CARI BAHAN

Saturday, April 28, 2018

BERITA HANGAT HARI PENCALUNAN

Berita hangat hari pencalunan untuk PRU 14 hari ini ialah:

1) Tian Chua gagal mencalunkan diri di Parlimen Batu. Puncanya kerana kes mahkamah.
2) Calun PKR Wangsa Maju hampir gagal mencalunkan dari gara-gara lupa IC.Isy...isy...
3) Muhammad Hasan menang percuma di Rantau , Negeri 9 gara-gara gagalnya calun PKR, Dr. S. Streram menyerahkan borang pencalunan.
4) Puad Zarkasyi, bekas KP JASA tak jadi bertanding sebagai calun Bebas.
5) DUN Bukit Pasir di Johor gagal ditandingi oleh calon PH dari Bersatu, Pizi Jihat, gara-gara nama ada masalah dengan Jabatan Insolvensi,
6) Calon Bersatu, Yaakob Osman juga gagal mencalunkan diri di DUN Penaga kerana masalah yang sama iaitu dengan Jabatan Insolvensi.
7) Dun Tawang, kelantan, calon PKR Mohd Azihan Che Seman gagal dicalunkan kerana IC tidak beralamat Kelantan.
8) Mohd Hafidz Rizal Amran, calun PKR di Kuala Balah pula gagal dicalunkan kerana didapati bankrap.
9) Nik Omar Nik Abd Aziz tiba-tiba muncul sebagai calun PH di Pengkalan Chepa.
10) Raja Bomoh tak jadi calunkan diri sebagai calon bebas. Rupanya dia muflis.Isy..isy..tak sangka.
11) Azwan Ali berjaya mencalunkan diri di DUN Bukit Antarabangsa. Lawan abangnya Azmin Ali. Dia guna logo gajah.


Nampaknya berita-berita hangat itu banyak berkisar tentang PH dan sedikit tentang UMNO. Calun-calun Pas berjaya dicalunkan tanpa banyak masalah. Pengalaman dan persediaan menghadapi pilihanraya menngajar Pas untuk bergerak lancar. Tahniah.

MEREKA BERIJTIHAD LALU BERBEZA

Pilihanraya Umum ke -14 ini memperlihatkan kecenderungan dan penglibatan berbeza ramai para asatizah.  Ada yang memilih untuk menyokong Pas dan ada pula yang memilih untuk menyokong Pakatan Harapan. Tidak terkecuali yang menyokong UMNO-BN. Kepelbagaian kecenderungan dan penglibatan ini menunjukkan bahawa memilih wadah politik untuk berjuang atau disokong adalah satu perkara yang bersifat ijtihadi. 

Dr. Johari Mat, dulu pensyarah di API Universiti Malaya, dipilih oleh Pas untuk jadi calon Parlimen Tanah Merah. Satu video yang memaparkan beliau berceramah  dalam satu program memperlihatkan sikap kerasnya dalam politik. Katanya, kalau seseorang itu paham Islam, dia tidak akan pilih selain Pas dan UMNO sudah lama lenyap dari bumi Malaysia jika rakyat Malaysia faham Islam. Sementara jika ada ustaz dan ulama yang memilih UMNO sebagai wadah perjuangannya, itu menunjukkan dia tidak faham Islam. Kenyataan sebegini, yang bersifat melakarkan kanvas politik hanya berwarna dua, adalah satu yang ekstrem dna mengeluarkan sifat politik sebagai sebuah perkara ijtihadi. Saya menghormati beliau sebagai seorang tokoh sunnah( orang ASWAJA kata Wahabi) merangkap bekas guru saya di UM. Namun, dalam hal ini saya tidak mengambil sikap sepertinya.

Lawan kepada Dr. Johari Mat adalah seorang tokoh agamawan sepertinya juga iaitu Dr. Fauzi Zakaria. Aku tidak kenal sangat siapa dia dan tidak pernah berguru dengannya. Khabarnya dia pernah jadi Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan.

Ustaz Dr. Ahmad Jailani mengambil jalan menyokong Pas dan naik atas pentas ceramah Pas dalam PRU kali ini. Ust, Khairul Ikhwan juga mengambil langkah yang sama. Dr. Maza kekal sebagai pengkritik Pas yang cenderung kepada PH. Ust . Dr. Roizami nampaknya seperti cenderung kepada PH, dan banyak mengkritik PAS. Namun kekadang mengkritik juga PH. Beberapa tokoh dari aliran lain juga mengambil pendekatan politik yang rencam. Ust Abu Syafiq, ornag kuat ASWAJA pula nampaknya seperti tidak menyokong PAS dan banyak memuatkan status mengkritik PAS serta pemimpinnya.

Saya kenal Dr. Mohd Kamil, pensyarah saya di UM dulu. Dia rajin memuatnaikkan statusnya di FB. Pada hematku dia menyokong PH dan tidak sejalur dengan Pas. Ust Dr Lukman Ibrahim, sahabat sebilik dengan saya di asrama Pantai Puri dulu, kelihatan agak berminat dengan politik dan selalu membuat status politik. Dulu, dia  cenderung ke arah Tabligh dan biasanya ornag tabligh jarang peduli tentang politik kepartian. Beliau mempertahankan Pas. 

Macam-macam sikap orang. Aku tidka dapat sebut semuanya. Aku sendiri pun ada sikap politik Sikap aku biar orang lain nilai seperti aku menilai sikap politik  nama-nama yang kusebutkan itu. Kerencaman sikap ini, satu dalil bahawa politik bukan dharuri. Politik adalah ijtihadi.

Setiap orang bebas menetapkan pendirian politik berdasarkan kadar maklumat, ilmu dan pengalamannya. Dia tidak boleh dicela atas pendiriannya yang lahir daripada ijtihad politiknya. Sebesar perselisihan politik Ali dan Mu'awiyah, yang mengorbankan ribuan nyawa kaum muslimin, kita boleh harmonikan dengan kesimpulan bahawa mereka telah berijtihad. Apalah sangat perselisihan kita dalam politik Malaysia ini. Belum pun ada kejadian pembunuhan  massal akibat perselisihan politik kita.

Ali berijtihad. Mua'wiyah juga berijtihad. Maka berlaku perselisihan politik. Bawa kepada peperangan. Salah satu ada yang betul dalam ijtihadnya. Dapat dua pahala. Yang salah dalam ijtihad, dapat satu pahala. Inilah kaedah ahli sunnah agar tidak mencemarkan lidah kita mencela para sahabat yang mulia.  Selama ini pun, perkara politik ini dilihat oleh para ulama besar dunia Sunni sebagai "amrun ijtihadi". Hanya Kalangan Syiah Rafidhah sahaja yang meletakkan soal politik khususnya dallam memilih pemimpin sebagai "amrun Dharuri".

Kita bukan Syiah.

Thursday, April 26, 2018

USAH MENDEWAKAN AHLI POLITIK.

Sebenarnya, ahli politik bukan Rasul utusan Tuhan. Mereka bukan datang membawa ayat-ayat dan firman suci dari langit.  Mereka bukan pendekar tangguh yang lahir dari pertapaan keras penuh makrifat dalam gua puncak gunung.  Mereka bukan barisan pohon rendang di gurun sahara buat teduhan para musafir penat dan lelah. Bukan...bukan. Jauh sekali menjadi malaikat langit yang turun menyebar rahmat buat sejagat.

Dalam gerombolan manusia seperti domba ternak, ahli politik lebih hampir tamsilannya seumpama rubah-rubah menjelir yang kelaparan. Menampilkan diri sebagai anjing pengawal domba yang berbudi, saat "cow boy" tiada, mereka boleh bertukar menjadi serigala haus darah.

Jangan pandang mereka sebagai ubat mujarab anda. Sekalipun anda sakit, jangan terlalu percaya celoteh penjual ubat penyembuh seribu sakit. Mereka mengambil kesempatan atas keterdesakan rakyat. Rakyat memang terdesak sekarang. Kalau ibarat orang yang sedang tenggelam timbul dalam arus ganas, sebarang benda timbul akan digapai buat berpaut. Sekalipun yang timbul itu tahi lembu kering yang dihanyutkan air.

Jangan menaruh harapan menggunung. Janji hari ini memang fasih, tetapi perlaksanaan esok hari akan bertatih. Akan ada yang matanya berputih. Menjelang pemilu berikutnya pun janji yang sama masih akan ditasbih. Rakyat akan terus menagih sementara ahli politik akan kembali terhengeh-hengeh.

Kepentingan Peribadi

Berjuang dalam politik dikatakan demi membela rakyat. Begitulah bahasa rata-rata orang yang menceburkan diri dalam perlumbaan politik pilihanraya. Sungguh indah didengar. Mereka umpama Arjuna yang dipercayai orang hindu yang muncul menegakkan keadilan untuk massa.

Sebenarnya, mereka tidak lebih dari haiwan-haiwan politik. Kambing lembu bertegkar demi merebuti rerumput hijau. Matlamat akhirnya adalah perut. Tidak ada beza juga dengan haiwan politik. Perebutan adalah pada kerusi  dan tujuan akhir adalah untuk perut juga. Jika menang hidup selesa dan cukup makan. Kalau kalah alamatnya hidup susah dan tidak cukup makan.

Mencari ahli politik yang benar-benar jujur dalam arus pusaran politik ananiyyah masa kini amat susah. Menampakkan wajah kesuma dewa tetapi sebenarnya menyimpan racun ular berbisa. Hadir menyebar kasturi malaikat, tetapi menyimpan busuk bangkai berulat.

Kepentingan diri adalah asas perjuangan. Bukan demi rakyat. Hakikat ini terlihat apabila diri tidak terpilih. Tidak terpilih sebagai pemimpin kawasan, tidak dapat jadi calon bertanding dalam pilihanraya, maka memberontak. Watak ini merentas semua parti. Orang-orang yang benar-benar ikhlas memang ada tetapi yang ramainya adalah telunjuk lurus kelingkin berkait. 

Allah maha mengetahui apa yang tersemat dalam hati!

Tuesday, April 24, 2018

Calon PRU jadi imam solat Jemaah

Larangan mufti Perlis ke atas calon-calon pilihanraya serta orang yang berkaitan dengan calon itu daripada menjadi imam di masjid seluruh Perlis hendaklah dilihat dari sudut yang positif. Sementelahan, larangan tersebut hanyalah berkuatkuasa sepanjang tempoh berkempen. Ini kerana dibimbangi kalau calon menjadi imam untuk solat jemaah, ia akan dijadikan sebagai bahan kempen pilihanraya. Agar semua pihak mendapat hak yang adil dalam peluang berkempen, maka wajarlah  dilarang mana-mana calon daripada mengimamkan solat di masjid.

Ada pihak yang mempertikaikan hal ini. Seorang bakal pemimpin, kata pihak ini, hendaklah mampu menjadi imam dalam solat. Orang yang sebeginilah layak jadi pemimpin. Perlantikan Abu Bakar As-Siddiq sendiri sebagai khalifah Rasululah diisyaratkan dengan mengimamkan solat. Dari situ, para sahabat yang lain tahu keutamaan Abu Bakar  dan kelayakan sebagai pemimpin sesudah Rasulullah SAW.

Lantas, mengapa mufti Perlis membuat larangan tersebut?

Menetapkan sesuatu peraturan tidak boleh hanya dilihat kepada nas. Hal ini telah pun dipraktiskan oleh generasi sahabat. Kita ambil satu misal. Pada zaman Umar sebagai khalifah, beliau telah membatalkan hak mendapat hartanah ghanimah bagi tentera-tentera. Perkara tersebut dibaantah oleh sesetengah sahabat. Namun Umar, selaku amirulmukminin bertegas dengan sikapnya. Belia melihat kemaslahatan yang lebih besar dan tanah-tanah wilayah yang dibuka oleh tentera muslimin dikembalikan kepada pemiliknya dan mereka dikenakan jizyah. Inilah cara yang dipakai Umar.

Dalam pentadbiran sesebuah negeri, kemasalahatan rakyat dilihat dengan pandangan yang lebih utama.  Jika seorang calon tampil menjadi imam, bayangkan jika di belakangnya ada makmum yang berbeza fahaman politik dengannya. Jika yang jadi imam itu orang calun Pas, apakah makmum UMNO dan Pakatan Harapan dapat solat dengan hati yang lapang? Mungkin boleh mereka terima. Biasanya imam-imam banyak orang Pas. Tetapi lain halnya jika imam itu calon Amanah atau PKR. Apakah makmum-makmum PAS boleh solat dengan lapang dada?

Keadaan ini boleh mengundang fitnah. Rlok sahaja dielakkan. Kerana itu, kalau mahu jadi imam solat, datanglah kemudian. Pimpinlah jemaah setelah menang atau setelah kalah. Tidak ada siapa yang menghalang jika dia benar-benar layak. Bagi menerima arahan sang mufti ini, perlu menila dari aspek yang berbagai-bagai. Jangan hanya menilai dari lingkungan sendiri.

Kleptokrasi

Kelptokrasi itu apa? Aku tak pernah mendengar istilah itu sebelum ini. Baru aku dengar istilah ini pada zaman pemerintahan DS Najib sebagai perdana menteri. Kerajaannya dipanggil sebagai kerajaan Kleptokrasi. Kleptokrasi diertikan sebagai pemimpin yang mencuri wang negara dan rakyat. Pemimpin mencuri duit rakyat ini bukan perkara baru. Ia sudah berlaku sejak zaman dulu-dulu lagi. Tetapi kenapa baru kali ini dipakai kepada DS Najib? Mungkin kerana jumlah kecurian itu amat besar. Kerana itu dia dinamakan sebagai Kleptokrasi.

Perkara ini adalah perkara politik yang rumit. Saya tidak mahu terlalu meluncur laju dalam membuat dakwaan. Membaca dakwaan orang cukuplah. Selebihnya, aku berfikir dan pertimbangkan. Percaya sepenuhnya tidaklah. Tidak percaya langsung, dunggulah pula.

Wallahu a'lam.

Monday, April 23, 2018

IJTIHAD DALAM PRU

Pemilu kali ini aku berlepas diri. Aku tidak berkempen untuk mana-mana parti. Ambil sikap berdiri di luar gelanggang politik sambil memerhati. Kurang membuat komentar terhadap gelagat para politikus dan pendekatan parti-parti. Cuma ada selit dalam kuliah di masjid tentang keperluan mengundi sebagai satu tanggungjawab rakyat sebuah negara dalam memilih memimpin dan menolak hujah dan dakwaan pihak yang menghukumkan demokrasi sebagai sitem kufur. Terpulanglah kepada khalayak untuk membuat pilihan.

Aku hilang minat untuk berkecimpung dalam pergelutan politik. Sebahagian sahabatku yang telah lama bernafas dengan dengusan politik mengambil jalan masing-masing. Antara fastaqim dan beralih. Dalam kesantunan berlumba posting dalam FB, kekadang ada yang membawa kepada kepanasan berhujah. Seperti biasa,  isu-isu agama, iman dan akhirat kekadang dibabitkan. Aku kurang cenderung untuk terlibat dalam suasana demikian.

Aku ingin sekali jika politik kekal sebagai satu perlumbaan seni mempengaruhi orang yang tidak didogmatik dengan unsur agama berlebihan yang kelihatan memaksa. Agar orang bebas membuat pilihan, aku suka kalau orang membuat pilihan berdasarkan kewarasan dan logik akal. Ini kerana politik itu urusan yang menuntut ijtihad dan jangkaan masa depan. Tidaklah tepat sepenuhnya. Apa yang disangka malaikat, boleh menjadi iblis, demikian sebaliknya.

Baik saya berdiri di luar gelanggang dan mengamati serta mempelajari. Namun, pada hari mengundi, saya pasti akan mengundi. Itu satu tanggungjawab rakyat sebuah negera. Memilih pemimpin adalah kewajipan. Siapa dipilih terpulanglah. Saya akan beijtihad dengan kadar pengetahuan dan maklumat yang saya ada. Jika saya pilih dengan tepat, Allah akan ganjari saya 2 pahala. Jika salah pilih setelah saya menimbangtara dengan panduan maklumat dan pengetahuan, Insya Allah, Allah berikan satu pahala.

Kesalahan memilih pemimpin bukan satu yang abnormal dan haram di sisi agama. Kesalahan ini telah juga berlakusejak zaman silam. Zaman Ali dan Muawiyah, generasi mereka telah membuat pilihan masing-masing. Mereka tidak juga sepakat. Ada pilih Ali dan ada sokong Mu'awiyah. Ulama Ahli Sunnah mengharmonikan krisis antara mereka dengan mengatakan bahawa mereka telah berijtihad dan sama ada betul atau salah, Allah memaafkan. Cuma kalangan Syiah sahaja yang menghampar dua kanvas dalam soal pemilihan pemimpin. Hitam dan juga putih. Pilih Ahli Bait atau menjadi Nasibah. Mereka meletakkan imamah sebagai satu cabang akidah.

Kita, dalam dunia Sunni seharusnya mengekalkan sikap para pendahulu kita yang melihat soal memilih pemimpin ini sebagai perkara ijtihadi. Kesilapan atau berbetulan dengan kebenaran sering bersilih ganti sepanjang hamparan sejarah.

Allahumma ameen...Nahnu nahkum biz zawahir...wallahu yatawallas sarair.

Sunday, April 22, 2018

JALUR BERCANGGAH

Antara dua aliran, nampak jalur fikir yang berbeza. Bagi yang memerhati gelagat, akan tahu membezakan. Satu aliran bernuansa khawariji manakala satu lagi mengambil gaya salafi lateralis. Disebutkan juga ekstremis Wahabi.  Rupanya ada sifat ekstremis pada Wahabi. Barangkali ekstremis itu bukan lumut yang hanya tahu melekat kepada Wahabi, tetapi  juga kepada Khawariji, Syiah bahkan Ahli Sunnah. Penyakit kemelempauan merentas aliran dan fahaman.

Antara jalan yang bersimpang siur itu, kita perlu cermat mengambil satu jalan. Aku lebih cenderung memilih jalan sederhana. Bersederhana dalam semua hal adalah lebih selamat, sekalipun dalam menegakkan sunnah Rasulullah. Pada saat tertentu, baru kita akan nampak faedah di sebalik kesederhanaan itu.

SEJARAH BUKAN MESTI DIIMANI

Satu peristiwa yang berlaku dalam sejarah, tidak semestinya akan berulang serupa pada masa sekarang. Orang selalu kata, lihatlah pada sejarah. Ya...kita perlu selalu lihat sejarah. Tetapi janganlah dihantui sejarah. Kadang-kadang, sejarah yang kalah akan berganti dengan kemenangan. Sejarah diperdaya orang akan berganti dengan kesetiaan. siapa tahu? Manusia adalah makhluk yang selalu dipengaruhi oleh angkubah.

Kita saksikan sahaja permainan masa.

Di belakangnya ada Tuhan yang mengatur segala-galanya.

Saturday, April 21, 2018

SIEGED MENTALITY


"Sieged Mentality" ditafsirkan dalam kamus sebagai:

a feeling that makes you frightened of people around you, and causes you not to trust them

Satu perasaan ketakutan  terhadap orang sekeliling yang menyebabkan hilang percaya kepada mereka. 

Contoh ayat:


Berada dalam pengasingan bertahun-tahun dalam masyarakat antarabangsa meneybabkan negeri itu tumbuh menjadi "siege mentality"

Jadi, bagaimana mahu terjemahkan Siege mentality ini?

Mentaliti dalam kurungan!
Pemikiran terkepung dan selalu negatif kepada orang. Anggap orang lain sebagai musuh dan tidka boleh dipercayai. Tidak berfikiran terbuka dan apapun yang orang lain buat untuk kita dilihat sebagai ancaman.

Inilah watak mentaliti dalam kurungan. 

Tak baik untuk orang yang berkehendakkan kemajuan. Hidup tidka boleh dihantui ketakutan. Kita perlu posotif dan hadapi segala kemungkinan. Perlu ingat bahawa menang kalah itu rutin dalam hidup. Perlu relistik bahawa hidup dalam dunia bukan syurgawi dan bukan juga neraka. Hari-hari bersilih dan kisah orang tidak berjalan di atas garis mendatar.

Mentaliti ini melanda ramai pejuang Islam juga. Kerana bermentaliti dalam kurungan, keluar sikap menkafirkan lawan. Menghalalkan darah musuh dan melihat lawan sebagai cikal bakal neraka. Keadaan ini pernah melanda pemuda Ikhwanul Muslimin pada satu masa saat mereka ditindas kerajaan Mesir yang menggerogoti mereka. 

Kaum Syiah dalam sejarah tinggal dalam "siege mentality" kurun demi kurun. Akibatnya mereka membina batu bata kukuh untuk melindungi mereka dalam kurungan bikinan sindiri. Mereka tunjangkan akidah mereka terhadap imamah dan menanam keyakinan bahawa akan munculnya Mahdi Muntazar yang memimpin mereka. Mahdi Muntazor yang bakal keluar dan menetepkan hukuman pada fasa Raj'ah. 

Berapa banyak golongan sesat dalam dunia, mereka berada dalam "sieged mentality". Al-Arqam yang disesatkan oleh kepercayaan menimpangnya pernah ditanamkan keyakinan oleh "ummu Jama'ah" mereka bahawa Abu Ya tidak mati, sebaliknya hanya naik ke langit sebagaimana nabi Isa.

Sahabat Umar Al-Khattab,  juga pernah dihasut oleh "sieged mentality" ketika mendakwa nabi tidak mati dan hanya pergi menemui Tuhannya sebagaimana Isa diangkat naik ke langit. Namun, berkat keluasan fikiran Abu Bakar dan realistiknya beliau, Umar Al-Khattab cepat disedarkan. Kemudian, para sahabat menjadi golongan yang hidup di luar kurungan dan mereka telah berjaya menakluk dunia.

Justeru, keluarlah dari kurungan dan berfikir di luar kotak! Langkahlah maju ke depan dan usah dibayangi kisah tragis masa lalu.

Wednesday, April 11, 2018

Wahai Orang Muda

Wahai orang muda
satu hari kau akan jadi tua
tubuhmu yang perkasa
akan susut daya
kau yang handsome bergaya
akan jadi renta
kau yang kononnya bijak laksana
juga akan jadi nyanyuk dan pelupa

kau akan lalui kitaran hidup manusia
kau bukan selamanya muda belia
bukan bertenaga sepanjang masa
bukan bergaya selamanya

Jangan dikata kepada orang tua itu
wahai si tua diamlah sahaja kau
kau sudah tua
berikan sahaja urusan ini pada kami semua
belum tentu pada saat ketuaan menyapamu
kau masih mampu sepertinya

Wahai orang muda
hormati orang tua
kerana usianya
jika kau mahu saat tuamu
kau dihormati orang pula

Thursday, April 05, 2018

Tuan bukan apa-apa

Tuan itu memang berpangkat tinggi. Kalau dia datang, orang sambut sambl membongkokkan badan dan menundukkan kepala. Orang memanggilnya membahasakan Datuk, Tan Sri dan sebagainya. Orang mengharapkan kuasanya dan dalam banyak keadaan beristighasah kepadanya secara langsung atau tidak langsung.  Tuan itu memang ada gaya. Hidupnya dijulang dan disanjung. Orang tidak berani kata yang bukan-bukan tentangnya. Dalam majlis, biodatanya berderet-deret dibaca dan sarat dengan pujian. Kalau malaikat di langit turun, malaikat pun terperangah , terkesima dan takjub dengan taraf muqaddas yang dipamirkan dalam sirah si tuan itu.

Tapi, umur muda dan berkerjaya tidak lama. Kemudian, tuan itu pun pencenlah. Kerjanya yang selama ini jadi sebab orang sanjung dia, beralih ke tangan orang lain. Tuan itu pun disebut sebagai "bekas". Ketika tuan dijumpai dijalanan, dia tidak lagi dilayan macam dulu. Tuan itu lama kelamaan jadi orang yang tidka dikenali.

Sewaktu-waktu tuan itu rasa rugi hidupnya disia-siakan dalam jalur mencari akhirat. Mujur tuan sempat insaf. Sugguhpun ada tuan-tuan yang tidak menemui jalan akhirat hingga dipanggil kembali. Bila tuan itu jumpa jalan balik kepada akhirat, mementingkan akhirat dalam hidupnya, tuan pun cari jalan di masjid. Tua datang masjid tidak lagi macam tuan itu datang ke dewan konvensyen dulu, saat merasmikan acara. Tuan solat dihujung saf dan orang sebelah bersalaman dengannya lepas solat tanpa tundukkan muka. Juga tidak ditanya siapa namanya. 

Tuan sudah jadi biasa-biasa. Keagungan tuan entah ke mana hilangnya. 

Inilah perjalanan sebenarnya manusia yang hina dan tidak ada apa-apa lebihnya sesama mereka. Hendaklah kita insaf sebelum kita balik menemui Tuan dari segala tuan.