CARI BAHAN

Saturday, April 28, 2018

MEREKA BERIJTIHAD LALU BERBEZA

Pilihanraya Umum ke -14 ini memperlihatkan kecenderungan dan penglibatan berbeza ramai para asatizah.  Ada yang memilih untuk menyokong Pas dan ada pula yang memilih untuk menyokong Pakatan Harapan. Tidak terkecuali yang menyokong UMNO-BN. Kepelbagaian kecenderungan dan penglibatan ini menunjukkan bahawa memilih wadah politik untuk berjuang atau disokong adalah satu perkara yang bersifat ijtihadi. 

Dr. Johari Mat, dulu pensyarah di API Universiti Malaya, dipilih oleh Pas untuk jadi calon Parlimen Tanah Merah. Satu video yang memaparkan beliau berceramah  dalam satu program memperlihatkan sikap kerasnya dalam politik. Katanya, kalau seseorang itu paham Islam, dia tidak akan pilih selain Pas dan UMNO sudah lama lenyap dari bumi Malaysia jika rakyat Malaysia faham Islam. Sementara jika ada ustaz dan ulama yang memilih UMNO sebagai wadah perjuangannya, itu menunjukkan dia tidak faham Islam. Kenyataan sebegini, yang bersifat melakarkan kanvas politik hanya berwarna dua, adalah satu yang ekstrem dna mengeluarkan sifat politik sebagai sebuah perkara ijtihadi. Saya menghormati beliau sebagai seorang tokoh sunnah( orang ASWAJA kata Wahabi) merangkap bekas guru saya di UM. Namun, dalam hal ini saya tidak mengambil sikap sepertinya.

Lawan kepada Dr. Johari Mat adalah seorang tokoh agamawan sepertinya juga iaitu Dr. Fauzi Zakaria. Aku tidak kenal sangat siapa dia dan tidak pernah berguru dengannya. Khabarnya dia pernah jadi Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan.

Ustaz Dr. Ahmad Jailani mengambil jalan menyokong Pas dan naik atas pentas ceramah Pas dalam PRU kali ini. Ust, Khairul Ikhwan juga mengambil langkah yang sama. Dr. Maza kekal sebagai pengkritik Pas yang cenderung kepada PH. Ust . Dr. Roizami nampaknya seperti cenderung kepada PH, dan banyak mengkritik PAS. Namun kekadang mengkritik juga PH. Beberapa tokoh dari aliran lain juga mengambil pendekatan politik yang rencam. Ust Abu Syafiq, ornag kuat ASWAJA pula nampaknya seperti tidak menyokong PAS dan banyak memuatkan status mengkritik PAS serta pemimpinnya.

Saya kenal Dr. Mohd Kamil, pensyarah saya di UM dulu. Dia rajin memuatnaikkan statusnya di FB. Pada hematku dia menyokong PH dan tidak sejalur dengan Pas. Ust Dr Lukman Ibrahim, sahabat sebilik dengan saya di asrama Pantai Puri dulu, kelihatan agak berminat dengan politik dan selalu membuat status politik. Dulu, dia  cenderung ke arah Tabligh dan biasanya ornag tabligh jarang peduli tentang politik kepartian. Beliau mempertahankan Pas. 

Macam-macam sikap orang. Aku tidka dapat sebut semuanya. Aku sendiri pun ada sikap politik Sikap aku biar orang lain nilai seperti aku menilai sikap politik  nama-nama yang kusebutkan itu. Kerencaman sikap ini, satu dalil bahawa politik bukan dharuri. Politik adalah ijtihadi.

Setiap orang bebas menetapkan pendirian politik berdasarkan kadar maklumat, ilmu dan pengalamannya. Dia tidak boleh dicela atas pendiriannya yang lahir daripada ijtihad politiknya. Sebesar perselisihan politik Ali dan Mu'awiyah, yang mengorbankan ribuan nyawa kaum muslimin, kita boleh harmonikan dengan kesimpulan bahawa mereka telah berijtihad. Apalah sangat perselisihan kita dalam politik Malaysia ini. Belum pun ada kejadian pembunuhan  massal akibat perselisihan politik kita.

Ali berijtihad. Mua'wiyah juga berijtihad. Maka berlaku perselisihan politik. Bawa kepada peperangan. Salah satu ada yang betul dalam ijtihadnya. Dapat dua pahala. Yang salah dalam ijtihad, dapat satu pahala. Inilah kaedah ahli sunnah agar tidak mencemarkan lidah kita mencela para sahabat yang mulia.  Selama ini pun, perkara politik ini dilihat oleh para ulama besar dunia Sunni sebagai "amrun ijtihadi". Hanya Kalangan Syiah Rafidhah sahaja yang meletakkan soal politik khususnya dallam memilih pemimpin sebagai "amrun Dharuri".

Kita bukan Syiah.

No comments: