CARI BAHAN

Thursday, April 24, 2014

Shahdan tersebutlah cerita.

Saya terfikir, kenapa banyak cerita ajaib merujuk kepada satu masa yang telah berlalu. Kenapa cerita ajaib itu tidak merujuk kepada apa yang sedang berlaku di masa sekarang. Apakah keajaiban cerita hanya ada pada masa silam dan tiada lagi pada masa sekarang?

Cerita Alfu Lailah Wa Lailah penuh dengan keajaiban. Tapi itu cerita masa lalu. Entahkan betul entahkan tidak. Siapa nak percaya, silakan. Siapa nak engkari, tidak ada orang boleh marah.

Jika kita telusuri lembaran hikayat, sungguh banyak perkisahan ajaib. Hikayat Mahabrata, Pandawa Lima, Malin Deman, Hang Tuah sehingalah Salalatus Salatin, semuanya memuatkan cerita ajaib.

Bahkan, dalam kitab-kitab tafsir Al-Quran pun ada cerita-cerita ajaib. Namun, kebanyakan cerita ajaib itu bersumberkan Israilliyat.

Bani Israil memang bangsa peminat cerita ajaib. Merekalah yang membudayakan perkisahan ajaib ini. Perangai mereka kemudiannya jadi ikutan kepada bangsa-bangsa lain serata dunia.

Memulakan sebuah cerita dengan " Shahdan tersebutlah cerita" memang kegemaran para qusos. Maka untuk sebuah naratif yang menarik, ia perlu benar-benar dekoratif.

Jika dalam dunia hadis pun para penjilat sunan Bani Israil masukkan kisah-kisah rekaan mereka, tidak ada jaminan selamat atas qaul para sahabat dan ulama sesudah mereka. Dalam hikayat yang dibukukan, terlebihlah lagi. Dalam kitab-kitab juga tidak terlepas daripada tokok tambah yang dibuat kemudiannya.

Kita patut berterima kasih kepada para mujahid sunnah yang berhempas pulas memagari ilmu periwayatan dengan disiplin yang ketat. Kalau tidak, punahlah seluruh ketulinan agama kita. Marilah kita amalkan budaya bertanya...

"Dari sumber manakah cerita ini?

Jangan melangut asyik makhsyuk hanya dengan mendengar pembuka kalam " Shahdan tersebutlah cerita....".

Musibah Ilmu.



Aibkah aku?
Jika aku kata aku tidak tahu
Ilmuku belum sampai di situ
Yang bertanya hanya termanggu

Hebatkah aku?
Jika semua tanya aku sapu
aku jawab walau tidak tahu

10 peratus ilmuku
itulah yang kuberitahu
aku karang dalam buku
bakinya kusimpan dalam qalbu

kerana kalian tidak mampu.

Hebatkah aku?

Wednesday, April 23, 2014

Isu Don Danial selesai.

Wardina khabarnya telah minta maaf kepada Don Danial berhubung kritikannya terhadap ustaz muda itu berhubung beberapa isu termasuk soal telaga Barahut. Beberapa hari berlaku perdebatan hangat di kalangan warga FB. Don Danial juga membuat video menjawab balas apa yang disifatkan fitnah terhadapnya. Isu tersebut ditamatkan dengan kesediaan Wardina untuk memohon maaf.

Tidak timbul siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam soal ini. Masyarakat akan menilai sendiri dan ia tidak perlu dipaksakan. Apapun, kelihatannya dewasa ini belum ada agamawan wanita yang boleh menandingi agamawan lelaki. Pada dasarnya, walaupun Wardina itu bukan ustazah pada namanya, dia telah mendalami agama dengan banyak. Hanya kerana masa lalunya yang bertitik tolak daripada dunia selebriti, nama ulama tidak layak buatnya.  Memang jarang kita dengar masyarakat sudi menyebut ulama buat kaum wanita. Hatta serendah panggilan sebagai tokoh agama pun sangat berat.

Dalam masa yang sama, dunia lelaki bermewah-mewah dengan title ustaz dan bahkan ulama.

Sukarnya menangkis Ulwa.


Aku ingin kalau boleh
di kala orang mencemuhku
aku memuji orang itu.

Ketika aku dikritik orang
aku diam tunduk tafakur
muhasabah diri diukur.

Ketika pendapatku disanggah
aku tidak keluh kesah
masih tersenyum mampu beralah.

Waktu orang asyik bertelagah
aku mampu berjalan tengah
juru damai penyelamat ummah.

Kala semua jadi ulama'
semua berbicara kalam hukama,
aku berbicara sebagai bulaha'.

Alangkah sukar menancap sikap
menangkis egoisme dari menancap
tidak memburu mengejar ulwa
rela melata mengais sufla.

Tuesday, April 22, 2014

RIP

Ketika ada pihak yang main bahasa mengatakan orang kafir boleh sebut Tuhan sebagai "God" tetapi tidak boleh sebut Allah, aku memang sukar untuk faham. Sekarang, isu yang baru timbul ialah mengenai ucapan R.I.P (Rest In Peace) untuk orang bukan Islam yang telah neinggal dunia. Isu ini timbul berikutan kematian Karpal Singh baru-baru ini. Majlis Fawa Kebangsaan telah diberitakan melarang orang Islam daripada mengucap RIP kerana ia adalah ucapan doa orang bukan Islam untuk yang mati di kalangan mereka.

Dalam masalah ini, aku melihat ada unsur mainan bahasa. Rest In Peace bermaksud berehatlah dalam damai. Ia adalah lafaz doa agar Allah merahmati orang yang mati itu. Dalam akidah Islam, siapa yang mati dalam kekufuran, maka dia akan dibalas neraka dan tidak ada damai buatnya. Maka mendoakan damai buatnya adalah menyanggahi akidah yang dipegang oleh orang Islam. 

Namun, apa pula yang harus dikatakan oleh orang Islam buat mendiang bukan Islam?

Aku tinggalkan isu ini dan tidak mahu pening kepala kerananya!

Monday, April 21, 2014

Ilmu bukan lagi berdewa di atas langit.

Bukan taraf ulama untuk bersengketa dengan orang awam mengenai sesuatu permasalahan ilmu. Jika orang awam yang mempertikaikan ulama dalam sesuatu isu ilmiah, lantas ulama itu membalasnya dengan memperkecilkan otoriti orang awam itu, maka itulah petanda bahawa ulama itu belum mencapai darjat ulama bahkan dia masih bergelut dengan sifat orang awam.

Zaman sudah berubah banyak. Ilmu yang dulunya menjadi mahkota kalangan tertentu, kini tersebar merata-rata dalam masyarakat. Zaman dulu, hanya kalangan mereka yang menekuni hadis sahaja yang akan memperkatakan tentang kesahihan sesebuah hadis Rasulullah SAW. Namun, kini, seorang artis boleh bercakap tentang kesahihan hadis. Bukan kerana dia alim hadis, tetapi capaian orang awam terhadap hadis nabi telah meluas.

Perolehan ilmu telah menjadi mudah. Ia tidak lagi macam zaman dulu di mana untuk mendapat ilmu, seseorang itu perlu mengembara jauh dan bermujahadah selama bertahun-tahun. Selaras dengan perkembangan dunia yang diwarnai dengan teknologi yang memudahkan manusia untuk urusan dunia mereka, urusan memperolehi ilmu juga telah menempa banyak pembaharuan.

Kaedah-kaedah baru untuk mempercepatkan kematangan ilmu telah ditemui manusia. Sebab itu, benda yang dulu sukar kini menjadi mudah. Ilmu yang orang dulu rasa sukar, kini jadi bidang mudah difahami.

Para ulama perlu merasakan perubahan zaman ini dan meletakkan keilmuannya selaras dengan zaman ini. Sungguhpun keilmuan ulama dulu memang tiada taranya, namun kepayahan murid di zamannya telah menjadi mudah di zaman kini.

Inilah realiti dunia dan ini adalah anugerah Allah SWT yang maha agung.

Sunday, April 20, 2014

SYARIAH COMPLIANT

Saya sempat mendengar ceramah Husam Musa semalam. Antara lain dalam ceramahnya , Husam Musa membandingkan sikap double standard di kalangan orang Islam yang mementingkan Syariah Compliant dalam soal kewangan dan perbankan tetapi tidak mempersoalkannya dalam soal penghakiman dan keputusan mahkamah. Beliau merujuk kepada kes mahkamah yang melibatkan DS Anwar Ibrahim yang memperlihatkan keputusan tergesa mahkamah dan mengepikan aspek keadilan hingga mengjatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun ke atas beliau. Sesungguhnya dalam keputusan mahkamah tersebut, prinsip Syariah Compliant telah dirogol dan dinodai.

Husan Musa dengan penuh sendu mengatakan bahawa senadainya DS Anwar Ibrahim itu bukan pejuang sejati, telah lama dia mengalah dan memisahkan diri dari perjuangan membela rakyatnya. Tetapi, oleh kerana kerja-kerja pembodohan dan pemiskinan rakyat telah berjalan sebagaimana yang dirancang, maka algojo kuasa yang yang menindas terus bermaharaja lela.

Saya melihat bahawa pihak yang menganiaya DS Anwar Ibrahim dengan tuduhan-tuduhan nista sehingga mencalar reputasinya dan bahkan menghumbankannya dalam penjara, mereka tidak mudah untuk berpatah balik. Dosa yang dilakukan oleh seseorang manusia mungkin diampunkan Allah, namun dosa para musuh DS Anwar Ibrahim tersebut terlalu kompleks. 

saya hanya boleh katakan, mereka yang meyakini DS Anwar Ibrahim melakukan dosa luar tabi'i sebagaimana yang dibicarakan oleh mahkamah, lalu menumpang sekaki dengan tuduhan lisan atau tulisan, silalah bawa semua itu ke pengadilan Allah SWT. Mujur kalau tuduhan itu benar. Tetapi teramat malang jiuka ia adalah fitnah. Masih juga dikira malang jika ia benar tetapi DS Anwar Ibrahim tercatat di sisi Allah sebagai hamba yang diterima taubatnya.

Mereka yang bergelut mahu menjatuhkan DS Anwar Ibrahim berdalil muluk mengatakan mahu menyelamatkan negara. Sesungguhnya negara ini bukan diselamatkan oleh mereka. Mereka hanya secebis debu yang tidak punya kudrat menyelamatkan negara. Bahkan, negara banyak dirosakkan oleh orang yang merasakan dirinya memperbaiki negara.

Para politikus muslim, cendikiawan, agamawan dan manusia rawan yang bergentayangan menabur tuba fitnah sekitar individu bernama DS Anwar Ibrahim, bawalah keimanan kalian ke mahkamah Rabbul Jalil dan persembahkanlah ia. Saya seorang rakyat kerdil yang ditakdirkan hidup pada zaman ini, insya Allah akan menjadi saksi pada saat itu.

Dakwaan Dari Tanah Sunda

Dua orang gadis PATI yang ditahan di depo tahanan mengaku berketurunan diraja Sunda. Bagi penggiat kesultanan dan peminat darah diraja, boleh mempercayainya. Darah diraja Sunda punya keningratan yang lebih unggul daripada keningratan diraja Melayu. Bukankah susur galur raja Melayu itu sendiri bermula daripada Parameswara yang punya darah keturunan dengan raja dari Palembang. Raja Palembang itu sendiri punyai kaitan hubungan darah dengan raja-raja Jawa termasuk Sunda Kelapa yang kononya berasal dari Sang Sapurba yang punya kaitan dengan Iskandar Zulkarnain.

Orang di Tanah Melayu acap memandang tinggi apa yang datang dari tanah Sunda. Kala datang orang mengaku keturunan nabi dari sana, ia dipercayai dan dita'zimkan. Padahal berapa ramai keturunan nabi Muhammad SAW di bumi sendiri yang tidak dimuliakan. Berapa ramai orang bergelar syarif, sayyid, habib dan syeikh yang dikaitkan dengan salasilah nabi, namun mereka hidup melarat dalam dunia dan agama?Mereka tidak dipandang. Andainya mereka datang dari tanah Sunda, tentu keadaan mereka berbeza.


Apalah istimewanya Tanah Sunda? Kalau hendak dikatakan di sana tempat para wali Songo menyebar agama, di tanah kita apa kurangnya. Banyak karya besar bertulis jawi ditulis oleh ulama Tanah Melayu. Para sejarawan tidak bersatu dalam hal meletakkan bumi mana sebagai serambi Makkah. Antara Pasai dan tanah Pattani. Tanah Sunda tidak termasuk. Jika dilihat istimewanya tanah kerana awalnya hijrah meninggalkan jahiliah kepada Islam, maka tanah Aceh atau Tanah warisan Sailendra lebih berhak dimuliakan. Namun, nampaknya kecenderungan orang kita lebih kepada tanah Sunda.

Memang Tanah Sunda punya sejarah yang hebat. Terdapat sejarah kemunculan kerajaannya yang banyak , termasuk kerajaan Srivijaya, Mtaram dan Majapahit yang terkenal dalam sejarah. Namun, itu semua tidak harus menjadikan kita menerima segala sabda yang datang dari tanah Sunda.

Berhati-hatilah menelan sabda dari sana.
 
Rujuk Berita:  Gagal Bukti Kerakyatan

Saturday, April 19, 2014

Insan Seni yang berhijrah-Rendahkan dirimu.

"Andainya berkemban itu membawa aku ke neraka, aku redha", demikianlah dilaporkan Erma Fatima berkata ketika mempertahankan filem terbarunya yang mempunyai adegen berkemban bagi menggambarkan wanita Melayu di zaman dahulu.

Erma Fatima adalah antara penggiat filem yang telah memperlihatkan perubahan positif dalam penampilannya apabila beliau memilih untuk berhijab. Dalam kerancakan insan seni wanita yang tampil berhijab, belia adalah salah seornag daripadanya. Sayangnya, segelintir insan seni yang mengubah penampilan ini kelihatan syok sendiri dan merasa cukup hebat dalam agama. Hinggakan, nasihat dan teguran para ulama dan agamawan dipandang sinis.

Kerana banyak pergi umrah, dia rasakan dirinya lebih hebat dari pak ustaz yang banyak cakap agama tetapi baru sekali pergi Makkah. Kekadang, perasaan hebat dalam agama itu muncul kerana dia banyak menyumbang dalam dana rumah anak yatim, banyak buat konsert amal membantu rakyat Palestin, Syria dan sebagainya.

Aku katakan, ini adalah satu talbis iblis buat insan Seni yang sedang berhijrah. Hijrahnya sepatutnya menjemput tawadhuk, akan tetapi ia sebaliknya memanggil riak dalam diri.

Semoga Allah membersihkan kita semua!

Berpesanlah sabda.

Syaitan tidak akan berhenti menabur tuba angkara. Oleh itu, jangan mengharapkan perasaan dengki khianat akan menjadi tua renta dan bersila tapa. Selagi belum mencapai apa yang dimantera, selama itu akan dicuba adu domba.

Tidak lama lagi akan kutinggalkan lakuna sebuah medan yang digusarkan. Biarkan sahaja takdir melanjutkan sayembara. Dia maha kaya. Jika batil berpesan angkara, yang namanya haq juga akan mewariskan sabda.

Semoga di hujung sebuah cerita ada bahagia.

Ketika Ungka Bersahut Dari Sayup Belantara

Sang Ustaz berkata. Aku meriwayat cerita ulama. Bukan sekali-kali aku membuat auta. Jauh sekali mereka cerita.

Zaman dulu, orang selalu berpenglipurlara. Mendengar hikayat cerita mengubat hati yang lara. Tidak kiralah betapapun ajaibnya cerita. Antara percaya dan tidak, terpulanglah pada pada semua.

Ketika ungka dalam rimba belantara bersahutan, orang-orang tua membuat cerita. Ungka sedang menyanyi lagu cinta buat kekasih yang sirna. Cerita pun diriwayatkan dan dipercaya.

Cerita ungka dari rimba
kenapa ditulis dalam zuburil ula?

Kerana Ustaz Kama

Tiba-tiba pecah khabar
pengerusi masjid Fajar dicabar
oleh orang mengejar gelar
mewarisi watak sang Qidar.

Aku telah menjalankan Dauratul Quran di masjid Fajar melewati 4 tahun lebih. Secara istiqamah sebanyak 3 kali seminggu. Perbincangan adalah berasaskan pemahaman isi kandungan Al-Quran. Ada sesi soal jawab yang mengundang pertanyaan pelbagai dari ahli jemaah yang duduk bersama dalam majlis tersebut. Asasnya adalah untuk menjana suasana majlis ilmu dan semangat pembelajaran warga.

Namun, ada orang yang tidak senang dengan aktiviti tersebut dan dilihat sebagai penyerapan fahaman politik secara senyap. Pihak yang menanggapi demikian, tidak pulla sekali pun duduk dalam majlis daurah dan menghayatinya. Dari luar dia mendengar wahyu syaitan yang sentiasa menabur syak wasangka.

Pokoknya, kerana Dauratul Quran itu dipimpin oleh ustaz Kama, seorang yang sangat dicurigai keberadaannya dalam komuniti masjid Fajar. Itu yang menyebatkan Daurah Quran dilihat sebagai ancaman. Mungkin jika seseorang yang lain memimpinnya, keadaan tidak akan merisaukan orang yang dikejar bayang-bayang kehilangan pengaruh itu.

Menjelang Ramadhan, apa yang difikirkkan barangkali ialah tazkirah taraweh yang saban tahun menghantui. Sehingga tahun lalu, ia masih gagal ditamatkan. Menamatkan tazkirah taraweh bukanlah kerja besar yang termasuk amal soleh buatnya. Itu pasti. Namun, kerana ia dilihat permainan ustaz Kama, ia adalah matlamat yang disasarkan dan disangkanya sebagai amal soleh. 

Perkembangan mutakhir ini mudha untuk ditafsirkan. Sekumpulan para ustaz dipanggil dan disiasat oleh pihak PPD adalah bertolak dari pesimisme terhadap ustaz Kama. Isunya apa yang dituliskan dalam blog. Kelancangan dan kecurangan dicari dan diciptakan. Selagi nafas beralun atau selagu ustaz Kama bersenandung dalam irama komuniti Fajar, dia mungkin tidka akan berhenti.

Kucatatkan semua ini untuk seratus tahun mendatang. Buat anak cucu perjuangan dakwah, mehnah dan tribulasi itu tidak akan berputus asa. Syaitan tidak berputus asa dan menghamparkan seribu satu cara. Sang Ya'juj dan Ma'juj akan tetap menggali lubang keluar biarpun lubangnya acap kali ditimbus semula.

Thursday, April 17, 2014

KARPAL MAUT DALAM KEMALANGAN

Kemalangan yang meragut nyawa Karpal Singh berlaku secara tiba-tiba. Sudah tentu kematiannya adalah satu kehilangan, khususnya dalam dunia kepeguaman yang menempatkan beliau dalam baris peguam terhebat yang Malaysia ada. Namanya sudah menjadi legenda dalam dunia kepeguaman. Demikian, penglibatan politiknya dalam DAP juga menjadi legenda yang tidak dapat dilupakan.  Antara benci dan kagum, orang ramai mengenali Karpal Singh.

Walau apaun orang berkata tentangnya, dia lebih berprinsip daripada sebilangan politikus oputunis dan peguam murahan yang meraih simpati rakyat dengan penempilan kayak peguam terkemuka.

Ketidakislamannya adalah satu hal yang lain sementara ketegasannya pada prinsip yang dia percaya adalah satu hal yang patut pula dipuji.

Saturday, April 05, 2014

Janggutku.

Ketika saya berurusan di sebuah bank, saya disapa oleh seorang "uncle" berbangsa Cina. Dia juga punya urusan di meja yang sama denganku. Dengan ramahnya dia menyapaku dan mengatakan kepadaku bahawa janggutku panjang. Katanya janggutnya seolah-olah aku seorang yang tinggi kedudukan sambil dia mengisyaratkan tangannya ke atas. Aku tersenyum mendengar ocehannya.

Rupanya seornag Cina yang bukan Islam pun punya persepsi "adorable" terhadap lelaki berjanggut.

Friday, April 04, 2014

MIMBAR YANG MENAGIH

Entah apa yang ditagih
dari sebuah khutbah yang hampa
melempar beban buat rakyat jelata
tidak mewakili suara derita.

Mimbar yang hanya menyeru rakyat
lalu melupakan sang keparat
yang menyalahgunakan kudrat

Mimbar berlumur lender
dari kahak lelehan upahan
tidak berjatidiri.

Thursday, April 03, 2014

Kisah Keretaku Dicuri(9): Sahabat-sahabat yang perihatin

Ketika aku terpinga-pinga keretaku dicuri, tiada kenderaan untuk pulang ke Sandakan serta menguruskan beberapa hal tambahan berkaitan laporan polis, aku sedar aku berada di Kota Kinabalu. Aku tidka kenal sahabat di sana melainkan sahabat-sahabat dalam Dewan Pemuda Pas Sabah. Lantas, aku dail nombor telifon Ketua Pemuda Pas Sabah, Lahirul Latigu, dan memaklumkan mengenai kecurian keretaku. Dia sedang berada di kampungnya di Beufort. Lalu, dia maklumkan kepada Ust. Zaim Al-Helmi yang merupakan sahabat lain dalam pemuda yang bertugas di SRI Taman Austral.

Lahirul Latigulah yang pertama mewar-warkan kehilangan keretaku dalam laman sosial FB dan Whatsup. Dalam masa singkat, sebelum menjelang subuh, laman FB telah riuh. Ramai yang bersedia tolong cari, walaupun mencari kereta hilang bukan mudah. Namun, sekurang-kurangnya ada usaha.

Kesokkan harinya ada sahabat dari derah Keningau menalifonku dengan girang bahawa keretaku didapati di Ranau. Namun itu khabar yang disalahfahami. Ada pula sahabat dari Keningau memaklumkan  keretaku berselisih dengan van jenazah sahabatnya di jalan Papar lama.

Semuanya adalah kisah keperihatinan yang akan menjadi kenangan buatku di bumi Sabah yang bertuah.