CARI BAHAN

Monday, January 31, 2011

Meredah banjir

Ketika banjir di Taman Fajar baru-baru ini, aku mencuba untuk melintas satu lorong yang digenangi air separas lutut dengan dengan motosuikal elegenku. Paras air hampir dengan lubang ekzos. Aku meredah air itu, malangnya sampai di tengah-tengah, motosikalku tidak mahu bergerak biarpun habis aku pulas minyak.Rupanya motosikal scooter memang begitu. Seseorang memberitahuku. Baltingnya menjadi licin dan tidak dapat memutarkan gerigi rodanya.

Setelah itu, aku merasa tidak selesa menunggangnya. Macam lain macam sahaja. Aku bawa ke bengkel kedai tempai aku beli motor tersebut. Mekaniknya mengatakan kemungkinan air masuk ke dalam enjin. Apabila minyak enjin dikeluarkan, ternyata minyaknya berwarna coklat, menandakan ia telah bercampur air.

Mujur aku cepat hantar ke bengkel. Kalau tidak mungkin kerosakan fatal akan terjadi.

Saturday, January 29, 2011

Banjir di Taman Fajar

Hujan yang berterusan sejak beberapa hari ini, sekejap lebat dan sekejap renyai dan berhenti seketika sebelum bersambung kembali kemudiannya, telah menyebabkan berlaku banjir di beberapa tempat di kawasan Sandakan. Satu rekod selama berpuluh tahun (menurut warga lama Taman Fajar), hari ini air naik tinggi sehingga beberapa rumah di lorong 15 dimasuki air separas betis kering. Mengikut lontaran pandangan seorang warga Taman Fajar, En. Oting, pertembungan antara air pasang dengan pertambahan air sungai (sebenarnya parit besar) akibat hujan lebat pada waktu kemuncak air pasang, menyebabkan pengaliran menjadi tersekat. Itu sebabnya tempoh air naik tidak lama. Sekadar tempoh air pasang.

Buat pertama kali dalam sejarah pembinaan masjid Al-Fajr ( menurut En. Suradi), air dari saliran berdekatan naik sehingga memasuki ruangan lantai bahagian bawah masjid Al-Fajr. Separuh dari lorong 6 dan lorong 7, airnya mencapai ke kawasan garaj. Sumber-sumber warga setempat membuat komentar bahawa apa yang dialami oleh warga Taman Kenari lebih malang. Air naik mencapai paras pinggang. Sehingga catatan ini dibuat, mangsa banjir kawasan Taman Fajar merungut kerana ketiadaan perhatian  segera daripada pihak kepimpinan setempat maupun DUN dan Parlimen. Lawatan simpati sekalipun belum dilakukan.




Friday, January 28, 2011

Peluh menyembuhkan katarak




Firman Allah SWT:

اذْهَبُواْ بِقَمِيصِي هَـَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَىَ وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيراً

“Pergilah kamu dengan membawa baju gamisku ini, lalu letakkanlah dia kewajah ayahku, nanti ia akan melihat kembali…”.

(Surah Yusuf: Ayat 93)

Ketika ayat di atas dibincangkan dalam Daurah Al-Quran beberapa malam lepas, aku telah membaca satu penemuan yang telah dibuat oleh seorang saintis dari negara Mesir bernama Dr Abdul Basit Sayed Mohammed mengenai rahsia di sebalik suruhan nabi Yusuf agar bajunya dibawa kepada ayahnya nabi Ya’kob yang mengalami kegagalan fungsi penglihatan. Nabi Yaakob, sebagaimana telah diceritakan dalam Al-Quran menerusi surah Yusuf, telah menjadi putih kedua biji matanya lantaran sedih atas kehilangan nabi Yusuf dan kemudian disusuli dengan penahanan anaknya Bunyamin. Al-Quran tidak mengatakan bahawa nabi Yaakob buta kerana buta adalah satu kecacatan. Para nabi-nabi adalah bersifat ma’sum yang bermaksud bersih daripada dosa dan selamat daripada kecacatan yang menjatuhkan martabat kenabian. Buta mata merupakan satu kecacatan yang menjatuhkan martabat kenabian. Justeru, nabi Yaakob bukan buta. Dalam bahasa kedoktoran optik, ia disebut sebagai katarak (Cataract). 


Menurut ensiklopedia versi maya Wikipedia, katarak ialah sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun. Kanta mata menjadi keruh dan cahaya tidak dapat menembusinya. Keadaan ini menjejaskan penglihatan seseorang dan akan menjadi buta sekiranya lewat, atau tidak dirawat. Masalah katarak berbeza dengan masalah mata yang disebut  glaukoma. 


Berbeza dengan katarak, glaukoma merupakan sejenis kerosakan mata yang disebabkan oleh tekanan cecair yang terlalu tinggi di dalam bebola mata. Tekanan yang tinggi ini akan merosakkan sel retina dan serabut saraf sehingga ruang penglihatan sekitar seseorang itu menjadi semakin sempit dan akhirnya akan terus menjadi buta.


Menurut  Dr Abdul Basit Sayed Mohammed, tanpa menafikan sisi mukjizat dari kisah baju nabi Yusuf memulihkan mata ayahnya,dia percaya terdapat unsur saintifik yang mendorong penyembuhan mata ayahnya itu. Itulah yang mendorongnya membuat kajian. Akhirnya, beliau menemui satu rahsia bahawa peluh dapat menyembuhkan katarak pada mata. Beliau telah mencipta ubat titis katarak mata  daripada peluh dan kini hasil kajiannya itu telah mendapat paten antarabangsa.

 


Thursday, January 27, 2011

Beramallah sendiri untuk pahala akhiratmu!

Seorang ahli jemaah masjid menghulurkan sehelai kertas mengandungi nama-nama arwah. Katanya ia diberikan oleh seseorang sebentar tadi. Seseorang yang menyediakan jamuan makan pada malam ini. Malam Jumuat. Kertas itu diunjukkan kepada sahabat di sebelahku. Lalu dia serahkan kepadaku. Aku pun menolak dan mengatakan bahawa aku tidak tahu alamat untuk dikirimkan pahala bacaan kepada penama-penama tersebut.  Sahabat itu pula mengatakan bahwa jalan bengkok untuk menghantarkan pahala bacaan kepada nama-nama arwah tersebut.

Akhirnya aku serahkan kepada seorang sahabat yang lain. Dia lebih betah dalam soal kirim mengirim pahala kepada arwah ini. Dia juga beta meladeni bacaan Yasin dan Tahlil di malam jumuat.

Aku kurang meraikan kiriman sehelai kertas yang mengandungi nama-nama begitu sedangkan waris arwah itu tidak kelihatan. Apakah disangkanya bahawa jemaah masjid kelaparan dan dengan hanya menghantar makanan ke masjid cukup untuk meninta para jemaah sedekahkan pahala bacaan  kepada arwah kerabatnya?

Aku bukan orang yang terliur dengan makana sedekah mereka yang berat menjejaki kaki ke masjid. Beramallah sendiri untuk pahala akhiratmu!

Tuesday, January 25, 2011

Bersalam dengan ajnabi.

Satu masa dulu, di zaman belajar di Universiti,  aku melaksanakan tugas Kolej kediamanku untuk menempah dewan di PWTC untuk tujuan "annual diner". Aku pergi berdua dengan seorang sahabat ke pejabat urusan PWTC. Namun, hanya aku seorang sahaja yang masuk bertemu pegawai di dalamnya. Aku disuruh menunggu di satu ruang dan duduk di atas sofa yang disediakan. Sementara penyambut tamu memaklumkan kepada pegawai di di ruang dalam. Sambil menunggu, aku membaca majalah dan akhbar yang terdapat di atas meja di depanku.
Tiba-tiba seorang pegawai wanita berbangsa Cina keluar dan dengan ramah dia menegurku. Terus dihulurnya tangannya untuk bersalam denganku. Aku memang tak sempat berfikir tindakan yang sepatutnya. Cuma aku serba salah untuk seketika. Lalu aku menyambut salamnya. Setelah itu dia menerangkan kepada kadar harga sewaan bagi dewan di PWTC itu.

Pulang dari mengunjungi pejabat urusan PWTC itu, aku menceritakan kepada rakan-rakan satu kolej apa yang aku alami. Mereka, kebanyakannya menyalahkan aku. Kata mereka, seharusnya aku tidak menyambut salam wanita itu sebaliknya mengucapkan "Sory, i'm mulim!". Aku katakan bahawa kejadiannya adalah amat pantas dan sepontan.

Dalam beberapa siri projek keluarga angkat, aku berjaya menegakkan pendirian untuk tidak bersalaman dengan keluarga angkatku yang perempuan, termasuk ibu angkatku. Banyak kes sejak aku keluar universiti, aku berjaya mengelakkan bersalam dengan perempuan. Pada masa kini, ramai yang sudah faham bahawa lelaki dan perempuan yang ajnabi tidak wajar bersalaman. Aku tidak berdepan dengan masalah sangat. Sewaktu murid-murid perempuan yang berada pada tahun enam mahu bersalam denganku, aku menyatakan bahawa ia bukan adab Islam. Mereka memahaminya. Namun, aku menyambut huluran tangan murid-murid kecil pra sekolah dan tahun satu hingga tiga untuk menyalamiku.

Ketika tersebar berita Chua Soi Lek memperlecehkan pendirian cikgu Mala tidak bersalam dengan lelaki semasa kempen pilihanraya kecil DUN Tenang, aku menyimpan rasa "respect" buat cikgu Mala. Memang sukar sekali keadaan cikgu Mala. Namun, pendiriannya itu telah membawa satu pengetahuan baru buat kaum bukan Islam yang masih tidak tahu larangan bersalam antara lelaki dan perempuan ajnabi.

Cuma, menteri menteri UMNO dan isteri mereka, terus juga bersalam dengan lelaki dan wanita ajnabi. Mereka pun tak faham Islam dan tidak memiliki izzah muslim dan muslimah!

Sunday, January 23, 2011

Kewarganegaraan musim pilihanraya

Sekumpulan orang diberi kewarganeraan Malaysia di Johor sempena dengan PRK Dun Tenang yang bakal diadakan.Ada seorang itu, berbangsa Cina yang telah datang ke Malaysia semenjak umurnya sepuluh tahun. Kinidiatelah tua.Baru diberi hak sebagai warganegara.Ada pula seorang nenekberbangsa India, sudah beranak cucu dan dia pula lahir di Malaysia. Anak cucunya warganegara sedangkan dia tidak. Sempena PRK Dun Tenang dia diberi warganegara.

Tidak sukar untuk memahami  taktik politik sebegini. Kalau bukan kerana ada PRK Dun Tenang, boleh jadi mereka itu masih lagi bukan warganegara. Malah, ramai juga yang dah diiktiraf sebagai warganegara didesak supaya dilucutkan kewarganegaraannya hanya semata-mata kerana dia menentang kerajaan atau mengkritik sistem dan institusi yang didewakan dalam negara.

Perjuangan nostalgia

Seseorang mendakwa bahawa perjuangan pendahulu Pas di Sabah, terdiri daripada ustaz-ustaz dari Semenanjung sangat hebat. Sesekali usrah dilakukan, jumlahnya sampai 40 orang. Katanya, kini ustaz-ustaz itu sudah bersembunyi dalam taman perumahan. Pandangan yang sebegini,bagiku janggal dan tersasar kerana,kalau mereka hebat,mereka akan melahirkan pelapis yang menggantikan perjungan mereka. Namun,realitinya,antara mereka dengan pendokong dan pejuang baru kini terputus hubungan. Yang barulahir bukan hasil kaderisasi mereka. Justeru kecorotan mereka dari perjuangan menunjukkan mereka bukanlah lebih hebat berbanding pendokong dan pejuang yang ada pada hari ini.

Perjuangan yang dibayangi ketakutan bukan mengkagumkan biarpun mahir dengan pelbagai strategi. Demikian juga tinta emas yang dilakar di masa lalu bukan apa-apa,jika masakini umpama tulisan di atas air.

Friday, January 21, 2011

Ustaz patut jadi pengacara TV

" Ust septutnya jadi pengacara TV..."tiba-tiba seorang murid mencelah sewaktu aku sedang bercerita mengenai dapatan-dapatan dan pengajaran dari tajuk pelajaran hari ini iaitu " Piagam Madinah". Daripada tajuk Piagam Madinah pengajaranku melilau menyentuh soal pentingnya cinta rasul dan sia-sianya meminati golongan penyanyi.  Barangkali kerana aku banyak sangat bercakap dan fasih ala "Rosham Noor", maka terpacul kata-kata itu dari mulutnya. Hehe...

" Ustaz telah memilih menjadi ustaz dan bekerja sebagai guru di sekolah di antara beberapa perkara yang ustaz boleh lakukan. Ustaz boleh berlakon, bersyair, bersajak, menyanyi dan mengacara...tapi ustaz memilih untuk menjadi guru mengajar kamu...kenapa?", aku menimbulkan tandatanya buat mereka.

"Besar pahala ustaz...", seorang murid memberi pandangan.

"Ya...ketika ustaz telah terbujur dalam kubur, tiba-tiba datang pahala entah dari mana buat ustaz...rupa-rupanya ia dari murid ustz yang berbuat kebaikan. Ustaz berkongsi pahala kebaikannya. Demikian pahala kebaikan yang dibuata pula oleh murid-murid kepada murid usataz yang menyampaikan ilmu ajaran ustaz sehinggalah hari kiamat...bukankah itu lebih menguntungkan?", murid-muridku mendengar dengan rasa kagum keuntungan pahala seorang guru.

" Sementara para penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu dosa, akan mendapat siraman siksaan dalam kubur setiap kali lagu durhakanya dipasang dicorong rodio, kasihan!", keluhku seterusnya.


Thursday, January 20, 2011

Karutan dalam agama

" Ustaz...ada orang cakap Al-Quran ini sudah berubah dan tidak sama lagi dengan apa yang diturunkan sejak zaman nabi...",murid perempuan itu meluahkan.

" Itu dakwaan yang tidak berasas. Al-Quran, sebagaimana zaman nabi, demikianlah zaman ini dan begitulah seterusnya. Allah memeliharanya...", aku menerangkan kepada semua murid dalam kelas itu." Sesiapa yang mengatakan Al-Quran telah diubah, dia telah tidak beriman dengan ayat yang menegaskan Allah yang menurunkan Al-Quran dan dialah yang memeliharanya...", aku melanjutkan

" Orang begitu jatuh kepada keufuran..." Aku membuat kesimpulan.

Murid-muridku di sekolah sering menyatakan hal-hal yang mereka dapat daripada orang-orang tua mereka. Pernah ditanya kepadaku oleh murid-murid tentang Al-Quran 10 juzuk yang tersembunyi, azan dalam kubur, pemakaian tangkal azimat sebagai ubat, khasiat kayu koka, hal-hal berkaitan perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya. Sebahagian perkara agama yang mereka warisi daripada datuk nenek terdahulu amat mengelirukan mereka.

Pak Yazid

Pak Yazid, seorang pejuang veteran dalam jemaah Pas Kawasan Sandakan secara khasnya dan Pas Sabah secara amnya, pada malam ini diraikan dalam satu majlis perpisahan. Esok, 20 Jan, beliau akan terbang pulang ke negeri asalnya, Terangganu dan menamatkan musim-musim perantauannya di bumi Sabah. Menurutnya, dia sudah menjejaki ke Sabah sejak tahun 1967 dan terlibat dalam gerakerja jemaah di kawasan Kota Kinabalu, Sabah.

Selama itu, dia melakukan pelbagai kerja di Sabah. Terakhir ini, beliau menjalankan kerja-kerja melibatkan kontrak wiring bangunan di pelbagai tempat, terutama kawasan pantai Timur Sabah. Pada tahun 1999, isterinya telah ditukarkan ke Sabah atas sebab-sebab yang dibayangkannya sebagai alasan politik. 

Kepulangan Pak Yazid ke bumi Semenanjung menggamit kesayuan kami para pemuda. Semoga Allah memanjangkan usia kami dan mempertemukan dalam pelukan mahabbah di satu nanti.

Tuesday, January 18, 2011

Tokoh telah meninggal

Namanya Tokoh. Di kampung Sibugal Besar, dia dikenali sebagai tukang jahit. Rumahnya terletak di pinggir jalan kampung Sibugal Besar dan terpanpang di depan rumahnya "signboard" tertulis "Kedai Jahit Tokoh".Ada beberapa orang anaknya yang belajar di sekolah Sibugal Besar. Tahun lalu, ketika pagi-pagi aku pergi ke sekolah, aku sering ternampak dia berjalan menyusur jalan kampung Sibugal Besar. Dia berjalan-jalan mengambil udara pagi. Aku tidak berapa mengenalinya. Aku cuma nampaknya di jalanan kampung Sibugal Besar dan tidak pernah bertegur sapa. Macam mana mahu bertegur sapa, aku naik kereta dia berjalan kaki. Dia pula jarang tampil ke sekolah kalau ada program-program di sekolah. Kalau mesyuarat PIBG pun dia jarang kelihatan.


Masa sebelum hari raya puasa tahun lalu, guru besar ada maklumkan kepadaku bahawa dia telah menghantar kain kepada Tokoh untuk dibuat sepasang baju melayu buat dipakai di hari raya. Katanya, upahnya tidak mahal. Hanya RM30.00  sahaja.

Anak-anak Tokoh putih dan agak kacak lawa. Tokoh pun apa kurang. Dalam wajah tuanya, dengan uban di kepala, aku melihat ada tanda kekacakan di masa muda belianya. Mungkin itu menurun kepada anaknya. Isterinya juga mungkin cantik.

Kelmarin, sewaktu aku memeriksa murid layak RMT dan menggugurkan beberapa murid yang mampu dengan kerelaan mereka, ketika aku bertanya anak tokoh, kawan-kawan sekelasnya memberitahuku bahawa naka tokoh memang patut dapat RMT. Dia baru menjadi anak yatim kerana bapanya telah meninggal. Aku agak terkejut dan bertanya bilakah Tokoh meninggal. Seorang murid yang rumahnya tidak jauh daripada rumah Tokoh memberitahuku bahawa Tokoh meninggal tahun lalu, sekitar bulan Oktober.

Baru aku tahu bahawa Tokoh telah meninggal. Oh...hidup dunia ini sungguh hanya satu pinjaman. Bersiaplah dengan amal sebelum ajal datang menjemput.

Monday, January 17, 2011

Kiblat luar

Sharizat Abdul Jalil merasmikan bas wanita yang baru dilancarkan. Nampaknya, kini baru idea bas untuk wanita diterima. Aku teringat dulu semasa TG Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya bas khas untuk wanita diperkenalkan, cadangan itu diperlecehkan. Beberapa tahun kemudian, media negera kita melaporkan bahawa negara Jepun telah melaksanakan sistem pengasingan antara lelaki dan wanita dalam pengangkutan awam di negaranya. Sejak itu, idea itu mula dirasionalkan. 


Nampaknya, para pemimpin itu sangat egoistik. Mungkin mereka berasa leceh kalau mengambil pendapat TG Nik Abdul Aziz. Mereka berasa bermaruah kalau mencedok idea dari luar negara. Sebenarnya mereka dikalahkan oleh keangkuhan mereka sendiri.

Sunday, January 16, 2011

Mengemaskini blog sekolah

Seharian ini aku duduk di depan komputer. Cuma lepas solat Subuh di masjid, aku sempat ke Pasar sekejap, beli ikan. Lepas itu, aku balik dan terus duduk depan komputer. Aku mengubah template blog sekolahku dengan template yang baru. Template tersebut sama juga dengan template blogku, PERENUNGLANGIT. Template lama dulu membuatkan aku malas dan tidak bermotivasi untuk melakukan posting.

Kerja-kerja mengubah tempalate memerlukan ketelitian dan perhatian yang tinggi. Ia melibatkan memahami bahasa kod-kod yang terdapat dalam 'body' sesebuah blog. Tidak ramai yang menguasainya dan tidak ramai yang menaruh minat mengenainya.

Dewasa ini, ramai yang main internet adalah kerana hendak berfacebook. Khabar anginnya, bulan Mac nanti Facebook akan ditutup. Kedengaran juga keluh kesah daripada penagihnya. Facebook telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

Ramai yang terlibat dalam membangunkan blog sekolah adalah kalangan guru agama. Itu yang aku sedari ketika meneroka blog-blog pelbagai sekolah.

Saturday, January 15, 2011

Dunia belum kiamat

Ketika sebuah masjid diruntuhkan kerana tuntutan projek pembangunan, protess massa meletus. Berikutan itu, sejumlah penunjuk perasaan menjadi korban dan beratus telah cedera. Kekerasan penguasa telah dibalas kekerasan pula oleh rakyat biasa. Demikianlah yang telah berlaku. Hal-hal yang serupa terjadi dalam pelbagai dimensi kehidupan. Bukan sahaja dalam perkara yang bersangkut membela agama, maruah dan kehormatan, malah dalam soal-soal remeh temeh juga. Umpamanya soal gerai dirobohkan, restoran diarah tutup, hagemoni kelompok dicabar dan sebagainya.

Saat melihat penentangan yang bangkit, kita melihat betapa penentangan itu begitu bersungguh, Sepertinya jika penentangan itu tidak dicetus, habislah. Hancurlah. Musnahlah.

Ingat, dunia belum kiamat. Kalah hari ini bukan bermakna tidak boleh bangkit di hari esok. Persaingan antara kebenaran dan kebatilan adalah sunnah Allah di muka bumi. Namun, pada akhirnya kebenaran pasti bangkit meneraju!

Suara-suara yang terbit dari menara masjid

Di kampungku, setiap pagi jumuat akan kedengaran suara mengaji dari pembesar suara. Kadang-kadang, baru sahaja aku pulang dari solat Subuh dan duduk berehat di ruang tamu rumahku sambil minum kopi kampung bikinan ibu dan menyelak lembaran kitab dari simpanan kutubkhanahku, suara mengaji telah kedengaran. Dari suara mengaji berlagu oleh Mutawali, Al-Basit dan Dato' Ismail Hasyim hinggalah bacaan tartil oleh Sudaisi, Ghamidi, dan sebagainya. Kadang-kadang kedengaran juga suara ceramah oleh penceramah-penceramah agama yang pelbagai. Tempoh pemasangan kaset memperdengarkan suara-suara mengaji dan ceramah itu berlanjutan sehingga kadang-kadang hari sudah meninggi. Pendeknya, sepagi jumuat itu, riuh rendahlah suara mengaji dan ceramah dari corong pembesar suara di masjid.

Setiap pagi, sebelum subuh pula di pasang munajat Tarahim. Dulu, masa al-marhum Tok Wan Ali masih ada, dia datang awal dan mengaji sejam sebelum Subuh sebelum diakhiri dengan  munajat Tarahim dari kaset. Rumahku dekat dengan masjid. Dalam bahasa orang tua-tua, hanya sepelaungan dari masjid. Suara dari pembesar suara itu sudah menjadi kebiasaan kepada keluargaku. Cuma, kekadang ia menjadi gangguan apabila pada pagi Jumuat  jika ada tetamu yang datang ke rumah dan  berbual. Terkejut awal dini dengan suara mengaji dari masjid  mungkin membolehkan kita bangun solat tahajjud. Namun, suara dari pembesar suara yang berterusan itu menyebabkan lazat munajat di pagi dini tidak seberapa. Bagi kanak-kanak atau bayi yang payah ditidurkan, tentulah menyebabkan ibunya mengomel.

Ketika isu bantahan sesetengah individu dalam masyarakat Islam mengenai laungan azan di masjid, satu persoalan yang perlu diselidiki ialah apakah yang menyebabkan mereka terganggu. Apakah suara azan atau suara mengaji, kuliah dan tarahim subuh yang dipasang pada pembesar suara itu ditafsirkan sebagai azan? Umum di serata dunia, suara azan dikumandangkan. Jika suara-suara itu terbit dari  menara sebuah masjid di tengah kampung Melayu yang beragama Islam, tentunya masyarakatnya mampu diamkan sahaja. Namun, jika ia berada di kawasan yang majmuk, ditambah pula masyarakat kelas menengah atau elit, sudah tentu tanggapan dan sikap masyarakat berbeza. Bukan sahaja dari kalangan bukan Islam, malah daripada yang beragama Islam sendiri. Kebanyakan mereka bukan jenis manusia yang hanya menerima sahaja sebelum dihujahkan kewajaran sekalipun hal-hal berkaitan agama.

Suara-suara sampingan selain azan dari pembesar suara di menara masjid sememangnya menimbulkan gangguan kepada masyarakat sekeliling. Aku ingin sekali memberi teguran kepada pihak pengurusan masjid di kampungku agar meninggalkan kebiasaan memasangkan suara mengaji, ceramah maupun tarahim dari pembesar suara masjid. Secara tersirat, aku memberitahu kepada siak masjid di kampungku bahawa jika dipasangkan suara-suara mengaji dari corong pembesar suara masjid sedangkan orang-orang sekeliling tidak mendengar malah berbual sahaja, yang menanggung dosa tidak mendengar Al-Quran itu adalah orang yang memasang bacaan Al- Quran itu. Mungkin pada sangkaannya memasang suara mengaji Al-Quran adalah amalan mulia dan mendapat pahala. Namun, jika orang tak bersedia mendengar, itu sebenarnya mengundang dosa.

Bukankah Alllah telah berfirman:



وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Dan apabila dibacakan Al Quran, Maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.
(Surah Al-A’raf: Ayat 204)

Orang mahu bersembang, kita pasang Al-Quran. Mereka terus bersembang kerana perlu bersembang. Kepada siapa harus dipikulkan kesalahan pelanggaran hukum tersebut?

Dalam satu majlis kenduri kahwin, pembesar suara dipasangkan dan di kendalikan oleh seorang 'lebai 'di kampung. Sesuai dengan "lebainya", dia hanya memasang bacaan mengaji Al- Quran sahaja sepanjang acara majlis kahwin tersebut. Dalam kesibukan orang-orang kampung melakukan kerja gotong royong kenduri kahwin,  suara mengaji Quran berkumandang. Mereka tak beri perhatian pun kerana mereka sedang sibuk. Tetamu yang datang dan bejumpa satu sama lain pula berbual rancak. Aku pernah katakan kepada seorang sahabatku yang selalu dijemput menjadi juruhebah majlis kenduri kahwin ini bahawa lebih baik pasang lagu-lagu nasheed berbanding mengaji Al-Quran. Jangan disangka baik sesuatu amalan itu jika keadaan dan situasinya tidak sesuai.

Maka, perlu dicermati isu azan yang meletus sekarang ini. Apakah azan yang menimbulkan masalah ataupun bacaan selain azan.  Bacaan selain azan tidak ada keperluan dikumandangkan. Masjid tak perlu kumandangkan suara kuliah ke luar masjid. Suara kuliah di masjid cukup sekadar dalam masjid. Masyarakat sekitar tidak perlu didengarkan dengan kuliah itu. Jangan disangka bahawa memperdengarkan isi kuliah itu kepada mereka adalah wahana dakwah. Kalau mahu berdakwah, pergi kepada mereka dan ajak mereka ke masjid. Bukan memperdengarkan kuliah kepada mereka daripada corong pembesar suara masjid. Di luar masjid, ada pelbagai manusia dengan pelbagai keperluan.

Masjid adalah tempat beribadat. Solat, belajar, berdiskusi, bermesyuarat dan sebagainya. Namun, masjid bukan peti suara yang melantunkan suara ke angkasa. Selain azan, apakah rasionalnya suara-suara dikumandangkan di corong pembesar suara menara masjid? Jika itu dilakukan, wajar masyarakat bukan Islam membantah, malah oleh masyarakat Islam sekalipun.

Kiriman terlewat

Amat keletihan, aku tidur sejam sebelum masuk asar. Rupanya tidurku melanjut sehingga asar hampir sirna. Aku tidak terbangun sewaktu solat asar didirikan berjemaah di masjid berhampiran. Kukira, malaikat pembawa pahala solat berjemaah tertanya-tanya mana solat si fulan yang bernama Kamaruddin, tiada di asar ini. Apakan  daya, sang malaikat menjalankan tugas menghantar pahala solat jemaah asar itu miski tertanya-tanya mana kepilan aku bersama. 

Tiba-tiba aku tersedar dari tidurku. Aku teringat bahawa solat asarku belum didirikan. Tidak pernah selewat ini aku menunaikan asar sebelumnya. Hanya ada setengah jam lagi untuk masuk maghrib. Kiriman orang ramai telah di bawa kepada Allah. Kirimanku belum juga dibawa. 

Terima kasih sang malaikat pembawa pahala amal. Mudahan kiriman lewatku ini sampai kepada Allah SWT.

Friday, January 14, 2011

Peluru petir

Langit senja ini kelam. Selain mega merah maghrib telah berlalu, mendung juga bertebar di mana-mana. Sesekali kilat menyelinap di balik awam hitam yang berkumpul di ufuk. Kemudian bunyi guruh menderam sayup. Hujan sudah mula merintik sewaktu aku pulang dari surau seusai solat maghrib tadi.

Saat begini, aku teringat satu peristiwa zaman kanak-kanak dulu. Waktu itu, rumah keluargaku di kampung masih lagi rumah atas. Ada jemboran, serambi dan rumah induk, Sebahagian rumah kami beratap zink dan sebahagian lagi beratap rumbia. Dinding pula, kebanyakannya di buat dari buluh yang dijalin bapaku. Sedikit sahaja dinding papapan. Tiang rumah pula kebanyakan tiang bulat yang diambil dari hutan dan ditarah sendiri bapaku. Lantai rumah sebahagiannya papan kulaiti rendah buatan sendiri dan sebahagiannya adalah lantai batang pinang yang dibelah.

Ketika itu hari telah senja. Dalam ingatan samar-samarku, umurku saat itu sekitar 8 ke 10 tahun. Aku sedang duduk di jemboran sambil makan nasi. Di tepi jemboran ada sebatang pokok kelapa yang tinggi melayut. Jemboran itu tidak beratap dan lantainya hanya kayu-kayu bulat yang diambil dari hutan. Adik perempuan ku sedang bermain di halaman. Awam hitam berarak dan pencaran kilat berselinap di baliknya. 

Tiba-tiba satu lantunan petir menyambar di serta detuman guruh yang mengejutkan. Ia berlaku sekelip mata dan aku mendengar beberapa siri bunyi yang bersambung secara pantas dari pucuk kelapa tepi jemnoran, para-para dapur dan kemudian sebatang tiang di satu penjuru rumah sebelum ia senyap dan bersambung bunyi hentaman di pokok kelapa di belakang rumah. Semua ahli keluargaku terkesima waktu itu dan mula panik bila mendapati adik perempuanku jatuh pingsan di halaman. Bapaku menerpa dan kami pun tertanya-tertanya apa yang terjadi. Adik perempuan pingsan dan bapaku menyuruh ibu ambilkan badang. Dia mengipas adik perempuanku itu dengan badang. Kata ibuku kemudiannya, menerangkan kepadaku sebabnya, ia adalah petua orang tua-tua. Sebahagian rambut adik perempuanku itu mengeriting seperti terkena api. Dia sedar dari pingsan tak lama kemudian. Aku mendapat tahu daripada ibu bapaku bahawa kerinting rambut adik perempuanku itu adalah kerana peluru petir melalui di tepinya. Rambutnya dipotong dan kepala hampir dibotokkan sesudah itu sebelum rambut baru tumbuh.

Rupanya petir ada pelurunya. Pelurunya hidup dan bergerak zipzap sehingga ia pecah akibat bertembung dengan benda keras. Pada hari itu, pokok kelapa tepi jemboran telah dipanah dan mati beberapa hari kemudian. Demikian juga pokok kelapa di belakang rumah. Batangnya retak dan mati kemudiannya. Tiang sudut rumah pula terkupas kesan terkena puluru petir. Ada kesan sesuatu menyusup di antara surat khabar yang dijadikan alas pinggan mangkuk atas para-para dapur.

Peluru petir itu hilang tidak ketemu. Ada beberapa kali aku melihat batu putih yang dikatakan peluru petir oleh kawan-kawan sekampung. Mereka menjumpainya. Besarnya seperti telur merpati dan bewarna putih licin.

Ia masih menjadi misteri yang belum terungkap sepenuhnya. Menjadi kepercayaan orang-orang tua dahulu bahawa petir adalah tembakan syaitan ke atas Iblis. Sedangkan, mengikut sains, kilat, petir dan guruh hanya tindak balas pertembungan cas positif dan negatif dari awan dengan benda-benda di  permukaan bumi.


Thursday, January 13, 2011

Gelaran duniawi

Apalah hebatnya gelaran Datuk Seri, Tan Sri ataupun Tun sekalipun. Itu semua gelaran duniawi. Kalau mati, gelaran itu tidak di bawa bersama ke dalam kubur. Malaikat Munkar dan Nakir tidak akan panggil nama dengan didahulukan Datuk Seri, Tan Sri atau Tun. Harga gelaran itu masa hidup sahaja. Itupun selama mana ada hubungan baik dengan sultan, raja, Yam Tuan, Tuan Yang Terutama atau Yang Dipertua yang menganugerahkannya. Kalau sudah berlaku krisis dengan yang tersebut, gelaran itupun ditarik balik.

Ibrahim Ali, ditarik gelaran Datuk Padukanya oleh Sultan Kelantan. Khir Toyo pula kononnya menyerahkan secara terhormat gelaran Datuk Serinya demi menjaga reputasi gelaran itu dari palitan kesnya. Negeri Melaka pula, tak berapa lama dulu, melalui Yang Dipertuanya, Tun Mohd Khalil Yaakob, menganugerahkan gelaran Datuk kepada pelakon Hindustan, Sharukh Khan.

Ramai juga orang dapat gelaran Datuk hanya kerana jasanya terkinja-kinja atas pentas sebagai penyanyi. Tak sama dengan Datuk Laksamana Hang Tuah atau Datuk Panglima Bentan. Datuk Laksamana Hang Jebat tega menderhaka Sultan walau diberi gelaran Datuk.

Baik hidup di dunia tanpa gelaran. Barulah ringan perjalanan akhirat.

Wednesday, January 12, 2011

Pendakwah perlu angkat bakul sendiri?

Sifat rendah diri sememangnya baik dan mulia. Namun, tidaklah baik untuk semua keadaan. Tidak bersifat rendah diri tidak semestinya boleh ditafsirkan sebagai meninggi diri.Untuk menimbulkan rasa 'haibah" di hati mad'u,maka da'i perlulah menceritakan kehebatan dirinya. Mungkin sama macam angkat bakul sendiri. Namun, ia hendaklah dilakukan dengan niat yang betul dan tujuan yang selamat daripada angkuh dan sombong.

Lihatlah bagaimana Allah menceritakan apa yang dikatakan oleh nabi Yusuf kepada dua banduan dalam penjara yang bertanya kepadanya tentang ta'bir mimpi mereka. Sebelum menta'bir mimpi tersebut,nabi Yusuf menyampaikan dakwahnya kepada dua banduan tersebut agar meninggalkan agama nenek moyang dan menganut agama Allah yang suci. Dalam menjelaskan kebenaran panutannya itu, nabi Yusuf mengingatkan tentang kredebilitinya untuk diikut. Firman Allah SWT:


قَالَ لاَ يَأْتِيكُمَا طَعَامٌ تُرْزَقَانِهِ إِلاّ نَبّأْتُكُمَا بِتَأْوِيلِهِ قَبْلَ أَن يَأْتِيكُمَا ذَلِكُمَا مِمّا عَلّمَنِي رَبّيَ إِنّي تَرَكْتُ مِلّةَ قَوْمٍ لاّ يُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَهُمْ بِالاَخِرَةِ هُمْ كَافِرُونَ
Yusuf berkata: "Tidak disampaikan kepada kamu berdua makanan yang akan diberikan kepadamu melainkan Aku Telah dapat menerangkan jenis makanan itu, sebelum makanan itu sampai kepadamu. yang demikian itu adalah sebagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Sesungguhnya Aku Telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, sedang mereka ingkar kepada hari kemudian.
(Surah Yusuf: Ayat 37)
Kalau nak masuk bakul angkat sendiri, biar ada tujuannya sebagaimana nabi Yusuf lakukan.





Tuesday, January 11, 2011

Jin disebut dulu, kenapa?

Kenapa Allah menyebutkan dalam ayat-ayat Al-Quran jin dahulu sebelum manusia sedangkan manusia adalah lebih mulia daripada jin? Malah,manusia adalah khalifah di muka bumi. Persoalan ini ditanyakan oleh seorang ahli daurah dalam Daurah Quran kali ke 238. Menanggapi persoalan tersebut, aku menyatakan bahawa alasan kenapa sebutan jin mendahulu manusia dalam banyak ayat Quran adalah disebabkan bilangan jin lebih ramai berbanding manusia.Justeru, wajar kalau yang jumlahnya ramai disebut dahuluز