CARI BAHAN

Thursday, June 23, 2022

Gelar menggelar

 Siapa tak gelar orang lain? Ulama-ulama dulu banyak menggelar orang. Ada yang digelar Hasyawiyyah, Sabaiyyah, Zandaqah, Tawwabun dan Nasib serta banyak lagi. Ulama-ulama hadis banyaklah gelar orang. Ada orang digelar munkarul hadis, dhu'afaa, ghairu dhabit dan banyak lagi. Tak ingat. Ada ornag digelar Khawarij. Ada yang digelar Nusairiyyah, Syiah, Batiniyyah, Suffiyyah, Zahiriyyah, Taba;iyyah serta macam-macam lagi. 

Gelar menggelar ini bukan sahaja manusia sesama manusia. Allah juga gelar sekolompok manusia munafiq, khawalif, mu'azzirun,muttaqun, muflihun dan seumapamanya.

Justeru, bukan gelar itu yang jadi masalah. Masalahnya hanyalah bila gelar orang tidak sesuai dengan kondisinya! Apa yang tidak sepatutnya, digelarkan. Itu yang tercela!

Tuesday, June 21, 2022

Khilaf memilih masa dan tempat

 Kita boleh kritik orang. Namun kita perlu ada adab dalam mengkritik.Kita boleh kritik orang yang berkhilaf dengan kita. Namun ada adabul ikhtilaf yang perlu kita ambil kira. Salah satu adab dalam ikhtilaf ialah kita tidak menyebutkan keburukan si mati pada hari dia meninggal. Pada hari di mana kaum keluarga dan orang-orang yang mencintainya sedang dirudung sedih. Menyebutkan keburukannnya pada situasi dan masa tersebut ibarat melumur garam di atas luka. Itu adalah perbuatan tidak beradab. Seharusnya luka hendaklah disembuhkan dulu. Selepas sembuh, bolehlah walau hendak dihamburkan air panas sekalipun. Itu jika ada permusuhan yang tidak dapat dipadamkan. 

Bermusuh pun ada adabnya. Salehuddin Al-Ayyubi, sewaktu perang Salib ketiga, tetap melayan Richard The Lionherat, pemimpin Salibi dengan baik. Berperang adalah satu hal yang lain. Namun saat musuh sedang sakit, Salehuddin Al-Ayyubi mengirimkan doktor untuk merawatnya.

Untuk memiliki sikap yang boleh bertasamuh dalam saat tertentu, perlukan hati yang jernih. Jika kita marahkan seorang pembohong, maka kritik kebohongannya. Jangan kritik warna kulitnya atau rupa parasnya. Tiada kaitan antara keduannya. Kalau kita marahkan seorang wanita freehair, maka pada ahri matinya jangan disebutkan tentang dosa freehairnya. Sebut dan carilah kebaikannya untuk diucapkan. sikap begini bukan hanya terhadap ornag Islam, malah kepada orang kafir juga. 

Ada orang tidak suka pada ulama tertentu kerana alirannya. Mungkin kerana alirannya dalam kesufiannya. Atau, mungkin kerana ulama itu Asya'irah atau Salafiyyah. Jika ada yang kita tidak menyetujuinya, kritik inti kepada permasalahannya. Mengkritik aliran adalah satu beban berat. Aliran itu umpama beban gunung menjulang awan. Setiap aliran ada dasarnya. 

Maka kritik sahaja kesalahan-kesalahan tertentu dalam aliran tersebut. Ia umpama semak liar yang tumbuh di kecuraman tanah gunung.

Kalau tidak suka Ibn Taimiyyah misanya, kritik apa yang tidak disetujui tentangnya. Kalau tidak suka Muhamamd bin Abdul Wahab, kritik pegangannya yang salah yang direkodkan dalam kitab-kitabnya. Demikian kalau ada masalah dengan Abu Hasan Al-Asya'ri, keritiklah bahagian-bahagian padangannya yang dilihat salah. Orang Seperti Syeikh Abdul Qodir Jailani pun, kalau nak kritik, kritiklah apa yang dilihat salah dalam qaulnya. 

Namun, hendaklah bersangka baik kepada ornag soleh. Itulah adab, Itulah Tasawwuf yang sejati.


Thursday, June 09, 2022

BON ODORI

Satu perayaan yang dibawa dari Jepun. Ia disalut dengan wajah kebudayaan namun tidak dapat menyembunyikan latarbelakang keagamaannya. Itulah perayaan Bon Odori. Satu perayaan yang akarnya adalah ritual menjamu roh nenek moyang. Ia tidak jauh daripada perayaan Hantu Lapar yang ada dalam masyarakat Cina.

Isu berkenaan Perayaan Bon Odori ini timbul apabila Ust. Idris Ahmad selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan nasihat melarang umat Islam daripada menyertai perayaan tersebut. Nasihat beliau itu atas dasar menjaga akidah umat Islam daripada terjerumus ke dalam perbuatan syirik atau menyokong aktivciti syirik. Hal ini mengundang respons orang-orang yang teleh sedia berbulu hatinya dengan pihak berkuasa agama di Malaysia ini seperti Siti Kasim. Ada sebilangan lagi yang sama fikir macamnya. Mereka mempertikaikan larangan itu dan mendakwa bahawa menyertai festival itu tidak menjejaskan iman ornag Islam pun. Kata mereka , masakan begitu lemah sekali iman orang Islam hingga boleh tergugat hanya dengan menyertai festival sedemikian. Hujan dengan nada sebegini telah pun sering berulang dalam situasi yang berbeza. Umpamanya, kelompok ini jugalah mempertikaikan pemakaian busana muslimah dan menyindir para lelaki muslim, apakah terlalu lemah iman mereka hingga mudah tertarik dan bernafsu bila melihat rambut perempuan.

Golongan ini bertuhankan akal. Nas-nas agama bukan panutan mereka. Tidak perlu ayat Quran atau hadis untuk menetapkan satu-satu perkara berkaitan kehidupan ini. Seolahnya, cukup dengan berfikir buruk baiknya. Hasilnya, demikianlah. Caca marbalah agama yang dipegang. Agama yang dipanuti mereka kelihatan telah "disconnected" dengan warisan nabi yang dibawa oleh para ulama yang rabbani sepanjang zaman.

Telebih malang apabila ada orang yang memegang amanah menjaga agama tidak boleh terima nasihat Menteri Agama itu. Malah Menteri Agama disuruh hadir ke program itu untuk belajar menghargai perbezaan. Sanggupkah Menteri Agama bertindak sebagaimana imam-imam hebat dalam sejarah?  Tatkala mereka bergeser dengan penguasa, maruah dan agama lebih mereka utamakan. Mereka melepaskan kesenangan dunia mereka demi menjaga agama nabi Muhammad SAW!

Keadaan agama Islam yang mementingkan soal akidah yang bersih sedang diancam di bumi Malaysia ini. Dari dalam dan juga luar. Allahul musta'an! Sungguh menyesakkan hati melihat kemelut pemikiran yang menokak akidah ini. 

Wednesday, June 08, 2022

KECEMBURUAN DUNIAWI LEBIH MENYEDARKAN BERBANDING KECEMBURUAN AGAMA

Kalau nak banding cemburunya burung hud-hud dalam kisah nabi Allah Sulaiman dengan cemburunya kebanyakan kita manusia terhadap agama Allah, kalah kita manusia. Hebat lagi si burung hud-hud. Melihat kaum Saba' yang menyembah matahari, hud-hud tidak merasa senang dan melaporkannya kepada nabi Allah Sulaiman. Kata hud-hud dalam sebahagian ujarannya:


" Sesungguhnya aku melihat ratu negeri Saba' serta rakyatnya menyembah matahari sebagai Tuhan selain Allah dan Syaitan telah menghiaskan pekerjaan mereka itu agar nampak molek pada mata mereka",


Kita manusia, lebih-labih lagi yang beriman dan menurut ajaran nabi Muhamamd hendaklah sentiasa mempunyai rasa cemburu yang tinggi terhadap agama Allah. Cemburu dalam ertikata kita tidak rela agama Allah itu dipermainkan, diconteng keasliannya atau dijadikan alat meraih habuan dunia oleh para serigala berwajah manusia. Kita akan segera sedar dan melawan kalau agama Islam dihuduhkan dengan perbuatan yang tidak sepatutnya.


Di antara perkara yang sangat menghuduhkan Islam adalah bid'ah. Ianya satu perkara yang dimport daripada luar lalu ditempelkan dengan wajah Islam. Hanya kerana akar persamaan dalam beberapa hal dengan ajaran sebenar Islam, perkara itu diterima dan dikembangkan sebagai sebuah inovasi. Ia menjadi tazyin yang kononnya memperindahkan Islam, sedangkan hakikatnya ia merosakan ketulinan Islam yang dibawa nabi SAW.


Kita perlu cemburu jika ada orang buat bid'ah. Hanya persoalan melebelkan beberapa hal sebagai bid'ah itulah yang membawa sebahagian orang terlebih laju daripada lajak. Kekadang menumpahkan garam di atas luka. Para pencemburu hendaklah sentiasa bijak menarik handbreak ketika memandu di leburaya yang meliar di atasnya rumpai bid'ah. Mungkin di sana ada beberapa hal yang diberikan keuzuran atau pandangan mata kita kurang jelas dek kabus yang telabal di lebuh raya tersebut.


Kesesatan juga merupakan ancaman besar buat para salikin di jalan Allah. Syaitan selalu memikat melului pelbagai cara. Pada hematku, syaitanlah yang menghamparkan jalan buat masuknya pemikiran songsang ke dalam Islam. Masuknya najis falsafah hingga membuat "camouflage" dalam akidah Hakikat Muhammadiyyah adalah permainan syiatan. Syaitan mewahyukankepada para dajjalin yang kemudiannya diangan-angankan tentang ketiggian maqam.Lantas kita dengar bahawa kalangan para dajjalin itupun mendakwa ittihad wal hulul.

Banyak orang yang terpengaruh dan jadi taksub kepada para mambang agama. Ada yang sanggup korbankan segalanya demi para mambang agama itu. Mambang-mambang agama itu dianggap sebagai wali suci, orang yang mampu bawa mereka mendakati sidratul muntaha Allah. Hal ini berlaku bersilih sepanjang zaman. Korban-korbannya tidak pernah surut. Malah kian bertambah. 

Ada seorang ustaz hebat di negeri antah berantah. Banyaklah sudah dia menipu dalam derap langkahnya. Namun kerana penampilan luarannya serta kepetahan bicaranya, orang yang mengikutnya pun tidak sedar. Mereka seperti tersihir. Orang yang kena sihir, ruqyah apa yang mampu membebaskan mereka. Tambahan pada ketika akal hilang fungsi. Seruan Allah berulang kalai dalam Quran , "Afala ta'qilun" dan "Afala Tatafakkarun" tidak lagi memberi makna buat orang-orang yang tersihir.

Datanglah ulama rabbani yang hebat menyedarkan mereka yang terpesona oleh mainan dajjal bertopeng agama, belum tentu berhasil. Hatta, diandaikan, datanglah nabi Muhammad SAW menjelaskan kepincangan matbu'nya,pun akan berdolak daliklah dengan seribu alasan.

Hinggalah apabila kecemburuan dunia datang, timbullah kesedaran. Ustaz yang hebat itu didapati membangunkan kekayaan melebihi ornag lain. Dia ada rumah agam yang bernilai jutaan. Orang yang selama ini taksub kepadanya pun rasa cemburu. Cemburu dengan dunia sang ustaz penyihir. Bukan cemburu terhadap dongeng agama yang dia contengkan ke wajah Islam. Tidak jadi hal kalau agam dikeronyok sekalipun. Apa yang jadi hal ialah apabila dunia ustaz itu melonjak dan luar biasa.

Maka, itulah...dalam banyak kes, kecemburuan dunia lebih menyedarkan orang berbanding kecemburuan agama!



Monday, June 06, 2022

Dhamir kesesatan Batiniyyah lebih besar.

Beberapa isu yang menggemparkan khalayak lewat terakhir ini berhubung pegangan agama berasaskan akidah ahli sunnah waljama'ah, hanyalah ibarat pepatah Inggeris "the tip of the iceberg". Apa yang muncul itu hanya sebahagian kecil daripada bahagian yang tersembunyi. Apa yang menggemparkan itu hanyalah sekelumit daripada kesesatan dan kebatilan yang tersimpan.

Ajaran yang berorientasikan kebatinan telah menjadi duri dalam daging bagi kemurnian Islam sejak zaman berzaman. Di atas panggung sejarah Islam, sejak zaman selepas Rasulullah SAW wafat, telah bermunculan ajaran-ajaran yang pelbagai di mana ia menyalahi ajaran Nabi SAW. Dari kesalahan yang dapat dilihat dengan jelas pada zahirnya, hinggalah kesalahan yang tersembunyi dalam batin. 

Para peneliti sejarah telah menemukan bahawa kemuculan penyimpangan Islam dari dimensi batinnya mula diterokai oleh kelompok Syiah Ismailiyyah. Kelompok ini adalah pecahan daripada Syiah Ithna 'Asyariyyah dalam soal menentukan siapa IMAM setelah meninggalnya Jaafar Sodiq. Ithna 'Asyariyyah mendakwa bahawa Musa Al-Kazimlah penerus legasi keimaman Syiah, manakala ada sekelompok lain mendakwa bahawa Ismail bin Jaafar Sodiqlah yang menjadi pewaris keimaman Syiah. Mereka inilah yang dinamakan Syiah Ismailiyyah yang menjadikan setiap yang zahir ada batinnya. Nas Al-Quran maupun hadis ada sisi zahirnya dan ada sisi batinnya. 

Ajaran Syiah Ismailiyyah ini meresap dan dikembangkan dari semasa ke semasa sebagai racun berbisa dalam tubuh Ummat Islam. Ia bukan sahaja mempengaruhi firqah Syiah tetapi juga kalangan kumpulan Ahli Sunnah. Aliran-aliran dalam tasawwuf paling terdedah kepada pemikiran bercorak kebatinan ciptaan Syiah Ismailiyyah ini. Ajaran kebatinan Syiah Ismailiyyah ini mendapat lonjakan besar pada zaman ia dipimpin oleh Abdullah bin Maimun Al-Qoddah. Dia adalah pengembang teologi batiniyyah Ismailiyyah. Kemudiannya dari kelompok Syiah Ismailiyyah inilah muncul pula kumpulan Qoramitah apabila Syiah Ismailiyyah dipimpin oleh Hamdan bin Qarmut. Qoramitah menjadi semakin jauh tersesat dari Islam.

Ajaran-ajaran batiniyyah ini kemudian berkembang dan melebar serta menambahkan koleksi-koleksi baru dalam kepercayaan dan pegangan. Ia dianut oleh kebanyakan ornag yang terjun dalam dunia tasawwuf. Pada fasa-fasa seterusnya, bersama kemunculan aliran tasawwuf yang bersifat falsafah, ia bercampur aduk dengan ajaran batiniyyah. Hasilnya muncullah konsep dan kepercayaan yang ganjil ditempelkan kepada Islam.

Hari ini kita dengar konsep maratib kewalian yang pelbagai. Hal-hal kepercayaan berkenaan kewalian merangkumi satu pakej yang saling berkait. Para wali dilantik. Para wali punya kerajaan di alam batin. Para wali punya wewenang memerintah dan mentadbir alam ( Tasarruf). Para wali ada kasyaf, ladunni, amalan suluk, ahwal, syatahat dan Nabi Khidr adalah kerencaman pegangan batiniyyah yang berhubung dengan konsep kewalian. 

Kita juga dengar ada orang dakwa bertemu dengan nabi Muhammad SAW secara yaqazoh. Ada orang membawa akidah wehdatul wujud. Ada yang menebarkan keyakinan berasas akidah hakikat muhamamdiyyah. Ada orang bercakap mengenai tanasukh al-Arwah. Ada yang bercakap mengenai Ismur-Ruh. Sampai kepada dakwaan bahawa nabi Muhamamd bukan manusia tetapi adalah Allah. 

Semua yang yang sampai kepada kita berhubung tafsiran batini terhadap agama, kepercayaan pelik dan dilebelkan sebagai hakikat dan makrifat untuk mempercantikkannya, HANYALAH "the tip of the Iceberg" daripada anasir kebatinan yang tersimpan. Kalaulah isi kitab Fususul hikam karya Ibn Arabi dibongkar atau jadi panutan orang, alangkah berseliratnya kekarutan batiniyyah yang akan kita saksikan. Apa yang direkodkan dalam kitab "Al-Insan Al-Kamil" karya Abdul Karim Al-Jili pun sudah pasti akan membingungkan. Di dunia nusantara ini, ada kita semisal Hakikat Insan yang dinisbatkan kepada Ahmad Laksamana. Ada lagi beberapa kitab kebatinan lain yang jadi Zabur para pengemban batiniyyah.

Di bawah paras permukaan yang kita nampak, tersimpan kekufuran besar batiniyyah yang tidka berani dilonjakkan oleh mereka yang mengaku AHLI HAKIKAT. Kononnya atas dasar ilmu itu tidak mampu ditanggung oleh awam.

Sunday, June 05, 2022

Bahaya solawat dijaharkan dalam ucapan

Suka mempamerkan amal soleh membawa resiko buruk kepada amal itu sendiri. Apa yang disangka baik, mungkin akan menjadi sia-sia. Penyakit riyak, takbur, ujub dan sum'ah boleh hinggap pada amal yang diperlihatkan kepada orang. Hal ini perlu ditakuti oleh setiap orang yang beramal. Hal ini menjadi perhatian orang yang benar tasawwufnya.

Kerana itu, zikir dan wirid sebaiknya dibuat secara sirr. Tidaklah lebih baik zikir dan wirid dibuat dengan jahar kecuali dalam situasi tarbiah buat para mubtadi'in.

Solat tahajjud dibuat pada malam hari secara nafsiyyah. Tak perlu buat program qiamullail. KECUALI dalam rangka tarbiah buat para mubtadi'in!

Kalau anda suka solawat kepada nabi, tak perlu buat majlis solawat. Gempak seluruh negara buat majlis dan lebelkan sebagai Majlis Solawat. Di situ anda riuhkan dengan solawat. Solawat itu amal nafsiayyah yang bukanlah baik dipertontonkan. Solawat itu nak cari pahala, nak Allah balas solawat kita yang sekali dengan 10 solawat. Kalau itu yang kita nak, buatlah kerana Allah. Tanda kerana Allah itu ialah dijelmakan dalam bentuk tidak suka kalau orang tahu. Susah hati kalau orang lihat.

Umumnya, amal yang ikhlas , seboleh-bolehnya disembunyikan oleh si pelakunya.

Apa cerita kalau mulut asyik bersolawat? Solawat itu pula dijaharkan. Biar semua ornag dengar. Biar semua orang tahu bahawa kau rajib bersolawat. Kau nak orang lihat dan tahu kau rajin bersolawat. Insya Allah , kau dapatlah yang kau mahu. Tapi, kau perlu tanya, apakah kau dapat manfaat yang dijanjikan oleh Nabi dan juga Allah melalui amalan solawat itu.

Amalan solawat atas nabi sangat bagus. Ia telah diangkat oleh nabi sebagai satu zikir yang muthmirah dan diberi pahala besar di akhirat.  Jika namanya zikir, hendaklah dibuat dengan tadharru' dan khufyah.  Apa itu Tadharu' dan Khufyah yang Allah sebutkan dalam Quran Surah Al-A'raf, ayat 205 ?


وَٱذْكُر رَّبَّكَ فِى نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ ٱلْجَهْرِ مِنَ ٱلْقَوْلِ بِٱلْغُدُوِّ وَٱلْءَاصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْغَٰفِلِينَ

Tadharu' dan khufyah itu dijelaskan selepasnya dengan sifat " tidak menjaharkannya dengan perkataan".

Itulah...dalam kita buat amal, ada syaitan yang buat tazyin. Hingga kita sangka amalan kita itu baik.Kita selalu menjaharkan solawat dalam bicara kita sampai seantero alam tahu kita bersolawat. Solawatt yang sepatutnya jadi zikir sudah jadi dikir. Kalau sudah dikir, apa nilainya? Nilai apa ada pada dikir barat? Jadi pahalakah ia macam zikir yang Nabi ajar?

Kerana itu, kalau benar mahu bertasawwuf cara nabi, cara sahabat dan salafus soleh , sembunyikan amalan solawat anda. Jangan pertontonkan kepada orang. Jangan biar orang dengar solawat anda. Dalam hal ini, tujuan daripada jalan sufi malamatiah boleh diambil buat ditiru. Biar orang kata anda tak pernah solawat. Orang kata lidah anda berat nak solwat. Tengah malam, anda solawat perlahan-lahan. Biar beribu malah berjuta, tak siapa tahu. Kelak di akhirat, anda dan orang lain terkejut dengan pahala solawat anda. Anda yang dulu di dunia dicela dan dikutuk orang sebagai malas bersolawat.

Sementara yang rajin meratib solawat dengan jahar, itu belum tentu. Sangat besar fitnahnya yang ditempanya dengan cara itu. Hatinya boleh tergelincir kepada riyak atau ta'ajub. Lebih bahaya kalau jadi takbur. Sia-sialah!

Sebab itu, orang yang selalu bersolawat dalam ceramah, nak kuberitahu....sebaiknya tinggalkan kebiasaan itu. Tak ada kebaikan buat dirimu dalam kebiasaan itu. Ceramah pun jadi lambat dan susunan ayat pun jadi sukar ditulis dalam teks.Lihat ceramah ulama-ulama hebat, kalam mereka setiap patahnya bila ditukar menjadi teks, ia menjadi nazom yang indah dibaca!

Sekian wasalam.


Tuesday, May 10, 2022

Melebelkan orang dengan WAHABI

Melebelkan orang yang tidak sejalan fikir dengan diri kita sebagai WAHABI adalah perbuatan yang menjerumuskan diri sendiri ke dalam kefasikan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 11:


وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ

Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman.


Hari ini, gelaran ini sering dilemparkan kepada seornag yang berbeza pandangan dalam agama dengan si penuduh. Tanpa sedar, orang yang menuduh itu telah menjerumuskan diri ke dalam kumbahan fasiq. Berbagai-bagai lebel di tudingkan sesama muslim. Semua itu adalah lambang kemerosotan akhlak yang menjuruskan diri kepada kebejatan kafasikan.

Jauhilah melebelkan orang dengan gelaran keji.

Allah lebih mengetahui siapa yang bertakwa di kalangan kamu!

Friday, May 06, 2022

Ayah belum tentu cukup mengenal anaknya

Rata-rata ibu dan bapa beranggapan mereka cukup mengenal anak mereka. Walaubagaimanapun, ramai yang kandas dalam mengenali anak mereka itu. Setelah sampai satu peringkat, berlakulah sesuatu yang mengubah anggapan tersebut. Barulah ibu bapa itu menyedari bahawa mereka tidak cukup mengenali anak-anak mereka sendiri.Walaupun anak itu sehari-hari bersama mereka, apa yang bergelut dalam hati mereka tidak cukup difahami oleh ibu bapa. Bila sampai masanya , melantun keluarlah pergelutan dalaman itu. Mungkin ia mencuat dalam bentuk protes, pemberontakan atau tindakan yang tidak disangka-sangka.

Seseorang pernah berkata kepadaku: "saya duduk setiap hari bersama anak saya ustaz...saya lebih mengenal anak saya".

Ternyata selama 2 tahun terakhir, dia seumpama dihipnotis oleh anaknya sendiri. Apa yang dikatakan bahawa dia cukup mengenali anaknya itu tidak benar. Mungkin boleh dimomokkan bahawa anaknyalah yang terlebih mengenal ayahnya itu.

Anak yang lahir dari sulbi kita, hendaklah kita anggap lebih cerdik daripada kita. Apabila kita anggap demikian, kita tidak akan underestimate mereka. Mengatakan bahawa kita cukup mengenal anak itu, sama ada luar maupun dalamnya adalah satu bentuk manifestasi underestimate ke atas anak.

Thursday, May 05, 2022

Ahli Maksiat yang disucikan!

" Tiadalah kemuliaan (karamah) melainkan kepada orang mukmin yang bertakwa!"


Tatkala ada orang yang berbuat fasiq, lalu zahir pada dirinya bebeapa hal yang luar biasa, maka jangan sekali-kali anda mendefinisikan perkara luar biasa itu karamah! Demikian, jika seorang itu meninggalkan mana-mana syariat yang ditinggalkan oleh nabi Muhammad SAW, maka orang itu jelaslah kefasikannya.  Orang yang meninggalkan kewajipan agama atau ceroboh pagar keharaman agama, lalu mencelupkan diri dalam kancah maksiat, orang seperti itu tidak patut diangkat darjatnya atas alasan apapun. Tidak dengan alasan sebagai wali malamatiah dan tidak juga murjiah moden bahawa Allah melihat  hati dan bukan luaran.


Di kala ada seorang agamawan berbuat fasiq, maka dosanya lebih besar daripada orang jahil yang bebuat maksiat. Setinggi manapun kedudukan agamawan itu, miski mencecah kedudukan sebagai seorang mufti dan ulama, jika maksiat jadi cecah asamnya, dia tidak perlu dimuliakan. Jika orang lain perlu jaga diri dari fitnah, maka agamawan itu lebih perlu jaga diri dari fitnah.Tidak boleh atas alasan bertasawwuf dengan kaedah malamatiah melalui menceburkan diri dalam maksiat. Itu bukan jalan nabi. Itu mungkin jalan pendeta, rahib dan resi. Dulu, sebelum Islam dibawa nabi, manusia yang menghinakan diri dengan kebejatan agar dicela orang, sudah pun ada. Kalau manhaj itu yang dipilih, tak usah mengaku-aku berada di atas jalan Islam agama kenjeng nabi!


Itu satu kemungkinan orang cerdik seantero alam itu melakukan kebejatan itu. Kemungkinan itu pun tidak boleh diwajarkan, apatah lagi sebab-sebab lain yang ditelah. 

Saturday, April 09, 2022

Kemengarutan dalam agama

 Telah sampai kepadaku satu khabar. Tatkala matilah seorang hamba Allah di sebuah kampung, beberapa hari setelah matinya hamba Allah itu, anak si mati itu pun pergi bertanyalah seorang ustaz di kampungnya tentang fidyah puasa ayahnya. Apakah ayahnya perlu melangsaikan fidyah puasanya? Maka ustaz itu pun membuat anggaran fidyah puasa yang perlu dijelaskan untuk al-marhum. Dengan mengambilkira andaian setiap tahun 7 hari puasa ditinggalkan sejak umur baligh dan sampailah ke usianya meninggal 73 tahun, maka jumlah yang perlu dibawayr adalah sekitar RM24 ribu. Bagaimana boleh sampai kepada jumlah itu sedangkan fidyah puasa yang ditinggalkan adalah secupak beras untuk sehari. Nilai secupak adalah RM4. Kalau mengambilkira hari puasa Ramadhan yang mungkin ditinggalkan si mati sejak umur 15 tahun dan dia mati pada usia 73 tahun, maka jumlahnya adalah 406 hari.

Jumlah itu adalah untuk 58 tahun. Oleh kerana feqah yang dianut oleh sebahagian orang, puasa yang tidak diqada dan ia melewati ramadhan tahun berikutnya, hendaklah digandakan, maka juml;ah cupak yang perlu difidyahkan bukan lagi 406 cupak.Tahun pertama pada usia 15 tahun sebanyak 506 cupak. Tahun kedua  pada usia 16 tahun dengan gandaannya ialah 399 cupak. tahun ketiga pada usia 17 tahun 392 cupak. Begitulah dikira seterusnya. Seperti itulah mereka mengiranya. Namun, cara pemgiraan itu agak sulit dan tidak dapat mencapai angka bayaran fidyah yang tepat apabila bilangan hari puasa yang ditinggalkan tidak sama setiap tahun.

Maka mereka yang tertentu telah membuat culculator fidyah yang boleh didapati dalam lama web tertentu seperti dalam laman web Aman Palestin.https://ga.amanpalestin.co/kempen/fidyah-3/kalkulator-fidyah-3/

Aku telah membuat teguran keras kepada seorang yang bertanyaku tentang masalah ini. Pertama sekali, aku tanyakan kepadanya, si mati yang kau kenal, apakah dia kaki ponteng puasa?

Katanya, setahunya, dia seorang yang tidak meninggalkan puasa. Boleh dibilang orang soleh Namun masa mudanya, tak tahulah. Masa itu, dia pun belum lahir. Dia takut si mati ada meninggalkan puasa pada waktu muda belianya. 

Aku katakan bahawa kamu telah membuat perasangka buruk ke atas si mati. Hukum hakam tidak boleh dibina atas  sangkaan.Kalau kamu sendiri tidka rela diri ditohmah suka meninggalkan puasa, demikianlah ornag lain. Kalau kamu mati nanti, apakah kamu mahu ornag anggap kamu meninggalkan puasa dan perlu difidyahkan??

Ini perkara pertama yang perlu kamu selesaikan. Jangan pakai agak-agak. Si mati telah hidup sampai umur 73 tahun dan dia telah melakukan yang terbaik dia mampu buat agamanya. Kenapa haris ada ornag kemudian membuat justifikasi palsu atas agamanya? Tanyalah juga pada ustaz yang buat andaian kiraan tersebut. Apakah dia ada meninggalkan puasa ramadhan. Kalau dia sendiri mati nanti, ada fidyah yang perku dibayar oleh ahli warisnya atau tidak. Demikian, tanya juga tok-tok guru yang mengenakan hukum fidyah sedemikian buat warga. Apakah kelak mereka mati, waris mereka perlu bayar fidyah puasa buat mereka. Mana tahu, masa muda tok-tok guru itu pernah tinggalkan puasa. 

Hukum kalau nak pakai agak-agak, buatlah agakan untuk semua orang tanpa kecuali. Kita semua bukan nabi dan hukum yang datang dibilas ke muka kita semua. Tidak kira siapa engkau.

Cerita fidyah puasa seperti ini adalah kemengarutan dalam agama yang difatwakan oleh agamawan yang tidak berpegang teguh dengan contoh tauladan yang nabi tinggalkan. Juga dengan teladan salafus soleh.

Kalau sudah jelas si mati sakit dalam bulan Ramadhan dan tidak puasa, barulah hukum fidyah itu timbul. Itupun hukum bayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan melangkau tahun semasa tidaklah perlu digandakan. 

والقول بلزوم الفدية هو قول الجمهور مالك والشافعي وأحمد ومستندهم في ذلك فتوى أبي هريرة وابن عباس به, ولا يعرف لهما مخالف من الصحابة, ويرى أبو حنيفة والبخاري وجماعة من العلماء عدم لزوم الفدية لأن الله إنما أمر بالقضاء في قوله: فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ {البقرة 184} ولم يذكر طعاما, والأول هو الراجح لما ذكرناه من فتوى الصحابة به, والفدية لا تسقط ولا تتضاعف وإن تعددت سنوات التأخير، فالواجب ما ذكرناه من إطعام مسكينٍ عن كل يوم, وأما هذه الأيام الزائدة التي صمتها فتكون في حقك نفلا، ولن يضيع عليك ثوابها لأن الله لا يضيع أجر من أحسن عملا






Wednesday, April 06, 2022

Bejat politik itu

 Politik Malaysia ini sudah pening lalat. 

Baru ludah, ludah dijilat semula. Para ahli politik jadi katak yang berlompatan. Masing-masing tubuh parti dan meletakkan target nak jadi Perdana Menteri.

Baru berapa tahun sahaja Bersatu ditubuhkan setelah berpecah terserpih daripada UMNO. Daripada Bersatu itu terserpih pula Pejuang dan juga Muda. Dulu PKR terbentuk dan bolehlah dikatakan ia terserpih daripada UMNO juga. Tahun lepas ada satu parti terbentuk hasil serpihan dengan PKR. Parti Bangsa Malaysia.

Bersatu yang terserpih daripadanya Pejuang kini diura-urakan mahu bersekutu pula dengan Pejuang.PKR dengan Amanah dan Dap nampaknya dalam keadaan tidak menentu. Entah esok atau lusa Pakatan Harapan hanya tinggal nama. 

Pas yang dulu nampak beriya-iya mahu bersatu dengan UMNO demi perpaduan ummah, kini sudah mula terguris dan bercakar makar halus permusuhan.Menjelang PRU 15, tidak nampak Pas dan UMNO akan bersekutu lagi. Sementelahan dalam keadaan Pas masih bersama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Syeikh Said An-Nursi berkata: Aku berlindung daripada Syaitan dan Siasah!

Tuesday, March 15, 2022

Hatimu bergolak atas air

YB Khairuddin Aman bin Razali telah mengisytiharkan dirinya berhenti jadi ahli PAS kelmarin. Tindakannya mengundang reaksi yang berbeza-beza di kalangan ahli PAS yang istiqamah. Sebahagiannya berlapang dada dan menerimanya dengan hati terbuka. Namun, tidka kurnag pula ada yang menyindir dan ada yang marah serta mengungkit sumpah bai'ah yang telah diucapkannya serta menuntut perletakan jawatannya sebagai MP Kuala Nerus.

Seharusnya, setiap daripada kita mengambil pelajaran daripada peristiwa ini bahawa politik adalah satu permainan seribu angkubah. YB Khairuddin bukan ahli biasa. Dia, bahkan adalah bekas SU Majlis Syura Ulama di mana dalamnya di susun atur pola dan corak kepimpinan Pas. Kalau masih boleh diingat, terkeluarnya belasan pimpinan PAS sebelum ini yang membawa kepada tertubuhnya Amanah adalah hasil siasat majlis Syura Ulama dalam satu Muktamar yang diadakan di Kuala Selangor. 

YB Khairuddin adalah antara yang lantang menempelak para pemimpin Pas yang menjadi murtad jemaah pada masa itu.

Hukum selalu berputar dalam pusingan. Hari ini hari mereka, entah esok hari kita. Kerana itu sesiapa yang hari ini berdiri sebagai ahli Pas yang istiqamah , usah mendabiq dada atau mencemuh yang lari daripada perjuangan. Kita perlu ubah pola pemikirna kita bahawa parti adalah sebuah medium menjalankan tugas untuk agama, nusa maupun bangsa. Jika tidak melalui satu wadah, mungkin ada wadah lain menanti. Kita tidka perlu menafikan peranan dan fungsi medan yang lain. 

Berlapang dadalah dengan semua orang sekalipun musuh. Allah yang memgang hati setiap insan.

Saturday, January 29, 2022

Hukum jasa dan budi dalam politik

 Pada hematku, orang politik tidak berpegang kepada akidah jasa perlu dibalas. Malah, orang politik juga tidak beriman sama sekali bahawa dalam politik ada jasa. Kerana itu, jika seorang pemimpin politik naik kerana jasa seeorang, jasa itu adalah seperti tiada. Kerana apa yang dikatakan jasa dalam politik, ia hanyalah sebuah muslihat. Ia hanya muslihat enjit-enjit semut siapa sakit naik atas.

Hari ini ada orang bawah dalam politik. Esok dia mungkin naik atas. Masa sudah di atas, orang yang tolak dia ke atas atau tarik dia naik atas, itu hanya dilihat sebagai sebuah muslihat politik. Ia bukan sebuah bantuan melainkan hanya mempergunakan. Orang yang dipergunakan tidaklah memakan jasa orang yang menggunakannya kerana perbuatan mempergunakannya itu telah menjadi bayaran. 

Pada hematku, inilah hukum orang politik. Inilah yang dapat disaksikan  apa yang berlaku kalangan orang politik sejak zaman berzaman. Khalifah Abdul Malik bin Marwan pergunakan Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi. Hajjaj pula pergunakan anak saudaranya Muhammad bin Al-Qasim. Dia juga pergunakan  Abdul Rahman bin Al-Asy'asyt tapi kemudian berpaling melawannya.

Dr. Mahathir macam berjasa bawa Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan. Dia tonjol Anwar sampai naik atas tinggi melayut. Itu adalah untuk faedah politiknya. Kemudian, dua orang ini berseteru. Berahabat dan berseteru balik. 

DR. Mahathir sokong Paklah kemudian jatuhkannya. Sokong Najib kemudian jatuhkannya. Azmin sokong Anwar kemudian lawannya. Ahli politik lompat melompat dan lupakan jasa. Jasa tak ada makna dalam kamus ahli politik. Jasa Pas yang merawat itik UMNO juga tidak ada makna. Ini kerana UMNO pun boleh umpamakan pas sebagai geladangan homeless yang dapat rumah dengan jasa UMNO. Masing-masing boleh mengungkit jasa masing-masing.

Akhirnya, sebenarnya...tiada pun orang yang berjasa dalam politik. Budi adalah imbalan jasa untuk sebuah hasil buat diri sendiri.

Perjuangan untuk bangsa

 Dulu, berjuang atas nama bangsa dicop sebagai asobiyyah. Asobiyyah adalah dilarang oleh agama. Dalam hadis, nabi diriwayatkan pernah berkata bahawa bukan kalangan ummatku orang yang asobiyyah. Kerana itu, para pejuang Islam takut kalau jatuh ke dalam asobiyyah. Pejuang Islam tak angkat nama bangsa dalam perjuangannya kerana takut terpalit dengan asobiyyah. Kalau sudah terpalit dengan asobiyyah, maka perjuangan itu jadilah nasionalisme. Nasionalisma berada dalam kandang yang sama dengan sekularisme, komunisme, kapitalisme atau isme-isme lain yang dicipta oleh manusia.

Itulah dulu. Dulu itu beberapa tahun yang lau. Sebelum teori-teori baru politik mengambil tempat. Kini sudut pandang mengalami anjakan. Perjuangan bangsa tidak lagi dilihat sebagai asobiyyah. Sudah ada orang mengangkat hadis nabi SAW yang menyatakan kecintaannya kepada bangsa Quraisy sebagai satu pengiktirafan kepada perjuangan demi bangsa. Ini kerana cinta bangsa membawa kepada perjuangan untuk bangsa. Tak mungkinlah satu orang mendakwa cintakan bangsanya tapi tak berjuang untuk bangsanya. Lantas, keluarlah ayat-ayat muluk bertebaran dalam masyarakat mengenai keutamaan bangsa.

Cintakan bangsa adalah sunnah nabi!

Bangsa Quraisy adalah pemimpin. Ertinya mana bangsa yang kuat seperti Quraisy, bangsa itulah berhak memimpin. Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayulah.

Perjuangan demi bangsa Melayu bukanlah asobiyyah, bahkan ia adalah perjuangan Islam kerana dalam Perlembagaan Malaysia diertikan secara sinonim dengan Islam. Yang namanya Melayu, agamanya Islam.Berjuang demi bangsa Melayu ertinya berjuang demi Islam. Dalam hal ini Perlembagaanlah jadi sandaran. Realiti bukan ukuran lagi. Kendati ramai melayu sudah murtad, nama bangsa Melayu tetap dikepilkan bersama Islam. Melayu murtad bukan lagi Melayu. Kata sesetengan pentafsir perlembagaan di kalangan penyair-penyair jalanan.

Hari ini, parti yang pernah menjadi gendang Islam pun telah metekakan perjuangan bangsa sebahagian dari Islam. Bahkan, kekadang perjuangan bangsa mendominasi keadaan melebihi perjuangan atas nama Islam itu sendiri. Bersilat dengan perkauman ini ibarat berdansa dengan iblis. Sama ada menguasai atau dikuasai. 

Sedangkan Barsisa lagi tersungkur, apalah sangat yang lain...

Itik Patah kaki

Itu satu tamsilan. Itik patah kaki itu adalah Umno. Masa PRU14, Umno sangat lemah. Ia macam itik patah kaki. Nama aja itik, tapi nak berenang sendiri tak mampu. Kala itu ada yang hulurkan bantuan agar itik dapat berenang. Itulah penyu. Penyu yang tangkas di bawah air. Penyu yang banyak bertapa di pantai menelurkan soldadu. Penyu tolong itik berenang. Berenang dalam kolam. Berenang dalam sungai. Berenang dalam laut yang bergelora. Mujurlah, dengan bantuan penyu yang dihulurkan, itik dapat berenang melepasi semuanya. Bereneng dengan bantuan. Bantuan penyu yang tolong timbulkan cengkerangnya ke permukaan air buat itik berpaut. 

Kemudian, lama juga masa, itik pun sembuh. Itik mula cuba berenang sendiri dalam beberapa kolam kecil. Kemudian itik beranikan berenang di sungai berarus. Itik macam sudah bersedia berenang di laut bergelombang.

Itik sudah tak ingat jasa penyu. Itu sudah tinggalkan penyu. Penyu rasa tertipu. Rasa dikhianati. Itulah resam politik ananiyyah. Apa boleh buat....


Gurindam itik


Kalau itik patah kaki
janganlah anda lemah hati
kaki yang patah usah diubati
kaki yang elok patahkan sekali.


Bila itik patah kaki
sembelih masak buat kari
enak dimakan dengan beriani
perut kenayang tak sakit hati.


Itik binatang pandai berenang
tak akan lemas di air tenang
tak akan karam dipukul gelombang
Tidak berenang dalam kubang.


Kalau itik jadi angsa
suara kuat seluruh desa
siapa mendekat jadi mangsa
boleh terbang tinggi di udara.


Itik dicabar sangatlan dipantang
keluar kurungan jalan melenggang
Melenggang pulang perut kenyang
meyudu air acaq tak usah dilarang


Dulu aku telah tuliskan tentang hal ini. Sudah kuramalkan ini yang akan terjadi...

Baca:

http://abgkama.blogspot.com/2020/09/bangkit-menyusun-telapak-dewa.html

Thursday, January 06, 2022

Dakwa dakwi

 Kalau nak dakwa dakwi, macam-macam dakwa dakwi boleh dibuat. Biarlah sahaja ornag gila yang buat dakwa dakwi. Orang waras yang pula termakan dakwa dakwi orang gila. 

Ada orang dakwa jumpa nabi di Kota Mekah, dalam bilik hotel. Buat live dengan nabi lagi.

Ada orang dakwa saat kita tengah solat Jumaat di Malaysia, guru atau syeikh tertentu solat Jumaat di Makkah!

Ada orang dakwa mimpi naik ke langit, melawat syurga dan juga melawat neraka!

Kalau nak dakwa, tengoklah apa yang minah Saleh ini dakwa. Kau ada?

https://sajagempak.com/wanita-mengaku-pemilik-matahari-tuntut-bayaran-dari-setiap-manusia-di-bumi-yang-menggunakannya/?fbclid=IwAR2RArlL6CqQaLuiB0Wmh1TJLJ74aMCV5iuc_fnqp7dVZ-lEVj6AgkO_Xj4


Kalau kau dakwa ada nesyuarat para wali di bukit Qaf dan kau hadir sama di sana, minah saleh itu dakwa matahari itu dia yang punya? Semua manusia di bumi berhutang bil cahaya matahari dengannya!Haha.

Kau ada berani?

Sunday, January 02, 2022

Ruang bawah yang gelap

 Zaman dulu...

Masa aku masih remaja...duduk di kampung...

Di masjid Kampung Datuk, aku ada satu tempat rahsia. Dalam bilik stor tikar, di bawah para tempat simpan tikar, ruangannya gelap, aku buat tempat duduk seorang. Di situ aku tidur dan aku baca buku. Ruang gelap itu, hanya aku cerahkan dengan pelita minyak gas.

Thursday, December 16, 2021

Nasib penoreh

 Pagi tadi, masa aku tengah naik motosikal menuju kebun getah, rintikan hujan kekadang menimpa mukaku. Jam belum sampai 8 pagi. Sampai di kebun, aku menegur Talib yang sedang menoreh getah bersama isterinya. 

" Hujan dah rintik!", aku menyampaikan kepadanya tanpa mematikan enjin motosikalku. Laluan ke kebunku akan melintas deretan getahnya. 

" Kita buat kerja kita, hujan tu kerja Dia", balas Talib. Ada tawakkal pada jawapannya.

Aku mengiyakan dan ketawa kecil sambil berlalu pergi. 300 pokok getah yang telah dibuka beberapa hari yang lalu menantiku untuk ditoreh pagi itu. Aku tidak mahu membuang banyak masa. Cepat mula cepatlah habis. Kelmarin aku siap menoreh agak lewat. Mula jam 7.30 pagi, aku siap lebih jam 10.30 pagi. 3 Jam lebih. Kebiasaanku yang membawa parang sambil menoreh akan aku tinggalkan pagi ini. Aku tidak mahu membuat kerja sambilan menebas semak lagi. Itu akan melambatkan siap tugas menoreh. Hari ini, azamku hanya menoreh. 

Pagi ini aku akan merasmikan pisau toreh yang diasah oleh Zamberi, adik iparku semalam. Dia telah kuminta buatkan paruh pada pisau torehku. Pisau yang paruhnya tiada akan mengurangkan kesedapan menoreh. Ia juga akan memberi efek yang tidak bagus dalam mengalirkan susu getah pada torehan. Maka, dua bilah pisau yang kubawa pagi ini telah siap diparuhkan. 

Aku segera memulakan dengan semangat waja. Kumulakan barisan getah yang berdekatan dangau dalam kebun getahku. Deretan itulah yan paling menyeronakkan untuk ditoreh kerana sususnya deras. Derahan dekat dangau itu adalah deratan yang paling awal aku buka. Kesan torehan pun sudah banyak. Mungkin kerana sudah lama ditoreh, itulah sebab mengapa susunya deras.Mungkin juga kerana kawasan yang berdekatan dengan dangau, di situlah baja paling banyak dilambakkan. Kerana itulah pokok getahnya banyak susu.

Belum pun habis satu derat poko getah aku toreh, kedengaran rintikan hujan mulai menimpa dedaunan getah di atas kepalaku. Nampaknya resiko kerugian sudah dapat dicium baunya. Aku masih menaruh harapan agar hujan tidak akan lebat dan akan berhenti. Namun, titisan air sudah menima tanah. Justeru, aku berhenti menoreh setelah tiga barisan getah aku habisi. Adalah 50 pokok lebih. Aku melemparkan pandangan ke kebun sebelah. Talib nampaknya tidka terksan engan ancaman renjisan langit itu. Dia terus menoreh. Aku memngambil keputusan berhenti sekejap dan naik motosikal ke tanah atas bukit. Aku berehat di atas dangat tanahy atas bukit, disebelah kebuh getahku itu. Di tanah itu, getah yang ditanam belum mecapai usia setahun. Mungkin hampir setahun, kalau tidka salah ingatanku. 

Sekitar dangau atas bukit itu, aku tanam pokok-pokok buahan. Ada pokok nangka madu, cempedak, limau nipis, limau bali, limau kasturi, kelapa, amra, langkenang, petai dan durian. Aku tidka berharap banyak pada pokok durian kerana atas bukit itu tidak cukup air. Hanya ada lima tangki biru yang kusiapkan sebagai tadahan hujan. Itu pun bukanlah buat menyiram pokok. Hanya sekadar perlu kalau nak digunakan buat basuh tangan atau berwuduk untuk solat dhua di atas dangau atas bukit.

Berehat sebentar sambil makan sarapan yang kebelikan di pekan Kuala Nerang tadi, hatiku merasa serba salah. Hujan sudah lenyap. Rugi kalau aku tidak habiskan torehanku. Lalu, aku pun mengambil keputusan untuk kembali ke bawah, menyambung torehanku. Aku menoreh sampai jam 11.00. Hujung-hujung masa torehan, derapan halus hujan kembali kedengaran menimpa dedaunan di pucuk getah. Aku tidak peduli lagi. Aku terus menoreh sehingga siap. Namun, hari ini aku tinggalkan getah-getah dipenjuru hujung. Ada sekitar 20 pokok getah yang tidka menyentuh pisau torehku hari ini. 

Aku pulang lebih jam 11.15 pagi. Penatnya, alangkah...

Petang di rumah, hujan turun lebat. 

" Habislah torehan getah pagi ....", sambil melangut melihat hujan yang berjatuhan di padang depan rumah.

Nasib penoreh, itulah. Aku cuba menghayati kesusahan para penoreh. Syukurlah aku seorang guru yang hanya cuba menoreh. Cuba mengikut sekelumit kereja warisan yang pernah menjadi suap nasi yang ibu bapaku isikan ke perutku. Aku tidak terpukul kecewa dengan hujan petang sedemikian lebih daripada apa yang dirasakan oleh penoreh sejati.

Penoreh sejati yang menggung sugul dengan cuaca alam...Pak Menteri bukan mengerti keresahan mereka!

Tuesday, December 07, 2021

Ahli Sunnah Wal Jamaah

 Menggelarkan orang yang memperjuangkan Sunnah nabi sebagai Wahabi berlaku dengan rancak di bumi Malaysia pada masa kini. Siapa yang ajak orang kembali kepada Sunnah, akan dilebelkan dengan gelaran tesebut. Ironinya, pihak yang tidak memartabatkan hadis nabi yang saheh, sebaliknya menjadikan hadis-hadis daif, bahkan maudhuk sebagai hujah dalam pengajaran, dalam amalan dan dalam pendalilan mengaku pula ahli Sunnah. Ini satu hal pelik wal gharib. Sepatutnya, sesuai dengan nama ahli sunnah, maka sunnah yang diwarisi oleh para ulama hadis seperti tokoh-tokoh yang mearisinya perlu dijadikan andal.

Kita lihat, orang berandalkan mimpi, syatohat dan firasat serta laduni pula yang didendangkan sebagai ahlu sunnah. Sepatutnya berilah nama sesuai dengan sandaran mereka dalam agama. Ahlirru'ya misalnya. Ahli Firasat atau ahli mukasyafat. Biar mudah dikenali wadi mana kita berada.

Berebut-rebut mahu dipanggil ahli sunnah. Namun sunnah tidak dipelajari. Dasar ilmu hadis tidak diangungkan. Bahkan ada yang meremehkan kerja keras para muhaddisin sejak zaman berzaman dengan menghancurkan kepercayaan kepada prinsip ilmu hadis yang dikarang para tokohnya.

Belum lagi disuluh sudut istiqamah dengan jalan jamaah. Jamaah bukan jamaah hizbi atau tariqah yang dipegang, Sebaliknya jamaah adalah generasi sahabat, tabiin dan tabiit tabian. Merekalah generasi salaf yang mulia. Merekalah jamaah yang dimaksudkan dalam rangkai kata ahli sunnah wal jamaah!

Orang yang dakwa yaqazoh dengan nabi dipanggil ahli snnah?

Orang yang banyak bercerita pertemuannya dengan nabi khidir dan ajar zikir-zikir nabi khidir dipanggl ahli sunnah?

Orang yang ajak orang amalkan wirid dan solawat  yang tidak sampai jalan sanadnya kepada nabi menurut ilmu hadis dianggap ahli sunnah?

haihata haihata...

Siapa yang Allah berikan rasa cinta kepada sunnah nabi, itulah hadiah mahal di zaman fitnah ini. Dalam masa yang sama ada rasa benci kepada bid'ah yang direka dalam agama.

Sunday, October 10, 2021

MEMAHAMI KISAH FITNAH SI KITOL

Kisah ini berlaku di Kota Melayu pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud. Waktu itu bendahara Melaka bernama bendahara Seri Maharaja.

Pada satu ketika, berlaku krisis antara seorang saudagara bernama Nina Sura Dewana dengan seorang suadagar keling bernama Raja Mendeliar. Untuk menyelesaikan krisis mereka berdua, mereka pun pergi mengadap Datuk Bendahara Sri Maharaja. Oleh kerana waktu itu hari sudah hampir senja, bendahara suruh mereka pulang dulu dan esok datang semula untuk membicarakan hal mereka. 

Nina Sura Dewana berfikir pada malam itu bahawa dia akan kalah kalau berdepan dengan raja Mendeliar sebab raja Mendeliar orangnya sangat kaya. (Kayanya Raja Mendeliar hanya kurang sebahahara emas daripada Bendahara) Dia takut Bendahara disogok oleh raja Mendeliar. Maka, dia mendahului dalam kerja menyogok itu dan pergi bertemu bendahara pada malam itu juga.Beliau berikan rasuah sebanyak 10 kati emas (1 bahara) kepada bendahara dan bendahara tidak menolaknya.

Perbuatan Nina Sura Dewana itu diketahui oleh salah seorang anggota keluarganya. Seorang keling bernama Kitol. Kitol pun pergi bertemu raja Mendeliar dan memberitahu kejadian itu. Raja mendeliar merasa marah atas perbuatan Nina Sura Dewana. Dia merasa terhutang budi dengan Kitol yang membuat pendedahan itu. Hutang Kitol kepadanya pun dimansukhkan dengan mengoyak surat hutangnya. Raja Mendeliar pun membuat siasat balas. Beliau bawa satu bahara emas kepada Laksamana Khoja Hasan bersama beberapa inta permata dan pakaian yang indah sebagai hadiah. Dia menyampaikan khabar bahawa Bendara Sri Maharaja sedang membuat rencana menggulingkan Sultan Mahmud dan mengangkat dirinya sendiri jadi raja Melaka.

Laksamana Khoja Hasan pun membawa berita itu kepada Sultan Melaka, Sultan Mahmud. baginda pun menjadi murka. Kemurkahan itu sebenarnya sudah bersarang dalam hati baginda sejak pinangannya ke atas Tun fatiumah tidak diterima Bendahara atas alasan sudah ditunangkan dengan Tun Ali.  Tanpa usul periksa lagi , baginda menitahkan kepada Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara agar menjalankan perintahnya membunuh Bendahara Sri Maharaja bersama, Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung dan Tun Ali.

Kedatangan utusan Sultan ke kampung bendahara itu untuk menjalankan perintah raja cuba untuk ditentang oleh kaum keluarga bendahara. Namun, Bendahara Sri Maharaja yang berpegang pantang anak Melayu derhaka raja itu meminta mereka semua bertenang. Kemtiannya hendaklah direlakan. Maka dia bersama dengan 3 orang lagi itu pun dijatuhkan hukuman bunuh.

Setelah kejadian itu, Sultan menikahi Tun Fatimah. Baginda juga dapat tahu kisah sebenar dan fitnah yang menimpa Bendahara Sri Mahara. Maka baginda sangat menyesal atas titahnya yang usul periksa. baginda pun memerintahkan disiasat punda cerita fitnah itu. Akhirnya ia membawa kepada penangkapan Raja Mendeliar dan Si Kitol. Mereka dibunuh dan bekas tiang rumah mereka dicangkul buanh ke laut. Laksamana Khoja Hassan pula dihukum pecat dan harta dirampas kerana membuat laporan tanpa usul periksa. Sultan tidak membunuhnya kerana ada sumpah sebelumnya darahnya diharamkan.

Demikilanlah sebuah kisah yang diceritakan dalam Sulalatus Salatin ,Sejarah Melayu. Kisah yang orang sembangkan mengenai pengkhianatan Si Kitol. Khianat ke atas kerajaan Melaka yang membaw akepada terbunuhnya bendaharanya yang tidak berdosa.