CARI BAHAN

Monday, March 02, 2015

Kebaikan dan keburukan.

Manusia acap tersilap dalam menilai sesuatu sama ada ia baik atau buruk untuk dirinya. Pada satu ketika, dia membenci satu perkara kerana pada anggapannya perkara itu buruk untuknya. Sedangkan, hakikatnya perkara itu baik untuknya. Hakikat kebaikan itu hanya dapat dilihat setelah berlalunya satu tempoh masa. Tempoh masa itu mungkin makan masa lama. Satu generasi atau beberapa generasi.

Sebaliknya pula, satu yang disangka baik oleh fikiran manusia, hakikatnya perkara itu adalah buruk untuknya. Hakikat keburukan itu akan terserlah setelah berlalunya satu tempoh masa, satu generasi atau beberapa generasi.


Kerana itulah manusia berkhilaf. Satu pihak berkata apa yang dilakukannya baik. Dan satu pihak lagi katakan ia buruk. Mencari petunjuk nas dalam menentukannya, bukan sentiasa muktamad ada. Banyak perkara ditinggalkan menjadi perdebatan dan pencarian.

Hujahlah yang akan menjustifikasikannya. Perkataan semata-mata tidak menjadi justifikasi penentu. Hujah yang sarat akan membongkar hakikat baik buruk sesuatu perkara. Untuk berhujah, seorang yang mahir dalam bidang itulah yang perlu terlibat.

Seumpma dewasa ini, orang memperdebatkan apakah tahalluf siyasi itu MASIH menguntungkan Islam atau tidak. Nak tahu ia MASIH untung atau tidak, ia perlu diperdebatkan dengan hujah-hujah. Ia tidak boleh diputuskan dengan sepatah latah yang mungkin dipandu emosi kemarahan. Oleh kerana tahalluf siyasi itu adalah sebuah ranjau rumit politik Islam, maka ahli politik yang mahirlah yang layak menghujahkannya. Ia bukan makanan ahli hukum, ahli kalam maupun ahli tasauf. Juga, ia bukan bahan gomolan ustaz fajar dini yang belum pernah melihat mega merah senja berdarah.

Sekian daku melontar pandangan...

No comments: