CARI BAHAN

Thursday, March 29, 2012

MAKSAK

"Semua ini tidak akan terjadi kalau kerajaan kita adil dan membela rakyat!", aku berbisik keras kepada temanku dalam bilik mesyuarat sewaktu pembentangan mengenai pentingnya memperolehi satu skim rawatan yang diperkenalkan di bawah sejenis kad perubatan bernama MAKSAK. Rakyat ditakutkan tentang kesihatan masa depannya yang mana akan memerlukan rawatan di hospital swasta yang mahal. Maka, ada syarikat tertentu yang menangguk di air keruh.

Untuk mendapat jaminan rawatan yang ditanggung, seorang kakitangan awam perlu mencarum secara bulanan sekitar RM240.00

Aku menunjukkan kulit buku Jingga yang tersimpan dalam tabletku kepada seorang rakan setugas. "Masa Untuk Berubah, Malaysia Baru". Kerajaan yang ada hanya menakutakan rakyat tentang masa depan. Kerajaan sebegini tidak diperlukan. Rakyat perlukan masa depan yang dijamin dan tidak dibayangi kebimbangan.

Kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan. Ia bukan lukah dipergentingan untuk memperkayakan segolongan yang menjana pendapatan melalui sakit dan derita rakyat!

Sunday, March 18, 2012

Kalau Pas Sudah Tergelincir Sekarang.....

Datuk Syafie Apdal pergi Kedah, cakap dengan orang Kedah bahawa Pas pada masa ini sudah tergelincir. Seolah-olahnya dia nak bagi tahu, Pas sekarang bukan macam dulu lagi. Pas dulu atas landasan yang betul. Tetapi, sejak bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam PR, Pas sudah tergelincir.

Mantiknya, kalau sekarang Pas sudah tergelincir, maknanya dulu Pas adalah betul. Kalau dulu Pas betul, kenapa masa Pas betul itu Syafie Apdal tidak masuk Pas. Kenapa masuk UMNO juga yang pada masa itu adalah musuh Pas. Masakan  masa itu Pas betul dan UMNO pun betul? Mungkin mantik Syafie Apdal tak sampai tara ini. Dia hanya nak kata Pas sekarang tidak betul. Sebenarnya dalam hatinya membungkam dengan dendam kesumat terhadap Pas sejak dulu hingga kini. Bukan sebab bersama PR itu yang menyebabkan Pas dilihatnya tidak betul, tetapi perasaan Pas tidak betul itu terbit kerana bimbang kekuatan Pas dewasa ini.

Buat orang kampung yang tidak ada mantik mungkin Syafie Apdal boleh kelentong. Namun, bagi generasi baru kini yang tgerpelajar, gigit jarilah dia. Hantuk kepala ke dinding pun dia tidak akan menemui jalan untuk kelentong generasi bermantik tinggi zaman ini.

Puas sudah dicuba untuk mengkucarkacirkan barisan Pakatan Rakyat. Cara halus dipakai pun tidak berkesan. Fitnah adu domba pun sudah dibuat. Tawaran pangkat dan kedudukan kepada pihak Pas dalam kerajaan Perpaduan pun sudah dicuba. Tapi, semua tak makan. Sebab itu macam-macam fatwa songsang keluar dari mulut mereka.

Masa sudah tidak lama. Setelah air liur mereka kering, mereka akan rebah melutut!

Orang Melayu Kemboja

Dalam Berita TV sehari dua ini dipaparkan kegiatan Datuk Ali Rustan dalam lawatannya ke Phnon Penh, Kemboja. Khabarnya ussaha sama dari segi ekonomi dan bahasa akan diadakan. Menjadi kerisauan di pihak delegasi Malaysia dengan keadaan generasi muda Melayu Kemboja yang sudah tidak fasih berbahasa Melayu. Maka, tampillah para pemimpin yang diketuai oleh Datuk Ali Rustan dengan kebimbangan mengenai fenomena itu. Seolah-olahnya mereka adalah pejuang bahasa Melayu.

Keadaan yang amat kontradik dengan apa yang telah para pemimpin tersebut lakukan di Malaysia. Di Malaysia, Bahasa Melayu dipinggirkan dan Bahasa Inggeris didaulatkan. Titik hitam dalam menjahanamkan bahasa Melayu tidak dapat kita lupakan dalam kes PPSMI. Bagaimana  para pemimpin yang ada rekod buruk dalam perjuangan bahasa Melayu di tanah pertiwi bahasa tersebut tidak malu melaungkan perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu di rantau orang.?

Melayu Kemboja tidak mati kalaupun tidak tahu berbahasa Melayu. Daripada berhabis peruntukan untuk mengembangkan Bahasa Melayu di kalangan mereka, korbankan ia untuk dakwah Islam. Ada juga faedahnya...

Saturday, March 17, 2012

Haul Masyayeikh.

Secara mudahnya, aku tegaskan bahawa kalaulah sambutan "haul" bagi sesetengah syeikh terutamanya berketurunan habib itu wajar dan perlu, sudah tentu kita lebih patut memnyambut "haul" bagi Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan dan juga Ali bin Abi Talib. Demikian pula "haul" bagi sederetan sahabat besar yang lain yang sangat berjasa untuk Islam. Malah, kalau hendak dibandingkan dengan ulama-ulama mujtahid mutlak seperti imam mazhabh yang empat, "haul"  mereka lebih layak diraikan berbanding "haul" mana-mana ulama Habaib yang disambut oleh sesetengah orang.  Sekalipun, kalau hendak dibandingkan dengan para mujtahid fil mazahib, keutamaan lebih buat mereka kerana jasa mereka menyebarkan ilmu Islam kepada masyarakat. 

Ini tidak. "Haul" para habaib itu juga yang dirayakan. Apa ertinya semua ini? Apakah para habaib itu lebih mulia daripada sahabat-sahabat Rasulullah yang tidak pernah disambut "haul" mereka? Lebih muliakah juga para habaib itu berbanding para ulama mazhab yang menyumbang tamadun ilmu untuk ummat?

Dalam sambutan "haul" para habaib yang dibuat, ada ungkapan syair yang dinyanyikan. Ratha' dan Ghazal bercampur sebagai tandai sedih kehilangan dan kecintaan kepada para syeikh dan habaib. Gugusan syair yang dikarang mengandungi pujian berlebihan buat syeikh dan habaib. 

Tidak cukupkah dengan mendendangkan bacaan Al-Quran dan zikir ma'thurat yang nabi SAW warisi?

Sesungguhnya ini adalah khayalan yang nyata. Islam tidak punya kaitan dengan sambutan "haul" yang direka-reka ini. Menyambut "haul" itu sendiri bukan tradisi Islam. Dalam tradisi kristian memang ada sambutan "haul". Kita biasa mendengar sambutan Krismas yang dikaitkan dengan kelahiran Isa. Jangan pula dikatakan kita biasa dengan maulid nabi kerana dalam tradisi Islam, tidak ada maulid. Ia cuma perkara yang didatangkan kemudian. Maka, terlebihlah haul bagi masyayeikh!

Siapa yang cintakan ketulinan Islam, pilihlah yang berisi daripada yang antah!

Friday, March 16, 2012

Utlah Bulan Mac

Cuti bulan Mac selama satu minggu, aku membawa keluarga ke Semporna. Bersamaku adalah Sukri dan keluarganya. Perjalanan ke Semporna mengambil masa kira-kira 5 jam. Tujuan mulanya adalah untuk menginap di sebuah resort yang pernah difilemkan dalam cerita Duyong, terletak di kampung Tampi0Tampi. Ketika kamim sampai, ada beberapa unit resort kosong di sana. Harganya sekitar RM88.00  dan RM150.00. Namun, melihatkan kosnya yang mahal dan pula kemudahan yang daif di dalamnya, kami berpindah ke Dragon Inn. Namun, sebagaimana selalu, Dragon Inn penuh dengan pelanggan. Tiada kamar kosong din sana. Kalau adapun, yang mahal. Sekitar RM120.00.

Lantas, Mabul Inn di Pekan Semporna jadi pilihan. Ia merupakan sebuah hotel Budget yang murah dan selesa. Harganya semalaman adalam RM77.00. Petangnya kami pergi  mandi di Tampi-Tampi. Pagi esoknya mandi lagi di Tampi-Tampi. Berenang dalam laut yang jernih airnya amat menyeronakkan, khususnya buat anak-anak.

Menjelang Tengahari, selepas check out daripada Mabul Inn, perjalanan diteruskan ke Tawau. Singgah di Balong, berehat sebentar di suraunya, sambil masak bahan makanan untuk makan malam. Kira-kira jam 4 petang, kami barulah ke Tawau. 

Di Tawau, kami menginap di sebuah hotel iaitu Holiday Inn. Biliknya sungguh selesa dan harganya cuma RM66.00

Monday, March 12, 2012

Putaran karma

Sejenak, terkesima membaca berita dalam Harian Metro mengenai seorang ibu ditinggalkan oleh anaknya di sebuah hotel Budget. Ibu tua yang lumpuh itu ditinggalkan anaknya dan pemilik hotel tersebut terpaksa membuat laporan kerana anaknya tidak datang mengambilnya setelah dua hari membayar kos sewaan bilik. Khabarnya, ibu  itu berasal dari Johor. Sungguh tega anak tersebut!

Namun, terlintas di benak fikirku, apakah karma yang menimpa si ibu sehingga sebegitu tega diperlakukan dek anaknya sendiri?

Teringat sepotong hadis yang bermaksud:" berbuat baiklah kepada kedua ibu bapamu, kelak anak-anakmu akan berbuat baik kepadamu".

Wednesday, March 07, 2012

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

Orang yang beriman akan menjadikan dirinya neraca dalam menilai orang lain. Sebab itu, ketika seorang beriman yang lain dicaci nista, difitnah dan ditimpakan sebarang aib, dia tidak akan dapat menerimanya. Ini kerana, caci nista, fitnah dan aib tersebut tidak dapat diterima untuk dirinya, maka untuk orang beriman yan lain juga tidak dapat diterimanya.

Imam Al-Qurtubi, dalam mentafsirkan kisah Hadis Ifki yang cerita mengenainya dinyatakan dalam Surah Al-Nur, ayat 11-20, membawakan satu cerita yang menggambarkan sikap orang beriman dalam menangani api fitnah.

Sewaktu isteri Abu Ayu Ai-Ansari mengkhabarkan kepadanya mengenai apa yang difitnahkan orang tentang Aisha isteri Rasulullah SAW, maka beliau bertanya kepada isterinya.

"Apakah awak sendiri sanggup melakukan sebabaimana yang dikatakan orang terhadap Aisah?

"Tdak!", balas isterinya.

" Demi Allah, Aishah lebih baik dari awak!", kata Abu Ayyub Al-Ansari.

"Ya," isterinya akur.

Mereka tidak mempercayai Aishah melakukan perbuatan serong sebagaimana mereka tidak suka ia berlaku ke atas diri sendiri..





Monday, March 05, 2012

Aladdul khisom

Sebenarnya, aku dah tak berahi lagi nak komen pasal Dr. Mahathir ini. Lagipun, dia bukan sesiapa lagi. Kuasa pun sudah tidak ada. Sesetengah orang mengandaikan beliau masih berkuasa di belakang tabir pemerintahan Datuk Najib. Aku tidak rasa begitu. Zamannya sudah berlalu. Tetapi, disebabkan kerana kenyataannya yang masih serong mengenai hudud sebagaimana yang terbaru ini, maka aku rasa sangat meluat dan kasihan kepadanya.

Patutkan dia kata Hudud itu hanyalah ciptaan ahli fekah? Katanya pula, Al-Quran suruh kita hukum dengan adil. Hudud tak adil, maka sudah tentu hudud tidak ada dalam quran. Begitulah saya faham jalur pemekiran lelaki tua berkedut iman dan makrifat agama itu.

Pertama sekali, dakwaannya bahawa hudud itu ciptaan ahli fekah sudah tentu menggambarkan kejahilannya sendiri tentang Quran. Aku tidak mengandaikan maksud lain untuk mengatakan dia bijak dan sengaja mainkan sentimen. Aku tegaskan, dia dunggu mengenai Quran. Dia bercakap seperti dia lebih bijak daripada ahli fekah mengenai Quran. 

Keduanya, Dr. Mahathir tidka faham maksud adil. Baginya, adil itu adalah menurut pertimbangan akalnya. Padahal adil menurut kacamata agama adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dia mengulas mengenai keperluan membawa 4 saksi bagi pengadu rogol.  Hukum potong tangan bagi muslim mencuri dan penjara bagi orang kafir mencuri. Ulasannya itu menzahirkan kejahilannya mengenai istilah agama dan juga selok belok hukum dalam Islam.

Kalau umur dah menjangkau lebih 80 tahun tetapi tetapi masih "aladdul khisom", apa lagi yang boleh kita tolongkan? 

Saturday, March 03, 2012

Responsif Keterlaluan

Pendapat Dr. Dzulkifly Ahmad bahawa Pas boleh menerima Timbalan Presiden yang bukan Islam bukan perkara besar yang perlu dicemaskan. Tindakan Dewan Pemuda yang begitu responsif terhadap kenyataan Dr. Zulkifly itu, menurut hematku bukanlah tindakan yang bijak. Dr. Zulkifly menyatakan senario politik yang terdedah kepada perubahan. Perkara tersebut telahpun dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin menerusi parti yang mewakilinya. Ia bukan satu kesalahan kerana ia bukan ketetapan pokok dalam Islam bahawa orang bukan Islam tidak boleh berada dalam hireki kepimpinan.

Bersikap responsif yang menutup ruang pandangan yang kontradik bukanlah kebijakan politik yang kita mahukan. Jika tidak setuju dengan pandangan Dr. Zulkifly Ahmad, sudahlah. Boleh mengemukakan pandangan balas dan hujah-hujahnya. Namun, jangan pula bersikap Taliban sehingga mendesaknya menarik balik kenyataannya. 

Dr. Dzulkifly Ahmad itu pun bukan orang bodoh mengenai politik Islam. Perasaan saling percaya mempercayai wajar diterapkan sesama anggota jemaah. Jangan baurkan prasangka. 

Politik kampungan sering menyebabkan kita sibuk mencabut kemucup dalam perjalanan. Ada matlamat besar, tetapi disibukkan membahaskan sehingga tegang urat leher, merah telinga dan keras suara mengenai hal-hal remah dan hal yang bersifat pandangan. Fomulanya mudah sahaja. Kalau Pandangan Dr. Zulkifly Ahmad itu tidak wajar, apakah Majlis Syura Ulama akan sahkan sehingga boleh dimuktamarkan?

Gempita respons yang dibuat hanya memberikan ruang kepada musuh untuk mencipta peluang!

Friday, March 02, 2012

Bukan Melayu

Otak kemetot pejuang-pejuang Melayu itu perlu disentak sekali sekala. Aku faham bila TG Nik Abd Aziz kata pemimpin tertinggi Pas boleh dari kalangan bukan Melayu, asalkan muslim yang soleh, ia menjadi ajaran penting untuk para pejuang Melayu itu. 

Pertama, ia menjelaskan perbezaan ketara antara Pas dan UMNO. UMNO selama ini berbangga bahawa ialah satunya parti yang menjadi jagoan dalam membela hak Melayu. Bila Pas kata ia tak kisah kalau pemimpin Pas bukan Melayu, ini tentunya menghairankan para pemimpin UMNO itu. Macamana pemimpin Pas yang Melayu itu tidak punya semangat kemelayuan berkobar seperti mereka. Maka, timbulah persepsi bahawa Pas adalah parti yang mengkhinati Melayu. Dakwaan tersebut akan digembar gemburkan dan akan menjadi kian galak menjelang dekatnya pilihanraya.

Keduanya, ia menjelaskan akidah perjuangan Pas yang merentasi lingkungan sempit kebangsaan yang menjadi kecenderungan kebanyakan orang. Bagi mereka yang punya nurani suci, akan menghargai akidah perjuangan yang sebegini kerana ia membuang rasa bongkak dan sombong bangsa prima dalam sesebuah negara.

Thursday, March 01, 2012

Bila angin PRU kian hampir.

Semakin dekat kepada Pilihanraya Umum ke 13, semakin gempita mainan politik para juru tandingnya. Sesetengan pemainnya memperlihatkan kegelisahan yang ketara dan degup gabra. Pelbagai caci nista dan bermacam-macam siasat muslihat dibongkar untuk digunapakai agar dapat dimenangi dalam percaturan politik yang akan datang.

Keadaan politik jadi caca marba. Dulu, beberapa MP Pakatan Rakyat melompat sempadan dan menjadi lawan kepada Pakatan Rakyat. Siri tekanan pelbagai kepada Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat jangan diceritakan lagilah. Habis sekejap perbicaraan kes liwat kerana kemenangannya di peringkat mahkamah tinggi, datang pula kes kenyataan sokongan Anwar Ibrahim ke tas Israil. Lalu timbul cerita surat-surat mantan PM Dr. Mahathir yang menjalinkan hubungan dengan Israel sehingga Wisma Putera terpaksa memaparkan isi kandungan surat tersebut.

Pemimpin UMNO-BN sudah sampai ketahap gaban. Nazri Aziz kata Anwar macam Iblis. Habis dah lah gelaran yang boleh diberikan kepadanya. Peliwat, agen Amerika, sokong Yahudi, pengkhianat Melayu dan kini  sudah sampai kepada Iblis. Memang dan maksima. Lepas iblis tak ada sudah yang lebih jahat.

Haha...

Pas pun dikacau habis-habis sampai Hasan Ali tersingkir keluar daripada Pas dan menjadi talibarut UMNO-BN. Dulu kerajaan Perak berjaya ditumbangkan dengan muslihat licik. Percuabaan dibuat di Selangor. Untuk menumbangkannya sama seperti di Perak nampaknya tiada jalan. Pelbagai isu dimainkan. Dari isu Pasir sehinggalah Isu gerakan Kristianisasi. Bersimpang siur isunya. Centang peranang orang. Tangkap muat semuanya. Asalkan kepercayaan rakyat tidak kepada selain UMNO-BN.

Sekarang kerajaan Kedah sedang digoncang. Agak malang juga sebab ada orang Pas yang bodoh politik sehingga menari mengikut rentak yang dimainkan para pecundang yang tengah gila talak pangkat. Semua ini merupakan kesan tiupan angin kencang PRU ke 13 yang mungkin akan menjadi PRU bersejarah. Jika semua ribut taufan ini dapat dilepas dengan gagah dan istiqamah, insya Allah, fajar baru akan menyingsing.