CARI BAHAN

Tuesday, October 25, 2011

Tak berbaloi kuasa dunia

Muammar Gaddafi dikebumikan di lokasi rahsia di gurun terbuka. Sungguh tragis kesudahan seorang yang menjadi presiden berkuasa sebuah negara selama 42 tahun. Biasanya, seorang presiden yang mati, kuburnya di makam pahlawan dan pengkubumiannya disertai dengan upacara yang penuh kenegaraan. Malangnya Gaddafi tidak begitu. Matinya hina dan pengkubumiannya pun hina. Selepas ini, dia akan dilupakan.

Padanlah dengan apa yang dia lakukan selama memerintah. Allah maha penyaksi atas setiap kezaliman dan akan membalasnya. Kasihan lagi tentang nasib Gaddafi di akhirat kelak, tatkala terpaksa berdepan dengan pelbagai tuntutan. 

Tidak berbaloi kuasa dunia yang sementara ini!

Sunday, October 23, 2011

apa peduli matinya tikus

Telah menyapu awan
kalau hendak dihimpunkan
angkara murka seorang Gadhafi
telunjuknya lurus kelingkin berkait
berwajah darwis
dari singa lebih bengis
lebih 4 dekad
banyak sudah derita dan tangis
mereka yang senarai namanya tidak tertulis

Padanlah
apa yang Ghadafi dapat
kelak di hari akhirat
tuntutan ke atasnya akan berlipat
buat apa apa menaruh simpati
kekejamannya bukan lagi secebis

Aku katakan
Ghadafi itu seekor tikus cuma
tidak berani menjadi pembela agama Allah
jiwa kecut bersulam nifaq
matinya biarlah ditulis matinya tikus.


Siapa peduli matinya tikus!

Hidup perlukan perjuangan

Semua nabi yang diutuskan Allah akan mengalami pertembungan. Mereka mempunyai musuh dan ditentang. Walau ditentanng, tentulah ada yang akan menyanyangi dan mencintai mereka. Mereka yang menentang para nabi tersebut, merekalah orang kafir, manakala yang menyayangi dan mencintainya, mereka itulah orang yang beriman. Meneliti sirah dakwah nabi Nuh, begitulah yang kita temui. Demikian pula nabi Ibarhim, Musa, Isa dan nabi kita Muhammad SAW. 

Jika demikian sirah para nabi, maka apakah patut kita sebagai orang yang mengaku beriman dengan agama Islam yang menjadi agama para nabi tersebut mengambil jalan duduk sahaja tanpa berjuang untuk Islam. Apakah layak orang yang mengakui beriman untuk duduk istirehat pada hujung minggu setelah habis bekerja, habiskan masa bersama keluarga. Mana masa yang diperuntukkan untuk perjuangan Islam? 

Kalau hidup hanya untuk diri dan keluarga, tanyalah diri sendiri, apakah layak kita menghuni syurga Allah SWT.


Catatan Selepas Kuliah Subuh Oleh Anuar Ali


Matinya sang tikus

Sejak dua tiga hari ini, aku berjaya menangkap beberapa ekor tikus yang sering membuat kacau ganggu di dapur rumahku. Aku ingat tidak kurang dari empat ekor tikus telah berjaya aku perangkap dengan gam tikus. Ketika bangun pagi dan menjengah ke dapur, aku lihat ada tikus terkial-kial di atas getah perangkap tikus itu. Tikus itu aku bawa ke luar rumah dan di sanalah aku pukul ia bagi menamatkan riwayatnya. Aku masih berihsan kerana membunuhnya dengan pukulan. Kalau aku kejam, aku biarkan sahaja ia terkial-kial di atas gam itu sehingga mati sendiri. Mungkin akan berlangsunglah azab siksanya selama sehari dua sebelum mati dengan penuh siksaan.

Sekoyong-koyong aku teringat bagaimana nasib Muammar Ghadafi. Kematiannya tak ubah sebagaimana kematian tikus yang aku perangkap dengan gam tikus itu. Malah, kematiannya lebih sengsara dan lebih hina. Sekurang-kurangnya tikus itu mati di tanganku yang masih punya ehsan belas. Malangnya Ghadafi itu mati dikeronyok oleh pemuda-pemuda kebangkitan yang dibakar api kemarahan ke atasnya. Dia diserat keluar dari lubang tikus, dipukul, berlumuran darah dan kemudiannya ditembak di kepala dan badan. Matilah seornag yang mengaku raja yang menjulang kenagkuhan selama ini.

Video saat Gadhafi diseret berlumuran darah itu boleh ditonton dalam youtube.  Sekali tengok terasa kasihan kepadanya. Namun, kita perlu memahami situasi dim Libya. Golongan yang bangkit menentang pemerintahan Muammar Ghadafi itu telah lama menanggung sengsara. Telah banyak pula nyawa yang terkorban kerana kezaliman dan gila kuasa Muammar Ghadafi.

Kematian Ghadafi itu hanyalah matinya seekor tikus.

HIMPUN tidak ramai

HIMPUN, khabarnya akan mengumpulkan 100 ribu orang. Temanya jauh lebih hebat. Himpunan sejuta ummat. Ketika perhimpunan itu telah berlangsung petang tadi, dilaporkan bahawa jumlah hadirin dianggarkan antara 3000 hingga 5000 orang. Dikatakan juga acara sebagaimana ditentatifkan telah dilewatkan sebanyak 90 minit daripada masa asal kerana menunggu limpahan orang ramai. Namun, hanya sekadar itu sahajalah yang mampu dihimpunkan.

Sokongan terhadap himpun bukan alang kepalang. Kalau dinilai daripada sokongan tersebut, tentu jenuhlah manusia yang membanjiri stadium Shah Alam petang tadi. Tapi, sokongan itu rupanya tidak menjemput orang ramai. Ramai lagi himpunan BERSIH 2.0 yang ditentang oleh ramai orang dan ditambah dengan pelbagai laporan polis.

Aku boleh agak kerana apa himpun gagal menarik limpahan orang ramai. Pertamanya tiada sokongan daripada parti politik, khususnya PAS. Setakat beratus NGO Islam, tidak cukup. NGO ini nama sahaja ahlinya beratus ribu, tetapi yang menggerakkannya hanya berapa kerat sahaja. NGO tidak mampu meng'crowd' manusia.

Mungkin tidak boleh diketepikan juga ialah faktor PERKASA dan penglibatan ahli politik buangan seperti Zul Nordin dan Ezzam yang dikatakan akan hadir bersama.  Mereka ini memang membawa sial. Di mana mereka ada, orang ramai akan surut. Mereka ibarat asap nnyamuk. Malah mereka ini ibarat bau tikus mati. Sebab itu orang tak suka datang ke majlis HIMPUN.

Jalan sudah mati.

Saturday, October 22, 2011

Keluhan buat Bashar

Ya Bashar! Berita terbunuhnya Ghadafi bukanlah sebuah basyir buatmu. Awaslah....giliranmu akan sampai. Kekejamanmu membunuh rakyat Syria pasti akan dibalas. Tidak ada seorang diktator yang boleh bermegah untuk kekal berkuasa. Lebih-lebih lagi setelah angin kemarahan rakyat telah berubah menjadi ribut kegelisahan berbaur kebencian. 

Ya Bashar! Sayangi wajahmu yang hansome dan penampilan bergayamu. Berhati lembutlah dengan rakyat dan sekurang-kurang takutlah intipan malam dari takdir yang pasti berlaku. Tidak aa ruginya jika kamu berundur dari hilang nyawamu dan di akhirat  terhumban pula ke dalam neraka!

Ceramah di kampung Sundang Laut.

Semalam aku menyampaikan ceramah di kampung Sundang Laut. Aku ceramahkan pasal berjuang untuk Islam demi meraih cinta Allah SWT.  Aku ceritakan selembar sejarah Islam secara ringkas, jatuh bangunnya, untuk melihat bagaimana sunnatullah dalam perjuangan Islam. Pada akhirnya. aku menegaskan bahawa perjuangan Islam akan meraih kemenangan. Ini dapat dibuktikan dengan tumabangnya satu demi satu taghut dalam negara Islam. Terbaru adalah terbunuhnya Muammar Gadafi, pemimpin otokrasi Libya yang sekian lama diburu.

Alhamdulillah...semoga roh Islam akan marak di kampung Sundang Laut. Bukan sekadar roh beramal ibadat yang dituntut Islam, tetapi roh perjuangan Islam. Alahumma Ya Allah...tancapkan Islam perjuangan di dada warga Sundang Laut.

Friday, October 21, 2011

HIMPUN untuk Islam atau...

Aku rasa, penganjur HIMPUN adalah adik beradik Jais. Jais ini pula, sungguhpun sebuah institusi Islam, ia mewarisi watak otoritorian yang pernah menjadi perangai institusi gereja di Zaman Gelap dalam sejarah Eropah. Jais menolak ikhtilaf dan hujah. Apa yang menjadi ukurannya adalah kuasa. Dengan kuasa, Jais memaksakan orang lain agar mengikut kehendaknya. Keadaan menjadi lebih buruk apabila Jais sebagai institusi agama menjadi tunggangan orang politik untuk kepentingan politik ananiah mereka.

Aku tidak melihat agenda HIMPUN sebagai agenda Islam.  Ia tidak ada kaitan dengan Islam dan Islam tidak menyuruh HIMPUN untuk berhimpun  buat memerangi murtad. Perhimpunan itu hanyalah topeng buat menutup wajah buruk di sebaliknya. Lebih-lebih lagi setelah melihat siapa yang beriya-iya mahu menjayakan HIMPUN. Ahli politik buangan dan Menteri UMNO sendiri berkempen untuknya. Apakah makna semua ini kalau ia bukan satu usaha melonjakkan diri sebagai pejuang Islam.

Di satu pihak yang lain, undang-undang murtad tidak pernah disebutkan biarpun sudah bertahun-tahun disarankan.  Apa yang utama tidak diutamakan. Masih bermain di awang-awangan.


Dr. Aziz Bari pohon tualang tinggi.

Aku tidak rasa Dr. Aziz Bari yang digantung tugas oleh pihak pengurusan UIA itu akan terhegeh-hegeh minta supaya dia tidak digantung tugas. Kalau dipecat sekalipun, aku tidak fikir dia akan terhenyak di kerusinya dalam bilik selesa di UIA itu. Apa nak hairan kalau orang dah jadi bijak pandai dan popular pula sepertinya. Kalau dipecat di sini, di sana berderet tawaran menantinya. Razeki Allah SWT bukan dipegang oleh UIA atau mana-mana universiti pun. Kerajaan BN sendiri pun bukan wali dalam soal razeki. Kerja di UIA itu hanya sebagai satu sumber kehidupan. Sumber kehidupan adalah hidup itu sendiri. Selagi hidup, adalah razekinya. 

Persetankan dengan UIA itu. Kalau aku nak nasihat, nasihatku buat Dr. Aziz Bari, tinggalkan UIA. Orang yang cerdik tak layak berada di UIA. Pokok tualang yang tinggi mencecah awan tak boleh tumbuh di UIA. Hanya kangkung parit yang sesuai di sana. Aku percaya Uiniversiti swasta lain berlumba-lumba mahu dapatkan khidmat Dr. Aziz Bari. Hal ini sudah tentu ada dalam pengetahuan Dr. Aziz Bari. Kalau tidak masakan dia berani berumah di tepi pantai.

Profesor di Malaysia ini bersepah. Tapi, bukan semua profesor itu bijak laksana. Dalam Majlis Profesor Negara pun beremut dengan profesor tetapi boleh panggil profesor sahaja. Akal dan minda tidak setara mana. Baru-baru ini MPN tersebut bersetuju bahawa negara ini tidak pernah dijajah. Adalah hujah-hujah yang digunapakainya. Tapi, budah darjah enam pun pening-pening dengar hujah si bocah melawak seperti itu.

Khabarnya rektor UIA itu ahli Majlis Agama Islam Selangor. Kalau sudah jadi ahli majlis, bersembah setia habislah kepada Sultan yang berada di atasnya. Ditambah pula kalau fikrahnya seperti fikrah pemerintah yang mencengkam organisasinya. Sebab itu, jadi ahli Majlis Agama Islam lebih dekat membawa diri menjadi ahli neraka. Bagaimana tidak kalau mempergunakan institusi agama itu untuk kepentingan dunia. Kepentingan dunialah kalau sanggup menafikan peranan ilmu dalam masyarakat dengan memaksa profesor yang berotak cemerlang untuk duduk diam.

Aku, kalau dengar kawan-kawan sudah dapat profesor, aku tak hairan. Akun tak takjub. Tidak juga cemburu. Itu gelaran dunia loka yang tidak memberi makna besar. Berapa banyak profesor yang hanya nama sahaja. Pengait kelapa di kampung nelayan tepi pantai di kuala Terengganu lebih cerdik berbanding dia. Lenbih berani dan berjiwa merdeka kalau nak dibandingkan dengan para profesor kangkung yang bersepah.

Minta maaflah kalau ada profesor yang terbaca tulisanku ini. Aku bukan kata kepada anda profesor kangkung tetapi aku marah kepada profesor yang menjahanamkan nama baik cendikiawan. Kalau anda bukan selengkar kangkung, anda adalah sepohon tualang menjulang awan. Maka, hendaklah dibuktikan dengan praktikal ilmu yang membujur lalu melintang patah.

Contohilah Dr. Aziz Bari!

Thursday, October 20, 2011

Ketakutan satu kenikmatan

Aku menegaskan di penghujung mesyuarat gerakerja pilihanraya semalam, bahawa membawa diri untuk turun ke lokasi di mana para pengundi berada merupakan satu kerja lapangan yang memberikan kenikmatan. Kenikmatan itu hanya dapat dirasai oleh mereka yang melaziminya. Mereka yang tidak sanggup untuk turun ke lapangan mungkin disebabkan beberapa alasan. Mungkin mereka tidak mahu terdedah kerana menyedari keberadaan dirinya sebagai kakitangan awam. Kerana itu timbul rasa takut dalam diri. Sebenarnya, ketakutan itu, bagi da'i adalah satu kenikmatan. Apalah maknanya sebuah kehidupan jika tidak bersulam ketakutan. Orang yang tidak merasa takut tentu tidak merasa nikmat ketika dalam keamanan.

Selain itu, yang tidak bersedia untuk terjun ke lapangan mungkin juga disebabkan merasakan masa hujung minggu adalah untuk keluarga. Setelah hari-hari bekerja disibukkan dengan rutin dalam kerjaya, maka hujung minggu dirasakan masa yang khusus buat keluarga. Jika demikian alasannya, kepadanya kita tegaskan bahawa berjuanglah untuk keluargamu dan hiduplah serta matilah demi keluargamu. Seharusnya, perjuangan demi agama tidak menafikan tanggungjawab kepada keluarga. Demikian pula, perhatian kepada keluarga tidak akan menjadikan kita alpa tentang peranan membangunkan agama.

Semoga Allah memberikan kita pengertian dan istiqamah!

Tuesday, October 18, 2011

Bahana dari anak perempuan.

Dulu, sewaktu anak perempuannya itu berusia 17 tahun, seorang ustaz telah masuk meminangnya. Kini, usia anak perempuannya telah mencecah 27 tahun. Ibu bapanya merasa risau dengan keadaan anak perempuannya itu. Dia telah bekerja di saloon sejak beberapa tahun terakhir ini. Semenjak itu, dia dikatakan berkawan dengan seorang lelaki berbangsa Cina. Kehidupan sosialnya mencurigakan ramai adik beradik. Bila ditanya oleh ibu bapanya tentang apa sudahnya berkawan dengan lelaki Cina ini, dia menjawab bahawa dia belum lagi mahu kawin. Padahal, dia sering dihantar pulang lewat malam oleh lelaki Cina itu. Apa yang berlaku di sebaliknya, saat di luar kawalan ibu bapanya,wallahu a'lam.

Wajahnya bukan tidak cantik. Kalau nak dibandingkan, seiras macam watak bernama Mari Mar dalam telenovela Filipina bertajuk Mari Mar yang ditayangkan dalam TV3 setiap Isnin hingga Khamis. Malah, kata sahabat yang menceritakan kisah ini kepadaku, wajahnya lebih cantik daripada Mari Mar itu. Aku sendiri tidak tahu macam mana rupa Mari Mar kerana aku bukannya minat dengan telenovela itu atau mana-mana telenovela pun. Aku amat tak suka menonton drama bersiri kerana ia merampas banyak masaku.

Aku teringat apa yang nabi Muhammad SAW sabdakan sebagai peringatan buat ibu bapa.
إذا خطب إليكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوا تكن فتنة في الأرض وفساد عريض

"Apabila datang meminang (anakmu) kepada kamu seorang lelaki yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka hendaklah kamu kahwinkannya dengan anakmu.Jika kamu tidak melakukannya,akan terjadilah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar".
(Hadis riwayat Turmizi dan Ibn Majah)

Kini, temanitu bercerita bahawa kehidupan anak gadis pasangan ibu bapa tersebut  menempa jalan berdosa. Dia bekerja di saloon. Pakaiannya jangan diceritakan lagilah.Tanapa segan silu, dia sudah membudayakan skirt. Bukan lagi pakaian wanita timur. Jauh sekali busana muslimah.  Rambutnya sentiasa berwarna. Berteman (mungkin bercinta) pula dengan lelaki bukan Islam berbangsa Cina. Sudah enam tahun mereka begitu.  Amal Islam seperti solat tidak payah ceritalah. Jauh panggang dari api.

Apa yang menimbulkan rasa kasihan, bapanya adalah seorang yang rajin mengerjakan solat. Bapa yang baik. Malangnya hilang kendali untuk membetulkan ketempangan anak gadisnya yang seorang ini. Maka, jadilah jalan yang diambil oleh si bapa dan si anak terpecah bagai dua cahaya yang tidak akan menemui titik yang sama. Kalauikut hukum agama, kesolehan seorang bapa tidak ada maknanya kalau dibiarkan anaknya bergelumang dengan dosa. Sementelahan anak gadis dan tidak pernah pula diberi teguran. Di akhirat, sekalipun si bapa sudah berada di ambang syurga, dengan sebab permasalahan anak, kemasukannya ke syurga akan terhalang.

Aku fikir fitnah telah menimpa ibu dan bapa perempuan itu. Fitnah juga terjadi dalam masyarakatnya. Entah apa lagi fitnah yang bakal terjadi seterusnya. Kerosakan yang besar sedang membiak. Menyelak sejarah silam, keengganan ibu bapa menerima pinangan sang ustaz untuk anak mereka dahulu adalah satu pelanggaran terhadap peringatan Nabi. Maka, beginilah akibatnya. 

Justeru, ibu bapa yang ada anak perempuan, perhatikan siapa yang datang meminang anak perempuanmu. Jika kamu lihat kebaikan pada agama dan akhlaknya, usah pedulikan tentang dunianya. Biarlah hartanya tiada, orangnya tiada rupa, semua itu dunia belaka. Kayu ukur Islam adalah agama. Jika lelaki itu baik budi bahasa, menegakkan solat..memadailah. Itulah harta yang tiada tolak bandingnya. Itulah secantik rupa dalam dunia.

Allahumma ameen...berikan pasangan lelaki yang baik agama dan akhlaknya buat anak perempuanku di satu masa kelak.

Monday, October 17, 2011

Umur yang menjadi istidraj

Telah masyhur riwayat yang menyebutkan bahawa semasa hayat Ust Fadhil Noor, presiden Pas yang terdahulu sebelum Tg. Hj. Hadi Awang, beliau mendoakan agar Tun Dr. Mahathir dipanjangkan umurnya. Demikian itu adalah supaya beliau dapat menyaksikan kesan daripada kebejatan yang dilakukannya sepanjang pemerintahannya. Termasuk juga mendapat karma atas apa yang telah dilakukannya.


Kini, umur Tun Dr. Mahathir itu sudan melewati 80 tahun. Dia masih sihat dan masih aktif dalam politik walaupun sudah tidak berjawatan dalam negara maupun parti yang dulunya dialah presidennya. Ada orang yang membencinya dan ada yang masih ta'sub kepadanya. Demikianlah ragam dunia. Setiap kebencian, adalah kesayangannya.

Namun, jika kita perhatikan, kepanjangan umur Tun Dr. Mahathir itu merupakan salah satu bentuk istidraj yang dikurniakan Allah SWT. Miski dia sudah tidak berada di atas tampuk pemerintahan, kebenciannya kepada tokoh-tokoh dalam perjuangan Islam masih terserlah. Sikapnya terhadap undang-undang hudud tidak berubah. Dia juga sudah lupa banyak perkara. Apa yang didendangkan dulu kini ditentangnya. Dia pernah menyerang raja-raja Melayu dan melancarkan kempen perlucutan kuasa prerogatif raja-raja Melayu. Kini, dia kembali marah kepada sesiapa yang mengkritik raja Melayu, seperti kejadian terbaru melibatkan Aziz Bari.


Ya Allah...Kau simpankan umur Dr. Mahathir itu untuk 50 tahun lagi...

Momokan derhaka sudah lapuk.

Prof Dr. Aziz Bari dilebelkan oleh Dr. Mahathir sebagai kurang ajar kerana mengkritik tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam kes yang melibatkan sebuah gereja Methodis di Damansara Utama baru-baru ini. Beberapa laporan polis juga dibuat oleh pihak tertentu ke atasnya. Beliau kemudiannya dianggap derhaka kepada raja.

Di zaman Tok Kaduk dulu,  kalau derhaka raja hukumannya sangat berat. Diriwayatkan dalam sejarah Melayu, Hang Jebat yang derhaka kepada Sultan Melaka, setelah kematiannya,rumahnya dicabut tiangnya dan dibuang ke laut. Termasuk juga tapak rumahnya dikorek dan dibuang ke laut. Begitu cemar dan najis kalau derhaka raja. Itulah tahap pemikiran orang Melayu di zaman itu. Sehingga apa sahaja yang raja buat, betul semua. Tun Biajid yang pulang dari misi khidmat buat negeri Melaka, ketika sampai di pintu pagar rumahnya, dilihatnya raja Melaka baru keluar dari rumahnya. Dia pun tahu bahawa raja tersebut telah bermukah dengan isterinya. Hanya sekadar mengisar ulu keris, dia disabarkan oleh khurafat pantang derhaka.

Hari ini, di zaman milineum,masih ada lagi Melayu yang bercakap dengan bahasa yang sama. Otak kemetot dan sukar berfikir waras.Raja dianggap maksum dan tidak boleh dikritik. Macam zaman Gelap di eropah dulu. Di kala itu, kuasa gereja yang dilihat maksum dan lebih tinggi dari kuasa raja. Apa sahaja yang gereja buat, hatta raja pun kena taat.Lalu,masyarakat tinggal dalam gelap sehinggalah muncullah zaman "renaissance".

Sunday, October 16, 2011

Sultan Brunei Contoh Ulil Amri

Sultan Brunei dilaporkan positif terhadap perlakksanaan undnag-undang Syariah dalam negerinya. Katanya masanya sudah tiba untuk melaksanakan undang-undang tersebut. Itu barulah Sultan yang memelihara agama Islam. Bukan cakap kosong untuk memelihara Islam, tetapi undang-undang Islam tidak dibela.

Kekadang, orang kita ini merasakan kedudukan Sultan itu lebih hebat dari Islam. Islam berada di bawah Sultan. Padahal, tiada sultan jika Islam tidak dianut masyarakat Melayu.

Kampung MPS

Jaulah hari ini ialah ke kampung MPS. Aku bersama kumpulan TPJ dan beberapa individu lain. Kampung MPS tidak seindah namanya. Ia hanya sebuah nama kampung haram yang disandarkan nama kepada MPS. Aku kira MPS sendiri tidak memberi jaminan survival kampung tersebut. Ini dapat dilihat daripada nombor-nombor yang telah ditulis di setiap buah rumah. Ketika ditanya kepada beberapa penduduk kampung, kata mereka itu adalah nombor bancian. Aku bercakap dengan teman serombongan bahawa bancian itu adalah pra pemusnahan. Sebagaimana nasib rumah setinggan di merata tempat seluruh Sandakan, demikianlah rumah-rumah di kampung MPS itu. Begitulah anggapanku.

Di Sandakan, malah aku kira seluruh Sabah, kerajaan sangat liat untuk memberikan hak pemilikan tanah buat tempat tinggal untuk rakyat. Jika rakyat meneroka sesebuah penempatan, penempatan tersebut akan terus dibuarkan statusnya haram. Bila sampai waktu kerajaan ingin membangunkannya atau menyerahkannya kepada mana-mana pihak termasuk taukey-taukey Cina, ia akan serahkan tanpa memikirkan lagi nasib rakyat yang telah menempatinya puluhan tahun. Apa yang berada dalam kepala pemimpin politik itu ialah bagaimana memaksimakan kekayaan dan hasil negeri. Dengan itu, mereka sendiri akan kaya. Sedangkan rakyat tinggal miskin.

Thursday, October 13, 2011

PPZ...apa ni?

Bukan sekali aku dengar orang dari PPZ  mengatakan bahawa keluarkan zakat kepada pihak lain selain PPZ sebagai tidak sah. Terbaru, seorang kawan memberitahuku bahawa ketika dia menalifon PPZ Sabah menanyakan tentang kadar wajib zakat bagi simpanan barang perihiasan emasnya, dia diberitahu bahawa jika zakatnya itu diberikan kepada sasaran secara sendiri, itu akan hanya dianggap sebagai sedekah biasa. Yang menjadi zakat,hanya jika diserahkan kepada PPZ. Ini tentu mengelirukan.

Logik mudah yang aku tegaskan kepada kawanku, tanyalah PPZ itu, apakah hukumnya zakat yang telah diberikan kepada fakir miskin dan lain-lain mustahaqqin oleh meeka yang hidup di zaman sebelum ada PPZ itu? Mungkin jawapan yang diberikan ialah ia zakat kerana belum ada Pusat Zakat. Sekarang, sesudah ada Pusat Zakat, ia tidak sahlagi. Kalau begitu, hukum Islam berubah mengikut zaman? Yang dulu hram mungkin halallah sekarang?

PPZ  ini gelabah sahaja. Mahu kaut untung lebih. 

Monday, October 10, 2011

Kampung Sundang Laut

Menyelit masuk ke perkampungan Sundang Laut hari ini, memeberikan pengalaman baru kepadaku dan teman-teman semisi. Sebuah perkampungan yang sebahagian besar rumah-rumahnya dibina di atas air. Selama hampir  8 tahun aku berkelana di bumi Sandakan, inilah kali pertama  masuk ke perkampungan itu. Letaknya di kawasan Batu Sapi.  Rata-rata penghuninya adalah bangsa Melayu dari suku-suku seperti Bajau, Suluk dan Bugis. Terdapat ramai juga yang merupakan pendatang asing yang ketika ditanya mengatakan pemegang pasport. Tidak tau sejauh mana meeka memiliki pasport. 

Ketika bertemu dengan pakcik Hussin, dia mendakwa dia adalah pengerusi masjid Al-Hassan.  Dia membukakan pintu untuk kami meninjau di dalamnya sambil menawarkan kepada kami untuk mengadakan kuliah dan ceramah.

Di kampung Sundang Laut ini juga, menurut salah seorang warganya ketika ditanya, terdapat 10 unit rumah PPRT yang dibina di bawah projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.



Saturday, October 08, 2011

Sumber kebahagiaan

Kebahagiaan dalam dunia, menurut apa yang disabdakan nabi SAW, terletak kepada 3 perkara yang manusia miliki. Tiga perkara itu ialah isteri yang solehah, rumah tangga yang selesa dan jiran yang baik. Tiga perkara paling dekat dan sangat mempengaruhi mood seseorang. Sebab itu, jika salah satu daripadanya hilang daripada kehidupan seseorang, akan cacatlah kebahagiaannya.

Bukan semua orang mempunyainya. Kekadang, seseorang itu ada isteri yang solehah, tetapi hidupnya di rumah yang tidak selesa. Tidak selesa bukan sebab sempitnya tetapi kerana hilangnya sifat-sifat sebuah rumah yang selesa seperti, luas, memberikan istirehat dan menjaga diri daripada bahaya. Ada yang ada rumah selesa tetapi jiran pula bermasalah. Hilang juga kebahagiaannya. Sekalipun ada semuanyanya, kalau isteri pula membuat onar, manakan bahagia juga.

Ya Allah...kurniakan aku kebahagiaan mengikut apa jalan yang kau takdirkan!

LCD Projector dan Kuliah IT

Hari ini, aku melunaskan amanah yang diberikan oleh pengerusi masjid Al-Fajr untuk membelikan sebuah LCD Projector bagi kegunaan masjid. Setelah meninjau pelbagai jenama yang ada di kedai-kedai komputer yang popular di Sandakan, aku mengambil keputusan untuk membeli LCD Projector berjenama NEC. Harganya ialah RM1499.00

Insya Allah, malam ini LCD Projector tersebut akan dirasmikan penggunaannya oleh Cikgu Mahadir menyampaikan kuliah IT yang pertama. Semoga dengan mewujudkkan kuliah IT ala kuliah maghrib ini akan menarik minta generasi muda untuk menggantungkan hati di masjid.

Naila Amani

Adikkku yang bongsu baru melahirkan anaknya yang pertama. Dia mengirimkan pesanan ringkas melalui handphone bertanyaku tentang maksud nama Haifa Batrisya.  Mungkin kerana dia berkira-kira ingin meletakkan nama tersebut.  Aku katakan nama tersebut sukar bagiku mencari maknanya. Dalam buku nama-nama yang baik untuk anak, nama tersebut diertikan sebagai perempuan langsing yang cerdik dan pintar. Tetapi nama Haifa itu menemukan aku dengan nama seorang model, pelakun dan penyanyi Arab Labenon yang seksi bernama Haifa Wahbi. Haifa juga adalah nama sebuah  bandar utama di antara bandar-bandar dalam negara haram Israel. Sementara Batrisya yang dikatakan bermaksud cerdik dan pintar, aku belum dapat mengesahkannya. Rasanya perkataan itu bukan asli bahasa Arabnya. 

Maka, aku menawarkan beberapa nama pilihan yang lain. Antaranya Naila Amani, Naila Ulya, Wafa Wahidah, Safwa Salimah, Ruhah Raihanah, Nafisah Bararah dan A'yan Tsabitah. Akhirnya adikku memilih nama Naila Amani. Aku menterjemahkannya sebagai mencapai cita-citaku. Kira bolehlah diterima.

Semoga Naila Amani menjadi anak yang solehah. Allahumma Ameen!