CARI BAHAN

Saturday, April 09, 2022

Kemengarutan dalam agama

 Telah sampai kepadaku satu khabar. Tatkala matilah seorang hamba Allah di sebuah kampung, beberapa hari setelah matinya hamba Allah itu, anak si mati itu pun pergi bertanyalah seorang ustaz di kampungnya tentang fidyah puasa ayahnya. Apakah ayahnya perlu melangsaikan fidyah puasanya? Maka ustaz itu pun membuat anggaran fidyah puasa yang perlu dijelaskan untuk al-marhum. Dengan mengambilkira andaian setiap tahun 7 hari puasa ditinggalkan sejak umur baligh dan sampailah ke usianya meninggal 73 tahun, maka jumlah yang perlu dibawayr adalah sekitar RM24 ribu. Bagaimana boleh sampai kepada jumlah itu sedangkan fidyah puasa yang ditinggalkan adalah secupak beras untuk sehari. Nilai secupak adalah RM4. Kalau mengambilkira hari puasa Ramadhan yang mungkin ditinggalkan si mati sejak umur 15 tahun dan dia mati pada usia 73 tahun, maka jumlahnya adalah 406 hari.

Jumlah itu adalah untuk 58 tahun. Oleh kerana feqah yang dianut oleh sebahagian orang, puasa yang tidak diqada dan ia melewati ramadhan tahun berikutnya, hendaklah digandakan, maka juml;ah cupak yang perlu difidyahkan bukan lagi 406 cupak.Tahun pertama pada usia 15 tahun sebanyak 506 cupak. Tahun kedua  pada usia 16 tahun dengan gandaannya ialah 399 cupak. tahun ketiga pada usia 17 tahun 392 cupak. Begitulah dikira seterusnya. Seperti itulah mereka mengiranya. Namun, cara pemgiraan itu agak sulit dan tidak dapat mencapai angka bayaran fidyah yang tepat apabila bilangan hari puasa yang ditinggalkan tidak sama setiap tahun.

Maka mereka yang tertentu telah membuat culculator fidyah yang boleh didapati dalam lama web tertentu seperti dalam laman web Aman Palestin.https://ga.amanpalestin.co/kempen/fidyah-3/kalkulator-fidyah-3/

Aku telah membuat teguran keras kepada seorang yang bertanyaku tentang masalah ini. Pertama sekali, aku tanyakan kepadanya, si mati yang kau kenal, apakah dia kaki ponteng puasa?

Katanya, setahunya, dia seorang yang tidak meninggalkan puasa. Boleh dibilang orang soleh Namun masa mudanya, tak tahulah. Masa itu, dia pun belum lahir. Dia takut si mati ada meninggalkan puasa pada waktu muda belianya. 

Aku katakan bahawa kamu telah membuat perasangka buruk ke atas si mati. Hukum hakam tidak boleh dibina atas  sangkaan.Kalau kamu sendiri tidka rela diri ditohmah suka meninggalkan puasa, demikianlah ornag lain. Kalau kamu mati nanti, apakah kamu mahu ornag anggap kamu meninggalkan puasa dan perlu difidyahkan??

Ini perkara pertama yang perlu kamu selesaikan. Jangan pakai agak-agak. Si mati telah hidup sampai umur 73 tahun dan dia telah melakukan yang terbaik dia mampu buat agamanya. Kenapa haris ada ornag kemudian membuat justifikasi palsu atas agamanya? Tanyalah juga pada ustaz yang buat andaian kiraan tersebut. Apakah dia ada meninggalkan puasa ramadhan. Kalau dia sendiri mati nanti, ada fidyah yang perku dibayar oleh ahli warisnya atau tidak. Demikian, tanya juga tok-tok guru yang mengenakan hukum fidyah sedemikian buat warga. Apakah kelak mereka mati, waris mereka perlu bayar fidyah puasa buat mereka. Mana tahu, masa muda tok-tok guru itu pernah tinggalkan puasa. 

Hukum kalau nak pakai agak-agak, buatlah agakan untuk semua orang tanpa kecuali. Kita semua bukan nabi dan hukum yang datang dibilas ke muka kita semua. Tidak kira siapa engkau.

Cerita fidyah puasa seperti ini adalah kemengarutan dalam agama yang difatwakan oleh agamawan yang tidak berpegang teguh dengan contoh tauladan yang nabi tinggalkan. Juga dengan teladan salafus soleh.

Kalau sudah jelas si mati sakit dalam bulan Ramadhan dan tidak puasa, barulah hukum fidyah itu timbul. Itupun hukum bayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan melangkau tahun semasa tidaklah perlu digandakan. 

والقول بلزوم الفدية هو قول الجمهور مالك والشافعي وأحمد ومستندهم في ذلك فتوى أبي هريرة وابن عباس به, ولا يعرف لهما مخالف من الصحابة, ويرى أبو حنيفة والبخاري وجماعة من العلماء عدم لزوم الفدية لأن الله إنما أمر بالقضاء في قوله: فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ {البقرة 184} ولم يذكر طعاما, والأول هو الراجح لما ذكرناه من فتوى الصحابة به, والفدية لا تسقط ولا تتضاعف وإن تعددت سنوات التأخير، فالواجب ما ذكرناه من إطعام مسكينٍ عن كل يوم, وأما هذه الأيام الزائدة التي صمتها فتكون في حقك نفلا، ولن يضيع عليك ثوابها لأن الله لا يضيع أجر من أحسن عملا






Wednesday, April 06, 2022

Bejat politik itu

 Politik Malaysia ini sudah pening lalat. 

Baru ludah, ludah dijilat semula. Para ahli politik jadi katak yang berlompatan. Masing-masing tubuh parti dan meletakkan target nak jadi Perdana Menteri.

Baru berapa tahun sahaja Bersatu ditubuhkan setelah berpecah terserpih daripada UMNO. Daripada Bersatu itu terserpih pula Pejuang dan juga Muda. Dulu PKR terbentuk dan bolehlah dikatakan ia terserpih daripada UMNO juga. Tahun lepas ada satu parti terbentuk hasil serpihan dengan PKR. Parti Bangsa Malaysia.

Bersatu yang terserpih daripadanya Pejuang kini diura-urakan mahu bersekutu pula dengan Pejuang.PKR dengan Amanah dan Dap nampaknya dalam keadaan tidak menentu. Entah esok atau lusa Pakatan Harapan hanya tinggal nama. 

Pas yang dulu nampak beriya-iya mahu bersatu dengan UMNO demi perpaduan ummah, kini sudah mula terguris dan bercakar makar halus permusuhan.Menjelang PRU 15, tidak nampak Pas dan UMNO akan bersekutu lagi. Sementelahan dalam keadaan Pas masih bersama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Syeikh Said An-Nursi berkata: Aku berlindung daripada Syaitan dan Siasah!

Tuesday, March 15, 2022

Hatimu bergolak atas air

YB Khairuddin Aman bin Razali telah mengisytiharkan dirinya berhenti jadi ahli PAS kelmarin. Tindakannya mengundang reaksi yang berbeza-beza di kalangan ahli PAS yang istiqamah. Sebahagiannya berlapang dada dan menerimanya dengan hati terbuka. Namun, tidka kurnag pula ada yang menyindir dan ada yang marah serta mengungkit sumpah bai'ah yang telah diucapkannya serta menuntut perletakan jawatannya sebagai MP Kuala Nerus.

Seharusnya, setiap daripada kita mengambil pelajaran daripada peristiwa ini bahawa politik adalah satu permainan seribu angkubah. YB Khairuddin bukan ahli biasa. Dia, bahkan adalah bekas SU Majlis Syura Ulama di mana dalamnya di susun atur pola dan corak kepimpinan Pas. Kalau masih boleh diingat, terkeluarnya belasan pimpinan PAS sebelum ini yang membawa kepada tertubuhnya Amanah adalah hasil siasat majlis Syura Ulama dalam satu Muktamar yang diadakan di Kuala Selangor. 

YB Khairuddin adalah antara yang lantang menempelak para pemimpin Pas yang menjadi murtad jemaah pada masa itu.

Hukum selalu berputar dalam pusingan. Hari ini hari mereka, entah esok hari kita. Kerana itu sesiapa yang hari ini berdiri sebagai ahli Pas yang istiqamah , usah mendabiq dada atau mencemuh yang lari daripada perjuangan. Kita perlu ubah pola pemikirna kita bahawa parti adalah sebuah medium menjalankan tugas untuk agama, nusa maupun bangsa. Jika tidak melalui satu wadah, mungkin ada wadah lain menanti. Kita tidka perlu menafikan peranan dan fungsi medan yang lain. 

Berlapang dadalah dengan semua orang sekalipun musuh. Allah yang memgang hati setiap insan.

Saturday, January 29, 2022

Hukum jasa dan budi dalam politik

 Pada hematku, orang politik tidak berpegang kepada akidah jasa perlu dibalas. Malah, orang politik juga tidak beriman sama sekali bahawa dalam politik ada jasa. Kerana itu, jika seorang pemimpin politik naik kerana jasa seeorang, jasa itu adalah seperti tiada. Kerana apa yang dikatakan jasa dalam politik, ia hanyalah sebuah muslihat. Ia hanya muslihat enjit-enjit semut siapa sakit naik atas.

Hari ini ada orang bawah dalam politik. Esok dia mungkin naik atas. Masa sudah di atas, orang yang tolak dia ke atas atau tarik dia naik atas, itu hanya dilihat sebagai sebuah muslihat politik. Ia bukan sebuah bantuan melainkan hanya mempergunakan. Orang yang dipergunakan tidaklah memakan jasa orang yang menggunakannya kerana perbuatan mempergunakannya itu telah menjadi bayaran. 

Pada hematku, inilah hukum orang politik. Inilah yang dapat disaksikan  apa yang berlaku kalangan orang politik sejak zaman berzaman. Khalifah Abdul Malik bin Marwan pergunakan Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi. Hajjaj pula pergunakan anak saudaranya Muhammad bin Al-Qasim. Dia juga pergunakan  Abdul Rahman bin Al-Asy'asyt tapi kemudian berpaling melawannya.

Dr. Mahathir macam berjasa bawa Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan. Dia tonjol Anwar sampai naik atas tinggi melayut. Itu adalah untuk faedah politiknya. Kemudian, dua orang ini berseteru. Berahabat dan berseteru balik. 

DR. Mahathir sokong Paklah kemudian jatuhkannya. Sokong Najib kemudian jatuhkannya. Azmin sokong Anwar kemudian lawannya. Ahli politik lompat melompat dan lupakan jasa. Jasa tak ada makna dalam kamus ahli politik. Jasa Pas yang merawat itik UMNO juga tidak ada makna. Ini kerana UMNO pun boleh umpamakan pas sebagai geladangan homeless yang dapat rumah dengan jasa UMNO. Masing-masing boleh mengungkit jasa masing-masing.

Akhirnya, sebenarnya...tiada pun orang yang berjasa dalam politik. Budi adalah imbalan jasa untuk sebuah hasil buat diri sendiri.

Perjuangan untuk bangsa

 Dulu, berjuang atas nama bangsa dicop sebagai asobiyyah. Asobiyyah adalah dilarang oleh agama. Dalam hadis, nabi diriwayatkan pernah berkata bahawa bukan kalangan ummatku orang yang asobiyyah. Kerana itu, para pejuang Islam takut kalau jatuh ke dalam asobiyyah. Pejuang Islam tak angkat nama bangsa dalam perjuangannya kerana takut terpalit dengan asobiyyah. Kalau sudah terpalit dengan asobiyyah, maka perjuangan itu jadilah nasionalisme. Nasionalisma berada dalam kandang yang sama dengan sekularisme, komunisme, kapitalisme atau isme-isme lain yang dicipta oleh manusia.

Itulah dulu. Dulu itu beberapa tahun yang lau. Sebelum teori-teori baru politik mengambil tempat. Kini sudut pandang mengalami anjakan. Perjuangan bangsa tidak lagi dilihat sebagai asobiyyah. Sudah ada orang mengangkat hadis nabi SAW yang menyatakan kecintaannya kepada bangsa Quraisy sebagai satu pengiktirafan kepada perjuangan demi bangsa. Ini kerana cinta bangsa membawa kepada perjuangan untuk bangsa. Tak mungkinlah satu orang mendakwa cintakan bangsanya tapi tak berjuang untuk bangsanya. Lantas, keluarlah ayat-ayat muluk bertebaran dalam masyarakat mengenai keutamaan bangsa.

Cintakan bangsa adalah sunnah nabi!

Bangsa Quraisy adalah pemimpin. Ertinya mana bangsa yang kuat seperti Quraisy, bangsa itulah berhak memimpin. Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayulah.

Perjuangan demi bangsa Melayu bukanlah asobiyyah, bahkan ia adalah perjuangan Islam kerana dalam Perlembagaan Malaysia diertikan secara sinonim dengan Islam. Yang namanya Melayu, agamanya Islam.Berjuang demi bangsa Melayu ertinya berjuang demi Islam. Dalam hal ini Perlembagaanlah jadi sandaran. Realiti bukan ukuran lagi. Kendati ramai melayu sudah murtad, nama bangsa Melayu tetap dikepilkan bersama Islam. Melayu murtad bukan lagi Melayu. Kata sesetengan pentafsir perlembagaan di kalangan penyair-penyair jalanan.

Hari ini, parti yang pernah menjadi gendang Islam pun telah metekakan perjuangan bangsa sebahagian dari Islam. Bahkan, kekadang perjuangan bangsa mendominasi keadaan melebihi perjuangan atas nama Islam itu sendiri. Bersilat dengan perkauman ini ibarat berdansa dengan iblis. Sama ada menguasai atau dikuasai. 

Sedangkan Barsisa lagi tersungkur, apalah sangat yang lain...

Itik Patah kaki

Itu satu tamsilan. Itik patah kaki itu adalah Umno. Masa PRU14, Umno sangat lemah. Ia macam itik patah kaki. Nama aja itik, tapi nak berenang sendiri tak mampu. Kala itu ada yang hulurkan bantuan agar itik dapat berenang. Itulah penyu. Penyu yang tangkas di bawah air. Penyu yang banyak bertapa di pantai menelurkan soldadu. Penyu tolong itik berenang. Berenang dalam kolam. Berenang dalam sungai. Berenang dalam laut yang bergelora. Mujurlah, dengan bantuan penyu yang dihulurkan, itik dapat berenang melepasi semuanya. Bereneng dengan bantuan. Bantuan penyu yang tolong timbulkan cengkerangnya ke permukaan air buat itik berpaut. 

Kemudian, lama juga masa, itik pun sembuh. Itik mula cuba berenang sendiri dalam beberapa kolam kecil. Kemudian itik beranikan berenang di sungai berarus. Itik macam sudah bersedia berenang di laut bergelombang.

Itik sudah tak ingat jasa penyu. Itu sudah tinggalkan penyu. Penyu rasa tertipu. Rasa dikhianati. Itulah resam politik ananiyyah. Apa boleh buat....


Gurindam itik


Kalau itik patah kaki
janganlah anda lemah hati
kaki yang patah usah diubati
kaki yang elok patahkan sekali.


Bila itik patah kaki
sembelih masak buat kari
enak dimakan dengan beriani
perut kenayang tak sakit hati.


Itik binatang pandai berenang
tak akan lemas di air tenang
tak akan karam dipukul gelombang
Tidak berenang dalam kubang.


Kalau itik jadi angsa
suara kuat seluruh desa
siapa mendekat jadi mangsa
boleh terbang tinggi di udara.


Itik dicabar sangatlan dipantang
keluar kurungan jalan melenggang
Melenggang pulang perut kenyang
meyudu air acaq tak usah dilarang


Dulu aku telah tuliskan tentang hal ini. Sudah kuramalkan ini yang akan terjadi...

Baca:

http://abgkama.blogspot.com/2020/09/bangkit-menyusun-telapak-dewa.html

Thursday, January 06, 2022

Dakwa dakwi

 Kalau nak dakwa dakwi, macam-macam dakwa dakwi boleh dibuat. Biarlah sahaja ornag gila yang buat dakwa dakwi. Orang waras yang pula termakan dakwa dakwi orang gila. 

Ada orang dakwa jumpa nabi di Kota Mekah, dalam bilik hotel. Buat live dengan nabi lagi.

Ada orang dakwa saat kita tengah solat Jumaat di Malaysia, guru atau syeikh tertentu solat Jumaat di Makkah!

Ada orang dakwa mimpi naik ke langit, melawat syurga dan juga melawat neraka!

Kalau nak dakwa, tengoklah apa yang minah Saleh ini dakwa. Kau ada?

https://sajagempak.com/wanita-mengaku-pemilik-matahari-tuntut-bayaran-dari-setiap-manusia-di-bumi-yang-menggunakannya/?fbclid=IwAR2RArlL6CqQaLuiB0Wmh1TJLJ74aMCV5iuc_fnqp7dVZ-lEVj6AgkO_Xj4


Kalau kau dakwa ada nesyuarat para wali di bukit Qaf dan kau hadir sama di sana, minah saleh itu dakwa matahari itu dia yang punya? Semua manusia di bumi berhutang bil cahaya matahari dengannya!Haha.

Kau ada berani?

Sunday, January 02, 2022

Ruang bawah yang gelap

 Zaman dulu...

Masa aku masih remaja...duduk di kampung...

Di masjid Kampung Datuk, aku ada satu tempat rahsia. Dalam bilik stor tikar, di bawah para tempat simpan tikar, ruangannya gelap, aku buat tempat duduk seorang. Di situ aku tidur dan aku baca buku. Ruang gelap itu, hanya aku cerahkan dengan pelita minyak gas.

Thursday, December 16, 2021

Nasib penoreh

 Pagi tadi, masa aku tengah naik motosikal menuju kebun getah, rintikan hujan kekadang menimpa mukaku. Jam belum sampai 8 pagi. Sampai di kebun, aku menegur Talib yang sedang menoreh getah bersama isterinya. 

" Hujan dah rintik!", aku menyampaikan kepadanya tanpa mematikan enjin motosikalku. Laluan ke kebunku akan melintas deretan getahnya. 

" Kita buat kerja kita, hujan tu kerja Dia", balas Talib. Ada tawakkal pada jawapannya.

Aku mengiyakan dan ketawa kecil sambil berlalu pergi. 300 pokok getah yang telah dibuka beberapa hari yang lalu menantiku untuk ditoreh pagi itu. Aku tidak mahu membuang banyak masa. Cepat mula cepatlah habis. Kelmarin aku siap menoreh agak lewat. Mula jam 7.30 pagi, aku siap lebih jam 10.30 pagi. 3 Jam lebih. Kebiasaanku yang membawa parang sambil menoreh akan aku tinggalkan pagi ini. Aku tidak mahu membuat kerja sambilan menebas semak lagi. Itu akan melambatkan siap tugas menoreh. Hari ini, azamku hanya menoreh. 

Pagi ini aku akan merasmikan pisau toreh yang diasah oleh Zamberi, adik iparku semalam. Dia telah kuminta buatkan paruh pada pisau torehku. Pisau yang paruhnya tiada akan mengurangkan kesedapan menoreh. Ia juga akan memberi efek yang tidak bagus dalam mengalirkan susu getah pada torehan. Maka, dua bilah pisau yang kubawa pagi ini telah siap diparuhkan. 

Aku segera memulakan dengan semangat waja. Kumulakan barisan getah yang berdekatan dangau dalam kebun getahku. Deretan itulah yan paling menyeronakkan untuk ditoreh kerana sususnya deras. Derahan dekat dangau itu adalah deratan yang paling awal aku buka. Kesan torehan pun sudah banyak. Mungkin kerana sudah lama ditoreh, itulah sebab mengapa susunya deras.Mungkin juga kerana kawasan yang berdekatan dengan dangau, di situlah baja paling banyak dilambakkan. Kerana itulah pokok getahnya banyak susu.

Belum pun habis satu derat poko getah aku toreh, kedengaran rintikan hujan mulai menimpa dedaunan getah di atas kepalaku. Nampaknya resiko kerugian sudah dapat dicium baunya. Aku masih menaruh harapan agar hujan tidak akan lebat dan akan berhenti. Namun, titisan air sudah menima tanah. Justeru, aku berhenti menoreh setelah tiga barisan getah aku habisi. Adalah 50 pokok lebih. Aku melemparkan pandangan ke kebun sebelah. Talib nampaknya tidka terksan engan ancaman renjisan langit itu. Dia terus menoreh. Aku memngambil keputusan berhenti sekejap dan naik motosikal ke tanah atas bukit. Aku berehat di atas dangat tanahy atas bukit, disebelah kebuh getahku itu. Di tanah itu, getah yang ditanam belum mecapai usia setahun. Mungkin hampir setahun, kalau tidka salah ingatanku. 

Sekitar dangau atas bukit itu, aku tanam pokok-pokok buahan. Ada pokok nangka madu, cempedak, limau nipis, limau bali, limau kasturi, kelapa, amra, langkenang, petai dan durian. Aku tidka berharap banyak pada pokok durian kerana atas bukit itu tidak cukup air. Hanya ada lima tangki biru yang kusiapkan sebagai tadahan hujan. Itu pun bukanlah buat menyiram pokok. Hanya sekadar perlu kalau nak digunakan buat basuh tangan atau berwuduk untuk solat dhua di atas dangau atas bukit.

Berehat sebentar sambil makan sarapan yang kebelikan di pekan Kuala Nerang tadi, hatiku merasa serba salah. Hujan sudah lenyap. Rugi kalau aku tidak habiskan torehanku. Lalu, aku pun mengambil keputusan untuk kembali ke bawah, menyambung torehanku. Aku menoreh sampai jam 11.00. Hujung-hujung masa torehan, derapan halus hujan kembali kedengaran menimpa dedaunan di pucuk getah. Aku tidak peduli lagi. Aku terus menoreh sehingga siap. Namun, hari ini aku tinggalkan getah-getah dipenjuru hujung. Ada sekitar 20 pokok getah yang tidka menyentuh pisau torehku hari ini. 

Aku pulang lebih jam 11.15 pagi. Penatnya, alangkah...

Petang di rumah, hujan turun lebat. 

" Habislah torehan getah pagi ....", sambil melangut melihat hujan yang berjatuhan di padang depan rumah.

Nasib penoreh, itulah. Aku cuba menghayati kesusahan para penoreh. Syukurlah aku seorang guru yang hanya cuba menoreh. Cuba mengikut sekelumit kereja warisan yang pernah menjadi suap nasi yang ibu bapaku isikan ke perutku. Aku tidak terpukul kecewa dengan hujan petang sedemikian lebih daripada apa yang dirasakan oleh penoreh sejati.

Penoreh sejati yang menggung sugul dengan cuaca alam...Pak Menteri bukan mengerti keresahan mereka!

Tuesday, December 07, 2021

Ahli Sunnah Wal Jamaah

 Menggelarkan orang yang memperjuangkan Sunnah nabi sebagai Wahabi berlaku dengan rancak di bumi Malaysia pada masa kini. Siapa yang ajak orang kembali kepada Sunnah, akan dilebelkan dengan gelaran tesebut. Ironinya, pihak yang tidak memartabatkan hadis nabi yang saheh, sebaliknya menjadikan hadis-hadis daif, bahkan maudhuk sebagai hujah dalam pengajaran, dalam amalan dan dalam pendalilan mengaku pula ahli Sunnah. Ini satu hal pelik wal gharib. Sepatutnya, sesuai dengan nama ahli sunnah, maka sunnah yang diwarisi oleh para ulama hadis seperti tokoh-tokoh yang mearisinya perlu dijadikan andal.

Kita lihat, orang berandalkan mimpi, syatohat dan firasat serta laduni pula yang didendangkan sebagai ahlu sunnah. Sepatutnya berilah nama sesuai dengan sandaran mereka dalam agama. Ahlirru'ya misalnya. Ahli Firasat atau ahli mukasyafat. Biar mudah dikenali wadi mana kita berada.

Berebut-rebut mahu dipanggil ahli sunnah. Namun sunnah tidak dipelajari. Dasar ilmu hadis tidak diangungkan. Bahkan ada yang meremehkan kerja keras para muhaddisin sejak zaman berzaman dengan menghancurkan kepercayaan kepada prinsip ilmu hadis yang dikarang para tokohnya.

Belum lagi disuluh sudut istiqamah dengan jalan jamaah. Jamaah bukan jamaah hizbi atau tariqah yang dipegang, Sebaliknya jamaah adalah generasi sahabat, tabiin dan tabiit tabian. Merekalah generasi salaf yang mulia. Merekalah jamaah yang dimaksudkan dalam rangkai kata ahli sunnah wal jamaah!

Orang yang dakwa yaqazoh dengan nabi dipanggil ahli snnah?

Orang yang banyak bercerita pertemuannya dengan nabi khidir dan ajar zikir-zikir nabi khidir dipanggl ahli sunnah?

Orang yang ajak orang amalkan wirid dan solawat  yang tidak sampai jalan sanadnya kepada nabi menurut ilmu hadis dianggap ahli sunnah?

haihata haihata...

Siapa yang Allah berikan rasa cinta kepada sunnah nabi, itulah hadiah mahal di zaman fitnah ini. Dalam masa yang sama ada rasa benci kepada bid'ah yang direka dalam agama.

Sunday, October 10, 2021

MEMAHAMI KISAH FITNAH SI KITOL

Kisah ini berlaku di Kota Melayu pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud. Waktu itu bendahara Melaka bernama bendahara Seri Maharaja.

Pada satu ketika, berlaku krisis antara seorang saudagara bernama Nina Sura Dewana dengan seorang suadagar keling bernama Raja Mendeliar. Untuk menyelesaikan krisis mereka berdua, mereka pun pergi mengadap Datuk Bendahara Sri Maharaja. Oleh kerana waktu itu hari sudah hampir senja, bendahara suruh mereka pulang dulu dan esok datang semula untuk membicarakan hal mereka. 

Nina Sura Dewana berfikir pada malam itu bahawa dia akan kalah kalau berdepan dengan raja Mendeliar sebab raja Mendeliar orangnya sangat kaya. (Kayanya Raja Mendeliar hanya kurang sebahahara emas daripada Bendahara) Dia takut Bendahara disogok oleh raja Mendeliar. Maka, dia mendahului dalam kerja menyogok itu dan pergi bertemu bendahara pada malam itu juga.Beliau berikan rasuah sebanyak 10 kati emas (1 bahara) kepada bendahara dan bendahara tidak menolaknya.

Perbuatan Nina Sura Dewana itu diketahui oleh salah seorang anggota keluarganya. Seorang keling bernama Kitol. Kitol pun pergi bertemu raja Mendeliar dan memberitahu kejadian itu. Raja mendeliar merasa marah atas perbuatan Nina Sura Dewana. Dia merasa terhutang budi dengan Kitol yang membuat pendedahan itu. Hutang Kitol kepadanya pun dimansukhkan dengan mengoyak surat hutangnya. Raja Mendeliar pun membuat siasat balas. Beliau bawa satu bahara emas kepada Laksamana Khoja Hasan bersama beberapa inta permata dan pakaian yang indah sebagai hadiah. Dia menyampaikan khabar bahawa Bendara Sri Maharaja sedang membuat rencana menggulingkan Sultan Mahmud dan mengangkat dirinya sendiri jadi raja Melaka.

Laksamana Khoja Hasan pun membawa berita itu kepada Sultan Melaka, Sultan Mahmud. baginda pun menjadi murka. Kemurkahan itu sebenarnya sudah bersarang dalam hati baginda sejak pinangannya ke atas Tun fatiumah tidak diterima Bendahara atas alasan sudah ditunangkan dengan Tun Ali.  Tanpa usul periksa lagi , baginda menitahkan kepada Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara agar menjalankan perintahnya membunuh Bendahara Sri Maharaja bersama, Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung dan Tun Ali.

Kedatangan utusan Sultan ke kampung bendahara itu untuk menjalankan perintah raja cuba untuk ditentang oleh kaum keluarga bendahara. Namun, Bendahara Sri Maharaja yang berpegang pantang anak Melayu derhaka raja itu meminta mereka semua bertenang. Kemtiannya hendaklah direlakan. Maka dia bersama dengan 3 orang lagi itu pun dijatuhkan hukuman bunuh.

Setelah kejadian itu, Sultan menikahi Tun Fatimah. Baginda juga dapat tahu kisah sebenar dan fitnah yang menimpa Bendahara Sri Mahara. Maka baginda sangat menyesal atas titahnya yang usul periksa. baginda pun memerintahkan disiasat punda cerita fitnah itu. Akhirnya ia membawa kepada penangkapan Raja Mendeliar dan Si Kitol. Mereka dibunuh dan bekas tiang rumah mereka dicangkul buanh ke laut. Laksamana Khoja Hassan pula dihukum pecat dan harta dirampas kerana membuat laporan tanpa usul periksa. Sultan tidak membunuhnya kerana ada sumpah sebelumnya darahnya diharamkan.

Demikilanlah sebuah kisah yang diceritakan dalam Sulalatus Salatin ,Sejarah Melayu. Kisah yang orang sembangkan mengenai pengkhianatan Si Kitol. Khianat ke atas kerajaan Melaka yang membaw akepada terbunuhnya bendaharanya yang tidak berdosa.


Thursday, September 30, 2021

GANJALAN DALAM HATI TIDAK SELESAI

Ada banyak perkara yang MENGGANJAL dalam hati dan ia tidak dapat diselesaikan dalam kehidupan dunia ini. Memang dunia ini menyimpan sebahagian misterinya. Allah SWT yang menciptakan dunia ini dan namanya As-Satir. Antara perkara yang sembunyikan dalam dunia ini adalah jenayah-jenayah yang menular di bawah permukaaan dan kezaliman yang dioles dengan kemulukan kata. Sehingga orang durjana dianggap mulia, sementara orang terhormat dianggap bangsat.

Tidaklah mengapa atas semua yang mengganjal itu. Tidak pula jawapan dan penyelesaiannya datang. Kita semua menunggu hari muka dan kita wajib mengimaninya. Perbuatan khianat, songlap, pecah amanah dan pelbagai angkara murka dalam hidup oleh tokoh yang berkuasa, kita bawa harapan penyelesaiannya di hari muka. hari selepas kebangkitan.

Sedutlah kumbahan dunia ini semahunya. Ia hanya sesingkat umur yang diberikan! Tidak berbaloi untuk tanggungan akibat di hari akhirat!

La Haula Wala Quwwata Illa Billah....!

Friday, August 13, 2021

Bukan semua kitab membawa kebaikan.


" Ustaz tahu kenapa orang Islam hari ini minum arak dan main judi?" lelaki itu melontarkan pertanyaan kepadaku. Dia mampir ke kantin sekolah saban hari. Kalau para guru sedang makan waktu rehat, kala itulah dia juga ada di sana. Dia warga desa yang banyak masa anggurnya. Dia selalu duduk dan membuka cerita.

Di sebuah sekolah kampung. Kampung di sebuah tanah pulau di perairan Sulu. Aku telah berada di sana selama 5 tahun, bergelumang dengan kerencaman amalan dan pemikiran warga. Hari itu, persoalan itu dilontarkan kepadaku. Mungkin mahu menguji pengetahuanku atau mungkin mahu mengumpan emosiku.

" Orang Islam minum arak dan main judi, itu bukan ajaran Islam. Itu ajaran hawa nafsu dan syaitan...", aku membalas sambil menghirup secawan kopi di depanku. Beberapa teman guru juga duduk sambil makan.

" Itulah ustaz, ustaz tak tau...orang Islam minum arak dan main judi sebab Nabi Muhammad pun minum arak dan main judi", balasnya. Dia bangga kerana aku tak tahu apa yang dia tahu.

"Apa? mana kamu dapat cerita macam ni?", aku terkejut dan hampir tersedak.

" Ada dalam kitab suku kami ustaz", balasnya selamba.

" Bawa ke mari kitab tu, saya nak tengok", tukasku.

" Nanti saya bawakan, biar ustaz tengok", balasnya sambil menyedut rokok daunnya.

" Ya, bawakan, kitab apa ,macam tu, saya bawakan ke pejabat Agama...", aku merugut.

" Oh...kalau macam tu tak bolehlah ustaz", warga itu membalas.

Kemudian, cerita pasal kitab itu pun hilang begitu sahaja. Aku pun tidak lagi meminta warga itu bawakan kitab itu di kala dia berselisih denganku di denai-denai kampung mapun kala mampirnya ke sekolah.Entah benar-benar ada kitab semacam itu atau hanya dongeng autanya. Aku tidak pasti dan aku tidak berminat untuk mencari tahu mengenainya.

Cerita pasal kitab yang jadi rujukan orang tententu ini bukan sahaja ada dalam cerita memoriku itu. Di kalangan orang terpelajar, para ustaz, lebai-lebai dan tok guru juga ada kitab-kitab yang nadir berlegar secara senyap. Ada kitab firqah-firqah tertentu yang tidak diketahui oleh orang awam. Dalam kitab-kitab sebeginilah tersimpan apa yang dikatakan "ilmu rahsia".

Antara kitab yang sedemikian adalah apa yang dinamakan "Tajul Muluk Al-Murossa'" sebuah kitab jawi lama yang di kulitnya tidak tercatat nama pengkaryanya. Majhul. Dalam kitab ini terkandung aneka ragam "ilmu rahsia". Ilmu tagkal azimat, khasiat benda, ramalan tubuh badan, hari dan alamat-alamat yang boleh dilihat.

Sehinggakan kitab ini telah diwarta dalam fatwa oleh JAKIM sebagai kitab terlarang lantaran banyak penyimpangan yang ada di dalamnya. Ia boleh buatkan orang yang membacanya tanpa asas akidah yang kukuh akan mengamalkannya. Lalu terkerumus ke dalam jejak-jejak yang membawa kepada kesyirikan.

Sebagai contoh, dalam kitab ini disebutkan satu perkara pada ms 21, Fasal pada menyatakan Hari Awal tahun yakni sehari bulan Muharam(Kata) Syeikh Muhammad Marzuq dalam Syarah Natijatul Miqat, maka apabila masuk awal tahun itu hari....

" Adapun jika adalah awal tahun itu hari (selasa) maka toli'nya bintang Marikh, maka adalah tahun itu menunjuk atas mati segala orang besar-besar dan banyak orang bertumpah darah dan sangat mahal dagangan dan mahal makanan dan sedikit hujan...",

Ada orang percaya apa yang diramalkan oleh pengarang kitab ini. Tahun ini 1 Muharam jatuh hari Selasa. Maka tahun 1443 ini adalah tahun malang. Tahun ini orang besar dalam negara akan mati. Akan ada tumpah darah, barang jadi mahal (barang dah mahal pun) dan hujan kurang. Inilah ramalan masa depan berdasarkan tarikh jatuhnya 1 Muharram.

Apakah ramalan sedemikian dibenarkan? Sedangkan perbuatan meramal apa yang terjadi pada masa depan adalah dicela dalam hadis-hadis yang soheh. Ia adalah bahagian daripada tanajjum dan tanajjum adalah sebahagian sihir.

Tidak wajar asal ada dalam kitab, kita sebarkan kepada masyarakat. Kalau mahu dikira kitab, macam-macam kitab ada. Ada kitab Syiah. Ada kita puak Batiniah Ismailiah. Ada Kitab Puak Ahmadiah. Ada Kitab ilmu Kanuragan dan Kejawen. Ada kitab ilmu silat, ilmu bomoh dan serba mak nenek lagi. Beribu kitab ada. Apakah asal ada dalam kitab kita mesti terima? Itu pasal kita kita kena timbangkan kitab dengan Quran dan Sunnah. Baru tidak sesat.

Apa yang ada dalam kitab, jika tidak lulus setelah dipandu uji dengan Quran dan Sunnah, lemparkan sahaja. Jerukkan sahaja di bawah timbunan ilmu jika tidak mahu buangkan. Jangan ceritakan isinya kepada orang kalau nampaknya menyimpang. Bukan semua yang namanya ilmu pengetahuan perlu di lepaskan ke corong awam. Nabi Muhammad ada menegaskan(Dalam hadis Riwayat Muslim):

كفى بالمرء كذبًا أن يحدِّث بكلِّ ما سمع

" Cukuplah untuk seseorang itu dianggap pendusta apabila dia ceritakan semua yang dia dengar".


Kita perlu didik akal kita jadi penapis. Lagi halus tapisannya lagi baiik. Lagi selamat. Semua yang masuk ke pendengaran kita, kita tapis. Apa yang dipandang mata kita, kita tapis. Apa yang terlintas dalam tafakkur kita, kita tapis. Jika lulus dalam tapisan, barulah kita salurkan kepada khalayak.


Allahumarsyidna....ameen

Friday, July 23, 2021

Kemelut zaman

 Sana sini berlaku kejadian yang berbulu di mata dan menyakitkan telinga. Ada kes seornag yang menziarahi kubur di saman RM2000. Ada kejadian sekumpulan warga asing di bawa ke lokap dengan pakaian banduan kerana mengerjakan solat Aidil Adha. Ada Masjid di kompaun kerana ahli koryah datang solat lebih daripada koata yang dibenarkan. Jumlah yang datang solat di masjid terbatas sedangkan masjid dijadikan tempat vaksinasi! Solat di masjid hendaklah berjarak tapi dalam masa yang sama aktiviti beli belah di pasaraya dan para pekerja kilang di sana sini tidak pula diperintahkan duduk berjarak sebagaimana solat.

Macam-macam ketempangan yang terjadi dalam fasa ini. Satu yang kelihatan perlecehan kepada hal-hal yang berkait keagamaan berada pada tahap yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Tatkala negara ini diperintah oleh parti sekular, Allah taala tidka menimpakan bala bencana masjid di tutup. Demikian tatkala negara ini dibayangi pemerintahan DAP dalam PH, Allah tidak  menimpakan bala rakyat tidak dibenarkan jumatan. Ini benar-benar memusykilkan. Kenapa dalam fasa pemerintahan satu kerajaan yang diangkat sebagai kerajaan Melayu Islam ini , berlaku hal-hal yang menjatuhkan maruah ini? Kalau hal-hal ini dilakukan oleh pemerintahan komunis di Cina, ia senang dilegitimasikan. Tapi...hemm...

Tidak mampu untuk menyenaraikan begitu banyak kepincangan berkaitan hal-hal kehidupan beragama di saat ini. Mungkin alasan pendemik boleh dijadikan tempat bersandar. Boleh dijadikan kambinghitam. kalau mencari kambing hitam, dalam mana-mana pemerintahan pun boleh berlaku dan telahpun berlaku. Di kala kerajaan BN tidak melaksanakan undang undang hudud, meeka mengkambinghitamkan masyarakat majmuk. Di kala kerajaan PH mahu meluluskan UEC, mereka mengandalkan tuntutan masayarakat Cina. Demikian semua andalan itu tidka diterima dengan senang oleh yang menentang. Apakah andalah sekarang boleh pula diterima?

Allah sedang menguji kalian sebenarnya.

Siapakah yang mampu melaksanakan Islam? Menuturkan bicara mudah semudah mengehek kahak lalu dituis ke longkang. namun melaksanakan kata akan membuktikan siapakah yang benar-benar jujur dalam bicaranya.

Saturday, July 10, 2021

Walhasil balik asal

 Perlantikan DS Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana menteri bukan pelan pemulihan negara terhadap masalah pendemik yang diharapkan. ia tidak menjanjikan harapan negara akan pulih. Sebelum ini, dialah orang yang saban hari mengumumkan sop dan langkah-langkah menangani pendemik. Apa yang boleh dia lakukan untuk berbeza daripada sebelumnya? Bekerja menguruskan negara bukan dibuat oleh seorang. ia dibuat oleh sekumpulan kabinet menteri. Dalam kabinet itu termasuklah DS Ismail Sabri. Kononya, nampak macam perlantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri akan mengorak langkah ke arah keluarnya negaranya dari belenggu dan himpitan Covid19. 

Cara bekerja masih dalam kerangka yang sama. Walhasil balik asal. Langkah perlantikan DS Ismail Sabri itu adalah langkah politik dan bukan langkah pemulihan. Pemulihan kesan wabak  ke atas kesihatan, ekonomi dan sosial. Ia adalah langkah politik yang terdesak di kala ugutan UMNO sebagai paku tiang senget PN mencabutkan dirinya. Afar tidak terus rebah, pelbagai cara dilakukan. Antaranya adalah perlantikan yang kosong daripada harapan itu.

Suara rintihan marahaen sudah di tahap yang kronik. Rintihan kekadang telah menjelma menjadi seranah kemarahan. Dalam banyak keadaan ia telah menjadi marak api kebencian. Namun. para algojo kuasa masih bemain catur dengan gerak-gerak bidak yang tidak memberi faedah kepada rakyat. 

Aku mengamati keadaan ini dan berfikir. Kenapa begitu payah kerajaan ini mahu menangani pandemik ini. Angka kes dikocak dan ditarik untuk turun, tetapi tidak mahu turun-turun. Menjolok buah tak jatuh tetapi anak-anak yang menanti sudah sakarat !

Barangkali boleh dimuhasabahkan. Kerajaan ini dibina dengan langkah-langkah yang ganjil dan di luar norma. Kerana itu susah mencapai berkat dalam pemerintahan. Tanpa berkat yang hanya anugerah Allah buat sesuatu pemerintahan, sebarang agenda tidak membuahkan hasil. Renung-renungkanlah!


Manusia di persada kuasa, jika tiada "ma'iyyatullah" serba tak kena. 

Wednesday, July 07, 2021

Khianat Pemimpin Silam

 Ya Allah...di saat mendengar beratus ekar tanah di Raub menjadi kepunyaan peneroka haram yang menanam durian Musang King, terlintaslah jenayah pengkhianat yang membenarkannya 20 tahun yang lalu.Mereka, para peneroka haram itu, tidak mungkin masuk hutan galas barang kontot berpura-pura cari rotan atau buru pelanduk, lalu tebang hutan buat ladang. Mereka angkut jentera dan lori membongkar tanah dan memunggah isinya sebelum menukarnya jadi ladang. Padahal hutan itu ada penjaganya. Namanya pun hutan simpanan. Renger hutan dibayar gaji menjaganya. Ada Jabatan Perhutanan yang dilantik dan diberi gaji memeulihara hutan pusaka datuk nenek.

Siapa khianat antara mereka, di hari akhirat akan dikumpulkan bersama para pengkhianat.

Tidaklah berbaloi duit rasuah yang diterima walau jutaan ringgit. Tidak membawa bahagia orang yang mengkhinati amanah bangsa dan negara. Di dunia akan dicela oleh orang kemudian, akhirat lagilah dahsyat. Setiap inci tanah yang kalian berikan kepada peneroka haram secara makar, kalian akan tanggung akibatnya.

Orang pejabat tanah, awas kamu. Buat;ah kerja dengan jujur sejujurnya. Jangan terliur dengan habuan lalat dunia ini. Jika ada pemimpin politik yang terlibat camputangan, celakalah kalian dengan celaka yang berganda. kalian pemimpin dan pemimpin wajib menjaga amanah rakyat. Walau sejuta kebaikan yang kalian lakukan, sekeluimit khianat yang terselit akan merosakan kebaikan kalian. Tidak guna haji berkali-kali atau umrah berulang-ulang.

20 tahun yang lalu, kejadian itu berlaku. Kejadian peneroka haram mendapat keizinan memugar tanah hutan simpanan dan menjadikannya ladang musang king. Celakalah ornag 20 tahun yang lalu dan celakalah juga orang tahun-tahun kemudiannya yang merestuinya. Angkara mereka, tahun 2021 ini kita saksikan kemelutnya. Ketika tanah tersebut dipersoalkan statusnyam, para peneroka haram bangkit bertindak lagak bagaikan tanah itu tanah mereka dan leluhur mereka. Akan terus menjadi tanah mereka sampai ke anak cucu mereka.

Jenayahnya adalah 20 tahun lalu, seusia durian musang king yang sedang berbuah lebat dang ditebang kejam oleh para penguatkuasa. Bairkan. Durian itu memang pokok haram. Pokok haram yang ditanam oleh para haram jadah dan mendapat keizinan tanam oleh para haram jadah. 

Mereka yang membuat rumusan peristiwa, jangan terputus dari sejarah. hari ini nampaknya isu ini dikaitkan dengan Cina. Bukan soal bangsa yang menjadi pokok persoalan. Soalnya pengkhianatan para pemimpin bangsa Melayu yang diberikan amanah sejak 20 tahun yang lalu. 

Khianat para pemimpin ini terus berlaku dan akan berlanjutan. Mereka calon-calon yang bakal berbaris-baris di bawah bendera ghadar.


Saturday, July 03, 2021

SENDAWA PERUT KENYANG

 Kala orang miskin terbaring kelaparan

yang hilang kerja gundah gulana memikul beban hutang

perasaan digayuti putus asa mahu bunuh diri

anak-anak  berwajah pucat perut tidak dikenyangkan

tampil dewa kayangan berperut buncit sambil sendawa

katanya: Ingatkan yang maha kuasa dan berdoa kepadanya.


Sendawa-sendawa kekayangan zaman ini

tidak lagi berbunyi "erkkk".

Sedawa menitip bunyi kalimah suci

tazkirah takdir dan tawakal ilahi

nasihat orang kunyang buat orang lapar

agar bangun tahajjud dan munajat di malam hari hingga dini.


Apa diharap sendawa perut kenyang

keroncong perut lapar tidak akan dimengerti.

BENDERA PUTIH

 Kenapa harus jadikan polemik hangat kempen kibar bendera putih? Bukankah kempen itu mensasarkan golongan yang berdepan dengan masalah berikutan kesan PKP dan Lockdown anjuran kerajaan? Kononnya ada cara lain untuk menzahirkan kesusahan agar dibantu orang, itu bukan alasan memperkecilkan kibaran bendera putih. Cara lain yang ditawarkan itu pula berupa paparan nombor telefon untuk dihubungi. Padahal, pengalaman pelbagai pihak, apabila nombor telefon dihubungi minta bantuan, pelbagai jawapan yang tidka menyenang akan muncul.

Dikatakan juga bendera putih akan membuka ruang ornag menyalahgunakannya. Orang tak susah pun tetapi sengaja angkat bendera putih. Kalau itu alasannya, panggilan telefon pun boleh orang salahguna. Itu lagi mudah. Orang yang tidak ada masalah apa-apa, pun telefon minta bantuan. Akhirnya pihak yang bertanggungjawab akan keliru juga dna kemudiannya buat peraturan sendiri yang menyukarkan saluran bantuan.

Mereka yang pesimis terhadap bendera putih juga berandalkan ayat-ayat muluk menasihatkan rakyat agar tidak berputus asa dan berdoa kepada Allah. Semua itu adalah kata nasihat yang tidak berpijak di bumi nyata dan lahir dari sendawa orang kenyang. Ada juga menuduh bahawa ia adalah sebuah kempen tersirat musuh politik.

Bak kata pepatah, memukul air ke dulang, terpercik ke muka sendiri. kalau niat orang lain dituduh bermotif politik, maka politiklah menjadi ratib orang yang membuat tuduhan. Cubalah pejamkan mata seketika daripada melihat potret politik. Ini semua ilustrasi masyarakat ditafsirkan kepada makna politik. Orang itulah sebenarnya hamba politik. Paku dulang paku serpih. 

Kalau rakyat mahu kibar bendera putih, kerajaan negeri tidak mahu bantu, biarkanlah. Kerajaan negeri bantulah orang yang tidak kibar bendera putih. Biar yang kibar bendera putih itu mendapat bantuan daripada individu yang prihatin atau NGO yang sedar.  Kerajaan duduklah menunggu panggilan telefon rakyat yang membelek -belek telefon yang habis kredit atau bosan mendengar silat tempang jawapan orang yang duduk di pejabat sambil mencecah asam belacan dan buah mempelam.

Biarlah semua ornag susah yang mahu kibar bendera. Biar orang tahu berapa ramai ornag susah atau mengaku susah ada dalam masyarakat. Baru kita dapat faham dan mengerti sejauh mana keberkasana agensi yang selama ini mendakwa membantu rakyat susah. Biar segala pekung dapat dibongkar. Khianat harta awam dan pecah amanah banyak membarah dan yang itu perlu dihukum dengan pembongkaran kedok mereka.

KURANG NUTRISI

Nampaknya, sekali cakap, terdedahlah kurangnya nutrisinya dalam menghadam perkembangan. Seperti budak afrika yang dipaparkan gambarnya dalam akhbar. Perut buncit, nampak rangka pada rusuk, kepala besar dan betis halus. 


Kasihan ...

Thursday, July 01, 2021

Catatan Covid19

Cgu Rudy mengkhabarkan melalui whatsapp bahawa dia telah ke bahagian Emergency Hospital Kulim untuk mendapatkar rawatan terhadap sakit kerongkongnya yang berlarutan beberapa hari dalam seminggu ini. Pihal hospital kemudinnya menjalankan ujian Kovid ke atasnya. Cgu Rudy memberitahu hasilnya positif. Berita itu menggegarkan warga sekolah. Kelmarin dia ada datang ke sekolah dengan berpakaian pelitup muka. Ada Petemuan dengan kami guru-guru, khasnya guru lelaki yang otai. Guru lelaki yang banyak menumpahkan keringat membantu guru besar menjalankan misi sekolah.

Seorang warga sekolah bernama Cgu Rudy adalah orang pertama diberitakan positif. Hanya yang agak melegakan, dia telah lengkap 2 dos. Diharapkan dengan pertahanan 2 dos itu, dia lebih kuat mendepani serangan virus tersebut. Kami yang belum ada sebarang dos ini yang perlu dirisaukan. Aku, cgu roslan, cgu Zahidi dan cgu Sobri yang ada pada hari kelmarin, bukan pernah ambil dos vaksin lagi. Satu pun belum. Yele. Guru Besar sudah 2 dos lengkap. Walhasil, para pekerja sekolah seperti abg Mat, abg Zamri dan pekerja perempuan, semuanya belum ada dos vaksin. Kerajaan yang ada ini banyak dikritik kerana kelambatan vaksinasi.

Cgu Zahidui hubungi aku meluahkan kerisauannya selepas khabar cgu Rudy positif pecah berita dalam grup. Aku nasihatkannya agar kekal berfikiran positif. jaga kestabilan emosi dan jangan biarkan perasaan mengalami "downing". Kekuatan Mental dan keyakinan kepada Allah itu lebih penting daripada geluyar fikir yang hanya menambahkan rungsing.

Selepas solat tahajjud dua rakaat yang aku sempati pagi ini, kupanjatkan doa agar cgu Rudy yang kini, sebagaimana dimaklumkan sendiri olehnya semalam, sedang berada di Hospital Sultanah Bahiyyah, agar diberi kekuatan dan sembuh pulih. Agar kami teman-teman yang punya konteks sepintas lalu kelmari itu dipelihara daripada mendapat tempias.

Terlintas dalam fikiranku, apakah tidak mungkin ujian positif yang dibuat ke atas cgu Rudy itu kerana wujudnya vaksin yang telah diambilnya 2 dos. Alhasil, kalau mereka yang telah divaksin dibuat ujian, mereka smeua akan menunjukkan tanda positif. Sebab vaksin itu juga merupakan virus covid yang telah diamankan. Tapi lintasan fikiranku tidka perlu diangkat. Ia tidak laku kerana masakan doktor yang ada di hospital tidak mengambil kiranya. Tak logik pada akal para doktor dan nurse yang buat test tidak mengambil kira soal itu. Tambahan pula, ini teori yang tidka boleh diandalkan lagi.

Wallahu khairun hafiza,,,,wa hua arhamur rahimin....