Pemilu kali ini aku berlepas diri. Aku tidak berkempen untuk mana-mana parti. Ambil sikap berdiri di luar gelanggang politik sambil memerhati. Kurang membuat komentar terhadap gelagat para politikus dan pendekatan parti-parti. Cuma ada selit dalam kuliah di masjid tentang keperluan mengundi sebagai satu tanggungjawab rakyat sebuah negara dalam memilih memimpin dan menolak hujah dan dakwaan pihak yang menghukumkan demokrasi sebagai sitem kufur. Terpulanglah kepada khalayak untuk membuat pilihan.
Aku hilang minat untuk berkecimpung dalam pergelutan politik. Sebahagian sahabatku yang telah lama bernafas dengan dengusan politik mengambil jalan masing-masing. Antara fastaqim dan beralih. Dalam kesantunan berlumba posting dalam FB, kekadang ada yang membawa kepada kepanasan berhujah. Seperti biasa, isu-isu agama, iman dan akhirat kekadang dibabitkan. Aku kurang cenderung untuk terlibat dalam suasana demikian.
Aku ingin sekali jika politik kekal sebagai satu perlumbaan seni mempengaruhi orang yang tidak didogmatik dengan unsur agama berlebihan yang kelihatan memaksa. Agar orang bebas membuat pilihan, aku suka kalau orang membuat pilihan berdasarkan kewarasan dan logik akal. Ini kerana politik itu urusan yang menuntut ijtihad dan jangkaan masa depan. Tidaklah tepat sepenuhnya. Apa yang disangka malaikat, boleh menjadi iblis, demikian sebaliknya.
Baik saya berdiri di luar gelanggang dan mengamati serta mempelajari. Namun, pada hari mengundi, saya pasti akan mengundi. Itu satu tanggungjawab rakyat sebuah negera. Memilih pemimpin adalah kewajipan. Siapa dipilih terpulanglah. Saya akan beijtihad dengan kadar pengetahuan dan maklumat yang saya ada. Jika saya pilih dengan tepat, Allah akan ganjari saya 2 pahala. Jika salah pilih setelah saya menimbangtara dengan panduan maklumat dan pengetahuan, Insya Allah, Allah berikan satu pahala.
Kesalahan memilih pemimpin bukan satu yang abnormal dan haram di sisi agama. Kesalahan ini telah juga berlakusejak zaman silam. Zaman Ali dan Muawiyah, generasi mereka telah membuat pilihan masing-masing. Mereka tidak juga sepakat. Ada pilih Ali dan ada sokong Mu'awiyah. Ulama Ahli Sunnah mengharmonikan krisis antara mereka dengan mengatakan bahawa mereka telah berijtihad dan sama ada betul atau salah, Allah memaafkan. Cuma kalangan Syiah sahaja yang menghampar dua kanvas dalam soal pemilihan pemimpin. Hitam dan juga putih. Pilih Ahli Bait atau menjadi Nasibah. Mereka meletakkan imamah sebagai satu cabang akidah.
Kita, dalam dunia Sunni seharusnya mengekalkan sikap para pendahulu kita yang melihat soal memilih pemimpin ini sebagai perkara ijtihadi. Kesilapan atau berbetulan dengan kebenaran sering bersilih ganti sepanjang hamparan sejarah.
Allahumma ameen...Nahnu nahkum biz zawahir...wallahu yatawallas sarair.
No comments:
Post a Comment