CARI BAHAN

Tuesday, October 28, 2014

Anjing menyalak tekukur berdekur

Tidak menyalak kecuali anjing
Sang tekukur berdekurlah merdu.

Seseorang yang mengaku mendokong perjuangan Islam, ketika berbahasa kasar, mencemuh dan membangsatkan sifolan bin sifolan, jelaslah hanya berdusta dan hanya mengaku kosong sebagai pejuang Islam. Kalau yang keluar dari lidah adalah kalam nista, itulah gambaran perlimbahan nista yang mengalir dalam seketul daging yang menjadi raja dalam tubuhnya. Jika yang keluar dari lidahnya adalah kalam yang manis, lunak dan menjauhkan cacian dan makian, itulah gambaran raja dalam tubuhnya.

Berapa banyak pahala solat,puasa,zikir dan juga penyertaan dalam perjuangan Islam yang terkehel meluncur beralih tuan. Itu kerana tidak menjaga lidah dalam bicara dan jemari dalam bertinta.

Ketika retak antara firqah dalam jemaah kian meruncing, pendokong ulama menuding murka kelompok yang gagal mempamir wajah cinta ulama. Demikian kelompok bukan ulama menguman amarah buat pendokong ulama. Kata-kata caci maki pun terlepas bak lelayang terputus tali. Kendali akhlak pun karam dan cahaya seri wajah pun padam.

Pahala yang terkumpul bersimpang siur beralih tuan.

Jika sudah biasa menyalak
menyalaklah juga dengan galak
jika denak biasa menekur
menekurlah juga sampai masuk kubur.

Jiwa hulubalang.


Salah apa
seorang mahasiswa keluar dari tapa
yang bergulat buku nak lulus periksa
lantas terjun menongkah arus
mempamer jiwa wira
tak dengar kata

Mereka masih muda
Jiwa biar bergelora.

Muda berlagak tua
hanya membalut kerdil jiwa
tak layak memimpin warga luka
yang sedang terseksa.

Mahasiswa yang sibuk mengayam assignment
tak peduli sengsara derita
rakyat di hujung desa
kelak jadi menteri durja
berkata sesedap rasa.

Salahkah mahasiswa mempamer laga?
Mereka masih muda
Lebih mulia daripada mabuk cinta
Di pinggir tasik perdana.

Gegarkan darsa
Jiwa hulubalang menongkah arus

Sunday, October 26, 2014

Pemuda hatinya waja.


Asal besi jadi pedang
masakan menjulang pucuk lalang
jika kecil berjiwa pejuang
besar kelak akan terbilang.

Jika diugut hati pun goyang
nyatalah tak layak jadi pejuang
bukan keturunan yang dibilang
jiwa pejuang tak takut diganyang.

Pejuang nusa kebanggaan bangsa
masa kecilnya sudah bertanda
tika dewasa banyak terluka
pun begitu melangkah jua.

Sungguh bangga mendengar bicara
seorang pemuda di zaman siswa
tegas tega rela berlaga
tak takut ancaman sistem drakula.

#Dedikasi buat anak-anak kartaksis.

Friday, October 24, 2014

Negeri ini banyak bedebah.


Ini negeri banyak bedebah
Adab santun sudah punah
Banyak orang menjunjung ananiyah
Naik kereta main redah
Salah sendiri orang dimarah
Silap sendiri tak diendah

Sudah rasa alim sangat
pasal akhirat sudah kurang diingat
Kerja dunia sampai berkeringat
Tanya akhirat lupa ingat
Berjalan merangkak dirasa ningrat.

Negeri ini banyak bedebah
Patutlah menang kemudian kalah.

Wednesday, October 22, 2014

Syed Azmi

Saya tak kenal Syed Azmi, individu yang menjadi 'mastermind' di sebalik penganjuran program "I want to touch a dog'. Banyak orang memperkatakan mengenainya. Berbaur pro dan kontra. Paling teruk, ada yang menggelarkannya munafiq yang baru masuk Islam dan ingin merosakan Islam dari dalam. Program anjurannya itu telah menggoncang otak dan kemampuan fikir ramai kalangan warga Melayu muslim Malaysia. Ada yang yang terpamir kebijakannya dan ada pula yang memuntahkan kebodohan dan kedungguan dari reaksi mereka.

Saya tak kenal Syed Azmi. Cerita bahawa dia baru masuk Islam dan mahu merosakkan Islam adalah tuduhan semberono yang tidak bertanggungjawab. Ia memberi gambaran negatif bahawa yang baru masuk Islam itu harus dicurigai. Betapa ramai yang masuk Islam dan mereka lebih memberi faedah kepada Islam daripada mereka yang lahir sebagai Islam.

Ada cerita-cerita bergambar yang saya lihat menggambarkan Syed Azmi ini pula seorang aktivis sosial yang banyak membantu golongan geladangan, melaksanakan dakwah jalanan, membantu marhaen dan sebagainya. Saya percaya, hal tersebut ramai yang tak mampu lakukan, termasuk oleh para pengobar semangat mempertahankan Islam pada lidah namun kotang amalinya.

Orang yang banyak cakap tentang Islam selalu dijangkiti penyakit ujub. Meremehkan orang lain dan merasa kerja diri sendiri hebat untuk Islam. Penyakit ini merosakkan amal walau penuh sedunia sekalipun, apatah lagi kalau amal itu cuma dalam bentuk syarah semangat membela Islam sahaja.

Kita tidak faham apa niat disebalik program anjuran Syed Azmi itu. Jangan kita menanam prasangka sebelum mendengar penjelasannya. Setelah mendengar penjelasannya, kita berhak untuk tidak setuju namun kita tidak berhak mencemuh dan menistakannya. Program tersebut adalah kreativitinya dan kita buatlah program mengikut kreativiti kita untuk melawannya. Itulah perjuangan membela Islam yang sepatutnya. Bukan kita hanya asyik mengkritik dan menyalahkan tanpa mampu berbuat sesuatu yang lebih baik daripadanya.

Saya dengar dia banyak buat kerja amal. Saya kalah dengannya. Bagi saya, apa yang dia buat terbaru ini adalah masalah yang berkisar dalam lingkungan feqah yang sarat dengan qila wa qala. Tentang niatnya, bukan kudrat kita untuk membongkarnya. Kita berhak membantah programnya, namun jangan sampai menifakkannya, menganggapnya liberalis, pluralis dan bermacam-maca laqab buruk yang lain.

Lihatlah kerja buat orang lain dan cerminkan dengan kerja buat kita. Elakkan mematahkan dahan sebaliknya pautlah ia ke arah yang kita mahu. Ramai orang cintakan Islam selain kita dan kita bukan calon tunggal ke syurga.

Monday, October 20, 2014

Melayu yang dianggap pendatang.


Ketika aku bergulat di Laut Sulu, di sebuah tempat bernama Tanjong Batu, aku punya kepercayaan, suku Suluk yang menghuninya adalah dari rumpun Melayu. Warna kulit mereka dan rona wajah mereka tidak berbeza dengan bangsa Melayu yang dikenal di negeri-negeri Semenanjung. Hanya kerana mereka disebut atas nama suku mereka, leluhur mereka yang berakar serumpun Melayu itu dilupakan atau diingat-ingatlupakan.


Maka, mereka yang datang dari Selatan Filipina itu disebut pendatang. Kerana Mereka telah dipisahkan oleh sempadan geografi yang terbentuk kemudiannya, penyemberangan sempadan itu menjadikan mereka disebut pendatang. Begitu banyak Melayu yang jadi pendatang di perairan Sabah. Bukan sahaja dari suku Suluk, bahkan dari kalangan Bajau, Bugis dan lain-lain. Mereka dipanggil sebagai pendatang hanya kerana mereka menyemberang sempadan yang tercipta kemudian setelah leluhur mereka pada masa-masa sebelumnya bebas berpindah randah antara archipelago warisan Melayu.


Tiba-tiba seorang perwakilan Parti Gerakan dalam Mesyuarat Agung yang diadakan melebelkan Melayu juga sebagai pendatang. Dari sudut yang telah kusebutkan itu, Melayu dengan pecahan sukunya, memang sudah lama kerajaan meletakkan beberapa suku Melayu sebagi pendatang. Namun, oleh kerana maksud perwakilan itu adalah Melayu sebagai sebuah bangsa yang ditempelaknya sebagai pendatang, maka ia tidak dapat diterima oleh para nasionalis Melayu.


Memang Melayu adalah pendatang . Sekurang-kurangnya itulah yang dituduhkan oleh seorang yang ada IC ke atas atas seorang yang tidak ada IC di sebuah kampung di Batu Sapi.Jika demikian, bukan perwakilan Parti Gerakan itu yang mula mengucapkannya, bahkan telah pun diucapkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu sebelumnya!

Mujurlah sabda telah tiada.

Mujurlah sabda telah tiada.

Ketika bicara bersengketa
ada manusia berasa dewa
setiap katanya mesti dilaksana
menyongsang dihukum dosa.

Mujurlah nabi telah khatam
kata manusia umpama asam
buat penyedap kuah laksam
bukan sabda menekan lisan!

Sengketa Ini fatamorgana

Aku ulama kau bukan!
Aku bumiputera kau pendatang!

Kalau setiap orang menjulang ananiyyah
sengketa tidak akan bertumu damai
Kalau sejarah sekolah diungkit
bermahkotalah santeri tajul ulama selamanya
Tak akan lahir Sayyid Qutub di kandang Melayu

Melayu hanya berkisah Melaka nan Gemilang
berhikayat Taming Sari keris Laksamana Hang Tuah
Menumbuk bumi berkepul debu
bersumpah daulat pertahan hak keramat
Bangsa lain yang dikata pendatang
menabur benih bertunas tanaman
memungut hasil dari debu berterbangan.

Sunday, October 19, 2014

Dia seorang ulamak.

Bertahun-tahun dia abadikan hidup untuk perjuangan Islam. Dari zaman muda hingga mencecah usia tua. Dari musim menyemai hingga musim menuai. Di kala penyokong sedikit hingga melanai. Jiwa kental tahan diuji. Tidak takut ancaman jeriji. Tidak terpesona manisnya janji. Kurang bicara banyak khidmat pertiwi. Tidak bersila di atas bantal bersulam baldu. Bahkan turun merasa denyut nadi.

Kerana tidak mengaji, tidak bertalaqi daripada syeikh Badawi, tidak memakai pakaian wali, tidak masuk tariqat sufi, kekallah dia di maqam awami.


Budak muda, janggut sejemput bawah dagu, baru kelmarin khatam kitab munyatul musolli, pandai pula berzanji, jubah serban dipakai setiap hari, petah pidato berpasak hadis nabi. Namun belum pernah tahan uji. Kemilau harta belum pun disaji. Bujuk jawatan belum sampai di kaki. Masuk persatuan para wali. Dia digelar ulama pewaris nabi.

Kerana bukan ningrat selamanya jadi anak gahara. Inilah hukum kasta ciptaan manusia. Sang pemanjat darjat, pada saat telah bersila lipat di langit malaikat, pintu langit ditutup rapat.

"Ayohlah wahai manusia, kalian tidak akan pernah jadi malaikat lagi sesudahku...pintu langit telah kutup rapat...!"

Seorang abdi bisa jadi ulama sedangkan tuannya menyangka hamba semata.

Bukan Agenda Pluralisme



Program yango diberi nama " I Want To Touch A Dog" bukan agenda pluralisme. Sekalipun tujuan penganjur adalah untuk mencabar norma beragama orang Melayu di Malaysia, ia tidak boleh dilihat sebagai sebuah agenda pluralisme. Sentuh anjing hanyalah soal pandangan ulama. Ia bukan satu yang dilarang secara qat'i berdasarkan nas.


Justeru, ia bukan agenda pluralisme. 


Lainlah kalau ada sekelompok orang Islam buat kempen yang melanggar keharaman dalam agama secara qat'i berdasarkan dalil Al-Quran dan Hadis. Umpamanya kempen sentuh wanita bukan muhram,  kempen minum arak beramai-ramai atau kempen mandi bogel di pantai awam. Kalau itu dibuat oleh kelompok orang Islam, memang itu pecahan dari agenda pluralisme dan liberalisme.


Maka, umat Islam jangan melatah. Kempen " I Want To Touch A Dog" bukan agenda pluralisme agama. Jangan setiap yang melanggar norma beragama yang kita adatkan turun temurun, kita bagi buah kilas terhadapmya sebagai agenda jahat pluralisme.

Thursday, October 16, 2014

Akhlak dalam meninta ulas peristiwa.


Akhlak juga dinilai dari segi bahasa ucapan. Termasuklah bahasa tulisan. Bercakap ikut sedap mulut melambangkan rendahnya akhlak. Begitu juga menulis sesedap rasa, ia adalah lambang rendahnya akhlak seseorang. Ketinggian akhlak menjadi terlebih penting di kala seseorang itu mengaku memperjuangkan Islam.

Elok tidak perlu berbelit-belit. Saya bukanlah berakhlak malaikat. Namun, membaca beberapa komen yang dilepaskan ke laman sosial oleh beberapa individu, berkaitan pengisytiharan keluarnya Tamrin Tun Ghafar daripada Pas, persoalan akhlak dalam patah bicara menjadi hal yang meruncingkan.

Berundurnya Tamrin daripada Pas diulas dengan sinis oleh para pejuang tandus akhlak. Menyifatkannya sebagai tidak ada tarbiah, datang tidak diundang dan boleh pergi bila sudah tidak boleh ikut rentak, dia cuma bekas UMNO dan sebagainya, adalah reaksi-reaksi yang tidak sepatutnya diungkap para pembela Islam.

Sepatutnya perlu muhasabah diri. Cari kesilapan diri dan bukan menelah kesilapannya. Apatah lagi menyifatkannya dengan kata-kata yang merendahkannya. Kalau tidak mampu memuhasabah diri, lebih baik diam tanpa sebarang komen. Orang ramai akan memerhati bagaimana kita berbicara.

Perjuangan tanpa akhlak dalam bicara dan asyik bersangka buruk kepada orang hanya akan menambah jauh dari nusrah Allah. Marilah kita memeriksa penyakit apa yang menanahi kita sehingga burung dalam genggaman menggelepar terbang pergi.

Jangan terlalu mentazkiah diri.

Wednesday, October 15, 2014

Kilas angkasa luka.

Menjelang petang, langit kelam, guruh-guruh menderam di langit. Sesekali kilat sambar menyambar. Hujan turun lagi. Sederas dan selebat kelmarin. Para penoreh mengeluh terus...

"Besok tak bekerja lagi...hidup makin susah!".


Petani yang menunggu tuaian padi dipukul resah. Padi yang masak bakal rebah berendam air bendang. Marhaen mendengus gelisah.

Sejak hari itu, hujan guruh dan kilat masih berlanjutan juga. Bila kan berhenti? Gempita di Batu Pahat masih berdengung gema di langit muram suram. Berhentilah berarak mendung durja. Marhaen rindu menyambung kerja.

Memilih permata di antara kaca



Zaman sekolah dulu, dia seorang murid yang pintar. Otaknya cemerlang amat. Kawan-kawan, malah guru-guru selalu jadikan dia sandaran.Dalam semua peperiksaan, dia tidak pernah terkalahkan. Dia telah menguasai pelbagai bidang ilmu zaman persekolahannya, terutama ilmu-ilmu yang berkaitan ilmu Islam dan cabang-cabangnya.

Dalam masa yang sama, ada sebilangan rakannya yang corot dalam pelajaran. Mereka itu malas, nakal dan mandom. Kalau periksa, hanya nombor-nombor belakang yang diperolehi. Datang skolah pun hanya kerana dipaksa oleh ayah. Ada satu orang, ayahnya seorang tokoh agama setempat. Orang anggap ayahnya ulama dan kebetulan memegang jawatan-jawatan utama dalam organisasi perjuangan. Sementara anaknya, masya Allah. Malas belajar dan nakal sudah jadi trademarknya.

Bila zaman persekolahan sudah berlalu, murid yang pintar, dan cemerlang itu melanjutkan pelajaran hingga ke universiti. Selepas ijazah, disambungnya master dan PHD hingga ke luar negeri. Memang demikianlan perangai murid yang cerdik. Tak pernah kenyang belajar. Kalau orang perempuan suka tengok TV sambil makan kacang, dia malah memandu sambil baca kitab. Ulama dan tokoh cendikiawan antarabangsa banyak yang jadi gurunya.

Adapun murid pemalas dan nakal anak tokoh agamawan kampung itu pula, selepas tamat persekolahan dia lega amat. Dunia sekolah memang penjara buatnya. Dia tidak punya cita-cita jadi orang berilmu, kendati sekurang-kurang macam ayahnya. Namun, ayahnya sering mencorakkannya

Ternyata ayahnya tidak berputus harap. Setelah tamat sekolah, ayahnya paksakannya masuk sekolah pondok di sebuah negeri yang jenuh dengannya. Di sana dia ambil syahadah thanawi dan dapat keputusan maqbul. Dengan dorongan ayahnya juga, dia mohon sambung belajar di Mesir. Bila sudah jauh dari ayahnya, dia sangat suka sekali Pengawasan ayah sudah tiada dan di Mesir dia bebas untuk belajar atau tidak. Banyak masanya di sana digunakan untuk menjelajah negeri dan cerok rantau bumi Kan'an itu. 

Cukup tahun dan musim, dia pun pulanglah. Gembiranya sang ayah kerana anaknya pulang juga dari perjuangan ilmunya. Kegembiraan sang ayah dikongsi bersama warga desa. Puji dan puja warga jatuh atasnya dan dia angkat sebagai tokoh ulama muda. Dalam masa yang singkat, reputasinya meningkat dan kepercayaan masyarakat kepadanya menimbun. Bakat kepimpinan ayahnya memang ada padanya. Lantas, jawatan dan kedudukan ayahnya pun tersalur kepadanya.

Untuk satu tempoh masa, Allah telah pertemukan dua insan itu di satu medan yan menguji kemampuan. Yang satu dipanggil orang dengan gelaran akedemiknya. Yang satu dipanggil orang dengan panggilan haibah laqab dari masyarakat setempatnya. Dua peribadi yang berlatarbelakang berbeza sedang berada di pentas pengaruh. Masing-masing menghargai nilai pengaruh dalam masyarakat dan merebutinya.

Di sinilah masyarakat diuji untuk membezakan antara permata dan kaca. Permata yang tidak digilap, amat sayang kalau dibuang. Letih dan rasa diperbodohkan kalau hanya kaca yang digilap, diangkat jadi tajul mahkota.

Sebab itu, setiap ulama yang pernah lahir menyinari zaman, ada manaqibnya. Ada sejarah nasy'ah setiap satunya. Cemerlang masa kecilnya , gemilang masa dewasanya dan terbilang masa tuanya. 

Asal sabut timbul, asal batu kan tenggelam.

Tuesday, October 14, 2014

Awang dan ayah.

Dulu ayah pesankan awang
Awang tunduk akur mengangguk
Tiada awang bertanya
Apa tujuan pesan ayah
Awang taat berjiwa pasrah.

Dulu kata ayah adalah firman
Awang terima penuh iman
Dosa besar ayah dipersoalkan
Ayah lebih banyak makan garam
Awang budak baru belajar.

Kini zaman sudah berubah
Ketika ayah hebat bermadah
Awang tanya 

Madah siapa?
Kitab mana rujukan ayah?
Apa tujuan apa hikmah?
Awang sudah banyak olah!

Kata ayah jadi sabda
Dibahas sanad matan diulas
Ada ditashih ada ditadh'if
Ayah bukan lagi mahkota alam
Tunjuk membelah langit 

Jatuh mengakar dalam bumi
Awang cerdik banyak berfikir.

Malam Pekat Penuh Zulmat.


Jalur benang hitam dan putih belum dapat dilihat. Pekat malam masih meyerkup sebuah zaman serba edan yang Dajal menuhankan dirinya. Lidah-lidah para penyair zaman yang bertujuan menggelincir manusia tak henti-henti melibas dan menyembur bisa pada warta.

Aku memilih untuk tidak percaya kepada berita yang melaporkan aktiviti ganas yang sedang meronrong maruah para mujahid Islam di bumi Iraq dan Syam. Para dajjalin sedang berpakat dengan syu'araa khianat untuk mencolet wajah nista ke atas sebuah perjuangan kebebasan dan jihad.

Kabut sedang meruap. Di sebaliknya watak-watak misteri sedang beraksi. Siapa tahu? Tertipulah sesiapa yang telah lama menghirup mabuk arak dari New York atau Ibu Kota sang Ratu.

Aku memilih untuk tidak percaya pada malar sebuah warta.

Monday, October 13, 2014

Konflik antara pimpinan Haraki.

Saidina Ali pernah berkonflik dengan Saidina Mu'awiyah. Bahkan pernah berkonflik dengan Ummul Mukminin Saidatina A'isyah. Konflik antara mereka telah membawa kepada peperangan yang menumpahkan darah.

Pemimpin-pemimpin kita tidak lebih baik dari mereka. Bahkan, darjat mereka jauh di bawah mereka. Maka, apakah kita harapkan mereka akan jadi seperti malaikat yang berjalan tenang di muka bumi? Apakah kita tidak boleh terima bahawa antara mereka berlaku konflik.


Kita menyisihkan untuk membetulkan Ali, Mu'awiyah atau A'isyah. Bahkan adalah selamat untuk mengatakan mereka semua adalah betul mengikut ijtihad masing-masing. Kita tidak mengatakan aku di pihak Ali. Atau aku bersama Mu'awiyah. Maupun berkata aku menyokong A'isyah!

Sekarang perselisihan pandangan antara pemimpin sedang tersuluh dalam jemaah. Maka ucapkan sebagaimana sikap anda dalam permasalahan Ali dan yang menentangnya. Serahkan urusan mereka kepada mereka dan sibukkan diri dengan urusan sendiri. Kalau tidak mampu memikirkannya, uzlahkan fikiran anda sebagaimana penderian sebahagian sahabat seperti Ibn Mas'ud dan yang sealiran dengannya. Wazalika aslam!

Friday, October 10, 2014

Bertaubat dari dosa hutang.

Datuk Ahmad Maslan minta 552,000 peminjam PTPTN yang tidak bayar hutang supaya bertaubat. Memang betullah seruan supaya bertaubat itu. Manusia yang berdosa, maka jalannya adalah taubat. Tidak bayar hutang kalau memang tak mahu bayar, memang satu dosa. Di Zaman Rasulullah, kerana tak bayar hutang, tidak boleh sertai peperangan jihad fi sabilillah. Ini kerana peperangan berkaitan dengan nusrah Allah. Nusrah Allah akan datang untuk orang-orang yang mensucikan diri dari dosa.

Tak mahu bayar hutang memang satu dosa.

Namun, apakah sejumlah 552,000 orang itu memang tak mahu bayar hutang atau mereka tidak mampu bayar hutang? Keadaan ekonomi negara yang kian menghimpit, menyebabkan soal keperluan hidup yang lain lebih diutamakan daripada membayar hutang. Seorang graduan yang telah bekerja, perlu membayar kenderaan, rumah dan keperluan hariannya. Akhirnya tiada lebihan untuk bayar hutang. Kenderaan, rumah dan makan pakai adalah keperluan hidup yang tidak boleh diketepikan. Barangkali kerana itu hutang PTPTN menjadi pilihan yang tersenarai.

Sementelahan pula sikap 'double standard' yang diamalkan kerajaan dalam pemberian hutang dari khazanah negara. Hutang kepada syarikat dan konglomerat besar tidak dituntut, sedangkan hutang kepada rakyat kerdil diungkit dan diancam dengan pelbagai ugutan. Ini menyemai keinginan memberontak di kalangan rakyat dan pemberontakan itu dijelmakan dalam bentuk tidak mengendahkan hutang yang diminta bayar. Sebab itu, tak hairan kalau lebih setengah juta rakyat kerdil berhutang yang tak mahu bayar hutang.

Jika rakyat kecil yang berhutang PTPTN perlu bertaubat, maka taubat itu lebih berhak dilantunkan kepada penghutang-penghutang mega yang meminjam wang negara berjuta dan berbilion untuk menjayakan syarikat mereka tetapi akhirnya hanya untuk kepentingan diri. Hutang-hutang mereka jika dicampurkan, melebihi berkali ganda keseluruhan hutang para peminjam PTPTN.

Bertaubatlah mereka yang khianat kepada amanah harta negara dan kembalikannya!

Thursday, October 09, 2014

Hang Tuah "Untold".


Saya hanya kekadang membaca tulisan Faizal Tehrani atau nama sebenarnya Faizal Musa.Saya tidak bersetuju dengannya dalam banyak hal. Masa belajar di Universiti dulu, dia adalah rakan sekuliah saya . Saya tidak ada titik persamaan dalam bual bicara dengannya. Dia dan saya selalu bersalahan . Waktu saya mempersoalkan kewajarannya membuat tesis tahun akhir bertajuk sastera, dia telah tempelak aku dan mengatakan saya menyempitkan Islam. Saya hanya tersengih terkabil-kabil. Memang betullah apa yang dikatakannya. Islam harus dilihat luas melewati bidang.

Semasa zaman belajar, dia bukan "klik" saya. Dia ada rakan-rakan rapatnya. Namun, pertemuan-pertemuan sebelum kuliah sering bersulam pergeseran pendapat. Itu semua jadi kenangan indah zaman belajar.

Kali ini saya rasa perlu berterima kasih kepada Faisal Tehrani kerana telah memberitahu sisi "Hang Tuah Untold" yang ada dalam Hikayat Hang Tuah. Seperti kebanyakan Melayu yang lain, saya diberitahu bahawa Hang Tuah adalah pahlawan Melayu yang hebat. Penuh Kemelayuan dan penuh keislaman. Membaca Hikayat Hang Tuah sejak zaman persekolahan, perhatian tidak terfokus pada sisi "Untold" tersebut.

Rupanya Hang Tuah dan komuniti istana yang dia abdikan diri itu adalah kelompok pendosa dan kaki minum arak. Itulah yang dapat diketahui hasil petikan yang diambil daripada catatan dalam Hikayat Hang Tuah.

Mungkin ada yang akan berkata bahawa Hang Tuah telah terfitnah. Penulis Hikayat itu membawa maksud jahat untuk memburukkan keperibadian mulia Hang Tuah. Jika demikian, watak Hang Tuah tak perlu ada kerana kita mengetahui kisah Hang Tuah pun menerusi tulisan hikayat yang dibawa oleh penulis hikayat itu. Patutkah kita menerima wujudnya manusia Hang Tuah tetapi enggan menerima apa yang dihikayatkan mengenainya sedangkan wujudnya itu pun terbit dari Hikayat itu?

Kerajaan Melayu Melaka yang dibanggakan, rupanya sebuah kerajaan Melayu biasa yang bersulam noda dan dosa. Saya tidak mahu lagi menyebutkannya sebagai zaman keemasan Melayu setelah mendengar sisi "untold" yang didedahklan oleh Faisal tehrani itu.

Terima kasih kerana menceritakan.

Baca:
http://www.malaysiakini.com/columns/277098



Tajdidlah ilmu anda.

Saya tidak pernah dengar mengenainya. Tok guru pun tak pernah sebut.

Pertama, seghairah mana anda menuntut ilmu? Seorang yang bukan menjadi agenda utama dalam hidup untuk menggali ilmu, memang dia tidak akan dengar mengenai banyak isu masalah hukum hakam dan sebagainya dalam agama. Bila sesuatu masalah disebut, maka pengetahuannya hanya akan bergantung kepada apa yang diketahui secara tak sengaja dalam hidupnya.


Keduanya, sementelahan pula kalau pengetahuan itu bersumberkan tok gurunya seorang.

Untuk mengikuti rancangan "Tanyalah Ustaz", dikatakan belajar dengan TV tidak syar'ie. Nak baca di internet, dikatakan ilmu di internet mengelirukan. Nak masuk sekolah atau universiti, dikatakan sudah tua. Maka, hanya sekadar belajar di masjid dalam masa-masa berbetulan ada kuliah masa pergi solat jemaah. Itupun banyak yang ketinggalan kerana sibuk dengan urusan hidup.

Ketika disebut satu masalah hukum, lantas dikatakan " saya tak pernah dengar pun!". Jawapan itu memang tidak patut. Di akhirat, alasan senada itu akan sering diucapkan oleh para kafir dan mujrimin. Mereka akan berhelah bahawa risalah tidak sampai kepada mereka. Kerana itu, Allah telah utuskan para Rasul, agar hujah itu tidak lagi" available".

Pengetahuan perlu selalu ditajdidkan. Agama pun memerlukan tajdid. Bahkan, semua barang perlu tajdid. Beli kereta, cukup beberapa tahun, kalau nak sedap naik, kenalah tajdid. Rumah yang dibeli, lama-lama kena tajdid juga. Kalau ilmu tak ditajdidkan, maka keluarlah jawapan....

" Saya tak pernah dengar dan tok guru pun tak pernah sebut!"

Bakar bible dan emosi marah.

Kemarahan itu sering membatalkan akhlak mulia. Sebab itu, ketika seorang sahabat minta nabi wasiatkan sesuatu kepadanya, nabi SAW lantas bersabda:

"Jangan marah!"


Pesanan itu diulangkan baginda sebanyak 3 kali.

Mungkin kerana marah, Ibrahim Ali, Presiden PERKASA itu mengungut untuk membakar bible. Namun, ugutan yang terbit dari emosi marah itu telah menjatuhkan darjatnya sebagai muslim. Keperibadian muslimnya yang sepatut berakhlak tinggi telah dikorbankannya kerana mengikut runtunan marah.

Agama bukan diperjuangkan atas rasa marah. Saidina Ali R.A ketika diludahi musuhnya dalam peperangan, hasratnya mahu membunuh musuhnya dibatalkan. Dia takut perjuangan agamanya dicemari dorongan kemarahan.

Memang marah bukan energi untuk perjuangan agama. Ia adalah energi perjuangan asobiah. Perjuangan agama bersulam kesabaran, waqar dan bijaksana. Kalau mahu bakar kitab agama lain, apakah kita kira penganut agama lain tidak mampu membakar kitab suci kita. Kita telah dengar bagaimana Al-Quran mahu dibakar dan kita bangkit melatah marah.

Sebab itu, muslim sejati bukan melakukan perjuangan agamanya berdasarkan emosi marah.

Friday, October 03, 2014

Dyana, Rara dan Melati.

Memang luar biasa tiga gadis Melayu itu masuk DAP. Ultra Melayu sudah tentu mendengus marah. Sebab itu ada yang kata macam-macam kepada mereka, termasuk menyifatkan sebagai pelacur politik yang ditunggani DAP. Ultra Islamis  pun teragak-agak antara kaget dan kehairanan. Terutama mengenai Melati, wanita yang berpurdah menyertai DAP.

Mengapa 3 gadis itu menyertai DAP? Mengapa? Mungkin pertanyaan itu bersiponggang dalam benak?

Baik tidak perlu tanya mengapa mereka menyertai DAP. Tanyalah kenapa mereka tidak menyertai kami? UMNO, PKR dan Pas, tanyalah diri sendiri, mengapa 3 kuntum dara itu tidak menyertai mereka sebagai parti yang ada warna Melayu dan Islam.

Dari situ baru muhasabah diri.  Itu lebih baik daripada memuhasabah orang. Mungkin diri berbau busuk sebab itu tiga dara itu memilih tempat lain untuk berteduh. Kalau sudah pasti diri wangi sewangi-wanginya, tetapi 3 dara itu masih memilih DAP, barulah mungkin tiga dara itu tak suka bau wangi dan suka bau yang busuk.

Mari periksa diri, dosa apa yang kita lakukan kelmarin!

Ketika Rakyat Bangkit Berpencak Sendiri

Bila rakyat bergerak tidak berpayung kepada mana-mana pertubuhan massa, maka gerakan mereka akan membahayakan negara. Ini kerana gerakan rakyat tanpa dipayungi parti atau pertubuhan yang bersifat massa, ia sukar ditenteramkan. Mereka bangkit tanpa dipimpin , maka bagaimana hendak disuruh duduk? Mereka berjuang dan suara mereka bersimpang siur.

Inilah perkembangan yang mungkin dan rasanya sedang mengorak langkahnya. Sebahagian besar pemuda-pemudi di Malaysia sudah berlepas diri dari "wala" kepada parti politik atau mana-mana pertubuhan yang bersifat nasional. Kekadang, mereka hanya menubuhkan kumpulan sementara untuk membangkitkan para penyokong. Ketika perjuangan mereka senada dengan sesebuah parti, sekilas pandang, mereka dikatakan dari kelompok parti itu.

Namun, pada satu saat, mereka akan dilihat bahawa bukan dari parti itu atau mana-mana pertubuhan.

Apa nama untuk fenomena ini? Apakah ada istilah dalam ilmu politik atau sosial untuk menjelaskan keadaan ini? Saya tidak tahu tetapi saya rasa keadaan ini sedang berlaku di negara kita.

Khabarnya ada rakyat akan berhimpun di Kuala Lumpur untuk membantah kenaikan harga minyak '2 kupang' yang dimumkan oleh pak menteri. Ketua polis sudah beri amaran agar jangan berhimpun. Tetapi, perhimpunan tersebut bukan anjuran pembangkang untuk mudah kerja polis menghalangnya. Ia juga bukan oleh NGO berdaftar untuk pihak polis pergi beri amaran kepada ketuanya. Ia adalah cetusan geladangan politik dan geladangan sosial yang tidak berumah dan tidak bertuan. Mereka boleh timbul dan boleh hilang tiba-tiba.

Sebahagian pemuda sudah mula berlepas diri dari parti politik. Ketika harapan disandarkan kepada PR untuk membela kebobrokan yang dilakukan pemerintah, PR pula buat hal. Kemelut dalaman yang tidak berkesudahan sekarang ini menguras kepercayaan generasi muda.Mereka mula memandang parti parti politik yang ada dengan picingan mata.

PR tidak mengurus krisis dengan cekap. Harapan rakyat tidak akan berpusat kepada PKR seorang. Juga tidak kepada Pas sendiri. Bukan juga kepada DAP. Ketika perkelahian masih berlangsung juga walau ramai sudah menjerit "cukuplah!", kebosanan generasi muda kian membuak.

Sebab itu, gerakan yang sedang membuak-buak di permukaan hari ini adalah gerakan tanpa parti politik. Gerakan Islam pun hilang kendali untuk menerajui gerakan ini kerana sibuk berdebat soal ulama dan profesional. Sibuk bertengkar soal falsafah dalam pejuangan yang tidak menjelma kepada praktis dan tidak merakyat.

Saya mengamati hal itu dan merasakan arah kebangkitan rakyat berada dalam aliran sedemikian. Ia memang tidak baik untuk negara, tetapi pemimpin-pemimpin kita sedang disibukkan dengan urusan rumahtangga.

Jawaplah nanti depan Tuhan.

Di sebuah bandar, sebuah mesin ATM dipecahkan dan setengah juta wang dilarikan. Di pinggir sebuah Pasar, seorang makcik cedera parah kerana bergelut dengan peragut bermotor. Ada dilaporkan baru-baru ini, seorang wanita dipotong tangannya kerana pencuri berminat dengan gelang emas di tangannya. Soal rumah dipecah masuk pencuri, berlaku di sana sini. Tidak terhitung lagi. Kereta yang dikunci di parkir pun dikebas orang. Bahkan, tabung masjid pun tega dikopak warga yang kelaparan dan kesempitan.


Rakyat yang susah makin susah. BRIM tak menyelesaikan masalah. Di desa-desa, banyak rumah bergelap di malam hari. Teriak tangis anak kelaparan susu, sakit demam tidak mampu berubat, dan dapur tak berasap kian merumit. Hal tersebut hanya dapat diketahui jika kehidupan marhaen ditelusuri. NIngrat dan wizurai tak akan mengerti smua itu.

Siapa akan menjawab semua ini?

Katakanlah satu masa nanti, di padang mahsyar, para penjenayah kecil yanhg buat kerja rompak dan curi itu ditanya.

"Kenapa kamu lakukan dosa-dosa itu?"

Lantas, pada hari semua orang mahu berlepas diri itu, mereka pun menjawab.

" Saya terpaksa lakukan semua itu. Barang keperluan hidup jadi mahal dan aku tidak mampu membelinya",

"Kenapa jadi mahal?"

"Minyak naik harga, GST menambah pula, pendapatan tidak seberapa, harga getah skrap jatuh merudum, tarif elektrik naik lagi, bil air makin mahal, tol menambah beban....", para pesalah jenayah rompak curi mencari alasan.

Mungkin sebahagiannya memang betul apa yang dibuatnya kerana tekanan hidup. Sebahagian lagi mungkin kerana hawa nafsu.

"Siapa naikkan harga minyak sampai kalian susah begini?" pertanyaan itu berlanjutan menyusul punca masalah.

"Pak menteri!", suara para mujrimin gemuruh menambah pikuk dataran mahsyar.

Pucat lesilah muka-muka pak menteri. Jawablah sendiri!

Katakanlah ketika itu :'hanya dua kupang!". Kalau jawapan itu dapat melepaskan kalian.

Aku rakyat kecil berlepas diri. Terketar-ketarlah kalian mencari alasan dan jawapan atas segala madah berhelah yang kalian buatkan di alam dunia sementara.

Wednesday, October 01, 2014

Pas bukan parti agama

Kenapa bila sebut agama, muka ustaz yang dipandang? Macamlah orang bukan ustaz bukan ahli agama. Cubalah pecahkan tembok yang memisahkan agama daripada masyarakat awam. Janganlah kurung agama dalam lingkungan yang diciptakan untuk agama. Itu akan menjadikan agama asing dan tidak meresap ke tengah khalayak.

Ada cerita pasal politik Selangor yang bmasih tak habis. Setelah kecewa kerana jumlah exco Pas dikurangkan dari empat jadi tiga, ada kalangan vokal dalam Pas bersuara agar exco agama tetap menjadi hak milik Pas. Ini pun satu macam jalu pemikiran yang meletakkan Pas dalam persepssi yang sempit. Seolah-olah pas itu parti agama. Kalau orang sebut pas parti agama, kita tak setuju. Tapi feel dan tingkah laku membuatkan orang beranggapan demikian.

Apa salahnya jika exco agama itu bukan menjadi milik parti? Seorang exco dari mana-mana parti boleh menjawat exco agama asalkan dia faham selok belok tugasnya. Kalau sebut Pas, maka soal agama sahaja yang diberikan kepadanya. Kalau begitu, jadilah Pas macam tok lebai di kampung yang kalau ada majlis tahli dan doa selamat, dialah yang disuruh baca doa. Tapi, kalau ada majlis-majlis resmi dan berjenama yang lain, yang merasmikannya adalah Datuk dan tan Sri tertentu.

Orang Pas sendiri tak tahu meletakkan partinya di mana. Kalangan mereka masih ada yang terikat dengan paradigm lama yang mahu menguasai bab  agama sahaja.Persoalannya, itukah lingkungan perjuangan Islam?

Pas bukan parti agama. Ia adalah sebuah Gerakan Islam yang menjunjung kesyumulan perjuangan. 


Monday, September 29, 2014

Zurriyatun Dhi'af dilahirkan Pas

Nampaknya Pas ketandusan pemimpin muda yang berkaliber. Parti-parti lain aku tidak tahulah. Aku hanya nak tegur Pas. Dalam dunia media sosial makin rancak dan terbuka ini, hakikat bahawa pemimpin muda Pas hilang kaliber makin terserlah. Ini dapat dilihat daripada tulisan-tulisan mereka yang meluah perasaan di FB dan Whatsup.  Luahan perasaan mereka itu pada akhirnya mendedahkan kekerdilan jiwa para pemimpin muda tersebut. Sekaligus menunjukkan kepada warga maya kedungguan politik mereka.

Aku tidak perlu sebut siapa.Para pengembara alam maya akan dapat melihat perangai kelakuan mereka yang merenggek dan menangis tidak berlagu di dunia FB dan Whatsup melalui tulisan-tulisan mereka. Tulisan mereka tidak punya nilai untuk membangunkan citra politik bijaksana malah lebih kepada racau fikiran yang tumpul dan naif politik.  Barangkali kerana gila menulis atau mungkin kerana hilang tempat mengadu.

Para pemimpin muda Pas yang sedemikian tidka akan mampu menapak tangga kepimpinan yang berkesan. Akhirnya mereka akan balik jadi jaguh-jaguh kampungan yang bersorak di tepi tali air sawah yang tidak pun mampu menghentikan air yang mengalir. Malangnya, sebuah gerakan Islam hanya melahirkan " Zuriatun Dhi'af".

Kebetulan pula, para pemimpin muda itu mencelupkan diri sebagai ulama-ulama yang sinonim dengan gerakan Pas. Mengapa susah sangat mahu mencari kebijaksanaan di kalangan para ustaz?

Huh! aku pun seornag ustaz.

Tuesday, September 23, 2014

Azmin Ali dan takdir jawatan.

Setakat ini, kita patut menghargai kesabaran Azmin Ali menunggu takdirnya menjabat jawatan sebagai menteri  besar Selangor. Dalam riuh rendah orang merebutkannya, dia mengambil jalan mendiamkan diri. Dari sudut itu, beliau telah menunjukkan akhlak yang baik dalam berorganisasi. Ketika saat dia turut menggoncang Khalid Ibrahim beberapa tahun lalu, apabila Khalid Ibrahim teguh berkapuk di dahan menteri besar, dia pun berhenti menjoloknya. Ketika Pakatan rakyat riuh membicarakan siapa pengganti Khalid Ibrahim, dia tidak becok membuat kenyataan. 

Begitulah, Allah telah susun, siapa yang akan menjabat kedudukan di kerusi terpanas di Selangor itu. Dia adalah Azmin Ali. Rakan-rakan seangkatannya ramai yang telah terpeliot dalam langkah panjang pendakian menggapai kedudukan dalam parti. Dia terpilih untuk terus mara dan bertahan menghadapi badai gelora buas politik dan rencam adu dombanya.Dia juga terpalit dengan gambaran nista yang dibawa oleh musuh-musuh politiknya.

Semua mehnah yang dihadapi seseorang ada harganya. Seorang yang banyak diuji dan dicuba, memang layak mendapat anugerah dalam hidupnya. Siapapun orang itu, dia layak mendapat buah setelah jerih menanam benih. Orang yang berada dalam hembusan angin sepoi bahasa nan damai, tidaklah wajar bangkit sebagai pendekar merebut panji di akhir jerih.

Saya tidak menyanjung Azmin Ali dan bukan pembodeknya. Namun saya suka melihat kepemudaannya yang menongkah badai mehnah politik. Dia menunjukkan contoh untuk para pemuda lain agar tabah, sabar dan bertahan dalam arena yang diceburi. Saya masih seorang pemuda dan saya suka pemuda yang berpencak di pentas politik.

Saya mengharapkan dia bakal menjadi "sidi" yang terbaik buat rakyat, khasnya yang bernaung di bawah payung kerajaan Selangor. Hingga ke tahap ini, kita perlu memberikannya kepercayaan dan mendoakannya.

Kecuali jika dia mengkhianatinya!

Monday, September 22, 2014

ISIS di Pantai Timur Sabah?

Ancaman ISIS meletus di pantai Timur Sabah. Demikian seperti apa yang diwar-warkan oleh Menteri Pertahanan, DS Hishammuddin Tun Hussein. Warta mengenainya didahului dengan penafian bahawa ia satu ugutan buat rakyat Sabah.

Dengan membawa beberapa hujahan yang berhubung perjuangan Moro yang bermotifkan penubuhan negara Islam, ia pun dikaitkan dengan perjuangan ISIS yang ingin menubuhkan daulah Islam di wilayah-wilayah yang dikuasainya.Sokongan terbuka pemimpin perjuang Selatan Filipina terhadap ISIS dilihat sebagai bukti bahawa idea ISIS telah bertapak di Selatan Filipina dan mengembangkan pengaruhnya ke Sabah.

Almaklum, lewat terakhir ini, suara-suara separatis di bumi Sarawak dan Sabah kian rancak bersenandung. Sudah tentu ia memberi persepsi yang menggusarkan pihak kerajaan. Isu ISIS yang menghantui timur tengah umpama kisah hantu yang menakutkan buat sekumpulan kanak-kanak nakal yang suka bermain hingga lewat senja di luar rumah.

Barangkali kerana perkembangan mutakhir mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia yang agak panas, cerita ISIS boleh menjadi buah fikir buat rakyat Borneo. Terutama kalangan mereka yang fobia dengan idealisme negara Islam dan berbetulan pula mereka adalah kalangan yang galak memukul gendang pemisahan.

Namun, cerita yang berbentuk menakut-nakutkan mudah diperlecehkan orang dewasa ini. Keadilanlah yang akan membuatkan jiwa yang meronta terasa puas dan dengan itu tidak perlu menggunakan isu cemas untuk membulatkan paduan rakyat.


Sunday, September 21, 2014

Parti Islam jenis apa ini?

" Parti Islam jenis apa ini? Saari Sungip dilaporkan berkata. Beliau mengatakan demikian berikutan kecewa dengan kutukan dan cemuhan ke atasnya dalam muktamar Pas baru-baru ini. Kutukan dan cemuhan ke atasnya seperti dihalalkan sekalipun ramai alim ulama dalam Pas. Ditambah pula dengan dakwaan sepontan TGHH bahawa beliau dibeli oleh "broker" atau "barua".



Buah "Parti Islam jenis apa ini" sudah dapat menggambarkan sikap Saari Sungip terhadap Pas untuk masa-masa seterusnya. Luka di kaki boleh diubat, namun luka di hati, sehingga mati dibawa pergi.

Ramai ornag memberi pandangan tentang isu-isu dalam muktamar yang berkisar mengenai marah dan pongah. Sebuah parti yang menjulang rahmat Islam kini terumbang ambing tidak menentu. Cerdik pandai berkelahi. Otak fikir bersimpang siur. Di sinilah kita mengimpikan turunnya malaikat penyelamat. Namun, sayangnya realiti dunia, kita tidak akan pernah dipimpin oleh malaikat penyelamat. Tokoh-tokoh masa lepas yang menjuarai parti di zamannya, jika hidup kembali pun, belum tentu dapat mengungkap dan menyelesaikan misteri ini.

Misteri yang menyelubungi!

Dalam hidup berjemaah, mulut kena jaga. Kerena lidah banyak bawa padah, hendaklah berfikir seribu kali sebelum bermadah. Sekali madah diludah, masakan boleh dijilat semula. Kalau pun sanggup dijilat, maruah penjilat lidah akan tercemar. Setiap soldadu jemaah perlu dihargai. Kesilapan tidka hanya satu jalan penyelesaian. Memaafkan adalah satu jalan yang utama.Menghukum bukan penyelesaian mutlak dan mujarab.

Sejarah pemimpin hebat dalam sejarah mengajar kita.

Friday, September 12, 2014

Dosa pemain wayang kebocoran soalan UPSR.

Mungkin pembocoran soalan UPSR itu tidak dilihat isu besar oleh sesetangah orang. Apalah sangat dengan peperiksaan UPSR? Lainlah kalau SPM yang mana ia banyak menentukan kelangsungan pembelajaran murid ke peringkat seterusnya. Kalau UPSR, lulus atau tidak, ia tidak memberikan efek besar kepada murid  dalam melakar masa depan pembelajarannya.

Tidak soal itu sahaja yang harus berputar dalam benak kita. Soal pembocoran soalan UPSR, jika diamati dengan teliti, ia melibatkan pengkhianatan, pecah amanah, pembaziran dan meruntuhkan pilar-pilar keutuhan negara.

Pembocor itu menanggung dosa besar yang tidak dapat dikifaratkan dengan mudah. Akibat perbuatannya, negara telah kehilangan juta ringgit. Wang pembayar cukai untuk negara telah dipersiakan begitu sahaja. Dia juga menghancurkan harapan ribuan anak-anak kecil yang tidak berdosa.Keyakinan awam kepada sistem peperiksaan juga bertabrakan.

Maka, kebocoran saolan UPSR bukan sekadar satu episod lawak jenaka. Ia adalah khianat harta negara, vandalisme kelicinan ilmu dan pelbagai implikasi lain yang berkaitan.Pihak yang terlibat telah bergelumang dalam kancah berlopak yang manajisi sumber razekinya. Jika ada hasil keuntungan ringgit yang diperolehi, maka ia adalah hasil yang serendah darjat razeki dari keja-kerja melacurkan diri, jual dadah, niaga arak dan segala pendapatan haram yang boleh dihitungkan.

Sekian

Jiwa Rakyat atau Jiwa Ningrat.

Kita sangat mudah menyebut seorang raja itu berjiwa rakyat. Hanya kerana melihatnya duduk bersila di majlis bersama rakyat, kita pun panggil dia raja berjiwa rakyat. Kita membilang dan menghitung tindakannya yang ditafsirkan kebersamaan dengan rakyat, lalu kita lupa menilai dan menghitung tindakannya yang memperlihatkan watak ningratnya.

Ada kalangan kita menyifatkan raja berjiwa rakyat bila lihat dia naik motor besar dengan kumpulannya meronda negeri, beri bantuan sana sini. Kita terpegun dan sifatkannya sebagai raja berjiwa rakyat bila lihat dia ke lubang kubur turunkan mayat seseorang. Terserempak dengannya berjalan di pasar malam, kita pun panggil dia berjiwa rakyat. Lantas, kita lupa bahawa pada sisi yang lain, raja itu menghuni istana besar yang tidak pernah pun dimasuki rakyat. Bahkan tahun demi tahun menambah bilangan istana. Raja itu ada berpuluh kereta mewah sedang ada rakyatnya yang tak memiliki walau sebuah kapcai.

Mana ada raja yang jiwanya rakyat? Jiwa raja adalah jiwa ningrat. Kalau dia jiwa rakyat, dia akan pergi buat rumah di kampung dan tinggal di tengah-tengah rakyat. Bekerja keras cari razeki macam nabi Daud jadi tukang besi. Itu baru namanya jiwa rakyat. Cari razeki dengan kudrat. Tak pakai pakaian yang berbeza dengan rakyat dengan segala kemerlip bintang kebesaran.

Terma raja berjiwa rakyat itu dipasakkan ke dada bangsa Melayu setelah zaman feudal yang menafsirkan raja sebagai "Zillullah Fil Alam" tidak lagi berkesan. Sudah tidak laku lagi. Dengan kata lain, bila orang Melayu sudah menganut fahaman demokrasi, maka datanglah kalimah " raja berjiwa rakyat". Kalimah pertama itu sifatnya mendewakan. Kalimah kedua pula sifatnya mensucikan.

Perbandingannya macam orang yang meninggikan diri dengan sifat takbur. Bila tinggi diri itu sudah dicemuh, dia pun beralih kepada merendah diri pula. Namun merendah diri itu adalah agar orang memuliakan dan memujinya yang tawadhuk. Jadi Azazil dah tidak dihormati, bertukarlah pula jadi darwish.

Walhasil, kedua-duanya adalah menunjuk langit!

Wednesday, September 10, 2014

Menyeru wehdah menebar tafriqah.

Sebenarnya, seruan agar menyokong dan berdiri bersama presiden dalam kemelut isu sekarang bukan langkah memperkukuhkan jemaah dan menancap wehdah. Seruan itu sekilas pandang molek didengar. Siapa tidak sayang presiden yang sekaligus merupakan ulama sanjungan dan kepercayaan antarabangsa. Namun, jika diamati, kecenderungan penuh emosi sesetengah ahli kita mengajak kita menyatakan sokongan kepada presiden dan MSU dalam isu membabitkan konflik MB Selangor bukanlah seruan jemaah, sebaliknya seruling syaitan yang mempesona. Ia bukan merapatkan batu bata jemaah, tetapi merenggangkan lagi.

Kita generasi pendukung jemaah tidak harus dimabukkan dengan pengkultusan. Kecintaan kita bukan kepada presiden, tetapi kepada jemaah. Presiden tidak harus diceraiberaikan daripada rakan-rakannya dalam barisan kepimpinan. Ia tidak bererti apa-apa jika tegak sendiri tanpa barisan kepimpinan.

Sokongan kita bukan kepada TGHH, TGNA, MSU atau manamana entiti dalam PAS. Sokongan kita hendaklah bulat dan adil kepada keseluruhan yang membentuk jemaah. KIta sedang dimain-mainkan oleh musuh yang menebarkan prasangka dan keraguan sesama kita. Akibatnya kita dihasut untuk melihat Presiden secara sendirian dan hanya membelanya. Kita disuntik syurbat mamabukkan agar taksub ulama dan mempertahankan MSU lalu melecehkan semua yang mempertikainya dan menyongsangnya.

Ahli jemaah yang termakan mainan musuh itu adalah ahli jemaah yang tidak memahami adab berjemaah dan mudah dibahlulkan oleh musuh. Kerana itu terbit sikap merendahkan pimpinan yang lain dalam pendewaan kepada presiden dan termakan pelebelan ke atas sebahagian pimpinan sebagai "Anwariyyun", munafiq haraki, dan sebagainya. Demikian pula sebaliknya,ada pelebelan geng UG, pro UMNO dan seterusnya.

Semua ini lagu-lagu yang dinyanyikan bersama seruling Syaitan!

Kononnya sayang TGHH, lantas dicemuh Mat Sabu, Khalid Samad, Mujahid dan ramai lagi yang disifatkan sebagai penentang presiden. Kebodohan apa yang melanda untuk mempercayai tipudaya ini? Ahli bawahan yang dunggu mendongak ke atas melihat ke atas dengan mata berpinar perit. Kalau tidak mampu menatap matahari, tataplah sahaja rerumput di bumi!

Saya menyeru sahabat-sahabat agar jangan menyebar tafriqah. Para pemimpin yang kita pilih dalam muktamar adalah satu. Jangan pelebelan ulama dan profesional membingungkan kita. Jangan pelebelan Anwariyyun dan UG membingungkan kita. Jika kita dengar ada yang memuji sanjung TGHH tetapi cemuh cela Mat sabu dan pimpinan lain, percayalah bahawa dia sedang berzikir lagu durja. Disangka dia membela kebenaran, tetapi sebenarnya dia menebar keraguan.

Kesetiaan kita adalah kepada jemaah. Jangan dipecahkan batu bata jemaah lalu menyeru setia kita kepada pecahannya.

Monday, September 08, 2014

Maksum telah pun mati.

Ketika telinga panas mendengar orang menkritik taifah kita, bisikkan dalam hatimu bahawa nabi telah tiada. Kemaksuman pun telah berakhir bersama wafatnya baginda. Sebuah taifah sebagaimana seorang insan, bukan maksum. Kritiklah tentang dosanya. Semoga Allah memperbaikinya.

Kita mengaku kita ahli sunnah. Bagi kita maksum telah pun mati. Tiada yang suci walau mencapai makam wali. Namun, keyakinan kita bahawa maksum telah mati itu tidak menjadikan kita sanggup mengakui kesalahan orang-orang yang kita sucikan.

Kita sanjung syeikh kita seperti nabi. Kita tidak dapat terima kalau ada orang mengkritik beberapa perkara mengenai syeikh sanjungan kita. Ketika orang kritik Imam Syafie, pantaksub Syafie akan bangkit marah. Beberapa tempat di masa lalu telah mencipta episod berdarah kerananya. Demikian pula para pentaksub imam yang lain.

Di waktu orang mengkritik kitab "ihya ulumudin" dan status hadis-hadisnya, ada kalangan naik berang. Jika demikian, inti Ihya tidak meresap dalam jiwa pembelanya. Imam Al-Ghazali juga manusia biasa dan ada kesalahan dalam menintakan dakwatnya.

Para pengkritik orang pun jangan rasa diri maksum. Saat mengkritik orang, orang dikritik diseru agar menyedari hakikat bahawa maksum telah mati, maka ketika diri sendiri pula dikritik, ingatlah juga bahawa diri tidak maksum. Maksum telah mati buat yang dikritik dab buat diri yang mengkritik juga.

Inilah sikap kelompok ahli sunnah. Hanya Syiah yang memaksumkan imam-imam mereka. Jika kita memaksumkan ulama-ulama kita, taifah kita, kitab rujukan kita atau apa sahaja yang kita kagumi dan sanjungi, itulah petanda bahawa virus rawafidh telah merayap ke jantung hati kita.

Langkah Kajang

Kajang mereka kajang berlipat
Kajang kita mereka tidak tahu

Ketika melipat kajang, patut fikir dulu bolehkah dibuat wau daripadanya. Jangan asal ada kajang, dilipat sesuka hati. Kajang yang rosak tidak dapat dibuat wau. Kalau buat wau, wau tak terbang. Buat pembungkus nasi lemaklah akhirnya.

Apa boleh buat. Kusangka dagang tuan dagang Pak Malau. Rupanya dagang tuan masih dedalu.

Telajak perahu mudik ke ulu
telajak siasat bertungkat dagu.

Kalau Mersing tiada Sri-nya
Baiklah Damak lupakan Gegala.

Bukan kelmarin lagi.

Kelmarin adalah masa lalu
di kala akal baru sekutil
ilmu dihirup tanpa takwil.

ketika kata biasa jadi sabda
mahaguru bersila laksana brahma
murid faham tanpa tanya
bijaksana dikurung dalam penjara.

Kelmarin yang belalu
hidup terbanyak umpama dedalu
induk menjulang sebagai ara berhantu
jangan bangkit memandang tuanku
taat patuh hamba Melayu.

Kini bukan kelmarin lagi
ayam pun telah tumbuh gigi...

Sunday, September 07, 2014

Gelora akan pergi jua.

Sahabat-sahabatku...

Lihatlah laut ini
Biarlah ia bergelombang membadai
betapa pun ia mengolang oleng bahtera kita
kekallah di posisi masing-masing
jangan diruntun rasa panik
selagi belum karam
jangan terjun mencari kepingan berpaut

biarlah....
biar patah tiang layar
biar pecah geligi buritan
biar ombak menyimbah dek..
selagi bahtera mengapung di laut ini
tidak perlu melinggas kerlingan mata
mencari bahtera baru..

Sudah resam samudera
bila reda ombak gelora
tenanglah laut semula
bahtera rosak kita baiki semula
lebih mudah dari membina bahtera baru.

Ketika cemas kita bersengketa
bila tenang kembalilah sekata
di atas bahtera rentaslah samudera
menuju pelabuhan Tuhan

Laut mana tidak bergelora?

Siapa bersalut noda?

Kata-kata bukan lambang kesucian. Seorang mujrim boleh berbahasa wali. Sedang wali pernah dilihat sebagai orang hina dalam masyarakat. Dalam hati siapa tahu. Walau penampilan mempesona, ia bukan gambaran kesucian jiwa. Seseorang yang sering mencela insan lain, itulah petanda ada palit noda dalam hati. Hati yang berpalit noda, lambat laun akan menerbitkan amal durja. Hanya menunggu masa.

Kerana itu Allah memperingatkan, buat orang beriman khsusnya, jangan "sok suci".

فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى

" Jangan menganggap dirimu suci, Dia (Allah) lebih tahu siapa yang lebih bertakwa".
(Surah An-Najm: Ayat 32)

Fitnah merasa diri suci, terbaik, selamat, unggul serta bermacam-macam keujuban diri, paling mudah menjangkiti orang-orang yang merasakan dirinya ulama. Ulama dalam gerakan paling berbahaya. Ini kerana mereka sentiasa beraksi mendakwah manusia. Kerana sibuk mendakwah manusia, terlupa mendakwah diri sendiri. Sibuk menggilap telupa diri perlu digilap.

Lantas, ketika keluar perkataan bahawa "sipolan" itu berbahaya. "Sipolan" itu munafiq, parasit dan pelbagai persepsi negatif, maka awaslah. Itulah ketikanya kelibat "ananiyyah" yang menyalutkan noda di hati sedang beraksi.

Malang sekali jika hal demikian berlaku dalam derap langkah membangun "taifah mansurah". Kenapa harus dipecah-pecahkan batu bata jemaah kepada kelompok ulama dan profesional? Sejak bila agama mengenal pelebelan ini? Sedang semuanya adalah batu bata hitam putih perjuangan yang tidak dikastakan. Dewan-dewan bukanlah dibina untuk menkastakan soldadu, tetapi untuk melestarikan kerja yang berpadu.

Saturday, September 06, 2014

Kecamuk ini perlu ditamatkan.

Angin ribut sedang menggila. Kekadang ada kilat yang memancar. Sesekali guruh menderum. Hujan turun tidak menentu. Aku malas keluar rumah. Masa-masa begini, duduk terperosok di sudut berselimut rasanya lebih baik. Tetapi, keadaan tidak semudah itu.

I'tizal di penjuru asing bukan jawapan!

Terjun ke medan yang bingit yang berkecamuk dengan ribut menggila, hujan mencurah-curah serta kelibat kilat dan guruh pun bukan menambah apa-apa. Tanpa suara sakti madraguna, lengkinganku bakal karam dalam suasana.

Minggu depan aku diajak menyampaikan pengisian tarbiah di sini. Aku ada keraguan. Terus terang. Keadaan gempita ini menjadikan aku mahu sahaja bertapa senyap di hujung zawiyah.

Algojo sedang cekcok di luar. Andaikan suaraku melantun kata "diam!", apakah ia mampu meredakan kegelisahan yang bersenandung di pinggir belantara ini. Pecah suara jerit pekik agar tenteram dan tafakkur, bisakah ia menelurkan natijah?

Wahai sida-sida di balai utama, mana mantera bijaksana? Hembuskan ke buana persada kami ini yang sednag gempita. Musibah padamkan segera. Petaka biar lenyap semua.

Keadaan ini menumpulkan sekalipun zulfaqar. Lantunan Syair Ibn Rawahah pun hilang dalam kepulan debu.

Gelombang

Bahtera yang sarat
gelombang yang hebat
nakhoda panjang makrifat
kelasi yang taat.

Penumpang pula yang penat
muntah hijau pening lalat.

Syaitan dan Malaikat.

Memang benar
tidak semua yang berkokok itu ayam
bukan semua yang mengembek itu kambing
tidak semua lembu itu mengeboh.

Tiada manusia menjadi malaikat
walau menembus alam malakut.

di kalangan manusia ada syaitan
walau semua besarnya berserban
solat puasa cukup bilangan

Usah dikata
bukan semua dalam masjid itu solat
bukan semua dalam pub itu menari

Kata yang benar
tujuannya batil.

Friday, September 05, 2014

Jangan marakkan api!

Siapa sedang membakar jerami?
sampai terbakar sawah padi
ketika musim panas begini
baik duduk berdiam diri.

bukan sifat bijak bestari
bongkar habis seisi hati
bekalan seminggu digasak sehari
rela tinggal seorang diri

jika ada siponggang dalam hati
baik disimpan baik diteliti
sebelum jemari ditari-tari
memetik ayat membakar diri.

jangan pohon di tanah tinggi
pucuk melayut menonjol diri
kelak dipukul badai bersiri
meliuk lintuk patah sendiri.

Ketika terpercik bunga api
seronok sungguh tidak sedar diri
kelak api membakar negeri
barulah sesal gigit jari.

# buat pemimpin muda, yang berasah gigi.

Thursday, September 04, 2014

Mengapa banyak sekali ratib "Guru Yahya!".


Berhentilah ratib durja itu.
fana telah menakah bijaksana
kebencian bertukar menjadi rindu
yakin hilang berbaur prasangka

Ratib itu mimpi nista
sesat dalam sengketa
kita tidak mungkin bersatu dengan musuh kita
sampai kiamat kita tidak akan bersama
kemarin dan hari ini juga selamanya.
Apalah guna
meratib kata
jika benar bagai dikata
diam itu bijaksana
biarkan serigala melolong di malam gelita.

Wednesday, September 03, 2014

Siapa Dr. Irfan Al-Alawi?

Kononnya, kubur nabi Muhammad SAW akan dibongkar oleh kerajaan Arab Saudi yang berfahaman wahabi. Ia bertujuan membersihkan amalan ummat Islam dari kesyirikan akibat pemujaan berlebihan terhadap kubur Rasulullah SAW. Berita mengenainya ditulis oleh seorang ebrnama Dr. Irfan Al-Alawi. Para penggemar kempen anti wahabi akan terus meneguk berita sedemikian tanpa usul periksa lagi. Berapa tahun sudah berlalu, sentimen yang sama asyik dimainkan. Pemainnya adalah seorang penulis yang bernama Dr. Irfan Al-Alawi.

Siapa sebenarnya Dr. Irfan Al-Alawi?

Rujuk:




Monday, September 01, 2014

DIAMLAH SEJENAK!

Ketika ini, Barat sedang menggasak minda kita.  Barat dengan tabiatnya, khianat dalam maklumat, akan mengembirikan ia agar kita parak peranda. Pada saat video-video kekejaman ISIS dipaparkan, saya suka kalau kita diam sejenak. Jangan terus percaya dan jangan pula tidak mahu berfikir untuk percaya. Dunia perang tidak serupa dengan dunia aman. Petikkan gitar tak serupa bunyi gemerincing pedang dan tombak. Lantunan piano tidak sama letupan senapang dna meriam.

Diamlah sejenak dari mencela ISIS. Kita tidka tahu apa yang sebenarnya berlaku di medan laga. Kita hanya diberitahu oleh insan-insan curang. Khabar curang itu menerobos masuk ke dalam rumah-rumah orang soleh. Bukan salah kesolehannya. Hanya kerana tipudaya itu sangat hebat, kesolehan tidak cukup menjadi pertahanan jiwa.

Esok, setelah kabus sirna, bicaralah dan katakanlah apa yang tersemat dalam fikiranmu. Itu setelah kamu dapat melihat dan membezakan antara permata dan kaca.


Thursday, August 28, 2014

Untuk sebuah bumi bernama Gaza


"Bila pedang sedang berbicara
maka diamlah wahai pena!".

setelah bumi dirampas
laungan damai jadi hampas
Selagi hak tidak kembali
bagaimana mungkin berdiam diri.

Melayu.


Pohon Melayu berakar bangsa
berpucuk seorang raja

"Arayat Juna Bakhsanat Sultan Kahsad"

Jika Sapurba memecah wa'ad
Demang masih dituntut taat.

Mengapa Melayu bersumpah keramat?
Umpama berdewa Putera Siguntang Mahameru.

Rela hilang riwayat nabi
berebut memetik syair santri
buat memuja Sultan berperi.

Menghirup segar ilmu.

Sumur tua di pinggir bendang
kini terbiar hilang haibah
lumut rumpai banyak menumpang
berenang-renang si ulat lintah.

Zaman ini sudah berubah
Air diminum mengalir ke rumah
mengapa masih di sumur sawah
sedang sawah diracun sudah.

Sumur bukan pujaan lagi
seperti berlaku di zaman bahari
warga sekampung sama berkongsi
sumur pusaka warisan Tok Wi.

Ilmu sudah merentas Lazuardi
Fatwa bukan milik sang mufti
Tidak hanya dalam kitab wali
bertebaran penuh angkasa ilahi.

Jalan merentas berpencar beribu
bukan lagi denai yang satu
laluan tunggal orang dahulu
pilihlah lebuh destinasi dituju.

Thursday, August 14, 2014

Tuailah Padi Antara Masak


Masak ranum padi sebendang

Buahnya lebat alang kepalang

Terasa kagum mata yang memandang

Jika dituai penuhlah segudang.


Bijak sungguh petani menanam

puja puji dianyam-anyam

dikata ahli dalam pertanian

bendang saujana menunggu tuaian.


Di kala padi masak sarat

masa menuai sangat lambat

tangkai tunduk bertambah berat

turunlah pula hujan nan lebat.



Padi sebendang saujana mata

walau menguning isi saksama

lambat dituai mula angkara

hasil lenyap sekelip mata.

Friday, July 18, 2014

Beta Raja Dewata Mulia



Bersila beta
di bawah sidrah muntaha
jangan bicaramu mengguris beta
luka beta luka semesta
tidak sama darah beta dan jelata
beta mewarisi darah Sang Nila
dari leluhur Sang Sapurba
langsung berttitih dari Aqtabul Bahri
cicit dari Iskandar Zulqarnain.

Tunduklah bersembah batu jemala
menciumlah ke bawah duli
restu beta bertemali
hingga ke bawah Langit Tinggi
di bawah bayang Tuhan yang 'ali.

Seribu tahun lagi
cunda beta tetap mengganti
menjadi simbol arca suci
disembah kalian zuriat Demang Lebar Daun
berikat wa'ad tidak tidak berganti.

Kerana kalian bangsa mengota janji
sabda Wali Tun Tuah
"Tak kan Melayu Hilang Di Dunia".

Aku tertawa melantun titah
kala bersantai menonton Oprah

Lagu Anak Gahara

Masih berlagu
nyanyian sang anak gahara
menjatuh hukuman atas Panglima Bentan
atas sumpah durja bangsa
untuk tidak derhaka.

buang daerah atau pesona non grata
bagi penderhaka.

Zaman sudah berubah
raja bukan lagi ningrat
pewaris darah kaum kerabat
tapi seluruh rakyat
berpencak bijak menyusun siasat
hidup bukan lagi bersimpuh lipat.

Negeri ini bukan berbau daulat
untuk rakyat menjadi bangsat.

Dulu aku seorang ningrat
moyangku raja Langkasuka nan hebat
kini aku cuma rakyat
negara leluhurku hanya dalam hikayat.

Raja rakyat di putaran roda
jangan menyangka atas selamanya.

Lara Luka Buat MAS


Luka semalam masih bernanah

hari ini berdarah lagi.


MH370 masih ditangisi

MH17 menambah tragedi

baru mahu bangun berdiri

rebah pula bersimpuh lagi


Takziah bersendu simpati

buat MAS penerbangan pertiwi

moga nafas tak henti berlari

bangkitlah biarpun bertatih lesi.


Muslihat apa di balik takdir

musibah datang berturut-turut

malam duka belum pun dini

khabar gerhana pula menanti.


Di bawah gelung langit ini

kita cuma abdi ilahi

marilah tafakur diri

kembali menyemai jalan yang diredhai.


MAS pusaka negara merdeka

moga lestari sembuh luka.


-Lunas,Kedah.

Saturday, May 24, 2014

Bangkai 13 Mei

Setelah lebih tiga dekad
bangkai 13 Mei dikuburkan
mengapa masih mencari pusaranya,
untuk dibongkar menghidu busuknya?

Generasi yang mengusung kerandanya
membenamkan ia ke lahad sejarah
telah berkhilaf di mana nesannya
telah lupa di perkuburan mana
tiada kemboja tumbuh mewangi
tiada maqam bertulis pasti

Hanya cerita bersulam ceriti
mayatnya tersimpan di belukar semak
mungkin terbenam di tanah rata
mungkin karam di selat Melaka.

Generasi pasca merdeka
yang hanya mendengar lara tua
mengapa menggali kubur lama?
mencari bangkai 13 Mei
untuk apa?
buat menghidu busuknya?
jemukah sudah haruman bunga
semerbak di taman paduan bangsa.

anak muda berbangsa ungka
rimbun rendang rimba belantara
mengapa dahan dikekah patah?
mengapa direjang runtuh teduh?

Bangkai 13 Mei
telah lama dikuburkan nenda
di pusara tidak bernama
cunda masih membaca mantera
menyeru kembali ruh durja
cunda menyelongkar kota lama
mencari bangkai busuk luka.

Apa guna jadi manusia
baik hidup sebagai panda!

JANGAN BERCANDA BARA PERKAUMAN.

Aku buat catatan ini agar menjadi renungan generasi mendatang. Jika meletus huru hara antara kaum dalam negeraku yang tercinta ini, fahamilah dengan cermat asal masalah. Jangan biarkan orang mengkhianati sejarah dan menampilkan wajahnya sucinya sedangkan ketika peristiwa berlaku, dialah yang menjadi tubanya.

Hari ini, peristiwa 13 Mei diulang sebut. Cerita perselisihan kaum itu menjadi imbauan untuk menginbgatkan orang tentang bahaya bersikap rasis kerana ia akan memercikkan api perkauman. Sebahagian daripada riwayat cerita mengenainya adalah pembohongan.

Pemuda UMNO yang panas baran berikutan kenyataan RSN Rayer, ADUN Seri Delima dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, cuba menggeledah bangkai tragedi 13 Mei 1969. Yang sibuk menggeledah itu pun tidak lahir lagi pada tahun tersebut.

RSN Rayer dikatakan menyebutkan perkataan celaka yang ditujukan kepada UMNO. Beliau merujuk kepada perhimpunan oleh sekumpulan orang UMNO Pulau Pinang di Seberang Jaya yang membantah tindakan ahli parlimen Machan Bubuk, Lee Khai Lun yang membuat flashmoob kangkung disumbat ke mulut Perdana Menteri DS Najib Tun Abd Razak. Ia adalah satu sindiran buat perdana menteri yang mengatakan harga kangkung turun harga dan ia menjadi bukti kerbaikan kerajaan.

Perhimpunan orang UMNO di Seberang jaya itu membawa banner yang mengungkit peritiwa 13 Mei 1969 dan menyifatkan DAP sebagai puncanya. Maka, atas dasar itulah RSN Rayer membuat kenyataan "celaka' yang ditujukan kepada UMNO. Lalu, pemuda UMNO yang panas hati mentafsirkannya sebagai satu penghinaan kepada bangsa Melayu secara amnya. Mungkin mereka lupa atau buat lupa, orang Melayu dalam UMNO sudah tidak solid. Orang Melayu dalam PAS, PKR dan DAP tidak terasa apapun dengan kata-kata RSN Rayer itu kerana beliau men'celaka'kan UMNO.  Bukan Melayu yang dicelakakan. 

Pendek akallah kalau ia ditafsirkan sebagai penghinaan kepada bangsa Melayu. Lagipun, apakah masih boleh dipercayai bahawa UMNO itu masih mewakili orang Melayu?

Bayangkan satu analogi. Ada seorang berjalan di bawah panas matahari asar. Ketika berjalan-jalan itu, ada bayangnya sedang mengikutinya. Tiba-tiba dilihatnya bayangnya telah dipijak orang. Lalu, si pemilik bayang pun marah dan memukul orang yang pijak bayangnya. 

" Kamu menghina aku dengan memijak bayangku!", tempik si pemilik bebayang.

Tidakkah terpinga-pinga dibuatnya orang yang memijak bebayang itu?

Begitulah bandingannya para pemuda sewel yang panas baran baru-baru ini. Mereka cuba mengilas erti UMNO kepada Melayu sedangkan UMNO dan Melayu adalah dua perkara yang berbeza. UMNO adalah sebuah parti dan Melayu adalah sebuah bangsa. Kononnya UMNO parti orang Melayu tetapi ia bukan satu-satunya. Parti PAS pun parti orang Melayu tetapi ia tidak menjadikan agenda bangsa sebagai teras perjuangan. Parti PKR juga dipimpin oleh ramai orang Melayu sungguhpun ada pemimpin bukan Melayu. Ini kerana PKR adalah parti pelbagai kaum. DAP juga serupa. Ia dilihat parti Cina kerana ramai pimpinannya orang Cina. Namun, ada juga orang Melayu dan India. RSN Rayer tersebut pun bukan Cina tetapi seornag India.

Friday, May 23, 2014

Keluarnya dari koloni musuh.

Lihatlah, bagaimana Allah mencipta makarnya. Seperti juga Allah mencipta makarnya ke atas Firaun, maka demikianlah makar Allah menyelit masuk tanpa disedari oleh setiap yang berkuasa dan angkuh dengan kekuasaannya. Nabi Musa diambil oleh isteri Firaun dari sungai untuk dibela dan dibesarkan. Lalu, bila sudah besar dewasa, Musa berbalik menjadi sumber duka dan musuh buat Firaun.

Demikianlah Allah menyebutkan dalam Surah Al-Qasas, ayat 8:

فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ لِيَكُونَ لَهُمْ عَدُوًّا وَحَزَنًا ۗ إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا خَاطِئِينَ

" Maka ahli keluarga Firaun itu pun memungut Musa (dari sungai) supaya kelak nanti Musa akan menjadi musuh dan kedukaan buat mereka. Sesungguhnya Firaun dan Haman serta tentera kedua-duanya adalah orang yang telah berbuat salah".

Dyana Sofea itu rupanya anak seorang yang termasuk dalam kalangan keluarga UMNO. Dia dibesarkan dalam lingkungan UMNO. Ibunya seorang yang bekerja memenangkan UMNO bertahun-tahun. Lantas, bila besar, Dyana Sofea itu berpaling dari menyokong UMNO, sebaliknya menjadi calon DAP lawan UMNO.

Saya tidak menyamakan nabi Musa dengan Dyana Sofea. Jauh sekali. Namun, di sana ada iktibar untuk para pejuang Islam. Sesuatu yang nama makar Allah tidak terjangkau oleh fikiran kita. Namun, punggung sejarah sentiasa bergolek dan berputar dalam kisaran yang sama.

Allah mempunyai pelbagai cara meruntuhkan soldadu yang menginjak kehormatanNya. Islam diperjuangkan oleh orang-orang yang disebut Jundullah. Tetapi, Allah juga pernah dan akan menjadikan Islam ditolong oleh orang-orang fasiq dan derhaka. Allah tidak miskin sebalik Dia kaya. Allah punya soldadu yang beraneka ragam.

Ketika sebuah peperangan telah langsai, para syuhada' dikumpulkan lalu, kepada seorang yang terkorban dari kelompak Islam disebut, oleh Rasulullah disebut sebagai ahli neraka. Kehairanan para sahabat mendengarnya. Namun, cerita seorang sahabat lain perihal si syahid itu mendedahkan hakikat perkara yang dinyatakan Rasulullah. Rupanya orang yang dikatakan syahid itu matinya kerana bunuh diri di medan perang. Lalu Rasulullah SAW menyebutkan:

وإن الله ليؤيد هذا الدين بالرجل الفاجر

" Sesungguhnya Allah akan perkuatkan agama ini dengan lelaki yang berdosa".

Kisahnya ini boleh dirujuk dalam hadis Bukhari.

Maka perhatikan liku-liku perjuangan Islam itu wahai para pendokong perjuangan Islam sekalian.

Thursday, May 22, 2014

Keris Melayu Usah Didupa



Melayu hanya sebuah bangsa

bukan api yang menyala

bukan  pisau tajam bahaya

bukan tulah daulat raja.


Jangan main-main dengan Melayu

kata pemuda darah gelora

 

Melayu bagai singa rimba

Melayu bagai lubuk berbuaya

Melayu bagai sekam berbara

Melayu bagai lembah neraka


Melayu hanya sebuah bangsa

sama seperti bangsa Cina

sama juga bangsa India

berbangsa juga Asli di rimba

bangsa bukan untuk bangga

jangan bangkit menepuk dada

seperti bangsa paling aula

bangsa lain hendaklah siaga

bangsa Melayu jaguh berlaga.


Manusia itu sama sahaja

lebih hanya pada taqwa

taqwa bukan kembar bangsa

hina bangsa angkara durja.


Jangan Melayu asyik dipuja

keris Melayu telah lama

jangan lagi berasap dupa.

Memilih manis menyisih masam.

Aku petik tamar dari pohon Ibn Al-Jauziah
Aku enggan raihanah dan hanzalah dari belukar berduri Al-Ghari

kebun yang telah subur berabad
tidak gersang dek pacat meloncat.

Telah tumbuh bidara makhdud
telah merimbun talhun mandhud
biarkan zakum di pinggir hamim
untuk sang dahaga syurbal him.

Samseng Bangsa Mengheret Agama


Kejadian sekumpulan pemuda UMNO menceroboh masuk ke dalam bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, mengamuk soal ungkapan "celaka" oleh seorang Adun DAP ketika berucap dalam dewan itu, adalah perbuatan yang memalukan. Telah banyak ungkapan yang lebih teruk dari celaka diucapkan oleh pemimpin pelbagai peringkat kepada seteru politik, tidak pula ia mengundang tindakan samseng sedemikian. Bukan sedikit ungkapan keji yang dilemparkan oleh pemimpin Melayu kepada pemimpin Melayu yang lain, tetapi samseng tidak bangkit seperti samseng pemuda UMNO Pulau Pinang.



Tindakan samseng haprak dari Pulaua Pinang itu sangat merbahaya. Mereka mengumpan sentimen bangsa untuk mengumpul dokongan. Mereka justeru mengheret sentimen agama untuk memukau sokongan.



Sementara yang ditentang adalah DAP, sebuah parti yang namanya dicemar sebagai punca konflik kaum. Hakikatnya, siapa yang mengucar kacirkan kerukunan kaum?



Inilah sebenarnya militan yang menyebarkan nuklius faham asobiah melampau. Kelompok ini kini disokong oleh kelompok yang menamakan mereka sebagai NGO Islam. Perkasa, Isma, Muwafakat dan sebagainya, menjadi talihayat melanjutkan nafas dinasour tua yang nazak.



Usah menggunakan Islam dalam rencana makar kalian. Bangsa Melayu dan Muslimin tidak punya kaitan dengan kelompok sufaha' tersebut.

Jangan panggil aku celaka.

Ketika itu
kau jeritkan kami haramjadah
kerana kami ambil duit kami
kau hanya tukang beri.

Ketika kau mainkan kami
paksa kami bayar GST
TNB untung dikatakan rugi
wang negara mengalir ke kali.

Celaka kata kami
Khianat dibuat dibuat siang hari
Malam hari berlagak wali
kalian bingkas bak Benggali!

Jangan panggil aku celaka
nanti murka seluruh Kalahari

Mengungkit Budi

Tanpa aku siapalah kau!
Dulu kau merangkak mencari pintu
Dalam bilik sempit berhantu
aku tampil berikan kamu tongkat semambu.

Kini kamu kacang lupakan kulit
budi kami setinggi bukit
kau lupa dianggap sedikit.

Kamilah Tuan bangsa berkuasa
Umpama Firaun menghujah Musa
waktu kecilmu aku yang jaga
bila besar lawan aku pula.

Budiku itu kekang kuda
berlarilah mengikut kehendak beta.

Igauan Mutannabi

Musailamah mengaku nabi
"Aku pewaris separuh bumi,
namun Muhammad mahu semua sekali"

Muhammad enggan diterima sebagai nabi
Sajjah pula dipuja puji

Bila sang nabi mengaku ahli
timbang banding dua srikandi
walau sama berambut pari-pari
tidak menentang hudud itulah kasturi.

Jika orang bukan ahli
tidak ditanya pendapat diri
diam bukan tanda bestari.

Sang mutannabi
sambil berdiri mencium kaki!

YANG HILANG DAN YANG DATANG

MH370 bersama 239 penumpang
hilang ghaib tidak pulang pulang
rakyat bingung dan tercengang
antara fakta dan temberang

Dua ekor Panda baru datang
di bawa dari negara Yin Yang
disambut bagai pahlawan perang
datang dari atas bintang
puja puji lalu didendang
lupa manusia hakikat orang
lebih mulia jadi binatang

MH370 yang hilang
mencarinya bukan kepalang
habis harta bergudang-gudang
buat membayar perahu tambang

Panda yang datang
disambut dengan paluan kompang
kepak kepuk bukan harga sekupang
bayarannya menggadai seratus ladang

Sedang rakyat melarat terlentang
lelah letih mengumpul wang
buat membayar misi temberang
mencari bangkai sampah terbuang
mengumpul tahi dua ekor beruang.

Bekerja setahun bukan kepalang
habis membayar mencari yang hilang
habis menaja beruang yang datang

Bijaklah sungguh juragan seorang!

Wednesday, May 21, 2014

Tabligh Bukan Sebuah Paksaan

Tabligh bukan sebuah paksaan.
( Talayyun Bersama Dyana Sofya)

Tugas kita sebagai pendakwah tidak harus dicemar dengan paksaan. Kita perlu sedar bahawa kita cuma menyampaikan. Sama ada yang mendengar apa yang kita sampaikan itu menerima atau menolak, itu di luar kudrat kita. Jika dakwah kita diterima, itu kerana Allah memberikannya hidayah. Jika dia menolak dan bersikeras dengan pendiriannya yang kita anggap salah dalam kacamata agama, itu kerana Allah belum berikannya hidayah. Jesteru, berlapang dadalah kerana kita cuma mentablighkan. Allah yang mengubah.

Dalam menyampai tabligh, jangan kita dilihat memaksa. Memahami erti amanah tabligh, sikap yang menampilkan watak memaksa akan kita jauhi.

Hudud ditolak oleh ramai bukan Islam. Sebahagian bukan Islam juga menolak. Kita perlu terangkan bahawa hudud itu ketetapan Allah dan kita selaku hambanya perlu patuhi ketatapan Allah. Ada yang menolak, kita anggaplah bahawa dakwah kita belum dijayakan Allah. Kita perlu sabar lagi dan terus mentablighkan kefahaman agar Allah mentakdirkan hidayah buatnya.

Tidak perlu marah kerana marah itu adalah tekanan perasaan yang didorong oleh watak memaksa. Sedangkan lam dakwah, tidak harus ada paksaan. 

Kecualilah kalau kita bukan lagi di takuk du'at tetapi sudah ditaklifkan sebagai qudhaat.

Ada wanita muslimah enggan pakai tudung. Kenyataannya mengikut rentak syair para wanita yang memperjuangkan hak-hak wanita  liberalisme. Pendakwah tidak boleh paksa dia pakai tudung. Pendakwah juga tidak perlu boikotnya. Pendakwah perlu tegurnya dengan baik. Tegur dengan baik banyak tafsirannya. Menegur kucing nak curi ikan tak sama dengan menggempak musang nak curi ayam dalam reban.


Oleh itu, para du'at jangan cepat melatah jika mendengar bicara-bicara songsang para mad'u yang jahil.

Tuesday, May 20, 2014

Kacang Lupakan Kulit.

Kalau sudah tahu tumbuhnya kacang
kelak kulit ia lupakan
lebih baik bertanam gelenggang
penyakit kurap boleh ubatkan.

Kalau kacang bersalut kulit
tak kan kacang menjadi duit

Kalau mahu membalas jasa
jangan lupa yang maha kuasa.

Apalah jasa menanam lalang
tanah terbiar tak kan jadi padang.

Bercanda di pentas wali.

Baru kelmarin tangisan pertamamu
hari ini madahmu sudah berlagu?

Belumpun tumbuh misai
sudah berani mengaku lelaki?

Mengarang buku ciplak lalu
hanya mengulang yang telah kutahu
sudah mengaku banyak ilmu?

Belum ada orang memuji
cuma banyak yang mengeji
murid boleh dibilang jari
itupun cuma baru mengaji
kekal murid sampai mati...

Memang kau bercanda di pentas wali
belum faham erti biji sawi...

Monday, May 19, 2014

Teluk Intan dan Kebodohan Politik.

Pemimpin UMNO, misalnya Ahmad Maslan melontarkan kritikan atas pencalonan Dyana Sofya sebagai calon Melayu DAP di PRK Teluk Intan yang akan berlangsung. Dayna Sofea dikatakan sebagai dialatkan oleh DAP untuk mengumpan undi Melayu. Beliau hairan bagaimana DAP, sebuah parti Cina sanggup meletakkan calon Melayu.

Pemimpin UMNO masih dalam igauan sekalipun negara telah merdeka lama. Orientasi pemikiran mereka masih lagi terhadap perkauman. Dengan alasan pengndi Cina lebih ramai di Teluk Intan, mereka mengatakan kemenangan akan berpihak kepada calon BN yang mempertaruhkan Presiden Parti Geakan. Dalam soal ini pula, nampaknya UMNO bercakap dalam bahasa rasis. Orang Cina kena pilih orang Cina. Tetapi orang Melayu diingatkan jangan pilih Dyana Sofya biarpun dia Melayu kerana dia adalah alat DAP.

Politik macam ini memualkan. Orang-orang bodoh yang bercanda politik dan mahu orang lain bodoh sepertinya.

Friday, May 09, 2014

NGO DAN DHIRAR


Tidak salah membina masjid. Masjid memang binaan mulia. Namun, kalau masjid yang dibina adalah Dhirar, maka pembinaannya adalah sia-sia. Bahkan mengaut dosa. Hablun Minallah dan Hablun Minan Nas tidak tercerna dalam sebuah masjid bernama Dhirar.

Asas binaan masjid hendaklah takwa.

Demikian, ketika membina sebuah pertubuhan. Apakah asas kepada pembentukan pertubuhan tersebut? Jika landasannya adalah Dhirar, maka yang akan disemai keengkaran dan perpecahan.

Mengamati percambahan pelbagai NGO Islam yang muncul di persada Malaysia khasnya dan dunia seanteronya, persoalan dhirar ini perlu jadi perbandingan. Ini kerana sebahagian pertubuhan tersebut membawa misi dhirar.

Menggunakan nama masjid untuk berasimilasi dengan perjuangan Rasulullah tetapi di dalamnya berisi jiwa-jiwa yang memerangi perjuangan Islam. Inilah yang tersirat dibalik kisah masjid Dhirar yang yang diperintah bakar oleh Rasulullah SAW pada zamannya.

Terus terang saya berkerut dahi melihat gelagat pertubuhan NGO Islam yang lincah bersuara mendengungkan Islam tetapi dalam masa yang sama mamalitkan malu kepada kaum muslimin. Ada kumpulan yang melewati batas semangat perkauman sehingga melahirkan keresahan rukun masyarakat. Ada yang menjadi tunggangan musuh perjuangan Islam untuk mengikis keyakinan masyarakat terhadap landasan perjuangan yang telah dicanai para ulama faqih perjuangan sejak berzaman. Ada pula yang cuba menjadi anak derhaka yang menjadikan keakuan dan nafsiah sebagai kebanggaan.

Pertubuhan Perkasa telah banyak memercik api permainan sufaha'. Terbaru, sebuah lagi pertubuhan bernama ISMA melalui lidah presidennya yang tersihir dengan emosi kaum, telah mengocak toleransi dan kecermatan para cendikiawan perjuangan dalam menangani pergeseran pendapat antara kaum. Ini semua adalah kemabukan akibat daripada rumusan yang dipetik dari dalam majlis dhirar. Banyak pertubuhan yang sedang dan akan berpotensi membawa watak dhirar.

Saya bimbang ISMA terpalit debu masjid dhirar yang berhamburan. Berhati-hatilah ketika memilih medan untuk berpatisipasi kerana dhirar sentiasa terbuka rahangnya.

Wednesday, May 07, 2014

GST

Gila sudah tuan
gamaknya sungguh tuan
gasak seluruh tiwi
ganyang semua tawa
gaul sambil tuba
gelisah seisi taman
gundah sedih tribuana

Gila sudah tuan
galak sauk tuna
gendong sama tamban
gali sungai terusan
gali semua tanah

Gila sudah tuan
gersang sudah tanjung
gembur sampai tasik
geladangan sudah tenat
gamak suruh tenang

Gila sungguh tuan
gala susah tani
gembala senang tempua
gagap sabda tuan
gonggok selalu tampil
gema sederap tema
guna sokong tuan.

Mufti negara lintah.

Ketika sawah terbiar, lalang tumbuh di sana sini. Rumput samba tumpang sekaki. Sawah saujana pun tiada guna. Tiada hasil yang boleh dituai. Tiada padi yang dapat ditanam. Air pun malas berladung.

Maka lintah tidak menjadi jenuh. Lintah tak betah tinggal dicelah lalang dan rumput samba. Lintah suka berenang-renang di air bergenang.

Tampil petani memugar sawah. Lalang dan samba dihancurkan. Air diairi menggenangi petak-petaknya. Benih semaian dialihkan berceretek dalam sawah.

Maka, tatkala itu, lintah pun berkeliaran. Mufti lintah berfatwa. Halallah darah para petani. Hisaplah darah mereka.

Hukum negara lintah...para petani yang memugar itu, mereka adalah khawarij. Mereka adalah militan. Mereka adalah pengganas.

Lintah memang tidak mengenal kejujuran. Ia hanya menyedut darah mangsa. Lintah bertenggek di celah batang padi yang kian menampakkan ruas-ruasnya.

Dalam negara lintah, muftinya selalu befatwa tentang darah. Muftinya bertempel di luka bernanah petani.

Demikianlah hukum lintah.

Biarkan Ikhlas terbang ke langit.

Ikhlas bersemadi di lubuk hati
tidak diketahui miskipun dengan kasyaf wali
walaupun oleh seorang nabi
tanpa bimbingan wahyu ilahi.

ikhlas tidak ditafsir oleh mimpi
ia terlipat kemas dalam dalam ilmu ilahi.

Usah pertikai keikhlasan orang
nilaikan keikhlasan diri sendiri

Pelihara apa dalam pagarmu
jangan resah dipagar orang
tak kan mampu diri menjelajah semua bintang
yang berjuta dalam cakerawala.

Benarlah kata Tuan Guru
UMNO sokong hudud kita syukuri
dia tidak ikhlas kita tak peduli
jawab sahaja di belakang hari
depan Tuhan di mahsyar nanti
dalam dunia pegangan kita atas apa yang tajalli.