CARI BAHAN

Sunday, September 17, 2017

Politik Badut

Politik itu benang kusut
silap tarik ia menjerut
ada perkara yang direbut
pelakunya makar lagi badut.

Aktor politik tak boleh percaya
hari ini melibas buaya
esok jadi tidak bermaya
hilang kudrat miskin upaya.

Tuesday, September 12, 2017

Mengenang Sultan Yang Mangkat

Telah mangkat Sultan kami
dialah Sultan dalam negeri
di dalam lagu sering dinyanyi
berkumandang semasa perhimpunan pagi.

Allah selamatkan Sultan Mahkota
berpanjangan usia di atas tahta
memelihara ugama nabi kita
negeri Kedah serata-rata.

Seluruh negeri dizahir sugul
rakyat jelata kehilangan tajul
tempat memusat perbezaan qaul
di kala khilaf melampau bendul.

Sultan bersemayam di Anak Bukit
hujung hayatnya jatuh sakit
umurnya tua tersurat di langit
lamanya bertahta sampai bercicit.

Akhirnya mangkat sultan Mu'azzam
demikianlah suratan pemilik kalam
kun fayakun memintas maqam
di atas sultan ada Zuljalali Wal Ikram.

Maqam diraja di pekan Langgar
tempat bersemadi kerabat bergelar
para pewaris pusaka cokmar
dalam kawasan berpagar mar-mar.

Telah pun mati ramai Sultan
rakyat berduka menanggung kesedihan
demikianlah adat zaman berzaman
telah menjadi resam kebiasaan.

Negeri berkabung tujuh siang
bendera berkibar separuh tiang
alunan Quran sentiasa berkumandang
dalam TV malam dan siang.

Selepas seminggu bersilih hari
kehidupan pun menjadi kembali lestari
bendera pun kembali dikibar tinggi
Sultan baru disebut ganti.

Patah Tajul Mahkota Negeri
adat instiadat sedia menanti
telah ada Sultan pengganti
tidaklah kosong singgahsana sehari.

pemerintahan negeri tidak terhenti
yang berlari tetap berlari
tetap tegak istana puri
tetap bersambung kerabat syahperi.

Telah bersabda baginda nabi
benda hilang tidak berganti
bila mati ulama wali
mati bersama hikmah bestari.

Mati raja segera berganti
tengku mahkota sedia menanti
pangkat Sultan lalu diberi
dapat giliran memimpin negeri.

Rakyat jelata berduka sehari
bahasa duka cuma puisi
hilang durja kembali berseri
riwayat marhum dibuat galeri.

Tidaklah kekal pangkat nan tinggi
sekalipun sultan dijunjung duli
bila ajal menyapa diri
disambar keluar istana puri.

Sungguhlah hidup pinjaman cuma
nikmatnya singkat ramai terleka
ketika hidup menyemai loba
bekalan akhirat dia terlupa.

Mangkatnya sultan jadikan iktibar
bahawa hidup tidaklah qorar
kuasa tidak mampu menukar
apa tertulis Qoda dan Qodar.

Jika sultan bergalang tanah
rakyat biasa usahlah megah
carilah redha di sisi Allah
jadilah raja di dalam jannah.

Thursday, August 03, 2017

Kita adalah tullabul ilmi!

Yang hafal dua tiga hadis itu orang macam kita. macam akulah. Sindiran " baru hafal dua tiga hadis", mahu cabar pendapat ulama mazhab, sering dilontarkan oleh ornag yang pencapaian ilmunya lemah. Dalam dunia ilmu, sumbangannya boleh dikatakan "nil". Penguasaan dalam ilmu hadis pun tiada. Maka, apab ila ada seorang yang bercakap tentang ilmu hadis yang kita tidak tahu dan tidak kuasai, alangkah baiknya jika kita dengar dan belajar. 

Aku lemah dalam ilmu hadis. Dia pakar hadis. Katakan sahaja "masya Allah!". Jangan perlecehkan PHD bidang hadisnya. Ini perangai busuk hati yang tidak hari ada pada orang Islam yang mencari kesucian jiwa. Jika orang tersebut sombong dan angkuh, itu urusannya dengan Allah. Urusan kita, akui kelemahan diri dan belajar. Itu lebih mulia dan terhormat.

Ada sebilangan yang tidak puas hati dengan titel PHD yang dipegang oleh tokoh kontradik. Lantas PHD itu diperlecehkan. Kalau tak mampu gapai PHD, puji dan sanjunglah kemampuan orang yang mampu menggapainya. Itu lebih baik untuk penjagaan hati. 

Mengkritik ulama silam serimng ditafsirkan mencabar mereka. Dalam dunia pemikiran kritis dan analitikal, ia adalah perkara normal. Orang yang tidak biasa dengan kaedah pemikiran sedemikian akan menganggap kritikan terhadap pandangan ulama silam itu sebagai mencabar dan menghina mereka. Otak yang terlatih hanya menadah dan tidak menapis tidak akan boleh menerima kritikan. Kritikan akan mengundang kemarahan.

Ada kalangan kita yang mampu hafal hadis lebih daripada kita. Kita mungkin jadikan diri kita daif sebagai cermin zaman ini. Lalu, pada anggapan kita, hafalan hadis orang lain pun lebih kurang sama macam kita. Kita cuma ingat dua tiga hadis dan kita rasa orang lain pun ingat dua tiga hadis. Sebab itu sering terpacul dari bicara kita "bari hafal dua tiga hadis nak pertika pendapat ulama silam". 

Mempertikaikan pendapat ulama mazhab, mentarjihkan satu pendapat dan memarjuhkan satu pendapat yang lain sudah jadi kebiasaan di kalangan tokoh-tokoh yang lebih besar dalam sejarah. Keilmuan mereka menjadi rujukan. Jika ada ilmuan yang kita anggap kerdil di negara kita mengikut rentak itu, kita lihat ia bukan pendapat sedniri juga. Ia cuma tauladan dan ikutan daripada para nuqqad ilmu yang telah berbaris ramai sepanjang sejarah.

Tenanglah dan berlapang dada. Cintai semua ilmuan dan jangan musuhi mereka. Jangan terpalit dengan permusuhan orang lain sedangkan kita tidak punya kaitan. Kita adalah Tullab dan berperangailah seperti Tullab.

Friday, July 28, 2017

MITOS PULAU PINANG BANDARAYA KRISTIAN

Aku merasakan inilah propaganda menjelang pilihanraya. Pilihanraya kali ke-14 tidak lama lagi. Sebelum pilihanraya ke-13, aku masih lagi di Sandakan. Waktu itu itu, di Sandakan, Mr Os sering mengusung seorang lelaki bernama Razali yang dikatakan pernah menjadi ahli DAP, berceramah kepada kakitangan awam, kononnya satu pendedahan menggemparkan tenntang rancangan kristian menawan Malaysia. Waktu itu perkataan Evangalis belum digunakan. Kakitangan awam ditakutkan agar jangan mengundi pembangkang yang bersekutu dengan DAP, demi kepentingan dan masa depan Islam.

Kini, kempen yang seumpama itu kembali marak. Berlindung di sebalik nama  pemantapan pemikiran Islam, kakitangan awam ditakutkan dengan peranan yang dimainkan para evangelis kristian. Ironinya pula, para evangelis itu digambarkan bersaranng hanya dalam DAP. Atas dasar itu, mengundi DAP disifatkan sebagai memenangkan misi kristian. Lebih daripada itu, Pakatan HARAPAN yang mana DAP salah satu komponennya, ditafsirkan sebagai mengancam survival Islam dan menjadi alat untuk para evangalis.

Dulu belum ditubuhkan IKSIM, Sekarang sudah ada IKSIM dan ia menjalankan peranan itu di bawah nama organisasi yang kononnya tidak dipengaruhi politik. Sebelum pilihanraya ke -13 dulu, bentuk kempen tersirat sedemikian dimainkan oleh individu seperti Razali. Kini ia disusun dna dijalankan secara lebih tersusun di bawah IKSIM.

Aku percaya, selepas pilihanraya ke-14, sentimen terhadap gerakerja Evangalis yang sedang dimainkan sekarang ini akan turut pudar. Motifnya adalah politik dan bukan untuk mempertahankan Islam. Ia hanya ramuan untuk membuatkan orang mabuk pening dan cemas. Dengan itu, ketakutan terhadap parti pembangkang dapat disemai dan ia adalah satu cara mempertahankan pemerintahan parti yang ada sekarang.

Pulau Pinang dikatakan menjadi sasaran Evangelis untuk menjadikannya Bandaraya Kristian. Ayat-ayat Biblical beberapa tokoh yang diasiosiasikan dengan DAP dipetik sebagai bukti.Beberapa program anjuran masionaris dijadikan hujah bahawa gerakan mengkristiankan Malaysia sedang dijalankan di bawah restu para pemimpin pembangkang.

Jika difikirkan, mengapa tidak disentuh para pemimpin kristian dalam parti komponen BN. Bukan tidak ada pemimpin dalam parti komponen BN yang menjadi penganut kuat kristian. Tetapi, bahaya Evangelis ini hanya dipaparkan menerusi sudut pembangkang. Kerana itulah aku katakan bahawa ia bermotifkan politik dan bukan untuk memelihara survival Islam.

Menjadi video-video clips dari youtube sebagai hujah bukanlah cara yang kredibel. Juga capture daripada majalah-majalah gerakan kristian. Dakwaan orang dalam video clips bukan satu hujah. Jika kita bina sebuah rumah kebajikan, lalu datang seorang kaki judi  mendakwa dia telah menyumbang dana besar untuk rumah kebajikan itu, apakah dakwaan itu harus dijadikan alasan untuk menutup rumah kebajikan itu?

Satu hal yang aku perhatikan, pihak IKSIM cuba membayangkan masa depan dunia akan jatuh ke tangan kristian. Realiti yang sengaja dilupakan ialah betapa merosotnya perkembangan kristian di negara Barat. Malangnya, di belahan dunia sebelah timur, dibayangkan seoralah-olah kristian sedang meraih kemengangan demi kemenagan sehingga jiwa-jiwa muslim perlu merasa cemas dan takut.

Cemas dan takut menjadi alat untuk mempertahankan hagemoni kuasa kelompok yang dipertahankan.

Thursday, July 27, 2017

Belum masa berkubu dalam kota

Dikhabarkan desus
ditakutkan oleh desas
Yakjuj dan makjuj sedang merajalela luas
kita perlu berkubu dibalik benteng keras
benteng agama dan juga ras.


Luar sana sudah tidak selamat
tidak bisa lagi berkeliaran mengajar umat
tidak wajar lagi memetik nikmat hayat
berkurunglah sahaja di balik tembok makrifat
tak usahlah berdepan mengadu kudrat
kita akan tewas dan sesat

demikian sabda para penasihat

Kita dulunya umat kuat
leluhur kita berani melata seluruh jagat
mereka menyebar agama penyelamat
hingga di ceruk rimba kita berdiri rumah ibadat
suara kalimat tauhid penuh keramat
tegak berdiri menyinari zulmat

Tapi kini para zuriat yang lemas
jadi takut dan rimas
bimbang yang ditangan bakal terlepas
menjerit lolong penuh cemas
Para evangalis sedang kerja keras
meratah iman generasi tanpa kertas

Mengajak kita berkubu di balik tembok agama dan ras
supaya jangan di luar bebas lepas
bersama kelompok yakjuj makjuj ganas.

Dunia belum akhir
belum lengkap putaran kemenangan
masakan kalah para du'at?
ditelungkup para evangalis.

Di tanah para pendeta
mereka hilang gereja
mengapa di tanah para ulama
masjid kita tinggal nama?

salah siapa?

Di balik cinta agama dan negara.

Program hari ini lebih kepada kempen politik berlindung di sebalik sentimen agama dan keselamatan. Itulah yang boleh aku rumuskan. Dengan membawa hujahan ancaman evangelis kristian dan ancaman daesh, hipotesis yang mahu diutarakan ialah kekalkan kerajaan sedia ada dan tolak pempangkang.  Pembangkang adalah kelompok potensial merealisasikan cita-cita para evengelis jika dapat meraih kuasa. Sementara kerisauan terhadap ancaman daesh akan dijawap dengan rumusan pertahankan pemerintahan sedia ada.

Tidak susah untuk membaca permainan yang sedang dilakunkan. Menimbulkan kerisauan berlebihan terhadap ancaman misionari kristian itu, akan membuatkan orang berfikir berkali-kali untuk mengundi pembangkang dalam pilihanraya akan datang.

Orang Islam mesti yakin bahawa masa depan dan kemenangan adalah untuk Islam. Dakyah kristian tidak akan mengatasi dakwah Islam. Cara panelis paparkan seolah-olah dalam masa akan datang Malaysia akan jadi negara Kristian. Ini adalah pemikiran degradasi dan tidak membantu kemenangan Islam. Jika pun ada gerakan kelompok kristian evangelis sebagaimana yang diwar-warkan, mereka tidaklah melalui jalan mudah. 

Manakala panelis yang menghuraikan ancaman daesh pula tidak dapat menyimpan permusuhan aliran yang dibawa oleh sifu ikutannya. Sifunya bermusuh dengan seseorang dan itu yang menjadi buah pukulannya.

Itulah pandanganku dan maaf kerana aku mempunyai interpretasi sendiri terhadap apa yang aku dengar.

Wednesday, July 26, 2017

Surau Al-Awwam

Sudah lebih seminggu aku berfikir. Imam surau perumahan Awam minta aku namaka surau dengan satu nama. Balik rumah lepas daurah Quran minggu lalu, aku berfikir dan senaraikan beberapa nama yang terlintas. Kemudian aku tidak dapat putuskan. banyak yang bermain dalam mindaku. satu pun tidak melekat.

Malam ini, lepas daurah siri 80, aku terlintas satu nama. Surau Al-Awwam. Taman perumahan Awam dengan suraunya Al-Awwam. Itu pemasangan yang cocok. Aku beritahu Asyraf. Dia berbincangkan dengan imam surau dan katakan dia setuju.

Ok, namanya Surau Al-Awwam. Itu akan dicetak di dinding tepi pagar surau nanti, kata Asyraf.

Sunday, July 23, 2017

Hidup berpencar

Hidup bukan satu perkara.
Hidup tidak meluncur satu hala
Hidup tidak cerita serupa
Hidup penuh aneka.


Ada orang sebagai pembela
ada pula perlu dibela.
ada menyanyi lagu ria
ada meratap rintihan duka.

Orang miskin lapar sengsara
para umara jadi jurubicara
orang jahil ilmu agama
para ulama terangkan perkara.

Jika aku suka lagu dikir
ada pula yang suka makyong

Banyak jari ada di tangan
hanya telunjuk buat perhitungan.

Jika kita berpencak silat
jangan kungfu pula dimusibat.
Jika kita bertapa makrifat
Jangan dimarah juru debat

Luas saujana tanah darat
Tak akan mampu semua dirembat
Luas samudera ke hujung lihat
Tidak terdaya semuanya dipukat
banyak bangsawan berdarah ningrat
tidak semua hidup terhormat
banyak marhain hidup melarat
tidak semua lemah kudrat.

Hidup bukan lemparan panah
dari busur ke satu arah
hidup seperti buah getah
ia berpencar di kala pecah

Saturday, July 01, 2017

Hidup sebagai manusia hanya 20 tahun

Inilah sebuah kisah penuh iktibar.

Sang kaldai, dikatakan kepadanya,:

" Kamu akan jadi kaldai, kamu bekrja sehari suntuk dengan penat lelah. Lalu kau akan makan gandum....umurmu adalah 50 tahun!",

Kata kaldai: 50 tahun itu banyak sangat. Biarlah aku hidup hanya 30 tahun.

Lalu kaldai pun diberi hidup hanya 30 tahun.

Kemudian....dikatakan pula kepada anjing.

" Kamu sebagai anjing, akan dijadikan sebagai penjaga rumah , ternakan dan ladang manusia. Kamu juga akan jadi teman manusia. Makanan kamu adalah lebihan mereka. Kamu diberikan umur selama 30 tahun.".

Kata anjing: " 30 tahun terlalu lama. Berikan aku hanya 15 tahun.

Anjing pun dapat apa yang dia mahu.

Lantas, dikatakan pula kepada kera.

" Hai kera, kamu dijadikan melompat dari dahan ke dahan. Kamu akan diberikan kemampuan itu vuat lawak dan orang akan tertawa. Umurmu yang diberikan ialah 20 tahun!"

"20 tahun terlalu lama. Berikan aku hanya 10 tahun". kata kera.

Lalu kera pun dapat apa yang dia mahu. Hanya sepuluh tahun

Kemudian, dikatakan pula kepada manusia.

Hai manusia, kamu dijadikan makhluk yang penuh kecerdikan. Kamu akan gunukan kecerdikanmu untuk menghiasi dan memimpin di atas bumi. Kamu akan jadi penghulu kepada makhluk lain. Umurmu ialah 20 tahun.

Lalu, kata sang manusia:  Aku dijadikan manusia hanya untuk hidup selama 20 tahun sahaja? Ini amat sedikit!

" Berikan aku juga umur yang diberikan kepada keldai, anjing dan kera!"

Manusia pun diberikan apa yang dia mahu.

20 tahun umurnya sebagai manusia sehinggalah dia berkahwin.  Bila sudah berkahwin, dia terpaksa bekerja keras menyara anak bini. Dia habiskan umur selama 30 tahun sebagai kaldai.  Sesudah bekerja dan mencapai yang dapat dicapainya dalam hidup, manusia hidup pula sebagaimana anjing yang sibuk menjaga segala yang dimilikinya selama 15 tahun. Dia menutup pintu, matikan suiz elektrik dan jaga rumah bila anak-anak keluar bekerja. Setelah itu, dia hidup pula 10 tahun sebagaimana kera. Berpindah dari rumah seorang anak kepada anak yang lain. Bercerita untuk  cucu-cucu agar mereka terhibur dan ketawa.

Oh manusia!

Daripada umurnya 75 tahun, 55 tahun hidup sebagai haiwan. Hanya 20 tahun hidup sebagai insan!

Friday, June 02, 2017

ILMU SUNNAH

Ada orang memuliakan ilmu sunnah. Apa sahaja pegangan agamanya, mahu disandarkan kepada nas Al-Quran dan Sunnah. Apa yang tidak disokong oleh nas, maka dianggapnya tiada hujjah. 

Ada orang tidak peduli soal itu. Ilmunya disandarkan kepada perkataan syeikh. Perkataan syeikh baginya menjadi hujjah. Perkataan syeikh itu diambil daripada kitab-kitab alirannya sepanjang zaman. Miskipun amalan tersebut tidak disokong oleh nas, asalkan kerana ia menjaid amalan para masyayikh, cukuplah baginya.

Secara ringkas, inilah garis besar yang memisahkan antara ilmu sunnah dan bukan sunnah. Kerana mengikut garis besar inilah muncul dua kelompok utama dalam masyarakat. Satu dibid'ahkan dan satu lagi diwahabikan.

Tuesday, May 30, 2017

BAZAR RAMADHAN

Setiap tahun bazar Ramadhan dikerumuni orang ramai. Sejak lepas Zohor sudah ada yang berjualan. Ada pula yang membelinya. Di sesetengah tempat, sebelum Zohor sudah mula berniaga. Ada juga celapak awal membelinya. Hanya Allah yang maha mengetahui rahsia di sebalik semua itu.

Aku menjengok juga Bazar Ramadhan di Kuala Nerang. Orangnya ramai macam tahun-tahun lepas juga. Ke hulu hilir menengok gerai jualan, akhirnya aku beli kuih RM3.00 dan buah laici RM10.00. Aku kurang gemar makan makanan yang dijual di bazar Ramadhan. Kerumuanan ramai orang menyebabkan aku rasa ualiti makanan itu tidak terjaga. Pada hematku, penyediaan makanan di bazar dibuat demi mengautkan keuntungan dan dalam situasi tersebut, tentunya mutu makanan tersebut tidak berapa baik.

Aku lebih suka beli bahan mentah dan bawa balik. Isteri masak di rumah lebih baik daripada memburu jualan di bazar Ramadhan.


PANGLIMA

Pada satu tahap, dalam sejarah negara Malaysia yang merdeka, ada satu jawatan yang dinamakan panglima. Pada sangkaanku, panglima itu seornag pahlawan dalam kampung yang handal bersilat. Namun, kata bapa mentuaku, Yahaya bin Saud, tidka semua panglima tahu bersilat. Beliau menyebut contoh seorang panglima di kampung Barokhas, kampungnya sendiri. Iaitu Panglima Syed Omar, bapa kepada Syed Ibrahim. Beliau bukanlah seorang tahu ilmu silat. Namun, dia menjadi panglima.

Jawatan Panglima  adalah di bawah penghulu. Susun atur hierakinya ialah Panglima bertanggungjawab kepada penghulu, manakala penghulu bertanggungjawab kepada DO. DO pula bertanggungjawab kepada Menteri Besar dan Menteri Besar kepada Sultan.

Jawatan Panglima muncul hanya satu kali dan tidak pernah muncul lagi setelah pemegangnya meninggal dunia. Pada zaman Ustaz Azizan menjadi MB Negeri Kedah, belia berhasrat untuk mewujudkan jawatan panglima tetapi cadangannya itu tidak terlaksana. Lalu diwujudkan MCKK menggantikan JKK yang menjadi jawatan proaksi kepada kerajaan persekutuan dalam kerajaan negeri yang diperintah oleh parti pembangkang.

Monday, May 29, 2017

PAK NGAH MUSA MENINGGAL DUNIA.

Malam kelmarin, aku menyolati jenazah Pak Ngah Musa di masjid Kg Masjid. Pak Ngah Musa meninggalkan disebabkan penyakit penat dan khabarnya komplikasi jantung. Namun, apapun, demikianlah suratan takdir. Beliau juga sudah tua. Kalau tidak silap, umurnya lebih kurang sebaya almarhum bapaku. Jika bapaku masih hidup, umurnya  pada tahun ini adalah 76 tahun. Walaupun masih ada yang lebih tua daripada bapaku yang masih menongkah hayat, kian tahun mereka menyambut panggilan ilahi. Jika yang masih ada dan hidup, sedikit sekali yang masih sihat dan bertenaga.

Demikianlah kehidupan. Bila zaman muda belia telah pergi, datanglah zaman tua dan renta. Allah maha mengetahui pada saat mana Dia patut menjemput seseorang mengadapNya.

Pak Ngah Musa adalah kerabat yang bukan jauh daripada keluargaku. Dia dan ibuku berada pada pangkat sepupu. Bapa ibuku dan ibunya  adalah saudara kandung, anak kepada TG Haji Saleh. Bapa ibuku bernama Ismail. Ibu Pakngah Musa pula bernama Tok Piah. Ismail adalah abang kepada Tok Piah. Ismail adalah Tokwan aku. Dia sudah meninggal. samalah juga dengan Tok Piah. Tok Piah menikah dengan panglima Saleh dan melahirkan 5 orang anak. Satunya pak Ngah Musa. Yang lain-lain ialah Mak Tih Midah, Pak Anjang Man Tolak dan Satu orang yang disebut mak Andak yang tinggal di Selangor tetapi balik kampung masjid pada satu tahun dan meninggal di tanah kelahirannya itu. Pada masa aku masih lagi belajar di Universiti Malaya, ketika majlis Konvokasyen aku, seingat aku, Pakngah Musa juga hadir sama dan bersama ibu bapaku mereka ke rumah mak Andak itu. Aku tidak kenal dan anak-anaknya pun aku tak kenal.

Pak Ngah Musa telah kembali dan dia bergabung dengan para leluhurnya. Semoga semua leluhurku berada dalam rahmat Allah SWT. Satu masa, aku juga akan menyusul dan menemui leluhurku di alam sana. Aku berdoa sentiasa agar bapaku, datuk nenekku semuanya dalam rahmat Allah. Masa hidup tidak cukup panjang. Hitungan hari dalam dunia sangat pantas. Akhiran menjadi sangat cepat.


Sunday, May 21, 2017

Kita sentiasa berubah.


Telah aku lihat
Seseorang marahkan seseorang
kemudian bila bebilah hari menjadi tahun
kemarahan pun reda
kebencian bertukar kekaguman.

Telah aku lihat juga
seseorang kasihkan seseorang
kemudian bila bebilah hari menjadi tahun
kasihpun sirna
kekaguman menjadi kebencian
Manusia seperti putaran musim
manusia seperti kembang bunga
manusia berubah dan bisa berubah
lebih pantas daripada mega merah ufuk maghrib
Ketika kasihmu berbunga
beritahulah yang empunya
sebelum bencimu menerpa
merebut segala.
Kita semua
tidak memiliki hati sendiri
seperti kita tidak memiliki tangis
sebagaimana kita tidak memiliki tawa

Friday, May 12, 2017

Goyang sampai jatuh.

Hari ni nak buat kiasan sikit. Siapa faham, fahamlah. Siapa tak faham, sudahlah. Baca dan lupakan sahaja. Berbahasa kiasan ni hanya sekadar menpertajamkan otak. Kalau yang otak tajam, dapat faham. Tapi kalau beritahu orang bahawa dia faham, jadilah pula tumpul. Sebab itu, ada perkara yang bila kita faham, kita diamkan sahaja. Biar ia menjadi nota hati yang disimpan.

Ada seorang sedang duduk celah dahan pokok. Hari itu ada permainan rakyat. Permainan ini dianjurkan 2 tahun sekali sahaja dalam negeri. Dalam permainan ini, orang yang duduk celah dahan itu perlu dijatuhkan ke bawah dengan usaha gigih pencabar menggoyangkan pokok itu dengan kudratnya. Kalau berjaya, orang itu akan mendapat hadiah piala pusingan. Dua tahun kemudian, dia pula akan dicabar dengan hal yang sama.


Namun, sekali peristiwa, dalam satu pesta permainan rakyat itu, telah berlaku khilaf daripada kebiasaan. Ketika juara menanti itu sedang berkapok celah dahan, memegang erat cabang kiri dan kanan, seorang pencabarnya pun memulakan aksi. Tetapi aksinya sangat misteri. Waktu dipegangnya batang pokok untuk menggoyang, keluarlah semut kerengga berjejeran dari bawah lengan bajunya. Semut kerangga itu merayaplah ke atas pokok dan mengerumuni serta menggigit sang juara menanti. Ketika itulah sang pencabar menggoyang sekuat hatinya. Lalu jatuhlah si juara menunggu itu.

Saking tidak puas hati, juara menunggu yang jatuh itu pun merajuk dan pergilah dia meninggalkan negeri yang mereiah dengan pesta permainan rakyat itu. Dia tidak puas hati kerana ia dijatuhkan dengan helah anak kerengga sedangkan belum pernah kaedah itu digunakan dalam permainan rakyat itu sebelumnya. Orang ramai mentertawakannya. Sang pencabar bercekak pingang bangga kerana berjaya.

Para penonton tidak tahu cerita anak kerengga itu. Hanya ada bisik-bisik yang berlegar. Apa yang penonton tahu, juara menanti sudah jatuh dan dia kalah. Ketika sudah tekalah dengan cara itu, juara yang tewas itu pu pergilah meninggalkan kelompok itu dengan malu. dan terhina.

Lain tahun, dibuat lagi pemainan rakyat seumpama itu.Juara lepas kekal tidak bercabar. Tak siapa mahu mencabar. Selain pokok tempat dahannya duduk itu makin kukuh, para pencabar tidak yakin dengan kudrat masing-masing. Tetapi, agar kemeriahana pesta permainan rakyat itu terasa, dibukalah cabaran yang lebih kecil. Satu pokok yang lebih kecil, ada tiga orang johan menunggu di atasnya berkapok menunggu dijatuhkan. Seorang tampil menggoyang pokok tapi tidak jatuh.

Sang pencabar yang gagal pun tersenyum. Dia teringat sang juara yang terjatuh beberapa tahun lepas semasa permainan rakyat. Muka masam dan merah muka kerana geram dan marah.

" Aku bukan seperti juara yang tewas...aku masih boleh tersenyum walau gagal...", kata sang pencabar yang gagal itu.

" Aku tidak akan tinggalkan negeri ini...".

Tuesday, May 02, 2017

Bersuluh diri

Selagi rumahmu Banglo tersegam
atau keretamu mahalnya ratusan ribu ringgit
diberitakan pula pelanconganmu sekeluarga ke kota besar luar  negara
tiada perit ditanggung
tiada sakit disigung
seruanmu akan berlalu dipuput angin.

إبدأ بنفسك ثم غيرك

Rimba penasaran

Dalam rimba misteri itu
dia sesat penasaran
hutan yang disangka kecil
rupanya rimba banat merentas banjaran
jalan yang dicari
tidak membawa destinasi
makin jauh dari jalan pulang.

Pahlawan-pahlawan tak tangguh
hilang upaya menongkah sungguh
sejak  hari masih subuh
hingga kini mentari kian jatuh
daya tubuh kian lusuh.

Wahai pengembara
berhentilah sejenak jangan meraba-raba
langkahmu kian jauh tengah rimba
menempa ragam bahaya
sedang kamu masih percaya
bersamamu limpah kurnia!

Rimba misteri yang telah menelan ramai peneroka
juga penghuni yang berpengalaman lumayan
jangan merasa hebat
kerana memiliki pusaka makrifat
dari leluhur yang terselamat.

Mereka telah menancapkan nama
sedangkan kamu masih digoda
oleh dedemit rimba....

Tuesday, April 11, 2017

Sekilas kata

Siapa menanam lalang, tak akan padi yang tumbuh.
Jika suka mencari salahnya orang, salah diri kian tumbuh.

Kemarin sibuk membilang peri
hari ini letih menangkis srangan bersiri

Telah aku fahami maksud
karma berputar makin serabut

Bukan manusia tanpa cela
jika bersenda dengan serigala.

Tuesday, March 28, 2017

Bicara megikut kadar akal.

Berbicara hendaklah mengikut kadar akal pendengar. Kesalahan yang ramai lakukan, tanpa sedar adalah bercakap dengan bahasa yang tidak digapai oleh akal orang yang mendengar. Kerana itu, daripada bicara tersebut akan terbitlah prasangka, perbalahan, bantahan membuta tuli dan boleh membawa kepada permusuhan.

Kadar ilmu seseorang berbeza-beza. Walaupun sama ulama, ilmu tidak sama. Sama-sama kerjaya, akal tak sama. Sebab itu, bila hendak membuka satu isu untuk direnungkan, perhatikan kadar pemikiran seseorang.

Ada orang tidak ilmiah. Bila dibentangkan satu isu ilmiah, dia tidak dapat memahaminya. Malah dia akan membantahnya kayak orang jahil.

Sebab itu, bila ingin bicara dengan orang lain, perhatikan dulu kadar akal mereka.

Friday, March 03, 2017

ANTARA DR. ZAKIR NAIK DAN HINDRAF

Bertembung Dr. Zakir Naik dan Hindraf
Siti Kassim pilih Hindraf
Ada peguam muslim sebelahi Hindraf
Soldadu Sisters in Islam bersama Hindraf

Anehnya sebuah keislaman lahiriah
yang menyimpan bitonah berbeza.