CARI BAHAN

Thursday, February 12, 2015

Dedikasi pilu kehilangan TGNA.

Berpulanglah sudah
Seorang ulama terbilang
Guru siasah nan cemerlang
Hati ini berkeluh walang
Mendepani  kemelut hari mendatang.

Memang demikianlah hamba pilihan
Bila habis tugasan Tuhan
Memimpin negeri bernama Kelantan
Hidup berbaki dalam bilangan.
Pahala memimpin sudah berkurangan
Maka hayat bertemu kesudahan.

Adapun manusia bukan pilihan
Walau telah lepas jawatan
Umur masih lagi berlanjutan
Baki hidup menambah beban
Dosa bertambah siang dan malam.

Dia ulama berakal cemerlang
Cermat ijtihad menambah terang
Gelap ragu dapat dibuang
Dapat menambah yakinnya orang

Kehilangan ini di waktu berkabus
Sukar dicari seorang penerus
Sebuah legasi setegak turus
Tegak simbul bijak urus.

Esok belum dapat dipasti
Apakah kabus  sirna sebelum dini
Atau berlanjut hingga pagi
Tiba-tiba kita hilang seorang  murabbi

Semoga Allah  bawakan pengganti
Pacakkan harapan walau seratus tahun lagi.
 


Kita miskin sosok hebat.

Hakikatnya, tidak seorang pun pemimpin muda kita yang dapat berpencak dengan bergaya di pentas politik. Lebih malang lagi, kalangan yang menampilkan wajah penerus gerakan politik Islam, masih corot berbanding mereka yang bercakap dengan bahasa politik nasional maupun sekular. Khalayak sedang menonton dan menyaksikan gelagat serta mengukur kebijakan para pemuka yang sedang beraksi. Sayang sekali, ramai kalangan yang mendokong suara Islam dan agama  sebagai perjuangan masih mempamerkan kepongahan dan kedungguan.

Islam jauh dari kepongahan dan kedungguan. Islam mendidik para aktornya menjadi bijak laksana, sabar dan sentiasa berpandangan jauh. Para pendekar Islam bukan robot-robot yang dikaderkan untuk berfikir dan melaksanakan apa yang dicorak dan diwawaskan oleh para pendahulu. Seharusnya sosok-sosok yang membawa selogan perjuangan nabi adalah mereka yang mengkagumkan rakyat dari segi keperibadian dan wawasannya. 

Memang akan ada yang memusuhi dan memperlecehkan. Namun permusuhan dan perlecehan yang datang dari orang-orang yang waras dan ideal adalah satu kejanggalan buat pejuang hebat yang menjulang nama Islam. 

Muhasabahlah diri dan jangan merasa diri sebagai kaswari yang terbang bebas mulia di bawah langit dan atas awan gemawan.

Tuesday, February 10, 2015

17 tahun sudah berubah.

Aku telah tua
lelah kian terasa
17 tahun lalu bersilih masa
aku mendengar kicau margastua
kini diganggu perkelahian serigala
malam aman hilang sirna
pejam mata tak juga lena.

Kembali bersenandung rintihan ungka
dari kebuasan perut belantara.

telah sirna merdunya sintar
masjid agung bertukar menjadi pasar
rumah dibina lantainya gelegar
panah meluncur tidak dari busar.

Hinggusan merangkak kini sudah berpencak
sudah bersilat berdika jalak
pasang kekuda di bumi terpacak
ke langit tinggi telunjuk tegak.

Aku lelah membilang bilah
17 tahun lalu...kini berubah
tingal memori indah
mengenang kenangan bersama gemulah.

Kampung lama kini berubah
kacang gila tumbuh menjalar sudah...

Anwar dijatuhi hukum bersalah.

Pada hari ini, Anwar Ibrahim diputuskan bersalah oleh Mahkamah Rayuan. Keputusan ini, barangkali tiada lagi signifikannya bagi sebilangan orang. Mereka sudah letih bergelut dengan Isu tuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim. Ia sudah berlarutan lebih 15 tahun dan seperti tiada akhirnya. Dari isu keadilan sejagat dan soal hak, ia kini terperosok menjadi soal peribadi Anwar Ibrahim. Demikianlah tanggapan sebilangan orang. Ada yang masih setia dan ada juga sudah berpatah arang. 

Dunia memang tidka akan menyelesaikan semua persoalan. Kalau soal keadilan dapat ditegakkan secara tuntas, bukan lagi dunia namanya. Baki dan sisa keadilan itu akan dicernakan pada hari muka di depan mahsyar Allah SWT.

Dunia ini pula hanya pusingan roda. Pada satu ketika, akan ada lagi mangsa yang dihadapkan dengan tuduhan liwat. Ketika itu mungkin syeikh dan maulana mana. Pada saat sudah ada precedent bagi kes untuk menyimpulkannya sebagai persoalan peribadi, pada hari tersebut pun akan berlaku yang sama. Ketika itu, anda akan mendapati diri anda tidak dibela dan anda akan mengeluh. Padahal orang lain akan berkata: "Itu soal peribadi kamu!".

Soal peribadi.

Aku hanya manusia kerdil. Bukan pemimpin panutan rakyat. Apa yang aku lakukan ia adalah soal peribadi. Tidurku tidak menyangkut siapa. Jagaku tidak dinanti pula.

Kiranya aku pemimpin panutan ramai, tentu hal-hal berkaitan denganku akan jadi soal rakyat. Sedihku akan jadi sumber air mata rakyat. Gembiraku akan merangsang semangat rakyat. Tidurku dan jagaku akan menyangkut hal rakyat.


Tentu tak sama soal-soal peribadi seorang rakyat biasa dengan soal yang dikatakan peribadi pada seorang pemimpin massa. Kepimpinan itu adalah penzahiran, maka bila dizahirkan, jadilah ia ia kepunyaan orang ramai. Seumpama dosa, selama tidak dizahirkan, ia jadi soal peribadi. Bila dizahirkan, ia akan jadi soal khalayak dan dosa itu wajib diperihatinkan.

Kerana itu, bila seseorang berbicara tentang soal peribadi seorang pemimpin, satu hal yang perlu disedari adalah, pemimpin amat sedikit sekali punya hal peribadi. Hal-hal yang dianggap terlalu peribadi pun menjadi hak rakyat dan pengikutnya.

Buang dinasour ganti dengan aligator.

Seruan Dr. Maza agar para dinasour politik disingkirkan dari persada politik dan digantikan dengan muka baru sememangnya satu impian politik yang muluk. Namun, ia bukan satu idea yang praktikal dan mudah untuk dilaksanakan. Jika politik itu sebuah kerjaya, mungkin idea itu bernas. Namun, jika politik itu jadi sebuah perjuangan, maka perjuangan tidak menamatkan hayat dinasournya.

Secara gampang lontaran Dr. Maza itu dapat dilihat merujuk kepada keberadaan berterusan Anwar Ibrahim dalam pesada politik. Itu mungkin merimaskannya. Namun, dinasour politik juga akan melibatkan TGHH, TGNA, Dr. Mahathir dan ramai lagi veteran politik yang masih bergiat di arena politik.

Kerana politik itu adalah dakwah bagi sesetengah orang, aku tidak menyetujui melebelkan semua orang lama dalam medan politik sebagai dinasour. Bukan hanya persaingan politik yang mengkucar kacirkan manusia, persaingan dalam dunia keilmuan juga memporakperandakan manusia. Jika dalam politik ada dinasour, dalam bidang agama juga akan ada dinasour.

Seruan supaya para dinasour berundur juga perlu diandalkan untuk para agamawan tua yang kini sedang berpaut ditali pemerintahan sebagai mufti, yang dipertua majlis dan sebagainya. Berikan peluang untuk muka baru.

Jika penglibatan jadi jalan cari makan, memang wajar disebut dinasour, Tapi jika penglibatan, dalam bidang apa pun, adalah untuk perjuangan, maka tidak haruslah pelakunnya digelar sebagai dinasour. Satu saat, bila kita tua, anak muda lain akan memanggil kita sebagai dinasour.

Jika saat itu kita seorang tua yang menjabat jawatan sebagai Yang Dipertua Yadim, mufti atau apa sahaja seumpamanya, relakah kita disebut sebagai dinasour.

"wahai dinasour...minggirlah, biar kami pula mengambil tempatmu!"

Satu masa kelak, kita bakal menjadi tua dan berubah jadi dinasour.

Sunday, February 08, 2015

Hilang keselamatan diri.

Kita sedang melintasi hari-hari yang penuh misteri. Dunia menapak ke hari-hari yang kian renta. Dua hari lepas, seorang gadis dibunuh. Namanya Shuhada. Kita dengar mengenainya dan dia disebutkan ramai orang sebagai gadis yang baik.

Tapi dia dibunuh orang.

Dunia menuju hari-hari akhir. Salah satu ciri dunia akhir zaman adalah banyak terjadinya pembunuhan. Banyaknya pembunuhan itu, hinggakan seorang yang membunuh tidak tahu kenapa dia membunuh. Mangsa juga tidak tahu atas kesalahan apa dia dibunuh.

Nabi SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لا يَدْرِي الْقَاتِلُ فِي أَيِّ شَيْءٍ قَتَلَ , وَلا يَدْرِي الْمَقْتُولُ عَلَى أَيِّ شَيْءٍ قُتِلَ

Demi Yang jiwaku di dalam kekuasaanNya, akan tiba satu zaman ke atas manusia, sang pembunuh tidak tahu apa sebab dia membunuh dan mangsa yang terbunuh pun tidak tahu kenapa dia dibunuh.
(Hadis Riwayat Muslim)

Suasana ini menggambarkan hilangnya rasa selamat dalam kehidupan. Hilangnya rasa selamat ini adalah petanda sirnanya pemerintahan yang diberkati. Ini dapat difahami daripada hadis nabi yang menyatakan bahawa pada saat Islam memerintah di dunia, seseorang boleh berjalan dari San'a ke Hadhramaut tanpa rasa bimbang. Hatta, kambing pun tidak risaukan ganasnya serigala.

Taat dan wala'

Ketika kalimah itu
disyairkan lalu
aku teringat para pendahulu
yang telah berwirid begitu
ketika mereka ditandu
wala' dan taat jadi lagu
dibaca untuk pengikut beribu
agar dipakai sebagai baju
jadi junjungan perjuangan nan satu.

telah banyak melontar wala'
banyak sekali penuntut taat
kala rasa mula bergolak
janji setia tega disiat.

Kerana itu
lagu wala' senandung taat
dipandang kini hanyalah alat
untuk golongan bersila makrifat
sebagai pendeta telunjuk malaikat.

Generasi baru
tidak lagi berbahasa leluhur.

Kenapa teman perjalanan menyepi?

Kali ini, aku nak menyatakan satu falsafah hidup. Tak perlu terjah untuk memahami maksudnya. Fikir sahaja dan apa yang mampu ditafsirkan, tafsiran itu adalah sah. Ia bebas.

Aku mahu berkata:" Kalau kelmarin kau berjalan sendirian, maka janganlah hari ini mengharapkan akan ada orang menemanimu".

Itulah falsafahku. Falsafah ini tentunya berkaitan dengan orang yang hidup. Tak berguna kalau hanya menyangkut orang yang sudah mati. Tak berfaedah juga untuk tidak mengaitkan yang masih hidup atau telah mati

Hati bernanah sakit

Sahabat...
ucapkan kalam malaikat,
usah bicara bahasa musibat.

sumpah amarah umpat
hanya terbit dari hati yang zulmat
dari jiwa hitam pekat
penagih madat yang terkulat.

Sahabat...
usah terpesona tarannum syaitan
usah terpana pujangga dendam
tak akan kumbahan menebar haruman

Jika berbahasa lurus berkait
sambil mengusap telunjuk menjentik
itulah hasil jiwa berpenyakit

Dari jiwa yang suci
tak akan lahir caci maki
walau mengaku wali suci...

Tuesday, February 03, 2015

Berhentilah bergaduh.

Pergaduhan PAS-DAP dalam isu-isu picisan akhir-akhir ini cukup membosankan. Pemimpin kedua-dua parfti itu nampaknya masih menyimpan penyakit lama yang mereka warisi sebelum terbentuknya Pakatan Rakyat. Penyakit itu ialah penyakit tidak boleh duduk berbincang dan saling berperasangka. Natijah daripada penyakit itulah, maka hari ini kita sedang menyaksikan episod-episod yang membawa kepada retaknya Pakatan Rakyat.

Rakyat bukan mahu dengar ocehan-ocehan mengenai apa yang ditimbulkan. Rakyat mahu lihat para pemimpin bersatu dan cerdik bermain politik. Bergaduh dan bertengkar, sudah kerap kali disaksikan sejak zaman hinggusan lagi. kanak-kanak bergaduh merebut biji guli. Remaja bergaduh merebut pasangan cinta monyet. Bila dewasa, berebut nak dapat laba dan keuntungan. Sekarang, dalam politik pun asyik bergaduh?

Aduh!



Saturday, January 31, 2015

Aku wali

Aku wali
jiwa suci
jangan dicemari
kotoran daki
bawalah pergi
yang dengki
yang iri hati
yang bangga diri
yang tak bertakhalli
yang tak bertahalli
yang tak bertajalli

Biar aku panjat mikraj ini
aku seorang sampai muntaha
tidak mengapa

Batu Jemala

Tiba-tiba
batu jemala
kembali menjunjung daulat
mencium duli
tunggul keramat
setelah belajar faham makrifat
setelah minum serbat nubuwwat

setelah berjalan seribu masafat
kembali menyapih warisan berkarat
setelah menapak banyak harakat
kembali masyghul baca hikayat.

sangkaku yakin sudah bertempat
rupanya ragu masih melarat!

Monday, January 26, 2015

Perihal Cadangan Larangan Merotan.

Memang merontan anak untuk tujuan mendidik anak bukanlah bahagian terbesar dalam metodologi pendidikan anak-anak. Kenangan masa lalu dipukul ibu bapa sehingga kini memanusiakan kita bukan cerita hikayat yang boleh dibanggakan. Umumnya ibu bapa yang memukul anak-anak pada zaman dulu adalah atas dasar tanggungjawab mendidik walaupun ada kes-kes mereka melewati batas yang dibenarkan agama. Bukan contoh yang baik apabila mengenangkan ada ibu bapa zaman itu yang balun anak tak mahu mengaji quran dengan pelepah kelapa dengan kebengisan yang menggerunkan. Anak-anak melaksanakan perintah ibu bapa dengan rasa takut dan di mata anak-anak, ibu bapa dilihat laksana singa dalam keluarga.

Namun kini, ramai ibu bapa yang hilang sifat rahim sebagai ibu bapa. Kita sering dengar anak-anak didera sehinggakan kanak-kanak kecil dalam asuhan pun didera penjaga tanpa peri kemanusiaan. Watak ibu bapa zaman kini tidak macam dulu lagi. Sifat kebinatangan banyak meresap.

Barangkali kerana itu timbul idea untuk halang ibu bapa merotan anak-anak.

Niat mulia untuk jaga hak kanak-kanak itu kita sanjungi. Demikian pula, niat mulia mereka yang membela kebolehan merotan anak-anak untuk tujuan ta'dib, kita amat sanjungi. Hanya di antara dua situasi itu, ada situasi yang menyimpang. Ada yang ta'til dan ada tafwit. Maka Islam sepatutnya dengan manhaj tausit.

Mereka yang membela hukuman rotan, tidak boleh anggap rotan sebagai perkara utama dalam pendidikan. Nilaiannya sekecil peratusan hudud dalam konsep negara Islam. Ia tidak melebihi daripada 0.1%.

Mereka yang bantah perbuatan merotan anak-anak, janganlah tutup terus hak ibu bapa merotan sehingga dalam semua keadaan, perbuatan ibu bapa merotan anak-anak disabitkan sebagai jenayah.

Sebab itu, ura-ura untuk menjenayahkan ibu bapa yang memukul anak-anak masih terlalu awal untuk ditentang. Saya belum dengar penjelasan terperinci mengenai batas dan had yang mahu diaplikasikan dalam negara kita. Belum terdengar lagi bahawa kesalahan merotan anak-anak itu akan diduplikat daripada contoh negara Sweden.

Saya harap kita mengambil jalan waqar dengan tunggu dan lihat apa sebenarnya yang diinginkan oleh menteri wanita itu. Mungkin niatnya baik, cuma latah kita berlebihan. Dia baru menimba lubuk secebok, tetapi ikan-ikan sudah berlompatan cemas.

Tuesday, January 20, 2015

Janji YB


Aku dengar
jambatan emas akan dibangunkan
dari Kota Melaka ke puncak Gunung Ledang.
kisah legenda kembali dikumandang
peduli apa kalau temberang.

Berjanji...
boleh seberapa tinggi
janji buat jambatan ke Pulau Banggi
atau bina rumah kos tinggi
di planet musytari....

YB...
sungguh asyik kau bersyair menebar setanggi....

Friday, January 16, 2015

Hiduplah semahumu.

Kisah Sirul dan Azilah yang dituduh membunuh Al-Tantuya kini berkocak lagi. Bebberapa tahun lalu mereka dibebaskan mahkamah daripada sabitan kes tersebut. Lantas, rayuan dibuat atas keputusan itu. Terkini, mereka kembali dijatuhkan hukuman mati. Hampir seluruh rakyat Malaysia sudah meyakini bahawa merekalah algojo yang membunuh Altantuya. Hanya berlaku kesamaran tentang dalang yang berpanca sitara di belakang layar. Ia masih menjadi cerita-cerita misteri yang tidak dapat terdedah.

Rasanya, dalam dunia ini akan berlalulah bebilah harinya dan dalang dua algojo itu tentap akan menjadi misteri. Kelak, di mahkamah Allah SWT, warga mahsyar akan mendapat tahu. Betapa cermat tabir ditutup, ia hanya sekadar episod pendek dunia.

Sirul dan Azilah berada di luar negeri. Mereka dibela pula oleh kerajaan Australia. Nyawa mereka yang diputuskan halal direnggut oleh mahkamah di Malaysia nampaknya masih cuba dilanjutkan. Maka, untuk mereka berdua, kita katakan, hiduplah semahumu. Satu hari kamu akan mati juga. Betapa jauh lari menggendong dosa membunuh Altantuya, kelak akan ditampar juga oleh Malakatulmaut. Sirul dan Azilah tidak akan mampu bertahan dan mengepung nafas hayat mereka.

Di Mahsyar, mereka berdua akan menuduh tuan mereka yang bijak main makyung di dunia dan masing-masing cuba berlepas diri. Lalu, saat itu itu mereka akan berkata:

يَا وَيْلَتَى لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلانًا خَلِيلا


" Aduhai kiranya dalam dunia dulu tidak menjadikan diriku pengikutnya!".


Namun apalah erti sesal setelah sesalan tiada harganya.




Tuesday, December 30, 2014

Di sisi yang lain

Ketika banjir menghentam negeri-negeri pantai Timur, keperihatinan rakyat Malaysia terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Banyak pondok panas misi kemanusiaan terbina untuk memungut sumbangan derma dan menyalurkannya kepada mangsa banjir. Kesusahan rakyat Terengganu, Pahang dan Kelantan memang tidak dapat dinafikan. Bantuan terhadap mereka adalah petanda sikap mulia insan yang menjadi warga negara bertuah ini.

Saya bangga dengan sikap rakyat jelata semua.  tetapi, saya terkenang kisah luka rakyat marhaen yang kelaparan di daerah-daerah tinggi yang tidak dibanjiri tanah penempatan mereka. Mereka serba kekurangan kerana hujan turun tak berhenti dan kerana itu mereka tidka boleh menoreh getah mencari razeki.

Tuesday, December 23, 2014

Salah kita.

Banjir yang menenggelamkan sebahagian negeri menimbulkan tandatanya. Apa salah kami? Tentu bukan fenomena alam semata-mata. Pasti ada teguran dari langit. Tapi, apa salah kami?

Bukan salah mereka. Ini adalah salah kami belaka. Tapi apa? Sungguh musykil dalam dada.

Wahai Tuhan...

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا

Tentu semua ini bukan percuma. Pasti ada makna. Marilah setiap kita bermuhasabah saksama.

Jangan tuding jari kepada yang lain. Siapa tahu, ada teguran buat kita. Kita yang alpa.

Sunday, December 21, 2014

Waspada Lakunan Brahma

Ketika kau melihat bulan
ingatlah bahawa cahaya bulan bukan miliknya
cuma manusia memuji bulan
lalu lupa yang menyinarinya
kiranya...
bulan tanpa suluh mentari
hanya sebuah kegelapan.

Betapa banyak yang kita tidak tahu
lalu kita sanjung puja
iblis yang berlagak malaikat
diangkat setinggi darjat
harum tidak semestinya aroma
mungkin racun menyebar hama.

Wednesday, December 17, 2014

Mengenang almarhum Ust Fadzil Noor

Ketika dia berpencak bestari
di pentas politik pertiwi
dipanggil kembali
kami sukar cari ganti.

Ketika ini
aku baru mengerti
betapa rugi
kehilangan orang bestari
sepertinya sukar ditemui.

Buah pencaknya bestari
yang ditanamnya
kita makan kita nikmati
beberapa musim silih berganti
sehingga kini
mula tandus kemarau
buah kurang menjadi
yang ada pahit sekali.

أثل خمط وشيء من سدر قليل

Maafkan aku
kerana mengenang yang lepas
saat kita mula mengunyah kepahitan
bertanya bingung
tentang erti sebuah kebestarian
di sebuah pentas warisan
bernama politik gerakan Islam.

Kebun Saba' yang subur
Kini mula gersang tandus

Bestari makin hilang
diganti ananiyyah dan kepongahan
tuding kemarahan berbaur prasangka
kian merajalela
kabus dunggu
menyerkup.

Aku teringat
almarhum Ust Fadzil Noor
yang berpencak bestari
sehingga kita bergerak lestari
dua penggal berganti.

Monday, December 15, 2014

Kita belum pencen

Kerja masih berjela
tidak cukup masa
makin dimamah usia
masa pencen akan tiba
pencen dari kerja
atau pencen dari dunia

Syukurlah aku belum pencen
masih mampu bekerja
masih ada masa
mengayam kerjaya
dapat membuna istana
dalam syurga loka

Mari jangan persia
masa yang ada
sebelum pencen tiba

bina mahligai di syurga
dengan kalimatan khafifatan alal lisan


"Subhanallah wa bihamdih"

Thursday, December 04, 2014

Aku bukan orang bergelar.

Walau gelarmu panjang berlengkar
Dalam dunia bukanlah qarar
setelah zaman dan masa beredar
pangkat besar akan pudar.

Disebut orang gelaran bangsawan
tidaklah menjadi nilaian Tuhan
dalam dunia bukan emas tempawan
di akhirat kelak tahulah kedudukan.

Moyangku dulu petani cuma
habis masa ajal tiba
tinggallah dunia barang sementara
kini tinggal sepotong nama.

Moyang Tuanku raja berdaulat
masa sampai dia pun mangkat
tinggallah semua kehidupan ningrat.
nama pun sudah tidak diingat.

Aku mahu tebang bak burung
bebas di angkasa melepasi gunung
merentas lembah tidak berpenghujung
tiada pagar kraton nan mengurung.

Usah beri aku gelar
tak sudi aku menjunjung destar
aku senang melilit semutar
bingkas tangkas di atas gelegar.

Gelar itu bagaikan gelebeh
ada yang mimpi air liur meleleh
atas orang lain sentiasa nak lebih.
di istana Sultan duduk tersengeh.

Adapun aku tak suka gelar
kerana ia umpama akar
lama-lama bakal melengkar.
kehidupan senang jadi sukar.

Thursday, November 27, 2014

Mengeluh tentang sebuah ketirisan

Aku tidak mahu muktamadkan bahawa setiap orang yang berjuang itu hendaklah menyertai Pas sebagai sebuah parti Islam. Ramai juga insan-insan mulia yang hebat di mata Allah tetapi tidak berada dalam Pas. Menyertai Pas hendaklah bertujuan mengislah diri dengan nafas perjuangan. Jika keberadaan dalam Pas, proses Islah diri telah menemui jalan mati, maka sesungguhnya dataran Allah itu saujana luas dan mengembaralah.Berhijrahlah dan temukan untuk diri ladang damai yang mampu merancak khidmat bakti dan memelihara istiqamah di atas jalan ilahi.

Sepuluh jariku bukan untuk mencengkam genggam agar semua bersama jemaah yang bernama Pas. Sejarah dan pengalaman menjelaskan bahawa hal tersebut adalah mustahil. Kepelbagaian manusia dengan rencam pemikiran dan kemahuan menjadikan jalan perjuangan adalah pelbagai. Demikian kepelbagaian pemikiran dan kemahuan itu, demikianlah khazanah keluasan rahmat Allah SWT yang membuka luas jalan menuju syurga.

Memang perit berdepan situasi sekarang. Ada dua pilihan yang terentang di depan mata. Pertama, sabar menghadapi segala kerenah punah seranah dan kekal bersama jemaah. Kedua mufaraqah dan berpaut di ranting jauh nun di hujung dahan. Ramai juga yang mengambil jalan menyertai NGO dan badan-badan kebajikan dan dakwah yang pelbagai. Allah maha pengasih dan hendaklah kita bersifat pengasih juga dengan menghargai setiap amal bakti manusia yang mahu berkhidmat untuk agamaNya.

Manusia berhak membuat pilihan. Terutama generasi muda hari ini yang bukan lagi menjadi hamba feudal dan tunggangan aristokrat. Para pemuda hari ini telah membuka "Weltanschauung" politik yang luas melewati sempadan bangsa maupun agama. Apatah lagi memaksa mereka untuk menelan doktrin-doktrin yang diwariskan dan dibawa masuk satu masa yang lepas untuk menambah cantik rentak perjuangan.

Sukar sekali memaksakan untuk mereka konsep-konsep yang satu waktu dulu menjadi minuman lazat dalam perjuangan seperti wala', kepimpinan ulama, sami'na wa ata'na, wehdatul fikri dan bermacam-macam yang kita bentangkan buat pemuda perjuangan. Bukan semua para pemuda hari ini menolak perjuangan Islam tetapi salah guna doktrin oleh kalangan tertentu telah menyebabkan generasi hari ini bercempera dan meniris dari kepungan kita.

Kelihatannya kita (perjuangan pas) belum mampu berubah seperti AKP di Turki yang menyaksikan kecemerlangan tari Erdorgan. Perlu ada murunah dalam pendekatan dan kepimpinan. Kebekuan akan membawa kepada ketepuan. Jika tidak berlaku, maka kita boleh katakan "infiru tsiqalan wa khifafan!".Berat atau ringan tidak mengapa. Asalkan hidupmu berjuang. Berjuang dengan menanggung beban masalah atau melepaskan diri tetapi tetap kekal dengan perjuangan. Allah menghargai setiap perjuangan orang yang beriman.

Saturday, November 22, 2014

Jangan meniru Syiah

Perhatikan baik-baik rupa agamamu. Jika ia menyerupai Syiah, maka sebenarnya Syiah itu mengambil bahagian terbesar dari agama Yahudi. Para pengkaji perkembangan Syiah telah merumuskan bahawa Abdullah bin Saba' adalah "culprit" yang merosakkan citra murni pendokong Ali bin Abi Talib pada zaman kekhalifahannya. Sedangkan Abdullah bin Saba' adalah seorang lelaki Yahudi yang merayau dalam dunia Islam.

Sebab itu, waspadalah kesyibihan agamamu dengan Syiah. Kerana Syiah terhasil dari dakyah sang lelaki yahudi, maka penganutnya telah menjejaki sunan Yahudi dalam beragama. Yahudi mencintai Uzair secara melampau hatta ke peringkat mempertuhankanya. Demikianlah Syiah, mencintai Ali secara melampau sehingga ada kalangan mereka yang mempertuhankan Ali.

Rasulullah SAW amat benar ketika memperingatkan:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ

" Kamu pasti akan menjejaki sunnah ummat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehinggalah andai mereka menerobos masuk ke lubang biawak kamu turut menjejaki mereka".
(Hadis Riwayat Bukhari)

Hari ini banyak tradisi Syiah menjadi panutan ikutan kalangan kita. Cubalah pandang dan cermati. Kerana nabi memberi amaran tentang tabiat mengikut tradisi Yahudi dan Nasrani, kita lupa bahawa Syiah itu adalah jambatan untuk mereka meresap ke dunia Islam. Dalam galak meniru Syiah, kita dibayangkan bahawa ia adalah amalan Soleh padahal Islam yang diajar nabi SAW tidak mengenalinya.

Kerana Syiah itu menyerupai Yahudi, makan jangan bertasyabuh dengan Syiah.

Tuesday, November 18, 2014

Pemimpin karismatik.

Pemimpin Karismatik tidak datang setiap tahun. Akan ada senggangan masa antara seorang pemimpin karismatik dengan yang berikutnya. Kekadang, berlalu masa yang panjang sehingga para rakyat mengeluh dan merindui kepimpinannya, pun belum tampil sang karismatik memacu rakyat yang kewalahan dan dihimpit kekecewaan. Demikianlah yang pernah dirasai oleh kaum Bani Israil yang disepak terajang musuh sehingga mereka terpaksa merayu datangnya wahyu untuk memunculkan seorang pemimpin karismatik buat mereka. Maka, Allah anugerahkan Thalut sebagai pemimpin mereka.


Selepas Hitler, orang Jerman tidak lagi ada pemimpin yang berkarisma sepertinya. Di India, sesudah Mahatma Ghandi, tidak datang lagi pemimpin sehebat karismanya. Di Indonesia, Sukarno menjadi legenda pemimpin karismatik yang berjaya menghalau Belanda tercirit-cirit balik ke negara asal.

Pemimpin karismatik mampu mempengaruhi massa untuk berjuang memncapai cita-citanya. Sehingga ke hujung usianya, dia akan terus menjadi inspirasi pengikut untuk berjuang menggapai cita-cita. Sesudah matinya, aia akan disebut dan dihikayatkan orang yang hidup. Kebiasaanya akan ada tokok tambah untuk menjulang tambah kehebatannya.

Karisma seorang pemimpin tidak menari bersama keimanan. Tidak juga keilmuan. Bukan kebangsawanan.

Geladangan bisa bangkit sebagai pemimpin karismatik sebagaimana Thalut si gembala bangkit memimpin Bani Israil.

Sunday, November 09, 2014

Jangan mencela yang menentangmu

Para pembela Islam,

Akan banyak yang menentangmu. Demikianlah sunnah yang dihadapi oleh setiap yang mahu membela Islam. Penentangmu itu sama ada dari kalangan yang kafir, munafiq ataupun sahabat-sahabat seperjuanganmu sendiri. Namun, dalam menghadapi mereka, janganlah kamu mencela mereka, kerana kelak mereka akan turut mencelamu. Kalau mereka tidak mencelamu sedang kamu mencela mereka, itu ertinya kamu berada di atas jalan yang salah, kalaupun mereka tidak berada atas jalan yang benar.

Orang yang benar akan dicela kembali bila dicela. Kalau dicela walau tidak pernah mencela, itulah tanda kebenaran yang berganda.

Allah memperingatkan menerusi firmanNya:

وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

" Janganlah kamu mencela mereka yang menyeru selain Allah kerana nanti kelak mereka akan mencela Allah kerana semangat permusuhan tanpa dasar ilmu pengetahuan".

Dalam konteks semasa, perbuatan menghakimi mereka yang memusuhi jalan yang kita yakini benar dengan tindakan undang-undang akan mengundang tindakbalas. Sepertimana cela dibalas cela, Maka hukuman (undang-undang) akan dibalas undang-undang. Inilah yang kita sedang saksikan dewasa ini.

Kelompok yang mendokong liberalisme sonsang telah menggunakan undang-undang pula untuk membalas penggunaan undang-undang ke atas mereka. Akhirnya mereka berjaya mengenepikan keputusan enekmen Syariah yang melarang golongan transgender berpakaian perempuan. Sebelumnya, SIS telah dijatuhkan hukuman sesat oleh Majlis Fatwa Selangor.

Bukan mempersoalkan hukum transgender berpakaian wanita. Itu sudah jelas haram berdasarkan hadis-hadis. Bukan, bahkan jauh sekali membela SIS. Mereka memang membawa kesongsangan dalam pemikiran. Bahkan, mereka umpama budak-budak nakal yang banyak olah. Pun begitu, mereka mendapat kelebihan ketika merintih belas kepada khalayak rakyat kerana dihukum sesat yang menurut mereka tanpa siasat. Lalu, mereka menghunus undang-undang juga dan bersenjatakannya untuk membuat serangan balas.

Kerana itu, menangani kelompok degil dalam masyarakat, pemakaian undang-undang bukan penyelesaiannya. Terlebih pula kalau kedegilan itu dalam wacana pemikiran. Undang-undnag tidak akan mampu mengepung pemikiran dan memenjarakannya. Mujadalah akan menjadi racun serangga buat pemikiran songsang.

Kini kita lihat kelompok liberal bangkit membalas dengan lontaran yang sama seperti mana dilontarkan kepada mereka.

Undang-undang!

Thursday, November 06, 2014

Ketika Azazil pun berdiskusi dengan Tuannya.

" Tak guna berdiskusi lagi, mereka telah cukup menginjak kehormatan kita", marah Sang Prabu bergelegak meruapi serelung dadanya. Para Pak Lurah kacamatan Gunung Matahari telah mengingkari perintahnya agar setiap hasil penduduk perlu di'GST'kan. Namun, para Pak Lurah itu tidak melaksanakan perintahnya. Malah mereka berani mengandalkan kebijakan sendiri untuk meringankan beban warga.

" Diskusi demi kelestarian negeri. Wibawa gusti Prabu tidak gugur kerananya!", Sang Adipati Argawisata cuba menegakkan usulnya yang telah pun dilontarkan dari permulaan.

Sang Prabu mencuka. Pertimbangannya hanya untuk menimpakan hukuman ke atas para Lurah yang engkar itu.

@@@@@@@@@@@

Mengapa tidak mahu berdiskusi? Diskusi bukan sebuah dosa. Para wali tidak mencebur ke lumpur noda jika berdiskusi dengan para pendosa. Akal manusia tidak akan mampu ditumnpaskan dengan senjata. Hukum tidak boleh menamatkan nalar sebuah keengkaran.

Sesungguhnya makayid SIS tidak lebih bahaya daripada makayid Iblis mal'un. Pun begitu, Allah berdiskusi dengan sang Iblis ketika mana dia enggan sujud kepada Adam. Boleh sahaja Allah menjatuhkan hukuman sesat terbuang ke atas Iblis tanpa perlu ditanyakan lagi sebab musabab keengkarannya. Allah adalah pencipta dan Iblis cuma hamba.

Siapa yang kedudukannya melebihi Allah dalam penghakiman. Dialah Hakimul Hukama'. Pun begitu Iblis ditanya dan dibawa berdiskusi tentang kedajalannya. Manusia, siapapun dia, tentu tidak lebih hebat daripada Allah SWT.

Kerana itu, nurani saya menolak untuk bertindak atas kekuasaan bagi membanteras sejumlah ajaran dan pemikiran yang menyelusur di celah-celah masyarakat. Pada saat kita berkuasa, kita menggunakan kekuasaan itu. Tetapi, pada saat orang lain berkuasa, kita tidak suka dia menggunakan kekuasaannya untuk menindas kita.

Di Malaysia, kita menghakimi kaum Syiah dan membanteras mereka dengan hukum dan  tindakan. Nun jauh di tanah Parsi, kita mengutuk penindasan oleh para penguasa Syiah ke atas ulama dan rakyat Sunni. Di sana mereka berkuasa dan melibas Sunni  dengan kekuasaan mereka. Kita marah atas wewenang yang mereka jarahkan.

Kaum Syiah itu tidak lebih kelam kekufurannya dari sang Iblis. Maka, halangan apa untuk mengajak diskusi? Saidina Ali r.a ketika menggencar para Khawarij di Nahrawan, baginda mulakan dengan diskusi yang berjaya memulangkan ribuan mereka ke pangkal jalan.

Kini, kelompok SIS itu menuntut diskusi. Terima sahaja ajakan itu. Libasan cemeti kekuasaan tidak akan menguburkan kesongsangan pemikiran mereka.  Orang yang merasa teraniaya dan berjaya membuat khalayak melihat mereka teraniaya akan menyerukan "martyrdom". Lalu, pemikiran yang dimusuhi tidak mati kerana mereka dilihat syahid dalam sebuah tekanan yang tidak seimbang.

Para ulama perlu menyahut cabaran tersebut. Kelompok SIS itu menjulang kebanggaan tentang pemikiran. Maka ulama yang perwira dalam pemikiran sahaja yang mampu mendepani mereka. kalau ulama pemikir tidak ada, yang dikenal sebagai cendikiawan pemikir Islam perlu berdiskusi dengan para SIS.

Kerana tuntutan diskusilah juga lahirnya aliran Asya'irah dan maturidiah yang diangkat sebagai simbol Ahli Sunnah oleh sebabahagian sarjana. Maka, contohi mereka dalam ketangkasan melancak diskusi pemikiran.

Wednesday, November 05, 2014

Pudar harapan.


2020 nanti
macam nilah kita
kita masih berbicara soal minyak naik harga
harga ayam melambung saban hari raya
ada kampung setinggan di tengah kota
perbandaran hantar notis suruh pindah segera
mereka yang berbuat angkara  di hari ini
masih tegak bermaharajalela.

Usah bercakap lagi
tentang mimpi Puterajaya
sebuah negara kebajikan untuk semua
tentang rakyat lemah yang terbela
tentang negara sistem parti dua.

Ketika memanjat tangga
kita siku menyiku berlumba
rakan jatuh kita ketawa
tersinggung kita menyinggung
tertolak kita menolak
peduli apa orang lain.

Lima tahun lagi
akan GST berlangsung terus
malam kita berwajah durja
kelahi kita hingga pagi
siapa akan peduli lagi.

Wali tidak muncul
untuk memacak keramat menjemput makbul.
aku berasa sungguh sugul.

Pemikiran terhampar luas.

Isu pemikiran adalah dataran yang sangat luas. Ia bukan seperti isu hukum hakam yang dalam banyak keadaan hanya ada dua kesimpulan. Ahli fikir tentu tidak serupa dengan ahli fekah yang hanya berlegar antara dua perhentian sama ada halal atau haram dan sunat atau makruh . Demikian pula ahli akidah dan begitulah pula ahli tasauf.

Sebab itu, ahli hukum tidak mudah memahami ahli fikir. Alangkah banyak buah fikir yang lahir sepanjang zaman. Allah swt yang berikan fikiran, maka manusia pun berfikir. Berfikir seluas saujana.


Setiap bidang ada ahlinya...ketika ahli fikir menerbitkan buah akalnya, janganlah kita cepat melatah dan menyesatkannya.

Turki bukan penganut Sekular

Pak guru dan ulama sering menyebut. Republik Turki yang diasaskan oleh Kamal Attarturk itu negara sekular. Ramai orang mengiyakan sahaja apa yang dinyatakan oleh Pak guru dan ulama. Orang tidak pula bertanya, apakah benda sekular itu. Kalau pun ada yang cuba memahami makna sekular, apabila disebutkan mengenai negara Turki, mereka tidak pula membandingkan amalan di Turki dengan sekularisma yang difahami.




Benarkah Turki itu negara Sekular?

Tuesday, November 04, 2014

Melayu apa ini?

Gerombolan kecil itu membantah pembinaan gereja di lokasi yang ditentukan. Mereka berdemo menyatakan bantahan tersebut dan barangkali menyangka itu adalah perjuangan demi agama. Demi Allah...agama Islam bebas daripada kebodohan yang sedemikian. Islam yang diajarkan nabi Muhammad SAW memberikan hak dan kebebasan setiap penganut untuk mengamalkan agamanya.

Para sufaha' yang bergentayangan membawa bendera Islam seperti inilah yang telah menggores wajah Islam. Mereka tidak membela Islam dan mereka tidak mempertahankannya pun. Mereka adalah Melayu warisan zaman edan di mana Melayu waktu itu terpinga-pinga menyembah jembalang di bawah pokok jejawi.


Islam adalah agama yang bangkit berpencak dengan penuh bijaksana dan bergaya. Bukan terketar-ketar demam kepialu atau mata merah kerasukan jin Pulau Tuba.


Keadaan sentiasa berubah.

Dulu, sebelum jadi makhluk terlaknat, Iblis itu adalah kalangan muqarrabin di langit. Saking muqarrabinya dia, maka dia dianggap sebagai malaikat miskipun asal kejadiannya berbeza dengan asal kejadian malaikat. Lantaran itulah, sewaktu memerintahkan sujud kepada Adam, Allah seru Iblis dengan seruan sepukal kepada semua malaikat.

Namun, daripada makhluk yang mulia, Iblis bertukar menjadi makhluk paling dicelakakan.

Iktibar daripada perubahan itu, kita hendaklah sentiasa beringat. Tidak semua yang berada pada posisi mulia hari ini kekal mulia hingga akhirnya. Keadaan sentiasa berubah.Banyak orang soleh berubah jadi toleh. Demikianlah pulak sebaliknya.

Tentu pertukaran itu didorong oleh sebab tertentu. Pertukaran sang Iblis adalah disebabkan bangga dirinya. Sehingga, pertukaran itu tidak seharusnya dikambinghitamkan atas takdir semata-mata. Takdir itu urusan Allah dan manusia ada urusannya yang akan dipertanggungjawabkan.

Kalau ada orang soleh bertukar jadi toleh kerana sebab tertentu, demikianlah pula sebuah kumpulan, jemaah atau parti. Saya nak katakan bahawa sebuah parti Islam pada hari ini boleh bertukar jadi jadi parti Syaitan pada masa depan jika ada sebab yang menukarkannya. Sementara, demikian sebaliknya, parti sekular bisa berrtukar jadi parti Islam jika kena caranya. Inilah falsafah perubahan yang saya nak peringatkan.

Kerana itu, pentingnya memelihara keaslian. Namun, keaslian bukan bererti kejumudan. Islam yang sebenar juga ada keasliannya. Namun, Islam yang sebenar itu telah banyak mengalami tajdid. Tajdid itulah yang digencarkan oleh para mujaddid yang lahir saban seratus tahun sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis nabi. Namun, keaslian Islam tetap menjadi tunggaknya.

Kerana itu, jangan berlumut dengan ketaksuban pada wahana. Wahana bisa berubah bila manusia dalamnya berubah. Berusahalah memelihara wahana selama mana bisa. Bila tidak bisa dipelihara lagi, Allah maha kaya dan maha banyak wahana.

Jika satu kaum tidak sanggup membela Allah, Allah datangkan kaum yang lain. Keadaan sentiada terdedah kepada perubahan dan carilah perubahan yang baik untuk bersamanya.

Maka...jangan mentazkiah diri.

Jika dituduh sesat.

Pada hematku, kalau ada orang tuduh kita sesat, biarkan sahaja orang itu meracau sendiri. Melayani bicara bodoh akan membodohkan diri sendiri. Apatah lagi kalau nak ajak debat atau membawa kes tuduhan sesat itu ke mahkamah. Kita kena sanggup dituduh sesat kalau mahu jalan perjuangan kita di atas landasan yang dirintis Rasulullah SAW.

Satu perjuangan yang hanya menerima pujian dan sanjungan, itulah petanda bahawa perjuangan itu tidak berada di garis perjuangan nabi. Maka, bersabarlah menghadapi tohmhan orang.

Nabi SAW dituduh dengan tuduhan pelbagai yang lebih dahsyat. Baginda dituduh gila, ahli sihir, kahin dan bermacam-macam nista lagi. Namun, baginda sabar dan melangkah terus dengan tugas kenabiannya. Baginda tidak melayani kacau ganggu sepanjang jalan perjuangannya.

Memang biasa kalau orang tuduh kita dengan tuduhan menghina. Oleh itu, usah buang masa dengan debat dengan orang-orang dunggu, kelak kita sendiri jadi dunggu sepertinya. Tak perlu buang duit dan tenaga untuk bergulat dengan perbicaraan di mahkamah. Gunakan duit dan masa itu untuk kerja lain yang lebih berfaedah.

Kalau sudah namanya perjuangan Islam, tahan sahaja panas telinga orang mem"babi"kan kita. Itu asam garam dan rencah mereka yang telah terdahulu sebelum kita. Usah buat kerja sia-sia menepis tempias hujan di tengah padang.

Bukan dari anak melarat.

 Dia anak ningrat
bukan anak melarat

walau dulu ayahnya makan nasi berlauk garam
sebelum ayahnya memanjat tangga kedudukan
dalam negeri sedarjat para bangsawan
dari gahara ayahnya menjadi bangsawan mulia.

Lalu...
dia bukan lagi anak gahara
dia seorang putera
dari seorang ningrat yang mulia

Dia tidak merasa apa yang dirasa ayahanda
jerih penat kaum melarat
payah merentas denai berbukit
panas rimas malam tanpa kipas
jauh sekali penghawa dingin.

Miski ayahnya dulu gahara
kemudian mencapai darjat ningrat
dia tidak lagi putera gahara
yang pernah rasa derita

Maka...
bernamalah dia putera ningrat.

Monday, November 03, 2014

Kepimpinan bukan kamu tentukan

Kepimpinan dari Allah.
bukan manusia yang mengangkat
tetapi Allah yang mendaulat.

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِى الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِير


Kepimpinan itu hak Allah. Allah berikan kepada sesiapa yang Dia mahu.Siapa yang Dia mahu jatuhkan, maka jatuhlah dia, miski sedang memimpin dari singgahsana di puncak kultus. Demikianlah ketetapan Allah dan demikianlah yang wajib kita imani.

Allah berikan kepimpinan kepada Thalut walau dia hanya gembala domba. Allah berikan kepimpinan kepada Firaun walau derhakanya mencabar buana.Allah berikan kepimpinan kepada Musa. Allah juga berikan kepimpinan kepada Yunus bin Mata ke atas warga Ninawa.

Di kala kita mempersoalkan hak seseorang untuk memimpin, ingatlah bahawa kepimpinan adalah bingkisan Yang Maha Kuasa. Tidak selamanya Allah memilih ulama jadi pemimpin. Di Indonesia, sebelum ini para ningrat yang memimpin. Kemudian Allah pilih Jokowi yang lahir dari kalangan marhaen jadi presiden. Di serata dunia, Allah hamburkan tempias kepimpinan kepada pelbagai ragam manusia. Memimpin negara, kumpulan, jemaah, gerakan dan bermacam-macam kapasiti.

Kepimpinan sejati hanya milik Allah. Ia bukan milik mana-mana ras, status, darjat kebangsawanan, gelaran dan panggilan kemuliaan serta sebagainya. Betapa pun kita mengimpikan satu neraca kepimpinan, Allah punya neracanya sendiri. Boleh berusaha untuk mengangkat neraca kita, namun jangan menolak kemungkinan ada neraca lain yang bakal mengambil tempat.

Neraca Allah hanya menjadikan "Bastoh" dalam ilmu dan kekuatan fizikal sebagai batu pemberat timbangan memilih pemimpin.

Sunday, November 02, 2014

Sekarang bukan macam dulu lagi.

Dulu...
waktu kau masih muda belia
kau pacak tiang seri
kau tegakkan sendiri
bendera perjuangan berkibar di puncaknya
kau bangga sekali
tiang seri kau puji
inilah kebanggaan kami.

Kini...
saat usia menginjak tua
banyak tenaga terkuras sia-sia
tiang seri condong pula
kau lelah menahan beban
takut tiang jatuh tersenbam.

Yang dulu ringan
kini jadi bebaban
yang dulu kebanggaan
kini jadi persoalan

tiang seri bukan dari kayu sidrah muntaha.

Thursday, October 30, 2014

Kg Chubadak

Rumah warga kampung Chubadak diruntuhkan oleh pihak berkuasa. Apa yang rakyat kecil boleh buat? Pembela rakyat boleh lakukan pelkbagai cara untuk membantu nasib malang warga kampung Chubadak Demonstrasi, laporan-laporan dalam pelbagai media mengenai peristiwa rampasan tempat tinggal warganya itu, biar seluruh negara tahu. Jelaskan siapa yang menajdi tangan-tangan besi durjana yang bermain di belakangnya. Namun, akhirnya, kita haqnya boleh berserah kepad Allah.

Doa orang yang dizalimi tiada hijab. Lambat bangat, soldadu kezaliman akan runtuh juga.

Tuesday, October 28, 2014

Anjing menyalak tekukur berdekur

Tidak menyalak kecuali anjing
Sang tekukur berdekurlah merdu.

Seseorang yang mengaku mendokong perjuangan Islam, ketika berbahasa kasar, mencemuh dan membangsatkan sifolan bin sifolan, jelaslah hanya berdusta dan hanya mengaku kosong sebagai pejuang Islam. Kalau yang keluar dari lidah adalah kalam nista, itulah gambaran perlimbahan nista yang mengalir dalam seketul daging yang menjadi raja dalam tubuhnya. Jika yang keluar dari lidahnya adalah kalam yang manis, lunak dan menjauhkan cacian dan makian, itulah gambaran raja dalam tubuhnya.

Berapa banyak pahala solat,puasa,zikir dan juga penyertaan dalam perjuangan Islam yang terkehel meluncur beralih tuan. Itu kerana tidak menjaga lidah dalam bicara dan jemari dalam bertinta.

Ketika retak antara firqah dalam jemaah kian meruncing, pendokong ulama menuding murka kelompok yang gagal mempamir wajah cinta ulama. Demikian kelompok bukan ulama menguman amarah buat pendokong ulama. Kata-kata caci maki pun terlepas bak lelayang terputus tali. Kendali akhlak pun karam dan cahaya seri wajah pun padam.

Pahala yang terkumpul bersimpang siur beralih tuan.

Jika sudah biasa menyalak
menyalaklah juga dengan galak
jika denak biasa menekur
menekurlah juga sampai masuk kubur.

Jiwa hulubalang.


Salah apa
seorang mahasiswa keluar dari tapa
yang bergulat buku nak lulus periksa
lantas terjun menongkah arus
mempamer jiwa wira
tak dengar kata

Mereka masih muda
Jiwa biar bergelora.

Muda berlagak tua
hanya membalut kerdil jiwa
tak layak memimpin warga luka
yang sedang terseksa.

Mahasiswa yang sibuk mengayam assignment
tak peduli sengsara derita
rakyat di hujung desa
kelak jadi menteri durja
berkata sesedap rasa.

Salahkah mahasiswa mempamer laga?
Mereka masih muda
Lebih mulia daripada mabuk cinta
Di pinggir tasik perdana.

Gegarkan darsa
Jiwa hulubalang menongkah arus

Sunday, October 26, 2014

Pemuda hatinya waja.


Asal besi jadi pedang
masakan menjulang pucuk lalang
jika kecil berjiwa pejuang
besar kelak akan terbilang.

Jika diugut hati pun goyang
nyatalah tak layak jadi pejuang
bukan keturunan yang dibilang
jiwa pejuang tak takut diganyang.

Pejuang nusa kebanggaan bangsa
masa kecilnya sudah bertanda
tika dewasa banyak terluka
pun begitu melangkah jua.

Sungguh bangga mendengar bicara
seorang pemuda di zaman siswa
tegas tega rela berlaga
tak takut ancaman sistem drakula.

#Dedikasi buat anak-anak kartaksis.

Friday, October 24, 2014

Negeri ini banyak bedebah.


Ini negeri banyak bedebah
Adab santun sudah punah
Banyak orang menjunjung ananiyah
Naik kereta main redah
Salah sendiri orang dimarah
Silap sendiri tak diendah

Sudah rasa alim sangat
pasal akhirat sudah kurang diingat
Kerja dunia sampai berkeringat
Tanya akhirat lupa ingat
Berjalan merangkak dirasa ningrat.

Negeri ini banyak bedebah
Patutlah menang kemudian kalah.

Wednesday, October 22, 2014

Syed Azmi

Saya tak kenal Syed Azmi, individu yang menjadi 'mastermind' di sebalik penganjuran program "I want to touch a dog'. Banyak orang memperkatakan mengenainya. Berbaur pro dan kontra. Paling teruk, ada yang menggelarkannya munafiq yang baru masuk Islam dan ingin merosakan Islam dari dalam. Program anjurannya itu telah menggoncang otak dan kemampuan fikir ramai kalangan warga Melayu muslim Malaysia. Ada yang yang terpamir kebijakannya dan ada pula yang memuntahkan kebodohan dan kedungguan dari reaksi mereka.

Saya tak kenal Syed Azmi. Cerita bahawa dia baru masuk Islam dan mahu merosakkan Islam adalah tuduhan semberono yang tidak bertanggungjawab. Ia memberi gambaran negatif bahawa yang baru masuk Islam itu harus dicurigai. Betapa ramai yang masuk Islam dan mereka lebih memberi faedah kepada Islam daripada mereka yang lahir sebagai Islam.

Ada cerita-cerita bergambar yang saya lihat menggambarkan Syed Azmi ini pula seorang aktivis sosial yang banyak membantu golongan geladangan, melaksanakan dakwah jalanan, membantu marhaen dan sebagainya. Saya percaya, hal tersebut ramai yang tak mampu lakukan, termasuk oleh para pengobar semangat mempertahankan Islam pada lidah namun kotang amalinya.

Orang yang banyak cakap tentang Islam selalu dijangkiti penyakit ujub. Meremehkan orang lain dan merasa kerja diri sendiri hebat untuk Islam. Penyakit ini merosakkan amal walau penuh sedunia sekalipun, apatah lagi kalau amal itu cuma dalam bentuk syarah semangat membela Islam sahaja.

Kita tidak faham apa niat disebalik program anjuran Syed Azmi itu. Jangan kita menanam prasangka sebelum mendengar penjelasannya. Setelah mendengar penjelasannya, kita berhak untuk tidak setuju namun kita tidak berhak mencemuh dan menistakannya. Program tersebut adalah kreativitinya dan kita buatlah program mengikut kreativiti kita untuk melawannya. Itulah perjuangan membela Islam yang sepatutnya. Bukan kita hanya asyik mengkritik dan menyalahkan tanpa mampu berbuat sesuatu yang lebih baik daripadanya.

Saya dengar dia banyak buat kerja amal. Saya kalah dengannya. Bagi saya, apa yang dia buat terbaru ini adalah masalah yang berkisar dalam lingkungan feqah yang sarat dengan qila wa qala. Tentang niatnya, bukan kudrat kita untuk membongkarnya. Kita berhak membantah programnya, namun jangan sampai menifakkannya, menganggapnya liberalis, pluralis dan bermacam-maca laqab buruk yang lain.

Lihatlah kerja buat orang lain dan cerminkan dengan kerja buat kita. Elakkan mematahkan dahan sebaliknya pautlah ia ke arah yang kita mahu. Ramai orang cintakan Islam selain kita dan kita bukan calon tunggal ke syurga.

Monday, October 20, 2014

Melayu yang dianggap pendatang.


Ketika aku bergulat di Laut Sulu, di sebuah tempat bernama Tanjong Batu, aku punya kepercayaan, suku Suluk yang menghuninya adalah dari rumpun Melayu. Warna kulit mereka dan rona wajah mereka tidak berbeza dengan bangsa Melayu yang dikenal di negeri-negeri Semenanjung. Hanya kerana mereka disebut atas nama suku mereka, leluhur mereka yang berakar serumpun Melayu itu dilupakan atau diingat-ingatlupakan.


Maka, mereka yang datang dari Selatan Filipina itu disebut pendatang. Kerana Mereka telah dipisahkan oleh sempadan geografi yang terbentuk kemudiannya, penyemberangan sempadan itu menjadikan mereka disebut pendatang. Begitu banyak Melayu yang jadi pendatang di perairan Sabah. Bukan sahaja dari suku Suluk, bahkan dari kalangan Bajau, Bugis dan lain-lain. Mereka dipanggil sebagai pendatang hanya kerana mereka menyemberang sempadan yang tercipta kemudian setelah leluhur mereka pada masa-masa sebelumnya bebas berpindah randah antara archipelago warisan Melayu.


Tiba-tiba seorang perwakilan Parti Gerakan dalam Mesyuarat Agung yang diadakan melebelkan Melayu juga sebagai pendatang. Dari sudut yang telah kusebutkan itu, Melayu dengan pecahan sukunya, memang sudah lama kerajaan meletakkan beberapa suku Melayu sebagi pendatang. Namun, oleh kerana maksud perwakilan itu adalah Melayu sebagai sebuah bangsa yang ditempelaknya sebagai pendatang, maka ia tidak dapat diterima oleh para nasionalis Melayu.


Memang Melayu adalah pendatang . Sekurang-kurangnya itulah yang dituduhkan oleh seorang yang ada IC ke atas atas seorang yang tidak ada IC di sebuah kampung di Batu Sapi.Jika demikian, bukan perwakilan Parti Gerakan itu yang mula mengucapkannya, bahkan telah pun diucapkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu sebelumnya!

Mujurlah sabda telah tiada.

Mujurlah sabda telah tiada.

Ketika bicara bersengketa
ada manusia berasa dewa
setiap katanya mesti dilaksana
menyongsang dihukum dosa.

Mujurlah nabi telah khatam
kata manusia umpama asam
buat penyedap kuah laksam
bukan sabda menekan lisan!

Sengketa Ini fatamorgana

Aku ulama kau bukan!
Aku bumiputera kau pendatang!

Kalau setiap orang menjulang ananiyyah
sengketa tidak akan bertumu damai
Kalau sejarah sekolah diungkit
bermahkotalah santeri tajul ulama selamanya
Tak akan lahir Sayyid Qutub di kandang Melayu

Melayu hanya berkisah Melaka nan Gemilang
berhikayat Taming Sari keris Laksamana Hang Tuah
Menumbuk bumi berkepul debu
bersumpah daulat pertahan hak keramat
Bangsa lain yang dikata pendatang
menabur benih bertunas tanaman
memungut hasil dari debu berterbangan.

Sunday, October 19, 2014

Dia seorang ulamak.

Bertahun-tahun dia abadikan hidup untuk perjuangan Islam. Dari zaman muda hingga mencecah usia tua. Dari musim menyemai hingga musim menuai. Di kala penyokong sedikit hingga melanai. Jiwa kental tahan diuji. Tidak takut ancaman jeriji. Tidak terpesona manisnya janji. Kurang bicara banyak khidmat pertiwi. Tidak bersila di atas bantal bersulam baldu. Bahkan turun merasa denyut nadi.

Kerana tidak mengaji, tidak bertalaqi daripada syeikh Badawi, tidak memakai pakaian wali, tidak masuk tariqat sufi, kekallah dia di maqam awami.


Budak muda, janggut sejemput bawah dagu, baru kelmarin khatam kitab munyatul musolli, pandai pula berzanji, jubah serban dipakai setiap hari, petah pidato berpasak hadis nabi. Namun belum pernah tahan uji. Kemilau harta belum pun disaji. Bujuk jawatan belum sampai di kaki. Masuk persatuan para wali. Dia digelar ulama pewaris nabi.

Kerana bukan ningrat selamanya jadi anak gahara. Inilah hukum kasta ciptaan manusia. Sang pemanjat darjat, pada saat telah bersila lipat di langit malaikat, pintu langit ditutup rapat.

"Ayohlah wahai manusia, kalian tidak akan pernah jadi malaikat lagi sesudahku...pintu langit telah kutup rapat...!"

Seorang abdi bisa jadi ulama sedangkan tuannya menyangka hamba semata.

Bukan Agenda Pluralisme



Program yango diberi nama " I Want To Touch A Dog" bukan agenda pluralisme. Sekalipun tujuan penganjur adalah untuk mencabar norma beragama orang Melayu di Malaysia, ia tidak boleh dilihat sebagai sebuah agenda pluralisme. Sentuh anjing hanyalah soal pandangan ulama. Ia bukan satu yang dilarang secara qat'i berdasarkan nas.


Justeru, ia bukan agenda pluralisme. 


Lainlah kalau ada sekelompok orang Islam buat kempen yang melanggar keharaman dalam agama secara qat'i berdasarkan dalil Al-Quran dan Hadis. Umpamanya kempen sentuh wanita bukan muhram,  kempen minum arak beramai-ramai atau kempen mandi bogel di pantai awam. Kalau itu dibuat oleh kelompok orang Islam, memang itu pecahan dari agenda pluralisme dan liberalisme.


Maka, umat Islam jangan melatah. Kempen " I Want To Touch A Dog" bukan agenda pluralisme agama. Jangan setiap yang melanggar norma beragama yang kita adatkan turun temurun, kita bagi buah kilas terhadapmya sebagai agenda jahat pluralisme.

Thursday, October 16, 2014

Akhlak dalam meninta ulas peristiwa.


Akhlak juga dinilai dari segi bahasa ucapan. Termasuklah bahasa tulisan. Bercakap ikut sedap mulut melambangkan rendahnya akhlak. Begitu juga menulis sesedap rasa, ia adalah lambang rendahnya akhlak seseorang. Ketinggian akhlak menjadi terlebih penting di kala seseorang itu mengaku memperjuangkan Islam.

Elok tidak perlu berbelit-belit. Saya bukanlah berakhlak malaikat. Namun, membaca beberapa komen yang dilepaskan ke laman sosial oleh beberapa individu, berkaitan pengisytiharan keluarnya Tamrin Tun Ghafar daripada Pas, persoalan akhlak dalam patah bicara menjadi hal yang meruncingkan.

Berundurnya Tamrin daripada Pas diulas dengan sinis oleh para pejuang tandus akhlak. Menyifatkannya sebagai tidak ada tarbiah, datang tidak diundang dan boleh pergi bila sudah tidak boleh ikut rentak, dia cuma bekas UMNO dan sebagainya, adalah reaksi-reaksi yang tidak sepatutnya diungkap para pembela Islam.

Sepatutnya perlu muhasabah diri. Cari kesilapan diri dan bukan menelah kesilapannya. Apatah lagi menyifatkannya dengan kata-kata yang merendahkannya. Kalau tidak mampu memuhasabah diri, lebih baik diam tanpa sebarang komen. Orang ramai akan memerhati bagaimana kita berbicara.

Perjuangan tanpa akhlak dalam bicara dan asyik bersangka buruk kepada orang hanya akan menambah jauh dari nusrah Allah. Marilah kita memeriksa penyakit apa yang menanahi kita sehingga burung dalam genggaman menggelepar terbang pergi.

Jangan terlalu mentazkiah diri.

Wednesday, October 15, 2014

Kilas angkasa luka.

Menjelang petang, langit kelam, guruh-guruh menderam di langit. Sesekali kilat sambar menyambar. Hujan turun lagi. Sederas dan selebat kelmarin. Para penoreh mengeluh terus...

"Besok tak bekerja lagi...hidup makin susah!".


Petani yang menunggu tuaian padi dipukul resah. Padi yang masak bakal rebah berendam air bendang. Marhaen mendengus gelisah.

Sejak hari itu, hujan guruh dan kilat masih berlanjutan juga. Bila kan berhenti? Gempita di Batu Pahat masih berdengung gema di langit muram suram. Berhentilah berarak mendung durja. Marhaen rindu menyambung kerja.

Memilih permata di antara kaca



Zaman sekolah dulu, dia seorang murid yang pintar. Otaknya cemerlang amat. Kawan-kawan, malah guru-guru selalu jadikan dia sandaran.Dalam semua peperiksaan, dia tidak pernah terkalahkan. Dia telah menguasai pelbagai bidang ilmu zaman persekolahannya, terutama ilmu-ilmu yang berkaitan ilmu Islam dan cabang-cabangnya.

Dalam masa yang sama, ada sebilangan rakannya yang corot dalam pelajaran. Mereka itu malas, nakal dan mandom. Kalau periksa, hanya nombor-nombor belakang yang diperolehi. Datang skolah pun hanya kerana dipaksa oleh ayah. Ada satu orang, ayahnya seorang tokoh agama setempat. Orang anggap ayahnya ulama dan kebetulan memegang jawatan-jawatan utama dalam organisasi perjuangan. Sementara anaknya, masya Allah. Malas belajar dan nakal sudah jadi trademarknya.

Bila zaman persekolahan sudah berlalu, murid yang pintar, dan cemerlang itu melanjutkan pelajaran hingga ke universiti. Selepas ijazah, disambungnya master dan PHD hingga ke luar negeri. Memang demikianlan perangai murid yang cerdik. Tak pernah kenyang belajar. Kalau orang perempuan suka tengok TV sambil makan kacang, dia malah memandu sambil baca kitab. Ulama dan tokoh cendikiawan antarabangsa banyak yang jadi gurunya.

Adapun murid pemalas dan nakal anak tokoh agamawan kampung itu pula, selepas tamat persekolahan dia lega amat. Dunia sekolah memang penjara buatnya. Dia tidak punya cita-cita jadi orang berilmu, kendati sekurang-kurang macam ayahnya. Namun, ayahnya sering mencorakkannya

Ternyata ayahnya tidak berputus harap. Setelah tamat sekolah, ayahnya paksakannya masuk sekolah pondok di sebuah negeri yang jenuh dengannya. Di sana dia ambil syahadah thanawi dan dapat keputusan maqbul. Dengan dorongan ayahnya juga, dia mohon sambung belajar di Mesir. Bila sudah jauh dari ayahnya, dia sangat suka sekali Pengawasan ayah sudah tiada dan di Mesir dia bebas untuk belajar atau tidak. Banyak masanya di sana digunakan untuk menjelajah negeri dan cerok rantau bumi Kan'an itu. 

Cukup tahun dan musim, dia pun pulanglah. Gembiranya sang ayah kerana anaknya pulang juga dari perjuangan ilmunya. Kegembiraan sang ayah dikongsi bersama warga desa. Puji dan puja warga jatuh atasnya dan dia angkat sebagai tokoh ulama muda. Dalam masa yang singkat, reputasinya meningkat dan kepercayaan masyarakat kepadanya menimbun. Bakat kepimpinan ayahnya memang ada padanya. Lantas, jawatan dan kedudukan ayahnya pun tersalur kepadanya.

Untuk satu tempoh masa, Allah telah pertemukan dua insan itu di satu medan yan menguji kemampuan. Yang satu dipanggil orang dengan gelaran akedemiknya. Yang satu dipanggil orang dengan panggilan haibah laqab dari masyarakat setempatnya. Dua peribadi yang berlatarbelakang berbeza sedang berada di pentas pengaruh. Masing-masing menghargai nilai pengaruh dalam masyarakat dan merebutinya.

Di sinilah masyarakat diuji untuk membezakan antara permata dan kaca. Permata yang tidak digilap, amat sayang kalau dibuang. Letih dan rasa diperbodohkan kalau hanya kaca yang digilap, diangkat jadi tajul mahkota.

Sebab itu, setiap ulama yang pernah lahir menyinari zaman, ada manaqibnya. Ada sejarah nasy'ah setiap satunya. Cemerlang masa kecilnya , gemilang masa dewasanya dan terbilang masa tuanya. 

Asal sabut timbul, asal batu kan tenggelam.

Tuesday, October 14, 2014

Awang dan ayah.

Dulu ayah pesankan awang
Awang tunduk akur mengangguk
Tiada awang bertanya
Apa tujuan pesan ayah
Awang taat berjiwa pasrah.

Dulu kata ayah adalah firman
Awang terima penuh iman
Dosa besar ayah dipersoalkan
Ayah lebih banyak makan garam
Awang budak baru belajar.

Kini zaman sudah berubah
Ketika ayah hebat bermadah
Awang tanya 

Madah siapa?
Kitab mana rujukan ayah?
Apa tujuan apa hikmah?
Awang sudah banyak olah!

Kata ayah jadi sabda
Dibahas sanad matan diulas
Ada ditashih ada ditadh'if
Ayah bukan lagi mahkota alam
Tunjuk membelah langit 

Jatuh mengakar dalam bumi
Awang cerdik banyak berfikir.

Malam Pekat Penuh Zulmat.


Jalur benang hitam dan putih belum dapat dilihat. Pekat malam masih meyerkup sebuah zaman serba edan yang Dajal menuhankan dirinya. Lidah-lidah para penyair zaman yang bertujuan menggelincir manusia tak henti-henti melibas dan menyembur bisa pada warta.

Aku memilih untuk tidak percaya kepada berita yang melaporkan aktiviti ganas yang sedang meronrong maruah para mujahid Islam di bumi Iraq dan Syam. Para dajjalin sedang berpakat dengan syu'araa khianat untuk mencolet wajah nista ke atas sebuah perjuangan kebebasan dan jihad.

Kabut sedang meruap. Di sebaliknya watak-watak misteri sedang beraksi. Siapa tahu? Tertipulah sesiapa yang telah lama menghirup mabuk arak dari New York atau Ibu Kota sang Ratu.

Aku memilih untuk tidak percaya pada malar sebuah warta.

Monday, October 13, 2014

Konflik antara pimpinan Haraki.

Saidina Ali pernah berkonflik dengan Saidina Mu'awiyah. Bahkan pernah berkonflik dengan Ummul Mukminin Saidatina A'isyah. Konflik antara mereka telah membawa kepada peperangan yang menumpahkan darah.

Pemimpin-pemimpin kita tidak lebih baik dari mereka. Bahkan, darjat mereka jauh di bawah mereka. Maka, apakah kita harapkan mereka akan jadi seperti malaikat yang berjalan tenang di muka bumi? Apakah kita tidak boleh terima bahawa antara mereka berlaku konflik.


Kita menyisihkan untuk membetulkan Ali, Mu'awiyah atau A'isyah. Bahkan adalah selamat untuk mengatakan mereka semua adalah betul mengikut ijtihad masing-masing. Kita tidak mengatakan aku di pihak Ali. Atau aku bersama Mu'awiyah. Maupun berkata aku menyokong A'isyah!

Sekarang perselisihan pandangan antara pemimpin sedang tersuluh dalam jemaah. Maka ucapkan sebagaimana sikap anda dalam permasalahan Ali dan yang menentangnya. Serahkan urusan mereka kepada mereka dan sibukkan diri dengan urusan sendiri. Kalau tidak mampu memikirkannya, uzlahkan fikiran anda sebagaimana penderian sebahagian sahabat seperti Ibn Mas'ud dan yang sealiran dengannya. Wazalika aslam!

Friday, October 10, 2014

Bertaubat dari dosa hutang.

Datuk Ahmad Maslan minta 552,000 peminjam PTPTN yang tidak bayar hutang supaya bertaubat. Memang betullah seruan supaya bertaubat itu. Manusia yang berdosa, maka jalannya adalah taubat. Tidak bayar hutang kalau memang tak mahu bayar, memang satu dosa. Di Zaman Rasulullah, kerana tak bayar hutang, tidak boleh sertai peperangan jihad fi sabilillah. Ini kerana peperangan berkaitan dengan nusrah Allah. Nusrah Allah akan datang untuk orang-orang yang mensucikan diri dari dosa.

Tak mahu bayar hutang memang satu dosa.

Namun, apakah sejumlah 552,000 orang itu memang tak mahu bayar hutang atau mereka tidak mampu bayar hutang? Keadaan ekonomi negara yang kian menghimpit, menyebabkan soal keperluan hidup yang lain lebih diutamakan daripada membayar hutang. Seorang graduan yang telah bekerja, perlu membayar kenderaan, rumah dan keperluan hariannya. Akhirnya tiada lebihan untuk bayar hutang. Kenderaan, rumah dan makan pakai adalah keperluan hidup yang tidak boleh diketepikan. Barangkali kerana itu hutang PTPTN menjadi pilihan yang tersenarai.

Sementelahan pula sikap 'double standard' yang diamalkan kerajaan dalam pemberian hutang dari khazanah negara. Hutang kepada syarikat dan konglomerat besar tidak dituntut, sedangkan hutang kepada rakyat kerdil diungkit dan diancam dengan pelbagai ugutan. Ini menyemai keinginan memberontak di kalangan rakyat dan pemberontakan itu dijelmakan dalam bentuk tidak mengendahkan hutang yang diminta bayar. Sebab itu, tak hairan kalau lebih setengah juta rakyat kerdil berhutang yang tak mahu bayar hutang.

Jika rakyat kecil yang berhutang PTPTN perlu bertaubat, maka taubat itu lebih berhak dilantunkan kepada penghutang-penghutang mega yang meminjam wang negara berjuta dan berbilion untuk menjayakan syarikat mereka tetapi akhirnya hanya untuk kepentingan diri. Hutang-hutang mereka jika dicampurkan, melebihi berkali ganda keseluruhan hutang para peminjam PTPTN.

Bertaubatlah mereka yang khianat kepada amanah harta negara dan kembalikannya!

Thursday, October 09, 2014

Hang Tuah "Untold".


Saya hanya kekadang membaca tulisan Faizal Tehrani atau nama sebenarnya Faizal Musa.Saya tidak bersetuju dengannya dalam banyak hal. Masa belajar di Universiti dulu, dia adalah rakan sekuliah saya . Saya tidak ada titik persamaan dalam bual bicara dengannya. Dia dan saya selalu bersalahan . Waktu saya mempersoalkan kewajarannya membuat tesis tahun akhir bertajuk sastera, dia telah tempelak aku dan mengatakan saya menyempitkan Islam. Saya hanya tersengih terkabil-kabil. Memang betullah apa yang dikatakannya. Islam harus dilihat luas melewati bidang.

Semasa zaman belajar, dia bukan "klik" saya. Dia ada rakan-rakan rapatnya. Namun, pertemuan-pertemuan sebelum kuliah sering bersulam pergeseran pendapat. Itu semua jadi kenangan indah zaman belajar.

Kali ini saya rasa perlu berterima kasih kepada Faisal Tehrani kerana telah memberitahu sisi "Hang Tuah Untold" yang ada dalam Hikayat Hang Tuah. Seperti kebanyakan Melayu yang lain, saya diberitahu bahawa Hang Tuah adalah pahlawan Melayu yang hebat. Penuh Kemelayuan dan penuh keislaman. Membaca Hikayat Hang Tuah sejak zaman persekolahan, perhatian tidak terfokus pada sisi "Untold" tersebut.

Rupanya Hang Tuah dan komuniti istana yang dia abdikan diri itu adalah kelompok pendosa dan kaki minum arak. Itulah yang dapat diketahui hasil petikan yang diambil daripada catatan dalam Hikayat Hang Tuah.

Mungkin ada yang akan berkata bahawa Hang Tuah telah terfitnah. Penulis Hikayat itu membawa maksud jahat untuk memburukkan keperibadian mulia Hang Tuah. Jika demikian, watak Hang Tuah tak perlu ada kerana kita mengetahui kisah Hang Tuah pun menerusi tulisan hikayat yang dibawa oleh penulis hikayat itu. Patutkah kita menerima wujudnya manusia Hang Tuah tetapi enggan menerima apa yang dihikayatkan mengenainya sedangkan wujudnya itu pun terbit dari Hikayat itu?

Kerajaan Melayu Melaka yang dibanggakan, rupanya sebuah kerajaan Melayu biasa yang bersulam noda dan dosa. Saya tidak mahu lagi menyebutkannya sebagai zaman keemasan Melayu setelah mendengar sisi "untold" yang didedahklan oleh Faisal tehrani itu.

Terima kasih kerana menceritakan.

Baca:
http://www.malaysiakini.com/columns/277098



Tajdidlah ilmu anda.

Saya tidak pernah dengar mengenainya. Tok guru pun tak pernah sebut.

Pertama, seghairah mana anda menuntut ilmu? Seorang yang bukan menjadi agenda utama dalam hidup untuk menggali ilmu, memang dia tidak akan dengar mengenai banyak isu masalah hukum hakam dan sebagainya dalam agama. Bila sesuatu masalah disebut, maka pengetahuannya hanya akan bergantung kepada apa yang diketahui secara tak sengaja dalam hidupnya.


Keduanya, sementelahan pula kalau pengetahuan itu bersumberkan tok gurunya seorang.

Untuk mengikuti rancangan "Tanyalah Ustaz", dikatakan belajar dengan TV tidak syar'ie. Nak baca di internet, dikatakan ilmu di internet mengelirukan. Nak masuk sekolah atau universiti, dikatakan sudah tua. Maka, hanya sekadar belajar di masjid dalam masa-masa berbetulan ada kuliah masa pergi solat jemaah. Itupun banyak yang ketinggalan kerana sibuk dengan urusan hidup.

Ketika disebut satu masalah hukum, lantas dikatakan " saya tak pernah dengar pun!". Jawapan itu memang tidak patut. Di akhirat, alasan senada itu akan sering diucapkan oleh para kafir dan mujrimin. Mereka akan berhelah bahawa risalah tidak sampai kepada mereka. Kerana itu, Allah telah utuskan para Rasul, agar hujah itu tidak lagi" available".

Pengetahuan perlu selalu ditajdidkan. Agama pun memerlukan tajdid. Bahkan, semua barang perlu tajdid. Beli kereta, cukup beberapa tahun, kalau nak sedap naik, kenalah tajdid. Rumah yang dibeli, lama-lama kena tajdid juga. Kalau ilmu tak ditajdidkan, maka keluarlah jawapan....

" Saya tak pernah dengar dan tok guru pun tak pernah sebut!"

Bakar bible dan emosi marah.

Kemarahan itu sering membatalkan akhlak mulia. Sebab itu, ketika seorang sahabat minta nabi wasiatkan sesuatu kepadanya, nabi SAW lantas bersabda:

"Jangan marah!"


Pesanan itu diulangkan baginda sebanyak 3 kali.

Mungkin kerana marah, Ibrahim Ali, Presiden PERKASA itu mengungut untuk membakar bible. Namun, ugutan yang terbit dari emosi marah itu telah menjatuhkan darjatnya sebagai muslim. Keperibadian muslimnya yang sepatut berakhlak tinggi telah dikorbankannya kerana mengikut runtunan marah.

Agama bukan diperjuangkan atas rasa marah. Saidina Ali R.A ketika diludahi musuhnya dalam peperangan, hasratnya mahu membunuh musuhnya dibatalkan. Dia takut perjuangan agamanya dicemari dorongan kemarahan.

Memang marah bukan energi untuk perjuangan agama. Ia adalah energi perjuangan asobiah. Perjuangan agama bersulam kesabaran, waqar dan bijaksana. Kalau mahu bakar kitab agama lain, apakah kita kira penganut agama lain tidak mampu membakar kitab suci kita. Kita telah dengar bagaimana Al-Quran mahu dibakar dan kita bangkit melatah marah.

Sebab itu, muslim sejati bukan melakukan perjuangan agamanya berdasarkan emosi marah.

Friday, October 03, 2014

Dyana, Rara dan Melati.

Memang luar biasa tiga gadis Melayu itu masuk DAP. Ultra Melayu sudah tentu mendengus marah. Sebab itu ada yang kata macam-macam kepada mereka, termasuk menyifatkan sebagai pelacur politik yang ditunggani DAP. Ultra Islamis  pun teragak-agak antara kaget dan kehairanan. Terutama mengenai Melati, wanita yang berpurdah menyertai DAP.

Mengapa 3 gadis itu menyertai DAP? Mengapa? Mungkin pertanyaan itu bersiponggang dalam benak?

Baik tidak perlu tanya mengapa mereka menyertai DAP. Tanyalah kenapa mereka tidak menyertai kami? UMNO, PKR dan Pas, tanyalah diri sendiri, mengapa 3 kuntum dara itu tidak menyertai mereka sebagai parti yang ada warna Melayu dan Islam.

Dari situ baru muhasabah diri.  Itu lebih baik daripada memuhasabah orang. Mungkin diri berbau busuk sebab itu tiga dara itu memilih tempat lain untuk berteduh. Kalau sudah pasti diri wangi sewangi-wanginya, tetapi 3 dara itu masih memilih DAP, barulah mungkin tiga dara itu tak suka bau wangi dan suka bau yang busuk.

Mari periksa diri, dosa apa yang kita lakukan kelmarin!

Ketika Rakyat Bangkit Berpencak Sendiri

Bila rakyat bergerak tidak berpayung kepada mana-mana pertubuhan massa, maka gerakan mereka akan membahayakan negara. Ini kerana gerakan rakyat tanpa dipayungi parti atau pertubuhan yang bersifat massa, ia sukar ditenteramkan. Mereka bangkit tanpa dipimpin , maka bagaimana hendak disuruh duduk? Mereka berjuang dan suara mereka bersimpang siur.

Inilah perkembangan yang mungkin dan rasanya sedang mengorak langkahnya. Sebahagian besar pemuda-pemudi di Malaysia sudah berlepas diri dari "wala" kepada parti politik atau mana-mana pertubuhan yang bersifat nasional. Kekadang, mereka hanya menubuhkan kumpulan sementara untuk membangkitkan para penyokong. Ketika perjuangan mereka senada dengan sesebuah parti, sekilas pandang, mereka dikatakan dari kelompok parti itu.

Namun, pada satu saat, mereka akan dilihat bahawa bukan dari parti itu atau mana-mana pertubuhan.

Apa nama untuk fenomena ini? Apakah ada istilah dalam ilmu politik atau sosial untuk menjelaskan keadaan ini? Saya tidak tahu tetapi saya rasa keadaan ini sedang berlaku di negara kita.

Khabarnya ada rakyat akan berhimpun di Kuala Lumpur untuk membantah kenaikan harga minyak '2 kupang' yang dimumkan oleh pak menteri. Ketua polis sudah beri amaran agar jangan berhimpun. Tetapi, perhimpunan tersebut bukan anjuran pembangkang untuk mudah kerja polis menghalangnya. Ia juga bukan oleh NGO berdaftar untuk pihak polis pergi beri amaran kepada ketuanya. Ia adalah cetusan geladangan politik dan geladangan sosial yang tidak berumah dan tidak bertuan. Mereka boleh timbul dan boleh hilang tiba-tiba.

Sebahagian pemuda sudah mula berlepas diri dari parti politik. Ketika harapan disandarkan kepada PR untuk membela kebobrokan yang dilakukan pemerintah, PR pula buat hal. Kemelut dalaman yang tidak berkesudahan sekarang ini menguras kepercayaan generasi muda.Mereka mula memandang parti parti politik yang ada dengan picingan mata.

PR tidak mengurus krisis dengan cekap. Harapan rakyat tidak akan berpusat kepada PKR seorang. Juga tidak kepada Pas sendiri. Bukan juga kepada DAP. Ketika perkelahian masih berlangsung juga walau ramai sudah menjerit "cukuplah!", kebosanan generasi muda kian membuak.

Sebab itu, gerakan yang sedang membuak-buak di permukaan hari ini adalah gerakan tanpa parti politik. Gerakan Islam pun hilang kendali untuk menerajui gerakan ini kerana sibuk berdebat soal ulama dan profesional. Sibuk bertengkar soal falsafah dalam pejuangan yang tidak menjelma kepada praktis dan tidak merakyat.

Saya mengamati hal itu dan merasakan arah kebangkitan rakyat berada dalam aliran sedemikian. Ia memang tidak baik untuk negara, tetapi pemimpin-pemimpin kita sedang disibukkan dengan urusan rumahtangga.

Jawaplah nanti depan Tuhan.

Di sebuah bandar, sebuah mesin ATM dipecahkan dan setengah juta wang dilarikan. Di pinggir sebuah Pasar, seorang makcik cedera parah kerana bergelut dengan peragut bermotor. Ada dilaporkan baru-baru ini, seorang wanita dipotong tangannya kerana pencuri berminat dengan gelang emas di tangannya. Soal rumah dipecah masuk pencuri, berlaku di sana sini. Tidak terhitung lagi. Kereta yang dikunci di parkir pun dikebas orang. Bahkan, tabung masjid pun tega dikopak warga yang kelaparan dan kesempitan.


Rakyat yang susah makin susah. BRIM tak menyelesaikan masalah. Di desa-desa, banyak rumah bergelap di malam hari. Teriak tangis anak kelaparan susu, sakit demam tidak mampu berubat, dan dapur tak berasap kian merumit. Hal tersebut hanya dapat diketahui jika kehidupan marhaen ditelusuri. NIngrat dan wizurai tak akan mengerti smua itu.

Siapa akan menjawab semua ini?

Katakanlah satu masa nanti, di padang mahsyar, para penjenayah kecil yanhg buat kerja rompak dan curi itu ditanya.

"Kenapa kamu lakukan dosa-dosa itu?"

Lantas, pada hari semua orang mahu berlepas diri itu, mereka pun menjawab.

" Saya terpaksa lakukan semua itu. Barang keperluan hidup jadi mahal dan aku tidak mampu membelinya",

"Kenapa jadi mahal?"

"Minyak naik harga, GST menambah pula, pendapatan tidak seberapa, harga getah skrap jatuh merudum, tarif elektrik naik lagi, bil air makin mahal, tol menambah beban....", para pesalah jenayah rompak curi mencari alasan.

Mungkin sebahagiannya memang betul apa yang dibuatnya kerana tekanan hidup. Sebahagian lagi mungkin kerana hawa nafsu.

"Siapa naikkan harga minyak sampai kalian susah begini?" pertanyaan itu berlanjutan menyusul punca masalah.

"Pak menteri!", suara para mujrimin gemuruh menambah pikuk dataran mahsyar.

Pucat lesilah muka-muka pak menteri. Jawablah sendiri!

Katakanlah ketika itu :'hanya dua kupang!". Kalau jawapan itu dapat melepaskan kalian.

Aku rakyat kecil berlepas diri. Terketar-ketarlah kalian mencari alasan dan jawapan atas segala madah berhelah yang kalian buatkan di alam dunia sementara.

Wednesday, October 01, 2014

Pas bukan parti agama

Kenapa bila sebut agama, muka ustaz yang dipandang? Macamlah orang bukan ustaz bukan ahli agama. Cubalah pecahkan tembok yang memisahkan agama daripada masyarakat awam. Janganlah kurung agama dalam lingkungan yang diciptakan untuk agama. Itu akan menjadikan agama asing dan tidak meresap ke tengah khalayak.

Ada cerita pasal politik Selangor yang bmasih tak habis. Setelah kecewa kerana jumlah exco Pas dikurangkan dari empat jadi tiga, ada kalangan vokal dalam Pas bersuara agar exco agama tetap menjadi hak milik Pas. Ini pun satu macam jalu pemikiran yang meletakkan Pas dalam persepssi yang sempit. Seolah-olah pas itu parti agama. Kalau orang sebut pas parti agama, kita tak setuju. Tapi feel dan tingkah laku membuatkan orang beranggapan demikian.

Apa salahnya jika exco agama itu bukan menjadi milik parti? Seorang exco dari mana-mana parti boleh menjawat exco agama asalkan dia faham selok belok tugasnya. Kalau sebut Pas, maka soal agama sahaja yang diberikan kepadanya. Kalau begitu, jadilah Pas macam tok lebai di kampung yang kalau ada majlis tahli dan doa selamat, dialah yang disuruh baca doa. Tapi, kalau ada majlis-majlis resmi dan berjenama yang lain, yang merasmikannya adalah Datuk dan tan Sri tertentu.

Orang Pas sendiri tak tahu meletakkan partinya di mana. Kalangan mereka masih ada yang terikat dengan paradigm lama yang mahu menguasai bab  agama sahaja.Persoalannya, itukah lingkungan perjuangan Islam?

Pas bukan parti agama. Ia adalah sebuah Gerakan Islam yang menjunjung kesyumulan perjuangan.