CARI BAHAN

Sunday, April 22, 2012

Mengenang arwah Pak Mail

Sepetang ini, aku berkemas di belakang rumah. Ada sebuah jaring buaian yang aku simpan sejak 4 tahun yang lalu. Timbul hasratku untuk menggantungkannya agar boleh digunakan untuk baring santai di atasnya. Melihat buaian jaring dari tali tangsi itu, aku terkenangkan Pak Mail dari Tanjong Batu. Dialah yang menghadiahkan aku buaian jaring itu pada satu hari. Dia berkata bahawa jaring itu dia hadiahkan untukku kerana dia suka denganku. Sambil itu dia mengharapkan aku menghadiahkannya pula mana-mana handphone milikku. Pada masa itu aku belum bersedia membuat tukaran hadiah itu. Tetapi, aku katakan kepadanya bahawa aku akan hadiahkannya handphoneku satu masa nanti. Namun, kata-kataku itu tidak dapat terlaksana kerana aku telah ditukarkan keluar dari Tanjong Batu secara tiba-tiba. Aku pula terlupa atau mungkin memandang tidak penting untuk melaksanakan janji manis itu.

Aku mendengar khabar bahawa Pak Mail Tanjong Batu telah meninggal beberapa tahun setelah aku tinggalkan Tanjong Batu. Rami yang menceritakan kepadaku melalui telifon. Kematian Pak Mail berlaku di Pusat Tahanan Sementara setelah ditahan oleh polis. Kata Rami, dia ditangkap oleh polis sewaktu bersabung ayam. Aku harap Rami tersilap. Mungkin Pak Mail sedang menyaksikan sahaja. 

Namun, Pak Mail memang punya pencanggahan denganku. Dia bermanhaj nenek moyang. Dialah yang mengemukakan pandangan aneh untuku bahawa umat Islam hari ini berarak dan berjudi kerana nabi Muhammad SAW sendiri pernah minum arak dan berjudi. Katanya, perkara itu ada dalam kitab kaumnya iaitu kaum Suluk.

Apapun, aku berdoa agar Allah mengampunkan dan merahmatinya. Buaian jaring yang dia berikan kepadaku adalah jariah yang dibuatkannya untukku. Mudahan berpahala dan ada guna pahala itu buatnya.

No comments: