CARI BAHAN

Friday, July 24, 2015

Hanya yang buru dunia.

Berkata sang pendeta dunia
jika kalian mahu harta seluas maya
mari aku berikannya
jadilah kamu pengikutku yang setia


Kemudian berkata lagi sang pendeta dunia
jika kamu derhaka
dunia yang aku tunjukkan caranya
hilang semua.

Memikat dulu dengan dunia
kemudian mengancam dengan dunia
hanya buat ahli dunia
yang bergerak kerana buru dunia.....

Kebenaran sebagai rumah api.

D tengah laut, ketika belayar malam nan gelap, daratan tidak kelihatan, para pelayar akan meninjau rumah api. Lalu ke sanalah mereka tuju membelah gelapan..

Kebenaran adalah seperti rumah api. Ia menjadi pasak dalam membuat ukuran.

Ketika memberi makna istiqamah, ia bukan semata-mata tetap pendirian, tidak berganjak walau bermacam pancaroba menimpa. Ia bukan kekal dengan apa yang telah dipegang zaman berzaman. Ia diertikan dengan mengaitkan dengan kebenaran. Jika sesat bertahun-tahun, baru sehari menemui kebenaran lalu berpegang dengan kebenaran, itulah istiqamah. Yang tetap tegar dengan kebatilan, itu bukan istiqamah.

Ketika memberi makna takbur, nabi SAW mentakrifkan:

الكِبْر بطر الحق، وغمط الناس

"Takbur itu adalah mengengkari kebenaran dan menzalimi manusia".

Kebenaran juga jadi kelipan di menara rumah api dalam mengenal daerah takbur. Jika pakai baju lawa, kereta cantik, bergaya, rumah besar, berjalan dengan iringan pengikut yang ramai, jika mendokong kebenaran, ia tidak jadi takbur.

tapi, walau pakai baju compang camping, makan hasil buangan di tong sampah dan hidup memelaratkan diri, namun waktu kebenaran datang kepadanya, dia berdegil, tidak mahu terima, itulah takbur namanya. Maka, perhatikan bahawa k

Wednesday, July 22, 2015

Hempapkan Quran atas kepalamu.

Dalam Al-Quran banyak teguran Allah. Allah menegur orang munafiq dan menceritakan perangai dan tabiat mereka. Allah tempelak orang menentang nabi-nabi. Allah buat tamsil ibarat pedas buat orang yang ingkar kepadanya.

Allah ceritakan kebejatan Abu Lahab, Firaun, Haman, Qarun dan sebagainya. Allah sifatkan ulama dunia Bani Israil sebagai anjing yang menjelir. Allah sifatkan ulama Bani Israil sebagai kaldai penanggung kitab. Macam-macam ada dalam Quran.


Hari ini orang Islam baca Quran. Malangnya, ketika mengambil ibrah daripada apa yang Quran kisahkan, sebahagian orang jadikan ia hujah untuk mengangkat diri dan kelompok sendiri. Ia tidak dibaca untuk mencermin diri.

Ayat Quran dibacakan untuk mendiskreditkan orang lain yang tidak cocok dengan diri walaupun orang itu sama-sama muslim. Ia hanya bergantung kepada tafsiran hawa nafsu sendiri yang mahu meletakkan diri sebagai pihak yang benar dalam persaingan merebut pamrih dunia. Merebut kedudukan, sokongan, keyakinan khalayak, kepimpinan dan seumpamanya.

Wahai yang membaca Quran! Bacalah Quran untuk dirimu sendiri dan jangan hanya tahu menghamburkannya untuk manusia lain.

Mahkota keadilan.

Pagi ini teringat nak tulis tinta ringkas pasal mahkota buat pemimpin. Hanya sekadar membuka medan fikir dan renung buat orang yang suka kepada politik dan kepimpinan. Kekadang, ada kesilapan kita dalam menilai harga seorang pemimpin dan meletakkan nilainya pada harga seperti pengikut atau rakyat.

Mahkota seorang pemimpin adalah keadilan. Itulah ukuran untuk kita menilainya. Dengan apa dia hendak capai keadilan itu? Islam meletakkan kekuatan dan amanah sebagai dua alat penting buat seorang pemimpin untuk menegakkan keadilan dalam pimpinannya.


Pemimpin bukan dinilai pada waraknya. Bukan pada ilmunya. Bukan pada amalnya. Bukan...bukan. Nilai-nilai itu hanya nilai tambah. Tetapi penentunya adalah keadilan.

Jika rakyat rasa dizalimi, pemimpin itu dimurkai Allah. Jika pengikut tidak rasa diadili, maka pemimpin itu ada persoalan depan Tuhan kelak. Sebab itu, jadi pemimpin memang tugas maha berat.

Dalam hadis. pemimpin adil diberikan kredit untuk berada di bawah naungan arasy Allah pada hari panas terik matahari mahsyar.

Saya dengar ada orang puji pemimpin kerana waraknya. Pakaiannya yang ikut sunnah. Ilmunya yang lumayan. Sikapnya yang 'sempoi'. Seorang sultan misalnya, boleh duduk bersila bersama rakyat marhaen. Ada sultan dipuji kerana isterinya pakai tudung. Tapi dalam masa yang sama dia menimbunkan kesenangan dengan istana kemerlip ketika rakyat mrintih susah. Sebenarnya, Allah tidak lihat nilai itu pada diri seorang plemimpin. Allah lantik dia jadi pemimpin dan jadikan keadilannya sebagai kayu ukur.

Sebab itu, ketika kita mahu menilai seorang pemimpin, sila tanya apakah yang dia telah buat mengenai keadilan untuk para pengikutnya. Usah dinilai pada ibadatnya, kehensemannya, janggutnya, jubahnya, kesederhanaannya atau sebagainya. Cukuplah selidiki keadilan yang ditegakkan buat rakyat dan pengikutnya.

Tuesday, July 21, 2015

Pemboleh ubah.

Dalam hidup ini, kita akan berdepan dengan banyak pemboleh ubah. Pemboleh ubah adalah lambang penggunaan akal dan ia juga tanda tidak bepijak atas keta'subah. Islam datang di tengah-tengah kejumudan masyarakat jahiliyah sebagai pemboleh ubah yang menawarkan jalan hidup yang lebih selamat setelah mereka berteleku kaku dengan warisan nenek moyang yang menyesatkan hidup mereka.

Seorang sahabat setia pernah berkata kepada sahabatnya.


"Kita akan bersahabat sehingga mati...",

Namun, belum pun sampai mati persahabatan mereka hancur dan mereka bertukar menjadi musuh. Mengapa hancurnya persahabatan mereka padahal mereka telah berjanji setia untuk bersahabat sehingga mati? Itu kerana ada pemboleh ubah yang menukarkan sumpah janji tersebut. Adakah menjadi kesalahan kerana menyalahi sumpah dan janji setia yang pernah dipaterikan?

Lihat kepada keadaan. Kewujudan pemboleh ubah perlu dinilai di sudut pandangan kebenaran. Di sinilah akal dimanfaatkan dan ta'sub serta taqlid buta dinafikan.

Dalam Al-Quran Allah menceritakan tentang sumpah yang diucapkan. Biarpun sumpah itu mengikat, namun jika ia sumpah yang menghalang diri daripada berbuat baik, ia tidak perlu dituruti. Maka, ertinya ada pemboleh ubah yang mengubah keadaan sumpah yang mengikat itu. Bahkan, sumpah dalam hal-hal yang baik sekalipun, jika sampai keadaannya orang yang bersumpah tidak mampu tegakkannya, didatangkan kifarat sumpah sebagai sebuah pemboleh ubah.

Lihat dalam hidup ini, ada banyak pemboleh ubah.

Dulu kau kata tak suka durian, kenapa sekarang durian sebakul kau pelahap habis?
Dulu kau benci perempuan, kenapa sekarang kau kahwin?
Dulu kau benci aku, tetapi sekarang mengapa kau kata kau cinta aku?
Dulu kau cinta dan janji mahu setia dengan aku aku, mengapa sekarang kau mungkir janji?

Macam-macam pertanyaan timbul mengungkit dulu dan sekarang. Mengubah kerana pemboleh ubah yang benar adalah diharuskan.

Monday, July 20, 2015

Politik memerlukan khud'ah


( خَذِّلْ مَا اسْتَطَعْتَ فَإِنَّ الْحَرْبَ خُدْعَةٌ )

Mu'awiyah memang seorang ahli politik yang cekap. Dia dibantu oleh penasihat yang pintar berpolitik iaitu Amru bin Al-'As. Ketika perang As-Siffin meletus antara tentera Ali bin Abu Talib dengan tentera Mu'awiyyah dan kemenangan hampir berpihak kepada pasukan Ali bin Abu Talib, Mu'awiyah telah menggunakana kepintaran politiknya. Tenteranya diperintahkan menjulang Al-Quran di hujung tombak mereka dan itu membuatkan pasukan tentera Ali bin Abu Talib berbelah bahagi. Sebahagian mahu menyahut seruan kembali kepada Al-Quran, manakala sebahagian yang lain mahu berperang sehingga kemenangan menjadi berpihak kepada mereka dengan muktamad, Namun, Ali bin Abu Talib terpaksa mengikut kemahuan tenteranya yang mahu berdamai. Lalu, berlakulah Majlis Tahkim.

Ada kesamaran dalam mendetailkan peristiwa Majlis Tahkim itu. Kita tidak perlu bahaskan di sini. Apa yang jelas, sesudah Majlis Tahkim tersebut, tentera Mua'wiyah pulang ke Syam dengan selamat dan mereka tetap bersatu. Sayangnya, tentera Ali bin Abu Talib pula pulang ke Basrah (Iraq) dengan pergaduhan dan perpecahan. Muncullah puak Khawarij dari pecahan tentera Ali bin Abu Talib dan ia menjadi beban yang menguras banyak tenaga di pihak Ali bin Abu Talib sebagai seorang khalifah. Akhirnya membawa kepada terbunuhnya Ali bin Abu Talib di tangan perancangan jahat puak Khawarij.

Ternyata Mu'awiyah pintar berpolitik. Ali bin Abu Talib kewalahan mendepani helah politik Mu'awiyah. Sungguhpun ilmu Ali bin Abu Talib cukup lumayan sehingga diriwayatkan bahawa beliau sebagai pintu ilmu dan Rasulullah sebagai gudangnya, dalam mendepani siasat politik Mu'awiyah dia telah terpukul.

Politik adalah satu seni yang lain daripada keilmuan. Seorang ulama hebat belum tentu dapat tampil sebagai ahli politik yang cekap. Ketinggian ilmu dan kecekapan politik jarang terkumpul satu individu seperti ia pernah terkumpul pada Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Sebab itu, dalam hadis nabi disebutkan tentang pentingnya perana ulama dan umara sebagai sendi kepada ummat yang saling lengkap melengkapi.

Perjuangan politik menuntut khud'ah (tipudaya). Ketika ummat Islam kesempitan kerana kepungan tentera Ahzab di Madinah, Nabi SAW menerima tawaran Nu'aim bin Mas'ud Al-Asyja'i untuk memainkan jarum tipudaya terhadap kesatuan musuh. Nabi SAW mengesahkan bahawa dalam peperangan perlu ada tipudaya. Nu'aim telah berjaya menghasut kelompok yang bersatu memerangi Islam itu dengan menanam perasangka sesama mereka. Hasilnya, kesatuan mereka pecah dan mereka menjadi lemah.

Dewasa ini, para ahli politik perlu menghadam seni politik seperti ini. Politik bukan berjalan atas garis lurus. Ia memerlukan tipu muslihat. Apa yang pernah Nu'aim buatkan dalam perang Ahzab itu, kalau dinilai dari sudut kejujuran dan moral tentulah salah. Dalam keadaan normal, perbuatan itu adalah adu domba (Namimah) yang dilarang oleh agama. namun, dalam situasi permainan politik yang sengit, ia adalah sebuah "khud'ah" yang ditakrifkan sebagai sebuah kebijakan politik.

Hari ini, tragedi telah terjadi. Pakatan Rakyat telah pecah berantakan. Sisa-sisanya menanti kecai. Ada yang mengatakan bahawa apa yang terjadi itu adalah kerana permainan UMNO-BN yang menjalanlan cucuk jarum beracunnya sekian lama. Hasutan agar kesatuan Pakatan Rakyat pecah akhirnya membuah hasil.

Dalam hal ini, jika benar ia adalah hasil daripada permainan adu domba UMNO-BN, ia bukanlah satu yang luar biasa. Ia adalah harus, kerana politik memang menyediakan ruang untuk itu. Dalam menghadapi permaianan licik musuh, Pakatan rakyat juga seharusnya bijak membaca. Pemimpin Pas khususnya, sebagai barisan yang membawa wajah politik Islam perlu lebih pintar dengan seni politik yang kaya dengan tipudaya tersebut dan tidak terjerlus dalam permainan musuh.

Musuh tidak boleh disalahkan kerana siasat yang mereka mainkan. Siapa bijak, dialah yang akan menang. Siapa tidak, dia akan dimainkan. Sebab itu, bagi yang memilih itu bercanda di pentas politik, jangan relakan diri untuk dimainkan oleh siasat musuh. Berusaha untuk menang pertarungan politik dengan siasat yang lebih anggun sehingga dapat memandirkan musuh. Jika terjuni permainan politik untuk kalah, adalah lebih baik menguzlahkan diri daripada pentas politik. Banyak lagi bidang lain yang boleh digembeling untuk kepentinngan umat Islam dan manusia jika kudrat politik tidak mapan untuk menangkis "khud'ah" yang dimainkan musuh.


Sunday, July 19, 2015

Khurafat: Percaya Roh Orang Mati Menanti Di Kubur Pada Hari Raya.

Secara ringkasnya, khurafat adalah amalan atau kepercayaan yang tiada asas dalam agama. Ia meresap masuk dari amalan atau kepercayaan yang ada di luar Islam. Maka, berkenaan kepercayaan roh balik pada hari tertentu ini, ia adalah satu kepercayaan yang khurafat.

Hendak menziarahi kubur pada hari raya, memang tidak salah kerana nabi suruh kita ziarah kubur dan tidak disebutkan hari mana. Tidak pula dilarang waktu-watu tertentu sebagaimana halnya solat yang ada waktunya dilarang.


Namun, menziarahi kubur pada hari khusus seperti hari raya dengan kepercayaan bahawa pada hari itu roh orang mati menanti- nanti di kubur untuk menerima sedeqah pahala bacaan, adalah satu amalan yang ditegakkan atas kepercayaan khurafat. Tidak hairan, kerana itu sebahagian pendapat melarangnya, malah mengharamkannya.

Saya mendengar di sebuah masjid waktu solat Aidul Fitri, imam menggalakkan orang untuk ziarah kubur selepas usai solat Aidul Fitri. Dia berhujah dengan menyandarkan kepercayaan khurafat roh balik dan menunggu di kubur pada hari raya.

Ini masalahnya yang berkaitan ziarah kubur pada hari raya. Amalan ziarah kubur memang sunat tetapi khurafat menjadi "targhib"nya. Tidak ada dinyatakan dalam hadis, apa lagi nas Al-Quran, bahawa roh balik pada hari raya. Kalau nak dakwa roh balik pada hari raya, sesiapa juga boleh dakwa roh balik pada hari kebangsaan, hari ibu, hari bapa, hari pekerja dan sebagainya.

Anda tidak akan menemui riwayat yang menyebutkan roh balik ke kubur pada hari-hari tertentu. Riwayat yang menyebutkan bahawa Nabi SAW menceritakan kepulangan roh kepada jasad pada ketika seperti selepas ditanam dan ketika orang menziarahinya mengucapkan salam adalah khabar ghaibiyyat yang tidak boleh diqiaskan kepada situasi lain. Tiada Qias dalam khabar ghaib.

Namun, jika anda membaca kita-kitab hadis golongan Syiah, anda akan menemui riwayat-riwayat tentang kepulangan roh ini.

Monday, June 29, 2015

Petikan: Kafilah dan serigala meraung.

Kehidupan di pinggir rimba kaki banjaran acap kali diganggu bunyi raungan serigala. Di tengah malam sayup kedengaran sahut menyahut raungan satwa itu sehingga menyentap hulu jantung Darwi Joko. Suara itu menelurkan rasa sendu di hatinya dan mengimbau kenangan-kenangan lampau yang tidak mampu dipadamkan dari kotak kenangannya.

Mahu sahaja dia tidak mengendahkan suara raungan penuh mistik dari gerombolan serigala belantara itu, namun, fikiran acap terganggu. Dia tidak bisa mengambil sikap seperti pepatah " biarkan serigala maraung, kafilah usah menghentikan perjalanan".


Tentu sekali setiap kali Darwi Joko mendengar raungan serigala, dia akan teringat korban-korban yang penuh dihitungnya sewaktu tangkas berburu di rimba raya nan luas di kaki tanah banjaran. Ingatan itu menancap kukuh bagai akar tegal tua yang tumbuh berselirat akar melilit di belakang rumahnya.

( Sekadar petikan daripada buku yang akan terbit satu masa yang entah bila : Kafilah dan serigala meraung)

Cuma Petani.

Taburlah benih di tanah ladang
jangan ditabur dalam terusan
jangan ditebar atas jentani.


Tanah ladang luas saujana
kenapa benih tabur setompok?
sudah setompok, di atas batu pula?

Kita semua petani cuma
kita bukan pun tanah huma
kita menanam mengharap tuaian
kita bukan padi dituai

Biarlah petani memilih tempat
tapak berhuma padi bukit
atau menyemai padi bendang
biar kalau mahu menyubur dusun
atau mengusaha tanaman sayur

Asal jangan ditanam lalang
atau dibiar semak membelukar.

Jangan nanti sampai Ghar-Ghar

Ingin aku berkata
bahawa sakitmu kian tenat
nafasmu pendek-pendek dan dadamu bergelombang
kakimu sudah menyejuk
sebentar lagi nyawamu akan berhenti di ghar-ghar.


Ucapkanlah syahadah
ungkapkanlah taubat nasuhamu
ajaklah perdamaian
buangkan sengketa yang bersenandung
rendahkanlah egomu.

Ketika nyawamu kelak sudah sampai di ghar-ghar
Imanmu tiada berguna lagi
Sesal percuma sahaja
sebelum terlambat
menangislah semahumu

Kau bukan malaikat wali
kau cuma burung kedidi

Jangan ditunggu sampai nyawamu di ghar-ghar
saat iman tidak punya harga lagi.

Daki dahriyyun

Apa yang membinasakan kita? Orang-orang athies percaya bahawa yang membinasakan kita hanyalah masa. Mereka tidak meletakkan Allah sebagai Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Bahkan, mereka menyandarkan kelangsungan dan kepupusan kepada faktor masa.

Perkataan yang menyebutkan "sejarah telah membuktikan bahawa parti serpihan akan mati akhirnya" adalah perkataan yang meletakkan masa sebagai penentu kematian dan kehidupan. Ia tidak layak diucapkan oleh orang mencermati kehidupan seorang yang beriman kepada Allah. Bukankah Allah sahaja yang menentukan hidup dan mati? Bukan masa. Bukan sejarah kerana sejarah juga adalah masa.


Aku terfikir hal ini bila orang sering menjadikan sejarah sebagai sandaran. Ada persamaan dengan kata-kata dahriyyun yang selalu menyandarkan kematian dan kehidupan dengan masa.

Esok hari

Esok hari
kalau aku masih bernafas
dan dunia ini belum kiamat
aku masih seperti biasa.


Mereka yang menyusun bata
lalu meranapkannya semula
biar generasi kemudian
50 tahun lagi
menjadi pengadil bijaksana.

Esok hari
kalau aku masih bernafas
dan dunia belum kiamat
aku masih seperti biasa

Siapa yang menyemai badai
jangan mengharap bayu sepoi-sepoi

esok hari
aku akan lupakan cerita hari ini

Kisah Rimba.

Perjalanan ini
bukan sebuah pelayaran
merentas laut samudera nan bergelombang
berbahtera di bawah nakhoda Malim Kundang
mencari sebuah tanah daratan harapan
buat membina kota impian.


Bukan...bukan...
Ini hanya sebuah perburuan
dalam belantara banyak onak
tak jumpa rusa akar rotan jadi gantinya.

Ini adalah pertualangan kabilah
penghuni rimba luas
mengayau demi sebuah legasi
Tok Batin atau Tuai rumah panjang.

Tiada laut
tiada pelabuhan
tiada bahtera
kerana ini cerita sebuah rimba misteri
Di kaki gunung Siguntang Mahameru.

Friday, June 12, 2015

Mengapa?

Telah runtuh berhala Lata
mengapa dibangunkan patung Hubal?


Ketika khurafat Melayu mulai retak
mengapa khurafat Islam pula dipacak?

Telah diruntuh semangat asobiyyah
Mengapa dibina kebejatan ananiyyah?

Ketika hampir merangkul cita
Mengapapa pula dilepaskan citra?

Ketika sudah di maqam radhiah mardhiah
Mengapalah menjunam ke maqam ammarah?

Tok Gero dan sebuah khilaf ( Bhg 4)

Pada malam itu, diadakan mesyuarat kenduri kerja kawin. Begitulah rutinnya di kampung Bulan Mengambang. Kerana adat bergotong royong masih jadi amalan, kenduri kawin yang hendak diadakan dalam kampung itu akan dimesyuaratkan. Dalam mesyuarat itulah akan dilantik ketua kenduri, penyambut tetamu,  ketua penyanga, ketua bahagian bancuh air, ketua basuh pinggan, ketua balai menghidang dan juga ketua genohok.

Biasanya malam mesyuarat kerja kenduri tak ramai yang datang. Hanya orang yang biasa jadi ketua bahagian kerja kenduri sahaja yang datang. Mereka itulah yang akan dengar hasil mesyuarat dna kemudian akan panjangkan kepada anak buah masing-masing. Pada hari kenduri semuanya sudah faham tugas masing-masing  mengikut arahan ketua yang dilantik.

Tapi, pada malam mesyuarat kerja kenduri kali ini, ramai pula orang datang. Tok Imam dan Tok Bilal juga datang. Padahal, kebiasaannya Tok Imam dan Tok Bilal Haji Saamah tak datang. Dengar khabar latihan berzanji  di masjid malam itu dibatalkan kerana mereka hendak hadir ke msyuarat kerja kenduri. Mereka telah pun maklumkan pembatalah latihan marhaban berzanji itu sejak Jumaat yang lalu lagi. Hari Jumaat, sebelum Tok Imam naik membar baca khutbah, telah dimaklumkan bahawa latihan marhaban dan berzanji minggu itu dibatalkan.

Oleh itu, semua ahli kumpulan berzanji dan marhaban kampung Bulan Mengambang ada dan hadir bersama mesyuarat kerja kenduri.  Lebih mengujakan lagi, Mat Fitan dan kawan-kawannya pun turut hadir pada malam itu. Kebiasaan lepak sambil minum air daun ketum di gerai Lebai Sudin  tidak mereka lakukan pada malam itu. Kerusi-kerusi yang diletakkan bawah khemah yang didirikan tidak cukup untuk semua ahli mesyuarat yang datang. Maka, ada yang sanggup duduk atas rumput di antara kerusi-kerusi yang telah diduduki oleh orang yang hadir.

Mesyuarat pada malam itu dipengerusikan oleh Cikgu Halim. Biasanya kalau mesyuarat kerja kenduri, Cikgu Hamid yang akan bertindak sebagai pengerusi. Cikgu Hamid orang lama. Umurnya pun sudah hampir 60 tahun.  Lagipun dia guru besar di sekolah Kebangsaan Bulan Mengambang. Kepercayaan penduduk kampung Bulan Mengambang terhadapnya sangat tinggi. Cikgu Halim pula masih muda. Baru 45 tahun umurnya. Dia juga bertugas di Sekolah Kebangsaan Bulan Mengambang sebagai guru disiplin.

Cikgu Hamid tidak hadir. Khabarnya  dia terseliuh di buku lali. Waktu dia atas motosikal bersedia  hendak ke kedai dengan cucunya, cucunya telah memulas pedal minyak. Cucunya itu baru umur 2 tahun dan dia duduk di depan dalam raga motosikal. Dalam keandaan tidak dijangka itulah dia memulas pedal minyak motosikal dan akibatnya motosikal cikgu Hamid meluncur tak terkawal. Mereka tersumbat ke celah perdu pokok pisang berdekatan. Cikgu Hamid terseliuh tetapi cucunya tidak apa-apa. Kerana itu, mesyuarat kerja kenduri di rumah Tok Pengulu dikendalikan oleh cikgu Halim.
"Assalamu'alaikum.warahmatullahi wabarakatuh....terima kasih kepada semua yang hadir untuk mensyuarat kerja kenduri pada malam ini....tujuan kita bermesyuarat pada malam ini adalah untuk melantik petugas-petugas ...", cikgu Halim memulakan dengan aluan dan menceritakan tujuan-tujuan mesyuarat pada malam itu.

"Saya cadangkan tugas-tugas selain ketua genohok kekal. Kali ini ketua genohok kita bagi kat orang lain", Mat Fitan tiba-tiba mencelah. Dia mahu mesyuarat malam itu cepat tamat dan tidak suka mendengar celoteh panjang lebar cikgu Halim.

"Setujuu!", cadangan Mat Fitam disokong oleh kumpulan anak muda yang bersamanya.

Tok Gero yang duduk di sebelah Tok Imam diam melihat gelagat Mat Fitan dan kawan-kawannya. Dia nampak benar Mat Fitan tidak suka kepadanya. Sebelum malam ini pun dia telah sering dengar Mat Fitan menghsut agar orang-orang membencinya. Apa yang sampai kpada Tok Gero, Mat Fitanlah yang mula mencetuskan tuduhan bahawa Tok Gero amalkan sihir dalam memasak dan masukkan bahan tak halal dalam makanan.

"Kita telah banyak dengar To Gero buat tak betul masa memasak. Kita kena jaga makanan kita kerana makananlah yang akan menentukan Allah redha kepada kita atau tidak. Jika kita makan makanan yang tidak halal, doa kita tidak diterima Allah", Mat Fitan berhujah seperti seorang penceramah program forum Perdana hal ehwal Islam. Seketika,  dia terlupa bahawa dia saban hari meneguk air daun ketum di gerai Lebai Sudin .

Malam itu, suara yang menyokong penyingkiran Tok Gero jadi majoriti. Tidak sampai sepertiga yang menyokongnya. Lebih dua pertiga yang hadir malam itu mahu Tok Gero ditamatkan khidmatnya sebagai ketua genohok yang telah dipegang olehnya lebih daripada dua dekad. Mereka sudah hilang keyakinan terhadap Tok Gero dan sebagai gantinya mereka mahukan Tok Bilal Haji Saamah bertindak sebagai ketua genohok yang baru

Tok Bilal Haji Saamah pada mulanya terkejut apabila namanya dicadangkan  Dia tidak mahu jadi ketua genohok kerana kepakarannya bukan di genohok tetapi di atas balai. kalau pasal marhaban dan berzanji, dia memang tidak ragu-ragu kebolehannya. tetapi kalau pasal genohok, dia tidak tahu macam mana.  Tetapi, Tok Imam mencuitnya dan bisikan bahawa dia sendiri akan bantu Tok Bilal Hj. Saamah dalam menguruskan kerja-kerja genohok. Ada petugas baru yang bersedia berganding bahu bersamanya.

Akhirnya Tok Bilal Haji Saamah bersetuju dengan lantikan sebagai ketua genohok itu. Mat Fitan dan kawan-kawan girang dan mereka melaungkan nama Tok Bilal Hj. Samah. Mesyuarat selesai malam itu dengan kejayaan misi penyingkiran Tok Gero. Bermula kenduri rumah Tok Penghulu dan kenduri-kenduri seterunya, Tok Gero tidak akan jaga genohok lagi. Tok Bilal Hj. Samah akan ambil alih.

" Demi kesejahteraan makanan tetamu yang hadir", Tok Gero terngiang-ngiang perkataan Tok Bilal Hj. Saamah ketika berucap ringkas menerima lantikan baru itu. Pada Tok Gero, dia tidak kisah kalau khidmatnya sebagai ketua genohok diambil alih orang lain. Itu biasa dan dia pun sudah lama dan penat berlapok di genohok saban kenduri. Tetapi, kalau dia disingkir sebagai ketua genohok dengan tuduhan memasukkan bahan tidak halal dalam makanan, dia sangat terluka.

" Serasakan bagai disimbah cuka getah!", keluh Tok Gero kepada Mat Penyanga sewaktu mereka meninggalkan rumah Tok Penghulu seusai mensyuarat pada malam itu. Setakat ini, kesetiaan Mat Penyanga masih melekat kepadanya. Mat Penyanga masih terpilih sebagai ketua bentara (penyanga), tetapi dia berkira-kira untuk menolak lantikan itu. Tetapi, dalam mesyuarat tadi dia belum terdaya mengucapkan penolakannya. Dia akan maklumkan kemudian kepada cikgu Halim kelak.

(Akan bersambung)


Pendeta berfirasat.

Aku telah bertapa di puncak bukit Qaf
telah meneguk air hakikat dari sungai wali
makrifatku tembus sampai Sidrah Muntaha
sebelum tanya aku sudah ada jawabnya.


Aku tidak perlu sepasang mata
untuk mengetahui rupa dan warna
aku tidak perlu sepasang telinga
untuk mengukur merdu suara
aku tidak perlu otak fikir
naluriku bisa membaca kanvas Luh Mahfuz.

Jangan percaya hukum angka
dua campur dua aku kata tiga
siapa kata empat dia hanya terpedaya
mimpiku adalah nyata
dugaku adalah sebuah sabda.

Aku telah bercinta
dengan Tuhan alam semesta.

Salah

Tunjuk salah
genggam salah


berlunjur salah
bersila pun salah.

bangun berdiri salah
duduk pun salah.

kahwin salah
duda pun salah.

angguk salah
geleng pun salah

Berzanji salah
bernyanyi pun salah.

serba salah
di mana salah?

ILMU ALLAH

Orang berlindung di balik tembok ilmu Allah
Ketika soalan tiada jawapan
Ilmu Allah jadi mampan
ketika jawapan mahu disembunyikan
Ilmu Allah jadi kem pelarian.


Mengapa ketika perut lapar
ditanya bila nak makan
dijawab sekejab lagi
mengapa tidak katakan ia dalam ilmu Allah?

Ilmu Allah bukan jawapan
ia hanya sebuah pelarian.

Bukan zaman aki.

Rajawali sakti terbang nan tinggi
atau burung layang-layang terbang ke sana ke mari
masihkah ada yang peduli
kisah dongeng pari-pari.


Panggil Tok Aki
cucuku mari ke mari
aki nak cerita kisah di zaman bahri
kata cucu aku sedang menonton cerita animasi
dari dalam TV.

Thursday, June 11, 2015

Tok Gero dan sebuah khilaf ( Bhg 3)

Sebelum ini, kalau ada kenduri kendara di kampung Bulan Mengambang, Cina Lim yang berniaga kedai runcit di Pekan Tanjong Rakit akan selalu dijemput. Cina Lim tidak pernah ketinggalan untuk hadir makan kenduri di kampung Bulan Mengambang. Dia sudah betah keluar masuk makan kenduri di kampung Bulan Mengambang. Malahan kekadang, kalau ada kenduri sempena acara keagamaan seperti Israk Mikraj, Nisfu Syaaban atau Maulidur rasul dibuat di masjid kampung Bulan Mengambang, Cina Lim akan cari masa untuk hadir. Selalunya dia bawa kawan-kawan Cinanya dari Pekan Tanjong Rakit. Mereka makan sambil duduk bersila di balai lentang masjid. Melawak dan borak serta ketawa bersama orang kampung Bulan Mengambang. Lepas makan, kalau ada ceramah, Cina Lim luangkan masa duduk bersama-sama menadah telinga.


Keterbukaan Cina Lim disenangi oleh orang kampung Bulan Mengambang. Mereka berdoa agar satu masa nanti Cina Lim akan masuk Islam. Tok Gero dan kawan-kawan tukang masaknya yang paling meraikan Cina Lim bila dia bertandang dalam acara-acara di kampung Bulan Mengambang. Tok Gero juga berharap Cina Lim masuk Islam. Harapan yang sama juga dikongsikan oleh Tok Imam hatta tok Penghulu kampung. Sejak Cina Lim rajin hadir program-program di kampung Bulan Mengambang, banyaklah orang kampung berbicara tentang dakwah bilhikmah mal mau'izoh hasanah.  Di masjid kampung Bulan Mengambang, Tok Imam pun tekankan hal yang sama dalam kuliah-kuliah maghrib dan subuhnya. Subjek dakwah jadi topik perbualaan menarik.

Namun, kadang-kadang ada juga masalah bila nak tegakkan dakwah bilhikmah walmau'izoh hasanah. Cakap tidak semudah kata. Manusia dipandu oleh akal dan perasaan. Dua unsur itu selalu berlumba dalam diri. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Walaupun soal bangsa Melayu dan Cina bukan lagi hal yang diperkirakan oleh orang-orang kampung Bulan Mengambang, kadang-kadang ada juga digusarkan oleh kumpulan budak muda lepak dari kampung Bulan Mengambang. Ia bermula dengan menimbulkan persoalan hukum kalau Cina Lim masuk masjid.

"Cina Lim tu kan tak mandi junub, macam mana Tok Imam boleh bagi dia masuk masjid kita?' Mat Fitan sering menghasut dan menimbulkan keraguan di kalangan ahli kelab Daun Ketom yang bermarkas di kedai makan Lebai Sudin di simpang jalan Pekan Tanjong Rakit. Mereka amat berbulu mata melihat CinaLim berbaik-baik dengan orang kampung Bulan Mengambang.

Perasaan tidak senang Mat Fit dan kawan-kawannya yang selalu melepak di Kelab Daun Ketom  itu lama-lama merayap ke gelung rasa sesetengah orang-orang lama di kampung Bulan Mengambang. Akhirnya menjadi perdebatan pula di kalangan jemaah masjid Kampung Bulan Mengambang. Seruan agar menegakkan dakwah bilhikmah wal mauizoh hasanah  seperti yang sering diwiridkan oleh Tok Imam sudah mula dipersoalkan kesahihannya oleh sesetengah anggota Jemaah Masjid.

Ada cerita-cerita yang diriwayatkan entah dari perawi mana, bahawa Cina Lim masa dia duduk dengar ceramah Israk Mikraj hari itu,  dia suka berbisik-bisik dengan rakan Cina yang ikut bersamanya  sambil ketawa. Bisik dan ketawa itulah yang  menimbulkan tandatanya di kalangan ahli jemaah dengan sangkaan bahawa dia mempersendakan cerita Israk Mikraj. Dia tidak percaya apa yang diceritakan sedangkan tidak percaya cerita Israk Mikraj nabi bermakna menolak Al-Quran.

Adalah sekali terjadi, Cina Lim telah melontarkan pertanyaan mengenai cerita Israk Mikraj itu. Cina Lim telah tanya Tok Bilal Saamah, bagaimana mungkin nabi Muhammad naik ke langit tidak bawa balang oksigen. Macam mana dia bernafas di sana. Pertanyaan Cina Lim itu tidak disenangi amat oleh Tok Bilal Haji Saamah. Bila ada suara-suara ketidakpuasan hati mengenai gelagat Cina Lim itu, Bilal Tok Saamah pun buka cerita pasal pertanyaan tak wajar Cina Lim itu. Lalu, Cina Lim disifatkan cuba mempertikaikan keabsahan kisah Israk Mikraj dan tidak beriman dengan apa yang diceritakan dalam Al-Quran, Surah Al-Israk, ayat 1

Tok Gero kawan baik Cina Lim. Dia cuba mempertahankannya dan menegaskan kepada ahli jemaah Masjid Bulan Mengambang bahawa soal percaya atau tidak kepada kebenaran kisah Israk dan Mikraj itu tidak menjejaskan Cina Lim kerana sememangnya dia seorang kafir yang belum masuk Islam Kerana hujah dan sikap yang ditunjukkan oleh Tok Gero itu, maka Tok Gero pun dituduh sebagai orang suruhan Cina Lim dan tidak cuba mempertahankan Islam. Dari marah kepada Cina Lim, kemarahan dikongsikan kepada ke atas Tok Gero dan rakan-rakan.

Dari situ, bertambahlah berat sangkaan,  bahawa ada yang tidak kena mengenainya Tok Gero. Tok Gero mengamalkan ilmu sihir dalam penyediaan makanan. Dia masukkan perencah tidak halal yang diperolehinya dari kedai Cina Lim.

Kenduri di rumah Tok Penghulu kampung Bulan Mengambang tidak lama lagi. Kepada Tok Penghulu, jemaah masjid kampung Bulan mengambang hantar wakil berbincnag agar pada kali ini bukan lagi Tok Gero memasak nasi dan gulai kawah. Biar sahaja orang lain menjalankan kerja tersebut agar kesejahteraan warga kampung Bulan Mengambang dapat diselamatkan. Habislah Tok Gero dan rakan-rakannya kali ini kerana usul penyingkiran ini datang dari orang-orang masjid sendiri.