CARI BAHAN

Monday, April 21, 2014

Ilmu bukan lagi berdewa di atas langit.

Bukan taraf ulama untuk bersengketa dengan orang awam mengenai sesuatu permasalahan ilmu. Jika orang awam yang mempertikaikan ulama dalam sesuatu isu ilmiah, lantas ulama itu membalasnya dengan memperkecilkan otoriti orang awam itu, maka itulah petanda bahawa ulama itu belum mencapai darjat ulama bahkan dia masih bergelut dengan sifat orang awam.

Zaman sudah berubah banyak. Ilmu yang dulunya menjadi mahkota kalangan tertentu, kini tersebar merata-rata dalam masyarakat. Zaman dulu, hanya kalangan mereka yang menekuni hadis sahaja yang akan memperkatakan tentang kesahihan sesebuah hadis Rasulullah SAW. Namun, kini, seorang artis boleh bercakap tentang kesahihan hadis. Bukan kerana dia alim hadis, tetapi capaian orang awam terhadap hadis nabi telah meluas.

Perolehan ilmu telah menjadi mudah. Ia tidak lagi macam zaman dulu di mana untuk mendapat ilmu, seseorang itu perlu mengembara jauh dan bermujahadah selama bertahun-tahun. Selaras dengan perkembangan dunia yang diwarnai dengan teknologi yang memudahkan manusia untuk urusan dunia mereka, urusan memperolehi ilmu juga telah menempa banyak pembaharuan.

Kaedah-kaedah baru untuk mempercepatkan kematangan ilmu telah ditemui manusia. Sebab itu, benda yang dulu sukar kini menjadi mudah. Ilmu yang orang dulu rasa sukar, kini jadi bidang mudah difahami.

Para ulama perlu merasakan perubahan zaman ini dan meletakkan keilmuannya selaras dengan zaman ini. Sungguhpun keilmuan ulama dulu memang tiada taranya, namun kepayahan murid di zamannya telah menjadi mudah di zaman kini.

Inilah realiti dunia dan ini adalah anugerah Allah SWT yang maha agung.

No comments: