CARI BAHAN

Friday, June 24, 2016

TULISAN BERDOSA BERANGAN PAHALA.

Tulisan kita atau ucapan kita yang di"viral"kan tidaklah hanya meraih pahala hasil daripada caci nista orang kepada kita. Ia juga menjadi "sayyiaatul jariah" yang menumpukkan timbunan dosa buat kita apabila setiap kali orang mendengar atau membacanya.

Setelah melemparkan duri ke tengah jalan, lalu orang yang lalu lalang mencemuh sang pelempar duri itu, patutkan dia berkata:


" Terima kasih kerana berikan pahala kepada saya",

Kenapa hanya tamakkan pahala dari orang lain. Tidakkah pula terfikir kita menebarkan dosa menerusi ucapan atau video kita. Jika 100 membaca atau menonton tulisan dan video kita berjenis dosa, maka apakah kita boleh berpeluk tubuh sambil tersenyum menyucikan diri?

Tidak. Tidak ada yang terlepas setelah berbuat angkara. Dunia maya yang menyebarluaskan kejahatan kecil kita membuatkan ia jadi besar dan mega. Jika sepatah kata "laknat" yang kita ungkap dan dibaca ribuan orang, apakah kita hanya dapat satu ucapan dosa? Apakah bila kita menulis satu fitnah adu domba, syak wasangka, tajrih, tuduhan tanpa asas dan menggugat nilai murni islami, lalu dibaca puluhan ribu orang kita hanya membilang pahala kutukan orang ke atas kita? Apakah kita menerima puluhan ribu dosa pula atas capaian orang bagi tulisan kita yang berdosa?

Lalu...masihkah kita mahu berkata:

"Terima kasih kerana berikan saya pahala!".

Bimbangilah banyaknya dosa kerana tulisan tidak berpahala yang terbit daripada kita. Takutilah ucapan dan video yang mengguris luka membelah ufuk timur dan barat hingga kita tidak mungkin mampu mencuci lukanya dan terus bersiponggang seantero dunia.

Wednesday, June 22, 2016

Kisah sang guru solat 100 rakaat

Ada cerita yang menakjubkan. Murid-murid menceritakan kehebatan gurunya. Kononnya, gurunya solat taraweh 100 rakaat dalam satu malam. Gurunya beramal sebagaimana para salaf beramal. Cerita muird itu mengangkat darjat gurunya luar dari kebiasaan orang awam. Cerita-cerita kehebatan gurunya itu adalah untuk halwa telinga yang mendengar. Ia bukan untuk dicontohi. Baik oleh murid yang bercerita maupun yang mendengar cerita. Apabila ada orang menidakkan cerita luar biasa itu, orang itu dikatakan cuba menafikan amalan orang soleh.

Cerita kehebatan guru itu lebih kepada mengangkat nama guru. Ia membawa kepada taksub . Banyak ornag, lantaran kerana taksub suka mereka-reka cerita. Cerita itu dirasakan sebagai luahan rasa cinta kepada guru sedangkan sepatutnya rasa cinta itu dijelmakan dalam bentuk mencontohi guru. Murid-murid yang bercerita mengenai kehebatan ibadat guru, tidak pula cuba melaksanakan seperti mana ibadat sang guru.

Salahnya cinta jika hanya membuat hikayat  tentang hebatnya sang guru sedang tidak mengikut apa yang guru buatkan. Jika benar ceritanya, lakukanlah solat 100 rakaat semalam. Kalau tidak mampu setiap malam pun, cubalah untuk semalam sahaja. Buktikan cerita dengan ittiba'. Buka semata-mata lipur lara yang diragukan orang.

Di kala rasa marah bila orang pertikaikan, nyatalah cerita itu hanya kerana dorongan ta'asub untuk meletakkan point-ponint yang boleh dilihat ornag lebihnya sang guru.  

hal demikian telah pun terjadi kepada Rasulullah SAW. Orang yang kononnya cinta rasul, buat cerita-cerita luar biasa mengenai rasul sehingga banginda dilihat sudah bercirikan bukan manusia biasa. Bahkan sudah melangkau alam malaikat. Nabi SAW digambarkan sebagai satu yang mustahil dicontohi. Tidak oleh sang pencerita dna tidak juga oleh khalayak yang mendengar cerita.

Kalau benar bagai dicerita, buatlah sepertimana yang Rasul buat. barulah cerita-cerita luar biasa itu ma'qul.

Apatah lagi guru-guru biasa.

Monday, May 30, 2016

Ini negara lukah

Pada setiap pergentingan
ada lukah ditahan.


Ketika di lebuh raya
mereka membina lukah tol.

Ketika membeli barangan
mereka melukahi dengan GST.

Ketika membayar bil air atau api
mereka melukahkan dengan pelarasan deposit.

Ketika hadir membeli belah di Expo jualan
ada orang melukahi dengan bayaran parkir.

Pergi berkelah di hutan rekreasi
ada pula melukahi bayaran masuk.

Ketika masuk tandas awam
lukahnya menangguk 30 sen.

Simpan duit dalam bank
pergentingan kad ATM melukahi yuran tahunan.

Lahir sahaja anak ke dunia
sudah terlukah waktu mendaftarkan nama.

Bila hidup menamatkan riwayat
pun banyak pergentingan berlukah.

Orang atas menahan lukah
orang bawah juga berlukah
sungguh bedebah
negara banyak lukah.

Wednesday, May 25, 2016

ORBIT KEPONGAHAN

Sejak bila kau hilang sabar
kau tegakkan keakuanmu
di tengah hiruk pikuk orang gelabah
yang hilang punca menyusur rasioanl.


Prinsip apa yang mengajar kita
menutup pintu merenung galaksi luas
atau sekadar meramal perjalanan bintang?

Kala ini
kau menjadi bintang kecil yang dilupakan
tetap beredar di atas orbit sendiri
sebuat orbit kepongahan.

Pertembungan Kabilah Politik dalam PRK KK dan SB

Aku hilang minat terhadap politik sejak perpecahan berlaku dalam Pakatan Rakyat dan kemudian disusuli dengan krisis dalaman PAS yang membawa kepada tertubuhnya Amanah. Harapan terhadap Pakatan Rakyat yang pernah aku semaikan menjadi hancur dan hagemoni Barisan Nasional tidak terpecahkan juga. Sepertinya umurku tidak akan melihat perubahan pemerintahan dalam negara melalui pertukaran parti pemerintah.

Parti yang aku dokongi pula dihambat permasalahan serius apabila sebahagian besar pemimpin yang aku sanjungi dan jadikan inspirasi lari meninggalkan Pas. Kemudian tampil orang-orang baru memimpin Pas sedangkan mereka itu aku tidak kenali atau aku tidak cukup mengenali mereka. Sementelahan, jasa dan pengorbanan mereka dalam membangunkan Pas adalah minima berbanding pemimpin yang telah meninggalkan Pas dan menubuhkan parti baru.

Aku pun hilang minat dan berkira-kira untuk menyisihkan diri daripada pertengkaran politik dalaman Pas yang aku sifatkan sebagai khilaf antara qabilah politik. Akar kepada khilaf kabilah adalah asobiyyah yang merupakan perasaan bahawa "aku sentiasa benar dan orang lain salah semuanya". Sememangnya itulah watak pemikiran asobiyyah dalam acuan apapun ia berada.

Tiba-tiba kini meletus pula pertengkaran siapa yang akan meletakkan calon di Kuala Kangsar dan Sungai Besar bagi menentang hagemoni BN. Pas menjadikan amalan tradisi sebagai sandarannya untuk meletakkan calon di sana. Sejak dahulu, dua kawasan itu adalah kawasan Pas bertanding, termasuk sewaktu zaman ia berada dalam Pakatan Rakyat. Parti pembangkang lain turut mengintai potensi namun tuduh menuduh berlaku sesama kabilah pembangkang. Meletakkan calon di situ untuk lebih daripada 2 penjuru ditafsirkan sebagai memenangkan UMNO-BN. Mungkin satu hal yang tidak atau kurang diperasan oleh pihak yang berbalah ialah satu hakikat bahawa dua kawasan itu adalah dimenangi oleh UMNO-BN.

Sekadar mengerling sesekali, aku bosan mendengar pertengkaran bodoh kabilah pembangkang. Cakap terlalu banyak dan itu membuatkan khalayak merasa mual. Adalah lebih baik jika mahu bertanding menentang UMNO-BN, bertandinglah sahaja. Pengundi akan menentukan siapa pilihan mereka. Kawasan itu bukan milik sesiapa tetapi adalah milik rakyat. Tujuan meletakkan calon dalam pilihanraya adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat memilih dan bukan soal siapa yang akanb menang atau kalah. Meneng atau kalah adalah persoalan kedua. Apa yang utama ialah menawarkan pilihan. Dalam sekian banyak rakyat yang menghuni kawasan itu, pilihan mereka bukan berkisar antara A dan B sahaja. Ada pilihan C dan D. Mungkin juga ada pilihan sampai Z. Berapa banyak pilihan yang boleh ditawarkan, silakan tawar.

Kalaupun sepakat kabilah pembangkang bahawa pilihan yang ditawarkan untuk pengundi hanya dua, ia bukan menjamin kejatuhan UMNO-BN. Tujuan pengundian bukan sekadar hendak menjatuhkan UMNO-BN, tetapi juga melihat sokongan rakyat. Membaca pola pemikiran rakyat. Dalam sebuah negara demokrasi, kecenderungan rakyat hendaklah diberikan jalan melampiaskannya.

Monday, May 23, 2016

amalan kecil pahalanya besar

Jangan diremehkan amal yang rendah
siapa tahu pahalanya di sisi Allah
boleh jadi balasannya ibadah
menjadi sebab ke syurga nan indah.

Berbuat sedikit hasilnya lumayan
kelak diakhirat menjadi hairan
melihat pahala sebagai ganjaran
dari amal yang bukan harapan.

Wednesday, May 18, 2016

Pencak Pincang

Pencak pincang para aktor tua
di pentas politik negara
buatkan ramai mengeluh hampa
ke mana hendak dibawa kita?

Orang yang dulunya menebar angkara
kini diangkat jadi perwira
dia pun cuci dosa
jenayah besarnya dilupa.

Orang yang dulunya terumbang ambing
lalu diberikan sebilah lembing
untuk berdiri sebaris berganding
buat pendekar tangguh jadi terasing.

Permainan ini sungguh membingungkan
tidak dapat dikenal batu dan intan
siapa yang menjunjung prinsip perjuangan
banyaknya cuma bermadah gerangan.

Tuesday, May 10, 2016

Politik hangit para dedemit

Politik bukan ukiran prasasti
lenggok dan tari tidaklah pasti
bukan tegak si pohon jati
tidak mudah difaham erti.

Ia seperti permainan aci
Atau perlumbaan kekura dan kelinci
Ia seni mengobar benci
medan pendosa menunjuk suci

Nampak berperang suara garang
Lain di depan lain di belakang
Kelmarin kawan hari ini ditentang
Esok bertukar berkasih sayang

Tiada kawan kekal sejati
Tiada musuh selamanya dibenci
Boleh bertukar setiap hari
Mengikut selera kepentingan diri

Bicara kelmarin jangan dipegang
hari ini jadi temberang
esok bertukar dondang sayang
lusa menjadi cerita sumbang.

Manusia berpolitik amatlah berselisih
Payahlah mencari mereka yang bersih
Ada sahaja dolak dan dalih
Halal dan haram bertukar bersilih

Jika terbabit malaikat di langit
hingga ke Aras baunya hangit
bidadari syurga turut menjerit
malaikat berubah menjadi dedemit.

Banyaklah tersungkur para wali
seumpama Bal'am miskipun  tajalli
kerana politik dia dibeli
buang agama hilang peduli.

Tempoh di dunia kurang sehari
hakikat itu menyedarkan diri
hukum dunia punya negeri
pasti ada kelompok pak menteri

Dunia politik merekalah ahli
di tangan mereka memegang kandali
sekalipun tampil manusia wali
di bawah mereka dibuat kuli.

Melihat politik wajahnya tercemar
mereka yang terjun jawatan dikejar
agar disanjung kata didengar
mendapat habuan jadi bergelar.

Ramai juga manusia yang hebat
kerana politik berubahlah sifat
Dulunya hidup dalam taat
Selepas berkuasa berbuat bejat.

Bila diri disanjung rakyat
Lupalah doa mohon inayat
Sombong bongkak mengatur siasat
Apa diingini yakin didapat

Mulanya Musa menentang Firaun
Akhirnya diri menjadi malaun
Mulanya Musa menasihati Qarun
akhirnya harta sendiri bertimbun.

Orang politik bila bicara
Waktu menagih sokongan jelata
Agar menang dalam pilihanraya
Sangguplah diri dipanggil hamba

Konon rakyat dialah pembela
Konon bangsa dialah perwira
Konon agama dialah lantera
Konon raja dialah kota

Seribu kata dihambur ke medan
Boleh dengar simpan angan angan
Satu masa akan jadi kenyataan
Namun tidaklah ada kepastian.

Sungguhlah politik hutannya angker
ulama menjadi anjing menjelir
para penganggur membina karier
para santri menyimpan selir.

Rebah tersungkur petapa keramat
Menjadi takbur raja berdaulat
Menjadi domba seluruh rakyat
Diseret gembala  di malam zulmat

Di kala sungai airnya bening
Angkara politik airnya kuning
Di kalau hutan damai hening
Pepohonan bertukar kering tinggal ranting

Sudah bertimbun bahana berabad
Politik hangit faqir adab
Hanya mencipta zaman gelap
Dunia permai runtuh ranap
Manusia khalifah tersungkur tiarap
Tiada apa yang boleh diharap
Di kala rumah rosak atap.



Friday, May 06, 2016

INQILAB

Satu waktu, aku terdengar dialog dalam sebuah filem Purbawara Indonesia mengenai Brama Kumbara. Dalam dialog itu seorang pendekar wanita berkata kepada temannya seorang pendekar wanita yang lain:

" Kebencian yang keterlaluan adalah pangkal kepada percintaan".


Dalam hidup kita, kita jangan benci keterlaluan kepada sesuatu. Falsafah menyatakan bahawa setelah sampai kemuncak tiada lagi kemuncak. Yang ada adalah jurang. Jika kita mengikut runrunan kebencian itu, pada satu ketika di belakang hari, kita akan mengikut pula runtunan cinta gila kepada sesuatu.

Lihatlah kemenjadian falsafah ini dalam kehidupan kita. Dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Dalam pergaulan dan persaingan ideologi. Termasuk dalam persoalan iman dan kepercayaan.

Dulu bukan alang-alang benci. Tapi kini bukan sedikit kaakraban yang mempamerkan cinta kasih. Dulu berjarak bagai tanah dua benua. Kini merapat bagai aur merangkul tebing. Semasa kita melontar kebencian, ada karma yang menghantui. Tuhan yang "Muqtadir" membolak balikkan hati manusia.

Ambil iktibar. Pada saat kamu tidak menyukai seseorang, berpadalah dan jangan melewati. Disaat kamu tidak sukakan sesuatu, beringatlah bahawa akan datang kamu akan memerlukannya, bahkan menggilainya.

Melanglang buana.

Dengan dana siapa
mereka melanglang buana?
dengan duit rakyat jelata
juga duit para penderma.


Pemimpin atas sana
melanglang buana serata dunia
tapi negara makin terhina
sedang rakyat kian merana.

Yang memungut derma
atas nama agama
untuk rumah anak yatim
atau para penghafaz al-Quran
saban bulan melanglang buana
sedang anak yatim mencari dana
untuk yang punya nama...
para pelajar hilang masa
intuk menambah hafalannya

mereka asyik...
melanglang buana

Tuesday, May 03, 2016

PANTUN NASIHAT UNTUK MURID





Pohon Sena rosak akar
Batangnya retak bakal binasa
Apa guna pandai belajar
Jikalau tidak berbudi bahasa.


Jala ditebar tenggelam ke dasar
Dapat sepat untuk disaji
Cikgu mengajar murid mendengar
Itulah sifat murid terpuji.

Carik kertas dikoyak penghulu
Oleh Cik Siti memandang ragu
Jagalah kelas bersih selalu
Senanglah hati murid dan cikgu.

Kayu dikerat dengan gergaji
Tumbuh kemuncup penuh halaman
Rajin solat pandai mengaji
Barulah hidup diberkati Tuhan

Tepung diadun menjadi roti
Resepi dibuat sejak berzaman
Sopan santun berbudi pekerti
Itulah sifat orang beriman.

Tidak takut perjuangan digalas
Bersenjata seligi musuh ditentang
Jangan diikut perangai malas
Diri rugi dibenci orang

Karya : Ust Kama/Mei2016

Tuesday, April 19, 2016

Apa alasan kalian membenci Dr. zakir Naik??

Tak perlu menebar pesimis terhadap kedatangan Dr. Zakir Naik. Dia cuba melakukan kerja Islam dalam kapasitinya. Para pendakwah di Malaysia yang ikhlas, sepatutnya merasa bangga dan berterima kasih jika ada individu luar yang datang membantu memperkuatkan Islam. Islam bukan perlumbaaan kedudukan di mata manusia. Kerja dakwah Islami hanya akan bernilai di sisi Allah jika dilakukan dengan Ikhlas.

Kewujudan kalangan tertentu yang mencurigai Dr. zakir Naik dengan menuduhnya sebagai bukan ahli sunnah, wahabi, mengundang masalah perkauman, televangelis dan sebagainya adalah bau hapik dari cetusan hati yang busuk berulak dengan penyakit. Mulanya, yang paling tidka suka kepada individu seperti Dr. Zakir Naik adalah Syiah. Lalu kebencian mereka itu dianuti bersama oleh golongan yang yang memang telah sedia penyakit bersarang dalam hatinya.

Syiah tidak menyukai ketokohan orang seperti Dr. Zakir Naik.

Thursday, April 14, 2016

Dia bukan ulama?

Dia bukan ulama
walau dia hafal kalam Tuhan
miski dia ingat sabda nabi
atau menguasai khazanah karya cendikia

Hanya kerana dia bukan seorang santri
dari sebuah pasentren atau universiti
yang menjual ilmu nabi

Wednesday, April 13, 2016

Jawatan yang tidak memberi faedah

Ketua Polis Negara sekarang, berkata bahawa ceramah Dr. zakir Naik tidak ada faedahnya dan minta penganjur membatalkan. Sungguh hairan bagaimana beliau boleh mengatakan demikian. Di bahagian dunia yang lain, beribu manusia mendapat faedah daripada ceramahnya. Sejumlah yang tidka mampu dihitung dengan tepat telah memasuki agama ISlam setelah mendengar hujah-hujahnya dalam soal perbandingan agama. Namun, di Malaysia, pidatonya dikatakan tiada faedah.

Apa sebenarnya yang berfaedah kepada manusia? Apakah menjemput penyanyi korea mempersembahakan tarian mereka, itu punya faedah. Bahkan, apakah punya faedah pertandingan bola sepak yang dilakukan di sana-sini saban minggu.

Seorang yang menjawat satu kedudukan, jika tidak memberi faedah kepada agama Islam, akan menanggung penyesalan di hari kemudian.

CAHAYA ALLAH AKAN TERUS BERSINAR

Dr. Zakir Naik itu, adalah pahlawan Islam masa kini. Di depannya tumpas rantaian kebatilan. Menjadi terang apa yang berkabus kerana panjangnya masa sesudah beredarnya zaman. Tidak keterlaluan, jika dikatakan beliau adalah sebuah cahaya yang Allah anugerahkan buat ummat Islam.

Kerana itu musuh Islam dan kalangan mereka yang ada penyakit dalam hati cuba menghalangnya. Mereka cuba memadamkan cahaya Allah, tetapi Allah maha kaya. Allah akan menyempurnakan cahayanya walaupun


يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ


Mereka cuba memadam cahaya Allah dengan mulut mereka, dan Allah pasti akan menyempuirnakan cahayanya walau orang kafir tidak suka". (Surah As-Saf:Ayat 8)


Allah SWT tidak miskin. Telah lahir manusia yang lebih petah berbicara daripada Dr Zakir Naik sebelum ini. Lebih kuat ingatan dan hafalannya. Lebih hikmah dalam bermujadalah. Demikianlah Dr. Zakir Naik. Kemudian, sesudahnya akan lahir lagi dan terus lahir insan yang menjadi seperti saifullah Al-Maslul. Menjadi seperti Al-Faruq Umar Al-Khattab. Seperti mereka yang telah menunaikan "nahbah'nya dan pula sedang menunggu giliran yang punya giliran.


Allahul musta'an.

Wednesday, April 06, 2016

Lebihnya pejuang yang tepenjara

Saya sangat menghargai para pejuang yang terpenjara. Saya terkenang watak nabi Yusuf yang terpenjara. Demikian, sejumlah besar para pejuang sepanjang zaman, mereka terpenjara. Penjara adalah lumrah mereka yang berjuang. Berjuang tetapi tidak pernah dipenjara, belum cukup untuk dikatakan pejuang.

Kerana itu, gelarean pejuang itu tidak semudah mengucapkan astaghfirullah atau menggelitil biji tasbih. Tidak juga semudah melilitkan serban. Jika 10 tahun berjuang pun, belum pernah diancam pemenjaraan, maka bagaimana harus dikatakan pejuang. Jauh sekali untuk diancam nyawa.

Bukan soal ulama atau tidak. Soalnya cubaan dalam perjuangan. Cubaan itu adalah "imarat" kepada ketulinan perjuangan. 

Syabas untuk mereka yang terpenjara kerana menegakkan idealisme perjuangannya. Mereka yang terpenjara kerana menyatakan kebenaran. Saya akan kenang anda sepanjang hayat. Anak cucu akan mengingati anda.

Thursday, March 17, 2016

BLOK KETIGA

Pada hari ini, Pas membina sebuah tahalluf politik yang baru bersama dengan Parti Ikatan Bangsa yang diketuai oleh Syeikh Kadir Syeikh Fazir yang dulunya pernah menjawat sebagai seorang menteri dalam kabinet UMNO. Menurut kenyataan pemimpin Pas, tidka lama lagi akan ada ratusan NGO dan beberapa parti politik yang akan menggabungkan diri bersama memperkukuhkan Blog Ketiga tersebut.

Mengenai Blok Ketiga ini, sudah lama dikumandangkan oleh Hasan Ali sewaktu beliau menggerakkan JATI. Namun, JATI dan Hasan Ali kini sudah menyepi. Hampir tidka kedengaran lagi gemercing politiknya. Dia, dulunya sering mewar-warkan istilah kuasa blok ketiga.

Kini istilah itu dibangkitkan lagi. Masa akan mendewasakan kita. Kita akan menyaksikan jatuh bangun dan belajar banyak perkara dalam sedikit masa lagi...

Monday, March 07, 2016

sifar budi

Pemimpin itu
kemarau budi
kontang jasa

hanya tahu memungut ufti
menambah sakit hati
mengharap puji
tapi mendapat keji.

dia sedang mengasah taji
buat menjalak di medan laga.

Tuesday, March 01, 2016

Keluar parti tidak merosakkan jasa.

Supaya orang yang berakal berfikir...

Bahawasanya sebuah parti itu adalah wadah bikinan manusia. Bebas keluar dan masuk. Keluar parti tidak menjatuhkan iman dan ia juga tidak merosakkan amal baik bertahun-tahun dalam parti tersebut.

Dalam kes Tun Dr. Mahathir Muhammad, ini kali kedua dia isytihar keluar UMNO. Malah, terdahuli pada zaman awal pembabitannya dalam politik, dia pernah dipecat daripada UMNO. Dia keluar masuk UMNO. Itu sudah biasa baginya. Maka, tindakannya keluar UMNO baru-baru ini bukan satu hal yang besar. Ia adalah sebuah permainan politik olehnya. Ketika jalan-jalan politiknya berdepan dengan kebuntuan, beliau menggunakan jalan keluar daripada parti yang mendokongnya serta dia dokong selama hidupnya.

Ketika beliau keluar dari UMNO pada zaman Pak Lah, lalu dia masuk semula pada zaman DS Najib, beliau tetap disebut dengan jasanya kepada negara. Jasanya sebelumnya tidak musnah kayak seorang yang murtad dari agama yang termusnah amalnya dalam Islam. Itu adalah kerana keluar UMNO bukan seperti keluar Islam. Perlu juga difahami bahawa keluar mana-mana parti pun tidak sama seperti keluar Islam. Amal soleh dalam parti yang diperjuangkan sebelumnya tidak musnah dengan keluar meninggalkan parti tersebut.

Supaya orang yang berakal waras sentiasa berlapang dada. Dalam peristiwa kes Tun Mahathir, kita ditunjukkan bagaimana tindakannya keluar UMNO dan kemudian masuk kembali, dia tetap disebut kebaikannya sebelumnya. Amalnya dalam UMNO tidak dilenyapkan.

Maka, beberapa pemimpin PAS yang keluar PAS dan menyertai parti lain, padahal jasa mereka dalam PAS sangat besar, janganlah dinafikan jasa mereka. Mereka punya amal soleh yang besar dan kebesaran itu akan kekal bersama mereka sepanjang hidup mereka dan insya Allah akan dibawa menghadap Allah SWT di akhirat. Sikap lapang dada perlu ada pada pemuda-pemudi perjuangan PAS dalam menilai para pemimpin yang telah keluar meninggakan pas sama ada menyertai Amanah maupun menyertai UMNO atau mana-mana wadah sekalipun.

Manusia hanya dipinjamkan usia untuk menunjukkan jasa. Berbuatlah sebelum masanya hilang.


Thursday, February 11, 2016

Wahabisme Lontaran Syiah

Saya punya kepercayaan bahawa Wahabisme yang menjadi isu hangat dalam wakti terakhir ini punya hubungkait dengan kedok Syiah. Setiap kali berlaku krisis antara dunia Syiah dengan Sunni, isu wahabisme kembali dikumandangkan. Kelompok tertentu dalam sunni di lebelkan sebagai wahabi sehingga waspada terhadap wahabi memuncak di kalangan tertentu berbanding waspadanya terhadap Syiah.

Lewat terakhir ini, konflik terjadi antara Iran dengan Arab Saudi.  Isu Wahabi kembali melantun gemanya. Saya percaya ini digemakan oleh Syiah. Syiah sangat marah kepada Arab Saudi sejak dahulu lagi. Dahulu, Syiahlah yang bakar hasutan bahawa Muhamamd bin Abd Wahab menentang khilafah Othmaniyyah. Padahal, Syiahlah yang mendobrak dobrik maruah Othmaniyyah. 

Di serata dunia, ada sahaja orang yang terminum serbat yang diedarkan oleh Syiah atas bencikan wahabisme. Sebenarnya, wahabisme itu adalah suatu keganasan dan yang ganas itu adalah golongan Rafidhah. Mereka tewas dalam menentang kerajaan Islam, lalu menuduh orang lain sebagai punca keganasan. Kerana itu, Syiah berusaha memegang kendali kerajaan.

Saya tidak percaya bicara orang wahabi. Kini, kalau anda perhatikan, setia orang yang menyalahi "kami", dialah wahabi.  Hatta, siapa yang bicara soal sunnah, digelar wahabi. Ahli Bid'ah pun mengambil kesempatan mewahabikan orang. Apakah anda tidak percaya wujudnya ahli bid'ah? Para ulama silam telah menyebutkan kewujudan kelompok ini sejak awal kurun pertama hijrah.

Jika orang menuduh si fulan itu wahabi, anda periksalah siapa yang menuduh dan siapa yang dituduh, Tambahkan ilmu mengenai hadis Rasulullah dan fahamilah sunnahnya. Lupakan perkataan si fulan dan si fulan. Tegakkan perkataan Rasulullah barulah pertimbangkan perkataan orang lain.