CARI BAHAN

Tuesday, July 26, 2016

Razeki yang selalu kita dapat.

Razeki bukan sekadar mendapat sejumlah harta.
Lebih besar daripada mendapatkan harta, ketenangan rohani dan kesihatan jasmani, juga merupakan razeki. Bahkan ia adalah razeki yang lebih besar dan diharapkan.
Anak yang mendapat doa ibunya
ada suadara-maranya yang menyayanginya
hilai tawa anak serta isteri yang menyejukkan mata
semua itu juga adalah razeki.

Kita berdoa: Ya Allah berikan aku razeki

lalu kita bayangkan hidup bertambah kaya, duit melimpah ruah, dapat kereta baru atau rumah besar. Namun kita tidak diberikan semua itu. Lalu kita pun menyangka Allah belum memakbulkan doa kita.

Patutkah kita menyangka demikian?

Padahal kita mendapat bermacam-macam nikmat dalam hidup yang kita tidak tafsirkan ia sebagai razeki. Sedangkan itulah razeki yang lebih kita perlukan daripada harta dan wang ringgit!

Sunday, July 17, 2016

Erdorgan dan Gulen

Musuh Erdorgan pelbagai. Golongan Kemalis memang tidak menyuakainya. Namun golongan Islamis juga ada yang tidak menyukainya. Khabarnya ada krisis antara Erdorgan dan Gulen, seorang tokoh disegani asal Turki.. Itu biasalah dalam dunia politik. Sedangkan dalam dunia ualama pun saling bersengketa. Apa yang mahu direbutkan dalam dunia ilmu oleh para ulama? Kita fikir, antara ulama patut bersatu dan berbaik-baik. Namun, itu tidak berlaku. Ulama-ualama yang bergelumang dalam lautan ilmu pun ada percakaran.


Apatah lagi politik. Politik adalah alat merebut tahta. Manusia memang sanggup berbunuh kerana merebut hal yang satu ini. Tahta. Korban perebutan tahta lebih banyak daripada korban perebutan wanita. Juga lebih banyak daripada korban perebutan harta. Sepanjang sejarah manusia, telah banyak sangat orang yang menjadi korban perebutan harta.

Itulah pergaduhan politik merebut tahta! Merebut posisi dan kedudukan dalam kekuasaan atau pemerintahan.

kalau Erdorgan yang berkuasa dimusuhi oleh golongan Islamis seperti pengikut Gulen, itu juga biasa. Sejarah sudah menunjukkan semisalnya sepanjang lembaran zaman.

Macam-macam alasan orang yang menyepetkan mata kepada Erdorgan. Ada yang yang beralasankan kerana dia tidak cukup Islamis. Dia tidak melakukan sepertimana yang diharapkan, Menegakkan daulah Islam di Turki atau menerapkan Syariah di tanah warisan khalifah itu. Ada yang memusuhinya kerana bimbang melihat kebangkitannya yang dijangkakan akan menuju ke arah kediktatoran.

Hairan juga melihat orang yang membayangkan demikian. Erdorgan bakal menjadi diktator jika dibiarkan terus berkuasa. Barangkali dia lupa bahawa Turki telah diperintah secara diktator oleh tentera bersilih ganti dalam era republik ini. Kini bangkit Erdorgan atas suara rakyat, lalu dibayangkan Erdorgan akan menjadi diktator.

Biarlah dia menjadi diktator jika itu caranya melawan diktatorship yang sedang membelenggu Turki dalam era pasca khilafah runtuh. Biarlah. Itulah pertembungan politik. Itulah kebijakan politik yang sedang dibawanya. Ia telah banyak menuai hasil. Bahkan Turki telah manjadi harapan kalbi ramai mustad'afin yang ada seantero dunia.

Jangan bawakan masalah Gulen yang punya khilaf dengan Erdorgan. Gulen bukan pemegang kuasa. Dia hanya berpengaruh. Yang akan mencorakkan Turki adalah yang memegang kendali kuasa.

Sebuah laman web portal "Al-Arabi" menuliskan Gulen sebagai "Sofiy Khumaini Turkiy". Erdorgan tidak digemari otak Syiah tetapi orang seperti Gulen, otak Syiah meraikan!.

Ini hanya sebuah tulisan persepsi sepintas lalu.

Friday, July 15, 2016

AGENDA TUN DR. MAHATHIR

Mulanya aku cukup curiga dengan Tun Dr. Mahathir. Bila dia mengembeling entiti pembangkang untuk disatukan melawan DS Najib Tun Razak, aku seperti angkatan muda yang berfikiran pembaharuan yang menyimpan belah bagi. Terus terang, aku tidak faqih dalam ilmu politik. Aku bingung menetapkan pendirian. Bila Tun Dr. Mahathir membayangkan akan menubuhkan Pakatan Pembangkang yang lebih jitu bagi menentang kerajaan pimpinan DS najib, aku mencongak-congak sikapku. Bolehkan dipercayai orang tua ini.

Cikgu Bad masuk TV. Dia komen dan katakan Tun Dr. Mahathir todak boleh dipercayai. dia beri amaran kepada blog pembangkang agar jangan terpesona dengan Tun dr. Mahathir yang disifatkannya hanya untuk menjaga survival legasi politiknya dan anaknya Mukhriz yang terbuang. Cikgu Bad juga masih muda dalam politik dan aku tidka bersedia untuk menyandarkan sikapku terhadap persepsi politiknya.

namun, boleh keluar kenyataan DS Anwar Ibrahim dari penjara, sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini, aku macam lebih percaya kepada DS Anwar. Dia memang seornag mujtahid politik yang berpengalaman. Bila dia memberikan signal positif terhadap ura-ura Tun Dr. Mahathir untuk bentuk parti baru dan memperkukuhkan pakatan pembangkang, ia memberikan aku keyakinan untuk menanbahkan belahan sikap. Aku rasa menyokong Tun Dr. Mahathir adalah satu ijtihad politik yang lebih bijaksana.

Thursday, July 07, 2016

Rancu

Kita dalam kerancuan agama
carilah ketulinan
tapislah dan buanglah bid'ah dan rekaan.
jalan selamat adalah jalan salafus soleh
cerminkan kepada mereka.


Kita kalut dalam kerancuan politik
antara tamak haloba sang penguasa
dan kedungguan rakyat jelata
sementara sengketa para pembela
tidak bertemu titik seiya.

Kita dalam kerancuan ekonomi
antara islami dan ribawi

Kita dalam kerancuan sosial
nilai Timur dan Barat bersimpang siur

Kita dalam kerancuan pemikiran
antara kejumudan dan geliat leberalan

Kita dalam kerancuan serba serbi
hati-hatilah menetapkan persada
tempat berdiri menadah harap
daripada kesucian tanpa rancu
Yang Maha Satu.

HARI RAYA PUASA PERTAMA.

Ramai sekali orang kirimkan kad ucapan "SELAMAT HARI RAYA" laman muka buku masing-masing. Aku tidaklah. Pertama tidak tahu nak design kad raya macam mereka. Keduanya, aku tidak suka post gambar sendiri. Apa lagi keluarga. Aku cuma suka post tulisan.

Hari raya pertama ini, aku mulakan dengan solat hari raya di masjid Salamah, Kg Barokhas. Tahun ini aku malas solat Hari Raya di Kg Datuk kerana aku tidak berapa suka dengan kebiasaan di buat di masjid Kg, Datuk iaitu membaca Yaseen selepas selesai acara Solat Hari Raya.


Dulu-dulu, zaman tok nenek. lepas solat hari raya, mereka akan pergi kubur dulu. Adalah diikuti oleh anak cucu beberapa lama. Sekarang, anak cucu pun sudah tidak lagi meneruskan. Bila sudah tidak teruskan, dicipta lagi satu cara supaya oorang bersedekah pahala kepada arwah-arwah pada hari raya, iaitu dengan buat majlis baca yaseen beramai-ramai di masjid lepas solat hari raya

Aku tidak menolak sedekah pahala. Boleh buat masa lain. Yang dibuat malam jumaat itu, ikut sukalah. Tapi yang dibuatnya pada hari raya, apasal? Ada keutamaan ke?

Manusia memang suka mencipta. Tapi yang silapnya bila mencipta sesuatu yang berkaitan dengan ibadat dan cara taqarrub. Kalau mahu cipta hal ehwal dunia, oklah. Memanmg bagus jika ia baik pada pandangan mereka. Tapi, cipta adat kebiasaan yang berkaitan ibadat dan sesuatu yang difahami sebagai ibadah, ini boleh memberi kesan buruk kepada keluasan Islam yang telah dibawa oleh Kanjeng Nabi!
 
Dipost dalam " Travelog Musafir"

Menyeru genta petaka

IS itu lahir di sana
di bumi yang dulu disebut Babil
melebarkan cakarannya ke tanah rebutan
Syam yang bertuah.

Tapi...
di Tanah Permata Nilam ini
ada yang menyerunya
marilah ke sini
kalau berani
tunjukkan diri!

Bersilat belum khatam
sudah berdiri di tengah gelanggang
menjulang badik mengundang lawan!

Baca kitab lembaran muqaddimah
cepat membelek mukasurat tatimmah!

Kedungguan apa
mahu mengujikah jurus tapa
di tengah golak membara
menyeru genta petaka
memercik api ke tanah nenda.

Tuesday, July 05, 2016

Orang terbuang

Kita sedang membilang
bertambahnya orang terbuang
dulu mereka ditunggang
kini bingkas mahu berjuang
dulu sama berdendang
kini berputus arang.


Orang terbuang
dulu memugar ladang
kini bertani di tanah gersang.


Orang terbuang
dulu bintangnya terang
kini tersungkur bagai karang.


Orang terbuang
dulu sahabat kini ditentang
dulu didokong kini dihalang
dulu dibela kini dicincang
dulu dipuji kini diganyang
dulu disuci kini dijalang
dulu selari kini disilang
dulu dibelai kini diterajang


Orang terbuang
negeri telah hilang
sudah menjadi pelarian di tanah gersang
sehari akan didendang
kemudian akan dilupakan orang
seribu orang genggam menjulang
pada hari dituduh petualang
akhirnya sendirian melanglang.


Kecuali jika benar pejuang
seperti harimau tetap berbelang
setelah mati pun sejarah dipancang
tetap disebut berulang-ulang.

KORBAN POLITIK.

Hidup itu putaran roda. Telah lama pun pujangga silam bermadah demikian. Putaran itu nampak jelas dalam dimensi hidup yang pelbagai. Paling ketara dalam sepak terajang politik.

Kelmarin, ada orang merasa selamat ketika olak dan ombak politik membadai. Hari ini, rupanya dia sendiri juga karam. Ada kembiri politik yang sedang ketawa dan bertepuk tangan pula. Satu saat, mereka juga mungkin akan terbungkam dalam arus ganas politik.

Telah tumpas jaguh-jaguh yang tangguh. Ketika rebah watak-watak kecil biasa, apalah hendak diherankan. Itulah hukum permainan sandiwara politik.

Tiada yang namanya setiakawan. Tiada yang namanya tulus dan lurus. Ketika peluang menampakkan ruang, ia segera direbut. Khianat dan bengkok adalah asam garam. Hari ini kawan, esok adalah musuh. Berpolitik dengan setiakawan menempa kecundang. Jika tulus dan lurus, akan dihumban arus.

Telah karam ramai orang kerana kebuasan dunia politik!

Pernahkah anda dengar bagaimana halnya seorang Khalifah Bani Umayyah, Abdul Malik bin Marwan ketika dilantik menjadi khalifah. Ketika datang khabar lantikan, dia sedang dalam gelutan dunia ilmu dengan kitab-kitabnya dan merupakan ulama besar di Kota Madinah. setelah itu dia telah menanggalkan pakaian fuqahanya kerana sibuk menjunjung mahkota umara.

TSMY, Shafie Afdal, Mukhriz Mahathir adalah sedikit petunjuk kecil untuk kita melihat keganasan sandiwara politik yang turun naik. Sebelumnya telah kita lihat yang lebih jaguh daripada mereka dimungkiri dalam permainan sadis serakah politik.

Jangan ketawa dan usah menangis!

Friday, June 24, 2016

TULISAN BERDOSA BERANGAN PAHALA.

Tulisan kita atau ucapan kita yang di"viral"kan tidaklah hanya meraih pahala hasil daripada caci nista orang kepada kita. Ia juga menjadi "sayyiaatul jariah" yang menumpukkan timbunan dosa buat kita apabila setiap kali orang mendengar atau membacanya.

Setelah melemparkan duri ke tengah jalan, lalu orang yang lalu lalang mencemuh sang pelempar duri itu, patutkan dia berkata:


" Terima kasih kerana berikan pahala kepada saya",

Kenapa hanya tamakkan pahala dari orang lain. Tidakkah pula terfikir kita menebarkan dosa menerusi ucapan atau video kita. Jika 100 membaca atau menonton tulisan dan video kita berjenis dosa, maka apakah kita boleh berpeluk tubuh sambil tersenyum menyucikan diri?

Tidak. Tidak ada yang terlepas setelah berbuat angkara. Dunia maya yang menyebarluaskan kejahatan kecil kita membuatkan ia jadi besar dan mega. Jika sepatah kata "laknat" yang kita ungkap dan dibaca ribuan orang, apakah kita hanya dapat satu ucapan dosa? Apakah bila kita menulis satu fitnah adu domba, syak wasangka, tajrih, tuduhan tanpa asas dan menggugat nilai murni islami, lalu dibaca puluhan ribu orang kita hanya membilang pahala kutukan orang ke atas kita? Apakah kita menerima puluhan ribu dosa pula atas capaian orang bagi tulisan kita yang berdosa?

Lalu...masihkah kita mahu berkata:

"Terima kasih kerana berikan saya pahala!".

Bimbangilah banyaknya dosa kerana tulisan tidak berpahala yang terbit daripada kita. Takutilah ucapan dan video yang mengguris luka membelah ufuk timur dan barat hingga kita tidak mungkin mampu mencuci lukanya dan terus bersiponggang seantero dunia.

Wednesday, June 22, 2016

Kisah sang guru solat 100 rakaat

Ada cerita yang menakjubkan. Murid-murid menceritakan kehebatan gurunya. Kononnya, gurunya solat taraweh 100 rakaat dalam satu malam. Gurunya beramal sebagaimana para salaf beramal. Cerita muird itu mengangkat darjat gurunya luar dari kebiasaan orang awam. Cerita-cerita kehebatan gurunya itu adalah untuk halwa telinga yang mendengar. Ia bukan untuk dicontohi. Baik oleh murid yang bercerita maupun yang mendengar cerita. Apabila ada orang menidakkan cerita luar biasa itu, orang itu dikatakan cuba menafikan amalan orang soleh.

Cerita kehebatan guru itu lebih kepada mengangkat nama guru. Ia membawa kepada taksub . Banyak ornag, lantaran kerana taksub suka mereka-reka cerita. Cerita itu dirasakan sebagai luahan rasa cinta kepada guru sedangkan sepatutnya rasa cinta itu dijelmakan dalam bentuk mencontohi guru. Murid-murid yang bercerita mengenai kehebatan ibadat guru, tidak pula cuba melaksanakan seperti mana ibadat sang guru.

Salahnya cinta jika hanya membuat hikayat  tentang hebatnya sang guru sedang tidak mengikut apa yang guru buatkan. Jika benar ceritanya, lakukanlah solat 100 rakaat semalam. Kalau tidak mampu setiap malam pun, cubalah untuk semalam sahaja. Buktikan cerita dengan ittiba'. Buka semata-mata lipur lara yang diragukan orang.

Di kala rasa marah bila orang pertikaikan, nyatalah cerita itu hanya kerana dorongan ta'asub untuk meletakkan point-ponint yang boleh dilihat ornag lebihnya sang guru.  

hal demikian telah pun terjadi kepada Rasulullah SAW. Orang yang kononnya cinta rasul, buat cerita-cerita luar biasa mengenai rasul sehingga banginda dilihat sudah bercirikan bukan manusia biasa. Bahkan sudah melangkau alam malaikat. Nabi SAW digambarkan sebagai satu yang mustahil dicontohi. Tidak oleh sang pencerita dna tidak juga oleh khalayak yang mendengar cerita.

Kalau benar bagai dicerita, buatlah sepertimana yang Rasul buat. barulah cerita-cerita luar biasa itu ma'qul.

Apatah lagi guru-guru biasa.

Monday, May 30, 2016

Ini negara lukah

Pada setiap pergentingan
ada lukah ditahan.


Ketika di lebuh raya
mereka membina lukah tol.

Ketika membeli barangan
mereka melukahi dengan GST.

Ketika membayar bil air atau api
mereka melukahkan dengan pelarasan deposit.

Ketika hadir membeli belah di Expo jualan
ada orang melukahi dengan bayaran parkir.

Pergi berkelah di hutan rekreasi
ada pula melukahi bayaran masuk.

Ketika masuk tandas awam
lukahnya menangguk 30 sen.

Simpan duit dalam bank
pergentingan kad ATM melukahi yuran tahunan.

Lahir sahaja anak ke dunia
sudah terlukah waktu mendaftarkan nama.

Bila hidup menamatkan riwayat
pun banyak pergentingan berlukah.

Orang atas menahan lukah
orang bawah juga berlukah
sungguh bedebah
negara banyak lukah.

Wednesday, May 25, 2016

ORBIT KEPONGAHAN

Sejak bila kau hilang sabar
kau tegakkan keakuanmu
di tengah hiruk pikuk orang gelabah
yang hilang punca menyusur rasioanl.


Prinsip apa yang mengajar kita
menutup pintu merenung galaksi luas
atau sekadar meramal perjalanan bintang?

Kala ini
kau menjadi bintang kecil yang dilupakan
tetap beredar di atas orbit sendiri
sebuat orbit kepongahan.

Pertembungan Kabilah Politik dalam PRK KK dan SB

Aku hilang minat terhadap politik sejak perpecahan berlaku dalam Pakatan Rakyat dan kemudian disusuli dengan krisis dalaman PAS yang membawa kepada tertubuhnya Amanah. Harapan terhadap Pakatan Rakyat yang pernah aku semaikan menjadi hancur dan hagemoni Barisan Nasional tidak terpecahkan juga. Sepertinya umurku tidak akan melihat perubahan pemerintahan dalam negara melalui pertukaran parti pemerintah.

Parti yang aku dokongi pula dihambat permasalahan serius apabila sebahagian besar pemimpin yang aku sanjungi dan jadikan inspirasi lari meninggalkan Pas. Kemudian tampil orang-orang baru memimpin Pas sedangkan mereka itu aku tidak kenali atau aku tidak cukup mengenali mereka. Sementelahan, jasa dan pengorbanan mereka dalam membangunkan Pas adalah minima berbanding pemimpin yang telah meninggalkan Pas dan menubuhkan parti baru.

Aku pun hilang minat dan berkira-kira untuk menyisihkan diri daripada pertengkaran politik dalaman Pas yang aku sifatkan sebagai khilaf antara qabilah politik. Akar kepada khilaf kabilah adalah asobiyyah yang merupakan perasaan bahawa "aku sentiasa benar dan orang lain salah semuanya". Sememangnya itulah watak pemikiran asobiyyah dalam acuan apapun ia berada.

Tiba-tiba kini meletus pula pertengkaran siapa yang akan meletakkan calon di Kuala Kangsar dan Sungai Besar bagi menentang hagemoni BN. Pas menjadikan amalan tradisi sebagai sandarannya untuk meletakkan calon di sana. Sejak dahulu, dua kawasan itu adalah kawasan Pas bertanding, termasuk sewaktu zaman ia berada dalam Pakatan Rakyat. Parti pembangkang lain turut mengintai potensi namun tuduh menuduh berlaku sesama kabilah pembangkang. Meletakkan calon di situ untuk lebih daripada 2 penjuru ditafsirkan sebagai memenangkan UMNO-BN. Mungkin satu hal yang tidak atau kurang diperasan oleh pihak yang berbalah ialah satu hakikat bahawa dua kawasan itu adalah dimenangi oleh UMNO-BN.

Sekadar mengerling sesekali, aku bosan mendengar pertengkaran bodoh kabilah pembangkang. Cakap terlalu banyak dan itu membuatkan khalayak merasa mual. Adalah lebih baik jika mahu bertanding menentang UMNO-BN, bertandinglah sahaja. Pengundi akan menentukan siapa pilihan mereka. Kawasan itu bukan milik sesiapa tetapi adalah milik rakyat. Tujuan meletakkan calon dalam pilihanraya adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat memilih dan bukan soal siapa yang akanb menang atau kalah. Meneng atau kalah adalah persoalan kedua. Apa yang utama ialah menawarkan pilihan. Dalam sekian banyak rakyat yang menghuni kawasan itu, pilihan mereka bukan berkisar antara A dan B sahaja. Ada pilihan C dan D. Mungkin juga ada pilihan sampai Z. Berapa banyak pilihan yang boleh ditawarkan, silakan tawar.

Kalaupun sepakat kabilah pembangkang bahawa pilihan yang ditawarkan untuk pengundi hanya dua, ia bukan menjamin kejatuhan UMNO-BN. Tujuan pengundian bukan sekadar hendak menjatuhkan UMNO-BN, tetapi juga melihat sokongan rakyat. Membaca pola pemikiran rakyat. Dalam sebuah negara demokrasi, kecenderungan rakyat hendaklah diberikan jalan melampiaskannya.

Monday, May 23, 2016

amalan kecil pahalanya besar

Jangan diremehkan amal yang rendah
siapa tahu pahalanya di sisi Allah
boleh jadi balasannya ibadah
menjadi sebab ke syurga nan indah.

Berbuat sedikit hasilnya lumayan
kelak diakhirat menjadi hairan
melihat pahala sebagai ganjaran
dari amal yang bukan harapan.

Wednesday, May 18, 2016

Pencak Pincang

Pencak pincang para aktor tua
di pentas politik negara
buatkan ramai mengeluh hampa
ke mana hendak dibawa kita?

Orang yang dulunya menebar angkara
kini diangkat jadi perwira
dia pun cuci dosa
jenayah besarnya dilupa.

Orang yang dulunya terumbang ambing
lalu diberikan sebilah lembing
untuk berdiri sebaris berganding
buat pendekar tangguh jadi terasing.

Permainan ini sungguh membingungkan
tidak dapat dikenal batu dan intan
siapa yang menjunjung prinsip perjuangan
banyaknya cuma bermadah gerangan.

Tuesday, May 10, 2016

Politik hangit para dedemit

Politik bukan ukiran prasasti
lenggok dan tari tidaklah pasti
bukan tegak si pohon jati
tidak mudah difaham erti.

Ia seperti permainan aci
Atau perlumbaan kekura dan kelinci
Ia seni mengobar benci
medan pendosa menunjuk suci

Nampak berperang suara garang
Lain di depan lain di belakang
Kelmarin kawan hari ini ditentang
Esok bertukar berkasih sayang

Tiada kawan kekal sejati
Tiada musuh selamanya dibenci
Boleh bertukar setiap hari
Mengikut selera kepentingan diri

Bicara kelmarin jangan dipegang
hari ini jadi temberang
esok bertukar dondang sayang
lusa menjadi cerita sumbang.

Manusia berpolitik amatlah berselisih
Payahlah mencari mereka yang bersih
Ada sahaja dolak dan dalih
Halal dan haram bertukar bersilih

Jika terbabit malaikat di langit
hingga ke Aras baunya hangit
bidadari syurga turut menjerit
malaikat berubah menjadi dedemit.

Banyaklah tersungkur para wali
seumpama Bal'am miskipun  tajalli
kerana politik dia dibeli
buang agama hilang peduli.

Tempoh di dunia kurang sehari
hakikat itu menyedarkan diri
hukum dunia punya negeri
pasti ada kelompok pak menteri

Dunia politik merekalah ahli
di tangan mereka memegang kandali
sekalipun tampil manusia wali
di bawah mereka dibuat kuli.

Melihat politik wajahnya tercemar
mereka yang terjun jawatan dikejar
agar disanjung kata didengar
mendapat habuan jadi bergelar.

Ramai juga manusia yang hebat
kerana politik berubahlah sifat
Dulunya hidup dalam taat
Selepas berkuasa berbuat bejat.

Bila diri disanjung rakyat
Lupalah doa mohon inayat
Sombong bongkak mengatur siasat
Apa diingini yakin didapat

Mulanya Musa menentang Firaun
Akhirnya diri menjadi malaun
Mulanya Musa menasihati Qarun
akhirnya harta sendiri bertimbun.

Orang politik bila bicara
Waktu menagih sokongan jelata
Agar menang dalam pilihanraya
Sangguplah diri dipanggil hamba

Konon rakyat dialah pembela
Konon bangsa dialah perwira
Konon agama dialah lantera
Konon raja dialah kota

Seribu kata dihambur ke medan
Boleh dengar simpan angan angan
Satu masa akan jadi kenyataan
Namun tidaklah ada kepastian.

Sungguhlah politik hutannya angker
ulama menjadi anjing menjelir
para penganggur membina karier
para santri menyimpan selir.

Rebah tersungkur petapa keramat
Menjadi takbur raja berdaulat
Menjadi domba seluruh rakyat
Diseret gembala  di malam zulmat

Di kala sungai airnya bening
Angkara politik airnya kuning
Di kalau hutan damai hening
Pepohonan bertukar kering tinggal ranting

Sudah bertimbun bahana berabad
Politik hangit faqir adab
Hanya mencipta zaman gelap
Dunia permai runtuh ranap
Manusia khalifah tersungkur tiarap
Tiada apa yang boleh diharap
Di kala rumah rosak atap.



Friday, May 06, 2016

INQILAB

Satu waktu, aku terdengar dialog dalam sebuah filem Purbawara Indonesia mengenai Brama Kumbara. Dalam dialog itu seorang pendekar wanita berkata kepada temannya seorang pendekar wanita yang lain:

" Kebencian yang keterlaluan adalah pangkal kepada percintaan".


Dalam hidup kita, kita jangan benci keterlaluan kepada sesuatu. Falsafah menyatakan bahawa setelah sampai kemuncak tiada lagi kemuncak. Yang ada adalah jurang. Jika kita mengikut runrunan kebencian itu, pada satu ketika di belakang hari, kita akan mengikut pula runtunan cinta gila kepada sesuatu.

Lihatlah kemenjadian falsafah ini dalam kehidupan kita. Dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Dalam pergaulan dan persaingan ideologi. Termasuk dalam persoalan iman dan kepercayaan.

Dulu bukan alang-alang benci. Tapi kini bukan sedikit kaakraban yang mempamerkan cinta kasih. Dulu berjarak bagai tanah dua benua. Kini merapat bagai aur merangkul tebing. Semasa kita melontar kebencian, ada karma yang menghantui. Tuhan yang "Muqtadir" membolak balikkan hati manusia.

Ambil iktibar. Pada saat kamu tidak menyukai seseorang, berpadalah dan jangan melewati. Disaat kamu tidak sukakan sesuatu, beringatlah bahawa akan datang kamu akan memerlukannya, bahkan menggilainya.

Melanglang buana.

Dengan dana siapa
mereka melanglang buana?
dengan duit rakyat jelata
juga duit para penderma.


Pemimpin atas sana
melanglang buana serata dunia
tapi negara makin terhina
sedang rakyat kian merana.

Yang memungut derma
atas nama agama
untuk rumah anak yatim
atau para penghafaz al-Quran
saban bulan melanglang buana
sedang anak yatim mencari dana
untuk yang punya nama...
para pelajar hilang masa
intuk menambah hafalannya

mereka asyik...
melanglang buana

Tuesday, May 03, 2016

PANTUN NASIHAT UNTUK MURID





Pohon Sena rosak akar
Batangnya retak bakal binasa
Apa guna pandai belajar
Jikalau tidak berbudi bahasa.


Jala ditebar tenggelam ke dasar
Dapat sepat untuk disaji
Cikgu mengajar murid mendengar
Itulah sifat murid terpuji.

Carik kertas dikoyak penghulu
Oleh Cik Siti memandang ragu
Jagalah kelas bersih selalu
Senanglah hati murid dan cikgu.

Kayu dikerat dengan gergaji
Tumbuh kemuncup penuh halaman
Rajin solat pandai mengaji
Barulah hidup diberkati Tuhan

Tepung diadun menjadi roti
Resepi dibuat sejak berzaman
Sopan santun berbudi pekerti
Itulah sifat orang beriman.

Tidak takut perjuangan digalas
Bersenjata seligi musuh ditentang
Jangan diikut perangai malas
Diri rugi dibenci orang

Karya : Ust Kama/Mei2016

Tuesday, April 19, 2016

Apa alasan kalian membenci Dr. zakir Naik??

Tak perlu menebar pesimis terhadap kedatangan Dr. Zakir Naik. Dia cuba melakukan kerja Islam dalam kapasitinya. Para pendakwah di Malaysia yang ikhlas, sepatutnya merasa bangga dan berterima kasih jika ada individu luar yang datang membantu memperkuatkan Islam. Islam bukan perlumbaaan kedudukan di mata manusia. Kerja dakwah Islami hanya akan bernilai di sisi Allah jika dilakukan dengan Ikhlas.

Kewujudan kalangan tertentu yang mencurigai Dr. zakir Naik dengan menuduhnya sebagai bukan ahli sunnah, wahabi, mengundang masalah perkauman, televangelis dan sebagainya adalah bau hapik dari cetusan hati yang busuk berulak dengan penyakit. Mulanya, yang paling tidka suka kepada individu seperti Dr. Zakir Naik adalah Syiah. Lalu kebencian mereka itu dianuti bersama oleh golongan yang yang memang telah sedia penyakit bersarang dalam hatinya.

Syiah tidak menyukai ketokohan orang seperti Dr. Zakir Naik.