Hargailah setiap orang yang ada di sekeliling anda. Mungkin di mata anda dia hanya seorang manusia selekeh yang tidak punya nilai. Namun, siapa tahu apa yang bergolak dalam hatinya. Setiap manusia, Allah ciptakan dia dengan nilai. Manusialah yang membutakan mata untuk menghargai nilai itu. Hanya Allah SWT yang tahu menilai duduk seseorang hambanya.
" Wah, bersinar-sinar dan berberseri-seri", seorang anak muda menyapaku sewaktu tiba di masjid untuk solat zohor pada satu hari.
" Apa yang bersinar dan berseri-seri? baju saya?", akumembelek bajuku. Masakan baju hitamku ini berseri-seri.
" Muka tuanlah", beritahunya.
"Subhanallah!", aku membalas. Kata-kata anak muda itu satu pujian yang perlu aku cerap dengan cermat. Aku terus mengambil wuduk.
Aku pulangkan keluhan berbau ketakjuban anak muda itu sebagai nilai mulia dalam dirinya. Rupanya dalam keadaan dirinya yang tidak terurus, berseluar pendek dan tidak menampakkan ciri pemuda yang beriman, apa lagi pemuda perjuangan, dia mempunyai ketajaman pandangan mata untuk mengulas manusia persekitaran.
Aku mengerti bahawa dia sangat mendambakan kebaikan. Sebab itu matanya begitu peka dengan cahaya muka orang yang ditemuinya. Yang istimewanya bukan aku tetapi dia. Dia mempunyai nilai dalam dirinya. Hanya barangkali nilai itu tidak digerakkan oleh orang yang menggerakkan.
Sebab itu, mari kita insafi, bahawa setiap insan punyai nilai istimewa dalam dirinya. Semuanya ciptaan Allah dan sudah tentu Allah maha kaya untuk mencipta sesuatu tanpa nilai.
No comments:
Post a Comment