CARI BAHAN

Monday, April 08, 2013

BUKAN KUN FAYAKUN

Bendera BN sudah menguasai beberapa tempat di sekitar Sandakan. Nampaknya BN sedang mendahului kemeriahan PRU dari segi pemasangan bendera di beberapa lokasi tumpuan. Boleh dikatakan semua bulatan di Sandakan sudah membiru dengan bendera BN. 

Lantas, ada orang bertanyaku.

" Mana bendera PAS, tak nampak sehelai pun lagi?", 

" Bendera PAS tidak dapat terbit dengan kalimah Kun Fa Yakun!", balasku.

Kebanyakan orang menjadi pemerhati. Memang dia penyokong PAS, tetapi bukan orang yang bekerja untuk mengangkatnya di persada maya. Ibaratnya, hanya menunggu yang pipih datang melayang yang bulat datang bergolek. 

Kekadang, melihat beberapa sahabat yang begitu bersemangat untuk balik mengundi mempertahankan kemenangan di bumi kelahiran di Semenanjung, terdetik dalam hati kecilku.

"Pas itu hanya di Kelantan dan Kedah sahajakah?",

Bukankah di mana bumi dipijak, di situ langit kita junjung. Pahala memperjuangkan cara hidup dan politik Islam itu ada diseluruh pelusuk bumi. Kalau pahala dari allah yang dicari, jangan persiakan masa di perantauan untuk memberikan sumbangan kepada perjuangan mengangkat harkat pemikiran Islam.

Muzabzabin

Saya tidak memihak
Tidak kepada kiri
tidak kepada kanan
saya hanya memberi nasihat
sebagai orang tengah.

Dalam pertarungan
antara haq dan batil
masih adakah kebenaran
jika berdiri di tengah?

di saat haq menyeru sokongan
batil menggoda dokongan
Masih ada orang berkata
bertarunglah kamu berdua
aku memerhati sahaja
memberi peringatan nasihat pujangga
agar sayembara lestari terpelihara

Engkaukah pendeta suci?
mendapat wahyu rabbani
sibuk zikr tazkiah diri
khulwat tahannus bak Ashabul Kahfi
yang tidak terganggu sekalipun dunia berkerajaan syaitan.

Tidak ada pilihan ketiga
jika tidak kamu mati
tentu namanya hidup
kalau hidup bukannya mati
putih dan hitam tidak serupa
masam dan manis berbeza rasa
datang cerah gelap kan sirna
masakan ada siang di malam gelita.


Bertenggek ayam di atas pagar
berkokok gegar sayap dikibar
tiba masa menentu qarar
di kala api hangat membakar
tak kan damai berselimut gebar
Ashabul A'raf pun terpanar

Sarat ilmu dalam dada
tidak menumbuh pendirian tegar
bak kolam bergenang air
sayang kumbahan rupanya dia.


Siapa Lelaki?

Akulah lelaki
tubuhku gagah kekar
janggut misai tumbuh meliar
berani bersemangat jiwa berkobar
riak muka bak api membakar
ada zakar

Itukah lelaki?
Atau...lelaki itu apa?

Lelaki itu rijal!
Lelaki itu pemberani menyimpang jalan
mencari menegak kebenaran


  وجاء من أقصا المدينة رجل يسعى قال ياقوم اتبعوا المرسلين

"Dan telah datanglah dari kawasan bandar itu seorang lelaki dalam keadaan bersegera, lalu dia berkata" wahai kaumku, ikutlah para utusan terbut!".
(Surah Yasin: Ayat 20)

Tidak mahu undi Cinakah?

"Terpaksalah aku mengundi BN juga kali ini..." ,keluh seorang kepadaku.
"Kenapa?", aku bertanya.
"Calon pembangkang tempat saya tu Cina...", jawabnya.
"Yang BN tu Melayu ka?" , tanyaku kembali.
"Cina juga, tapi okey sikit la...",ujarnya.

Saya mengerti. Inilah dilema yang terjadi kepada sesetengah pengundi. Mungkin di peringkat Nasional, keyakinan untuk perubahan sudah cukup baik. Tetapi, bila sampai di peringkat tempatan, di sinilah menentukan sikap. Pembangkang, walaupun sudah cukup memukaiu di peringkat Nasional, tetapi, ketika hendak memutuskan siapa mahu diundi diperingkat tempatan, seorang pengundi jadi terfikir berkali-kali.

Bukan senang hendak meyakinkan orang untuk buat perubahan. Kekadang, boleh difahami dengan mudah kenapa keputusan praktikal peringkat tempatan ini sukar ditentukan perubahannya. Kebanyakan pengundi masih berhati lemah dan termakan dengan budi sedikit. Para pemimpin kerajaan biasanya menaburkan jasanya pada musim-musim mendekati hari pengundian untuk memanipulasikan perasaan para pengundi. Umpamanya apa yang dilaporkan baru- baru ini mengenai pemberian permit bas pengangkutan awam oleh Y.B. Liew Vui Keong. Sebanyak seribu borang permohonan diedarkan sebagai menimbulkan harapan baik kalangan pengusaha bas pengankutan awam, biarpun permit yang disediakan hanya berjumlah 285 sahaja.

Orang Melayu masih dibayangi ketakutan pelbagai tanpa sebab. Memang sukar mengubah minda Melayu. Barangkali di mata Melayu penyokong tegar BN, LDP itu Melayu.MCA itu Melayu. MIC itu Melayu. Gerakan itu Melayu. Sementara di Malaysia ini, parti Cina itu hanya DAP sahaja. Kekadang PKR itu pun dilihat sebagai bukan Melayu. Malah, PAS pun tidak dirasakan Melayu.

Melayu...berubahlah demi anak cucu. Cubalah sekali ini.

Sunday, April 07, 2013

Jabariah Moden

Ada orang selalu bercakap: "Allah yang akan menentukan segalanya...",

Syurga atau neraka? Allah akan tentukan.
Solat diterima atau tidak? Allah yang akan tentukan. 
Benar atau batil? Allah juga akan tentukan.

Baru-baru ini, melenting sungguh seorang itu apabila diberitahu oleh seorang pemberita dari Utusan Malaysia bahawa TG Nik Aziz Nik Mat berkata solat orang UMNO tidak diterima Allah SWT. Maka keluarlah kata-kata seperti itu. Bukan Nik Aziz yang tentukan solat diterima atau tidak. Allahlah yang tentukan.

Pertamanya, perlu diingat bahawa rekod pemberitaan wartawan Utusan Malaysia sangat buruk. Dalam banyak keadaan daya kefahaman mereka sangat lemah terhadap apa yang mereka dengar atau lihat. Sebagaimana yang telah aku satirakan dalam tulisan sebelum ini, wartawan Utusan Malaysia mempunya masalah kognitif untuk membezakan antara "barbie" dengan "babi". Maka, laporan bahawa Tg. Nik Aziz berkata sedemikian dari wartawan yang minda celaru Utusan Malaysia itu amat wajar dipersoalkan. Dlam banyak keadaan, mereka sering mentafsirkan ibarat menjadi ayat, kinayah sebagai madah dan ungkapan umum sebagai khusus.

Keduanya, persoalan diterima atau tidak solat itu bukanlah semata-mata dikembalikan kepada Allah SWT. Kalau Allah yang tentukan secara mutlak, maka apa perlunya belajar solat secara sempurna. Boleh sahaja seseorang itu berkata:

" Solatlah mengikut caramu, nanti Allah juga yang akan menilai, kalau Dia mahu, Dia terima. Kalau Dia tidak mahu, Dia tolak",

Jika demikian, apa perlunya Rasulullah dihantar mengajarkan Islam. Dalam hal solat, ada syarat-syarat sahnya. Syarat sah tersebut ada aspek zahir dan ada aspek maknawi. Aspek zahir itu ramai yang tahu. Ia seperti masuk waktu, menutup aurat, suci dari hadas, menghadap kiblat dan sebagainya. Sementara aspek maknawi itu melibatkan sifat ikhlas, suci akidah dari kesyirikan, menjauhi takbur, ujub dan sum'ah serta lain-lain lagi.

Tidak wajar untuk membuat konklusi bahawa Allah akan menentukan solat diterima atau tidak. Sememangnya Allah yang menentukan segalanya. Namun Allah ada syariatNya. Allah juga ada sunnahNya. Menyalahi syariat dan Sunnah Allah, membawa kita tahu jawapannya.

Ungkapan "Allah menentukan semuanya" ini merupakan syibih kepada slogan kaum Jabariah di zaman dulu. Mereka selalu menyandarkan kepada Allah SWT. Akidah yang sebegini, kalau diaplikasikan, akan menjadikan seseorang itu tidak boleh dijelaskan kedudukannya dalam dunia ini kerana hanya Allah yang tahu segalaNya.

Saturday, April 06, 2013

Berikan aku 5 tahun lagi

Tuhan!
Kembalikan aku ke dunia
Kupinta sejam cuma
nanti amalku tiada tanding tara

Bukankah telah diberikan
Umur bertahun buat beramal
Apa yang kamu lakukan selama hidupmu??

Rakyat!
Berikan aku 5 tahun lagi
Akan kupersembahkan segala bakti
Membina nusa sejahtera
Rakyat terbela

Bukankah telah diberikan
Separuh abad berkuasa
Mengapa nusa masih sensara?
Mengapa ada rakyat dialpa?
Mengapa hilang harta negara?
Mengapa barang berlumba harga?
Mengapa yang kaya bertambah harta?
Mengapa si miskin kian papa?

Barang yang hilang yang ditagih
Hari berganti tuah bersilih.

Aku berjanji

Dulu aku berjanji
50 tahun tak cukup masa
Untuk kutepati
Kini aku berjanji
Janji ditepati

Berikan aku 5 tahun lagi
Akan aku buktikan
Aku orang menepati janji

Aku janji rakyat selesa
Aku janji negara sentosa
Aku janji rakyat dapat merasa
Nikmat pagi hingga senja

Inilah akujanji yang kujanji

GS-putaran hidup

Hidup ini putaran roda
Hari ini menjadi hamba
Esok mungkin raja bertahta
Itulah sunnah Yang Maha Kuasa

Janganlah merasa diri sempurna
Masih ada cacat dan cela
Orang lain jangan dihina
Mungkin esok jadi mulia.

Kalau hati sudah bernanah

Ust. Nasharuddin kelihatannya serba tak kena dengan perkembangan mutakhir dalam Pakatan Rakyat. Dalam isu ura-ura DAP mahu menggunakan lambang Pas dalam PRU 13 ini, beliau mempersoalkannya dan mengaitkannya dengan perjuangan Islam dan hudud oleh Pas. Dengan kata lain, kalau DAP mahu menggunakan lambang Pas, persoalannya apakah DAP sudi menerima dasar perjuangan Pas dalam soal negara Islam dan hudud.

Inilah lagu klasik penuh prasangka yang dimainkan rentaknya oleh UMNO dan di"chorus"kan pula Ust. Nasharuddin Mat Isa. Sungguh malang seorang yang telah meladeni fikrah dan adab perjuangan Islam boleh menjadi serendah itu daya fikirnya.

Kalau DAP sudi menggunakan lambang PAS, itu merupakan satu keajaiban yang sungguh menguntungkan PAS. Untuk selangkah ke arah mendekatkan orang-orang DAP kepada PAS, sudah berjaya. Mengapa harus begitu gelojoh agar orang-orang DAP terus menerima dan menganut apa yang dianuti oleh orang-orang PAS. Sedangkan orang UMNO sendiri yang rata-rata seagama dan sebangsa dan ornag-orang PAS pun sukar menerima dan menganut fahaman PAS mengenai Islam, apatah lagi yang bukan ISlam dari DAP. Sekurang-kurangnya DAP sudah bersedia membuka hatinya untuk menggunakan lambang PAS sungguhpun belum bersedia menganut fahaman Islam menurut mizan PAS.

Aku bukan pakar politik dan belum pernah menjadi ahli politik. Namun, sebagai pengamat kecil perkembangan politik, aku merasakan bahawa terdapt kebijakan politik yang sangat besar untuk PAS membenarkan DAP memakai lambangnya. Sekurang-kurangnya membenarkan DAP memakai lambang PAS itu lebih selamat berbanding Ibrahim Ali yang pernah memakai lambang PAS tetapi akhirnya menikam PAS dari belakang.

Politik menurut bacaan Ust Nasharuddin Mat Isa itu hanya menyapu riak permukaan. Samada beliau memang gagal menyelami pusaran arus di bawah atau sengaja enggan menyelaminya, yang jelas beliau tidak memperlihatkan kebijakan berpolitik. Kalau hendak berpolitik biar bijak. Pandai ilmu agama, mahir feqah kontemporeri dan sebagainya bukan bermakna seseorang itu punya kebijakan politik. Politik itu menuntut seni yang lain yang tidak tersurat dalam kitab turas. Ia adalah feqah lenggok manusia yang pelbagai dan serba mungkin.

Kalau hati sudah bernanah
keluarlah bau mual hanyir
tutur bicara bahasa pendeta
menyimpan pancutan racun berbisa

Masakan harum semerbak kasturi
terbit dari perlimbahan iri
mata merenung ekor ke kiri
telunjuk ke langit 
kaki menginjak lumpur najis

Bila minda dikhayal kuasa
rela bersaudara syaitan pura
merasa diri menggapai Baitul Izzah
mencicip wahyu di Luh Mahfuz

Mengapa...
bicara tidak serupa
kala diri di tanpuk wala'
menuntut taat para jundi
setelah terbuang hilang qiadah
melibas wala' merencam barra' !

Kalau hati sudah bernanah
lidah berbicara bahasa malaikat
menyimpan lahjah syaitan terlaknat.


Lidah berbisa setelah hati berubah

Seketika, aku termenung hairan.Kenapa setiap orang yang berubah pendirian daripada menyokong Pakatan Rakyat dan tokoh-tokohnya kepada menyokong UMNO-BN dan tokoh-tokohnya mula sarat dengan percakapan yang meragukan.

Hasan Ali, setelah dipecat menyatakan dia mempunyai "research" bahawa DAP berusaha menjadikan Malaysia Negara Kristian. Sebagaimana lagak bahasa yang sering digunakan sewaktu program motivasi, beliau secara bombastik membayangkan betapa bobroknya Pakatan Rakyat. Feel yang serupa terpamer pada watak dan perkataan Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali, Datuk Zaharin dan Nalla. Mereka, kononnya menyimpan dalil khususnya dalam hal kebejatan akhlak Anwar Ibrahim. Namun, sampai kini dalil saheh tersebut tidak pernah dibentangkan dengan cara meyakinkan.

Janji Hasan Ali untuk mendedahkan video mengenai usaha kristianisasi di Selangor, hingga kini tidak nampak. Mungkin dia pun sudah melupakan apa yang dijanjikan. Zulkifli Nordin, dengan bahasa mengancam mengatakan kepada pihak yang mendedahkan video beliau mempersendakan sembahan orang Hindu, bahawa jangan main-main dengannya. Kelak dia mendedahkan rahsia yang akan menyebabkan pemimpin pembangkang tidak sanggup lagi menunjuk muka di tengah masyarakat.

Bunyinya hebat sekali. Tetapi, ia tidak lebih dari paluan gong yang isinya "nil".

Terbaru, Sidik Baba pula bercakap dengan nada yang serupa. Kononnya dia meninggalkan Anwar Ibrahim kerana ada kajian lengkap mengenai siapa Anwar Ibrahim dari segi moral. Ironinya, ketika Anwar dipecat dia menunjukkan sokongan dan kini pula berubah arah pusingan 360 darjah berganding dengan Dr. Mahathir. Dakwaan ada bukti lengkap itu hanya berdasarkan kajiannya. Kajiannya bukan boleh dipercayai secara mutlak. Apabila hati sudah dicelup, berbagai-bagai madah berhelah keluar.

Masa akan menentukan nasib semua manusia yang berputar itu. Anak cucu di belakang hari...ingat baik-baik nama-nama orang yang menconteng arang dimuka kebangkitan rakyat ini.

Menongkah ke hari esok

Hidup berkais pagi
Buat jamah petang hari.

Rumah usang di tepi laut
Patah jemboran senget serambi
Jambatan goyang atap carik
Tiang reput menanti rebah

50 tahun nusa merdeka
25 tahun menjadi warga
Masih menjadi rakyat separa
Dianggap kelas kedua
Sampai bila?

Musim pilihanraya tiba
Yang Berhormat tunjuk muka
Beri duit buat belanja
500 ringgit untuk setahun
Zink diberi dengan percuma
IC janji selesai segera

Semua buih belaka
Datang badai samudera masa
Sirna tidak lagi bersisa
Tidak cukup sepenggal kuasa

Rakyat mustad'afin
Mudah terpesona
Jiwa goyah termakan budi sedikit
Lupa sengsara hari esok
Wawasan menongkah hanya untuk esok.

Anak cucu bagaimana?


Antara dua keringat

Pemuda perjuangan
Yang menumpahkan keringat
Di medan laga menegak yang haq
Membuang santai hidup selesa
Bernafas penat mengharap redha
Risau nasib untung sarwa
Harum keringatmu tercium di syurga
Disapu mandil bidadari loka.

Pemuda santai leka
Tumpah keringat menelusuri lagha
Bersama hilai tawa lupa
Tidak peduli tempang warga
Diri selesa cukup segala
Apa perlu bersengkang mata?
Apa perlu ke medan laga?

Keringat itu hanya buangan
Jadi kasturi atau kumbahan
Anda sendiri buat pilihan...

Memudahkan perjuangan buat pengikut

Para pemimpin perjuangan hendaklah meringankan perjuangan buat para pengikut. Dalam Hadis, Rasulullah SAW berpesan kepada para imam solat agar meringankan solat untuk para makmum yang pelbagai. Jangan panjangkan bacaan dan panjangkan sujud serta sebagainya. Larangan sebegini membawa mesej bahawa pemimpin hendaklah mengukur kemampuan pengikut ketika memimpin mereka.

Sebab itu, pemilihan kaedah perjuangan Islam melalui pilihanraya merupakan tindakan yang menepati sunnah. Di Malaysia, rakyat tidak biasa dengan peperangan dan gerakan revolusi. Sungguhpun begitu, ia bukan bererti rakyat perlu duduk sahaja tanpa menyertai perjuangan menegakkan Islam. Maka, kaedah yang ringan dan sesuai dengan jiwa dan kehidupan rakyat hendaklah ditampilkan. |Membentangkan untuk mereka kaedah pilihanraya sebagai pilihan membuka ruang penyertaan kepada ramai orang dalam urusan perjuangan.

Mereka yang berkehendakkan kaedah perjuangan yang sulit, berliku dan tidak jelas kaedahnya adalah para pemimpin imam yang menyusahkan pengikut. Sedangkan dalam solat disuruh ringankan, mengapa dalam perjuangan dipersulitkan.Berilah pilihan yang mudah dan mampu dilaksanakan oleh para pencinta Islam.

Maka, pilihanraya adalah pilihan mudah dan tidak meyusahkan buat para pendokong perjuangan!

Friday, April 05, 2013

Zul Nordin memaksumkan diri

Jawapan Zulkifli Nordin ketika menjawab salah lakunya menghina sembahan orang beragama hindu menggambarkan betapa rendahnya tahap dan daya fikir beliau.Tanpa segan silu, beliau menyalahkan Pas sebagai pihak yang bertanggungjawab di atas keceluparannya.  Katanya, apa yang dia ucapkan itu adalah hasil didikan pas dan para pendengar yang mendengar ucapannya (tazkirahnya) itu adalah orang-orang Pas. Jawapan escapisme sebegini sangat tidak bertanggungjawap.

BUkankah setiap orang menanggung dosanya sendiri. Kenapa kesalahan dirinya dipulangkan kepada orang lain. Sepatutnya, lidah celupar itu menjadi muhasabah dirinya dan bukan menyalahkan orang lain. Sendiri buat, sendiri tanggung.

Kalau kerana didikan Pas melahirkan manusia celupar sepertinya, maka sudah tentu berlambaklah sudah para ustaz Pas yang bertazkirah di masjid menghina sembahan-sembahan agama lain. Tetapi orang lain faham apa yang diperingatkan Allah dalam Al-Quran mengenai larangan menghina sembahan agama lain kerana ia akan membawa kepada mereka menghina pula Allah SWT.

Sunday, March 24, 2013

Hidup bergelumang ragu



Setelah bertahun berjuang untuk Islam
Dari muda remaja
Hingga tua berusia
Memasak niat seumur hidup

Tiba-tiba
Hari ini mengeluh kesal
Kembali bersimpuh di kaki berdebu asobiah
Menyusun sepuluh jari memohon maaf
Betaubat dari masa lalu
Yang dikorbankan untuk menangkan Islam.

Aku silap selama ini!
Aku kesal sekali!
Aku kembali menagih taubat!

Sungguh keliru...
Apa guna keyakinan bertahun
Jika akhirnya rebah di hujung usia

Dulukah masa dipandu ilmu
Atau kini masa dihinggap jemu?

Aku penghasut

"Apa salahnya menjadi penghasut?", aku melontarkan persoalan itu kepada seorang remaja perempuan yang kutemui di sebuah perkampungan nelayan pinggir laut.

" Syaitan itu menghasut manusia untuk menjadi jahat sepertinya, maka kita pula hasut manusia agar menjadi baik", kujelaskan maksud menghasut yang cuba kubawakan.

" Kamu sebarkanlah pemikiran rakyat yang merdeka, berani dan bermaruah kepada rakan sekampungmu",  aku meneruskan hasutan.

Remaja perempuan itu mengangguk. Mudahan dia menjadi penghasut juga. Biarlah dunia dikuasai oleh para penghasut. Kini biar syaitan-syaitan itu bertemu dengan lawannya. 

Aku tersenyum mengenangkan hasutanku tadi. Dakwah itu sebuah seni menghasut.

Ibnu Ba'ura

7 dalil tanpa dalil
Bukan dalil rabbul jalil
Hanya dalil sang dolil
Pewaris Qabil menentang Habil

Jika sudah menagih jasa
Jadilah ulama Ibn Ba'ura
Biar tangan menadah tapa
Melantun munajat menerjah muntaha
Kembali menjunam mengisi neràka.

Bukan kamu berlidah sabda
Berkata haram dalam fatwa
Tanpa dalil Tuhan semesta
Hanya bertahkim nafsu rimba

Selembar putih melilit kepala
Mulia lagi pembalut luka

Saturday, March 23, 2013

Dua kematian yang berbeza.

Di kala matinya seorang ulama
Seluruh dunia bagai terkesima
Telah hilang tempat bertanya
Ke mana pula hendak meraba.

Bila matinya sang penguasa
Ada insan merasa lega
Mangsa tertindas rasa selesa
Sentosalah sebuah medan laga.

Kampung kami pun tidak selamat!

" Saya tidak dapat memberi sokongan untuk digunakan surau ini sebagai tempat rawatan kesihatan...kampung kami ini pun bukannya selamat", keluh seorang warga yang menghuni kampung air di bandar Lela.  Dia kelihatan kurang senang dengan kehadiran rombongan sukarelawan dari PAS untuk memebrikan khidmat sosial di kampung mereka.

Memang, kalau pembangkang tidak boleh gunakan surau untuk tujuan apa pun. Kalau boleh, untuk solat pun akan dihalang. Namun, setakat ini belum ada selancang itu. Namun, untuk menyempitkan ruang gerakerja kumpulan yang diistilahkan pembangkang, pelbagai halangan dibuat. Padahal, seringkali majlis-majlis bersama pemimpin UMNO-BN dibuat di surau dan masjid. Mungkin mereka lupa bahawa hari-hari dalam hidup adalah putaran yang menjadikan orang di bawah kekadang naik ke atas. Demikian, ramai juga orang di atas terhumban ke bawah.


Orang kampung sering diperdaya dan diugut. Mereka memeliharan kampung mereka dengan sangkaan bahawa kampung air mereka akan selamat di tangan penguasa. Mereka sedar bahawa kampung mereka mungkin diroboh pada bila-bila masa, tetapi jiwa mereka tidak ada penentangan Mmereka memang benar berjiwa mentimun di bawah asakan durian.

Aku mengharapkan bangsaku akan meniru watak bangsa Romawi dalam soal hak dan kebebasan sebagai rakyat.

Cakap sendirian

Aku tanya
Biar aku yang jawab

Aku mahu umpat keji
Jangan ada yang keji aku.

Aku berhujjah
Tak perlu lawan
Kerana aku suka membalas hujahku sendiri

Aku tok dalang
Aku yang mainkan wayang
Aku juga yang nyanyikan lagu
Biar aku buat semua

Orang lain dengarlah sahaja
Kerana aku tidak suka mendengar.
Kerana hanya aku ada hak bicara