CARI BAHAN

Friday, March 20, 2015

Hudud lebih aula

Ilmu politikku tidak sampai untuk menyongsang daripada pendirian yang Pas yang disuarakan oleh mursyidul amnya, Tg Harun Din. Menurut  Tg Harun Din, melaksanakan hukum hudud itu lebih penting daripada menjaga keutuhan Pakatan Rakyat. Dengan kata lain, dapatlah difahami bahawa Pas tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hudud. Peringkat permulaan ini adalah di Kelantan. Apa nak jadi dengan Pakatan Rakyat, pedulikanlah. Biar pecah berkecai Pakatan Rakyat tak apa, asalkan hudud dapat dilaksanakan.

DAP tidak habis-habis menyuarakan penentangan terhadap hudud. Sungguhpun usaha Pas dilaksanakan menurut lunas-lunas demokrasi berparlimen yang diamalkan, penentangan DAP nampaknya tidak reda.  Penentangan tersebut memperlihat sikap permusuhan terhadap Islam secara tidak langsung.

Sepatutnya DAP mengawal kelancangannya. Setiap parti ada maruahnya. Lebih-lebih lagi Pas sebagai sebuah parti yang telah tua dan lama membina kerajaan di Kelantan. Kelihatannya seolah-olah DAP sedang mendabik dada dengan kekuasaanya yang masuk penggal kedua di Pulau Pinang.

Apakah menjaga Kelansungan Pakatan Rakyat itu lebih aula daripada melaksanakan hudud, sekurang-kurangnya buat masa ini, itulah yang ilmu politikku tak sampai. Kerana itu, aku bersimpuh sahaja kepada sabda sang mursyidul am. Semoga ijtihadnya betul dan Allah merestuinya dalam ijtihad tersebut.


Wednesday, March 18, 2015

Cerita GST di sebuah pekan kecil.

Orang-orang yang waras akan merumuskan. Bila GST mula bulan April nanti, harga barang akan naik. Memang pening kepala orang-orang yang berotak dan mampu berfikir dengan otaknya, bila dikatakan bila GST berkuatkuasa, harga barang akan turun. Ia samalah bila seseorang menyatakan bila kita naik basikal ditukar kepada naik motosikal, penggunaan minyak akan semakin jimat. Kemudian, datang seorang yang belajar di atas awan, kalau beli kereta, lebih jimat minyak berbanding guna motosikal.


Ketika aku singgah membeli sebuah meja plastik di kedai Cina di pekan Kuala Nerang, aku mengujinya dengan pertanyaan.

"Bagaimana taukey, sudah daftar GST?

" Ya, sudah..." jawabnya. Wajahnya kelihatan mencuka dan mencebir.

"Nanti barang-barang di kedai taukey akan makin murahlah!"Aku mengeceh.

"Lagu mana nak murah, cuba kamu tengok peti ais yang saya jual tu, sekarang hargnya RM1000.00, bulan depan saya kenal jual RM1060.00..."

"Wah, kenapa makin mahal, menteri kata makin murah", aku mengumpan sambil tersengeh.

"Itu menteri, cakap dengan orang bodoh bolehlah", Cina taukey itu melepaskan geramnya.

Aku berlalu dengan sedih. Bangsaku banyak percaya omongan itu. Sang Cina itu, orang yang berniaga, pun tidak boleh percaya omongan GST memurahkan harga barang....

Penceramah atau pendakwah?



Ummat tidak rugi hilangnya penceramah,
tetapi alangkah besar kerugian kala hilangnya pendakwah.

Ada orang dilihat seperti pendakwah. Namun, dia cuma penceramah. Tujuannya yang utama adalah untuk mendapat pamrih melalui ceramah. Ceramahnya bukan bertujuan tulus mengubah posisi masyarakat yang bobrok, melainkan hanya untuk menjadikan masyarakat sebagai pelanggan yang boleh membeli produknya.


Mungkin hasrat sang penceramah murni, ingin membangunkan sabilillah menerusi pamrih dan produk yang diperolehi. Akan tetapi, ia diperolehi dengan menginjak kedahagaan masyarakat.

Aku dengar, ada penceramah yang ragu-ragu untuk berhenti berceramah kerana hasil saguhati ceramahnya penting untuk membangunkan pondok pengajiannya. Kalau berdakwah melalui ceramah, tidak akan ada istilah berhenti. Dakwah itu sampai mati.

Macam juga politik, kalau politik dakwah, tidak ada istilah dinasour. Sampai mati, kekallah berpolitik dan terlibat dalam pencak sitaranya. Kerana politik dakwah tidak penghujungnya.

Ini ceramah. Paling dekat dengan dakwah. Paling mirip dengan kerja dakwah. Maka, jika niat untuk dakwah, tidak ada rancangan untuk berhenti. Bukan jadikan ceramah sebagai loncatan untuk yang lain. Ia seharusnya tulus membetulkan masyarakat. Menegur kepincangan dan bukan mengambil jalan ' mudahanah' demi survival pasaran dalam dunia jemputan.

Ummat tidak menanggung rugi dengan sirnanya penceramah, akan tetapi besarlah kerugian jika hilangnya pendakwah.

Monday, March 02, 2015

Kebaikan dan keburukan.

Manusia acap tersilap dalam menilai sesuatu sama ada ia baik atau buruk untuk dirinya. Pada satu ketika, dia membenci satu perkara kerana pada anggapannya perkara itu buruk untuknya. Sedangkan, hakikatnya perkara itu baik untuknya. Hakikat kebaikan itu hanya dapat dilihat setelah berlalunya satu tempoh masa. Tempoh masa itu mungkin makan masa lama. Satu generasi atau beberapa generasi.

Sebaliknya pula, satu yang disangka baik oleh fikiran manusia, hakikatnya perkara itu adalah buruk untuknya. Hakikat keburukan itu akan terserlah setelah berlalunya satu tempoh masa, satu generasi atau beberapa generasi.


Kerana itulah manusia berkhilaf. Satu pihak berkata apa yang dilakukannya baik. Dan satu pihak lagi katakan ia buruk. Mencari petunjuk nas dalam menentukannya, bukan sentiasa muktamad ada. Banyak perkara ditinggalkan menjadi perdebatan dan pencarian.

Hujahlah yang akan menjustifikasikannya. Perkataan semata-mata tidak menjadi justifikasi penentu. Hujah yang sarat akan membongkar hakikat baik buruk sesuatu perkara. Untuk berhujah, seorang yang mahir dalam bidang itulah yang perlu terlibat.

Seumpma dewasa ini, orang memperdebatkan apakah tahalluf siyasi itu MASIH menguntungkan Islam atau tidak. Nak tahu ia MASIH untung atau tidak, ia perlu diperdebatkan dengan hujah-hujah. Ia tidak boleh diputuskan dengan sepatah latah yang mungkin dipandu emosi kemarahan. Oleh kerana tahalluf siyasi itu adalah sebuah ranjau rumit politik Islam, maka ahli politik yang mahirlah yang layak menghujahkannya. Ia bukan makanan ahli hukum, ahli kalam maupun ahli tasauf. Juga, ia bukan bahan gomolan ustaz fajar dini yang belum pernah melihat mega merah senja berdarah.

Sekian daku melontar pandangan...

Sunday, March 01, 2015

Menghargai Pendahulu

Ketika Hatib bin Balta'ah dapat disergap kerana mengirimkan surat peringatan kepada saudara maranya yang kafir di Makkah sebelum penyerangan Kota Makkah oleh tentera Islam, Umar Al-Khattab meminta izin untuk memenggal lehernya.

"Biar kupenggal leher si munafiq ini wahai Rasulullah!"

Demikian Umar Al-Khattab bingkas.

Namun Rasulullah tidak mengizinkan. Rasulullah SAW memaafkan Hatib bin Abi Balta'ah dan menyatakan bahawa dia ( Hatib) adalah dari kalangan ahli Badar.

Ada apa dengan Ahli Badar?

Ahli Badar adalah pendahulu perjuangan. Nabi menghargai pendahulu dalam perjuangan. Kendati tindakan Hatib bin Abi Balta'ah adalah sebuah pengkhianatan, keberadaannya sebagai pendahulu perjuangan meletakkan dirinya patut dimaafkan. Sementelahan, apa yang dikatakan pengkhianatan oleh para sahabat lain itu, bukanlah menjadi niat Hatib bin Abi Balta'ah dalam mengutuskan surat makluman pergerakan tentera Rasulullah SAW itu.

Demikian iktibar kecil dari episod sirah. Dalam perjuangan PAS memacu perjuangan politik Islam di Malaysia, ada segolongan yang boleh dikenali sebagai pendahulu perjuangan berdasarkan senioriti dan pengorbanan mereka. Kalau hendak dicerminkan dengan kisah Hatib bin Abi balta'ah tadi, kalaulah benar mereka dianggap pengkhianat dalam perjuangan, tuduhan khianat itu tidak layak datang daripada para pejuang belakangan. Pejuang yang muncul setelah zaman getir dan sulit berlalu.

Pendahulu perjungan yang pernah melalui titik-titik penting dalam gelombang perjuangan tidak wajar diperlecehkan oleh yang datang kemudian. Mereka perlu dihargai. Sekupang yang mereka korbankan pada zaman susah dulu adalah lebih mahal dari beribu ringgit yang disedekahkan oleh orang kemudian yang datang menyertai perjuangan.

Pejuang-pejuang muda yang semangat berapi-api untuk membela perjuangan Pas, kesuciannya dan kemurniannya, jangan merasa lebih besar kedudukan di mata Allah daripada para pendahulu. Sesungguhnya, pendahulu yang yang kerjanya gurkha cuma, lebih mahal harganya di sisi Allah daripada pejuang kemudian yang datang, walau jawatan dan gelarannya nampak utama dan besar.

Inilah sikapku dalam melayani kerenah dunggu lewat terakhir ini....

Menyahkan igauan silam.

Dulu-dulu, waktu remaja menginjak era kepemudaan, aku sangat anti dan benci komunisme. Bukan kerana apa-apa. Hanya kerana namanya kumunisme. Guru yang mengajarku memberitahu komunis itu jahat. Ia adalah sebuah isme yang diciptakan untuk menafikan wujudnya Tuhan dan mencandukan agama. Ditambah pula riwayat buku sejarah dan paparan filem yang menggambarkan kejahatan pejuang komunis.

Maka, aku membenci komunisme. Aku rasa begitulah ramai anak bangsaku merasakan hal yang sama. Membenci komunisme dan tidak boleh terima kewujudan komunis dan komunisme sama sekali dalam negara, sama ada dalam bentuk manusia atau pemikiran.

Demikian, pemikiran dibentuk. Ia seperti sebuah doktrinisasi. Kebencian diterapkan juga kepada sosialisme, sekularisme, pluralisme, liberalisme dan berbagai-bagai lagi. Keadaannya tidak jauh daripada apa yang diupayakan oleh pihak Barat hari ini yang cuba menanam kebencian kalangan warga jagat raya terhadap terorisme, fundementalisme, jihadisme, daulah, hudud dan seumpamanya.

Dalam komuniti kecil, saya masih ingat bagaimana kebencian terhadap UMNO di pasakkan dalam jiwa kader-kader sekolah agama yang aku dibesarkan. Ia Bukan dasar sekolah, tetapi inisiatif guru-guru yang membuak-buak semangatnya. Kebencian itu tidak disandarkan kepada apa-apa selain hanya kerana namanya UMNO. Begitulah pemikiran dicanai dan sebahagian membesar dengan kebencian itu dan sebahagian ditunggang terbalikkan oleh keadaan mendatang. Segelintir dirasionalkan oleh kematangan.

Saya mengimbau hal tersebut untuk menyatakan bahawa zaman sentiasa berubah. Bahasa zaman ibu bapa kita dulu sudah tidak sama dengan bahasa zaman kita. Apa yang menjadi ancaman di zaman mereka, zaman kini sedang dalam proses rasionalisasi.

Sebab itu, kita hendaklah waras dan mendengar dengan tekun dan sabar bila hari ini kita dengar ada orang memuji komunis dan tokoh-tokohnya. Jangan cepat melatah dan memurtadkannya. Demikian, cemuhan halalintar terhadap sekularisme, liberalisme dan pluralisme yang menjadi pegangan ibu bapa kita dulu, tidak lagi menjadi pegangan sebahagian generasi muda kita. Tidak hairan jika hari ini kita dengar ada pemuda Islam yang berjuang dalam kancah Islam mengaku diri sebagai seorang liberalis dan pluralis.

Mereka generasi baru yang sedang memacu akal. Warisan pemikiran leluhur kita perlu berani diadun dengan tafsiran baru dan tajdid. Ia bukan buruk untuk kita, malah ia baik untuk membuahkan generasi yang lebih gagah dari nenek moyang kita yang pastinya telah gagal memacakkan kemenangan di persadanya.

Mungkin generasi inilah yang akan memacak panji di kota kemenangan. Mungkin....