CARI BAHAN

Sunday, March 01, 2015

Menyahkan igauan silam.

Dulu-dulu, waktu remaja menginjak era kepemudaan, aku sangat anti dan benci komunisme. Bukan kerana apa-apa. Hanya kerana namanya kumunisme. Guru yang mengajarku memberitahu komunis itu jahat. Ia adalah sebuah isme yang diciptakan untuk menafikan wujudnya Tuhan dan mencandukan agama. Ditambah pula riwayat buku sejarah dan paparan filem yang menggambarkan kejahatan pejuang komunis.

Maka, aku membenci komunisme. Aku rasa begitulah ramai anak bangsaku merasakan hal yang sama. Membenci komunisme dan tidak boleh terima kewujudan komunis dan komunisme sama sekali dalam negara, sama ada dalam bentuk manusia atau pemikiran.

Demikian, pemikiran dibentuk. Ia seperti sebuah doktrinisasi. Kebencian diterapkan juga kepada sosialisme, sekularisme, pluralisme, liberalisme dan berbagai-bagai lagi. Keadaannya tidak jauh daripada apa yang diupayakan oleh pihak Barat hari ini yang cuba menanam kebencian kalangan warga jagat raya terhadap terorisme, fundementalisme, jihadisme, daulah, hudud dan seumpamanya.

Dalam komuniti kecil, saya masih ingat bagaimana kebencian terhadap UMNO di pasakkan dalam jiwa kader-kader sekolah agama yang aku dibesarkan. Ia Bukan dasar sekolah, tetapi inisiatif guru-guru yang membuak-buak semangatnya. Kebencian itu tidak disandarkan kepada apa-apa selain hanya kerana namanya UMNO. Begitulah pemikiran dicanai dan sebahagian membesar dengan kebencian itu dan sebahagian ditunggang terbalikkan oleh keadaan mendatang. Segelintir dirasionalkan oleh kematangan.

Saya mengimbau hal tersebut untuk menyatakan bahawa zaman sentiasa berubah. Bahasa zaman ibu bapa kita dulu sudah tidak sama dengan bahasa zaman kita. Apa yang menjadi ancaman di zaman mereka, zaman kini sedang dalam proses rasionalisasi.

Sebab itu, kita hendaklah waras dan mendengar dengan tekun dan sabar bila hari ini kita dengar ada orang memuji komunis dan tokoh-tokohnya. Jangan cepat melatah dan memurtadkannya. Demikian, cemuhan halalintar terhadap sekularisme, liberalisme dan pluralisme yang menjadi pegangan ibu bapa kita dulu, tidak lagi menjadi pegangan sebahagian generasi muda kita. Tidak hairan jika hari ini kita dengar ada pemuda Islam yang berjuang dalam kancah Islam mengaku diri sebagai seorang liberalis dan pluralis.

Mereka generasi baru yang sedang memacu akal. Warisan pemikiran leluhur kita perlu berani diadun dengan tafsiran baru dan tajdid. Ia bukan buruk untuk kita, malah ia baik untuk membuahkan generasi yang lebih gagah dari nenek moyang kita yang pastinya telah gagal memacakkan kemenangan di persadanya.

Mungkin generasi inilah yang akan memacak panji di kota kemenangan. Mungkin....

No comments: