijah daripada kesimpulan mereka ini, semua pegawai yang bekerja semasa zaman sebelum merdeka adalah pekerja kepada kerajaan negeri-negeri Melayu yang berdaulat itu dan bukan kepada ratu England.

Pendapat ini, menurutku adalah latahan berikutan isu apakah polis yang terbunuh di Bukit Kepong itu pejuang kemerdekaan atau pasukan penyerangnya yang merupakan pejuang kemerdekaan? Akibat melatah dengan lontaran Mat Sabu mengenainya, dua profesor tersebut melatah. Lalu keluarlah latahan bahawa negara kita secara umumnya tidak pernah terjajah. Salah besar kalau dikatakan bahawa negara kita dijajah selama lebih 400 tahun oleh British. Demikianlah pula Prof. Zainal Kling menegaskan.

Ramai orang terlopong mulut pula mendengar hujahan profesor ini. Sebelumnya, mereka tersentak dengan lontaran Mat Sabu. Sekarang, orang menggeleng kepala dan ada pula yang mengangguk-angguk.

Habis, apalah makananya sambut ulang tahun kemerdekaan yang diadakan saban tahun?, tanya sebahagian orang.

Jadi, aktiviti melawan Inggeris seperti yang dilakukan oleh Dol Said, Abdurahman Limbung, Tok Janggut, Maharaja Lela dan lain-lainya itu, apalah yang akan katakan kepada mereka?  Apakah mereka itu penderhaka kepada kerajaan raja Melayu  berdaulat yang berada di bawah naungan British?

Huh, parah!

Kalau hanya menaungi, bagaimana pula British ada wewenang untuk mengadakan perjanjian Bangkok 1909 dengan raja Siam yang mempersetujui bahawa negeri-negeri Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu diserahkan kepada British?

Bagimana pula dengan Sabah dan Sarawak? Apakah kedua-dua negeri itu juga dinaungi oleh British? Justeru, pemberontakan Mat Saleh di Sabah dan Rentap di Sarawak itu, apakah akan kita katakan mengenai mereka?

Nampak semacam  British masih ada pembelanya di negara ini. Sungguh mulia British di mata mereka. Penaung kepada sebuah negara berdaulat!

Friday, September 09, 2011

Tauliah itu cemeti penguasa

"Watawallana...fi man tawallait..." Demikianlah kita munajat doa Qunut saban Subuh. Kita minta Allah tauliahkan kita sebagaimana Allah telah berikan tauliah kepada mereka yang Dia tauliahkan. Kita minta tauliah kepada Allah kerana hanya Dia sahaja yang berhak memebri tauliah.

Hari ini, Jakim mendakwa bahawa pensyaratan tauliah untuk menyampaikan ilmu agama adalah demi menjaga Islam. Persoalannya, siapakah pula yang melantik Jakim dan Majlis-majlis agama untuk menjaga agama? Apakah pula agama telah cukup terbela oleh JAKIM dan Majlis-majlis agama negeri selama ini? Setakat mana agama mendaki kemuliaan di tangan mereka?

Siapa pula yang jadi tukang sign surat tauliah itu? Hebat sangatkah ilmunya untuk mengenalpasti salah dan silap dalam ilmu?

Kalau nak kawal penyebaran ilmu agama, syaratkan juga semua ustaz dan ustazah di sekolah mempunyai tauliah. Sasaran ustaz dan ustazah adalah murid-muirid yang jumlah puluhan ribu. Kalau tiada tauliah, dibimbangi murid-murid itu mendapat ilmu salah daripada ustazah dan ustaz yang tidak bertauliah. Kerosakan pada generasi pelajar lebih bahaya daripada jemaah masjid yang hanya beberapa kerat.

Huh, memelihara agama konon! Tauliah hanya selembar cemeti yang memukul para pejuang Islam. 




Wednesday, September 07, 2011

Pengkhianat perjuangan

Di Indonesia,apabila kita membicarakan mengenai perjuangan menentang penjajah Belanda oleh penduduk peribumi, kita akan temui sebuah nama besar. Nama tersebut adalah Pangeran Diponegoro. Beliau telah bangkit menggerakkan perjuangan yang disokong oleh rakyat menentang penjajah Belanda. Penjajah Belanda menghadapi keletihan yang amat dalam menghadapi tentangan daripada pasukan Diponegoro. Malangnya, ketika perjuangan deponogoro memanjat kemuncaknya dan dapat membuat pukulan hebat terhadap Belanda, muncullah pengkhianat dari kalangan pengikutnya sendiri. Dia bersubahat dengan penjajah Belanda dan akhirnya pangeran Diponegoro tertangkap dan dibuang negeri oleh penjajah Belanda.

Demikian...dalam setiap perjuangan ada pengkhianat. Dalam perjuangan memerdekakan Tanah Melayu, siapa pula pengkhianatnya??

Tuesday, September 06, 2011

Sejarah berliku dusta

Sejarah adalah pelajaran yang penuh dengan penipuan. Ini kerana sejarah adalah kisah masa lalu. Kita tidak ada pada zaman kisah itu terjadi. Maka, periwayat sejarah dengan senangnya membohongi kita. kalau mereka bohong pun, apa kita nak buat. Kita hanya boleh tidak percaya tetapi tidak dapat mengubah cerita bohong mereka.

Cerita pasal Hang Tuah yang penuh dengan episod luar biasa itu juga kaya dengan pembohongan. Kisa masa lalu yang hari ini sukar untuk ditelan lagi.

Sedangkan sejarah Islam pun ada banyak pembohongan, apatah lagi sejarah Melayu. Sejarah Islam melalui disiplin periwayatan yang ketat. Sedangkan sejarah Melayu tiada apa-apa disiplin. Ikut suka hati periwayat. Siapa yang ada kuasa, sejarah akan dilakar mengikut kemahuannya.

Demikianlah yang terjadi kepada sejarah merdeka.

Monday, September 05, 2011

Utusan perubahan

 Ada seorang ayah yang kuat betul perjuangan kebangsaannya pada satu masa dulu. Alhamdulillah, kini dia sudah kendur. Fikrah Islam ada sedikit sebanyak dalam buah percakapannya. Mungkin,lambat laun dia akan berubah secara total. Intima' dengan Islam bukan dapat dicapai secara total dalam masa yang sekejap.Kekadang dua atau tiga generasi barulah penggabungan secara kaffah berlaku kepada seseorang. 

Dia seorang ayah. Kunjunganku ke rumah beberapa kali memperlihatkan kepadaku keadaan keluarganya. Anak-anak perempuannya darijenis yang tidakbertudung. Kalaupun bertudung, bertudung ala-fesyen sekarang.Bukan kerana taat perintah agama. Namun, tahun lalu dia mendapat seorang menantu. baru-baru ini dia buat cukur jambul cucunya yang baru lahir.

Ketika mendengar makluman menantunya mengenai nama cucu sang ayah itu, aku sudah melihat sesuatu yang unik. Namanya adalah sempena seorang pejuang hebat dalam sejarah Islam. Buah bicaranya menggambarkan watak keislamannya.ternyata anaknya seornag ahli gerakan Islam.

Alhamdulillah...Allah memberikan perubahan mengikut cara yang tidak kita duga.

Sunday, September 04, 2011

Wira negara adalah yang mati demi UMNO

Sdr. Noramfaizul Mohd Nor, wartawan yang menyertai Kelab Putera Umno ke Somalia untuk misi bantuan kemanusiaan telah terbunuh akibat terkena peluru sesat. Demikianlah apa yang dilaporkan. Kematiannya sisifatkan oleh Perdana Menteri, DS Najib Tun Abd Razak, sebagai gugurnya seorang perwira sebenar negara. Jenazahnya disambut dengan penghormatan bertaraf pahlawan. DS Najib yang sedang dalam rangka percutiannya ke Perth Australia terpaksa membatalkan rancangannya dan pulang ke Malaysia demi menyambut jenazah alayarham. Keranda yang mengandungi jenazah alayarham diusung keluar dari kapalm terbang dan berbungkus bendera Malaysia. Ramai yang menantinya di lapangan terbang.

Perwira negara. Demikianlah media mewar-warkan. Demikianlah pula gelaran yang diungkapkan oleh pemimpin no. 1 negara. 

Baru beberapa minggu ini rakyat negara Malaysia didedahkan dengan tafsiran semula sejarah oleh Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS mengenai sejarah kemerdekaan. Mat Sabu menolak tanggapan yang melebelkan polis-polis yang terbunuh di tangan komunis dalam peristiwa Bukit Kepong sebagai perwira. Jauh sekali untuk menerima mereka sebagai pejuang kemerdekaan. Maka, marahlah semua juak-juak pemimpin UMNO. Mereka menganggap Mat Sabu telah terkeluar dari landasan sejarah yang benar. Malah, ada yang menuduhnya sebagai pengkhianat bangsa dan juga komunis.

Kini timbul lagi soal wira negara. Noramfaizul yang hanya bertugas sebagai wartawan yang menjalankan misi mempopularkan kerja-kerja kemanusiaan penuh riak Putera UMNO dianggap sebagai wira negara. Mengamati perkembangan ini dan mengaitkannya dengan isu pejuang kemerdekaan dan wira negara sebelum merdeka, kita akan dapat mengerti tahap pemikiran para pemimpin UMNO mengenai konsep wira negara. 

Wira negara bagi mereka adalah seorang yang mati kerana UMNO. Jika mereka mati kerana sebab lain, tidaklah dia dianggap wira negara.

Buat arwah Noramfaizul, semoga Allah merahmatinya. Doaku buatnya sama dengan doaku buat pakcik sekampungku yang meninggal ketika mengait kelapa kerana terhempa dek buah kelapa. Sama sepeti doaku dalam majlis kenduri arwah yang selalu aku terpaksa menghadirinya.

Pejuang Sebenar

Siapakah pejuang kemerdekaan? Kerajaan mengajar murid-murid di sekolah bahawa bapa kemerdekaan adalah Tengku Abd Rahman. Bercakap mengenai kemerdekaan, buku sejarah bikinan kerajaan UMNO akan memulakannya dengan sejara tokoh-tokoh UMNO. Benarkan mereka itu pejuang kemerdekaa?

Bukankah Tengku Abd Rahman itu masa British menjajah tanah Melayu adalah salah seorang kakitangan pentadbiran British? British yang melatihnya mentadbir. Sedangkan pada masa itu sudah ada mereka yang berhempas pulas membebaskan negara ini dari penjajahan. Sementara Tengku Abd Rahman adalah golongan bangsawan yang tidak mengetahui pun perjuangan rakyat menentang penjajah pada masa itu.

Aku memahami sejarah ini dan akun tidak mudah tertipu dengan sejarah karangan pendongeng UMNO.

Thursday, September 01, 2011

Wal hasil balik asal

"Macam mana dengan jumlah jemaah Subuh pagi ni?" tanya seorang sahabat yang terlepas jemaah Subuh pagi tadi. Mungkin keletihan atau makan banyak semasa beraya, maka tidak terjaga waktu Subuh. Mungkin terjaga pun orang dah selesai solat Subuh.

Pertanyaan mengenai jumlah jemaah solat Subuh adalah kerana kebiasaannya pada bulan Ramadhan yang lalu ramai orang datang berjemaah Subuh. Al-maklumlah, orang yang bangun sahur akan mudah untuk ke masjid. Lagi pun masa di bulan Ramadhan tiada syaiatan penggoda yang mengganggu keimanan seorang yang ingin ke masjid untuk solat Subuh.

"Wal hasil balik asal", aku memberi jawapan. 

Sebagaimana keadaan sebelum Ramadhan, maka demikianlah kini sesudah Ramadhan. Hamba-hamba Ramadhan kembali menghilang.  Mungkin akan dapat disaksikan beberapa orang yang Allah berikan hidayah untuk berubah.  Dia akan menjadi ahli masjid yang istiqamah. Siapakah dia? Seminggu dua lagi kita akan dapat melihatnya.

Wednesday, August 31, 2011

Aliran Kiri dianggap komunis

Perjuangan menuntut kemerdekaan dengan aliran keras digelar sebagai aliran kiri. Perjuangan aliran ini dipelopori oleh beberapa kumpulan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang kemudian diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) yang terdiri daripada gabungan Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (INSAF) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). 

Terdapat kelompok Melayu yang berada pada aliran lembut dan bekerjasama dengan penjajah. Kelompok ini disebut sebagai Aliran Kanan. Mereka adalah persatuan Melayu di negeri-negeri. Mereka ini mendapat restu dari Inggeris dan pada akhirnya kelompok inilah yang bergabung membentuk UMNO.

Perjuangan aliran kiri  mendapat tekanan daripada penjajah Inggeris. Tekanan yang bertubi-tubi ini menyebabkan pengharaman dan tangkapan perubuhan dan pemimpin-pemimpin mereka. Oleh kerana jalan perjuangan secara damai telah terhalang, sebahagian pemimpin Melayu aliran kiri telah mengambil jalan bersenjata. 

Semasa pendudukan Jepun mereka telah menubuhkan MPAJA (Malayan People's Anti-Japanese Army) untuk menentang pendudukan Jepun. Ini kerana janji Jepun untuk membebaskan Tanah Melayu dari penjajah Inggeris telah dimungkiri. Tanah Melayu akhirnya dijajah sendiri pula oleh Jepun. Di dalam MPAJA ini turut bersama adalah Parti Komunis Malaya (PKM), malah PKM paling dominan dalam pertubuhan ini. British sendiri memberi sokongan kepada MPAJA dengan menyalurkan senjata dan latihan.

Menjelang tahun 1948, apabila Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah,mereka mengarahkan MPAJA meletakkan senjata. Namun, mereka enggan tunduk kepada Inggeris. Lantas, perjuangan bersenjata diteruskan pula menentang Inggeris. Bagi menangani serangan bersenjata ini, Inggeris telah menubuhkan pasukan bersenjata yang terdiri dari Bangsa Melayu. 

Perjuangan bersenjata itu berlangsung sehingga tahun-tahun 1950-an dan menjelang kemerdekaan hadiah Inggeris pada tahun 1957. Pemimpin Melayu Aliran Kiri sudah kian terpinggir dalam gerakan agresif ini kerana PKM semakin mendominasinya. Seperti termaklum, kebanyakan yang terjun kepada perjuangan PKM adalah kaum Cina kerana merekalah yang paling tertindas semasa pendudukan Jepun. Namun. sebahagian pemimpin Melayu yang bergabung dengan PKM telah  menjabat kedudukan penting dalam PKM. Namun, fikrah mereka bukanlah fikrah komunis sebagai difitnahkan orang. Kita tahu bahawa orang seperti Rashid Maydin dan Syamsiah Fakeh adalah kalangan pimpinan PKM yang merupakan muslim yang percayakan Allah SWT.. Maka bagaimana hendak dikatakan mereka sebagai komunis? Hanya kerana mereka berasosiasi dengan komunis dalam perjuangan bersenjata melawan Inggeris, mereka dituduh sebagai komunis.

Orang Melayu diberitahu bahawa komunis tidak percayakan Tuhan.  Maka, bertambahlah perasaan takut orang Melayu kepada komunis. Semua perjuagan ala komunis menentang penjajah dilebelkan sebagai komunis. Perjuangan yang tidak komunis hanyalah perjuangan mereka yang bernaung di bawah UMNO.


Akhirnya, perjuangan para pemimpin Melayu beraliran kiri terus dilupakan oleh majoriti orang Melayu. Penjajah telah berjaya menikam jarumnya ke ulu hati kebanyakan orang Melayu untuk mempercayai bahawa para penentangnya adalah komunis. Apabila berlaku serangan ke atas mana-mana koloni pentadbiran Inggeris yang diurus selia oleh pegawai Melayu yang dilantik, ia dikatakan serangan komunis. Sememangnya komunis mengambil bahagian dalam serangan tersebut. Namun serangan mereka adalah ke atas Inggeris. Kalau komunis itu jahat, serangannya atas pihak yang lebih jahat. 

Malangnya ada orang Melayu yang berkompromi dengan kelompok jahat yang bernama penjajah Inggeris. Inilah yang menjadi dilema kepada para pemimpin Melayu yang diasal dengan tuduhan komunis. Itulah juga yang menyebabkan sebahagian besar mereka melupakan perjuangan bersenjata dan membiarkan PKM menguasai sepenuhnya.

Sebuah parti beraliran Islam beranama Hizbul Muslimin telah ditubuhkan pada tahun 1948 oleh Ust Abu Bakar Al-Bakir di Gunung Semanggol. Dato' Onn bin Jaafar mengingatkan British tentang bahaya perkembangan itu. Katanya, "hubaya-hubaya...bahaya dari gunung...". Inggeris telah bertindak dengan menangkap Ust Abu Bakar Al-Bakir dan mengharamkan Hizbul Muslimin. Tiga tahun kemudian, para ulama kembali mengambil inisiatif menubuhkan PAS.

Hari ini, perjuangan aliran kiri ini terus ada. Aliran kiri wujud atas nama pembangkang. Dalam kelompok pembangkang ada parti yang masih lagi dikaitkan dengan komunis iaitu DAP. Ada juga nasionalis kebangsaan yang insaf dan sedar. Mereka bernaung di bawah PKR. Ada golongan ulama dan pejuang Islam. Mereka berada dalam PAS.

Taktik mengkomuniskan aliran kiri adalah taktik lama. Ia adalah taktik penjajah dan kini masih diteruskan oleh mereka yang mengambil penjajah sebagai "duplicate". DAP dituduh sebagai komunis itu cerita lama dan sudah lali. Namun, kekedang tuduhan ini cuba pula dilebarkan kepada para ulama dan pejuang yang berada dalam PAS. Cubaan-cubaan seperti ini telah lama diusahakan tetapi rakyat Malaysia hari ini telah celik mata. Jalannya amat sukar untuk menanamkan ke dalam minda orang Melayu sebagai kejayaan Inggeris menanamkannya dulu. Lebih-lebih lagi orang Melayu ramai yang sudah bersekolah dan tinggal di bandar.

Dalam kontek perjuangan kemerdekaan, Aliran Kanan adalah mereka yang bersekongkol dengan penjajah. Manakala Aliran Kiri adalah mereka yang menentang penjajah.  Takdir telah menentukan Aliran Kanan memenangi pusingan awal memerdekakan Tanah Melayu dan seterusnya menubuhkan Malaysia. Namun kemenangan itu bukan kemenangan sejati sebagaimana yang diimpikan oleh Aliran Kiri.  Sungguhpun negara ini telah disebut "merdeka" oleh penjajah dan ditikrarkan oleh pemimpin Aliran Kanan bersilih ganti serta dihafazkan pula oleh rakyat Melayu dan juga bukan Melayu, bagi pemimpin Aliran Kiri, belum dapat beroleh kemerdekaan senjata. 

Para pejuang Islam melihat bayangan penjajah masih menghantui. Penjajah masih menjadi taghut sembahan di saat "sarra' " dan "dharra' " . Para nasionalis kiri masih merasakan rakyat tidak diadili sepenuhnya. Penyelewengan masih berleluasa. Negara menjadi tunggangan golongan aliran Kanan yang ingin mengekalkan hagemoni penjajah serta kepentingan diri.

Maka...bilakah kemerdekaan sejati dapat diraih?

Sunday, August 28, 2011

Antik penjajah dianggap perwira

Tiba-tiba timbul isu kini, Mat Sabu dituduh pengkhianat kerana menganggap polis yang mati terbunuh dalam peristiwa di Bukit Kepung kerana diserang pengganas itu bukanlah mati sebagai pejuang. Kata laporan berita yang dipetik dari Utusan Malaysia, Mat Sabu menganggap Mat Indera yang bersekongkol dengan komuni menyerang balai polis Bukit Kepong itu adalah perwira nusa kerana membantu dalam serangan meruntuhkan penguasaan British di Bukit Kepong. Mat Indera dihukum gantung oleh British sebagai pengkhianat. Mat Sabu mengaitkan Tok Janggut yang diistiharkan sebagai penderhaka oleh Sultan Kelantan untuk mengizinkan hukuman gantung oleh British ke atasnya dijalankan tanpa bantahan orang Melayu. Selanjutnya, tegas Mat Sabu, Dato' On dan Tengku Abd Ramhan bukanlah pejuang kemerdekaan kerana mereka ada pegawai suruhan British. Mereka bekerja dengan kerajaan British  dan akhirnya Beritish telah berikan kemerdekaan negara untuk orang suruhannya. 

Aku tidak punya masalah untuk mempercayai hujah-hujah yang dikemukakan oleh Mat Sabu itu. Bahawa kita dibohongi oleh catatan sejarah pasca merdeka, adalah satu kemungkinan yang sangat nyata. 

Zaman pristiwa Bukit Kepung, komunis berjuang menentang penjajah.  Anggota keselamatan yang bertugas di mana-mana kawasan seluruh negara dewasa itu adalah antek-antek penjajah. Mereka dilatih dan dibayar gaji oleh penjajah. Apakah fakta ini dapat dinafikan oleh sesiapa pengkaji sejarah pada hari ini?

Namun, filem yang dibikin dengan arahan Dato' Jims Samsudin itu menggambarkan bahawa polis yang mati terbunuh itu adalah perwira. Filem itu tidak menggambarkan pula dalam kerajaan manakan polis itu bertugas. Siapakah majikan kepada polis-polis itu selain sarjan yang ditugaskan di balai itu. Dunia dikecilkan hanya dalam ruang lingkup balai polis dan kalau pun keluar hanya sekitar kampung. Bagaimana keadaan negara dewasa itu?

Kita banyak disumbat dengan cerita sejarah tolol. Filem Leftenen Adnan, menggambarkan beliau sebagai pahlawan bangsa. Kalau dia pahlawan bangsa., kenapa dia tidak menentang penjajah Inggeris. Kenapa hanya melawan Jepun?  Kalaun dia mati terbunuh dek serangan Jepun, apa yang dia pertahankan? Dia mempertahankan sebuah kawasan dan secara tak langsung sebuah negara yang dijajah oleh majikannya, Brotish. Apakah ada sesiapa yang boleh menegaskan bahawa Leftenan Adnan bukanlah askar bikinan penjajah Inggeris?

Maka, kalau hendak mengutip tokoh pejuang tanah air buat renungan rakyat, jangan pilih tokoh-tokoh yang berasosiasi dengan penjajah. Banyak lagi contoh tokoh yang perjuang sebagai rakyat merdeka yang menentang Inggeris, kenapa mereka tidak dipilih?

Kerana kewujudan negara kita hari ini masih merupakan kelangsungan penjajahan Inggeris. Kita belum mendapat kemerdekaan sejati!

Andai kata Malayan Union dilaksanakan.

Kekadang kita tidak sedar kita dipaksa untuk menelan pengajaran sejarah yang dipaksakan oleh sebelah pihak. Umpamanya, perjuangan menentang Malayan Union dianggap sebagai perjuangan kemerdekaan yang sangat besar oleh tokoh-tokoh Melayu dulu yang kemudiannya menubuhkan UMNO. Mari kita cuba bayangkan kembali, apa akan jadi kepada negara kita kalau Malayan Union dilaksanakan.

Pertama sekali, tentunya tidak ada lagi raja-raja Melayu. Kalau ada pun, hanya sebagai warisan sejarah yang akan lenyap sesudah berlalunya satu atau dua generasi. Raja tampa negeri, seperti keadaannya dengan raja Sulu hari ini. Orang Melayu dibayangkan buruk sekali nasib mereka tanpa raja Melayu sebagai penaung kedaulatan. Maka, menentang Malayn UNION ditafsirkan sebagai jihad terbesar demi mempertahankan kedaulatan Sultan. 

Tetapi, mengikut apa yang diceritakan dalam sejarah, para Sultan dan raja sendiri yang pada mulanya menandatangani surat setuju terima konsep negara Malayan UNION itu. Catatan sejarah ini menjelaskan kepada kita bertapa lemahnya integriti para Sultan untuk mempertahankan kuasa yang mereka dapat secara percuma itu. Mereka tak mampu mempertahankan diri, malah rakyat yang tolong pertahankan kuasa mereka untuk kegunaan mereka sendiri. 

Hari ini, rakyat Melayu tidak berhutang kepada Sultan mereka. Tetapi, lagak para raja kekadang seolah-olah merekalah menjadi tuan kepada rakyat Melayu.

Kalau Malayan Union jadi dilaksanakan, jadilah Tanah Melayu sebuah negara yang lebih baik. Aku cuba berfikir di luar kotak dengan kesimpulan itu. Britain mungkin boleh menjajah Tanah Melayu dengan konsepm itu untuk beberapa tahun. Dengan konsep itu, legasi Sultan dihapus dan rakyat Melayu dilahirkan sebagai bangsa yang meredeka di bawah penjajahan Inggeris. Kira-kira 10 tahun kemudian, Inggeris akan lari meninggalkan negeri ini juga. Ketika itulah lahirnya sebuah negara Merdeka tanpa jajahan bangsa asing maupun bangsa sendiri.

Alangkah beruntungnya kalau harta negara dapat diselamatkan untuk kebajikan rakyat terbanyak. Bukan digunakan untuk mengendong golongan aristokrat kaya yang tidak bekerja apa pun untuk negara.

Wednesday, August 24, 2011

Demokrasi itu pesona?

Ada orang kata demokrasi itu telah mempesona warga dunia. Demokrasi ciptaan isme kapitalisme dan liberalisme Barat itu telah menakluk hampir seluruh dunia. Dunia Islam juga tuut menganutnya. Kini, kebangkitan rakyat di Timur Tengah dan Utara Afrika adalah kerana pesona demokrasi.

Kenapa demokrasi dianggap pesona? Kenapa aristokrasi tidak dianggap pesona? Bukankah pesona itu lebih baik daripada penjara sengsara aristokrasi?

Cukuplah menjadi lidah-lidah pendeta yang telor. Cukuplah menjadi pujangga  pendeta yang senget!

Apakah kita mahu tinggal di bawah seorang yang mengaku muslim tetapi zalim berbanding seorang kafir yang adil?Alangkah baiknya kalau berada di bawah pemerintahan islam yang adil saksama!

Syaitan berwajah malaikat

Dia cuba menutup wajah sebenarnya. Para ulama yang mengenali watak sebenar Muammar Ghadafi telah mejatuhkan hukuman kafir ke atasnya. Ini kerana apa yang dilakukan sepanjang pemerintahannya di Libya. Dr. Yusuf Al-Qardhawi telah menghalalkan darahnya sejak awal kebangkitan rakyat Libya lagi. Kini, setelah kekuasaannya di ambang kejatuhan, bicaranya lagak seorang pejuang Islam.


"Kami menentang (musuh kami) dengan kekuatan kami... sama ada kami menang atau mati syahid. Insya-Allah,”

Dia cuba menutup kebejatannya dengan keindahan kata-katanya.

Kejatuhan Mu'ammar Gadafi

Alhamdulillah...Aku tumpang bangga dengan kejayaan rakyat Libya menumbangkan pemerintahan Mu'ammar Gadafi yang menunggangi Libya selama lebih 40 tahun. Biarpun rakyat telah bangkit menentangnya bersama kebangkitan di Tunisia dan Mesir, Mu'ammar cuba bertahan di dahan pemerintahannya yang kian rapuh. Sehingga kelmarin, barulah berlaku takdir muktamad buat pemerintahannya. Dia tumbang dan hampir keseluruhan Tripoli telah berjaya dikuasai kebangkitan rakyat.

Kejatuhan Mu'ammar Gadafi menjelaskan kepada kita bahawa tiada kuasa yang boleh bertahan selamanya. Allah SWT mengangkat sesiapa yang Dia kehendaki dan bila sampai masanya, tiada kuasa yang boleh menghalang. Allah mempunyai seribu satu cara. Apabila saudara seislam sendiri tidak mampu membebaskan saudaranya dari belenggu kezaliman penguasanya, Allah kirimkan yang tidak disangka untuk menumbangkannya. Sesetengah orang menyimpulkan bahawa perjuangan rakyat Libya menjatuhkan Mu'ammar Gadafi adalah tunggangan NATO kerana NATO membantu. Namun jangan dilupa bahawa ketika penguasa Bani Israil telah melampau dan membunuh para nabi-nabi mereka, Allah telah kirimkan raja Nebuchanezar dari Babylon yang beragama menyembah berhala untuk menumbangkan pemerintahan yang kononnya menyembah Allah.

Allah punya seribu satu cara melestarikan pemerintahan mutlaknya di atas muka bumi.

Sunday, August 21, 2011

Siapa nak membela diri?

Ada berita panas, seorang bekas artis yang kini terlibat dalam dakwah telah menghina sultan-sultan dalam tazkirahnya, ketika solat taraweh di masjid an-Nur, kampung Melayu Subang, Selangor. Arti itu dahulunya dikenali sebagai Ali Setan. Namun, itu kisah puluh tahun dulu. Kini, dia telah bertaubat dan mengabdikan dirinya dalam dunia dakwah. Selain menghina sultan, dia juga dituduh mengkafirkan kerajaan kerana gagal menegakkan hukum Islam dalam pemerintahan.

Pasal menghina Sultan-sultan ini, mungkin ramai ultra Melayu yang akan melenting. Selama ini, pantang sekali bagi mereka kalau ada orang yang berani menghina Sultan. Tidaklah dapat dipastikan apakah benar penceramah itu secara terang-terangan mencemuh Sultan atau hanya difahamkan sebagai penghinaan oleh hadirin yang menjadi hamba Sultan yang taat.

Perasaan anak Melayu kepada para sultan telah pun banyak yang terguris. Kesetiaan kepada Sultan sudah longgar. Lebih-lebih lagi sekarang bukan lagi zaman feudal di mana rakyat merasa sangat bergantung kepada para Sultan. Rakyat sekarang sudah berfikiran terbuka dan bebas.

Mungkin selepas ini Perkasa akan bangkit mempertahankan Sultan yang dihina. Perkasa adalah ultra Melayu unggul yang sedang dalam mimpi di Malaysia.

Menurutku, ketika mereka dihina, biarlah mereka sendiri membela diri sendiri. Selama ini, kita rakyat bukannya dibela. Kerajaan menindas dengan kesempitan hidup lantaran kenaikan kos sara hidup, para Sultan bukan sibuk mempertahankan rakyat. Saat begini, kita pulangkan kepada empunya diri. Kalau mahu, pertahankan diri sendiri.

Rakyat perlu membela diri sendiri.

Friday, August 19, 2011

GS:BALADA NEGARA MERDEKA

Beratus tahun negaraku dijajah
Maruah bangsa habis dijarah
Hasil bumi habis dipunggah
Buat membagunkan negara Eropah.

Telah mengalir air mata
Nenek dan Moyang sebelum kita
Mengenang diri dalam hina
Di bumi sendiri tiada kuasa.

Wahai anak negara bertuah
Kenanglah segala penat dna susah
Merdeka negara bukannya mudah
Banyak darah telah tumpah

Sejak Melaka dijajah Pertugis
Bangsa kita dilayan bengis
Hilang harga Melayu dan Bugis
Hanya dianggap kertas secebis

Telah bangkit pejuang bersilih
Kesenangan hidup mereka sisih
Relah sakit dalam merintih
Demi maruah kembali pulih


Setelah negeri kita merdeka
Kini masanya ramai yang leka
Telepas dari penjajah celaka
Dijajah pula syaitan derhaka

Generasi merdeka lupa diri
Budaya Barat dijunjung tinggi
Nilai Timur di telapak kaki
Hidup gemar menari-menari.



Thursday, August 18, 2011

Lemah akal

Malaysiakini melaporkan bahawa Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang di George Town menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab apabila ada pihak tertentu membakarnya. Tidak dapat dipastikan siapa yang punya angkara. Namun,tentunya dari pihak yang sangat marah kepada DAP. Tidak sukar untuk menduga siapa pihak tersebut. Selama ini, yang amat marah kepada DAP ini adalah kalangan UMNO yang hilang kedudukan di Pulau Pinang. Sebahagian mereka berlindung di balik Pertubuhan Ultra Melayu yang dikatakan sebagai NGO iaitu Perkasa. Siapa pun yang melakukannya, ia adalah lambang "haprak" upaya untukmenarik sokongan.

Dalam sebuah negara yang menerima dan mengamalkan demokrasi, perbuatan ganas seperti itu tidak akan menguntungkan. Menggunakan tenaga dan keberanian fizikal tidak akan menakluk jiwa manusia,yang mana merupakan prasyarat penting untuk menang dalam sebuah negara  demokrasi.

Atas tujuan apa "culprit" tersebut melakukannya? Kalau dia kuat, orang lain pun kuat. Cuma bezanya orang lain tidak menggunakan kekuatannya. Dia yang tunjukkan kekuatan itu pula pada hakikatnya lemah akal.

Wednesday, August 17, 2011

Menswastakan zakat

Memang aku tidak gemar dengan cara berzakat yang ditaklifkan kepada rakyat muslim negara kita ini. Kerajaan menubuhkan Pusat Pungutan Zakat yang dengan segala daya upaya dan pelbagai cara memungut zakat daripada rakyat. Tetapi, bila sampai kepada bahagian menyebarkannya semula kepada yang berhak, ramai golongan sasar yang tidak dapat.Malah, kalau pun zakat dibahagi-bahagikan, ia menjadi kuda tunggangan pemerintah untuk menanam budi ke atas rakyat demi mendapat pengaruh politik.

Matlamat zakat yang sebenar tidak tercapai. Orang miskin masih banyak dalam masyarakat. Zakat pula seringkali diselewengkan perbelanjaannya.

Idea menswastakan zakat mungkin kedengaran agak ekstrem. Sebenarnya penswastaan itu bukan terma yang tepat bagi menggambarkannya. Pelbagai badan dan NGO dalam masyarakat diberi ruang untuk memungut zakat dan membahagikannya, kedengarannya seperti penswastaan.Namun, penswastaan itu satu kaedah dalam perniagaan. Sedangkan zakat bukanlah satu perniagaan.

Monday, August 15, 2011

Anti Islam

Orang kafir sememangnya anti Islam. Itu sudah terang dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Orang bukan Islam yang paling anti kepada Islam ialah Yahudi dan kaum musyrikin. Sementara yang paling kurang anti Islam ialah mereka yang berkata bahawa mereka adalah Nasrani. Ini dapat difahami daripada firman Allah SWT:


لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَاناً وَأَنَّهُمْ لا يَسْتَكْبِرُونَ


Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. dan Sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami Ini orang Nasrani". yang demikian itu disebabkan Karena di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) Karena Sesungguhnya mereka tidak menymbongkan diri.
(Surah Al-Maidah: Ayat 82)
 
Pertubuhan Hak Melayu (PERKASA) mendakwa akhbar The Star sebagai anti Islam kerana menyiarkan gambar masakan daging babi dalam sisipan juadah berbuka puasa.

Persoalan orang bukan Islam sebagai anti Islam bukanlah pendedahan baru. Allah SWT telah menegaskan perasaan permusuhan itu dalam Al-Quran sebagaimana dirakamkan dalam ayat di atas.Ia juga tidak mengejutkan. Adalah naif kalau kita menduga dan mengimpikan mereka mencintai Islam. Dengan segenap daya dan upaya yang mereka ada, mereka akan berusaha untuk menjadikan orang Islam mengikut cara mereka. Kalau mampu melucutkan Islam daripada penganutnya, mereka akan ambil kesempatan. Jika tidak mampu, mereka akan menarik orang Islam mengikut cara mereka. Hakikat ini telah pun diberi peringatan oleh Allah dalam Al-Quran dan nabi Muhammad SAW dalam hadis-hadis baginda.

Maka, apa perlunya Perkasa berteriak bahawa akhbar The Star itu anti Islam? Sebenarnya, kedapatan di kalangan orang yang mengaku Islam sendiri yang anti Islam. Inilah yang lebih menghairankan. Dalam masa mereka ini mendakwa sebagai muslim, apabila diperkenalkan tuntutan dan kemahuan Islam ke atas mereka, mereka menolaknya. Kekadang, penolakan mereka memperlihatkan betapa mereka bersikap tidak suka kepada Islam. Dengan kata lain, sikap anti Islam.

Kalangan orang Islam yang menolak politik Islam adalah anti Islam. Mereka yang enggan menjaga sosiologi masyarakat dalam batas Islam, malah merobeknya dengan budaya rosak dari negara bukan Islam, sebenarnya juga anti Islam. Sementara Islam punya perundangannya tetapi masih bergayut kepada perundangan kafir, itu juga sifat anti Islam.

Sikap anti Islam kaum bukan Islam sudah nyata. Ia tidak mungkin dihilangkan. Ia mungkin hanya dapat dijernihkan buat satu tempoh,  namun, tenang riak di permukaan bukanlah gambaran damai di dasarnya. Petunjuk dan kesesatan tidak akan berdamai sampai bilapun. Syaitan dan malaikat sering bersengketa. 

Namun sikap anti Islam orang Islam terhadap agamanya sendiri, ini yang perlu diutamakan. Apa guna mencela kaum bukan Islam kerana sikap anti Islamnya, sedangkan dalam masa yang sama menjadi pembela kepada serigala makir yang berkeliaran dalam kandang Islam dengan perasaan "aladdul khisom" terhadap Islam agamanya sendiri!

Babi sakit

Perkasa melalui presidennya Ibrahim Ali mengungut akan melakukan "sesuatu" jika kerajaan gagal bertindak mengenai 3 perkara iaitu; video seks yang didakwa melibatkan DS Anwar Ibrahim, himpunan Bersih 2.0 dan apa yang didakwa sebagai konspirasi DAP untuk mengkristiankan orang Islam. Tidaklah pula dinyatakan apakah "sesuatu"  itu. Namun, berdasarkan rekod pencapaian perkasa, tidak menggerunkan sekiranya Perkasa mengungut untuk bakar dan huru hara satu Malaysia sekalipun. Sejauh ini, Perkasa hanya mampu bersorak dan menjerit. Sebuah pertubuhan setahun jagung dan dipimpin pula oleh tokoh yang tersingkir, ia tidak meraih sokongan melainkan segelintir yang bosan duduk berehat.

Orang Melayu kata keadaan yang sedang dialami perkasa itu sebagai "perasan". Merasakan diri pertubuhan yang berada di front hadapan sebagai pembela bangsa, mereka merasakan sokongan Melayu adalah "crowded" kepadanya. Dengan angkuh dan sombong pula, pemimpinnya mengatakan "boleh belah" siapa yang mengatakan beliau akan kalah dalam PRU 13 nanti.

Sebenarnya, Perkasa itu tidak ubah macam babi sakit. Babi, bila sakit ia akan mengamuk. Tapi, bila babi mengamuk. ia akan meluru lurus sahaja. Bila begitu, ia akan menghentam pokok dan kayu mati. Kalau kayu  mati yang dah reput memanglah kayu yang hancur. Bagaimana kalau yang dihentamnya akar banir? Tapi, rupanya walaupun dia kelihatan seperti babi sakit, rupanya dia tidaklah sakit. Saat-saat tertentu pandai juga ia membezakan antara akar banir dan tunggul reput.

Sunday, August 14, 2011

Bawa kes ke mahkamah-Pas

Timbalan Presiden Pas mengumumkan pendirian rasmi Pas berhubung isu serbuan Jais ke sebuah gereja Methodist minggu lalu. Katanya, jika ada bukti muslim dimurtadkan, Jais hendaklah membawanya ke mahkamah. Jais hendaklah menggunakan Enakmen yang boleh digunapakai untuk pendakwaan tersebut. Serbuan minggu lalu oleh Jais ke atas gereja tersebut hanyalah berdasarkan khabar angin yang tidak pasti. Jika benar-benar ada aktiviti oemurtadan muslim, maka Jais hendaklah mendakwa di mahkamah. Pas, dengan kata lain tidak menyetujui tindakan Jais yang menggunakan kuasan serbuan tanpa bukti yang kukuh. Sekarang, setelah terjadi semuanya, |Jais hendaklah mengambil tanggungjawab membuat pendakwaan. Jika tidak, tohmahan ke atas Jais akan berlanjutan. Jais hednaklah mengambil langkah membersihkan namanya.

Membawa kes ini ke Mahkamah adalah strategi Pas untuk mengetengahkan beberapa isu pokok yang diabaikan oleh kerajaan yang memerintah. Sudah lama undang-undang mutad diperjuangkan, namun kerajaan hanya bena tak bena. Bila timbul isu begini, para pemimpin kerajaan tumpang sekaki menghangatkan isu. Ibarat kokokan ayam berderai-derai, tetapi bontot berlumuran najis.

Terdapat individu-individu haprak politik yang menampakkan gaya hebat sebagai pejuang mempertahankan Islam. Namun, ketika persoalan kelengahan kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang murtad ditimbulkan, mereka ini diam seribu bahasa. Mereka tak lebih daripada politikus oppurtunis yang sering mengintai peluang memikat sokongan rakyat buat bekalan pilihanraya ke-13.

Suara kuat dari masjid

Sebenarnya, apa salah kalau Jabatan Mufti Pulau Pinang mengeluarkan  pekeliling mengarahkan masjid-masjid di Pulau Pinang tidak memasang bacaan Al-Quran dan lain-lainnya melalui pembesar suara sebelum Subuh? Larangan sedemikian adalah demi kebaikan orang ramai. Bagi sesetengah orang yang berada pada posisi pengurus masjid, telah mencapai tahap dunggu apabila menganngap apa sahaja yang dibuat oleh mereka adalah demi Islam. Padahal, Islam tidak pernah menyuruh mereka melakukan sedemikian.

Masalah menggunakan pembesar suara ini telah menjadi kronik apabila penempatan sekitar masjid semakin padat. Para pengurus masjid yang tidak punyai sentuhan sanubari mengenai kesukaran orang sekitar masjid dengan suara bising yang ditimbulkan, akan buat pekak badak sahaja terhadap keluhan orang lain. Anak kecil mahu tidur? Kata mereka, sepatutnya dengar Quran makin lena tidur. Orang sakit? Kata mereka dengar Quran sepatutnya semakin sembuh kerana ia adalah penawar.


Sebenarnya isu ini timbul kerana ia berlaku di Pulau Pinang. Kerana yang mengeluarkan pekeliling itu Jabatan Mufti Pulau Pinang, maka ia dilihat sebagai tunggangan kepada kerajaan Pulau Pinang. Sudah lama hati mendendam kerajaan Pulau Pinang. Isu ini adalah satu peluang. Sentimen agama cuba ditiupkan.

Boleh belah!

Saturday, August 13, 2011

Pirana hulurkan kepala

Program yang bakal diadakan di masjid itu sebenarnya anjuran Bernas. Bernas yang sediakan lebih seratus kampit beras untuk diberikan kepada fakir miskin yang terpilih. Untuk menyampaikan sumbangan beras itu, dijemput CM (Chief Minister). Oleh kerana lokasi program itu adalah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Libaran, maka UMNO Kawasan Libaran diberi amanah untuk memilih penerima yang layak. AJK masjid dilibatkan kerana tempatnya adalah masjid.

Namun, ketika melihat "banner" sudah digantung, terpamer jelas bahawa program tersebut adalah dengan kerjasama beberapa badan. Nombor wahid adalah Umno Bahagian Libaran. Seperti UMNO Bahagian Libaran yang menjadi pelakun utama dalam menjayakan program tersebut. Namun, apa yang nyata, AJK masjid yang cuba dikerah untuk bermesyuarat dan menjayakan majlis tersebut. Paling banyak pengerusinya.

Seumpama pirana cuba menghulurkan kepala. Maklum...musimnya sudah tidak lama lagi.

Friday, August 12, 2011

Agenda gereja?

Ya, merekalah orang yang marahkan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Kini, mereka marahkan orang Islam yang masuk ke gereja. Orang Islam yang masuk ke gereja itu, mereka lemparkan dengan tuduhan menghadiri majlis pemurtadan sekalipun kemudiannya dinyatakan hanyalah majlis amal kebajikan gereja untuk kaum dhuafaa wal masakin.

Pihak gereja dituduh menyimpan agenda melancarkan program seumoama itu. Di sebalik kebajikan mereka, tersimpan agenda untuk mengkrintiankan ummat Islam. Itulah alasan yang digunakan pihak Jais untuk menjustifikasikan tindakannya menyerbu gereja. 

Tidak mengejutkan jika dikatakan pihak gereja menyipan agenda kristianisasi. Mengenai agenda ini, kita tidak boleh marah. Syaitan pun punya agenda. Kita tidak boleh katakan kepada puak kristian:

"Awas kalian! jangan punya agenda atas kami".

Itu lucu amat. Apakah kita mahu hanya kita punya agenda sedangkan mereka tidak boleh beragenda? Dunia ini adalah persaingan antara kebaikan dan kejahatan. Antara keimanan dan kekufuran. Yang bertentangan dalam dunia ini memang fitranya bersaing. Maka, jika kristian mempunyai agenda, Islam juga punya agenda. Agenda siapa berjaya, ia terletak kepada kesungguhan dan keikhlasan kita menjalankannya.

Saat kita marahkan orang Islam yang hadir ke majlis gereja, kita tidak membantu mereka secukupnya. Limpahan kurnia Allah dalam bentuk wang zakat jutaan ringgit digunakan untuk memperkayakan kakitangan pentadbiran sedangkan mereka yang sepatutnya menerima diabaikan. Bila mereka menyahut bantuan orang lain kita marah.

Ini adalah igauan orang bodoh. Ini bukan membela agama Islam yang murni. Ini memalukan agama Islam. Islam tidak punya kaitan dengan manusia defensif yang menyangka mereka membela Islam sedangkan mereka bukan pembela Islam!

Thursday, August 11, 2011

Doa buat si penyumbang

Kalau anda korbankan hartamu lebih daripada yang diperlukan, maka anda sememangnya berhak didoakan. Buat orang sedemikian, kudoakan agar Allah SWT mengurniakan apa yang menjadi hajatnya bertahun-tahun. Selembar kertas jaryah 'isyrin yang kuhulurkan kepada seorang teman setugas, dikembaikan  dengan isi empat kaliganda. Dia adalah ustazah Norhayati Adnan.

Ya Allah...kau kurniakan kepadanya anak-anak yang soleh sebagai balasannya. Hambamu bermohon bagi pihaknya. Dengan berkat Ramadhan yang Kau janjikan. Dengan tawassul infaq jaryah yang dia lakukan. Kebahagiaan adalah buat mereka yang mencari kebahagiaan dengan jalan taqarrub kepadaMu.

Wednesday, August 10, 2011

Jika enggan

Jika sukar sekali untukmu menghulurkan infaq fi sabilillah, itu tidak merugikan aku. Aku bukan mendapat komisen dari risalah jaryah yang kuhulurkan. Apa yang aku lakukan hanya untuk membantu agama Allah dengan sedikit kudrat yang aku ada. Kalau kamu mahu, kamu pun boleh menjadi penyampai risalah jaryah itu. Aku, jika tidak menyumbang juga, hanya jadi tukang hulur, tidaklah mendapat pahala berbuat amal jaryah. Mungkin aku dapat pahala mentaysir orang memberi jaryah. Bagi setiap orang punya darjat-darjat di atas apa yang dikerjakannya.

Namun aku percaya bahawa Allah akan mengatur segalanya. Jika yang anda bakhilkan itu bernilai RM20, maka dengan alasan yang pelbagai anda enggan menyumbang, yakinlah bahawa nilai itu tidak akan menjadi milik anda. Allah punya seribu satu cara mengambilnya. Apa yang sebenarnya menjadi hak kita adalah apa yang kita simpan untuk hari akhirat kita.

Semoga menjadi renungan.

Monday, August 08, 2011

Ramadhan bulan Ibadah!

Ramadhan di negara kita sudah dipopularkan sebagai bulan makan-makan. Buktinya ialah suasana yang dapat kita lihat menjelang waktu berbuka puasa di pasar-pasar Ramadhan yang disediakan.Manusia ramainya, masya Allah!.Seolah-olahnya, makanan yang menjadi matlamat orang berpuasa. Sesetengah orang pula acap kali memikirkan apakah menu berbuka pada hari-hari berganti sepanjang Ramadhan.

Pengusaha hotel dan restoren pula sibuk mempromosikan menu masing-masing untuk ditempah.

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita. Dimanalah kita berbanding masyarakat Arab. Mana pula katanya bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah???

Sebar Risalah Ramadhan

Kelmarin, bersama-sama sahabat-sahabat, saya  menyebarkan risalah Ramadhan. Lokasi pilihanpada tahun ini ialah pasar Ramadhan bandar, sebagaimana tahun-tahun yang sebelumnya. Sebanyak seribu naskhah risalah Ramadhan telah kami cetak dan kira-kira 13 orang terlibat dalam misi kali ini.

Acara bermula sekitar jam 5 petang dan berakhir setengah jam kemudian.

Berbagai-bagai ragam manusia di pasar Ramadhan. Ketika dihulurkan risalah, ada yang menerimanya dan mengucapkan terima kasih. Ada yang tidakucap apa-apa. Malah ada yang menolak dan enggan menerima. Sebagaimana yang aku katakan kepada seorang sahabat seusai kerja-kerja menyebar risalah, ia adalah diri kami sendiri. Menghukurkan sehelai kertas mengandungi tulisan nasihat dan dakwah bukan senang dilakukan oleh semua orang. Jika kita mampu lakukan, itu merupakan latihan kepada jiwa sendiri.

Semoga Allah memberkati mereka yang telah menyertai program kelmarin.

Bumi ini Allah warisi kepada sesiapa yang Dia kehendaki

Pebualan atas tangga masjid dengan seorang karkun dari Kelantan kelmarin mengilhamkan aku untuk membuat sedikit catatan serta komentar dalam blogku ini. Karkun tersebut mendedahkan bagaimana taktik sebilangan Cina dan India yang memasukkan "bin" pada nama mereka untuk melayakkan mereka membeli tanah-tanah yang dikategorikan sebagai rizab Melayu. Beliau melihat ini sebagai satu ancaman kepada bangsa Melayu.

Sambil menyebutkan pesanan datuknya agar menjaga bangsa, agama dan negara. Menjaga bangsa adalah dengan tidak berkahwin dengan bangsa asing. Katanya, itulah rahsianya kenapa di Kelantan kurang orang India dan Cina. Menjadi peringatan generasi dahulu kepada anak cucunya agar menjauhi perkahwinan campur dengan bangsa asing. Perkahwinan campur akan merosakkan bangsa. Untuk menjaga negara pula ialah dengan cara membeli tanah. Wang yang disimpan hasil kerja buat dalam kehidupan ini hendaklah mensasarkan pembelian tanah. Kemudian jual tanah beli kebun dan ladang. Dengan cara itu, negara akan selamat. Menjaga agama pula ialah dengan melakukan dakwah. Kena keluar ke jalan Allah, katanya.

Aku menambah, bahawa manusia bergaduh dalam dunia hari ini adalah disebabkan berebut tanah. Dari tanah kita datang, kepada tanah kita kembali. Aku tidak merintih atas kehilangan tanah-tanah Melayu sebab aku bukan pejuang bangsa. Tanah negara ini bukan selamanya terjamin di tangan orang Melayu. Allah yang memiliki tanah negara ini dan Dialah yang akan berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Bila orang Melayu sudah tidak beriman, maka, apalah sebabnya lagi Allah hendak menjaga hakmiliknya di tangan orang Melayu???

Thursday, August 04, 2011

Kenapa tak ramai kibar jalur gemilang

Kerajaan menyeru rakyat agar memasang bendera Malaysia di kenderaan dan bangunan persendirian serta rumah untuk menunjukkan semangat patriotisme menjelang sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan.. Namun, jika kita lihat, rakyat tidak menyahut seruan tersebut. Berapa buah kenderaan yang melata di jalan raya dengan mengibarkan bendera Malaysia, boleh dihitung dengan jari. Di rumah-rumah dan bangunan persendirian juga demikian.

Apakah itu bermakna rakyat tidak patriotik?

Sebenarnya, sebelum kita menjatuhkan hukuman kepada rakyat, kita perlu menoleh asal muasal kempen kibar bendera itu. Ia mula diperkenalkan zaman Dr. Mahathir yang menghadapi krisis keyakinan rakyat. Dia mendakwa bahawa majoriti rakyat masih menyokongnya. Untuk membuktikan itu, pelbagai cara dilakukan, termasuklah kempen kibar jalur gemiliang.

Bila banyak kereta kibar jalur gemillang, akan terpacullah daripada mulut para pemimpin itu bahawa mereka disokong oleh "silent mojority".

Sebab itu rakyat enggan mengibarkan jalur gemilang!