CARI BAHAN

Tuesday, June 09, 2015

Jiwa Besar

Aku tidak pasti, berapa ramai lagi yang memendam rasa selepas berakhirnya Muktamar Pas di Kuala Selangor. Seorang bekas penyanyi tersohor, Wan Aisyah binti Wan Arifin telah menolak cubaan Dewan Muslimat yang baharu untuk melantiknya memegang portfolio Kesenian, kebudayaan dan rekreasi dengan sindiran agar lantiklah ustazah dan jangan dicari seekor jeebon. Hatinya memang terluka dan dia percaya bahawa yang melukakannya adalah golongan yang mendakwa diri sebagai ulama dalam Pas. Pas kena akui bahawa banyak orang lari meninggalkannya. Seawal Tamrin Ghafar, kemudian Mohamad Taib yang sedang berkira-kira, kemudian entah siapa lagi. Masa akan mengajar kita dan menyedarkan.

Golongan ulama bukan ada sentuhan Midas. Pas memerlukan para seniman, karyawan, profesional bahkan para pelacur di lorong gelap untuk menjayakan misi perjuangan. Pas tidak cukup dengan lelaki lebat janggut berbalut serban di kepala serta meleret jubah Arab.Itu kerana Pas bukan sebuah kelab tetapi pas adalah sebuah gerakan dakwah dan politik. 

Sayangnya apa yang telah meletus pasca muktamar tidak dapat memperlihatkan keterbukaan itu untuk khalayak, khususnya yang baru masuk Pas kerana tertarik atas faktor-faktor yang pelbagai sebelum peristiwa muktamar di Kuala Selangor. Kelukaan para pendatang baru dalam jemaah Pas tidak boleh dipicing mata dengan hati keras bak sebongkah batu karang. 

Aku mengesyorkan agar ulama-ulama yang muqarrabin dalam pas balik ke rumah, berkhulwat dalam kamar sebentar dan lepaskan tangisan sepuas-puas. Minta ampun kepada Allah SWT walau tidak tahu apa dosa sendiri. Rayulah agar Allah tautkan kembali hati manusia kepada jemaah Pas. Jangan diambil hati Bani Israil yang mengkarang lebih keras dari batu.

Mereka yang mengkritik Pas jangan disesatkan. Mereka yang mengancam hendak tinggalkan Pas, pujuklah dan tanya apa salah Pas. Jika mereka senarai 100 kesalahan Pas, mengakulah dan minta maaflah walau diri tidak percaya tuduhan kesalahan itu. Biar hati sakit mendengar tuduhan asalkan untuk jangka masa panjang, untung berlipat buat perjuangan. 

Kalau hendak tahu, itulah namanya jiwa besar. Jiwa besar menuntut mengecilkan keegoan diri. Ketika orang lain lain ego kita merendah diri, itulah kemuncak jiwa besar. Mampukah kita memilikinya??

Syair kuali kepada belanga.

Kata kuali kepada belanga
hitam sekali pantat hangpa
dibakar api diasap jelaga
hilang seri tiada berupa.

Kuali hairan rupa belanga
disangka belanga bernasib celaka
di atas tungku dok buat apa
biar diri dibakar sentiasa.

LIDDUNYA YUSIBUHA.

Orang kata kau cinta dunia
Kau kata dunia yang datang menyerah
Kala duniamu akan sirna
Mengapa lepaskan terasa payah?


Katamu dunia bukan tujuan
Hanya mengharap redha Tuhan
Kenapa bila datang ujian
Kamu takut hilang habuan.

bisa sahaja musang berbalong
Di depan reban berkokok rambung
Bila reban pintu terlohong
Perangai musang tak dapat dibendung.

Tolak dunia bukan di lidah
Cinta akhirat bahasa indah
Diungkap lidah memang mudah
Untuk dibuktikan memang payah.

MIMPI DWI PARTI

Dulu, harapan saya pernah berbunga-bunga. Sebuah harapan mengenai bentuk politik baru di bumi Malaysia yang dicintai ini. Malaysia akan ada dua parti politik yang berlumba-lumba merebut sokongan rakyat. Satu parti namanya Barisan Nasional dan satu lagi Pakatan Rakyat. Jika negara ada dua parti sedemikian, rakyat akan jadi pelanggan yang direbutkan. Apa yang rakyat mahu, itulah yang akan jadi usaha kerajaan supaya sokongan rakyat tidak beralih arah kepada lawan. Dalam situasi yang sebegini, pihak yang untung adalah rakyat. Rakyat jadi tuan dan parti-parti politik akan jadi khadam kepada rakyat.

Saya suka sekali jika impian saya itu jadi kenyataan. Barisan Nasional telah lama memerintah dan banyak juga jasanya. Namun, kerana panjangnya masa, para pemimpinnya jadi lupa dan banyak berbuat yang rakyat tidak suka. Mereka rasa tetap selamat dan tiada sesiapa yang boleh berbuat apa-apa ke atas mereka. Mereka berlagak sebagai tuan dan rakyat perlu mengikut apa yang mereka mahu dan bukan mereka yang mengikut kemahuan rakyat.

Ketika Pakatan Rakyat berjaya direncah, dan kekuatan baru mula beraksi dalam arena politik Malaysia, saya rasa gembira. Impian masa depan politik Malaysia berbunga-bunga dalam dada. Aku bangga melihat kemunculan para aktor politik yang cekap dan faqih dalam mencanai ramuan ke arah merealisasikan konsep dwi parti dalam amalan politik demokrasi di Malaysia. Dalam proses menuju kepada kesempurnaan konsep dwi parti yang diharapkan, banyaklah sudah faedah yang dapat rakyat cicipi. Tidak perlu disebut satu demi satu perubahan yang terjadi hasil perlumbaan sihat orang-orang politik.

Bila orang politik yang membodek rakyat saban musim pilihanraya, tahu-tahu sahajalah keistimewaan menjadi seorang rakyat. Banyak projek terpaksa disalurkan untuk rakyat. Kocek rakyat terpaksa dikembungkan dan kocek pemimpin pula mahu tak mahu kenalah dikempiskan. Rakyat pula makin faham dan bijak soal-soal ekonomi negara, pentadbiran, hubungan antara kaum dan macam-macam isu yang sebelum ini tidak terdedah untuk mereka. Rakyat jadi cerdik dan bukan lagi hanya pak turut.

Itu harapan saya dulu. Kini, sebelum harapan saya benar-benar jadi nyata, saya mula ragu-ragu apakah ia akan berhasil sebagaimana yang dimpikan. Melihat cekcok yang terjadi dalam Pakatan Rakyat, saya mula rasa kecewa. Konsep dwi parti yang diharapkan seperti sedang menempa kegagalan dan kehancuran. Parti Pas, DAP dan PKR yang pernah berikrar untuk sederap selangkah melawan Barisan Nasioanl untuk menawan Putrajaya akhirnya mula bertengkar di gerbangnya. Soal siapa yang akan jadi ketua mula diperdebatkan. Kecemburuan dan ketidakpuasan hati tentang pembahagian ghanimah yang terhasil sedikit sebanyak di medan tempur yang lepas, mula mengambil tempatr dalam hati masing-masing. Ia dibiarkan menular dan tidak cuba diselesaikan. Malah dari sifat kepahitan jadamnya ia mula dikulum sebagai halwa.

Isu-isu kecil mula jadi besar. Penat jerih menyerbu hingga ke gerbang Putrajaya mula diganggu persoalan ketentuan Tuhan dan takdir ilahi. Seolah-olah dari akidah Ahli Sunnah yang percaya perlunya usaha ikhtiar, mula beralih kepada iktikad Jabariah yang menyandarkan hanya kepada ketentuan takdir. Akhirnya bergaduh dan bertengkar, riuh bagai kucing jantan berebut kucing betina di waktu dini.

Saya benar-benar hampa dengan kepongahan ini. Saya mahu, janganlah diberatkan perjalanan dengan persoalan-persoalan yang menghasut. Biarlah yang picisan diselesaikan kemudian dan tidak mengganggu fokus. Saya mahu para aktor politik jadi budiman dan bukannya halimunan. Bukan juga selalu geli geleman. Bukan juga berlagak samseng seperti preman.

Kini, setelah melihat tragedi akhir porak perandanya hubungan antara Pas dan DAP khususnya, aku mula membaca "sadaqallah" dan tidak betah lagi menanam harapan wajah politik baru yang diimpikan. Rupanya sehingga tahap ini, aku hanya bermimpi. Maka, kembali sahaja kepada realiti. Lain kali untuk lain generasi, impian dwi parti itu diusahakan lagi. Selagi perjuangan dalam demokrasi jadi pilihan ijtihadi, harapan itu akan tersemat di hati.

Collateral Demages

Aku sukar menerima dolak dalik yang melarang pemimpin Pas Pulau Pinang untuk melepaskan jawatan lantikan politik mereka di Pulau Pinang. Kononnya Majlis Syura Ulama belum buat keputusan dan ahli Pas tidak boleh mendahulu Majlis Syura Ulama. Usul memutuskan hubungan dengan DAP telah pun dikeluarkan  oleh Dewan Ulama Pas Pusat dan ia telah pun sampai ke pendengaran pemimpin DAP. Apabila LGE memberi respon dengan mengatakan pihaknya mengalu-alukan perletakan jawatan para pemimpin Pas dari posisi mereka di Pulau Pinang, dikatakan pula bahawa usul putus hubungan itu belum diputuskan oleh Majlis Syura. Keputusan Majlis Syura bukan penting buat pemimpin DAP. Wala' mereka bukan kepada Majlis Syura Ulama Pas. Pada mereka, cukup dengan usul itu dan mereka tahu bahawa usul itu ada dan diterima oleh muktamar. Diterima tanpa bahas atau dengan bahas juga tidak penting.  Apa yang penting, usul itu telah mencabar mereka.

Sekarang nak tunggu apakah keputusan Majlis Syura mengenai usul tersebut. Kononnya usul itu akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama tentang cara perlaksanaannya.

Bandingan mudahnya begini. Dalam hal akidah, bila seseorang itu berkata: "Aku berkira-kira untuk keluar Islam dan masuk Kristian, tapi aku nak bincang dulu dengan isteri aku", maka sebenarnya ungkapan tersebut telah pun menyebabkan penuturnya murtad. Tidak perlu lagi menunggu selesai perbincangannya dengan isterinya. Sekalipun setelah berbincang dengan isterinya dan diputuskan tidak jadi keluar Islam dan masuk Kristian kerana dibantah keras oleh isterinya, dari segi hukum, sang penuturnya telah pun murtad. Dia perlu bertaubat dengan kembali memperbaharui syahadahnya.

Begitulah halnya dengan usul memutuskan hubungan dengan DAP itu. Tak perlu tunggu hasil perbincangan Majlis Syura Ulama. Ketika ia diusulkan dalam muktamar, hubungan itu telah pun putus. Bukan diri sendiri sahaja yang menuntukkan duduk satu-satu perkara. Pihak lain juga punya hak untuk memutuskan. Majlis Syura Ulama Pas bukan pemutus kata untuk kelangsungan hubungan dengan DAP atau Pakatan Rakyat kerana DAP dan PKR juga punya hak dalam melangsung atau menamatkannya.

Apa yang aku nampak, keputusan Dewan Ulama Pas Pusat itu adalah gopoh dan keputusan tidak habis fikir tentang kesan politik daripadanya. Kini, setelah usul itu terbit dan diperbincangkan hangat di media sosial, kerosakan yang terhasil adalah di luar jangkaan. Orang putih kata " Collateral Demages". Nak buat macam mana lagi nak pulihkannya. Mau tidak mahu, demi menjaga maruah diri, langkah perlu diteruskan. Dalam ilmu Allah sudah ditentukan sama ada Pas akan kekal dalam Pakatan atau tidak. Berundur semula belum tentu menyelamatkan diri tetapi maruah jatuh, sudah hampir pasti. Pilih antara dua dan memang ini adalah pilihan yang amat sulit.

Syura ِAkbar

Pada zaman nabi, tiada muktamar. Muktamar ini istilah kemudian hari. Tidak tahulah kalau ada muktamar di zaman Khalifah Ar-Rasyidin. Setahu aku tiada. Demikian pada zaman-zaman pemerintahan khalifah-khalifah berikutnya dalam dinasti yang mewarisi kekuasaan yang menerajui pemerintahan kaum muslimin. Pada sangkaanku, muktamar hanya diwujudkan bila gerakan Islam mula ditubuhkan dan mengorak langkah sebagai daya baru dalam negara kaum muslimin.

Gerakan Islam melahirkan banyak produk hasil daripada ijtihad baru dalam gerakerja Islami. Muktamar adalah salah satunya. Usrah, Tamrin, Syu'bah-syu'bah yang beraneka dan termasuklah juga Majlis Syura. semua ini adalah produk baru dan lama bila amal Islami digerakkan dalam bentuk jemaah dan harakah Islamiyyah.


Pada zaman nabi dahulu, Syura berlaku melibatkan nabi dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Walaupun Quraisy merupakan kaum dominan yang melibatkan sahabat muhajirin, nabi tidak mengenepikan kaum Ansar dalam syuranya. Banyak catatan siirah yang mana pada saat-saat kritikal, nabi SAW menantikan pandangan dari kaum Ansar.

Syura di zaman nabi SAW, begitulah. Kalau kita adil dalam menterjemahkan maksud syura, maka muktamar yang diadakan adalah sebuah Syura yang paling otentik. Keupayaan muktamar untuk mendapat keberkatan dalam Syura sebagaimana yang disarankan oleh Al-Quran adalah lebih berbanding apa yang mampu dicapai oleh syura yang diekslusifkan sebagai sebuah majlis.

Seharusnya muktamar ditafsirkan sebagai sebuah Syura Akbar yang mana para perwakilan diberi penghormatan dan kepercayaan untuk membahaskan sebarang isu yang dipermasalahkan. Menafikan hak mereka dengan tanggapan bahawa bahawa mereka tidak layak membahaskan persoalan hukum, pada hemat saya, merupakan perlecehan terhadap kredebiliti para muktamirin sebagai anggota Syura Akbar..

Ya Habibi ya Maulana...harap diampun kerana saya terpaksa berbeza pandangan...

Monday, June 08, 2015

ULAMA DAN PROFESIONAL

Aku menimbang-nimbang sama ada mahu menulis hal ini atau tidak. Ia persoalan yang diperdebatkan orang dalam Pas. Persoalan inilah yang menimbulkan polimik sebelum muktamar dan selepasnya. ia adalah berkaitan dua istilah yang dipolarisasikan sehingga nampak bergeser dan bertembung.

Itulah mengenai ulama dan profesional. Jika aku tidak mahu dipandang serong, lupakan sahaja pandanganku dan tanam sahaja dalam dasar sanubari. Tetapi, aku rasa perlu kongsikan buat membetulkan jalan fikir yang salah dalam memahami makna ulama dan profesional.

Pertamanya berkenaan profesional. Mulanya aku terilham daripada pandangan seorang veteran Pas. Ianya ketika kami berbincang mengenai apa yang disifatkan sebagai penyingkiran golongan profesional dalam Pas berikutan muktamar Pas baru-baru ini. Ada orang berhujah bahawa AJK Pas yang baru masih mempunyai profesional. Beberapa individu dalam AJK Pas Pusat disenaraikan bersama kelulusan mereka dalam bidang-bidang konvensional untuk membuktikan kewujudan golongan profesional dalam AJK Pas Pusat yang baru.

Veteran Pas yang aku bawa berbincang itu menyatakan bahawa profesional dalam Pas bukan dilihat kepada kelulusan akedemik. Profesional dilihat dari cara kerja untuk jemaah dan parti. Orang yang bekerja dengan cara profesional dengan erti kata kemas, tersusun dan berstrategi sehingga menghasilkan KPI yang dikehendaki, itulah seorang profesional. Mendakwa secara boros bahawa asalkan seseorang itu bukan seorang lulusan agama maka dia adalah seorang profesional adalah dakwaan yang naif.

Oleh kerana itu, profesional dalam Pas bukan ramai. Perancang, strategis dan arkitek yang membangunkan Pas bukan ramai. Mereka itulah profesioanl. Ramai yang lain adalah yang menjalankan misi mengikut rancangan. Mereka bukan profesional. Hendak panggil profesional, kena tengok hasil kerjanya dulu.

Demikian pula, yang keduanya ialah mengenai istilah ulama. Bukan sahaja asal mengaji agama, lulus ijazah sarjana muda agama, ada master bidang agama hatta buat PHD dalam bidang agama, maka orang itu sudah dipanggil ulama. Hendak digelar ulama mestilah mempunyai kefaqihan yang tinggi. Kalau dalam Pas, kefaqihan hendaklah dalam ilmu politik Islam kerana itulah bidang kerja dalam pas. Kefaqihan seorang ulama dalam Pas juga perlu ada KPInya untuk melayakkannya digolongkan sebagai ulama. Buah fikirannya hendaklah melambangkannya sebagai orang faqih mengenai seni politik islam. Faqih seorang ulama Pas bukan menghafal halal haram. Itu sifat ulama dalam feqah. Pas bukan mazhab feqah tetapi pas adalah mazhab perjuangan.

Oleh kerana itu, ulama dalam Pas tidak ramai. Orang yang melahirkan buah fikiran sebagai bimbingan agama memandu perjuangan Pas bukan ramai. Buah fikiran agama itu pula membawa kemajuan kepada politik Islam sehingga membakar semangat jihad para petugas dan mengkesimakan musuh. Orang macam ini dalam pas bukan ramai. Mereka itulah ulama.

Tentu mencari ulama seperti itu dalam Pas sukar sekali. Jumlahnya kecil. Jumlahnya tidak semeriah ahli Dewan Ulama. Jumlah ulama lebih sedikit dari profesioanal kerana nak jadi ulama lebih susah daripada profesional. Profesinal berkaitan cara bekerja sedangkan ulama adalah cara berfikir.

Cuba tanya anda, apakah cara anda bekerja. Apakah sudah pantas digelar profesional? Tanya juga apakah cara anda berfikir. Layakkah anda digelar ulama?

Sunday, June 07, 2015

Jagalah harkat waktu musibah

 
 
Biar aku beri sedikit nasihat
bagi yang punya lidah malaikat
bila bicara biarlah berhemat
tutur dan tulis peliharalah harkat.

Nabi mulia telah beri ingat
kalau melawat orang sakit tenat
jangan cakap yang menambah gawat
jangan tambah sakarat di atas sakarat.

Ucap yang baik berikan ketenangan
berikan harapan umur dilanjutkan
jangan dikata habislah tuan
sudah datang tanda kematian.

Miski anda melihat tanda
si sakit sudah hampir ajalnya
patah hidungnya layu telinganya
sejuk kakinya pendek nafasnya

Janganlah anda tambahkan gundah
walau si sakit tak dengar sudah
kaum keluarga mendengar madah
kelak mereka berhati susah.

Biarlah aku berikan sedikit nasihat
bagi mereka yang punya lidah malaikat
di kala melihat bencana musibat
janganlah dibaca ayat kifarat.

Ketika kampung halaman musnah
ladang dan ternak banyak punah
jiwa warga sedang patah
datanglah sambil tunduk ke bawah.

Usah datang bawa ingat
waktu orang perlukan pengat
masa lain di lain tempat
bacalah ayat semua yang diingat.

Ilmu di dada biar dipimpin siasat
lihat suasana dengan makrifat
tidak semua yang namanya hakikat
diberitahu orang di semua tempat.

Jangan ditambah garam atas luka
ketika fitnah masih bermaharajalela
baru selesai perang saudara
belum sembuh semua luka.

Syura bukan sebuah Majlis.

Aku nak cerita pada siapa? Aku cuma seorang manusia biasa. aku bukan seorang ulama mulia. Aku juga bukan seorang ahli Majlis Syura. Kerana itu, aku tidak pandai soal hukum. Beberapa tahun yang lalu, aku pernah jadi perwakilan dalam muktamar. Tahun ini, aku cuma pemerhati sahaja. Tapi, pada tahun ini aku tumpang terkejut bila dinyatakn bahawa soal tahalluf siyasi adalah soal hukum. Kerana ia soal hukum, usul Dewan Ulama supaya diputuskan hubungan dengan DAP tapi kekal dalam Pakatan Rakyat dibahaskan dan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama. Hanya mereka yang ada dalam majlis Syura sahaja yang tahu dan pakar dalam hukum. Para perwakilan dengan pelbagai latarbelakang hanya orang biasa yang tidak layak membahaskan soal hukum.

Itulah yang aku faham. Apa yang aku faham, aku punyalah. Maafkan aku kerana punya pemahaman sendiri dalam soal ini. Aku manusia yang merdeka. Otakku adalah anugerah Tuhan untukku faham. Bagiku, di kalangan ahliu majlis Syura itu, ada yang masih diperingkat adikku. Bukan semua dalam Majlis Syura itu syeikh-syeikh yang berumur dan sarat pengalaman. tak payah aku sebut nama siapa dia. Kalian semaklah sendiri senarainya.

Pada fikiranku, konsep syura telah dieksklusifkan. Islam suruh sesuatu urusan itu diputuskan secara syura. Tiada nas yang suruh diputuskan oleh sebuah majlis yang ditampalkan stiker majlis Syura. Muktamar adalah sebuah syura. Para muktamirin adalah ahli syura. Bukan sekumpulan insan terpilih yang dilebelkan sebagai ulama itu sahaja ahli syura. 

Muktamar adalah sebuah himpunan Syura dan di sanalah sesuatu hukum dibahaskan dan diputuskan. Kalau berselisih dan masing-masing telah berhujah dengan dalil-dali yang kuat, maka undilah dan ambillah suara majoriti. Bukankah nabi SAW pernah mengikut suara undi mojoriti dalam syura sebelum lokasi peperangan Badar diputuskan?

Aku minta maaf kerana tidak boleh terima cara berfikir yang mengeksklusifkan majlis Syura lebih dari Muktamar. Sekali lagi, aku tegaskan bahawa Muktamar adalah sebuah Syura. Para perwakilan bukan orang jahil yang patut dinafikan hak mereka untuk membahaskan soal hukum. kalau mereka jahil, buat apa mereka jadi perwakilan. Letaklah harga yang wajar untuk para perwakilan. Lebih-lebih lagi mereka adalah perwakilan sebuah jemaah Islam.

Pencak

" mereka berkata, letakkan dunia di tapak tanganmu, jangan jadikan ia dalam hatimu!", mengungkapkan kata adalah mudah tetapi membuktikannya adalah susah.

Mat Sabu melepaskan semua jawatan lantikan politik ke atasnya di Pulau Pinang. Biar aku beritahu kamu apa yang aku faham. Ini adalah satu pencak politik yang hebat dari Mat Sabu. Para inggusan politik memang terkulat-kulat dengan seni politik yang ditunjukkan oleh Mat Sabu.

Walau tersingkir dari AJK Pas Pusat, Mat Sabu mengucapkan sayonara dengan bergaya. Dalam bergaya itu, ia memberi pukulan kepada para pemburu dunia dalam Pas. Pemimpin-pemimpin Pas Pulau Pinang yang sebelum ini menimbulkan ketidakpuasan hati tentang jawatan-jawatan yang mereka dapat di Pulau Pinang, kini bakal berdepan dengan kehilangan semuanya.


Siapa yang sayang jawatan, teragak-agak untuk ambil keputusan melepaskan dunianya, itulah para penjilat dunia yang menyertai perjuangan. Bukan susah untuk dikenal. Seni politik Mat Sabu itu, jika kita cermati, dapat membongkarkan untuk kita apa yang bersenandung dalam sanubari mereka yang hebat mendakwa sebagai pejuang dan pembela Islam.

Demikianlah Allah menetapkan dalam sejarah, ketika ghanimah direbutkan, Allah mencabut semuanya. Kata orang Melayu, nak untung sekarung tapi rugi seguni.

Ketika ini, jika anda sang Jauhari, kenallah mana satu manikam.

Seloka-Fikir sebelum bicara.

Memanglah sungguh kata pujangga
terlajak perahu undur semula
terlajak kata dapat bencana
menyesal kemudian hilang dunia.

Kerana itu sebelum bicara
berfikirlah dulu walau sejuta
kerana jika sudah terlajak kata
menangung akibat menyesal tak berguna.

Jikalah fikir panjang sejengkal
tunggulah sampai jadi sedepa
biar diperah aqal dan naqal
barulah hasil seharum dupa.

Jika gopoh melempar amarah
habislah maruah akan dijarah
barang di tangan terlepas ke bawah
mahu dipungut amatlah susah.

Lambang berakal jika sabar
umpan musuh cepat sedar
tidak mudah hilang sasar
ocehan orang disambut waqar.

Pahlawan terbilang jika diukur
bukan daripada gagahnya tempur
tapi daripada bijak mengatur
langkah pencak tidak berterabur.

Jika kemarin bicaranya kelat
mengapa kini semanis coklat?
katanya mampu merenangi selat
mengapa takut hutan banat?

Ketika duduk di atas persada
kata tak kisah bersila di tangga
ketika terancam kehidupan selesa
mengeluh cemas berbahasa gulana.

Hebat jalak pada tajinya
hebat ilmu pada amalnya
hebat takwa pada tawaduknya
hebat akal pada panjangnya.

Bukan cerdik pada bicara
bicara boleh mengikut tinta
cerdik dilihat pada cara
bagaimana merungkai kusut sengketa.

Friday, May 29, 2015

Jangan buang orang cerdik

Organisasi akan menjadi hebat jika ramai orang cerdik yang menggerakkannya. 

Begitulah perkembangan Pas dewasa ini. Ada kerja-kerja dunggu sedang dilakukan oleh sesetengah orang untuk menyaring keluar orang-ornag cerdik daripada berperanan dalam Pas. Kononnya, si fulan itu anti-ulama, sekular, liberal dan gelaran-gelaran lain seumpamanya. Maka dengan itu si fulan itu perlu di keluarkan daripada organisasi kerana dia merosakkan organisasi. Seseorang yang layak duduk dalam saf pimpinan organisasi  ialah seorang yang membawa wajah ulama dan yang berkata " saya bersama ulama". 

Orang cerdik, jika disingkirkan, lemahlah organisasi. Kebanyakan orang yang dipanggil ustaz dan kemudian dipakaikan mahkota gelaran ulama bukanlah orang yang cemerlang semasa pengajiannya sama ada di peringkat Ibtida'i dan Tsanawi. Sedikit pula yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat menara gading. Bukan semua, tetapi ramai.

Aku seorang yang dibesarkan dalam aliran agama. Bila keluar Universiti, aku keluar sebagai lulusan agama. Kalau aku tidka jujur, aku akan bela sahaja angkatan yang sealiran denganku. namun, hakikat yang kusaksikan, sejak zaman sekolah menengahku ibu bapa mengirimkan anak-anak pintar mereka ke sekolah berasramaq penuh, kolej, MRSM dan sebagainya. Anak-anak tak cerdik dihantar ke sekolah agama untuk dipulas dan dikilas oleh pak ustaz agar menjadi manusia yang berguna. 

Begitulah senarionya. Bila sudah dewasa, berlakulah pertembungan antara generasi yang ada gen cerdik dengan yang kurnag cerdik.


Monday, May 11, 2015

Mana Mufti?

Dalam keresahan rakyat mengenai isu-isu hangat masa kini, pelaburan hartanah Tabung Haji dan kaitannya dengan 1MDB, Isu GST dan seumpamanya, berbelas mufti dalam negara mengambil jalan berdiam diri. Rakyat mencari pembela dan penyampai hasrat nurani. Jika tampil seorang sosialis sebagai hero pembela rakyat, maka jangan dicela rakyat kerana mengangkat sang sosialis sebagai idola perjuangan.

Tidak menjadi mufti hanya berceramah Israk Mikraj sebagai sebuah perkesahan ajaib yang terjadi atas nabi. Bila tiba hari sambutan tertentu, berbicaralah pula tentang peristiwa bersempena yang disambut. Sebuah cerita yang terputus dari derita yang ditanggung rakyat. Rakyat mengharapkan pembelaan. Maka, muftilah patut di depan sebagai pembela suara rakyat.


Wahai para mufti negara Ahli Sunnah Wal Jama'ah
Apa yang sedang kalian tela'ah?
Apakah sedang menyusun tambahan rukun nikah
atau menambah getah pada bai'ah pemerintah
atau mencari jalan menambah khazanah zakat
agar baitul mal menimbun hingga awan ?

Dari Tempurung Bawah.

Main Golf dan tulis artikel untuk jadikan diri menonjol. kalau sudah menonjol, adalah pihak yang akan melantiknya jadi ahli lembaga pengarah syarikat. Itu adalah sebuah cadangan untuk para wanita daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ini kali kedua cadangan Menteri Wanita tersebut yang membuatkan ramai orang menghantuk kepala ke atas keyboard atau terlepas tangan yang sedang memegang gajit saking terkejutnya. Cadangannya yang sebelum ini ialah mahu menyabitkan ibu bapa yang pukul anak sebagai pesalah jenayah.


Zaman ini wahyu Allah sudah berhenti, akan tetapi wahyu-wahyu syaitan bersimpang siur menerjah ke otak fikir para mutannabi.

Ops, siapa menteri wanita yang kurang menonjol itu? Malangnya saya pun tidak kenal beliau.

Saturday, May 09, 2015

Tumbuk Rusuk: Malaikat Penyelamat.

Siapa yang membocorkan rahsia perjanjian tanah yang dibuat oleh Pihak Tabung Haji dengan IMDB? Siapa lagi? Bukankah masa perjanjian itu dibuat, ada Raqib dan Atid di sebelah. Merekalah yang mendedahkannya. Perkara yang dibuat oleh pihak-pihak yang cuba memeterai perjanjian makar itu sangat besar di mata Raqib Atid sehingga mereka tak sanggup merahsiakannya. Padahal, telah banyak mungkar dan maksiat yang Raqib dan Atid rahsiakan dan hanya sekadar catat dalam buku amal. Rahsia dua penzina bejat, rahsia sang pencuri di malam zulmat dan banyak lagi rahsia perbuatan khianat yang dibuat, Raqib dan Atid tidak dedahkah kepada khalayak.


Namun, yang satu ini, Raqib dan Atib tidak sanggup hanya sekadar mencatat. Setelah dicatat perjanjian khianat dan kitab amal si pembuat, ia kemudiannya dipecah kepada pengetahuan rakyat!

Ketua Polis Negara kata nak siasat. Siasatlah sampai jumpa sang Raqib dan Atid itu. Buat Rakyat, merekalah malaikat penyelamat.

Friday, May 08, 2015

Sampah Jalanan.

Akhir zaman ini, tiada tempat yang selamat. Duit dalam Tabung Haji pun boleh dikencingi. Maka jangan rasa selamatlah duit-duit dalam tabung lain. Tabung masjid pun mereka sanggup perkosa. Bahkan tabung buluh anak tadika kat rumah kita itu pun tak selamat kalau ternampak oleh mata nyalang mereka itu. Mereka itu jenis makan tak kenyang dan jenis keris berlekuk dua belas. Ditusuk makan, ditarik pun makan.

Di lorong Petaling Street sana bersepah orang yang boleh dilantik mentadbir urus Tabung Haji kalau demikianlah tahap pengurusannya.

BILA MUSANG JAGA REBAN AYAM

Memang teruk kalau sereban ayam diserahkan kepada musang untuk dijaga. Dari dulu pun sudah diragui. Mata kami sudah berpicing waktu mereka memilih sang serigala itu untuk menternak domba. Kini, apa yang dibimbangi jadi nyata. Apa diragui itu telah berlaku .

Sebuah tabung yang mengumpulkan wang orang ramai untuk mengerjakan haji telah dikhianati. Dalam diam, ia digunakan untuk urusan belakang tabir yang tidak ada bahasa lain yang sesuai menggambarkannya melainkan pengkhianatan. Setiap pendeposit yang memasukkan wangnya ke dalam Tabung Haji punya hasrat mulia iaitu untuk pergi mengerjakan haji. Dalam keadaan begitu, ada musang dan serigala yang berjiwa buas tidak peduli dosa dan pahala.


Syarikat bermasalah seperti 1MDB itu cuba dibantu dalam senyap dengan membeli aset hartanahnya lebih daripada harga pasaran. Sebenarnya. jika pada harga pasaran sekalipun tidak patut. Wang orang ramai tidak seharusnya digunakan untuk tujuan-tujuan yang sedemikian.

Jika rosak kerana khianat, tiada jalan kemaafan melainkan dipecat.

Belajar dari pengalaman.

Yang menang tak seberapa
yang kalah merana
hari-hari esok tambah gerhana
biarkan sahaja
jangan ada tumpang berduka
ketika melihat serigala terluka
jangan buat-buat lupa
segala buasnya
masa meratah mangsa.


Ada riak di muka muara
kerana ikan atau batu dilemparkan
biarkan sahaja masa menentukan
jangan pula mendabik dada
merasa diri mampu sebatang kara.

Berpatah pulang jangan sekali
setelah melangkah tetaplah pergi
biarlah jelas mana jauhari
antara sekian banyak batu keluli.

Budak menangis merejang kaki
kerana aiskrim mahu di beli
usah dilayan jangan peduli
nanti letih lenalah lali.

Thursday, May 07, 2015

Menjunjung sembah dan meraung amarah.



Ketika salah sang penguasa
pertanyaan dilontar dengan penuh budi bahasa
sepuluh jari menyembah batu jemala
memohon ampun sebelum melanjutkan bicara.

Dosa sang penguasa
yang memenuhi lautan berbusa
bahasa teguran  penuh santun
bersilat kata mohon beribu ampun.

Ketika salah rakyat jelata
lalu ditempelak dengan bahasa membara
telunjuk dituding terus ke muka
amaran diberi tiada lenggok bahasa pendeta.

Kenapa tidak berbahasa serupa?
kenapa takut kepada sang penguasa
kenapa lincah hanya kepada pembela massa.

Tuesday, May 05, 2015

MUSAFIR KE SEREMBAN DAN MELAKA

Cuti Hari Buruh bersambung dengan hari Wesak dibawa kepada hari Ahad dan Isnin. Aku menyertai rombongan sanak saudara dari kampung ke majlis kenduri kahwin di Senawang, Negeri Sembilan. Mohd Afifi anak Paktih Mat berjodoh dengan orang Negeri Sembilan. Sanak saudara isteri pergi dengan sebuah bas manakala aku dna keluarga menaiki kereta. Aku tidak gemar naik bas kerana terikat dengan jadual perjalanan orang. Lagi pun, aku merencana perjalanan sendiri sesudah selesai urusan kenduri kahwin. Paling tidak pergi melawat Kota A Famosa di Melaka yang sudah lebih 17 tahun lalu aku melawat buat kali pertama.


Melalui perjalanan berkereta menelusuri lebuh raya Utara-Selatan, aku melihat jejeran kereta yang bersesak-sesak pada perjalanan menuju ke Utara. Beberapa tempat berlaku kesesakan yang dahsyat. Mujurlah perjalananku ke Selatan tidak diganggu oleh kesesakan tersebut. Orang-orang di Kuala Lumpurmungkin sedang mengambil peluang untuk bercuti ke utara. Ada yang balik kampung dan mungkin sesetengahnya mahu ke Langkawi sebagai destinasi percutian keluarga.

Dari pukul 9.45 waktu betolak, aku dapat tiba bandaraya Ipoh untuk solat Jumaat di sana. Masjid Sultan Idris Syah menjadi pilihan. Khutbah JUmaat berkisar pentingnya rakyat mentaati Sultan dan Tanggungjawab Sultan kepada rakyat. Ia adalah khutbah sempena istiadat pertabalan Sultan Nazrin sebagai Sultan Perak yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Di Masjid Sultan Idris ini, aku lihat begitu ramai Bangla yang datang solat. Sekilas pengamatanku, Bangla adalah majoriti ahli jemaah Jumaat pada hari ini. Bagusnya Bangla berbanding Melayu, mereka rajin solat di masjid. Di sebalik kebanjiran Bangla di Malaysia, aku tidka pasti apakah ia mengandungi kebaikan atau keburukan untuk masa depan Malaysia. Berfikir positif, ia sebenarnya menambahkan kekuatan tubuh kaum muslimin di bumi bertuah ini yang nampak goyah untuk ditatang oleh anak bangsanya, Melayu.

Menunggu solat Jumaat, sempat makan tengahari berhidangkan bekalan yang dimasak dari rumah. Aku, isteri, Mak mentua, MIla, Angah dna Qibah menikmati hilangan ala-ala perkelahan di bawah teduhan pokok di parkir masjid

Setelah itu, perjalanan diteruskan. Terasa masih awal dna punya kesempatan untuk meloncong ke Telok Intan. Di sana ada menara condong yang terkenal sebagai tarikan pelancong. Aku mahu menjengok destinasi itu. Namun terpaksa batalkan hasrat ketika perjalanan sudha separuh kerana merasakan ia membuang waktu. Lencongan sangat jauh dna bimbang akan kemalaman di sana. Akhirnya aku bertukar arah ke Tapah dan mengambil jalan lebuhraya semula menuju ke Kuala Lumpur.

Ini kali pertama aku memandu kereta Sorento menembusi dada kota. Walaupun tidak biasa dengan jalan-jalan baru Kuala Lumpur, aku berpandukan dengan GPS dari ipad mini yang kubawa bersama. Ia banyak membantu. Perjalana menuju ke Seremban perlu melalu jalan menuju KLIA. ia tidak jauh dari jalan ke Putrajaya. Sebab itu, melawat Putrajaya adalah tindakan sepontan. Kami singgah ke Taman Botani dan tiada apa yang menarik di sana. Ketika azan maghrib berkumandang, kami bergegas ke masjid Putrajaya dan solat jamak di sana. Orang ramai seperti ada pesta. Sukar sekali mencari parkir kkereta.

Selepas solat maghrib, perjalanan diteruskan ke Seremban dengan mengambil jalan melalui lebuhraya KL-Seremban. Tiba di Senawang sekitar jalm 10 malam. Sebuah homestay yang disediakan di Taman rasa Sayang, No. 154 dan 155. Ia berhadapan dengan dengan sebuah masjid bernama masjid Ar-Raudhah. Di homestay itulah semua sanak saudara yang datang dengan bas akan berkumpul.

Ust Ismail
Mentua Afifi bernama Ust. Ramadhan. majlis akad nikah dan kenduri kahwin diadakan di kediamannya di rumah bernombor 370, Taman Palma Jaya, berhadapan dengan Homesweet Homestay . Ketika di rumah kenduri, aku bertemu dengan berkenal dengan Ust Ismail yang bertugas di sebuah PPD di negeri Sembilan. Dia berasal dari Padang Gelenggang, Kedah dan merupakan anak angkat Paktih Mat.

Selepas selesai makan kenduri, aku mengambil haluan ke negeri Melaka. Hajat ingin melihat kota bersejarah itu. Namun, ketika mula masuk ke Bandaraya Melaka, kesesakannya amat teruk. Beberapa percubaan mendekati pusat bandar acap tersangkut dalam kesesakan. Maka, aku mengambil keputusan untuk pulang mengikut jalan persisiran menuju ke Port Dickson melalui daerah Linggi. Aku singgah solat jamak di masjid Tanah. Kemudian berdesup mengejar masa ke Port Dickson dengan harapan dapat mengambil penginapan di sana. Malangnya, Port Dickson juga sedang dikerumuni manusia dan jalannya "Jem". Tiada hotel yang kosong. Semuanya "full". Lalu, terpaksalah pulang ke Seremban dan mencuba nasib di sana. Jalm sudha menjangkau 12 malam apabila kami bernasib baik menemui sebuah hotel di Bandar Seremban. Lake View namanya. Hotelnya tak terurus dan tangga naik ke tingkat atas kotor. Bau arak dapat dikesan ketika melalui lorong menuju bilik murah yang aku, isteri dan anak bakal melelapkan mata menghilangkan penat. hanya RM50 semalam.

Pagi esoknya pulanglah kami ke Kuala Lumpur. singgah meninjau pameran Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung di PWTC. Sudah lama aku tidak melilau di Kuala Lumpur. Payah juga hendak temui jalan ke sana. Pakai GPS banyak membantu. Aku beli beberapa buah buku sebelum beredar dan mandi serta solat jamak zohor asar di masjid negara. Kemudian, perjalanan seterusnya adalah merentas lebuhraya pulang ke Kulim-Lunas. Kelihatannya arus kereta dari Utara ke Selatan sedang membentuk kesesakan di beberapa tempat. Perjalanan balik ke utara memang lancar. Hujan turun di beberapa tempat sepanjang lebuhraya. Bila penat, aku berhenti dan melelapkan mata.

Akhirnya sampai juga di Lunas dengan selamat. Jam ketika itu sekitar 10.30 malam. Perjalanan percutian kali ini agak mengecewakan kerana terperangkap dalam kesesakan. Lain kali, kalau mahu bermusafir, aku akan berhati-hati memilih hari. Jika cuti umum, baik jangan melakukan perjalanan jauh melalui lebuh raya. Ia hanya akan menyendatkan otak dan melenguhkan perut betis.

Demikian sebuah musafir yang aku catatkan sebagai sebuah kenangan. Semoga jadi kenangan berharga di belakang hari.